#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, September 10, 2009

Hikmah perpisahan

MENGINGINKAN sesuatu yang amat sukar diperoleh bagaikan satu kepuasan tidak terhingga. Namun dalam soal hati dan perasaan, setiap yang didambakan sering menemukan kita dengan harapan palsu, sekali gus kepahitan berterusan.

Menghadapi perpisahan getir seperti putus kasih, putus tunang bahkan pernah melalui perceraian yang menjadi satu pengalaman pahit dalam hidup, sukarnya untuk bangkit semula sesudah segalanya hancur punah.

Namun, jangan putus asa atas segala kepahitan yang dilalui itu. Dalam percintaan, percayalah jika anda pernah dikecewakan, pasti akan wujud cahaya baru kemudiannya.

Cinta muncul secara langsung dan alamiah, namun cinta hidup melalui pemeliharaan. Sesuatu kemusnahan boleh saja berlaku mungkin angkara fitnah, kehadiran orang ketiga bahkan apa saja, biarpun alasannya cukup kecil serta sukar dipercayai.

Membinanya mengambil masa bertahun-tahun namun runtuhnya hanya dalam sekelip mata. Siapa yang tidak merana bukan?

Katakan pada diri, mungkin anda belum ditemukan dengan insan yang layak menerima ketulusan cinta anda sepenuhnya. Anggaplah perpisahan dengan yang lama sebagai permulaan untuk suatu permulaan yang lebih indah bahkan lebih bermakna.

Jangan menyeksa diri dengan menginginkan sesuatu yang tidak mungkin dapat dibina semula. Kata bijak pandai, cinta bukanlah bara, melainkan api yang keluar dari bara. Pun begitu, anda tega untuk melupakan si dia?

Berikut panduan yang mungkin dapat membantu diri merawat kelukaan akibat perpisahan atau cinta terputus di tengah jalan:

  • Terima hakikat

    Pertama sekali, perlu menerima hakikat si dia bukan lagi milik anda. Anda perlu belajar untuk menerima kenyataan pertemuan akan berakhir dengan perpisahan dan perpisahan adalah permulaan kepada pertemuan seterusnya.

  • Melarikan diri

    Siapa kata melarikan diri tidak menyelesaikan masalah? Memang melarikan diri tidak akan menyelesaikan masalah tetapi ia dapat mengurangkan tekanan.

    Cuba pergi ke tempat yang agak jauh dan rehatkan minda. Tetapi jangan pula berkunjung ke tempat di mana anda pernah pertama kali bertemu atau tempat anda selalu mengadakan janji temu kerana khuatir nostalgia lama berputar kembali. Ia tentu sukar bagi anda untuk melupakan si dia sedangkan tujuan sebenar anda adalah melenyapkannya terus kenangannya.

  • Luahkan perasaan

    Luahkan segala resah yang terpendam atau duka yang sarat itu kepada sahabat karib anda. Mungkin dia tidak banyak membantu tetapi sekurang-kurangnya dengan meluahkan perasaan, anda akan dapat menghilangkan tekanan.

  • Jatuh cinta lagi

    Suburkan semula rasa cinta terhadap orang yang mungkin baru muncul dalam hidup anda. Apabila jatuh cinta pada seseorang sekali lagi, jangan menyeksa diri dengan menganggap cinta anda tidak diterima. Cinta itu tidak pernah ditolak kerana setiap insan memerlukan dan menginginkan untuk dicintai.

    Wujudkan cinta itu dengan memberikan sesuatu bukan mengharapkan sesuatu. Kebahagiaan memberi jauh lebih sempurna daripada kebahagiaan kerana menerima.

  • Cuba ingat orang lain

    Setiap detik wajahnya masih membayangi dan terngiang-ngiang perbualan mesra dengannya. Sukarnya melenyapkan setiap inci kenangan memang tidak dinafikan.

    Kalau teringatkan si dia, mengapa anda tidak cuba dekat dengan orang lain misalnya ahli keluarga, bekas rakan sekolej yang pernah sama-sama bergiat aktif atau sesiapa saja yang mungkin membahagiakan. Mungkin dengan cara itu, ia akan membuatkan anda kembali bahagia walaupun ia mengambil masa. Yang pasti, belajarlah melupakannya secara perlahan-lahan.

  • Buang saja hadiah pemberiannya

    Bunga, jam, penanda buku, baju, seluar, jaket, novel cinta, bunga, beruang kesayangan, cincin, rantai atau apa saja, jangan disimpan lagi. Ia kelihatan seperti anda tidak menghargainya namun itulah yang terbaik atau pulangkan kembali hadiah itu kepadanya.

  • Berdoa dan bertawakal

    Ini adalah cara terbaik dan penyelesaian bagi segala-galanya. Berdoalah kepada-Nya supaya diberi kekuatan jiwa dalam menghadapi dugaan dalam kehidupan dan diberikan pasangan serasi.

  • Sembilan ciri lelaki sejati

    MENCARI dan menemukan cinta sejati serta pasangan hidup sesuai memerlukan kesabaran yang bukan sedikit.

    Ini kerana tidak semua teman atau kekasih yang dikenali bersedia untuk menikahi anda biarpun di penghujung sebuah perjalanan anda mengharapkan si dia lebih daripada teman biasa.

    Sekian lama manusia cuba mencari makna cinta sejati. Ahli falsafah pun tidak mampu memberi jawapan memuaskan kepada persoalan ini.

    Apakah ciri lelaki yang boleh dikenali untuk dijadikan teman hidup?

    Bukan hanya tempoh perhubungan dengannya menjadi kayu pengukur, namun banyak aspek lain yang boleh diambil kira untuk memastikan si dia benar-benar bakal pasangan hidup anda.

    Bagi yang masih mencari dan terus mencari lelaki idaman, mungkin pandangan berikut boleh dijadikan panduan dalam menilai lelaki sebenar untuk dijadikan teman sejati:



  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada bahunya yang kekar, tetapi daripada kasih sayangnya pada orang di sekitarnya.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada suaranya yang lantang, tetapi daripada kelembutannya mengatakan kebenaran.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada jumlah sahabat di sekitarnya tetapi daripada sikap bersahabatnya dengan orang lain.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada bagaimana dia dihormati di tempat kerja tetapi bagaimana dia dihormati di dalam rumah.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada kerasnya pukulan tetapi daripada sikap bijaknya memahami persoalan.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada dadanya yang bidang tetapi daripada hati yang ada di sebaliknya.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada banyaknya wanita yang memuja tetapi komitmennya terhadap wanita yang dicintainya.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada jumlah tanggungjawab yang dipikul tetapi daripada tabahnya dia menghadapi liku kehidupan.

  • Lelaki sejati bukan dilihat daripada rajinnya dia membaca kitab suci tetapi daripada konsistennya dia melaksanakan apa yang dibacanya.

    Jika anda berasa lelaki yang didampingi itu benar-benar memenuhi piawaian ditetapkan atau memang jodoh tersurat dengannya, mungkin anda boleh mulakan bicara untuk membuka mindanya berbincang mengenai masa depan dan perkahwinan.

    Namun, banyak perkara harus diambil kira contohnya:

  • Pasangan yang diajak mengahwini anda mungkin pandai merayu tetapi tidak mampu mempertahankan hubungan.

  • Jangan terjebak ilusi romantis semata-mata.

  • Hati-hati dengan pasangan yang hanya menabur janji atau sering menghulur hadiah, namun tidak dapat memberikan sokongan pada saat diperlukan.

  • Carilah pasangan yang boleh memberikan rasa tenang selain sentiasa bersedia membantu pada saat tertekan dan penuh emosi atau ketika susah mahupun senang.
  • Cinta & Kawan

    inta & Kawan

    Satu hari CINTA & KAWAN berjalan dalam kampung...
    Tiba-tiba CINTA terjatuh dalam telaga...
    Kenapa??
    Kerana CINTA itu buta...
    Lalu KAWAN pun ikut terjun dalam telaga...
    Kenapa??
    Kerana... KAWAN akan buat apa saja demi CINTA !!

    Di dalam telaga CINTA hilang...
    Kenapa??
    Kerana... CINTA itu halus, mudah hilang kalau tak dijaga, sukar dicari
    apa lagi dalam telaga yang gelap...
    Sedangkan KAWAN masih lagi tercari-cari dimana CINTA & terus menunggu..
    Kenapa??
    Kerana... KAWAN itu sejati & akan kekal sebagai KAWAN yang setia...kan ??
    so, hargai lah KAWAN kita selagi kita terasa dia BERERTI....

    Walau kita punya couple, teman still paling setia.
    Walau kita punya harta banyak, teman still paling berharga.

    Teruskan menyusu badan walaupun di bulan puasa

    KEUPAYAAN untuk melahirkan anak dan menyusu badan adalah kelebihan yang ada pada setiap wanita. Susu badan merupakan sumber yang paling berkhasiat untuk bayi.
    Bagaimanapun apabila tiba bulan Ramadan, ramai ibu tertanya-tanya sama ada susu mereka masih lagi memiliki khasiat yang sama.

    Antara persoalan yang ada dalam diri ibu yang berpuasa ialah sama ada pengambilan makanan yang kurang akan memberi kesan kepada kualiti dan jumlah susu mereka.

    Adakah kekurangan air semasa waktu siang mengubah susu mereka, susu berkurangan dan menyebabkan bayi kelaparan? Adakah saya perlu berhenti menyusu badan dalam bulan Ramadan dan bertukar kepada rumusan bayi?

    Jika soalan-soalan ini ditanya kepada perunding pediatrik dan perunding laktasi, Dr. Koe Swee Lee, jawapannya adalah "tidak".

    Tidak memberi kesan

    Menurut Dr. Swee Lee, berpuasa selama 12 hingga 14 jam sehari tidak memberi kesan langsung kepada kualiti atau jumlah susu badan ibu melainkan jika si ibu mengalami malnutrisi atau ketidakseimbangan makanan yang jarang berlaku di Malaysia.

    "Badan ibu mempunyai simpanan nutrien yang cukup untuk susu badan," katanya.

    Beliau menambah, walaupun kekurangan air boleh memberi kesan kepada susu ibu kerana tidak minum air semasa berpuasa, ia tidak mempengaruhi susu badan.

    "Kebanyakan wanita bukan kekurangan air walaupun mereka mungkin terasa dahaga semasa berpuasa.

    "Apabila tidak minum air kerana puasa, tubuh secara automatik tidak menghasilkan urin dan peluh yang banyak untuk mengekalkan cecair dalam badan.

    "Tidak perlu risau masalah kekurangan air semasa berpuasa melainkan anda menjalankan aktiviti memerlukan tenaga yang menyebabkan anda kehilangan air yang banyak," katanya.

    Sebenarnya pengambilan makanan tidak memberi kesan yang besar kepada pengeluaran susu badan. Jumlah susu badan yang dihasilkan sebenarnya bergantung kepada berapa banyak yang bayi menyusu dan perlukan.

    "Apabila bayi mula menghisap puting ibu, satu deria rasa akan ke otak ibu. Otak kemudiannya melepaskan dua jenis hormon - prolaktin iaitu hormon pengeluaran susu dan oksitosin hormon yang membolehkan pengaliran susu.

    "Secara ringkasnya lebih banyak susu yang diperlukan oleh bayi, lebih banyak mereka menyusu dan lebih banyak susu akan dikeluarkan," jelas Dr. Swee Lee.

    Oleh itu, seorang ibu boleh memenuhi kewajipan berpuasa dan pada masa yang sama memastikan si manja mendapat khasiat yang secukupnya daripada susu badan.

    Jangan berhenti menyusu

    "Mungkin ada ibu yang mahu berhenti menyusu badan semasa berpuasa kerana merasakan tubuh mereka tidak dapat menanggung kedua-dua beban pada masa yang sama. Nasihat saya ialah ibu patut meneruskan penyusuan semasa berpuasa walaupun keputusan tersebut bergantung sepenuhnya kepada mereka.

    "Jika ibu merasa badannya letih kerana berpuasa dan menyusu pada masa yang sama, saya cadangkan agar mereka berpuasa selang sehari atau tidak berpuasa.

    "Penyusuan badan patut diteruskan," katanya. Ini kerana pengeluaran susu badan bukanlah sesuatu yang boleh dihentikan dan dimulakan semula oleh ibu sesuka hati.

    Beliau menjelaskan bahawa apabila bayi berhenti menyusu selama sebulan dan bertukar kepada rumusan bayi, mereka mungkin tidak mahu lagi menyusu susu badan.

    Tubuh ibu pula akhirnya akan berhenti menghasilkan susu kerana tiada lagi susu yang dikeluarkan. Oleh itu sekiranya ibu mahu kembali menyusu badan selepas bulan puasa, ibu mungkin ketiadaan susu untuk bayinya.

    Sesetengah ibu mungkin merasakan berhenti menyusu untuk anak mereka adalah baik kerana mereka tidak boleh menyusu bayi mereka terlalu lama.

    Walau bagaimanapun para pakar berpendapat mereka wajar meneruskan penyusuan.

    "Susu ibu adalah nutrien terbaik untuk bayi dan tidak boleh diganti oleh sumber lain. Melalui penyusuan badan, bayi mendapat perkembangan fizikal dan mental yang sihat, sokongan emosi yang penuh kasih sayang dan antibodi yang kuat untuk melawan jangkitan.

    "Dengan susu badan, bayi tidak memerlukan sebarang susu lain, laktogen, puting atau air. Semuanya ini disediakan secukupnya dalam susu ibu," jelas Dr Koe.

    Menghentikan penyusuan badan semasa bulan puasa bermakna bayi tidak mendapat kebaikan semula jadi yang diperlukan untuk membesar secara menyeluruh dan dilindungi daripada penyakit.

    "Tidak wajar untuk berbuat demikian. Menggantikan susu badan dengan rumusan bayi adalah seumpama menggantikan buah pinggang anda yang sihat dengan buah pinggang tiruan," jelas pakar laktasi ini.

    Bukan sahaja kesihatan bayi terjejas, malah ibu juga turut terjejas jika mereka berhenti menyusu badan serta-merta.

    Salah satu masalah yang mungkin dihadapi oleh ibu ialah pembesaran payudara atau bengkak. Ini berlaku apabila badan ibu mengeluarkan susu seperti biasa tetapi tidak dikeluarkan. Susu baru yang dibekalkan ke payudara akhirnya menyebabkan urat-urat membesar.

    "Bengkak boleh menyebabkan jangkitan payu dara yang dikenali sebagai mastitis. Kadang kala ia menyebabkan pembentukan nanah dan bengkak nanah payudara (tisu di kawasan jangkitan mengeras yang menyebabkan sakit dan simptom seperti selesema)," katanya memberi amaran.

    Menyusu badan adalah masa untuk mengeratkan hubungan antara ibu dan anak. Menyusu badan menggalakkan pelepasan oksitosin, yang juga dipanggil 'hormon kasih'. Dalam erti kata lain, ibu yang menyusu akan menikmati perasaan kasih sayang terhadap bayi mereka. Bayi pula akan merasa selamat dan terbelai oleh ibu mereka.

    Jika ibu berhenti menyusu walaupun pada bulan Ramadan, bayi mungkin kehilangan minat untuk menyusu badan. Oleh itu saat-saat hubungan ibu dan anak ini mungkin hilang begitu sahaja.

    Walaupun berpuasa tidak memberi kesan secara langsung kepada amalan penyusuan oleh ibu, informasi, sokongan dan keyakinan boleh membantu.

    Akhir sekali, perunding laktasi ini menggalakkan para ibu bahawa sekiranya mereka mempunyai keyakinan diri dan keazaman untuk menyusu badan, mereka akan dapat memberikan khasiat yang secukupnya kepada bayi mereka.

    "Paling penting sekali ialah untuk memastikan penghasilan susu yang cukup semasa bulan puasa, ibu perlu meneruskan penyusuan badan untuk mengekalkan pengeluaran susu," katanya.

    Ahad, September 06, 2009

    Wang hantaran tinggi tak janji bahagia

    Ummah kena sederhana ikut syariat dalam isu mahar kepada pengantin perempuan

    MAHAR disebut juga sebagai mas kahwin yang bermaksud satu pemberian yang diwajibkan Allah SWT ke atas suami untuk isterinya sebagai tanda penghormatan dan kasih sayang.

    Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Dan berikanlah kepada perempuan itu mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib..." (An-Nisa': 4).

    Imam al-Mawardi dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir menyebut bahawa ayat ini ditujukan kepada suami sebagai satu perintah daripada Allah yang mengarahkan suami supaya memberikan mas kahwin kepada isteri mereka dan ayat ini pada masa yang sama ditujukan kepada wali pengantin perempuan pada zaman Jahiliah kerana mereka mengambil mas kahwin dan tidak diberikan kepada pengantin perempuan.

    Allah SWT menggunakan perkataan nihlah merujuk mas kahwin dalam ayat di atas sebagai satu penegasan bahawa mas kahwin ialah pemberian khas daripada Allah untuk pengantin perempuan diwajibkan ke atas pengantin lelaki yang menjadi milik mutlak wanita dan bukannya milik wali atau keluarga wanita berkenaan.

    Ini adalah satu batas sempadan baru yang membezakan amalan orang Islam dengan amalan orang Jahiliah sebelum kedatangan Islam dan satu batas sempadan baru yang membezakan syariah yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW, Rasul terakhir dengan syariah nabi dan rasul yang terdahulu.

    Masyarakat Melayu terkenal dengan masyarakat berbudi bahasa, bersopan santun dan beradat resam. Antara ungkapan yang popular yang berkaitan dengan adat dan budaya kita ialah 'biar mati anak jangan mati adat.'

    Islam tidak pernah memusuhi adat dan budaya selagi adat itu tidak bercanggah dengan prinsip asas yang ada dalam ajaran Islam serta menguntungkan umat Islam.

    Antara adat resam kita di sesetengah negeri berkaitan adat perkahwinan ialah pemberian wang hantaran kepada pihak keluarga isteri.

    Perbezaan ketara antara mahar dan hantaran ialah mahar satu perkara wajib yang disebut dengan jelas dalam al-Quran dan A-Sunnah al-Nabawiah, manakala wang hantaran adalah satu perkara harus yang menjadi amalan masyarakat setempat.

    Pada masa kini, wang hantaran lebih diutamakan masyarakat berbanding mahar. Ini bermakna kita mengutamakan perkara harus melebihi perkara wajib. Buktinya, rata-rata mahar yang disebut ketika akad berbentuk puluhan ringgit atau ratusan ringgit saja, manakala hantaran pula berbentuk puluhan ribu ringgit.

    Ramai yang beranggapan bahawa mahar yang diberikan kepada isteri perlu sedikit agar rumah tangga lebih diberkati. Andaian ini berasaskan kepada sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Bahawa sebaik-baik nikah yang berkat itu ialah yang paling mudah mas kahwinnya." (Riwayat Abu Daud).

    Benarkah keberkatan sesebuah perkahwinan diukur dengan melihat kepada nilai mahar yang sedikit atau rendah? Jika mahar yang diberikan dalam jumlah yang rendah dan disebut dalam akad oleh pengantin lelaki seperti: "Aku terima nikahnya Pulanah binti Pulan untuk diriku dengan mas kahwin sebanyak RM99 tunai," namun pada masa sama pengantin lelaki terbeban dengan jumlah wang 'hangus' yang tidak disebut sebagai mahar tetapi disebut sebagai wang hantaran berjumlah puluhan ribu ringgit sehingga mencecah angka RM99,999.99 atau lebih daripada itu. Persoalannya adakah perkahwinan itu amat diberkati Ilahi.

    Imam al-Ghazali dalam kitab Al-Mustasfa ada menyebut lima asas penting Maqasid Syarak iaitu untuk menjaga agama, diri (jiwa raga), akal, keturunan dan harta. Perkahwinan dalam Islam bermatlamat menjaga kesucian keturunan manusia agar terus berkekalan ke akhir zaman. Islam menolak perbuatan zina kerana ia boleh mengancam institusi keluarga dan hidup berumah tangga yang menjadi asas penting dalam pembinaan masyarakat.

    Melihat kepada makna tersirat di sebalik kaitan keberkatan dalam rumah tangga dan rendahnya mas kahwin, Iman al-Shan'ani pengarang kitab Subul al-Salam menegaskan apa yang dikehendaki oleh Rasulullah ialah disunatkan berkahwin dengan mas kahwin yang rendah dan ringan.

    Imam al-Shaukani, pengarang kitab Nailul al-Author menyebut bahawa apa yang tersirat di sebalik hadis itu ialah jika mas kahwin itu rendah, sedikit dan mudah, hal ini bertujuan tidak merumitkan bakal pengantin mendirikan rumah tangga, ramai pasangan akan dapat mendirikan rumah tangga tanpa mengira mereka itu daripada golongan miskin atau kaya.

    Dengan ada perkahwinan, sudah pasti akan bertambahnya bilangan umat Islam dan membanyakkan bilangan umat Islam adalah matlamat dan wawasan utama perkahwinan dalam Islam.

    Nabi bersabda yang bermaksud: "Berkahwinlah (dengan wanita yang berakhlak mulia dan yang subur, sesungguhnya aku akan berbangga dengan jumlah kamu yang ramai. (Riwayat Abu Daud). Jelas matlamat asal hadis berkaitan rendahnya mas kahwin wanita ialah untuk mengelakkan pasangan lelaki daripada dibebani dengan hutang yang cukup berat selepas bergelar suami atau menyukarkan mereka daripada mendirikan rumah tangga lantas mereka bergelombang dengan dosa khalwat atau perzinaan.

    Namun tercapaikah apa yang tersirat di sebalik hadis itu dengan apa yang berlaku dalam masyarakat kita iaitu adat dan budaya telah membebankan pasangan pengantin lelaki bukan atas nama mas kahwin tetapi wang hantaran perkahwinan yang akhirnya menjadi wang hangus hanya sekadar membiayai majlis perkahwinan itu sendiri.

    Dalam Islam mengadakan majlis perkahwinan ialah sunnah fadilah yang digalakkan, namun disunatkan mengikut tahap kemampuan pasangan pengantin lelaki.

    Sudahlah jatuh ditimpa lagi dengan tangga, bagi bakal pengantin lelaki yang tidak berkemampuan kerana terpaksa membiayai dua kenduri serentak, satu di rumah isteri atas nama wang hantaran dan satu di rumah sendiri, hal ini tentulah membebankan pasangan pengantin lelaki.

    Dalam menghadapi kegawatan ekonomi adalah wajar kita menilai kembali adat yang tidak menguntungkan masyarakat kita terutama bagi mereka yang tidak berkemampuan, sewajarnya ungkapan 'biar papa asal bergaya' sudah tidak ada dalam pemikiran masyarakat kita setelah 52 tahun kita mencapai kemerdekaan .

    Apa guna menjadi raja sehari tetapi menjadi hamba menanggung hutang buat selama-lamanya lantaran tingginya wang hantaran yang ditetapkan.

    Lebih memedihkan lagi, tanpa mengira suami atau isteri, jika rumah tangga juga turut 'terbakar hangus' bersama wang hangus dan hanya dapat bertahan seminggu atau sebulan atau setahun.



    Meninggikan mas kahwin mereka bagi yang berkemampuan atau meninggikan bayaran wang hantaran bagi yang berkemampuan bukanlah satu kesalahan jika mahar yang tinggi itu tidak menyusahkan dan menyukarkan proses pernikahan dan dilakukan dengan tulus ikhlas dan tidak disertakan dengan niat untuk menunjuk-nunjuk atau berada dalam perlumbaan meninggikan mahar atau wang hantaran.



