#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, Ogos 28, 2011

Wanita kaya jadi pilihan

KISAH yang dipaparkan minggu lalu memang menyusuk jiwa saya, kalau Nuremeliya mengisahkan pengalaman pahit sepupunya andartu berkahwin dengan duda, saya pulak ibu tunggal juga berkahwin duda.

Tetapi kerana saya bukan janda berharta saya dibuang sesuka hati kerana tidak memenuhi cita rasanya.

''Saya sungguh tak menduga lelaki sekarang kalau berkahwin hendak cari wanita berharta, bukan bertujuan membantu ibu tunggal seperti saya, tetapi mengharapkan apa yang dia boleh dapat untuk kesenangan hidupnya.'' Demikian cerita Maizarulfida dalam emelnya dan ketika kami berbual Selasa lalu.

''Masalah saya mungkin tidak berat pada pandangan pembaca, tetapi amat menekan jiwa dan perasaan terutama bila berhadapan dengan kaum keluarga serta teman-teman sekeliling. Malu yang teramat hingga terasa lebih baik mati daripada hidup.

''Dulu saya ibu tunggal dengan empat anak, seorang kakitangan kerajaan, saya bercerai setelah berkahwin selama lebih 20 tahun. Perceraian kerana saya tidak tertahan dengan penderaan mental dan fizikal yang saya hadapi sejak berkahwin. Puas saya bersabar, tetapi akhirnya saya terpaksa menarik diri. Dalam tempoh berkahwin cuma selama 2 tahun sahaja saya bahagia, selepas dapat anak hidup saya berubah sentiasa dalam ketakutan.

''Akhirnya enam tahun lalu kami bercerai. Kini anak sulung saya sudah bekerja, ada yang masih menuntut di universiti sementara yang bongsu belajar di peringkat menengah.

''Pada awalnya memang saya tak mahu berkahwin lagi, malah saya rasa bahagia hidup bersama anak-anak terlepas dari penyeksaan suami. Namun kerana jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah jua, maka saya berkahwin dengan duda kematian isteri berusia 55 tahun dengan lima anak dan lima cucu yang diperkenalkan oleh seorang kawan.

''Baru tiga bulan berkenalan melalui telefon dengan Hazrei, kerana kami berjauhan dia di KL dan saya dari utara, dia terus melamar saya untuk berkahwin. Walaupun saya bersetuju, tetapi saya minta pernikahan akhir tahun ini, tetapi dia mendesak sebelum Ramadan.

''Atas persetujuan anak-anak dan ibu bapa saya, kami pun bernikah Jun lalu. Sebelum berkahwin dia tak kisah sekiranya saya tidak bertukar tempat kerja asalkan setiap hujung minggu atau cuti kami akan bergilir-gilir ke KL atau ke utara.

''Lepas kahwin saya bercuti ke KL hajat nak tinggal sementara di rumahnya, tetapi tak jadi, sebab rumahnya penuh dengan anak cucu, sedangkan dia yang masih bekerja secara kontrak terpaksa menyewa bilik lain dekat tempat kerjanya. Namun saya tak keberatan tinggal bersamanya di bilik tersebut kerana saya menerima dia seadanya.

''Daripada situ baru saya tahu dia tidak ada rumah masih menyewa apartmen. Dan dia terpaksa menanggung semua anaknya kecuali seorang yang sudah berkahwin tapi tidak tinggal bersamanya.

''Selang tiga minggu saya bertemu dengannya dia menghantar SMS menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seorang ibu tunggal yang amat disayanginya dan mendakwa mereka telah bertunang sebelum kami berkahwin. Terkejut beruk saya. Kenapa tak beritahu lebih awal, pasti saya tidak berkahwin dengannya.

''Dia juga beritahu amat kesal berkahwin dengan saya yang tidak ada apa-apa. Rupa-rupanya dia kawin dengan saya kerana hendak menumpang bila dia berhenti kerja nanti. Maklumlah dia bekerja swasta tak ada pencen, bimbangkan rawatan perubatannya dan dia tidak ada rumah sendiri kecuali rumah sewa.

''Selepas saya selidik baru saya tahu selepas kematian isterinya, dia pernah berkahwin lagi tapi bercerai kemudiannya, dia seorang yang telah disenarai hitam oleh bank, sebab tu dia tidak boleh beli kereta kecuali jika bayar secara tunai.

''Saya tak kisah sangat semua itu asalkan dia jujur dan ubah perangai. Rupanya dia mengharapkan kekayaan saya, walaupun saya berpencen tapi saya mungkin bukan kaya seperti kekasihnya di KL.

''Bayangkan sebagai isteri setelah dia kembali ke KL dia tidak pernah telefon bertanya khabar sakit demam saya kecuali memberitahu dia akan beraya di rumah tunangnya yang seusia saya dekat 50 tahun.

''Pedihnya hati saya hanya Allah sahaja yang tahu, saya ingin turun ke KL berjumpa dan bertanya apa sebenarnya berlaku, tetapi Hazrie tak izinkan sebaliknya dengan bangganya dia membertahu bahawa dia akan berkahwin selepas hari raya nanti. Dan dalam waktu yang sama dia akan menceraikan saya.

''Kata Hazrie, tunangnya adalah seorang wanita serba ada dan dia rela dan bersedia menjaga dirinya serta makan minumnya hingga ke akhir hayat.

''Saya rasa benar-benar tertekan dengan kata-katanya. Kerana saya rasa benar-benar tertipu, jika dia sudah bertunang mengapa bercinta dan melamar untuk berkahwin dengan saya. Jika dia mencari kekayaan saya sudah jelaskan latar belakang saya sebelum berkahwin.

''Pada awalnya dulu memang saya rasa macam nak bunuh diri, sebab saya malu sangat dengan keluarga dan sahabat handai, maklum tak sampai sebulan kahwin dah nak diceraikan. Tetapi atas nasihat keluarga, kini saya ada kekuatan dan boleh menerima kenyataan, dan saya sedia diceraikan.

''Apalah nak dikisahkan lelaki yang ingin menumpang kekayaan isteri. Mungkin kehadirannya nanti lebih menyusahkan hidup saya siapa tahu. Allah memberi saya kekuatan terima keadaan ini dengan redha. Demikian cerita Maizartulfida. Sempena hari raya yang bakal tiba saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.

Isnin, Ogos 22, 2011

Air garam penawar racun

Oleh SYALMIZI HAMID
syalmizi.hamid@kosmo.com.my


BAZAR Ramadan tidak pernah gagal menarik pengunjung dengan variasi juadah buka puasanya. Namun, seorang murid perempuan di Meru, Klang, Selangor, Nurdini Mohamad Ali, 11, meninggal dunia akibat keracunan makanan selepas makan makanan yang dibeli di sebuah bazar Ramadan di situ.

Selain Nurdini, ahli keluarganya yang lain turut mengalami simptom keracunan makanan setelah menikmati hidangan berbuka puasa yang sama.

Makanan yang dijual di tempat terbuka seperti bazar Ramadan dan pasar malam adakalanya mendedahkan pengguna kepada keracunan makanan lebih-lebih lagi apabila peniaga kurang mementingkan kebersihan dan kesegarannya.

Justeru, Pakar Gastroenterologi, Pusat Perubatan Prince Court, Dr. Wendy Lim menasihatkan orang ramai agar berhati-hati memilih makanan yang dibeli di luar.

“Saya tahu apabila berdepan dengan pelbagai hidangan yang lazat kadang-kadang kita terlupa untuk memeriksa tahap kebersihannya.

“Sebenarnya tidak susah untuk menilai kualiti sesuatu makanan berdasarkan bau dan rasanya. Jika ia berasa dan berbau masam, elakkan memakan makanan tersebut.

“Sebahagian makanan yang dijual di bazar Ramadan selalunya dimasak dan dijual lebih awal dari waktu berbuka puasa dan ia mudah rosak,” ujarnya kepada Jurnal.

Menurut Wendy, keracunan makanan adalah disebabkan oleh beberapa jenis virus, bakteria dan parasit yang akhirnya menjadi toksik berbahaya kepada perut.

Virus

“Organisma tersebut mudah merebak melalui cecair dan makanan yang kotor.

“Antara jenis virus, bakteria dan parasit yang terlibat termasuklah rotavirus, adenovirus, E. Coli, salmonella, shigella dan giardia,” ujarnya.

Disebabkan organisma tersebut mudah merebak melalui minuman dan air, Wendy menyarankan agar pengguna memilih gerai minuman yang mengamalkan kebersihan.

“Contoh makanan yang kurang bersih adalah minuman air tebu. Selalunya batang tebu yang dilonggokkan itu akan terus diperah bersama-sama kulitnya untuk mendapatkan jus.

“Cuba bayangkan bagaimana ia dihidangkan dalam keadaan begitu sedangkan virus dan bakteria mudah merebak?

“Selain itu, air batu juga sering menyebabkan masalah keracunan makanan kerana kebanyakannya disediakan dengan air yang tidak dimasak terlebih dahulu,” katanya lagi.

Jelas Wendy, antara golongan berisiko kepada kematian setelah mengalami keracunan makanan adalah kanak-kanak berusia di bawah lima tahun, golongan warga emas dan mereka yang mengalami pelbagai masalah kesihatan.

“Golongan itu sangat berisiko untuk mengalami dehidrasi yang melampau akibat keracunan makanan. Kanak-kanak mudah mengalami dehidrasi berbanding orang dewasa,” jelas Wendy.

Justeru apabila berdepan dengan simptom keracunan makanan seperti cirit-birit, muntah dan keletihan akibat dehidrasi selepas beberapa jam menikmati juadah, Wendy menyarankan agar pesakit menjalankan rawatan sendiri sebelum berjumpa doktor.

Jelasnya, minum air bergaram mampu mengembalikan keseimbangan bendalir badan yang terhidrat akibat muntah dan cirit-birit.

“Garam penting kerana ia dapat mengembalikan kandungan sodium dan potasium dalam tubuh.
“Anda boleh melakukannya sendiri. Campurkan sedikit garam dan gula bersama air sejuk untuk diminum. Tidak salah untuk meletakkan sedikit perasa kepada minuman itu.

“Namun, sebaik-baiknya anda harus bersedia dengan ubatan berkaitan seperti larutan garam dehidrasi yang boleh didapati di farmasi dan minum banyak air masak,” katanya sambil menambah, kaedah tersebut tidak mengubati keracunan makanan sebaliknya bagi mengembalikan kandungan garam dalam badan.

Rabu, Ogos 10, 2011

Pemilihan diet ikut piramid makanan

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my



BERKHASIAT...ibu perlu bijak mempelbagaikan hidangan supaya anak-anak berselera ketika berbuka dan bersahur

PUASA sudah memasuki hari ke-10. Bagaimana prestasi anak anda? Adakah dia berupaya berpuasa penuh sepanjang sembilan hari Ramadan atau hanya separuh saja? Adakah dia nampak letih, bersemangat atau semakin longlai apabila tiba waktu berbuka?

Melatih anak berpuasa adalah satu cabaran apabila mereka sudah mencecah usia yang sesuai mengikut pertimbangan ibu bapa. Ini kerana pada usia tertentu, anak sudah sepatutnya dilatih berpuasa secara berperingkat bermula dengan separuh hari, tiga suku dan seterusnya berpuasa penuh.

Bagi anak yang tidak tahan berpuasa atau mungkin juga hampir pitam, itu petanda dia tidak mempunyai tenaga mencukupi untuk bertahan sehingga ke petang.

Pitam, berpeluh sejuk, menggeletar dan lemah adalah tanda kekurangan gula atau gula rendah di dalam tubuh. Keadaan yang dipanggil hipoglisemia ini sering berlaku kepada kanak-kanak yang baru belajar berpuasa.

Menurut Pakar Pemakanan Hospital Pusrawi, Mazuin Kamarul Zaman, orang dewasa dan kanak-kanak pada amnya mempunyai sistem pencernaan yang sama. Apa yang membezakannya adalah kanak-kanak memiliki simpanan tenaga yang sedikit berbanding dewasa.

“Kanak-kanak mempunyai simpanan tenaga yang terdapat pada lemak, otot dan gula di hati yang terhad berbanding orang dewasa. Oleh itu, tanpa sahur yang lengkap dan seimbang, kanak-kanak tidak mampu untuk berpuasa hingga Maghrib,” katanya.

Ini berbeza bagi orang dewasa, walaupun tanpa sahur yang mencukupi, simpanan tenaga orang dewasa mampu membekalkan tenaga untuk seharian. Apabila kanak-kanak menghampiri akil baligh, pembentukan otot dan lemak akan kelihatan pada lelaki dan kanak-kanak perempuan kerana ketika ini pertumbuhan badan mereka semakin berkembang dan menuju ke arah seperti orang dewasa. Pertambahan otot dan lemak bermakna simpanan tenaga juga akan bertambah.

Dalam usaha memastikan anak berjaya melaksanakan rukun Islam ketiga ini, ibu bapa memainkan peranan penting menyediakan makanan berkhasiat dan seimbang kepada mereka. Pemilihan makanan seimbang mengikut piramid makanan ketika bersahur dan berbuka membantu kanak-kanak menjalani ibadat puasa sebaiknya.

“Setiap juadah disediakan sama ada berbuka dan bersahur perlu mengandungi karbohidrat, protein, lemak, serat, vitamin dan mineral.

