#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Julai 01, 2010

Ketagih pil kuda

Oleh Rohaya Bu-za
am@hmetro.com.my
2010/07/01


HULU TERENGGANU: Ketika usianya 15 tahun, Nita (bukan nama sebenar) banyak menghabiskan masanya di pasar malam untuk mencari wang, tetapi bukan kerana mahu membantu keluarga yang susah sebaliknya bagi mendapatkan bekalan pil kuda.

Nita yang kini berusia 20 tahun, mula mengenali pil kuda ketika di tingkatan tiga apabila menemani rakan sekelasnya mengambil barang terlarang itu daripada seorang ‘tokan’ besar di Kuala Terengganu.

Bermula dengan mencuba dia kemudian tidak mampu menghilang perasaan ketagih sehingga sanggup melakukan apa saja untuk mendapatkan bekalan.

Menurut Nita, dia terasa sunyi selepas kematian bapa angkat yang rapat dengannya pada 2005.

Dia yang ditemui berkata, biarpun dirinya sekadar anak angkat, namun hubungan mereka akrab seolah-olah mempunyai pertalian darah yang kuat.

“Saya mula tinggal bersama ayah angkat ketika di tingkatan satu kerana desakan hidup. Ibu memberikan saya kepada keluarga angkat dan bermula dari saat itu ayah angkat menatang saya seperti minyak yang penuh sehinggakan saya seperti tidak mampu hidup lagi apabila dia meninggal dunia,’’ katanya.

Selepas bapa angkatnya meninggal dunia, katanya dia kembali tinggal bersama ibu kandung dan terpaksa berhenti sekolah sebelum bekerja di pasar malam untuk mendapatkan wang bagi menanggung perbelanjaan hariannya.

“Ketika tinggal bersama ibu kandung, saya amat tertekan kerana terlalu rindukan kasih sayang seorang ayah seperti yang saya dapat sebelum ini bersama ayah angkat. Saya mula menjalani hidup yang bebas sehinggakan kadangkala langsung tidak pulang ke rumah,’’ katanya.

Menurutnya, walaupun khayal melayan pil kuda dan tinggal bersama rakan-rakan lelakinya, seingatnya dia tidak pernah sekalipun menyerahkan tubuhnya kepada sesiapa.

Kata Nita lagi, pada akhir 2006 dia menemui seorang lelaki yang dirasakannya layak untuk dijadikan suami dan tanpa berfikir panjang menerima lamaran seorang pemuda bernama Razif berusia 21 tahun.

“Saya amat menyayangi Razif kerana dia sanggup menerima saya walaupun tahu latar belakang saya yang kurang baik. Dia juga berjanji menjaga saya sehingga akhir hayat dan beberapa bulan selepas itu, saya berkahwin dan kami mempunyai seorang cahaya mata setahun kemudian.

Pada awal perkahwinan kami, semuanya sempurna dan bahagia, tetapi selepas mempunyai anak, suami mula menunjukkan belang sebenar seperti sering pulang lewat ke rumah dan pada suatu hari, saya terbaca satu pesanan ringkas yang dihantar oleh seorang wanita kepada suami,’’ katanya.

Menurutnya, selepas ditanya, suaminya mengaku wanita itu kekasih dan sejak itu mereka sering bergaduh yang akhirnya membawa kepada perceraian.

Selepas bercerai, anaknya yang berusia dua tahun diserahkan kepada ibu saudaranya di Perak kerana dia tidak mampu membelanya berikutan ketika itu hanya membantu sepupu berniaga pasar malam dan meraih pendapatan sekadar cukup makan saja.

Kerana terlalu sunyi, Nita mula menghubungi rakan-rakan lamanya dulu bagi menghilangkan kebosanan dan tanpa berfikir panjang, dia mengambil semula pil kuda.

Bagaimanapun, pada tahun lalu, dia ditangkap polis ketika khayal melayan pil kuda bersama lima rakan lelakinya di sebuah pondok buruk.

Nita ditahan di Penjara Pengkalan Chepa selama sembilan bulan dan ketika itulah keluarganya baru mengetahui yang dia pernah mengambil pil kuda selama ini.

“Kini selepas keluar dari penjara, saya insaf dan ingin memulakan hidup baru. Sekiranya satu hari nanti saya mempunyai kerja tetap, saya akan mengambil balik anak saya dan memberikannya sepenuh kasih sayang,” kata Nita dengan linangan air mata kerana terlalu rindukan anaknya.

Sehingga kini, dia masih tidak mempunyai pekerjaan dan menumpang di rumah ibunya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan