#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Jun 30, 2010

Bayi menggigil

Oleh Iskandar Shah Mohamed
iskandar@hmetro.com.my
2010/06/30

SEREMBAN: “Pilunya hati saya apabila melihat keadaan bayi menggigil kesejukan, terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas kertas surat khabar,” kata Maideen Machapu, 42, pemandu lori syarikat kontraktor pemungut sampah yang menemui seorang bayi lelaki, semalam.

Dalam kejadian jam 4.20 petang itu, bayi lelaki dipercayai baru lahir dan masih hidup ditemui terbaring atas tong sampah di ruang membuang sampah rumah di Taman Sri Pulai 3, Sikamat.

Bayi malang berpakaian lengkap itu dikatakan hampir terjatuh sebelum diangkat beberapa jiran berdekatan yang turut tersentak menyaksikan kejadian terbabit.
Maideen berkata, dia berada dalam lori dan terkejut apabila dimaklumkan Bed Prasad Sharu, 23, mengenai penemuan berkenaan.

“Saya turun dari lori untuk memeriksa dan mendapati bayi lelaki cukup sifat itu terbaring atas tong sampah dengan hanya beralas surat khabar tanpa sebarang nota atau objek lain.

“Saya seperti mahu menangis melihat bayi yang memakai baju, seluar, sarung tangan dan kaki menggigil teruk walaupun ketika itu tidak hujan,” katanya.

Menurut Maideen, dia segera memaklumkan kepada pemilik rumah berkenaan sebelum menghubungi polis untuk tindakan selanjutnya.

“Saya bersyukur kerana bayi malang yang dianggarkan seberat dua kilogram (kg) itu masih bernyawa dan amat kesal dengan tindakan kejam ibu bapanya yang sanggup membuangnya begitu.

“Mujur bayi itu tidak dibuang di rumah kosong kerana sampah di premis berkenaan kebiasaannya tidak dikutip dan saya tidak dapat bayangkan apa terjadi kepada bayi terbabit,” katanya.

Pemilik rumah berkenaan, Ng Ah Moy, 68, berkata, dia sedang berehat, terkejut apabila terdengar teriakan seseorang dari luar rumahnya.

“Sejurus keluar, saya dimaklumkan penemuan itu dan melihat jiran berdekatan sedang mendukung bayi malang terbabit sebelum sepasukan anggota polis tiba.

“Selain terkejut, saya yang menetap di sini sejak empat tahun lalu bersama anak dan menantu, sedih dengan kejadian ini. Kejam sungguh mereka yang tergamak membuang bayi tidak berdosa itu,” katanya.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Saiful Azly Kamaruddin ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata, pihaknya menahan wanita warga asing berusia 20-an di sekitar lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

“Penahanan dilakukan hasil penelitian rakaman CCTV rumah berdekatan lokasi bayi itu dibuang,” katanya.

Bayi berkenaan dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS) untuk tindakan lanjut.

Perkara itu mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Zainab Nasir.

Buang atas daun pisang

Oleh Hadzlihady Hassan
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/06/30

RAWANG: Malang sungguh nasib seorang bayi lelaki yang baru beberapa jam dilahirkan apabila ditinggalkan dalam keadaan bogel dengan hanya beralaskan daun pisang oleh ibu kandungnya sendiri di belakang sebuah rumah di Jalan Mawar 6, Taman Mawar, Rawang di sini, pagi semalam.

Perbuatan tidak berperikemanusiaan remaja berusia 18 tahun itu yang bekerja sebagai pembantu sebuah kedai kain di bandar ini bagaimanapun menjerat dirinya sendiri apabila dia ditahan polis selepas seorang penduduk membuat laporan mengenai penemuan bayi berkenaan yang masih bertali pusat sejam selepas bayi itu ditinggalkan di belakang rumahnya, kira-kira jam 10 pagi.

Ketika ditahan, remaja berkenaan berada dalam keadaan lemah dan letih dipercayai kerana baru melahirkan anak dalam sebuah bilik di rumah ibu saudaranya di kawasan sama.

Difahamkan, remaja terbabit menumpang di rumah ibu saudaranya di sini selepas dia didapati mengandung hasil hubungan seks dengan teman lelakinya yang dikenali sejak Oktober tahun lalu dan sepanjang perkenalan itu, mereka dikatakan sudah dua kali melakukan persetubuhan haram.

Bagaimanapun, sejurus mengetahui remaja itu mengandung, teman lelakinya yang selama ini dikatakan hanya mengambil kesempatan selepas menabur janji dan ungkapan cinta, menghilangkan diri.

Difahamkan, teman lelakinya enggan bertanggungjawab menyebabkan kehidupan remaja terbabit terumbang-ambing sebelum dia mengambil keputusan menumpang di rumah ibu saudaranya.

Remaja dari Taman Puchong Permai, Puchong, dekat sini itu terpaksa menumpang di rumah ibu saudaranya untuk mengelak jiran mengetahui dia mengandung.

Bayi berkenaan dipercayai baru dilahirkan beberapa jam sebelum ditemui seorang penduduk selepas dia mendengar tangisan ketika melalui kawasan berkenaan, sebelum memaklumkannya kepada polis.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, susulan laporan itu, anggota Unit Peronda Polis (MPV) Rawang bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati bayi terbabit masih hidup dan cukup sifat.

“Hasil siasatan dan beberapa maklumat yang diperoleh, polis menahan seorang remaja berusia 18 tahun yang dipercayai ibu kepada bayi terbabit kira-kira jam 11 pagi.

“Suspek ditahan di rumah ibu saudaranya yang berusia 40-an,” katanya.
Menurutnya, ketika ditemui bayi malang itu dalam keadaan sihat dan tidak ada kesan lebam atau luka di badannya kecuali hanya sedikit kesan gigitan serangga.

“Kami percaya bayi itu hasil hubungan terlarang suspek bersama teman lelakinya yang dilahirkan di rumah saudaranya itu dan polis tidak menolak kemungkinan ada individu lain membantu membuang bayi terbabit.

“Polis akan mengambil keterangan ibu saudara suspek yang berkemungkinan besar bersubahat dalam kes pembuangan bayi itu dan gerakan mengesan teman lelakinya dijalankan bagi membantu siasatan,” katanya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan, manakala bayi dan suspek dihantar ke Hospital Selayang untuk rawatan susulan berikutan bimbang terdapat kecederaan dalaman pada bayi terbabit.

Sementara itu, Harian Metro difahamkan remaja terbabit kurang bergaul dengan penduduk di kawasan itu dan beberapa jiran memaklumkan mereka pernah ternampak suspek, namun tidak mengetahui yang dia mengandung hasil hubungan sulit dengan teman lelakinya.

Khamis, Jun 17, 2010

Jangan biar pasangan kesunyian

ARKIB : 15/06/2010
Utusan Malaysia - Keluarga

Oleh ZUHAYATI YAZID

ALAM rumah tangga seharusnya menjadi impian setiap pasangan di dunia ini yang menginginkan hidup bersama pasangan yang dicintai hingga akhir hayatnya.

Namun apabila usia perkahwinan semakin lama adakalanya hubungan juga semakin renggang, perasaan cinta dan sayang juga semakin pudar dan semakin kurang ‘magis’nya.

Malah ada ketikanya sudah tidak sama seperti waktu awal-awal perkahwinan dulu. Maklumlah anak-anak sudah besar dan cucu juga semakin ramai.

Ada yang bersikap tidak kisah atau ambil mudah terhadap pasangan mereka.

Hidup bersama bertahun-tahun membuatkan mereka merasakan sudah cukup memahami pasangan, lantas mereka mula bersikap ambil mudah terhadap pasangan.

‘‘Sebenarnya itu satu kesilapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang telah lama berkahwin. Jadi tidak hairan jika ada rumah tangga yang runtuh walaupun sudah berusia berpuluh tahun,’’ ujar Penolong Pengarah Kaunseling Kolej Matrikulasi Selangor, Zuaiza Paiman.

Tegas beliau, biarpun sudah lama berkahwin, sebagai manusia normal naluri untuk disayang tetap wujud.

‘‘Biarpun sudah lama mengharungi kehidupan bersama, perasaan cinta dan kasih sayang harus dibajai, jangan sesekali meminggirkan insan yang paling mengharapkan belaian dan perhatian,’’ tegasnya bersungguh.

Tambah beliau, biarpun masing-masing sudah ‘masak’ dengan kerenah sendiri, namun jangan membiarkan pasangan berasa kesunyian.

‘‘Adalah sangat berbahaya membiarkan pasangan kita berasa sunyi, oleh itu anggap pasangan kita sebagai orang yang paling penting,” katanya.

Menurutnya lagi, bermula dengan kesunyian akan menjadikan seseorang itu cuba mencari keseronokan yang lain.

‘‘Oleh itu adalah tanggungjawab kita untuk memberikan perhatian kepada pasangan sendiri. Biarpun sibuk sentiasa beri perhatian setiap perkara yang diingini.

‘‘Bagi isteri menjadi suri rumah ada waktunya mereka tidak menang tangan dalam menguruskan hal anak-anak dan antara mereka terlepas pandang dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap suami.

‘‘Bagi isteri yang bekerjaya pula, jangan mengharapkan segala urusan suami disediakan oleh pembantu. Walhal itu semua tanggungjawab isteri,’’ ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, dalam perhubungan komunikasi adalah perkara yang penting.

‘‘Ini kunci utama. Komunikasi adalah sesuatu yang penting, tanpa komunikasi kita tidak tahu apa yang tersirat di hati masing-masing,’’ ujarnya lagi.

Katanya lagi, dalam keadaan sedemikian biasanya pasangan akan saling memendam, akhirnya apabila meledak, keadaan tidak dapat dipulihkan lagi.

‘‘Oleh itu, jangan pendamkan apa yang terbuku sebaliknya berkongsi cerita dengan pasangan kita,” katanya.

Katanya lagi, biarpun sudah lama melayari bahtera perkahwinan, namun kuasa sentuhan mampu mengembalikan kehangatan dalam hubungan suami isteri.

‘‘Siapa kata orang tua tidak inginkan belaian dan sentuhan. Kadangkala sentuhan juga sudah cukup untuk menyampaikan segala yang terpendam,” katanya.

Suamiku berkorban untuk kekasih

ARKIB : 13/06/2010
Utusan Malaysia - Keluarga


SUDAH bertahun-tahun ruangan DCCK ini menjadi bahan bacaan ramai kaum wanita, tetapi rasanya tidak ramai yang mengambil iktibar, baca sekadar baca dan untuk mengisi masa lapang sahaja, bila dah terjadi kepada diri sendiri barulah percaya. Bak kata pepatah Melayu dah terhantuk baru tengadah''

''Begitulah dengan saya suatu ketika dulu. Sekarang saya ingin jadikan diri saya sebagai contoh supaya anda jangan jadi macam saya, jadikan kesilapan masa lalu saya sebagai teladan.'' Demikian cerita Noralisa dalam e-melnya kepada penulis.

''Saya mahu tanamkan dalam minda pembaca semua jangan percaya seratus peratus sumpah apalagi janji manis suami. Mereka boleh bersumpah beratus malah beribu kali, tetapi satu pun tidak akan dikotakan.

''Apa yang mereka lakukan hanya untuk mententeramkan jiwa anda seketika supaya anda tidak histeria, mengamuk dan merajuk. Biarlah saya buka tirai kehidupan saya yang sudah lebih 20 tahun berkahwin dan ada empat anak untuk anda tatap.

''Siapa sangka setelah lama berkahwin, baru dua tahun lalu baru saya dapat tangkap aktiviti curang suami saya. Dia menjalin hubungan dengan ramai wanita.

''Hancur lulur hati saya, sebab selama ini saya terlalu percayakan dia, saya tidak sangka dia curang terhadap saya. Kerana daripada apa yang digambarkan kepada saya selama ini seolah-olah dia suami yang baik. Tapi itu semua pura-pura dia mempunyai kehidupan yang amat berbeza di belakang saya, yang tidak saya ketahui.

''Bila dapat tahu saya tak percaya juga, tapi saya selidik tanpa pengetahuannya, dalam diam saya dapat kumpul banyak bukti tanpa dia sedar.