    Ada kalanya mahar yang tinggi milik mutlak isteri jika diurus dengan baik boleh dijadikan payung ketika hujan, bukankah menyediakan payung sebelum turunnya hujan satu sifat yang terpuji.

    Apabila hari hujan tempat berteduh pasti dicari, adalah lebih baik meninggikan mas kahwin dengan kadar yang sepatutnya yang bakal digunakan, contohnya sebagai pendahuluan membeli rumah sebagai tempat berteduh yang kekal yang pasti akan membahagiakan pasangan yang baru berkahwin daripada dihanguskan wang berkenaan kerana namanya wang hangus semata-mata untuk berbangga dengan majlis perkahwinan dan hasilnya ialah ucapan pujian daripada tetamu kedengaran kerana indah dan gahnya majlis perkahwinan, namun pasangan suami isteri kekal berteduh di rumah sewa.

    Masihkah kita ingin bersikap menang sorak kampung tergadai atau bersederhana yang pastinya sifat terpuji.

    Bahana dadah

    Oleh Hazirah Che Sab
    zeehan@bharian.com.my




    Anak kecil, warga tua dan anggota keluarga jadi sasaran 'bangkai bernyawa'

    SEBAIK umat Islam melangkah masuk tahap 10 hari kedua Ramadan yang dijanjikan pengampunan, rakyat Malaysia sebaliknya dikejutkan dengan kematian seorang kanak-kanak tidak berdosa di tangan bapa saudaranya, seorang penagih dadah tegar, Selasa lalu.

    Dalam kejadian di Gua Musang itu, Mohd Adam Azrai Rosman, 3, sedang seronok menunjukkan baju raya baru dibeli apabila bapa saudaranya yang berusia 22 tahun tiba-tiba meluru dan terus menikam rusuk mangsa dengan pisau.

    Siasatan awal polis mendapati suspek dipercayai penagih tegar baru saja mengambil dadah ketika melakukan jenayah menyayat hati itu.

    Dia dipercayai bertindak kejam kerana hasratnya berkahwin ditentang keluarga termasuk bapa mangsa, Rosman Mohd Nor, 41, kerana tidak mempunyai sebarang pendapatan bagi menyara dirinya sendiri atau pun insan bergelar isteri.

    Tiada yang lebih menyayat hati daripada imbasan wajah comel Mohd Adam Azrai terpampang di dada-dada akhbar sehari selepas kejadian - wajah suci anak kecil yang tidak mengerti apa-apa, jauh sekali erti dendam dan sakit hati.

    Sebuah rumah di Temerloh hangus dibakar sekumpulan penagih dadah, tahun lalu.

    Mohd Adam Azrai bukan mangsa pertama penangan najis dadah yang tidak boleh dinafikan berjaya mengambil alih mengawal kewarasan penagih untuk melakukan tindak tanduk di luar batas kemanusiaan.

    Mereka sudah tidak kenal saudara jika ketagihan memuncak dan dalam keadaan khayal selepas mengambil najis dadah itu, fikiran yang tidak stabil boleh mendorong penagih dadah melakukan apa saja, hatta membunuh sekalipun.

    Malah kisah penagih dadah membuat kecoh dan mengugut anggota keluarga sudah kerap dilaporkan. Dalam kejadian Ogos lalu di Kuala Terengganu, seorang lelaki yang dipercayai penagih tegar dimasukkan ke Wad Psikiatrik Hospital Sultanah Nur Zahirah selepas mengamuk dan mengugut untuk meracun ahli keluarga serta jirannya.

    Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi di Kampung Kelulut, Marang, suspek yang tinggal bersama ibu bapa dan kakaknya dikatakan tiba-tiba mengamuk dengan bertindak memecahkan cermin dan barangan dalam rumah, memotong wayar elektrik dan memancitkan tayar kereta milik keluarganya.

    Mek Mong Mamat menjadi mangsa tetakan penagih dadah.

    Sementara itu, di Kota Sarang Semut, Kedah, pada Julai lalu, seorang lelaki yang tidak sampai 24 jam dibebaskan dari penjara, dipercayai penagih dadah membakar 30 naskhah al-Quran yang disimpan dalam sebuah masjid di Kampung Tualang.

    Seorang cucu pula sanggup mengugut membunuh nenek sendiri berusia 86 tahun sebelum meragut dua rantai emas dan satu loket berlian bernilai kira-kira RM3,500 miliknya di Kampung Molek dalam kejadian di Dungun pada November lalu.

    Hasil siasatan mendapati suspek dipercayai seorang penagih dan pernah ditahan kerana mencuri barangan milik ibu saudara serta adik-beradiknya, selain kesalahan dadah.

    Dalam kejadian lebih kejam pada 2007 di Georgetown, seorang wanita warga emas berusia 56 tahun dipukul hingga mati sebelum mayatnya dibakar, dipercayai dilakukan seorang penagih dadah. Lelaki berusia 30-an itu dipercayai membunuh wanita berkenaan selepas mangsa enggan menyerahkan wang kepadanya.

    Mudah sebenarnya meneka apa yang bersarang dalam fikiran mereka apabila sudah dikuasai najis dadah sehingga sanggup bertindak sedemikian rupa. Kewarasan yang semakin terhakis disebabkan ketagihan dadah menjadikan mereka hilang pertimbangan sebagai manusia, sebaliknya cuma menurut nafsu yang dipandu iblis untuk bertindak di luar batasan.


    Penagih dadah sering hilang pertimbangan

    PENGAMBILAN dadah perangsang dalam tempoh panjang akan merosakkan fizikal dan mental kerana ia adalah campuran bahan beracun, kata Perunding Psikiatri Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof Madya Dr Ahmad Hatim Sulaiman.

    Beliau berkata, selain kerosakan gigi, gusi, sistem penghadaman dan hati, kesan paling teruk ialah kerosakan saraf otak yang boleh menyebabkan penagih menjadi gila.

    “Nasihat saya jangan sesekali mencuba. Pengedar mendakwa ia tidak menyebabkan ketagihan tetapi saya mahu tegaskan dadah sintetik memang menyebabkan ketagihan. Sekali mencuba, mereka akan terus ketagih.

    “Mereka yang mengambil dadah ini akan mengalami simptom seperti mendengar suara, percaya adanya ancaman yang mendorong mereka bertindak ganas termasuk membunuh.

    “Selepas mengambil dadah itu, reaksi penagih bergantung kepada keadaannya ketika itu. Jika takut, dia akan berasa sangat takut seperti mendakwa nampak hantu dan jika dalam keadaan marah, mereka akan bertindak agresif,” katanya.

    Beliau berkata, Jabatan Perubatan Psikologi Fakulti Perubatan PPUM ada menyediakan rawatan untuk penagih dadah sintetik sejak setahun lalu dan mencatatkan kejayaan memberangsangkan.

    “Kami membekalkan ubat dan rawatan percuma selama tiga bulan untuk penagih dadah sintetik kerana masih pada peringkat kajian. Mereka dirawat dengan ubat dan psikoterapi. Dalam kes ini, seramai 40 penagih tegar dadah sintetik terbabit dan boleh katakan lebih separuh daripada mereka sudah sembuh sepenuhnya.

    “Bagi kes teruk, penagih akan ditempatkan di wad untuk seminggu atau dua minggu kemudian dibenarkan keluar selepas mendapati keadaan mereka semakin stabil. Bagi sebulan atau dua bulan, rawatan susulan dilakukan seminggu sekali dan seterusnya bergantung kepada keadaan mereka.

    “Ada yang datang secara sukarela selepas membaca iklan dalam akhbar dan ada juga keluarga yang datang merujuk anggota keluarga mereka ke sini. Peratus kejayaan begitu memberangsangkan,” katanya.

