#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Julai 27, 2009

Tak puas tiga isteri

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my

TELUK INTAN: Dia mempunyai tiga isteri, namun seorang bapa berperangai iblis masih belum puas hingga tergamak menjadikan anak kandungnya berusia 14 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu buas seksnya lebih 60 kali sejak November tahun lalu.

Sejak pertama kali dirogol pada tahun lalu, mangsa yang juga pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di daerah ini terus ‘diratah’ oleh bapa kandungnya berusia 50 tahun sebanyak dua kali seminggu sehinggalah perlakuan itu dibongkar dan dilapor kepada polis jam 11.50 pagi kelmarin.

Mangsa yang juga anak kedua daripada enam beradik menetap bersama keluarganya di Hutan Melintang, tidak sanggup membiarkan lagi perlakuan bapanya meratah tubuhnya itu sebelum memaklumkan perbuatan berkenaan kepada kakaknya.

Kakaknya kemudian menceritakan kisah malang adiknya itu kepada seorang guru sekolah di tempatnya belajar mengenai tingkah laku jijik bapa kandung mereka.

Selepas merekodkan segala keterangan dan masalah yang dihadapi mangsa, guru sekolah berkenaan membuat laporan polis yang kemudiannya menahan bapa mangsa untuk siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Superitenden Chan Kuang Yu, berkata lelaki berusia 50 tahun itu kini ditahan untuk siasatan serta direman selama tujuh hari.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 376B, Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Mangsa yang juga anak suspek pula dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa pertama kali dirogol di rumahnya dan selebihnya dilakukan di luar rumah termasuk di sebuah kebun kelapa sawit berdekatan rumah mereka.

Chan berkata, setiap kali merogol mangsa, suspek akan membawa mangsa keluar rumah sama ada untuk ke kedai atau bersiar-siar sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu pada malam harinya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa turut diugut oleh suspek supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa termasuk ibunya yang juga isteri ketiga suspek.

“Kami percaya, mangsa yang sudah tidak tahan dengan penderitaan akibat dirogol oleh bapanya bertindak membongkar kejadian itu kepada kakaknya,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan