Selasa, Mac 18, 2014
Soal Jawab: Berdosa jika berprasangka buruk ke atas suami
Sumber : Berita Harian
Traikh : 16/03/2014
Sikap tak percaya boleh rosakkan hubungan
Soalan:
Berdosakah saya ustaz kerana tanpa pengetahuan suami sering mengintip beliau. Saya juga sering melihat mesej pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp juga Facebook beliau melalui telefonnya.
Suraya Sulaiman,
Ipoh, Perak
Jawapan:
Berprasangka buruk terhadap orang lain adalah salah dan berdosa. Apa lagi sekiranya dilakukan terhadap suami sendiri. Sikap buruk sangka ini hanya merosakkan hubungan suami isteri yang sepatutnya dibina atas dasar kepercayaan. Perbuatan mencari kesalahan suami dan memikirkan perkara negatif terhadap suami adalah dilarang seperti peringatan Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 12. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhi kebanyakan berprasangka kerana sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”
Tindakan mengintip dan mencari kesalahan suami dengan memeriksa telefon bimbit, e-mel dan akaun Facebooknya juga adalah perbuatan yang salah dan tidak amanah. Selain ia melanggar hak peribadi suami, tindakan itu juga menggalakkan pergaduhan antara suami isteri. Tidak hairanlah Rasulullah SAW sangat membenci perbuatan ini.
Sabda Baginda: “Berhati-hatilah kalian daripada tindakan berprasangka buruk kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari keburukan orang lain, saling intip-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”
Berkenaan perbuatan tajasssu atau mengintip kesalahan orang lain, seorang sarjana Islam, Abu Hatim bin Hibban al-Busti menjelaskan dalam kitabnya Raudhah al-‘Uqala’: “Tajassus adalah cabang daripada kemunafikan, seperti sebaliknya prasangka yang baik adalah cabang daripada keimanan. Orang yang berakal akan berprasangka baik kepada saudaranya, dan tidak mahu membuatnya sedih dan berduka, sedangkan orang yang bodoh akan selalu berprasangka buruk kepada saudaranya dan tidak segan-segan berbuat jahat dan membuatnya menderita.”
Justeru saya menasihatkan puan agar beristighfar dan bertaubat daripada perbuatan dan kesalahan yang puan lakukan. Ia bukan saja bagi membersihkan dosa yang dilakukan, tetapi juga mengembalikan ketenangan dalam hati. Ini kerana prasangka buruk terhadap suami pasti menyebabkan jiwa puan sering tertekan dan merana. Oleh itu hentikan segera perbuatan ini dan bertaubatlah.
Sekiranya ada sebarang isu berkaitan suami, sebaiknya puan berdepan sendiri dengan suami dan mendapat jawapan terus daripadanya. Jika berlaku krisis, carikan orang tengah yang mampu mendamaikan kedua-dua pihak.
Jumaat, Jun 17, 2011
Bonjolan tanda kanser?
Bonjolan tanda kanser?
Saya berumur 31 tahun dan mempunyai dua orang anak. Saya mempunyai kemusykilan yang sudah lama saya simpan dan malu untuk bertanya sebelum ini. Saya mempunyai bonjolan di bahagian bawah kedua belah ketiak saya. Dulu semasa saya masih anak dara saya ingat kan dia hanyalah lebihan lemak dan mungkin kerana saya mempunyai saiz payu dara yang agak besar. Tapi daripada dahulu saya memang malu untuk memakai kemeja-T atau baju yang berlengan sangat pendek kerana bonjolan lemak pada bawah ketiak saya itu akan nampak terkeluar.
Sehingga saya melahirkan anak yang pertama. Ibu saya perasan bonjolan itu dan bertanya kepada saya. Saya pun memang tak tahu kenapa saya ada bonjolan sebegitu dan rasa malu bila di ajukan soalan itu. Ibu saya mendesak saya supaya buat pemeriksaan kerana dia risau bonjolan itu adalah tanda-tanda kanser payu dara. Disebabkan rasa takut malu dan segan saya untuk berjumpa doktor saya memberi bermacam-macam alasan kepada ibu saya.
Doktor, bonjolan itu tidak pernah menyakitkan saya hingga semasa saya mengalami bengkak susu. Bonjolan itu turut saya mengeras dan menyakitkan seperti payu dara saya. Sekarang bonjolan itu kembali lembut seperti lemak biasa. Saya tertanya-tanya adakah bonjolan ini adalah tanda-tanda awal kanser payu dara seperti mana yang ibu saya fikirkan. Apakah yang saya lakukan?
* Yus, Dengkil
Jawapan:
Daripada sejarah dan simptom yang diceritakan, kemungkinan besar bonjolan yang dialami oleh Puan Yus disebabkan payu dara tambahan. Ia juga dikenali sebagai accessory breast atau polymastia. Sebanyak 0.4 hingga 6 peratus wanita mempunyai accessory breast ini. Besar kecilnya kelenjar payu dara tambahan ini pun bervariasi.
Adanya payu dara tambahan ini pada salah satu sisi ketiak ataupun kedua-dua belah ketiak. Kebiasaannya bonjolan (payu dara tambahan) akan lebih ketara semasa seseorang itu hamil atau menyusu anak. Ini disebabkan oleh rangsangan hormon.
Kadang-kadang bonjolan ini juga mempunyai areola (kulit berwarna gelap mengelilingi puting susu) dan juga puting susu. Maka tidak mustahil jika ia juga boleh mengeluarkan susu.
Wanita dengan kelainan seperti ini biasanya tidak selesa dengan kondisi tubuhnya. Munculnya kelenjar payu dara tambahan ini juga perlu berwaspada. Bonjolan yang tumbuh sebagai payu dara tambahan ini berkemungkinan berkembang menjadi tumor atau kanser yang tidak diingini.
Saya nasihatkan semoga Puan Yus berjumpa doktor bagi mendapatkan pemeriksaan lanjut. Mungkin Puan Yus dinasihatkan untuk menjalani pembedahan pembuangan bonjolan ini jika ia merungsingkan dan juga untuk sebab kosmetik. Pada masa yang sama bonjolan tersebut dapat dikaji dengan lebih terperinci bagi mendapatkan diagnosis yang sebenar.
Kitaran haid tidak teratur
Doktor, saya berusia 20 tahun ingin bertanya, saya mengalami masalah haid di mana saya sering tidak didatangi haid. Saya mula baligh pada umur 13 tahun dan sejak itu haid saya hanya datang selepas enam hingga 10 bulan sehinggalah sekarang dan itupun haid saya hanya datang apabila memakan ubat turun darah yang diberikan oleh doktor.
Untuk rujukan doktor, saya adalah seorang underweight, agak pasif dalam sukan. Saya menjalani pemeriksaan dan doktor mengatakan kurang hormon kerana kurang berat badan. Saya mengamalkan EPO tetapi masih tidak mendapat kitaran haid yang normal. Saya telah diberikan norethisterone dan haid hanya turun jika saya memakan ubat tersebut.
Adakah saya menghidap amenorea sekunder? Jika masalah ini adalah disebabkan berat badan saya, apakah suplemen yang boleh doktor syorkan kepada saya untuk menambah berat atau ada cara lain supaya saya mempunyai kitaran yang normal. Saya mohon agar doktor membalas terus ke emel saya tanpa mencetaknya.
* Pening kepala, Johor
Jawapan:
Saudari janganlah pening kepala disebabkan masalah yang dihadapi. Ingatlah bahawa setiap sesuatu penyakit itu ada penawarnya. Saudari hendaklah berusaha bersungguh-sungguh semoga kitaran haid saudari menjadi normal. Memang tepat sekali sangkaan saudari. Ya, saudari mengalami amenorea sekunder.
Amenorea sekunder didefinisikan sebagai tidak datang haid berturut-turut selama 6 bulan bagi wanita yang kedatangan haidnya tetap setiap bulan. Amenorea sekunder berlaku kepada kurang dari lima peratus dalam kalangan remaja perempuan dan lebih 50 peratus berlaku dalam kalangan orang yang aktif bersukan. Terdapat pelbagai penyebab amenorea sekunder iaitu; senaman yang melampau biasanya di kalangan ahli sukan - atlet, kekurangan atau berlebihan berat badan (tidak mempunyai berat badan yang ideal), mengalami tekanan perasaan yang teruk dan gangguan pada emosi, pengambilan pelbagai jenis ubatan, kesan sampingan apabila berhenti mengambil pil perancang keluarga, mengalami sindrom ovari polisistik dan gangguan hormon lain seperti tiroid.
Seperti mana yang saudari nyatakan bahawa saudari adalah seorang yang underweight kerana mempunyai berat badan yang berkurangan dan tidak ideal. Kemungkinan besar inilah penyebab kepada masalah yang saudari hadapi. Elok berjumpa doktor untuk mendapatkan pemeriksaan dan penyiasatan awal. Mengambil sejarah yang penuh, seperti sejarah keluarga, pekerjaan dan sejarah aktiviti, sejarah aktiviti seksual, gangguan emosi, perubahan berat badan dan sejarah perubatan lepas.
Walau bagaimanapun, untuk menentukan hasil diagnosis pemeriksaan penuh sakit puan dan pelbagai ujian juga perlu dilakukan. Ujian ini termasuklah ujian darah untuk mengenal pasti aras pelbagai hormon. Ujian fungsi tiroid juga patut diambil. Ini adalah penting untuk mendapat diagnosis yang tepat dan rawatan yang sepatutnya dapat diberikan.
Di samping pengambilan ubat norethisterone yang berkala bagi mendatangkan haid, ada baiknya jika saudari mengamalkan pemakanan yang lengkap dengan mendapatkan bantuan dari pakar pemakanan bagi meningkatkan berat badan saudari ke tahap ideal. Moga dengan itu kitaran haid saudari akan berkitar secara normal.
Isnin, Disember 20, 2010
Ayahku mahu berpoligami
Sekembali dari luar negara, kami sekeluarga sangat sibuk. Ibu terpaksa bekerja lebih kerana sudah lama tertinggal dalam dunia pekerjaan dan ayah juga bekerja hingga Sabtu dan Ahad tanpa cuti kerana banyak kerja terpaksa dipelajari daripada rakan.
Kami adik beradik kelam-kabut kerana menghadiri banyak kelas tambahan dan suasana sekolah yang terlalu berbeza dari luar negara. Namun, ibu terus berkorban menyiapkan makanan dan urusan rumah kerana tiada pembantu. Ibu memasak jam 12 tengah malam atau awal pagi untuk siapkan makanan.
Satu hari ibu memberitahu kami beliau terpilih keluar negara selama tiga minggu. Kami merasa cemburu kerana belum setahun pulang ibu sudah diberi peluang lagi bermain salji. Di KLIA kami menghantar ibu dan dalam perjalanan pulang ayah memberitahu mengenai rancangannya untuk berpoligami. Terkejut sungguh saya dan adik-adik. Sampai hati ayah!
Ayah tidak pernah membantu kami di rumah kerana semuanya ibu lakukan sendiri. Ayah sering menggunakan alasan sibuk dan tidak pernah ada masa membawa adik-adik bermain basikal di tasik, hanya ibu saja bersama kami. Sekarang ayah ada masa pula bermain cinta! Duit belanja juga bukanlah banyak. Ayah sering tiada duit kerana keluarga ayah di kampung memang selalu minta duit untuk menguruskan makan minum adik-beradiknya seramai sepuluh orang.
Saya bingung, abang sulung membantah, saya dan adik-adik diam saja dan menangis mengenangkan ibu yang rajin dan banyak berkorban.
Ayah menjelaskan bakal isterinya datang dalam mimpi selepas membuat solat Istikharah. Katanya ayah terpilih dan ini sunnah nabi dan jangan melawan jika tidak mahu menjadi umat nabi di akhirat nanti. Betul ke?
Bukankah nabi sangat baik dengan isteri baginda? Jika kita tidak dapat membahagiakan isteri dan anak-anak yang ada, bolehkah dengan menambah isteri dan anak-anak yang baru nanti boleh bertambah bahagia semata-mata mengikut sunnah? Betulkah sunnah ini mesti diikuti? Semua soalan ini penuh di kepala saya.
Dr, saya sangat menghormati ayah dan sayang padanya, namun sikap ayah sangat menghancurkan hati dan menghilangkan rasa hormat Ibu sangat jujur, banyak berkorban dan selalu membantu ayah. Saya tidak rasa ayah akan bahagia dengan pilihan baru ini.
Saya adik-beradik berdebar menunggu ibu pulang dan tidak tahu apa yang bakal berlaku.
KAK NGAH
Putrajaya
Mengambil kira isu ayah ingin berkahwin lagi, dari sudut pandangan adik, tindakannya itu pasti akan melukakan hati ibu dan keluarga. Ayah pula melihat isu ini dari perspektif tersendiri iaitu ingin membimbing seorang wanita. Begitu juga, ayah melihat poligami dari sudut kepercayaannya dan sebagai cara untuk menjalankan tugasan berdakwah. Ayah kurang memberi fokus kepada pengorbanan dan perasaan ibu dan anak-anak sebagai perkara utama apabila dia membuat pertimbangan serta keputusan untuk berkahwin baru.
Sedangkan perkara ini adalah perkara terpenting adik dalam memberi kewajaran untuk ayah kahwin lain. Apabila satu perkara dilihat dari perspektif berlainan oleh keinginan yang berbeza, akan wujud konflik. Dr memahami kerisauan adik jika ayah berkahwin lain. Struktur keluarga akan berubah. Tanggungjawab ayah semakin bertambah. Adik juga merasakan seolah-olah ayah tidak menghargai pengorbanan besar ibu dan seorang yang mementingkan dirinya. Adik juga merasa takut ibu akan meninggalkan adik sekiranya ayah kahwin lagi.
Dari segi kewangan, adik melihat ayah kurang berkemampuan untuk berkahwin lain.
Pengorbanan besar dan hubungan rapat ibu dengan adik membuatkan adik merasakan tiada orang lain dapat menggantikan ibu sebagai isteri ayah. Akibatnya, hati adik hancur apabila mengetahui ayah akan berkahwin lain. Setiap individu dalam keluarga mempunyai hubung kait antara satu sama lain.
Mereka tidak boleh hidup bersendirian tanpa mengambil kira orang lain. Justeru, apabila ayah ingin berkahwin lain, kesan akibat perkahwinan itu turut dirasai adik.
Mengenai persoalan poligami yang sentiasa bermain dalam fikiran, adik boleh membaca banyak sumber rujukan yang sahih mengenai perkara ini.
Dalam masalah poligami, seseorang itu hendaklah menjauhi sekiranya berkahwin lebih daripada satu boleh mengganggu hak isteri dan anak-anak yang diwajibkan ke atasnya, seperti memberi nafkah dan lain-lain. Walaupun hukum mengharuskan, tetapi ia terus menanggung dosa kerana kecuaiannya menjalankan kewajipan terhadap anak dan isteri. (http://www.islam.gov.my/e-rujukan/kahwin.html).
Pertimbangan yang adil hendaklah diberikan di samping tujuan dan roh berpoligami itu tidak dirosakkan. Dalam hal ini keharusan yang diberikan agama bukan bermakna galakan atau kebenaran yang boleh dilakukan sewenangnya.
Jika ditakdirkan ayah berkahwin baru kerana soal jodoh adalah ketentuan Allah s.w.t, adik perlu mencari alternatif untuk belajar menerima keadaan dan meneruskan kehidupan supaya tidak tertekan. Ada perkara yang kita inginkan tidak dapat dicapai kerana itu adalah di luar kawalan kita. Dalam masalah ayah ingin berkahwin lagi, ayah adalah penentu utama, walaupun ia membabitkan anaknya.
Apa yang adik boleh lakukan ialah menangani konflik diri melalui berkongsi rasa dengan orang yang dipercayai. Adik boleh melahirkan perasaan dialami sekarang kepada ayah. Sekurang-kurangnya ia memberi ruang untuk ayah berfikir (dari sudut tanggungjawab dan kemampuan) serta kesan kepada ibu, adik dan adik-beradik yang lain. Sebagai anak, adik perlukan lakukannya secara berhemah.
Menerima kenyataan sesuatu perkara yang adik tidak suka (sekiranya ayah berpoligami) bukanlah mudah. Lakukan secara bertransisi. Fokuskan kepada perkara utama dalam kehidupan seperti pelajaran dan menjadi kawan yang baik kepada ibu yang begitu banyak berkorban untuk keluarganya.
Sama ada ayah akan gembira dengan pilihan barunya banyak bergantung kepada bagaimana ayah dan isteri barunya menjalankan tanggungjawab sebagai suami isteri dan serasi bersama.
Isnin, Mei 31, 2010
Sembunyi dosa
Saya mempunyai anak perempuan hasil perkahwinan pertama. Suami saya seorang yang berharta tetapi kaki perempuan dan malangnya perangainya masih tak berubah walaupun usia sudah senja.
Pada awal perkahwinan saya tinggal bersama suami dan amat bahagia. Dia sering pulang ke kampung saya untuk menjenguk anak perempuan saya yang ketika itu berusia 16 tahun yang saya tinggalkan bersama arwah emak saya.
Akibat daripada tekanan tabiat buruk suami saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan hidup berjauhan. Tekanan perasaan bertambah apabila anak saya mengadu dia dirogol tiap kali suami saya pulang ketika saya di Kuala Lumpur.
Saya bertanya suami mengenai perkara ini dan dia mengakuinya. Demi menjaga maruah keluarga saya mendiamkan perkara ini. Selepas tamat penggajian anak saya berkahwin tetapi dia sering mengalami trauma. Menantu saya pula berkali-kali menyatakan hasrat ingin membuat laporan polis.
Perasaan saya amat tertekan tiap kali teringatkan perkara ini dan memikirkan tabiat kaki perempuan dia yang sering diceritakan dengan bangga pada saya.
Saya sering mengingatkan dia hal dosa pahala, seksaan api neraka dan apa saja berkaitan agama dengan harapan dia mahu berubah. Namun dia semakin galak.
Soalan saya ialah daripada segi undang-undang adakah salah saya merahsiakan perkara ini dan adakah saya akan dipersoalkan di akhirat kerana merahsiakannya serta membiarkan anak saya menderita akibat tekanan perasaan, selain menghalang dia mengambil tindakan undang-undang?
Saya ada terfikir untuk meminta cerai tapi saya perlukan suami untuk menanggung keperluan hidup saya. Saya dalam dilema.
ELIA
Pulau Pinang
Jawapan :
Perkara maksiat dan kejahatan tidak wajar dilindungi sebaliknya wajib dibanteras. Dalam hal ini jika anak menjadi mangsa sumbang mahram sehingga rumah tangganya sekarang tergugat, wajib bagi ibu untuk memaklumkan pada pihak berkuasa yang dapat membantu menyelesaikannya.
Mereka yang berdosa tapi kemudiannya insaf dan mahu berubah wajar diberi peluang. Namun tabiat suami puan mempamerkan bahawa dia tidak insaf bahkan berbangga menceritakan pada puan dosa yang dilakukannya.
Perasaan yang menghalang puan membawa dia ke muka keadilan ialah kerana kebimbangan sara hidup puan. Pernahkah puan terfikir bahawa menyembunyikan dosa membiarkan terus hanyut dibuai dosa lebih dahsyat daripada menagih rezeki orang begini.
Pihak kerajaan ada menyediakan bantuan secukupnya pada mereka yang bermasalah seperti puan dari kementerian wanita mahupun bantuan zakat.
Usah ragu-ragu lagi, insya-Allah atas nama amar makruf dan nahi mungkar, bantulah suami dan anak untuk berubah dan bukannya membiarkan mereka terus hanyut.
Jumaat, Mei 21, 2010
Pembahagian harta secara ijab kabul hak bapa
Berita Harian
Soal Jawab Agama
BAPA saya pernah berkata, ketika dia sakit, dia telah membahagikan semua harta peninggalannya sama rata kepada semua anak. Katanya lagi, sejumlah wang dalam peti besi tidak boleh diganggu untuk pengurusan jenazah serta majlis tahlil selama 40 hari dan selebihnya untuk disedekahkan. Adakah pembahagian harta oleh bapa saya sah mengikut hukum syarak dan apakah kata-katanya itu boleh dianggap sebagai wasiat atau ada pilihan lain bagi waris.
Warga Indonesia.
AGAMA Islam mempunyai kaedah tersendiri menguruskan harta di mana waris lelaki dan wanita mempunyai bahagian masing-masing yang berbeza antara satu sama lain.
Firman Allah bermaksud: “Allah telah mensyariatkan kepada kamu mengenai wasiat buat anak-anakmu di mana bahagian seorang anak lelaki adalah menyamai dua bahagian anak perempuan.” (Surah An-Nisa’. Ayat 11)
Oleh demikian, perkara perlu diperhatikan waris ialah pembahagian harta mengikut syariat Islam selepas wasiat dan hutang si mati sudah selesai.
Bagaimanapun, jika pembahagian sudah diputuskan oleh bapa ketika hidup, diteliti dan disaksikan sebilangan ahli keluarga, maka ia adalah diharuskan kerana boleh dikira sebagai hibah atau hadiah melalui ijab dan kabul (serah terima).
Cara ini juga diterima kerana tuan punya harta masih hidup dan menepati syarat hadiah iaitu serah terima serta kewujudan saksi. (Fatwa Syeikh Muhammad Sulaiman As-Syafie)
Oleh itu, waris tiada apa-apa tuntutan lagi setelah bapa meninggal dunia kerana hadiah itu menjadikan mereka sebagai pemilik mutlak kepada harta berkenaan.
Sabda Rasul bermaksud: “Adalah benar bagi seseorang Muslim tidur pada malam harinya dalam keadaan wasiat sudah tertulis di sisinya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Ibnu Majah)
Namun demikian, wasiat si mati untuk ahli waris selepas kematiannya adalah dilarang kerana sabda Rasul yang bermaksud: “Tiada wasiat untuk waris kepada simati.” (Hadis riwayat Nasai)
Berkenaan persediaan sejumlah wang untuk pengurusan jenazah adalah dikira harta warisan yang perlu dibahagikan antara waris mengikut pandangan Syeikh Ibnu Hajar dalam fatwanya. Syekh Ibnu Solah (ulama’ Mazhab Syafie) berpendapat, apa yang diperlukan si mati ialah sekadar urusan kafan dan pengebumian saja kerana mereka yang hidup lebih memerlukan kepada harta itu.
Mengikut pendapat, keperluan untuk si mati ialah urusan kafan dan pengebumian yang menjadi kewajipan dan perkara lain seperti penyelenggaraan dan lain-lain adalah harus bagi waris dan boleh diabaikan. (Syarah Al-Manhaj)
Sebahagian ulama Syafiiyyah (Mazhab Syafie) juga berpendapat, jika apa yang disimpan untuk si mati tidak melebihi 1/3 daripada harta peninggalannya maka ia dikira wasiat yang perlu ditunaikan. Selebihnya akan disedekahkan untuk kebajikan si mati.
Daripada Amar Bin Saad daripada ayahnya, beliau diziarahi Nabi ketika sakit lalu diminta Nabi mendoakannya. Beliau juga menyatakan cadangan mewasiatkan separuh hartanya. Jawab Baginda: “Separuh terlalu banyak.” Lalu diturunkan 1/3 dan dibenarkan baginda. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hukum ini juga tertakluk kepada uruf (kebiasaan) sesuatu tempat. Contohnya jika majlis doa dan tahlil menjadi kebiasaan penduduk setempat, maka ia akan ditunaikan kerana adat juga boleh dijadikan penilaian dalam hal ini.
Jika ada harta yang berbaki maka disedekahkan juga untuk kebajikan pahala kepada simati. Nabi ketika ditanya mengenai pahala sedekah seorang anak untuk ayahnya yang sudah meninggal tanpa meninggalkan wasiat, jawab Nabi: “Ya”. (Hadis riwayat Muslim dan Ibnu Majah)
Adalah lebih baik ahli waris menyediakan sejumlah wang tertentu untuk pengurusan jenazah si mati sebagai persediaan awal bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
Sabtu, Disember 12, 2009
Isteri tuntut mutaah
SOALAN
PERCERAIAN saya dan bekas suami (A) telah disahkan di mahkamah. Perkahwinan kami telah bertahan selama 15 tahun dan ada tiga orang cahaya mata.
Saya kini sedang dalam proses untuk menuntut mutaah. A telah memberitahu saya bahawa dia hanya akan membayar RM500 sebagai mutaah.
Menurutnya mutaah ini hanya adat Melayu, bukan menurut hukum Syarak.
Di negara Islam lain, tiada bekas isteri yang dapat mutaah dan ia hanya ada di Malaysia.
Dia juga berkata bahawa bayaran RM500 lebih daripada cukup. Saya kini menjadi ragu-ragu, adakah apa yang A katakan itu benar? Bolehkah saya menuntut mutaah?
Azizah Harun,
Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Jawapan
Selain daripada hak menuntut nafkah, seorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati.
Hak itu bersandar kepada Surah al-Baqarah, ayat 241 yang bermaksud, "Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertakwa."
Juga dalam ayat 236 yang bermaksud, "…Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu)…"
Daripada dua ayat ini, jelas menunjukkan mutaah yang menjadi hak isteri adalah bersandarkan kepada hukum Syarak.
Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati kepada mahkamah.
Selepas mendengar keterangan daripada kedua pihak dan berpuas hati bahawa isteri diceraikan tanpa sebab yang patut, mahkamah boleh memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum Syarak.
Dalam kes di Pulau Pinang, Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63, mahkamah berpendapat bahawa mutaah bertujuan menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru tanpa suami.
Tentang kemampuan suami ini, kita boleh merujuk kepada kes Tengku Anun Zaharah lwn Datuk Dr Hussein (1980) 3 JH 125 yang mana peguam pihak isteri telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal Shaksiah fi Ahkam zaujat watalaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran mutaah.
Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mutaah, maka jumlah RM25,200 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu.
Dalam kes Noor Bee di atas, mahkamah juga telah mengambil kira pengorbanan oleh isteri sepanjang perkahwinannya selain daripada kemampuan suami dalam memutuskan kadar mutaah yang patut diberikan kepada isteri.
Dalam permohonan mutaah kepada mahkamah, puan boleh mengambil kira perkara-perkara seperti jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan puan dan bekas suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku untuk dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada puan.
Memandangkan mutaah ini bersandarkan kepada hukum Syarak, maka peruntukan tentang mutaah bukan sahaja terdapat di Malaysia.
Terdapat juga negara-negara Islam lain yang memberi hak mutaah kepada isteri yang diceraikan. Di Indonesia misalnya, ada diperuntukkan tentang mutaah wajib dan mutaah sunat.
Di negara-negara Asia Barat seperti undang-undang di Jordan, Syria dan Mesir bersependapat bahawa pihak isteri berhak untuk mendapat bayaran pampasan iaitu mutaah apabila diceraikan oleh suami tanpa sebab yang patut atau munasabah.
Jumaat, Disember 11, 2009
Nikah kedua tidak sah jika niat berkahwin sebagai 'pak sanggup'
Soal Jawab / Berita Harian
BAGAIMANAKAH kedudukan seorang isteri jika diceraikan talak tiga oleh suaminya. Adakah cara untuk mereka kembali bersatu dan apakah boleh digunakan khidmat 'pak sanggup' atau 'Cina buta' bagi menyelesaikan kemelut ini?
Lelaki misteri,
Kuala Lumpur
PASANGAN yang sudah bercerai talak tiga tidak boleh bersatu sehingga isteri berkahwin dengan suami baru, kemudian bercerai dengan suaminya itu. Selepas itu, barulah bekas suami pertama tadi boleh bernikah semula dengan bekas isterinya.
Firman Allah yang bermaksud: "Jika perempuan sudah ditalak tiga, maka tidak halal bagi suaminya sehingga isteri berkahwin dengan suami lain."
'Pak sanggup' disebut sebagai 'Muhallil' dalam istilah agama dan bekas suami pertama dinamakan 'Muhallah lah'. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Telah dilaknat oleh Rasul SAW si 'Muhallil' dan Muhalla lah." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai', Ibnu Majah dan Darimi)
Imam Ibnu Kathir berkata, apa yang dimaksudkan dengan perkahwinan kedua ialah ada perasaan cinta antara isteri dan suami kedua dengan tujuan untuk kekal berumahtangga. Jika berlaku persetujuan antara bakal suami dengan suami pertama, itulah dinamakan 'pak sanggup' atau 'Cina buta'.
Ia bertujuan menghalalkan isteri kembali kepada suami pertama setelah diceraikan suami kedua dan itu diharamkan oleh Islam. Mengikut pandangan jumhur ulama, jika dilafazkan dalam akad dia akan menceraikan isterinya, maka terbatal pernikahan.
Imam Razi dalam tafsirnya menyebut, apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan yang sudah ditalak tiga dengan tujuan menghalalkan bagi suami pertama setelah menidurinya, maka tidak sah pernikahan itu dan dikira mutaah dan ia batil. (Ibnu Kathir dan Ar Razi adalah dari Mazhab Syafie).
Pernah berlaku pada zaman Saidina Omar dan khalifah itu berkata: "Jika datang kedua Muhallil dan Muhalla lah kepadaku, nescaya akan perintah supaya mereka direjam."
Riwayat daripada Ali bin Abu Talib dan Ibnu Abbas bahawa Saidina Uthman Bin Affan juga pernah memisahkan antara suami pertama dengan isterinya setelah mendapati ada kesepakatan antara suami pertama dan kedua.
Malangnya ada sesetengah tempat menyediakan pakej perkhidmatan itu dengan menyediakan seorang lelaki sebagai Pak Sanggup dengan bayaran tertentu. Diharap pihak berkuasa dapat memantau perkara ini supaya dapat dibendung.
Sebenarnya istilah Cina buta tidak sesuai lagi digunakan dalam hal ini kerana menyinggung perasaan saudara baru kita daripada kaum Cina.
Jumaat, November 13, 2009
Seks ganas runtuhkan keluarga
Arkib 13/11/2009
SOALAN:SAYA telah berkahwin selama satu tahun. Suami saya mula berubah setelah saya mengalami keguguran. Jika dahulu dia seorang yang lembut, kini dia seorang yang kasar dan panas baran. Dia sering mendera saya dari segi fizikal dan mental.
Dari segi seksual pula, dia amat ganas dan dia seringkali memaksa dan memukul saya apabila dia mahu bersama-sama saya. Kadang-kadang saya terasa seperti ‘dirogol’ suami sendiri. Saya tidak tahan hidup dengannya lagi dan sentiasa dalam ketakutan. Saya ingin bercerai tetapi tidak tahu bagaimana. Bantulah saya SIS.
*Mira,
*Serdang.