“Ini bermakna mereka perlu makan nasi atau bijirin lain bersama sumber protein seperti ayam dan ikan serta sayur-sayuran untuk serat dan vitamin daripada buah-buahan seperti kurma.

“Sediakan makanan mengandungi karbohidrat seperti roti, nasi dan mi untuk membekalkan tenaga secukupnya semasa berpuasa. Untuk protein dan kalsium secukupnya galakkan anak makan daging, ikan, ayam, kekacang, susu dan produk tenusu ketika bersahur dan berbuka,” katanya.

Apa yang menjadi masalah adalah kanak-kanak yang sangat selektif dalam pemilihan makanan. Mereka hanya makan makanan yang disukai saja misalnya memilih untuk makan sandwic, bihun atau mi ketika berbuka.

“Sekiranya anak menyukai makanan ini, pastikan hidangan disediakan lengkap dengan sayur-sayuran, ikan, daging atau ayam.

“Begitu juga sandwic, pastikan diletakkan salad, tomato, ayam atau telur bagi memberikan keseimbangan tenaga kepada mereka,” katanya.

Menurut Mazuin, sekiranya anak tidak berselera untuk makan nasi atau makan makanan berat ketika bersahur, boleh digantikan dengan bijirin seperti oat atau roti. Ini kerana serat yang terkandung dalam bijirin dan sayur-sayuran mampu melambatkan rasa lapar dan membantu pengawalan aras gula dalam darah. Makanan berserat juga melancarkan proses penghadaman dan perkumuhan.

“Makanan berserat terbahagi dua iaitu serat larut dan serat tidak larut. Serat larut membantu memperlahankan penyerapan gula di dalam darah selain membantu mengawal kolesterol dalam badan.

“Antara makanan yang mengandungi serat larut ialah buah-buahan dan kekacang. Serat jenis ini menyerap air sekali gus membantu menjadikan seseorang itu cepat kenyang.

“Serat tidak larut pula berfungsi memastikan salur pencernaan bebas daripada sebarang halangan bagi mengelakkan daripada sembelit atau buasir. Contoh makanan mengandungi serat tidak larut ialah bijirin penuh dan sayur-sayuran,” �ujarnya yang menggalakkan ibu bapa memberi anak makan kurma sebagai sumber serat yang kaya dengan vitamin dan mineral.

Selain makanan berkhasiat, kanak-kanak dinasihatkan minum banyak air kosong bagi menggantikan kehilangan air daripada proses perpeluhan dan perkumuhan.

“Ketahuilah kanak-kanak lebih mudah kehilangan air dalam badan berbanding orang dewasa kerana perbezaan aktiviti fizikal. Atas alasan ini, mereka perlu minum lebih banyak air bagi mengelakkan kekeringan. Pengambilan air yang secukupnya juga dapat membantu menyingkirkan kekotoran dan toksin dalam tubuh,” katanya.


Panduan:

Ketika bersahur

•Pastikan makanan yang diberi kepada anak seimbang seperti yang disarankan dalam piramid pemakanan.
•Sediakan makanan kegemaran anak bagi menggalakkan kanak-kanak bersahur tetapi elakkan makanan segera kerana tidak bagus untuk perkembangan tubuh mereka.
•Pelbagaikan menu hidangan supaya anak tidak jemu makan makanan sama setiap hari.
•Pastikan anak bersahur lewat agar tidak cepat rasa lapar dan letih.
•Galakkan anak meminum susu terutama apabila anak tidak berselera untuk bersahur.


Ketika berbuka puasa:

•Pastikan anak berbuka puasa dengan makanan yang lengkap.
•Jangan makan terlalu banyak ketika berbuka sebaliknya biar mereka makan kerap.
•Kurangkan pengambilan makanan berminyak, banyak rempah dan pedas.
•Galakkan anak meminum air selepas berbuka sehingga bersahur bagi mengelakkan kekeringan.
•Pastikan berat anak tidak menurun ketika bulan puasa.

Menurut Pegawai Agama Hospital Pusrawi, Yaakob Abd Hamid, kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa sehingga usia mereka akil baligh, namun ibu bapa harus memberi latihan serta galakan kepada anak pada usia yang awal.

Sebelum melatih anak berpuasa, ibu bapa perlu terlebih dulu mengajar anak mengenai Ramadan dan keistimewaannya. Didik anak untuk mencintai Ramadan pada setiap tahun serta tidak lupa menyelitkan mengenai aktiviti sunat seperti membaca al-Quran, bersedekah dan berbuat baik kepada semua orang. Beritahu juga pada anak mengenai al-Quran yang diturunkan pada bulan Ramadan.