    Katanya, penagih atau keluarga yang berminat boleh menghubungi beliau di talian 03-79604367 untuk maklumat lanjut.

    Sementara itu, Presiden Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi, berkata penagih yang mengambil dadah sintetik membabitkan campuran bahan kimia cenderung hilang pertimbangan dan bertindak agresif hingga membahayakan orang lain.

    Mengulas kejadian menyayat hati yang menimpa Mohd Adam Azrai, Mohd Yunus, berkata dadah sintetik seperti syabu mampu membuatkan penagih berdepan kemurungan teruk dan cepat marah.

    “Pengambilan ganja dalam tempoh lama juga memberikan kesan sama. Dalam kejadian itu, penagih mungkin nampak kanak-kanak berkenaan sebagai objek yang mengancam dan membuatkan dia bertindak menikam mangsa.

    “Sebenarnya banyak lagi kes seumpama itu yang berlaku tetapi tidak dilaporkan. Jenayah dilakukan penagih tegar seperti rogol, sumbang mahram, pukul sehingga membabitkan pembunuhan tidak dilaporkan keluarga.

    “Mereka mungkin malu untuk berdepan tindakan polis dan mahkamah tetapi sikap itu menyebabkan tragedi berlaku. Malah ada kes suami isteri yang sudah bercerai tetapi masih tinggal serumah semata-mata untuk menjaga status kemasyarakatan mereka,” katanya.

    Mohd Yunus menggesa keluarga supaya segera melaporkan kehadiran penagih tegar di kalangan mereka kepada pihak berkuasa untuk mengelakkan kejadian yang menimpa Mohd Adam Azrai tidak berulang lagi.

    “Hasil 18 tahun membabitkan diri mengendalikan kaedah pemulihan, saya dapati keluarga tidak mengizinkan laporan dibuat mengenai anggota keluarga mereka yang menagih dadah. Saya minta mereka buang rasa malu, sebaliknya laporkan segera kepada badan seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) demi keselamatan keluarga.

    “Penagih seperti ini tidak boleh mengawal kemarahan mereka atau panas baran. Perkara biasa kepada orang lain dilihat besar oleh penagih dadah sintetik dan mendorong mereka bertindak ganas,” katanya.

    Angkara internet

    Remaja murtad lari dari rumah selepas akrab dengan mubaligh di Facebook


    IA sepatutnya cuma satu kes perselisihan biasa keluarga yang boleh berlaku di mana-mana pun, antara anak remaja yang memberontak dengan ibu bapa yang sekadar menjalankan tanggungjawab mereka. Malangnya, gara-gara campur tangan pihak ketiga yang bermula menerusi internet, pertikaian itu berlanjutan dari rumah ke mahkamah, daripada seorang Islam menjadi murtad.

    Inilah nasib pasangan suami isteri Sri Lanka yang menetap di Amerika Syarikat, Mohamed Bary dan Aysha Risana, selepas anak kesayangan, Fathima atau turut dikenali Rifqa, 17, memeluk Kristian dan lari dari rumah.

    Dalam insiden Julai lalu, Rifqa Mohamed Bary, meninggalkan keluarganya di Ohio dan ke Orlando selepas perkenalan singkat dengan sekumpulan mubaligh Kristian, Global Rovolution Church di Orlando pimpinan paderi, Blake Lorenz dan isterinya, Beverly, di laman sembang popular, Facebook. Rifqa kini tinggal di rumah keluarga angkat beragama Kristian itu sementara menunggu kes mahkamah berhubung nasib dirinya, selesai.

    Belum pun air mata Mohamed Bary dan Aysha Risana kering selain cercaan sebagai ibu bapa zalim, kini mereka berdepan perebutan hak penjagaan Rifqa selaku waris yang sah, dengan kumpulan mubaligh berkenaan.

    Dalam sekelip mata, kontroversi yang menjadi tumpuan media antarabangsa, bualan di alam siber selain mencetuskan perbalahan agama antara kumpulan Islam yang menyifatkan insiden itu masalah keluarga yang dimanipulasi pihak tertentu, manakala pertubuhan Kristian menganggapnya isu kebebasan beragama dan bukti betapa 'perang suci' Kristian-Islam semakin ketara.

    Tidak ramai menyedari, di sebalik tuduhan dilemparkan, hakikatnya keadaan masih terkawal kerana toleransi masyarakat Islam Amerika yang tidak mudah melatah dengan kejadian itu. Bayangkan keadaan yang pasti lebih buruk jika Rifqa adalah remaja Kristian yang melarikan diri ke rumah pendakwah Islam yang mungkin disusuli tunjuk perasaan serta tuduhan jenayah culik.

    Apa dikesali, kejadian itu bukan lagi bertumpu kepada keluarga yang kehilangan anak serta kesalahan jenayah pasangan mubaligh menyembunyikan gadis bawah umur selama tiga minggu, tetapi cubaan jahat pihak tertentu menonjolkan Mohamed Bary dan Aysha sebagai ibu bapa kejam yang mahu membunuh Rifqa atas alasan ‘pembunuhan bermaruah,’ biarpun seperti kenyataan polis Columbus, Ohio, menyatakan tiada bukti bagi menyokong dakwaan itu.

    Malah jika dilihat, ada dua versi berbeza mengenai kemelut diri Rifqa ini iaitu beliau murtad selepas berkawan baik dengan pasangan mubaligh Global Revolution Church yang ditemui di Facebook, manakala versi lain pula mendakwa Rifqa murtad lebih setahun lalu selepas berkawan rapat dengan anggota kumpulan gereja itu di sekolahnya.

    Namun dalam kebanyakan laporan, termasuk kecaman media tempatan yang mempertikaikan peranan mubaligh itu yang menyebabkan Rifqa murtad dan lari dari rumahnya. Jika tidak, mana mungkin remaja yang biarpun berusia 17 tahun tetapi bentuk tubuhnya yang kecil menyamai gadis 13 tahun memperoleh tiket bas yang membawanya ke rumah Blake.

    Hanya selepas tiga minggu, barulah Blake memaklumkan keluarga Rifqa mengenai kehadiran remaja itu di rumah mereka. Belum pun reda kejutan itu, ibu bapa Rifqa hanya mampu beristighfar melihat kemunculan anak gadis mereka di internet yang dalam dakapan Blake, menangis dan mendakwa diugut bunuh oleh ibu bapanya yang marah dengan tindakannya mendekati Kristian.

    “Ayah mahu membunuh saya atau mungkin menghantar saya pulang ke Sri Lanka, ke rumah khas untuk orang murtad seperti saya,” katanya berulang kali, seolah-olah melontarkan skrip atau dialog disediakan pihak ketiga.

    Rifqa mendakwa dirinya bakal menjadi mangsa ‘pembunuhan bermaruah’ yang dilakukan segelintir masyarakat Muslim di pedalaman Pakistan dan beberapa negara Arab yang lebih mengutamakan adat daripada mematuhi peraturan sebenar Islam.

    “Saya sedih melihatnya. Dia bukan seperti Rifqa yang saya kenali. Fikirannya sudah diracuni pihak lain,” kata Mohamed Bary yang menyangkal tuduhan anaknya.

    Peguam Mohamed Bary, Craig McCarthy berkata, keluarga Rifqa amat terkejut dengan dakwaan gadis itu kerana hakikatnya baik ibu mahu pun bapanya bukanlah jenis zalim. Buktinya, Rifqa selama ini bebas melakukan apa saja, termasuk memakai skirt dan menyertai pasukan sorak yang tidak mungkin dilakukan gadis Muslim yang berasal dari keluarga alim.

    Timbul persoalan, mungkinkah beliau diajar Global Revolution Church supaya menggambarkan kezaliman Islam dan ibu bapanya? Tanpa rasa takut Blake secara terang-terang membuat pengakuan kepada wartawan beliau yakin tindakannya itu sebahagian ‘perang suci’ memerangi Islam.