Jawapan:
Kebanyakan kita tidak sedar bahawa perlakuan seks tanpa kerelaan pasangan adalah satu bentuk penderaan dan boleh dianggap sebagai keganasan rumah tangga. Akta Keganasan Rumahtangga 1994 menyebut keganasan rumah tangga adalah satu jenayah dan akta tersebut mendefinisikan keganasan rumah tangga sebagai “sebarang perlakuan mencederakan atau menyakiti dan menyebabkan seseorang hidup dalam ketakutan.”
Walaupun dalam Undang-undang Keluarga Islam tidak menyatakan tentang “perlakuan seks tanpa kerelaan” (marital rape) tetapi ia adalah salah satu bentuk penderaan yang memberi kesan yang negatif dari segi mental dan fizikal seorang individu.
Kita boleh mengambil contoh di Kuantan, apabila seorang mekanik didapati bersalah atas dua tuduhan. Tuduhan pertama ialah melakukan seks ganas ke atas isterinya dan dia telah dipenjarakan tanpa dibenarkan ikat jamin kerana dikhuatiri akan mengulangi perbuatannya itu. Bagi tuduhan ini, dia telah dihukum penjara maksimum lima tahun mengikut Seksyen 375A Kanun Keseksaan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan sengaja melakukan hubungan seks dan aktiviti seksual tidak diingini pasangan apabila meliwat isterinya lima minit selepas melakukan kesalahan pertama. Bagi tuduhan kedua ini, dia dihukum penjara 10 tahun dan tiga sebatan mengikut Seksyen 377 C Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.
Jika puan sudah membuat keputusan bahawa perceraian ialah jalan penyelesaian, puan boleh memfailkan tuntutan cerai fasakh terhadap suami.
Puan mempunyai sebab yang kukuh untuk memohon fasakh di Mahkamah Syariah di bawah Seksyen 53 (1)(h), Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam(Negeri Selangor) 2003 yang menyebut “Seseorang perempuan atau lelaki...dengan alasan yang berikut, iaitu - (h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain - (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya.”
Justeru puan boleh mengambil tindakan undang-undang terhadap perlakuan ganas suami yang menyebabkan puan berada di dalam keadaan ketakutan.
Apa yang perlu puan lakukan ialah dapatkan pemeriksaan doktor di hospital kerajaan, laporan pakar kaunseling juga boleh dijadikan bukti, setelah itu puan perlulah membuat laporan polis.
Laporan-laporan ini penting bagi mengukuhkan lagi permohonan cerai fasakh yang difailkan.
Meskipun hubungan seks dalam institusi perkahwinan adalah sesuatu yang sah dan halal tetapi perlulah dilayari dengan penuh kasih sayang dan harmoni bukannya dengan keganasan kerana ia boleh meruntuhkan sesebuah institusi keluarga.
Isnin, Oktober 19, 2009
Lafaz rujuk sah jika keluar daripada mulut suami secara ikhlas
Sebulan lalu saya bercerai dengan isteri dengan talak satu untuk kali pertama. Isteri tidak rela dengan perpisahan berlaku dan menyuruh saya merujuknya semula. Isteri juga melafazkan rujuk ke atas saya yang berbunyi "Saya rujuk semula dengan awak". Saya hanya mengangguk tanda setuju walaupun hati saya sebenarnya masih berbelah bahagi. Saya jadi keliru adakah sah rujuk yang dibuat isteri saya itu atau adakah sah rujuk yang saya buat walaupun dalam keadaan dipaksa.
Mamat,
Kuala Lumpur.
Jawapan:
Rujuk adalah penerusan kepada perkahwinan sedia ada yang dibuat suami menggunakan lafaz tertentu tanpa perlu kepada akad dan mas kahwin yang baru. Di dalam Islam, Allah meletakkan hak rujuk di tangan suami apabila berlaku perceraian talak rajie selagi isteri masih dalam edah. Allah Taala berfirman di dalam surah al-Baqarah, ayat 228: "Dan suami mereka berhak mengambil kembali (rujuk) isteri pada masa edah mereka jika (suami) bertujuan hendak berdamai".
Saidina Umar R.A meriwayatkan, "Rasulullah SAW menceraikan Hafsah, kemudian Baginda kembali rujuk kepadanya". Menurut jumhur ulama, terdapat tiga rukun utama rujuk iaitu suami, isteri dan sighah (lafaz).
- Rukun pertama, suami hendaklah seorang baligh (cukup umur) . Tidak sah rujuk bagi suami belum baligh. Suami hendaklah seorang berakal dan tidak sah rujuk sekiranya suami dalam keadaan gila. Suami merujuk isteri hendaklah dengan sukarela. Tidak sah rujuk jika suami dipaksa dan ketika rujuk suami hendaklah kekal Islam.
- Rukun kedua, isteri hendaklah disetubuhi sebelum berlaku perceraian. Tidak boleh merujuk isteri yang diceraikan sebelum disetubuhi kerana isteri seperti itu tidak mempunyai edah. Isteri yang dirujuk itu mesti ditentukan secara khusus.
Jika suami menceraikan beberapa isterinya kemudian ia rujuk salah seorang daripada mereka dengan tidak ditentukan siapa yang dirujuknya, maka rujuk itu tidak sah. Isteri diceraikan dengan talak rajie. Jika ditalak dengan talak bain, maka tidak sah rujuk. Rujuk juga hanya boleh berlaku ketika isteri dalam tempoh edah.
Tidak sah rujuk selepas terbukti tamatnya edah isteri atau isteri berkenaan murtad ketika dirujuk.
Rukun ketiga, sighah (lafaz) hendaklah menggunakan perkataan yang menunjukkan dituju kepada isteri seperti 'engkau' atau 'nama isteri itu' atau dengan isyarat tunjuk kepada isteri. Sighah pula tidak boleh digantungkan (ditaklik) dengan sesuatu. Contohnya suami berkata: "Saya rujuk awak jika awak suka." Atau: " Saya kembali kepada awak jika awak berhenti kerja." Kewujudan saksi hanya disunatkan.
Isteri yang diceraikan tidak boleh merujuk suami yang menceraikannya walaupun isteri masih suka kepada suaminya. Rujuk yang dilafazkan oleh suami dengan memenuhi semua rukun dan syaratnya adalah sah walaupun rujuk dibuat itu dalam keadaan bergurau.
Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang menyatakan bahawa tiga perkara yang tidak boleh dibuat main-main termasuk nikah, cerai dan rujuk. Apabila dilafazkan dengan jelas, maka ia akan menjadi sah. Seksyen 51(1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 (AUKI) memperuntukkan bahawa suami hanya boleh rujuk sekiranya berlaku talak rajie dengan satu atau dua talak yang tidak diikuti dengan habis tamat edah. Oleh itu suami tidak boleh rujuk jika sekiranya tempoh edah bagi talak rajie itu tamat.
Dalam Seksyen 51(9) AUKI jika sekiranya suami melafazkan rujuk tapi isteri tidak bersetuju dengan sebab dan alasan yang dibenarkan hukum syarak, seperti suami menderanya dan jika kembali boleh membahayakan diri isteri, maka mahkamah boleh memerintahkan satu jawatankuasa dilantik. Jawatankuasa ini akan diberi masa enam bulan untuk menilai sama ada wajar mereka kembali sebagai suami isteri atau sebaliknya. Seorang suami dilarang merujuk dengan maksud jahat seperti bertujuan untuk menyakiti atau menganiaya isteri yang hendak dirujuk.
Ini berdasarkan Surah al-Baqarah ayat 231: "Dan janganlah kamu pegang mereka (rujuk semula) dengan maksud memberi mudarat kerana kamu hendak melakukan kezaliman terhadap mereka. Sesiapa yang melakukan demikian, maka sesungguhnya dia menganiaya dirinya sendiri. Janganlah kamu menjadikan ayat hukum itu sebagai ejekan dan permainan".
Dari segi hukum rujuk, wajar diperhatikan bahawa hukum asal bagi rujuk adalah harus tanpa dikaitkan dengan perkara lain. Adalah makruh hukumnya bagi rujuk jika perceraian itu adalah lebih baik kepada kedua-dua pasangan suami dan isteri. Sunat rujuk sekiranya suami bertujuan memperbaiki rumah tangga dan masih menyayangi dan ingin memperbaiki keadaan isterinya.
Manakala hukumnya adalah haram jika suami rujuk dengan tujuan membalas dendam atau menzalimi isteri. Merujuk kepada kes saudara, saudara mempunyai hak untuk merujuk isteri saudara tapi hendaklah dengan tujuan baik. Kuasa rujuk di tangan saudara sebagai suami tidak kira atas kemahuan isteri mahupun kemahuan saudara walaupun isteri tidak bersetuju dengannya. Bagaimanapun, rujuk yang dibuat oleh isteri adalah tidak sah. Rujuk juga perlu dilafazkan oleh suami menggunakan lafaz yang jelas menunjukkan berlaku rujuk.
Jawapan disediakan Exco Penerbitan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) Yusmawati Abllah
Berita Harian 15/10/2009
Selasa, Oktober 13, 2009
Berdoa untuk kasih sayang
Adakah jatuh talak sekiranya selepas solat saya berdoa begini, "Ya Allah ya tuhanku ketika ini aku tiada lagi perasaan cinta dan sayang dalam diriku terhadap isteriku, sekiranya perpisahan dan perceraian adalah yang terbaik untuk kami berdua?
JAWAPAN:
Tidak jatuh talak seseorang yang berdoa seperti mana yang dinyatakan. Namun demikian dinasihatkan agar anda berdoa supaya Allah SWT menyuburkan kembali kasih sayang anda suami isteri serta dapat menunaikan amanah dan tanggungjawab masing-masing sehingga akhir hayat.
Doa merupakan senjata orang-orang mukmin, maka berdoalah untuk memohon kebaikan hidup dan rahmat Allah.
SOALAN 2:
Apakah hukum khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan yang bukan mahram? Saya berkenalan dengan bakal suami secara tidak sengaja melalui SMS dan agak 'larut' dalam perhubungan begini sebelum terikat dengan perkahwinan yang sah.
JAWAPAN:
Anda disarankan supaya tidak meneruskan SMS yang bertentangan dengan hukum syarak. Jika calon suami anda berkemampuan dan bersedia untuk mendirikan rumah tangga segeralah berkahwin.
Ini bertepatan dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Wahai Pemuda-pemuda sekiranya kamu berkemampuan untuk berkahwin maka bersegeralah kamu berkahwin. (riwayat Bukhari dan Muslim).