“Penerangan ini sangat penting kerana ia dapat memberi gambaran jelas kepada anak mengenai kebaikan berpuasa,” katanya.

Apabila anak sudah sanggup berpuasa, mereka seharusnya diberi kata-kata semangat sehingga tiba waktu berbuka. Misalnya dengan memberi kata-kata nasihat mengenai orang susah yang tidak dapat makan dan minum serta meningkatkan tahap kesihatan badan. Namun sekiranya menjejaskan kesihatan, ibu bapa seharusnya meminta anak-anak berbuka puasa.

“Dalam hal ini jangan lakukan paksaan kepada anak sebaliknya gunakan kaedah memujuk supaya mereka melakukannya dengan ikhlas,” ujarnya.

Menurut Yaakob, memberikan ganjaran kepada anak-anak supaya mereka berpuasa penuh adalah satu bentuk galakan yang boleh dilakukan supaya mereka lebih bersemangat berpuasa.

“Ganjaran boleh diberikan dalam bentuk wang, barang permainan atau dijanjikan percutian keluarga. Lama-kelamaan apabila mereka mula melakukan sendiri berpuasa, ia bukan lagi semata-mata mendapat ganjaran sebaliknya keikhlasan kerana Allah,” katanya.

Ramadan juga adalah waktu sesuai melatih anak-anak daripada melakukan perbuatan kurang elok serta mencegah mereka daripada berbohong.

Selain itu, bawa mereka menunaikan solat terawih bersama-sama di masjid serta mengajar mereka membaca al-Quran. Paling penting, latih anak-anak untuk bangun sahur supaya mereka tidak lapar keesokan harinya.

Susu ibu di bulan Ramadhan

Oleh Siti Zarinah Sahib
sitizarinah@hmetro.com.my

RAMAI ibu mengakui cabaran paling besar selepas melahirkan anak apabila terpaksa menyambung kerja dan pada masa sama, menyusukan bayi mereka.


Ada di antaranya mempunyai semangat tinggi ingin menyusukan anak secara eksklusif, tetapi akhirnya terpaksa menyerah kalah lantaran tidak mempunyai pengetahuan yang cukup mengenai teknik penyimpanan susu ibu, ada juga terpaksa mencampurkannya dengan susu formula kerana kekurangan susu.

Bagi Nurul Zafifah Mohd Sahri, 30, kejayaan menyusukan dua anak Muhammad Dhia’ul Hafeez Diauddin, 3, secara eksklusif selama dua tahun tiga bulan adalah pengalaman paling berharga. Apa yang menguatkan semangatnya adalah dorongan daripada suami, Diauddin Mustajid, 32, yang meminta supaya dia menyusukan anak sepenuhnya sejak mengandungkan Hafeez lagi.

“Ketika mengandungkan anak pertama saya langsung tidak terfikir untuk menyusukan bayi sepenuhnya, tetapi apabila suami meminta supayamemberikan susu ibu kepada anak, saya terus mendapatkan maklumat menerusi laman sesawang susuibu.com mengenai penyusuan dan penyimpanan susu ibu,” katanya.

Menurutnya, cabaran menyusukan anak bermula apabila dia mula bekerja dan tidak membuat simpanan susu yang banyak.

“Apabila bekerja saya hanya mampu mengumpul 10 botol saja dan ini memberi sedikit tekanan kerana perlu mengepam setiap hari bagi memastikan Hafeez mendapatkan susu ibu sepenuhnya apabila dihantar ke rumah pengasuh,” ujarnya.

Walaupun mengalami kekurangan susu, dia tidak berputus asa dan mencuba semua petua untuk memperbanyakkan susu seperti makan lobak putih, halba, pegaga dan multivitamin bagi menambah pengeluaran susu.

“Saya memperhebatkan aktiviti mengepam bukan saja di tempat kerja malah di rumah. Setiap tiga jam iaitu pada jam 12 malam, 3 pagi dan 6 pagi, saya mengepam susu bagi memastikan stok susu mencukupi. Alhamdulillah akhirnya dengan kesabaran dan tawakal kepada Allah saya dapat menyusukan Hafeez sepenuhnya,” katanya.

Berbeza dengan kelahiran anak kedua, Zahratul Sofea, Zafifah sudah membuat persediaan lengkap dengan membuat simpanan susu pada hari keempat kelahiran. Walaupun menyusu secara terus, dia tetap mengepam apabila anak tidur dan hasilnya pada hari pertama bekerja dia dapat mengumpul 40 botol stok susu yang disimpan di tempat simpanan sejuk beku.

Apabila mula bekerja, Zafifah meneruskan aktiviti mengepam di tempat kerja iaitu setiap tiga jam sekali. Lebih memudahkannya apabila ketuanya sangat memahami dan memberikan masa selama 15 hingga 20 minit untuk mengepam susu. Malah terdapat sebuah bilik yang dikhaskan untuk mengepam susu.

“Sekali pam saya memperoleh enam hingga lapan auns bersamaan 237 mililiter susu dan jumlah ini boleh diminum sebanyak dua kali,” katanya yang menyimpan susu di dalam beg sejuk beku sebelum dipindahkan ke dalam peti sejuk di rumah.

Untuk susu yang disimpan di dalam peti sejuk khas sejuk beku boleh tahan enam bulan, susu di dalam peti sejuk dua pintu tahan tiga bulan manakala satu pintu selama dua minggu saja.

Bagi memudahkannya mengenal pasti susu yang perlu dibawa ke rumah pengasuh, Zafifah membuat label pada setiap susu yang dimasukkan ke dalam beg plastik dan menulis di dalam buku.

“Saya membekalkan empat botol susu yang sudah dicairkan setiap hari ke rumah pengasuh bersama dengan alat pemanas. Ini bagi memudahkan pengasuh memberikan susu kepada Sofea apabila tiba waktunya. Tidak ramai pengasuh yang mahu mengendalikan proses memberikan susu ibu kepada anak jagaan mereka kerana berasa ia remeh dan menyusahkan.

“Oleh sebab itu saya perlu menerangkan kepada pengasuh dan memberikan peralatan lengkap supaya tidak menyusahkan mereka,” jelasnya yang juga Kaunselor Laktasi, Kaunselor Rakan Penyusuan Bayi Malaysia (MBPC).

Setakat ini, Zafifah tidak perlu risau kerana dia mempunyai simpanan susu ibu sebanyak 225 botol iaitu 1,043 auns bersamaan 30,845 mililiter susu yang cukup untuk keperluan Sofea sehingga dia mencecah setahun lebih. Tambah pula pada masa sekarang, Sofea sudah mula makan dan ini tidak merisaukan dirinya.

Namun begitu, Zafifah masih menjalankan rutin harian mengepam seperti biasa. Ini kerana dia percaya pada teknik penawaran dan permintaan yang bermaksud semakin banyak ibu mengepam bermakna semakin banyak susu dapat dihasilkan.

Jika ramai ibu bimbang dengan kehadiran Ramadan kerana akan mengalami kekurangan susu, tidak Zafifah kerana susunya lebih banyak daripada hari biasa. Ini kerana dia menyediakan makanan seimbang ketika berbuka dan bersahur serta memperbanyakkan minum susu dan makan kurma.

“Ketika Ramadan badan memerlukan lebih banyak air untuk menghasilkan pengeluaran susu. Justeru ketika berbuka dan bersahur, saya banyakkan minum air suam dan panas malah langsung tidak minum minuman berais.

“Saya juga makan makanan berkhasiat yang boleh memperbanyakkan susu. Di antara �waktu berbuka sehingga bersahur saya akan pastikan makan roti, biskut atau makan kurma bagi memastikan bertenaga keesokan hari,” katanya yang menjalankan aktiviti mengepam seperti biasa sepanjang Ramadan.

Apa yang penting, setiap ibu harus mempunyai ilmu pengetahuan mengenai penyusuan susu ibu dan mempraktikkan apa yang dipelajari. Sekiranya mereka mempunyai matlamat untuk menyusukan anak sepenuhnya pasti setiap ibu akan berusaha untuk mencapai matlamat itu. Ini kerana penyusuan susu ibu mempunyai banyak faedah selain mengeratkan kasih sayang, anak yang disusukan sepenuhnya akan lebih bijak dan mempunyai antibodi yang kuat.

Tulis label berdasar nama anak, tarikh simpan

PENYUSUAN susu ibu kadangkala dianggap mustahil bagi ibu berkerjaya di Malaysia. Namun, kesedaran mengenai pentingnya penyusuan susu ibu semakin meningkat lalu mencetuskan beberapa usaha daripada pihak hospital dan kumpulan sokongan susu ibu untuk menyebarkan maklumat mengenai pentingnya penyusuan susu ibu.

