#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Khalwat. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Khalwat. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 10, 2010

Tiga remaja tak serik khalwat

Harian Metro
10 Dis 2010

ALOR SETAR: Tidak serik! Itu sikap tiga remaja perempuan berusia 14 hingga 16 tahun yang pernah dicekup berkhalwat dengan tiga lelaki di sebuah motel di Jalan Lencong Barat, di sini, bulan lalu apabila dicekup kali kedua di motel sama kelmarin.

Mereka ditahan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) kira-kira jam 4.15 petang bersama dua remaja lelaki berusia 16 tahun dalam sebuah bilik.

Difahamkan, dua daripada mereka masih bersekolah manakala yang lain sudah berhenti dan sering berpeleseran di sekitar bandar raya ini dengan alasan mahu mencari kerja.

Malah, ketiga-tiga remaja perempuan itu sepatutnya menunggu proses perbicaraan di Mahkamah Rendah Syariah Kota Setar, di sini, tetapi tidak serik dan menjalani dua proses perbicaraan kelak.

Ketika ditahan, seorang daripada mereka memberi alasan menemani rakan yang demam, tetapi pihak berkuasa mengesyaki mereka menyewa bilik itu sejak beberapa hari lalu berikutan beg pakaian dan baju yang berselerak.

Selain itu, ada anggota keluarga yang datang menjamin mereka berang sebaik dimaklumkan remaja terbabit dicekup lagi kurang sebulan selepas ditahan kali pertama.

Ketua Operasi Jaik, Md Nasir Md Dali, berkata sebelum ini pihaknya pernah menahan tiga remaja perempuan itu bersama tiga remaja lelaki lain pada 1 November lalu sebelum mereka ditahan semula dengan dua lelaki lain kelmarin.

Beliau berkata, dua daripada mereka berasal dari bandar raya ini, satu dari Naka, Kuala Nerang, manakala dua lagi dari Kulim.

“Ketika pemeriksaan, seorang remaja lelaki berpakaian lengkap membuka pintu bilik dan apabila diperiksa, terdapat seorang lagi remaja lelaki dan tiga remaja perempuan berbaring atas katil bertingkat di bilik berkenaan.

“Semua mereka tidak mempunyai ikatan mahram atau suami isteri sah dan mengesyaki melakukan maksiat menyebabkan terpaksa ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Isnin, Julai 05, 2010

Isteri pun pasang dua

Oleh Mohd Fauzi Abdullah
Harian Metro
2010/07/05

KUANTAN: Malang bagi seorang suami beristeri dua apabila isteri keduanya membuat ‘onar’ dengan menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain setiap kali dia berada di rumah isteri pertama untuk menjalankan tanggungjawab berpoligami.

Tidak cukup memadu kasih di rumah sendiri pada tengah malam selepas dua anak mereka tidur, wanita yang boleh dianggap ‘madu durjana’ itu sanggup menyewa bilik di rumah tumpangan untuk bertemu kekasih hatinya pada sebelah siang.

Namun, kecurangan isteri berusia 30-an, bekerja sebagai pakar kecantikan itu terbongkar selepas dicekup Jabatan Agama Islam Pahang (Jaip) dalam satu serbuan di sebuah rumah tumpangan di Transit Point di sini, kira-kira jam 3 petang kelmarin.

Dalam serbuan itu, wanita terbabit ditahan bersama pasangannya dipercayai berusia 30-an, bekerja sebagai pencuci kereta di bandar ini kerana disyaki berkhalwat.

Ketika ditahan, suami wanita terbabit kebetulan berada di tempat kejadian dan sama sekali tidak menyangka isteri keduanya dicekup Jaip dalam serbuan itu.

Lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Mohamad, 45, berkata, dia dapat menghidu kecurangan isteri keduanya selepas hubungan mereka dingin kira-kira sebulan lalu.

Isnin, Julai 27, 2009

Sempat sarung kain janda

Oleh Zuliaty Zulkiffli am@hmetro.com.my


LANGKAWI: Disebabkan takut dan panik ketika diserbu jabatan agama, seorang lelaki hanya sempat menyarung kain batik milik seorang janda untuk menutup badannya sebelum lari bersembunyi di bahagian tandas dapur sebuah rumah di Kampung Nyior Cabang, Mukim Padang Mat Sirat, di sini, awal pagi semalam.

Malah, lelaki berusia 27 tahun itu juga terpaksa ‘bergayut’ seperti seekor kelawar di pintu bilik air rumah berkenaan bagi mengelak ditahan pihak berkuasa tetapi tindakannya gagal apabila dicekup tidak lama kemudian.

Penguasa Pejabat Agama Daerah Langkawi (Padal), Aswad Kasa, berkata beliau bersama tiga anggota yang menerima maklumat berhubung kegiatan maksiat itu bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat pemeriksaan, kira-kira jam 3 pagi.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati pintu hadapan rumah itu dikunci dengan mangga kononnya rumah itu tiada berpenghuni tetapi selepas mengetuk pintu belakang rumah terbabit, seorang wanita berusia 25 tahun yang hanya berkemban kain batik membukanya tidak lama kemudian.

“Wanita itu mendakwa tinggal seorang diri di rumah itu selepas berpisah dengan suaminya manakala anak lelaki mereka tinggal bersama bapanya.

“Bagaimanapun, pemeriksaan kemudian mendapati terdapat seorang lelaki berada di dinding bilik air sedang ‘bergantung’ seperti kelawar dalam keadaan ketakutan sebelum ditahan kerana disyaki berkhalwat dengan pasangannya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Menurutnya, pasangan itu gagal menunjukkan sebarang bukti mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri dan didapati bersalah kerana melakukan maksiat.

Aswad berkata, berdasarkan maklumat, lelaki itu kerap ke rumah wanita itu sejak seminggu lalu untuk bermalam di rumah berkenaan.

Katanya, pasangan itu mengenali antara satu sama lain ketika mereka sama-sama berniaga di pasar malam dan mengambil peluang itu untuk melakukan maksiat.

“Pasangan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuah untuk maklumat tangkapan sebelum dibawa ke pajabat agama untuk siasatan lanjut.