''Satu hari saya tanya dia benarkah dia hubungan dengan perempuan lain. Dia nafikan malah menempelak saya balik konon dia begitu setia mengapa saya tuduh sembarangan. Terkejut dia bila saya tunjukkan bukti. Ada kondom dan ubat kuat yang dia tidak gunakan kepada saya. Saya sebutkan sekali nama teman wanitanya. Hubungan mereka bukan sekadar kawan biasa, malah lebih daripada itu.

''Akhirnya baru dia mengaku, tetapi tetap mendakwa mereka hanya kawan biasa. Takkan saya tak boleh bezakan antara kawan biasa dengan kekasih. Kemudian dia bersumpah tidak akan menjalin hubungan lagi, dia mengaku masih sayangkan kami.

''Tapi Allah tunjukkan bukti kecurangannya lagi. Sumpah jadi mainannya. Dia lebih sedia dengan wanita lain daripada saya.

''Saya amat sedih pengorbanan saya selama ini sia-sia, banyak wang ringgit saya lebur kerana percayakan suami. Dia suka buat bisnes, sayalah tempat dia mengadu pinjam duit. Simpanan saya habis, barang kemas lesap.

''Bila ada duit bukan dia bayar hutang saya atau tebus barang kemas, sebaliknya dia habiskan dengan wanita lain, siapa tak sakit hati. Macam mana bisnes nak maju kalau keuntungan dia buat maksiat. Jalan terakhir saya memohon cerai secara tuntutan fasakh.

''Bayangkan selama ini semua perbelanjaan makan minum dan urusan rumah tangga terletak ke atas bahu saya.

Perangai

''Tapi dengan perempuan lain dia sentiasa ada duit. Sanggup belikan dan bayar bil telefon. Bagi duit beribu ringgit. Kalau dengan anak-anak minta duit memanjang dia jawab tiada duit.

''Berbalik pada cerita permohonan cerai saya, bila dia tahu dia marah dan mengamuk. Tapi saya telah tetapkan hati. Kerana sakit hati dia tabur fitnah kepada ibu dan mertua saya kononnya saya minta cerai sebab ada jantan lain.

''Kepada anak-anak dia beritahu saya dah gila nak minta cerai. Sebenarnya anak-anak lebih dulu tahu perangai buruk ayahnya daripada saya, cuma mereka tak sampai hati nak bagi tahu saya. Mereka selalu tanya kenapa saya tak marah ayahnya balik subuh, takkan buat bisnes sampai subuh. Saya saja yang bodoh tak faham.

''Bila nak bercerai suami saya mula jalankan taktik memujuk, dia berjanji dengan peguam saya tidak akan mengulangi perbuatan terdahulu. Akhirnya peguam saya mencadangkan saya tarik balik dengan syarat suami saya bersumpah depan hakim secara suluk.

''Saya ikut cadangan peguam dengan syarat jika dia langgar syarat yang ditetapkan saya tidak akan bertolak ansur. Lagipun emak mertua saya mohon saya maafkan anak dia.

''Lepas saya tarik balik permohonan fasakh, suami saya bukan main baik lagi. Tapi sekejap saja. Baru-baru ini saya dapat tangkap dia buat hubungan dengan wanita lain. Jadi salahkah saya bertindak minta cerai?

''Saya bersyukur kepada Allah kerana kini rezeki saya semakin dilebarkan oleh-Nya. Sementara rezeki suami semakin sempit. Sebenarnya selama ini pendapatan suami hanya untuk dirinya sahaja, bukan untuk keluarga, dan inilah pembalasan Allah kepadanya.

''Jadi saya ingin mengingatkan kaum wanita janganlah percaya suami 100 peratus.

''Sebenarnya kalau siapa pun lihat muka suami saya tak akan percaya dia buat kerja terkutuk itu. Baiknya muka dan tingkah laku dia di mata orang macam orang alim ulamak bak kata orang sekarang muka syurga tapi hati neraka.

Demikian cerita Noralisa yang masih bersabar menunggu. Harapannya pengorbanannya selama ini membawa keberkatan kepada anak-anaknya dunia dan di akhirat.