    “Ini adalah saat-saat akhir, detik di hujung zaman. Konflik Kristian dan Islam ini akan terus berleluasa. Konflik antara yang baik dan syaitan ini akan semakin ketara,” kata Blake, seperti dilaporkan media.

    Sengsara poligami

    Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
    bminggu@bharian.com.my

    Suami muda buntu pilihan isteri pertama atau kedua

    Soalan:
    SAYA berusia 27 tahun, sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata berusia setahun. Bagaimanapun, belum sempat menyambut ulang tahun kedua perkahwinan, saya berkahwin lagi dengan bekas kekasih. Saya memang tidak mampu menolaknya dan dia juga sanggup membelakangkan keluarga untuk menjadi isteri kedua saya. Sekarang ini saya keliru, memilih isteri pertama atau kedua. Isteri pertama tidak dapat menerima hakikat saya berkahwin lagi dan meminta saya menceraikannya. Isteri kedua pula tidak kisah asalkan saya berlaku adil. Saya pula menyayangi kedua-duanya. Apa saranan puan?

    Khiry

    Jawapan:
    Salam ‘macho’ buat Khiry yang mabuk cinta. Anda adalah lelaki yang sangat prihatin dengan perasaan sendiri dan sangat ghairah untuk melebarkan cinta atas nama lelaki. Sikap ini baik kerana hendak menyelamatkan wanita, tetapi tindakan ini juga sangat melukakan wanita!

    Lelaki ialah hadiah daripada Allah SWT dan anda dibekalkan dengan diri yang sasa dan hebat. Namun, perlu diingat, semua ini bukan diberi percuma oleh Allah SWT kepada lelaki. Ini kerana fungsi utamanya untuk membina kebahagiaan keluarga, menjadi anak soleh yang menyenangkan hati dan kehidupan orang tua dan menjaga mereka dengan penuh kasih sayang.

    Kemudian anda diamanahkan jawatan sebagai suami untuk membimbing isteri menjadi isteri solehah, kemudian dinaikkan pangkat sebagai ayah, mendidik dan membimbing serta menjadi contoh terbaik kepada anak agar mereka menjadi anak yang soleh dan solehah, kerana syurga isteri juga di tangan anda. Anda dipertanggungjawabkan untuk mendidik anak dan isteri agar anda dan mereka mampu menjawab depan Allah SWT nanti atas sebab anda dilahirkan di dunia ini.

    Kontrak paling banyak tanggungjawab di hadapan Allah SWT nanti ialah kontrak perkahwinan. Kasih sayang dan cinta kepada manusia yang meluap-luap tanpa disandarkan kepada Allah SWT, bukan kerana Allah SWT dan tidak mohon reda Allah SWT, malah hanya berpaut kepada cinta nafsu saja adalah perkahwinan yang bertunjangkan nafsu. Ia tidak akan membawa anda berasa nikmatnya bahagia baik di dunia dan akhirat.

    Oleh itu sebelum anda dilaknat Allah SWT kerana berhasrat berpoligami bukan sebab yang dibenarkan oleh Allah SWT, melukakan hati isteri, menggugat hubungan mesra, ikhlas dalam keluarga, renggang hubungan dengan ibu bapa dan ipar duai, lebih baik berfikir menggunakan alasan agama bukan alasan cinta nafsu yang meluap hingga akhirnya anda bukan menikmati cinta bahagia tapi akhirnya membina istana yang panas bak neraka di dunia. Jika tidak bahagia di dunia, sulit untuk kita menikmati syurga di akhirat.

    Cuba bayangkan, bekas kekasih anda sanggup membelakangkan keluarganya kerana mahu menikahi anda, ini bermakna perkahwinan anda tidak direstui orang tuanya. Jarang perkahwinan sebegini akan meraih buah yang namanya bahagia. Oleh kerana restu orang tua amat penting dalam apa saja urusan seorang anak terutama perkahwinan. Sudah dipesan agama, reda Allah SWT ada dalam redanya ibu bapa. Satu lagi cuba fikirkan sikap dan pegangan agama dan keyakinan mempunyai Tuhan bekas kekasih anda itu. Jika dia memahami agama dan mentaati perintah Tuhan dan hidup dengan berpegang kepada prinsip bertuhan, dia tidak akan sanggup melukakan dan membelakangkan ibu bapa dan keluarga yang sudah membesarkan dia dari dua jari telapak kaki sehingga pandai bercinta dengan anda.

    Jika jasa yang sebesar ini tidak dapat dihargai dan dibalas dengan baik, malah dia sanggup pula meninggalkan mereka, hanya kerana memburu anda yang sudah bergelar suami dan ayah! Jadi baikkah dia? Hinggakan anda harus melukakan hati isteri yang anda nikahi dengan sah dan dengan restu orang tua. Ingat, jika seseorang sanggup tidak menghormati dan menyayangi kedua orang yang melahir dan membesarkan dan dengan mudah meninggalkan ibu dan ayahnya, dia juga akan senang nanti meninggalkan anda yang hanya berjasa sebagai bekas kekasih saja.

    Jika dia sanggup melakukan hal sedemikian, dia juga tidak akan ragu-ragu untuk melakukan apa saja untuk mendapatkan apa yang dia hajatkan di dunia ini tanpa memikirkan perasaan malu dengan kedua-dua orang tuanya, perasaan isteri anda dan perasaan orang yang ada di persekitarannya. Adakah anda yakin dia mencintai anda dengan cinta sejati atau cinta nafsu saja.

    Jika dia benar-benar mencintai anda, dia tidak akan mengganggu anda selepas dia mengetahui anda sudah berkeluarga dan dia juga tahu perkahwinan kedua pasti akan menggugat keharmonian rumah tangga pertama anda. Jika dia memegang prinsip hidup beragama yang kental, dia akan melihat perkara itu sebagai tidak ada jodoh. Sebab dia tahu jodoh di tangan Tuhan, bukan di tangannya. Dia juga pasti akan menghormati perkahwinan anda dan sepatutnya dia mampu menganggap anda sebagai sahabat atau melupakan saja anda kerana Allah SWT.

    Malah dia sepatutnya mendoakan kebahagiaan anda kerana sudah jelas dan nyata anda dengan dia tidak tertulis jodoh. Ini tanda wanita yang baik hati dan jauh daripada sifat balas dendam atau sifat tamak sesama wanita. Selain itu hormatilah isteri yang sudah anda nikahi dan sudah berkorban untuk menghadiahkan anda seorang cahaya mata.

    Ingatlah pesan orang tua ‘bila anda melukakan, anda tidak akan dapat lari daripada dilukai.’ Tambahan pula perkahwinan anda sangatlah baru dan mentah lagi. Mungkin saja anda berasa terhimpit dengan cubaan ini, kerana anda tidak sedar bahawa jalan keluarnya ada di tangan Sang Pencipta. Akhir sekali Umi pesan, jangan bersedih, sebab usia anda yang sebenarnya adalah kebahagiaan dan ketenangan hati anda.

    Oleh sebab itu, jangan habiskan usia muda anda dengan kesedihan, jangan lalui malam anda dengan gelisah dan cemas, dan jangan biarkan minit-minit hidup anda untuk gundah dan jangan berlebihan memburu cinta dalam hidup ini sebab Allah SWT tidak suka orang yang suka berlebih-lebihan.

    Sentiasalah bergerak, bekerja, mencari, membaca kitab suci al-Quran hingga waktu anda terisi sebaik-baiknya. Jangan biarkan seminit pun disia-siakan. Ingatlah sehari saja anda tiada aktiviti sehinggakan ada hari yang terbiar kosong nescaya gundah gulana, keresahan, kerenah godaan dan bisikan syaitan akan mudah menyelinap dalam tubuh anda.

    Apabila ini terjadi, anda sudah menjadi lapangan permainan syaitan. Berhati-hatilah membuat keputusan, jangan sampai yang diburu tak dapat, yang dikendong berciciran....atau ayam terlepas tangan bau tahi. Cinta yang tidak berlandaskan Tuhan tidak akan membawa kita ke syurga Allah SWT.