SOALAN 3:
Apa hukum kemesraan seorang kakak dengan adik lelaki kandung, contohnya perbuatan mencium pipi atau memeluk kakaknya? Adakah ia berdosa?
JAWAPAN:
Tidak berdosa kerana perbuatan mencium pipi atau memeluk itu adalah gambaran kasih sayang. Mungkin perkara tersebut janggal dalam budaya Melayu kerana masyarakat kita tidak mengamalkan perbuatan itu untuk menunjukkan kasih sayang sesama mahram.
Perkara itu menjadi perkara biasa dalam amalan budaya Arab dan barat. Harus mengamalkan perkara tersebut bagi menunjukkan kasih sayang dan keakraban kita sesama ibu bapa dan adik beradik.
Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang tidak mengasihani dia tidak akan dikasihi. (riwayat Bukhari).
Namun, jika seorang mahram mencium atau memeluk mahramnya yang lain dalam keadaan ghairah dan menimbulkan fitnah maka hukumnya adalah haram dan berdosa.
Jumaat, Oktober 02, 2009
Suami kahwin pembantu rumah
Saya seorang guru dan sudah berkahwin lebih enam tahun lalu. Saya mempunyai seorang anak berusia empat tahun. Masalah bermula selepas kami mengambil pembantu rumah pada akhir tahun lalu.
Rupa-rupanya suami dan pembantu rumah sudah bercinta di luar pengetahuan saya. Pada awal tahun ini, saya ditinggalkan suami kerana ingin berkahwin dengan bekas pembantu rumah kami. Oleh kerana suami sudah meninggalkan saya hampir sembilan bulan tanpa nafkah, saya tidak dapat bersabar dan berhasrat memohon cerai.
Malangnya, saya tidak tahu di mana suami tinggal sekarang sedangkan ketika ke mahkamah syariah, pegawai mahkamah memberitahu bahawa saya perlu mengetahui alamat suami terlebih dulu. Menurut pegawai berkenaan, kes saya akan menjadi lebih lama untuk diselesaikan kerana saya perlu menyampaikan saman kepada suami. Pegawai terbabit juga mencadangkan saya menggunakan khidmat peguam. Apakah yang harus saya lakukan?
*Salbiah Abdullah,
Ampang, Selangor.
Jawapan:
Nasihat pegawai di mahkamah bahawa puan perlu mengetahui alamat suami, adalah benar. Pada asasnya apabila puan memulakan tindakan mal seperti memohon fasakh, taklik atau perceraian biasa, ia akan bermula dengan saman dan penyata tuntutan.
Puan perlu menyediakan dokumen itu dan perlu diserahkan kepada suami atau dipanggil defendan dalam kes ini. Ia bagi memberi peluang kepada defendan menjawab atau membela tuntutan yang difailkan terhadapnya.
Perkara itu ditetapkan dalam peruntukan Enakmen Tatacara Mal Negeri. Mahkamah perlu mendengar pendirian dan keterangan daripada kedua-dua pihak sebelum dapat menjatuhkan penghakiman yang adil.
Cara penyampaian saman pula secara kendiri iaitu dengan menyerahkan saman bermeterai kepada defendan dan diperiksa olehnya. Saman itu perlu diserahkan kepada beliau. Jika defendan enggan menerima saman itu, ia boleh ditinggalkan berhampiran dengannya dan perhatiannya diarahkan kepada saman berkenaan.
Saman itu perlu diserahkan kepada defendan dalam tempoh 12 bulan daripada tarikh ia dikeluarkan. Ini bermakna puan perlu menyerah atau menyebabkan diserah saman itu dalam tempoh berkenaan.
Jika tempoh itu sudah atau akan luput, puan hendaklah dengan segera membuat permohonan di mahkamah bagi melanjutkan tempoh sah saman itu.
Sebenarnya puan boleh memohon kepada mahkamah syariah untuk mendapatkan suatu perintah yang dinamakan perintah penyampaian ganti.
Jika mahkamah berpuas hati atas alasan yang mencukupi bahawa saman itu tidak dapat disampaikan secara kendiri seperti dinyatakan di atas, mahkamah boleh memerintahkan saman itu disampaikan dengan cara menampalkan suatu salinannya pada papan kenyataan mahkamah dan di tempat yang mudah dilihat pada alamat defendan yang terakhir atau cara lain difikirkan patut oleh mahkamah.
Mahkamah juga boleh membuat perintah supaya penyampaian ganti dibuat melalui iklan dalam akhbar tempatan jika difikirkan patut.
Penyampaian ganti bermakna, walaupun secara fizikalnya defendan tidak membaca notis tampalan atau iklan dalam akhbar, tetapi kesan tindakan itu di sisi undang-undang seolah-oleh defendan sudah menerima saman itu secara kendiri.
Apabila sempurna penyampaian ganti itu, mahkamah perlu menyifatkan saman itu sudah disampaikan kepada defendan. Selepas penampalan dan pengiklanan dibuat, puan perlu memfailkan afidavit penyampaian bagi membuktikan penyampaian ganti sudah dilakukan seperti diperintahkan mahkamah.
Jika puan sudah mendapat perintah penyampaian ganti dan melakukan penyampaian seperti diperintahkan, puan boleh memohon kes dibicarakan.
Perkara kedua adalah mengenai tindakan atau kaedah perceraian mana yang boleh digunakan dalam tuntutan atas alasan ditinggalkan tanpa nafkah. Puan boleh menggunakan kaedah taklik atau fasakh atas alasan yang sama. Puan mesti mendapatkan bahan bukti dan keterangan untuk menyokong dakwaan serta tuntutan puan.
Perkara ketiga adalah mengenai nasihat pegawai supaya puan menggunakan khidmat peguam syarie juga adalah benar. Ini bagi memudahkan puan sebagai orang awam.
Dengan adanya peguam syarie, ia akan memudahkan urusan dengan mahkamah. Jika puan kurang berkemampuan untuk menggunakan khidmat peguam syarie berbayar, boleh mendapatkan nasihat dari Biro Bantuan Guaman (BBG) berdekatan.
Jumaat, September 04, 2009
Masih muda untuk bercinta
Sumber : Utusan Malaysia
NAMA saya Suria, saya berumur 20 tahun dan bekerja di salah sebuah syarikat yang agak terkenal di Johor. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang berumur 20 tahun dan bekerja sebagai Juruteknik di Johor. Saya telah mengenalinya sejak setahun yang lalu.
Kami bercinta atas dasar cinta sesama kami. Dia telah berjanji akan melamar saya satu masa nanti. Masalahnya, ibu saya tidak merestui hubungan kami, kata ibu lagi dia inginkan saya mencari teman yang lain atau dia yang akan mencarinya sendiri. Dia juga pernah berkata teman lelaki saya ini budak kampung, muka tak lawa dan pelbagai lagi.
Saya hanya mendengar dan menipu ibu saya dengan mengatakan kami hanya berkawan, namun pada hakikatnya saya begitu menyayanginya. Saya juga pernah memberitahunya mengenai hal ini. Dia begitu marah dan kesal dengan sikap ibu saya. Jadi saya mengambil keputusan untuk meminta putus daripadanya.
Tetapi saya juga pernah terfikir mungkinkah ibu tidak menyukai lelaki itu kerana dia tidak mahu saya bercinta lagi kerana masih muda untuk memikirkan soal hati dan perasaan atau mungkinkah dia memandang harta.
Keluarga teman lelaki saya bukanlah seorang yang kaya tetapi bagi saya itu semua tidak penting. Hanya sikapnya yang sangat baik dan begitu menjaga saya dan menyayangi saya paling utama.
n Gadis mentah, Muar, Johor
Gadis mentah,
Pada usia yang muda, 20 tahun, pelbagai perkara boleh dilakukan selain memikirkan soal cinta. Adik sendiri pernah terfikir mungkinkah ibu tidak menyukai lelaki itu kerana adik masih muda untuk bercinta atau mungkinkah dia memandang harta.
Sebenarnya, bagi menjawab persoalan tersebut, adik perlu berterus terang dengan ibu adik. Nasihat Putri, dalam meniti sebuah perhubungan cinta, restu ibu bapa amat penting. Adik boleh jadikan ibu sebagai teman berbicara untuk meminta pendapat dan berkongsi masalah.
Bercinta atas dasar cinta sahaja tidak cukup kerana cinta itu lahir daripada perasaan dalam diri yang memerlukan komitmen pada masa hadapan.
Perkara asas dalam bernikah
SOALAN:
Saya ingin penjelasan tentang suatu perkara, iaitu yang berkaitan dengan hukum nikah. Apakah keperluan asas untuk bernikah?
Ada orang yang menyatakan, jika dalam keadaan yang tertentu, contohnya, dalam keadaan yang terdesak dan terpaksa, dan tiada cara lain untuk mengatasi masalah, dan untuk mengatasi dosa zina terutamanya, nikah itu sah dengan hanya adanya mas kahwin, Allah dan para malaikat sebagai saksi, tak perlu ada saksi atau wali yang lain. Tolong beri penjelasan tentang hal ini.
Jawapan:
Hukum-hakam yang berkaitan dengan bab nikah tetap sama seperti yang diajarkan dalam Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Syariah Islamiah semasa di tingkatan lima di sekolah menengah. Atau pun kursus-kursus pra-perkahwinan yang diwajibkan oleh jabatan agama negeri masing-masing dan ia telah konsisten seumpama itu sejak zaman Nabi Muhammad SAW.
Asasnya terletak pada rukunnya yang lima atau biasanya diakronimkan sebagai SISWA di sekolah iaitu:
(1) Suami iaitu pengantin lelaki
(2) Isteri iaitu pengantin perempuan
(3) Saksi iaitu dua orang saksi pernikahan terdiri daripada dua orang lelaki yang adil
(4) Wali kepada pengantin perempuan seperti bapanya
(5) Akad iaitu lafaz ijab dan qabul
Kelima-lima rukun ini perlu dipenuhi syarat-syaratnya barulah sesuatu akad nikah itu sah hukumnya kerana ia adalah perkara asas bab nikah dalam ajaran agama Islam untuk menghalalkan hubungan di antara kedua-dua orang pengantin.
Sebaliknya, kekurangan mana-mana rukun akan memberi kesan batalnya hukum nikah dan hubungan di antara kedua-dua mempelai tidak sah, bahkan statusnya sama sahaja dengan hubungan yang tidak halal. Nauzubillah.