Rabu, Jun 02, 2010

Ubat kuat ragut nyawa

Oleh ZAINUDDIN ZAIN, FUAD HADINATA YAACOB, ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan MOHD AZAM SHAH YAACOB
2010/05/23


BUTTERWORTH: Tidak takut mati! Itu tindakan gila segelintir lelaki yang sanggup menggadai nyawa demi memuaskan nafsu serakah dengan mengambil ubat menambah tenaga seksual tanpa mengetahui status kandungan dan syarikat pengeluar ubat berkenaan.

Seorang kaki ‘ubat kuat’ tegar yang hanya mahu dikenali sebagai Abang Zack, 50-an, dalam pengakuannya berkata, kes kematian ketika melakukan hubungan seks itu membabitkan seorang rakannya dan ia berlaku pertengahan tahun lalu.

“Umur rakan saya itu hampir sebaya dengan saya. Dia mati ketika melakukan hubungan seks dengan isterinya. Saya yakin kematiannya ada kaitan dengan ubat kuat kerana sebelum pulang ke rumah dia memaklumkan kepada saya yang dia mengambil ubat yang kami namakan ‘pil sempoi’ untuk melayan isterinya.

“Esoknya saya menerima berita kematiannya dan ketika menghadiri pengebumiannya, saya dimaklumkan dia makan sebiji lagi pil sempoi sebelum mengadakan hubungan seks dengan isterinya,” katanya.

Abang Zack berkata, berdasarkan pengalamannya yang pernah mengambil puluhan jenis ubat kuat sejak berusia 20-an, memang ada ketikanya hasil diharapkan tidak menjadi, sebaliknya berlaku komplikasi pada alat sulit.

“Satu pengalaman yang sukar dilupakan ialah apabila alat sulit saya mengecut dan menjadi pendek hanya kira-kira tiga inci. Keadaan itu berkekalan untuk beberapa hari, menyebabkan saya hampir panik.

“Puas juga saya berjumpa beberapa tukang urut untuk memulihkan kembali ‘kecacatan’ itu, dan mujur seorang daripada mereka berjaya melakukannya. Jika tidak, pasti saya menyesal tak sudah,” katanya.

Ditanya tidakkah kejadian itu membuatkan dia serik untuk mengambil ubat kuat yang kebanyakannya dibeli di kaki lima atau daripada rakan, Abang Zack berkata, dia insaf hanya seketika kerana sukar untuk menghentikan amalan itu.

“Kalau boleh, memang saya nak berhenti tapi ia bukan senang. Saya ada ramai teman wanita, kalau tak ambil ubat kuat macam mana saya nak melayan mereka,” katanya.

Malah, kata Abang Zack, selepas sekian lama mengambil ubat kuat, dia kini semakin berani dan seronok untuk mencuba apa saja ubat kuat yang diperkenalkan kepadanya.

“Saya akan mencuba apa saja ubat yang dikatakan baru, tetapi saya hanya peruntukkan RM10 untuk setiap ubat. Jika ubat itu berkesan, saya akan terus ambil.

“Jika kesannya tidak seberapa, saya tidak akan mengambilnya lagi,” katanya sambil memberi beberapa nama gelaran untuk ubat kuat yang pernah dicuba seperti ‘kambing gurun’, ‘ubat semut’, ‘semut negro’ dan ‘semut hitam’.

Sementara itu di Alor Setar, seorang peniaga yang hanya ingin dikenali sebagai Mie mendakwa, kes kematian akibat mengambil terlalu banyak ubat kuat turut berlaku kepada rakannya, seorang warga tua berusia 60-an.

“Kejadian berlaku beberapa tahun lalu selepas rakan saya yang menduda hampir 10 tahun berkahwin dengan janda berusia 40-an. Arwah meninggal dunia hanya kira-kira 10 hari selepas mereka berkahwin.

“Saya masih ingat arwah membeli pil berkenaan daripada seorang lelaki Cina yang menasihatkannya mengambil pil berkenaan seminggu dua atau tiga biji saja atau sejam sebelum mengadakan hubungan seks.

“Bagaimanapun, arwah makan ubat itu 10 hari berturut-turut dan saya percaya lebihan dos ubat berkenaan menjadi punca kematiannya,” katanya.