    ‘Hidup kami susah’

    Oleh Mohd Sabran Md Sani

    KOTA BHARU: “Puasa atau tidak, bagi kami sama saja kerana sudah biasa dengan keadaan seperti ini,” kata Mek Jah Yaakob, 48, ibu kepada 18 anak yang hidup dalam kemiskinan di Kampung Pantai Pulau Kundur, Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini.

    Walaupun tiga anaknya meninggal dunia selepas dilahirkan, Mek Jah bersama suaminya, Isa Hassan, 51, tetap tabah mengharungi dugaan membesarkan 15 anak lain.

    Katanya, beban ditanggung sedikit berkurangan selepas empat anaknya berumah tangga dan kini masih menyara 11 lagi anak yang kebanyakannya bersekolah.

    Mek Jah berkata, dia bersama suami terpaksa membanting tulang empat kerat mencari pendapatan tambahan dengan mengutip lokan dan rebung nipah untuk dijual kepada penduduk sekitar.

    “Beginilah rutin kami sekeluarga. Setiap hari, saya dan suami akan pergi ke kawasan yang mempunyai banyak pokok nipah untuk menuai bunganya sebelum direbus dan dijual kepada pelanggan.

    “Selain itu, pendapatan yang sekadar cukup makan juga diperoleh daripada usaha gigih suami mencari lokan di kawasan berhampiran, selain menjaring ikan,” katanya yang juga anak jati kampung berkenaan.

    Mek Jah yang mendirikan rumah tangga dengan suaminya sejak 34 tahun lalu berkata, mereka sekeluarga sudah dua kali berpindah berikutan kediaman runtuh akibat dimakan anai-anai.

    “Sebaik kediaman pertama runtuh, saya dan suami bertungkus-lumus mendirikan rumah baru menggunakan kayu lama yang dibuang orang kampung.

    “Nak beli rumah baru, memang tidak mampu. Mahu atau tidak disebabkan mempunyai ramai anak, kami usahakan juga membinanya,” katanya yang turut memiliki 12 cucu.

    Katanya, akibat tidak memiliki sijil kelahiran, beberapa anaknya kini tercicir dalam pelajaran, manakala yang lain berhenti sekolah lebih awal kerana tidak mampu menyediakan kelengkapan persekolahan.

    “Ibu mana yang tidak mahu anak-anak pandai. Mak cik pun mempunyai perasaan seperti itu, tetapi apakan daya kami kerana desakan hidup menyebabkan perkara itu berlaku.

    “Bagaimanapun, kini hanya dua adik mereka saja yang meneruskan pelajaran di sekolah berdekatan dengan salah seorang menerima bantuan Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin (KWAM),” katanya.

    Sabtu, September 05, 2009

    Merayau bawa botol susu

    Oleh Mohd Nasif Badruddin dan Zainuddin Muhammad

    KUALA TERENGGANU: Keprihatinan seorang anggota polis mencari rumah seorang kanak-kanak yang ditinggalkan bersendirian di sebuah kedai makan di Jalan Sultan Omar di sini, kira-kira jam 2 pagi menjelang waktu bersahur Isnin lalu, wajar diberi pujian.


    Kanak-kanak yang ditemui seorang pekerja kedai makan sambil memegang botol susu dan hanya berdiam diri ketika ditanya di mana rumahnya itu kemudian diserahkan kepada Lans Koperal Mathazir Ismail, 52, yang kebetulan berada di situ.


    Meskipun boleh bersikap mudah dengan membawa kanak-kanak itu ke balai polis untuk diambil tindakan susulan, anggota polis itu kasihan dengan nasibnya dan merasakan dia tinggal
    berdekatan kawasan itu.



    Selepas memujuk, kanak-kanak itu menuding jari ke arah pusat bandar apabila ditanya kedudukan rumahnya sebelum Mathazir mendukungnya dan berjalan kaki dari rumah ke rumah di sekitar Jalan Sultan Omar.


    “Kami ditemani tiga anggota polis trafik mula mengunjungi setiap rumah, namun agak sukar mengejutkan penghuni kerana waktu sudah menunjukkan jam 2.30 pagi dan ramai sedang tidur.


    Menurutnya, selepas 30 minit berjalan sejauh satu kilometer, mereka menemui sebuah rumah di Lorong Tekukur yang dicam kanak-kanak itu dengan menganggukkan kepalanya sebagai isyarat.


    “Kami mengetuk pintu hampir 15 minit sebelum dibuka seorang wanita berusia 30-an yang kemudian mengaku kanak-kanak itu anaknya.



    “Selepas ditanya, ibu dan bapa kanak-kanak itu mengaku tidak menyedari kehilangan anaknya itu serta menyatakan anak mereka keluar tanpa disedari.


    “Lega rasanya dapat menemui ibu bapanya walaupun beberapa persoalan bermain di fikiran saya masih belum terjawab selain sukar menerima hakikat kanak-kanak itu mampu keluar rumah tanpa disedari dan berjalan kaki sejauh itu,” katanya.


    Menurutnya, beberapa pekerja restoran dan pelanggan memberitahu ada melihat kanak-kanak itu makan bersama orang dewasa beberapa jam sebelum kejadian itu, tetapi tidak pasti sama ada dia orang yang sama dilihat.

    Ibu tak sanggup pulang ke rumah

    Oleh Ramli Ibrahim

    GUA MUSANG: Ibu mangsa bunuh membabitkan seorang kanak-kanak tiga tahun yang ditikam bapa saudaranya Selasa lalu masih trauma dengan kejadian menimpa anaknya itu.

    Yusnisuhaila Yusoff, 36, yang belum dapat menerima hakikat kematian anak kesayangannya itu sehingga kini tidak boleh pulang ke rumah atau melihat pakaian serta mainan kegemaran anaknya.

    Walaupun kejadian itu berlaku di rumah ibunya di Kampung Melayu, dekat sini, Yusnisuhaila belum dapat melupakan peristiwa paling menyayat hati dalam hidupnya.

    Suaminya, Rosman Mohd Noor, 41, berkata Yusnisuhaila tidak mampu melihat dua rumah itu yang menjadi kenangan manisnya bersama arwah, Mohd Adam Azrai Rosman.

    “Kejadian itu menyebabkan isteri bukan saja tidak mahu duduk di rumah ibunya, tetapi rumah kami sendiri di Kampung Tanah Puteh kerana banyak pakaian dan mainan baru dibeli untuk mangsa.

    “Selepas kejadian, kami terpaksa berkumpul dan tinggal sementara di rumah datuk di Kampung Lembaga kerana masih trauma dengan kejadian itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

    Menurutnya, alat permainan di rumah mereka mengimbau detik paling menggembirakan dengan arwah yang sudah pandai bercakap dan meminta sesuatu.

    “Permainan itu menjadi kegemaran arwah Mohd Adam sejak dia pandai bercakap dan pandai meminta sesuatu beberapa bulan lalu hingga memaksa saya bersama isteri melayani kerenahnya.

    “Bukan isteri saja, saya sendiri menitiskan air mata apabila melihat pakaian raya yang baru dibeli untuk Mohd Adam dan itu semua hanya tinggal kenangan buat selama-lamanya,” katanya sebak.

    Rosman berkata, dia bersama isteri terpaksa melupakan sementara rumah sendiri sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.

    “Sekarang ini saya tidak boleh cakap apa-apa kerana keadaan keluarga kami masih diselubungi kesedihan selepas berlaku tragedi memilukan Selasa lalu.

    “Saya masih teringat-ingat kenakalan anak kami itu, selain sifat manja dan periangnya,” katanya.

    Katanya, dia sendiri belum dapat meneruskan kerja sebagai pemandu lori mengangkut kelapa sawit di Kampung Kuala Betis kerana sering terbayang-bayang wajah anaknya itu.

    Aksi miang ‘atuk gatal’

    Oleh Mohd Jamilul Anbia md Denin




    KUALA LUMPUR: Segelintir warga emas yang dikategorikan sebagai miang menjadikan wanita asing yang berkeliaran di Jalan Pudu di sini, sebagai kekasih sampingan bagi memuaskan nafsu.