Contohnya ‘tiada wali’ seperti yang disebut oleh penanya di atas, hadis di bawah secara terang-terangan menghukumkannya batal atau tidak sah, yang bermaksud: Dari ‘Urwah r.a dari Aisyah r.a dari Nabi SAW bahawasanya baginda telah bersabda: “Mana-mana perempuan yang bernikah tanpa izin walinya, maka pernikahannya itu batal”. (Baginda mengulangi lafaz hadis sebanyak tiga kali menandakan keseriusan hukum ini). [Sumber: Musnad al-Shafie, juzuk 1, halaman 220]
*Perhatian: Hadis mengenai ‘tidak sah nikah tanpa wali’ ini disebut di dalam hampir kesemua kitab-kitab hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Ibnu Hibban, Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayni oleh al-Hakim, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Bayhaqi al-Kubra, Sunan al-DaruQutni, Musnad al-Shafie, Sunan Abu Daud, Sunan al-Kubra oleh al-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah.
Sebagai seorang Muslim warganegara Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Imam al-Shafie, maka kita hendaklah mematuhi hukum-hukum fikah yang telah digariskan oleh beliau.
Berbalik kepada usul penanya tentang ‘bernikah tanpa wali dan saksi, ternyata ia bertentangan dengan pendirian Imam al-Shafie yang menyebut hadis marfu’ ini dalam kitabnya Musnad al-Shafie, juzuk 1, halaman 220 dan 291 yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: “Tiada pernikahan kecuali dengan (kehadiran) wali mursyid dan dua orang saksi (lelaki) yang adil”.
Al-Baihaqi juga ada menyebut bahawa Imam al-Shafie ada meriwayatkan hadis yang sama tetapi bersanadkan al-Hasan bin Abu al-Hasan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tiada pernikahan kecuali dengan (kehadiran) wali mursyid dan dua orang saksi (lelaki) yang adil”. [Sumber: Sunan al-Baihaqi al-Kubra, juzuk 7, halaman 125, bilangan hadis: 13497]
Di dalam Islam, adalah sesuatu yang penting untuk memeriksa peribadi seseorang yang membuat sesuatu kenyataan sebelum menerima apa-apa yang diperkatakannya seperti panduan al-Quran dalam Surah al-Hujuraat, ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (berita tersebut dahulu untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak mengakibatkan sesuatu perkara buruk atau kecelakaan (yang tidak diingini) kepada sesuatu kaum berpunca daripada kejahilan kamu (mengenainya) sehingga membuatkan kamu menyesal atas apa yang telah kamu lakukan.
Oleh yang demikian, kita perlu menyelidik autoriti orang yang dimaksudkan dengan, ‘ada orang yang menyatakan…sekian, sekian’ terlebih dahulu bagi menentukan sama ada ia adalah kenyataan yang boleh diterima pakai atau perlu diabaikan.
Sementara pada pihak ustaz, hasil penyelidikan menemukan satu hadis (athar) berkaitan dengan soalan saudara yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam bab apa yang diharuskan pada pernikahan tanpa wali dan dua orang saksi berdalilkan harusnya hukum nikah dengan perempuan yang dihadiahkan (hibah) yang bermaksud: Dari Abu Sa’id r.a. berkata: Tidak sah sesuatu pernikahan itu kecuali dengan (kehadiran) wali, saksi dan mahar dengan pengecualian terhadap apa-apa dari (autoriti) Nabi SAW semasa hidupnya. [Sumber: Sunan al-Baihaqi al-Kubra, juzuk 7, halaman 6, bilangan hadis: 13137].
Kesimpulannya, kenyataan ‘orang’ yang dimaksudkan oleh saudara itu telah dijelaskan oleh hadis (athar) di atas.
Maka, tidak boleh tidak, anda mestilah memenuhi tuntutan hukum fikah bab munakahat untuk berkahwin. Tiada jalan pintas dibenarkan bagi menghalalkan hubungan di antara lelaki dan perempuan kecuali dengan bernikah secara yang sah di sisi agama Islam seperti orang lain telah lakukan.
Malahan, perkembangan teknologi semasa sepatutnya memudahkan kita semua untuk menyelesaikan apa jua masalah yang kita sebagai manusia mungkin hadapi sehingga logik membayangkan kewujudan ruang situasi ‘terpaksa dan terdesak’ atau ‘tiada cara lain’ menjadi semakin sempit kini.
Selasa, September 01, 2009
Mencukur bulu ari-ari sunat, rambut boleh diinai
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
SAYA ingin tahu apakah hukum mencukur bulu dan mewarna rambut baik bagi wanita mahu pun lelaki?
Iela
Lenggong, Perak.
Hukum mencukur bulu bergantung kepada keadaan. Dalam Islam, membersihkan bulu ari-ari adalah suatu perkara sunat yang amat dituntut.
Demikian juga mencabut bulu ketiak. Dalam sebuah hadis sahih riwayat Malik dalam al-Muwatta, al-Nasaei, Ibn Hibban, Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Lima perkara yang termasuk dalam fitrah iaitu berkhatan, mencukur bulu ari-ari, mencabut bulu ketiak, menipiskan misai dan memotong kuku.
Perbuatan mencukur bulu pada anggota lain makruh atau haram sekiranya dilakukan dengan niat menyerupai jantina yang lain. Ini termasuk usaha lelaki yang mencukur bulu roma dengan tujuan menyerupai perempuan.
Perkara ini jelas dinyatakan dalam hadis sahih riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan lain-lain bahawa Nabi melaknat perempuan yang menyerupai lelaki dan lelaki yang menyerupai perempuan.
Bagaimanapun, sekiranya seseorang itu menghadapi masalah seperti kesakitan atau alahan pada kulit, harus baginya mencukur bulu roma itu.
Mewarna rambut pula diharuskan malah Nabi pernah mengarahkan sahabat yang mempunyai banyak uban agar mewarnakan rambut agar hilang warna putih itu. Sebagai contohnya menerusi sebuah hadis yang diriwayatkan Muslim dalam sahihnya, Nabi menegur Abi Quhafah pada hari pembukaan Kota Makkah dengan kata baginda : "Ubahlah warna rambutmu ini, tetapi jauhilah warna hitam."
Berdasarkan arahan Nabi ini, kalangan ulama hadis contohnya al-Syaukani dalam Naiulul Awtar, menetapkan galakan memakai inai pada rambut dan janggut dengan warna kemerahan dan kekuningan. Tetapi bersandarkan hadis ini juga, jelas Nabi mengharamkan mewarnakan rambut dengan warna hitam.
Selasa, Ogos 18, 2009
Nafkah boleh diberikan dalam pelbagai bentuk
Bersama Ustaz Zahazan Mohamed
bminggu@bharian.com.my
Memasukkan wang dalam akaun isteri sudah dianggap menunaikan tanggungjawab
PERSOALAN saya mengenai pemberian nafkah kepada isteri. Apakah kita perlu melafazkan di depan isteri, setiap kali memberikan nafkah berkenaan. Bagaimana jika suami itu sering keluar bekerja sehingga tiga bulan lamanya yang memang tidak dapat melafazkan, tetapi sekadar menyerahkan wang nafkah itu menerusi cara pemindahan wang ke dalam akaun bank isteri.
Soalan kedua, jika kita bekerja di atas kapal melebihi tiga hari, adakah kita boleh mengerjakan solat jamak? Adakah selepas lebih tiga hari itu, kita perlu solat seperti biasa?
Ingin Tahu,
SELANGOR.
Perkataan nafkah ini dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja nafaqa yang bermaksud berjalan ataupun habis. Nafaqun pula merujuk pada jalan yang menembusi ke sesuatu arah. (Rujuk Mufradat Alfaz al-Quran oleh al-Asfahaniy hlm 818 )
Kemudian perkataan ini digunakan dalam erti yang lebih luas membabitkan pembiayaan atau perbelanjaan. Ada banyak penggunaan dalam al-Quran yang merujuk kepada pengeluaran harta, contohnya ayat ke 7 surah al-Talaq, maksudnya: "Hendaklah orang yang mampu memberi nafkah menurut kemampuannya dan sesiapa yang di sempitkan rezekinya, maka hendaklah dia memberi nafkah dari apa yang diberikan Allah kepadanya (sekadar yang mampu); Allah SWT tidak memberati seseorang melainkan (sekadar kemampuan) yang diberikan Allah kepadanya. (Orang yang dalam kesempitan hendaklah ingat bahawa) Allah SWT akan memberikan kesenangan sesudah berlakunya kesusahan."
bn Kathir dalam huraiannya menerusi Tafsir Ibn Kathir menjelaskan bahawa ayat ini diturunkan khusus memberikan peringatan kepada suami tentang tanggungjawab membiayai isteri dan anak kerana mereka adalah amanah yang wajib diselesaikan.
Secara dasarnya nafkah dalam Islam adalah disebabkan tiga perkara iaitu:
Maka berpandukan keterangan di atas suami diwajibkan membiayai anak dan isteri. Anak pula wajib membiayai ayah ibu yang susah dan tuan diwajibkan menyara hamba.
Kegagalan menjalankan tanggungjawab ini mengundang kemurkaan Allah SWT. Nabi SAW memberikan amaran dalam hadis sahih riwayat Abu Daud, al-Nasaei dan al-Bazzar yang bermaksud: "Cukuplah seseorang itu menjadi berdosa apabila dia mengabaikan orang yang berada di bawah jagaannya."
Dalam hadis yang lain mengenai kelebihan menjalankan kerja menyara keluarga ini Nabi pernah bersabda, dalam hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim: "Dan sesungguhnya engkau tidak membelanjakan satu belanja yang dengannya engkau menuntut keredaan Allah SWT, melainkan engkau diberikan pahala dengannya sehingga apa yang engkau suapkan ke mulut isterimu."
Mengukuhkan perkara di atas, Allah turut berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 233, maksudnya: "Dan kewajipan bapa ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya."
Menurut pakar tafsir Muhammad Ali al-Syaukani dalam tafsirnya Fath al-Qadir, ayat ini menggunakan ayat 'ke atas lelaki yang dilahirkan anak itu untuknya (bapa) bagi memberitahu tanggungjawab suami adalah menjaga kepentingan isteri dan anak yang diperoleh daripadanya itu. Ini berterusan selagi isteri itu belum diceraikan. Menurut beliau lagi, kadar makanan dan bentuk pakaian yang dimaksudkan itu merujuk pada adat kebiasaan setempat.
Kalangan ulama mazhab al-Syafie contohnya Al-Imam al-Nawawi menjelaskan dalam al-Majmuk, berdasarkan ayat ke-233 ini, suami berkewajipan menyediakan untuk isteri nafkah jenis makanan tempatan.
Apabila kita mengkaji sirah kalangan sahabat yang berhubungkait hubungan suami isteri, kita akan lihat suami mempunyai kaedah yang berbeza-beza menangani perbelanjaan rumah tangga. Sebagai contohya Abd Rahman bin Auf yang sentiasa memaklumkan kadar nafkah yang akan diberikan pada isteri.
Sebaliknya Ali bin Abi Talib pula tidak melakukan perkara itu sehingga ada hadis sahih riwayat al-Bukhari dan Muslim isteri kepada Ali iaitu anak perempuan Nabi Fatimah datang kepada Nabi mengadu kesusahan hidup dan memohon agar diluluskan peruntukan pembantu rumah untuk beliau.
Kedua-dua riwayat ini menunjukkan suami di kalangan sahabat mempunyai pendekatan yang berbeza dalam perkara ini. Berpandukan hujah syarie di atas jelaslah kepada kita mengenai kepelbagaian kaedah menyara keluarga membabitkan isteri dan anak. Nafkah itu wajib dilaksanakan, cuma kaedahnya boleh dipelbagaikan sama ada diberikan terus dalam bentuk kewangan, atau penyediaan makanan. Selagi ia memenuhi keperluan isteri dan anak, jelas kepada kita Islam tidak membataskan kepada bentuk pemberian secara khusus. Justeru, suami yang membiayai perbelanjaan isteri menerusi bayaran terus ke akaun dianggap sudah menjalankan tanggungjawabnya seperti yang dituntut syarak.
Bagi persoalan kedua, Islam membenarkan seseorang itu melakukan solat musafir yang membabitkan jamak dengan syarat yang tertentu. Solat seperti ini adalah suatu kemudahan yang disifatkan sebagai sedekah seperti yang dijelaskan dalam sebuah hadis sahih riwayat Muslim (No 686).
Malahan seseorang yang bermusafir itu juga dibenarkan mengerjakan solat secara qasar iaitu meringkaskan solat yang empat rakaat menjadi dua. Solat yang dimaksudkan adalah solat Zuhur, Asar dan Isyak.
Ini adalah berlandaskan firman Allah dalam surah al-Nisak ayat 101, maksudnya: "Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa 'mengqasarkan' (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu."
Antara syarat untuk melakukan solat musafir ini adalah perjalanan itu melebihi dua marhalah iaitu 90 kilometer dan bukannya bertujuan maksiat. Sekiranya saudara bekerja sepanjang waktu di atas kapal menuju ke pelbagai tempat, maka perjalanan yang dilalui itu dianggap musafir yang membolehkan solat dilakukan secara jamak dan qasar. Cuma apabila tinggal tetap di sesuatu tempat melebihi empat hari tidak termasuk hari datang dan pulang, maka secara automatik gugurnya kelayakan melakukan solat musafir kerana sudah dianggap mukim.
Isnin, Ogos 10, 2009
Bertudung sebab kekasih
Sumber : Utusan Malaysia
ASSALAMUALAIKUM kak putri dan pembaca ruangan ini..
Hati saya terdetik untuk meluahkan apa yang terpendam di hati ini. Sebelum itu, biarlah saya mengenalkan diri terlebih dahulu. Nama saya Miza, saya berumur 20 tahun dan baru menamatkan pengajian di salah sebuah IPTA. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang berumur 20 tahun juga dan dia masih menuntut di salah sebuah IPTA lain di Malaysia. Saya telah mengenalinya sejak setahun lalu. Yang menjadi masalah kami ini adalah dia tidak boleh menerima cara pemakaian saya dan juga pergaulan saya.
Saya bukanlah dikategorikan sebagai seorang perempuan yang sosial dan juga seorang seksi. Pernah dulu saya mengikut caranya dengan mengubah imej dengan bertudung, tapi setelah saya mengikut caranya masih ada lagi yang tak kena sehinggakan saya dah tak tahu untuk berbuat apa lagi. Dalam perhubungan kami yang telah hampir setahun ini, berbagai bagai dugaan yang telah kami tempuhi yang kadangkala membingungkan hati dan perasaan saya.
Kami pernah berpisah ke seminggu, sebulan lamanya. Tetapi dia tak dapat melupakan saya, dan kami pun menyambungkan hubungan kami semula. Saya tak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan untuk dia supaya dia boleh menerima saya seadanya dengan menerima kebaikan dan keburukan diri saya ini.
n Yang Bingung, Perak
Yang Bingung,
BERCINTA itu memang indah namun pelbagai cabaran yang perlu kita lalui untuk merasai nikmatnya. Tidak perlu gusar jika anda benar-benar yakin cinta tersebut. Perselisihan sering terjadi hingga mengundang salah faham. Putri yakin adik cuba memuaskan hati kekasih.
Namun, jangan sampai ia membuatkan adik berasa runsing. Menurut cerita adik, dia tidak boleh menerima cara pemakaian dan pergaulan adik. Namun, adik bukanlah seorang yang sosial. Apa yang membuatkan adik risau ialah setiap perubahan yang adik lakukan menjadi serba tidak kena di depan kekasih adik. Cinta bukanlah berdasarkan penampilan semata-mata. Jika benar kekasih adik menyintai adik, dia akan menerima diri adik seadanya.
Mungkin juga dia inginkan adik berpakaian lebih sopan. Jika bertudung, mungkin pakai baju yang longgar. Bagi menjernihkan hubungan tersebut, adik perlu berbincang dengannya. Tanya apa yang dia inginkan. Tetapi lakukannya dengan ikhlas.
Pesan Putri, jangan mengubah penampilan semata-mata kerana kekasih. Perubahan perlu dilakukan dari hati tanpa paksaan. Semoga adik dan kekasih peroleh jalan penyelesaian dan bahagia.
Jumaat, Ogos 07, 2009
Hukum menikahi wanita yang hamil
Apa hukumnya menikahi wanita yang sedang hamil (luar nikah). Benarkah jika seorang lelaki menikahi wanita yang hamil terlebih dahulu hukumnya tidak sah dan harus menikah sekali lagi jika anak yang di kandung sudah lahir? (sesudah anak berusia 40 hari).
Apakah status anak itu kerana setahu saya anak tersebut tidak boleh dibinkan menurut nama si ayah dan jika anak itu perempuan maka si ayah tidak boleh menjadi wali.
Jawapan:
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami, hukum tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai 'zina' dalam bidang fikah adalah fatwa mazhab Maliki.
Namun tidak disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti berusia 40 hari atau lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.
Mazhab ini mensyaratkan lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana wanita yang terlibat dengan zina perlulah memastikan rahimnya suci terlebih dahulu. Caranya, dengan menunggu sehingga tempoh tiga kali datang bulan (haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan dari saat terakhir dia melakukan zina (al-istibra').
Jumhur ulama bersepakat mewajibkan istibra' demi menjaga kesucian susur galur keturunan kerana ia akan melibatkan status anak sah taraf atau tidak untuk dibinkan kepada suami yang dikahwini setelah zina berlaku, kemudian masalah wali kahwin bagi anak perempuan dan masalah pewarisan harta dari segi hukum-hakam Islam.
Jika syarat ini diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya dihukumkan fasid atau rosak yakni tidak sah di mana perpisahan dihukumkan wajib bagi pasangan tersebut; sama ada zahir pada wanita itu tanda-tanda hamil atau tidak.
Jika wanita itu didapati mengandung hasil hubungan zina, maka istibra'nya ialah kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum wanita itu bersalin berdasarkan hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya). (riwayat Abu Daud dan juga oleh al-Tirmizi yang menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz 'anak orang lain').
Termasuk satu lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita tawanan perang Awtas susulan daripada peperangan Hunain yang dibahagi-bahagikan kepada para pejuang yang bermaksud: "Tidak disetubuhi seorang wanita hamil itu sehingga bersalin".
Syarat ini juga digunapakai dalam mazhab Hanbali terutamanya bagi lelaki yang telah mengetahui status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seorang lelaki menyetubuhi seorang wanita yang hamil bukan dari benihnya".
Syarat tambahan mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha terhadap dosa besar yang telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya daripada hukum asal al-Quran ke atas penzina: Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina pula tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman. (al-Nur: 3)
Lebih-lebih lagi jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang diisyaratkan di akhir ayat tersebut.
Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Seseorang yang benar-benar bertaubat daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang suci daripada segala dosa".
Kemudian baginda membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 222: Sesungguhnya Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka bertaubat dan sentiasa menjaga kesucian.
Sementara mazhab Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain jika dapat dipastikan wanita itu tidak hamil.
Jika wanita itu hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak boleh menyetubuhi wanita itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat 23-24 dari surah al-Nisaa' yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram dinikahi:
Telah diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan anaknya). Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang masih berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Hukumnya haram ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan) ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain daripada yang disebut (di atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan memperisterikannya dengan harta kamu dengan menikahinya secara yang sah, bukan secara berzina… (an-Nisaa': 23 dan 24).
Pendapat ini dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan perlakuan zina wanita yang telah berkahwin: Anak yang dilahirkan itu bagi empunya kamar tidur (iaitu hak suami yang sah), dan batu bagi penzina (rejam). Ia menggambarkan bahawa air mani penzina tidak mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.
Mazhab ini bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang mengharamkan persetubuhan kepada lelaki yang mengahwini wanita yang mengandung bukan dari benihnya. Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan hadis yang sama: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya)". (riwayat Abu Daud).
Mazhab Syafie pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.
Perbuatan haram mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan pernikahan yang sah di mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh jumhur ulama.
Nasab bayi
Menurut fatwa jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan berkahwin, maka anak itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.
Jika kurang dari tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali dia berkeras mengaku bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada bukti jelas ia adalah hasil daripada hubungan zina terutamanya dalam menjaga maruah seorang Muslim.
Tempoh minimum enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di mana pada masa pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang melahirkan anak setelah enam bulan mengandung.
Dia telah dibawa menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan menjalani hukum rejam. Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali lalu beliau berkata: Wanita itu tidak sepatutnya direjam.
Kata-kata beliau akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus menghantar utusan bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.
