#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Rompakan n Samun. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rompakan n Samun. Papar semua catatan

Jumaat, Julai 30, 2010

Disamun dalam pejabat

2010/07/30
Harian Metro


KUANTAN: Tindakan seorang wanita berusia 25, menolak pelawaan lima rakan sepejabat untuk makan tengah hari bersama bertukar mimpi ngeri apabila dia menjadi mangsa samun dalam kejadian di sebuah pejabat di Semambu, kelmarin.

Dalam kejadian pada jam 12 tengah hari itu, pekerja wanita berusia 25 tahun berkenaan yang bekerja di sebuah syarikat menjual barangan elektrik pada mulanya dipelawa rakannya untuk makan bersama namun memilih bersendirian di pejabat ketika waktu rehat.

Namun, tindakan wanita berkenaan ternyata silap apabila dia bukan saja diikat kaki dan tangan, malah mulutnya turut ditutup dengan pita pelekat oleh seorang lelaki tidak dikenali. Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) negeri, Superintendan Mohd Haris Daud, berkata pekerja wanita berkenaan hanya menyedari kehadiran lelaki terbabit sejurus dia keluar dari bilik air dan terkejut apabila suspek secara tiba-tiba meluru ke arahnya.

Katanya, lelaki berkenaan kemudian mengikat kaki dan tangan mangsa selain mulutnya ditampal pita pelekat.

"Selepas mengikat mangsa, suspek yang tidak bersenjata mengugut mangsa supaya mendiamkan diri jika tidak mahu dicederakan sebelum menggeledah pejabat berkenaan," katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Mohd Haris berkata, suspek berjaya mengambil wang tunai berjumlah RM3,852 milik syarikat berkenaan.

"Mangsa yang berjaya membuka ikatan selepas penyamun berkenaan melarikan diri kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan berhubung kejadian itu.

“Siasatan awal polis mendapati suspek memasuki pejabat berkenaan melalui pintu depan pejabat sebelum meluru ke arah mangsa dan mengikatnya," katanya.

Menurutnya, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan.

Selasa, Julai 13, 2010

Isteri sembunyi dalam tandas

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Suraya Roslan
am@hmetro.com.my
2010/07/13


KUALA LUMPUR: Bimbang dicederakan, seorang suri rumah terpaksa mencari perlindungan dengan berkurung di dalam tandas selepas rumahnya diceroboh seorang lelaki bersenjatakan besi runcing.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 malam kelmarin, mangsa terpaksa meninggalkan suaminya yang disergah lelaki terbabit sebaik mereka pulang dari menjamu selera di rumah mereka di Jalan Merpati Off Jalan Raja Laut di sini.

Mangsa yang juga pengurus pemasaran, Awang Hamsari Awang Hasbi, 41, berkata, ketika kejadian, dia dan isteri, Hani Hamid, 36, baru masuk ke rumah sebelum berjalan menuju bilik tidur dalam suasana masih gelap.

Menurutnya, sebaik membuka lampu bilik, dia tergamam apabila seorang lelaki bersenjatakan batang besi menyergahnya sebelum mengacukan senjata itu ke arahnya.

“Lelaki itu yang hanya memakai kemeja-T dan berseluar pendek mengugut saya supaya diam dan tidak menjerit jika tidak mahu dibunuh.

“Pada masa sama, isteri saya sempat melarikan diri dengan bersembunyi di dalam tandas,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit memaksanya menyerahkan semua barang berharga secepat mungkin.

“Bimbang nyawa saya dan isteri terancam, saya menyerahkan dua telefon bimbit selain wang RM500 dari poket seluar.

“Sejurus memperoleh barang dihajati, lelaki terbabit melarikan diri melalui pintu belakang rumah. Lelaki itu dipercayai memasuki rumah kami dengan mengumpil jeriji besi pada bahagian dapur,” katanya.

Menurutnya, dia sempat mengambil batang kayu dan cuba memukul lelaki terbabit dari belakang, namun dia terlebih dahulu meloncat keluar dan melarikan diri.

“Saya menjerit meminta tolong sebelum tujuh jiran berhampiran datang membantu dengan mengejar lelaki terbabit. Namun, lelaki itu sempat lari ke dalam semak dan dipercayai terjun ke dalam sungai berhampiran Jalan Tun Razak di sini.

“Berdasarkan bahasa dipertuturkan, lelaki terbabit dipercayai warga asing berusia 40-an,” katanya.

Mangsa yang kerugian kira-kira RM1,700 membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi di sini.

Pijak sampai pengsan

Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my
2010/07/13


JITRA: Hanya kerana seutas rantai tangan, dua peragut sanggup memijak tangan kanan seorang nenek berusia 68 tahun sehingga patah dalam satu kejadian ragut di Kampung Bukit Tinggi, Kepala Batas di sini, Khamis lalu.

Puteh Saad, 68, berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11 pagi ketika dia berseorangan berjalan kaki dari kedai runcit di Taman Tabung Haji, di sini untuk pulang ke rumahnya di kampung berkenaan kira-kira 100 meter dari situ.

Katanya, sebelum kejadian dia ternampak sebuah kereta dinaiki dua lelaki berusia 20-an mengekorinya, tetapi tidak mengesyaki apa-apa. Menurutnya, seorang daripada suspek turun dari kenderaan itu sebelum meragut rantai tangannya.

“Saya cuba melawan, malangnya saya jatuh tersungkur di atas jalan sebelum lelaki terbabit memijak tangan kanan saya. “Saya merayu supaya dilepaskan, tetapi tidak diendahkan,” katanya ketika ditemui, di rumahnya di sini, semalam. Puteh berkata, dia menjerit meminta tolong, tetapi tidak didengari sesiapa kerana kawasan itu sunyi dan pada masa sama suspek membuka radio keretanya dengan kuat.

Katanya, suspek kemudian mengacu pisau di lehernya sambil mengarahkan dia menyerahkan rantai tangannya menyebabkan dia takut dan berhenti melawan.

“Mereka memijak saya sehingga pengsan sebelum melarikan diri dan apabila tersedar, saya pulang ke rumah dan terasa tangan tidak dapat digerakkan.

“Saya pengsan kali kedua ketika sampai di rumah dan anak lelaki, Mohd Shukri Hashim, 38, membawa saya ke Hospital Jitra untuk mendapatkan rawatan sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu, pada hari kejadian,” katanya.

Menurutnya, dia kini trauma dengan apa yang berlaku dan akan lebih berhati-hati jika mahu keluar sendirian.

Katanya, doktor mengesahkan tulang tangannya retak dan patah akibat kejadian itu dan perlu banyak berehat.

Berikutan kejadian itu, dia kerugian hampir RM2,000.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Sawaludin Hamenudin mengesahkan menerima laporan kejadian itu.

Isnin, Mei 31, 2010

Disamun kekasih pada pertemuan pertama

Harian Metro
31/05/2010


KUALA LUMPUR: Temu janji makan malam seorang eksekutif perakaunan bersama teman lelakinya berakhir dengan kejadian malang, apabila dia menjadi mangsa samun lelaki itu.

Dalam kejadian jam 8.30 malam Rabu lalu, mangsa berusia 24 tahun itu dijemput kekasihnya dengan sebuah kereta untuk menjamu selera, namun suasana romantik bertukar tragedi apabila dia diacukan pisau oleh lelaki itu yang mengugut dan meminta dia menyerahkan barang berharga.

Difahamkan, ketika dalam perjalanan ke kedai makan di Jalan Raja Laut, suspek mengacukan pisau kepada mangsa sebelum merampas beg tangannya.

Menurut sumber, mangsa yang tergamam dengan tindakan mengejut teman lelakinya itu terpaksa menyerahkan beg tangan kerana takut dicederakan.

“Kemudian mangsa dipaksa turun di tepi jalan sebelum lelaki terbabit meninggalkannya seorang diri.

“Beg tangan mangsa mengandungi dua telefon bimbit jenama Samsung dan Nokia, dua cincin emas, seutas rantai tangan emas dan serangkai kunci pejabat,” katanya. Menurut sumber lagi, mangsa kemudian membuat laporan polis sebelum teman lelakinya berusia 22 tahun itu ditahan sejurus laporan itu dibuat.