Walaupun kini terdapat pelbagai usaha daripada pihak hospital atau kerajaan, usaha ini tidak akan berhasil sekiranya ibu sendiri tidak berkemampuan memberikan susu kepada bayi mereka. Antara usaha ke arah penyusuan susu ibu adalah menggalakkan ibu memerah susu dan menyimpan stok susu ibu untuk diberikan kepada bayi ketika ibu berpisah sementara (keluar bekerja).

Menurut Kaunselor Laktasi Sarakids.com, Nor Farah Farhan Abdul Fatah, ibu sudah boleh mula memerah susu dua minggu selepas kelahiran bayi. Sewaktu berpantang, bayi hanya disusukan secara terus dan susu yang diperah (sama ada menggunakan pam atau memerah menggunakan tangan) haruslah disimpan untuk kegunaan apabila ibu kembali bekerja.

Pam susu tiga jam sekali apabila bayi tidur. Jika bayi terjaga, ibu hendaklah mendahulukan bayi terlebih dulu dan menyambung kembali proses memerah selepas bayi disusukan dan kembali tidur. Susu yang sudah dipam perlu disimpan dalam botol atau beg khas untuk penyimpanan susu ibu. Tulis label berdasarkan nama anak dan tarikh penyimpanan susu ibu.

“Bagi yang bekerja, mulakan mengepam susu pada waktu pagi kemudian simpan di dalam peti sejuk atau beg sejuk beku berisi ais yang tahan 12 jam. Kemudian teruskan mengepam pada waktu tengah hari dan petang. Apabila sampai di rumah pastikan ibu menyimpan sebotol susu di peti sejuk bawah dan selebihnya di tempat sejuk beku.

“Ini bagi memastikan bayi mendapat susu segar yang masih tinggi nilai antibodinya. Walaupun susu yang sudah dibekukan berkurangan antibodi, khasiatnya jauh lebih baik daripada susu formula,” katanya.

Jelasnya, susu yang disimpan di dalam peti sejuk bawah (peti sejuk dua pintu) tahan selama lima hari. Selepas hari kelima susu haruslah disimpan di tempat penyimpanan sejuk beku kerana mampu bertahan sehingga tiga bulan.

“Malamnya ibu harus mengeluarkan susu beku untuk diletakkan di bahagian bawah kerana susu ini akan dibawa ke rumah pengasuh. Isikan stok susu di dalam beg sejuk beku dan berikan kepada pengasuh untuk disimpan di dalam peti sejuk ketika menghantar bayi. Tiba masa bayi menyusu, susu tadi harus dipanaskan di dalam air suam pada suhu 35 sehingga 45 darjah celsius.

“Sebaiknya ibu membekalkan alat pemanas ke rumah pengasuh kerana cara pemanasan di dapur atau ketuhar akan mematikan antibodi di dalam susu. Susu yang sudah cair haruslah diberi minum satu jam selepas itu manakala susu yang sudah dipanaskan tidak boleh dibekukan semula,” ujarnya.

Nor Farah yang berpengalaman menyusukan ketiga-tiga anaknya, Puteri Sara Azalea, 4, Puteri Syasya Adalea, 2, dan Putera Shafik Adrian secara eksklusif memberitahu, dia mula memerah susu pada hari keempat kelahiran namun ini bergantung kepada hari ke berapa susu matang keluar.

“Ketika awal kelahiran oleh kerana susu masih dalam bentuk kolostrum, ibu hendaklah menyusukan bayi sekerap mungkin. Selepas susu matang keluar, ibu bolehlah memerah susu setiap tiga jam sekali dan berhenti memerah jika bayi lapar dan menyambung semula sesi mengepam susu.

“Saya percaya pada konsep bekalan dan permintaan dan semakin kerap mengosongkan payudara semakin banyak susu dihasilkan,” katanya yang kerap memerah sekitar jam 12 tengah malam sehingga jam 6 pagi kerana hormon prolaktin banyak dihasilkan ketika ini.

Bagi memastikan simpanan susu terpelihara, ibu tidak boleh memberikan susu perahan kepada bayi mereka ketika dalam tempoh berpantang. Stok susu hanyalah untuk kegunaan apabila ibu berpisah sementara dengan bayi saja.

“Ini sangat penting kerana sekiranya simpanan susu digunakan dikhuatiri ibu akan kehabisan stok susu yang akan diberikan kepada anak ketika keluar bekerja,” katanya.

Selain itu, cara menguruskan penyusuan juga sangat penting. Sekiranya ibu meninggalkan stok susu sebanyak 12 auns pada waktu siang, ibu seharusnya membawa pulang sekurang-kurangnya 12 auns atau lebih.