Saidina Ali terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga genap tempoh dua tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses penyusuan…. Kemudian beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang bermaksud: Dan tempoh mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya mengambil masa selama 30 bulan….
Perbezaan kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan - 24 bulan bersamaan dengan 6 bulan).
Jadi, kelahiran itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian, mereka telah membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.
Hanya status undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh berbinkan suami kepada wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya tidak boleh berwalikannya.
Menurut fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10 Jun 2003 penjelasan istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti berikut:
*Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;
*Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah; dan
*Anak yang dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak seperti proses li'an.
Jumaat, Julai 31, 2009
Anak tuntut nafkah
IBU bapa saya telah berpisah sejak setahun lalu. Sejak berpisah, bapa tidak pernah mempedulikan tentang anak-anaknya.
Ibu terpaksa bekerja untuk menampung perbelanjaan rumah dan persekolahan kami adik-beradik.
Setahu saya, walaupun ibu dan ayah telah bercerai tetapi tanggungjawab ayah untuk memberi nafkah kepada kami adik-beradik tidak terhenti. Bolehkah SIS jelaskan dengan lebih lanjut.
Anak terbiar,
Kg. Baru KL.
Jawapan:
Pertalian darah antara anak dan bapa tidak terputus meskipun sesuatu perkahwinan itu telah berakhir. Bapa tetap perlu menjalankan tanggungjawabnya untuk memberi nafkah kepada anak-anak sehingga tamat pengajian peringkat tertinggi dan mampu berdikari.
Sesungguhnya kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak merupakan perkara yang jelas dan dinyatakan dalam perundangan Islam di Malaysia dan juga hukum syarak.
Kita boleh lihat kewajipan bapa memberi nafkah dengan merujuk kepada surah al-Baqarah ayat 223 yang bermaksud, "…dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada (ibu dan anaknya itu) menurut cara yang adil…"
Berdasarkan ayat inilah maka Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 memperuntukkan seksyen 72 yang menyatakan bahawa adalah kewajipan bapa untuk memberi nafkah kepada anak-anak, tidak kira sama ada anak-anak itu di bawah jagaannya atau orang lain. Seksyen ini juga menyatakan bapa perlu menyediakan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan dan pelajaran atau sebagai gantinya, kos kepada perkara-perkara tersebut.
Manakala Seksyen 59(1) mentafsirkan nafkah sebagai "…tempat tinggal, pakaian, makanan, dan pelajaran sebagaimana yang munasabah memandang kepada kemampuan dan taraf kehidupannya atau dengan membayar kosnya."
Dalam menentukan kemampuan bapa pula, antara faktor-faktor yang akan dipertimbangkan oleh Mahkamah ialah pendapatan dan tanggungan lain bapa dan sebagainya.
Kita boleh merujuk kepada kes Mohamed lawan Selamah (1980) 2 JH 95, di mana ibu telah memohon nafkah anak-anak yang berusia 13 dan 9 tahun sebanyak RM90 sebulan bagi kedua-dua anaknya. Bapa menyatakan bahawa pendapatan beliau ialah RM120 sebulan. Mahkamah juga telah mendapati bahawa bapa tidak mempunyai tanggungan lain dan tinggal bersama ibubapanya yang menjaga makan minum bapa ini. Mahkamah telah memutuskan bahawa bapa membayar RM70 sebulan sebagai nafkah anak-anaknya. Ini merupakan 58 peratus daripada pendapatan bulanan bapa.
Alasan bahawa bapa tidak bekerja tidak boleh digunakan bagi mengelak pembayaran nafkah.
Nafkah merupakan hak seorang anak dan ia mestilah ditunaikan. Anak tidak boleh "dihukum" dengan mengurangkan nafkahnya apabila terjadi perceraian. Ini tidak adil bagi anak tersebut. Bapa haruslah berusaha untuk memberi yang terbaik kepada anaknya termasuklah jumlah nafkah yang adil.
Sesuatu kadar nafkah yang telah diperintahkan oleh mahkamah tidaklah kekal dan boleh diubah. Ia boleh diubah mengikut kemampuan bapa dan anak-anak. Nafkah anak yang masih kecil tentunya tidak sama jika anak tersebut telah bersekolah. Justeru itu Seksyen 62 Enakmen menyatakan bahawa Mahkamah berkuasa untuk mengubah sesuatu perintah pembayaran nafkah jika sesuatu perubahan telah berlaku.
Oleh itu jelaslah di sini bahawa bapa wajib memberi nafkah kepada anak-anaknya walaupun telah berlaku perceraian.
Sumber : Utusan Malaysia
Jangan mudah minta cerai
Saya berkahwin pada tahun 2006 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun. Saya bercerai pada April 2009. Untuk pengetahuan ustaz, saya yang pohon cerai kerana kami sudah tidak tinggal bersama sejak tahun 2008.
Selain itu, suami juga mengabaikan tugasnya sebagai suami dan ayah. Saya dibiarkan seperti gantung tidak bertali. Jadi saya minta cerai, berdosakah saya ustaz? Adakah saya dikategorikan sebagai isteri nusyuz?
Suami juga tidak pernah solat, dan bila saya suruh atau nasihat, dia kata solat tidak boleh dipaksa. Biar dapat hidayah, baru akan solat. Walaupun suami baik, dia agak berkira bab duit dengan saya dan selalu dengar cakap emak dan kakak sahaja. Pandangan saya langsung tidak dipeduli.
Saya runsing memikirkan hal ini. Bagaimana saya dapat meneruskan hidup ini terutama memberi kehidupan yang sempurna kepada anak?
JAWAPAN:
Saya tidak tahu kenapa puan bercerai dengan begitu cepat. Kalau ikutkan puan baru berumahtangga sejak 2006, maksudnya belum sampai belum sampai tiga tahun puan sudahpun tuntut cerai.
Mungkin ada sesuatu yang puan tidak dapat menanggung atau puan tidak dapat bersabar dengan perangai suami. Meminta cerai dari suami kadang-kadang menjadi tabiat sesetengah wanita yang tidak sabar dengan kerenah suami.
Di dalam menjaga hak seorang isteri Islam memperuntukkan fasakh (membatalkan nikah) yang boleh dituntut oleh isteri dari kadi atau hakim Mahkamah Syariah bagi dengan alasan yang syarie bagi membatalkan nikah mereka.
Takrifnya, fasakh adalah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.
Hikmah fasakh dinyatakan ada tiga perkara seperti berikut:
* Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.
* Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.
* Menunjukkan keunggulan syariat Allah SWT yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-Nya.
Berdosa atau tidak puan dalam menuntut cerai itu urusan Allah SWT. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam rumahtangga puan.
Sebenarnya setiap pasangan suami isteri adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga ikatan pernikahan sehingga ke akhir hayat serta mencari jalan bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul.
Masalah sebenarnya bukan rekaan Allah SWT untuk sengaja menyusahkan hambanya. Malahan manusia sendiri yang mendedahkan dirinya atas sesuatu kejahatan dan kesalahan dan harus bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri tanpa menyalahkan sesiapapun.
Suami tidak bertanggungjawab antara alasan puan, bukan suami puan seorang yang tidak bertanggungjawab malah ramai lagi lelaki yang sama macam perangai bekas suami puan. Bayangkan sahaja kalau kesemua mereka meminta cerai?
Puan juga mendakwa bekas suami tidak solat. Dia tidak solat sejak bila? Kalau dia tidak solat sejak puan kenal dia dan tiba-tiba didakwa dia tidak jaga solat, menjadi alasan mengapa puan tidak sukakan dia, itu adalah kurang tepat. Peliknya manusia apabila tidak suka semuanya nampak buruk.
Saya kalau boleh tidak mahu rumahtangga orang Islam dirobohkan dengan sewenang-wenangnya. Saya mahu mengajak kaum muslimin berusaha mempertahankan rumahtangga, keruntuhan institusi keluarga adalah permulaan kepada permasalahan negara.
Mengikut kajian, kebanyakan anak-anak serta remaja yang berpeleseran adalah berpunca daripada broken family. Dalam persoalan ini jika puan mempunyai alasan yang kukuh dan syarie, maka tindakan puan tidaklah jatuh nusyuz. Malahan nusyuz itu sendiri membawa maksud yang lain.
Nusyuz bermaksud seorang isteri meninggalkan rumah tanpa izin suami, tidak taat kepada suami sedangkan suami melaksanakan tanggungjawabnya kepada ahli keluarga.
Suami hanya dengar cakap ibu dan kakak dia sedangkan cakap isteri tidak didengar. Adalah terlalu awal untuk puan menghukum suami dengan demikian.
Masalahnya kadang-kadang orang perempuan terlalu ingin melihat suami mendengar cakapnya dan kalau ada yang tidak didengar maka dituduh suami mendengar tak dengar cakap isteri.
Puan berumahtangga dari tahun 2006 hingga 2008 baru tiga tahun. Tetapi bekas suami puan menjadi anak kepada ibu untuk 30 tahun (kalau umurnya 30) begitu juga sebagai seorang adik kepada kakak-kakaknya.
Saya tidak nafikan bahawa suami mestilah meletakkan kepentingan isteri di hadapan tanpa menafikan kedudukan ibu bapa dan adik-beradik.
Sekarang puan sedih kerana kehilangan suami. Bukan mudah untuk melangsungkan kehidupan sebagai ibu tunggal. Untuk menghilangkan kesedihan puan kena banyak bersabar, terima apa yang berlaku sebagai takdir dari Allah ada hikmah di sebaliknya.
Jangan kenang yang sudah lepas kerana mengenang yang lepas akan jadikan puan terus diselubungi keresahan dan kesedihan sekali gus mengganggu aktiviti seharian. Dalam memberi pendidikan kepada anak, puan harus memainkan peranan sebagai seorang ibu dan ayah.
Adalah sukar bagi anak itu melalui kehidupan tanpa seorang ayah. Anak itu berhak mendapat kasih sayang dari ayahnya, jangan dihalang dan dibantah. Melainkan memang dikhuatiri sekiranya ayah boleh merosakkan masa anaknya dengan tabiat yang tidak baik.
Kebiasaannya mahkamah akan memerintahkan bekas suami menyediakan perbelanjaan yang secukupnya mengikut kemampuannya. Jika perbelanjaan yang diberi oleh suami masih tidak memadai hendaklah dipohon penambahan perbelanjaan anak melalui peguam.