    Walaupun menderita dari segi fizikal yang kian dimamah usia, keinginan membuak untuk dibelai dan ditemani ‘buah hati’ langsung tidak menjadi halangan golongan ‘atuk gatal’ ini daripada meneruskan niat mereka.

    Malah, ada antara golongan warga emas ini turut bergantung dengan pil perangsang seks bagi membangkitkan nafsu.


    Seorang peniaga restoran di Jalan Pudu berkata, kebanjiran gadis dan wanita warga asing terutama dari China sejak beberapa bulan lalu menyebabkan kawasan terbabit menjadi sarang hubungan cinta gelap antara lelaki tempatan dan golongan wanita ini.


    Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Don, 35, berkata perempuan simpanan warga asing ini yang disifatkannya sebagai wanita murahan sanggup menjalin cinta dengan dua hingga empat lelaki dalam satu-satu masa asalkan mendapat wang.


    Menurutnya, kebanyakan ‘perempuan simpanan’ ini dikesan menghuni pangsapuri berhampiran yang disewa beramai-ramai dengan anggaran sewa sekitar RM2,000 sebulan.


    “Mereka (gadis) ini bukan menawarkan cinta sejati sebaliknya hanya sebagai teman di kalangan warga emas yang rata-ratanya berusia lebih 60 tahun.


    “Golongan gadis pisau cukur ini yang merantau jauh dari China atau Thailand biasanya akan menawarkan diri untuk menjadi perempuan simpanan asalkan mereka diberikan nafkah wang setiap kali temu janji diatur,” katanya.


    Menurutnya, kebanyakan mereka umpama kupu-kupu pagi apabila dilihat berkeliaran seawal jam 7 pagi untuk bertemu teman lelaki warga emas yang datang untuk bersarapan di gerai atau medan selera berhampiran.


    “Biasanya lelaki warga emas ini yang datang dengan berjalan kaki atau berkereta akan duduk di dalam kedai sebelum menghubungi buah hati menggunakan telefon bimbit bagi memaklumkan kehadiran mereka.


    “Selang beberapa minit kemudian, gadis simpanan berkenaan yang siap berdandan dan berpakaian seksi muncul sebelum duduk di samping teman lelaki berkenaan,” katanya.


    Beliau berkata, gadis warga asing ini cukup bijak melayan warga emas ini apabila tanpa segan silu bersandar di bahu atau sengaja mengurut tangan atau bahu kekasih hati masing-masing sambil berbual kosong.


    “Mereka kemudian akan mengikuti gadis terbabit ke rumah sewa mereka,” katanya.


    Sementara itu, tinjauan wartawan Harian Metro mendapati beberapa kafe dan medan selera di kawasan berkenaan menjadi tumpuan golongan warga emas berpeleseran dengan tanpa segan silu berpelukan atau makan semeja dengan gadis yang 40 tahun lebih muda dari mereka.

    SUATU PERJALANAN

    SUATU PERJALANAN

    "Tanggungjawab suami selain memberi nafkah dan mencari rezeki, jangan lupa bimbing anak dan isteri. Kalau suatu hari berlaku selisih faham, jangan cepat menuding jari. Duduk berbincang dan cari kata sepakat. Tiada bumi tak ditimpa hujan." Teringat pesan ayah di suatu petang.

    "Ayah dulu bila arwah mak mula bising bersuara, ayah tak balas dengan kata-kata. Ayah keluar hidupkan motor, pergi ke Behrang cari mee goreng mamak. Bila sampai saja di rumah, ayah hulur pada arwah Mak, muka yang tadi masam terus tersenyum riang. Suami kena tahu kesukaan isteri, supaya mudah memujuk hati," ayah menambah berkongsi pengalaman selama 41 tahun bersama arwah Mak.

    Persefahaman antara suami dan isteri bukan boleh dicapai sehari dua. Ia merupakan satu perjalanan sepanjang usia perkahwinan. Cabaran dan dugaan pastinya tidak sama, di awal, pertengahan dan di hujungnya. Justeru, sikap saling memberi dan menerima sangat perlu dipupuk dan dibaja. Memberi kelebihan diri untuk saling melengkapi. Menerima kekurangan untuk saling menginsafi, suami mahu pun isteri bukanlah manusia sempurna.


    SILAP ISTERI


    Kesilapan isteri bermula apabila melupakan kebaikan suami kerana benci dengan sikapnya yang tidak menyenangkan hati. Silap menjadi dosa andai keistimewaan suami orang yang sering dibicara. Keburukan suami dijaja, atas alasan minta nasihat rumahtangga. Tapi apa maknanya kalau semua orang bercerita. Rasulullah SAW pernah mengingatkan melalui sabdanya yang bermaksud :

    []Wahai kaum wanita, aku lihat []
    []kamu ini lebih banyak di neraka".[]

    []Seorang wanita lalu bangun bertanya, 'Apakah yang menyebabkan yang
    []demikian? Adakah sebab kami ini kufur?' []

    Rasulullah SAW menjawab, 'Tidak. Bukan begitu. Tetapi ada dua tabiat kamu
    []
    []yang tidak elok yang boleh menjerumuskan kamu kedalam neraka: []

    []1. Kamu banyak mengutuk atau menyumpah []
    []2. Kamu kufurkan kebaikan suami.' []



    Ada kalanya, isteri merajuk tanpa sepatah kata. Suami yang tak tahu menahu, terus buat biasa. Muka isteri semakin kelat, hilang serinya. Menahan ego diri, ingin dipujuk dengan kata cinta, namun tidak berbicara dan bersemuka. Suami tertanya-tanya sendiri, akhirnya terasa hati. Salah siapa agaknya, bila masing-masing memendam rasa. Kasih mula bertukar marah. Marah marak menyala benci.


    YANG LEBIH, YANG KURANG


    " Awak beruntung ye, dapat suami yang memahami. Tak seperti saya. Hari-hari menjeruk rasa, " luah seorang teman yang baru beroleh cahaya mata.

    " Suami saya juga ada kurangnya. Tapi kelebihannya lebih banyak untuk saya perkatakan. Saya pun isteri yang ada salah dan silap, " jawab saya supaya dia buka mata.

    " Ada suami yang tak pandai urusan rumah tangga, namun dia bijak berjenaka, meriah suasana. Ada suami yang jarang menghadiahkan bunga, tapi selalu membelanja anak dan isteri dengan makanan istimewa. Dan ramai juga suami yang tidak reti memujuk, bermain kata. Tapi mudah bertoleransi bila diminta bantu sini dan sana . Ketepikan kekurangannya dan ambil kelebihan. Pasti awak juga akan rasa bertuah beroleh suami seperti dia." pujuk saya lagi. Moga-moga dia berubah hati. Kembali ' memandang tinggi ' kehadiran seorang suami.


    ENGKAU TERBAIK UNTUKKU


    " Sedangkan lidah lagi tergigit, apa pula suami isteri, buang yang keruh, ambil yang jernih. Baru teguh peribadi."


    Wahai teman bergelar isteri, mari kita muhasabah diri. Pohon keampunan dari Ilahi agar cinta Nya bersemi kembali. Banyakkan istighfar dan juga sedekah, kerana janji Allah setiap kebaikan menghapus kejahatan. Susunkan jemari pintalah kemaafan dari lelaki bernama suami. Jangan bertangguh dan jangan lengah. Bimbang maaf tiada serinya lagi.

    Pandang wajahnya, lihat matanya. Bisikkan di sanubari, " Terima kasih, suamiku. Engkau terbaik untuk diri ini." Ingat, kehidupan didunia adalah sementara dan jikalau kita dijodohkan, maka harus untuk mencari kebaikan dari apa jua kesalahan.

    Mencari dan terus mencari cinta Ilahi. Saling berpesan-pesan kpd kebaikan..



    [][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][][]