“Oleh sebab itu, ibu tidak boleh meninggalkan waktu memerah. Sekiranya ibu terlalu sibuk dan tidak sempat memerah susu, ibu seharusnya mengganti waktu memerah pada waktu malam supaya tiada stok negatif dan dapat mencukupkan keperluan anak,” katanya.

Nor Farah menerima banyak kes mengenai pengasuh, ibu atau ibu mentua yang meminta stok susu dilebihkan kerana khuatir anak tidak cukup susu. Contohnya, ada bayi yang minum susu 18 sehingga 20 auns pada waktu ibu bekerja sedangkan ibu hanya mampu membawa pulang 15 auns saja sekiranya dia memerah secara konsisten.

“Hal ini pastinya memberikan tekanan kepada ibu kerana dia berasa susunya tidak cukup apatah lagi bagi meneruskan penyusuan eksklusif sehingga dua tahun,” katanya.

Oleh sebab itu, pentingnya ibu memberi penerangan serta latihan berterusan kepada individu yang menjaga bayi mereka seperti pengasuh, pembantu rumah, ibu atau ibu mentua. Beritahu mereka keperluan susu ibu untuk anak daripada usia sebulan sehingga enam bulan adalah sama dan tidak berubah. Malah, selepas umur bayi meningkat enam bulan, keperluan susunya semakin berkurangan kerana bayi sudah belajar makan.

“Ketahuilah, perut bayi yang berusia sebulan sehingga enam bulan adalah sebesar telur puyuh dan dia akan kenyang dengan hanya minum jumlah yang ditinggalkan ibu iaitu 12 hingga 15 auns sepanjang siang dan tidak lebih daripada itu.

“Saya faham, kadang-kadang sukar untuk memberitahu ibu atau pengasuh mengenai hal ini kerana mereka sering berkata bayi tidak cukup susu atau bayi menangis kerana lapar. Sebagai ibu anda harus bijak memberitahu ibu atau pengasuh, susu yang ditinggalkan mencukupi untuk bayi dan anak akan kenyang.

“Mungkin bayi menangis kerana mahukan perhatian, ingin bermain, bosan ditinggalkan seorang diri atau mahu didukung. Oleh itu berikan mainan, anak patung atau kad imbasan kepada bayi supaya mereka tidak menangis.

“Sebagai ibu, anda lebih mengenali ibu atau pengasuh anda dan menggunakan cara terbaik untuk memberi penerangan kepada mereka,” katanya.

Nor Farah juga menerangkan, berpuasa tidak akan memudaratkan ibu yang menyusu dan bayi yang disusukan selagi ibu tidak mengalami dehidrasi.

Ibu menyusu digalakkan minum air yang banyak pada waktu malam (setiap kali terjaga dan selepas menyusu, minum segelas air) dan ketika bersahur (jika boleh, lewatkan sahur) untuk memastikan keperluan cecair dalam badan dipenuhi seterusnya menggantikan air yang hilang ketika menyusu dan berpuasa pada siang hari. Di samping itu, makan makanan berkhasiat seperti kurma dan sayur-sayuran hijau untuk menambah susu.

“Banyakkan makan kurma dan makanan penambah susu seperti sayuran hijau dan bijiran. Ibu hendaklah bersahur dan melewatkan waktu sahur serta menyegerakan berbuka puasa.

“Banyakkan sesi penyusuan atau mengepam susu (jika bayi tidur) terutama pada waktu malam dan sahur untuk meningkatkan penghasilan susu. Cuba makan dan minum sedikit-sedikit tetapi kerap pada waktu malam. Paling penting bertenang, berdoa dan bertawakal kepada Allah kerana Dia yang memberikan segalanya,” jelasnya.


Tanda dehidrasi:

•Berasa hendak pitam terutama selepas menyusukan bayi atau memerah susu
•Sakit kepala dan rasa ingin demam
•Air kencing menjadi pekat dan berbau kuat
•Terasa loya, menggigil dan ingin muntah
•Berasa lemah dan sakit otot
•Mudah marah dan emosi tidak stabil

Untuk mengelakkan dehidrasi yang teruk, amat penting bagi ibu mengambil makanan mengandungi jumlah cecair yang banyak. Bagi ibu yang menyusu, sekurang-kurangnya dua liter air sehari bagi menjaga keseimbangan bendalir badan.

Namun, minum air yang banyak bukan bermakna akan menghasilkan susu yang banyak. Ia sekadar menggantikan keperluan air yang hilang ketika berpuasa.