#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Komen Pembaca. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Komen Pembaca. Papar semua catatan

Ahad, Oktober 07, 2012

Suami kena bersihkan jiwa

Sumber : Utusan Malaysia

WALAU apa pandangan pembaca tentang rencana fiil isteri zaman ini minggu lalu, saya setuju dengan penulisnya, sebab dari pengalaman dan pemerhatian saya yang sudah bergelar isteri, ibu dan nenek bahawa wanita tak boleh pandang remeh pandangan suami, kita kena 'go back to basics,' maknanya kembali kepada Quraan dan Sunnah. Itu kata Saleha dalam emelnya.

''Namun bukan semua benda kena ikut telunjuk suami, tapi kena faham kedudukan suami dan isteri dalam Islam. Sebagai contoh, rajin belajar agama tapi tak hormat suami, terlampau nak kumpul pahala hingga lupa peranan isteri. Atau ada isteri terlalu moden, hidup macam mat salleh semua benda nak kerah suami.

''Saya sedar pandangan Shahzan pasti mendapat banyak reaksi negatif dari wanita, tetapi sebelum melenting, buka mulut dan marah-marah, duduk diam, tenang dan fikir dulu. Tolak tepi kisah isteri didera, suami tak membantu dan sebagainya, sebab topik itu lain kerana ada jalan penyelesaian.

Khamis, Januari 14, 2010

Sukar tolak cinta baru

ARKIB : 10/01/2010

MEMBACA kisah orang, pastinya tidak sama dengan empunya badan yang mengalaminya. Walaupun kisahnya mungkin hampir sama, tetapi situasinya pasti berlainan.

Kisah DCCK minggu lalu mengenai “Diserang ibu kekasih suami” membuatkan saya terpanggil untuk mencoretkan sesuatu.

Saya mungkin seorang suami, mungkin juga seorang isteri, seorang anak, seorang ibu atau mungkin wanita luar yang sedang memburu cinta seperti watak-watak yang terdapat di dalam kisah tersebut.

Coretan ini hanya sekadar pendapat atau pandangan peribadi saya dan bukan menuding jari meletakkan kesalahan pada orang tertentu. Seandainya ada yang terguris, ampun maaf dipinta.

Kisah Mariaelena dan suami adalah secebis daripada asam garam berumah tangga. Sentiasa ada pasang dan surutnya. Dan sebagai pengemudi (suami dan isteri), kitalah yang menentukan hala tujunya.

Sebagai isteri, saya harap beliau tabah melalui detik yang sukar ini. Jika anda mampu bertahan hingga kini (mempunyai tiga anak) bermakna anda sememangnya seorang yang kuat. Jangan cepat melatah dan menghukum diri hanya kerana perbuatan suami yang curang.

Sentiasa positif dengan hidup. Perlu diingat, kehidupan wanita hari ini bukan sahaja tertumpu kepada rumah tangga. Banyak lagi perkara yang boleh membahagiakan kita (berlandaskan syariat Allah) di luar sana. Anak-anak adalah keutamaan. Jangan sampai anak menjadi mangsa masalah kita dengan suami. Dan jangan lupa, muhasabah juga diri sendiri manalah tahu ada kekurangan yang menyebabkan suami mula bermain kayu tiga.

Sebagai suami pula, sememangnya berada di alam percintaan itu indah. Kerana itu apabila ada cinta baru yang datang, kita sukar menolak. Namun alangkah baiknya jika kita menyuburkan kembali cinta kepada isteri. Dan yang paling utama, cinta kepada Allah SWT.

Kenangkan kembali pengorbanan seorang isteri yang telah mempertaruhkan nyawa memberi zuriat kepada kita.

Memang poligami itu tidak salah, jika mampu dengan cara yang elok pasti tiada halangan. Saya pernah melihat kehidupan lelaki yang mengamalkan poligami dan hidup bahagia. Dan saya juga pernah melihat lelaki berpoligami yang kecundang dalam mengemudikan dua (atau lebih keluarga). Akhirnya bukan sahaja isteri dan anak-anak menderita, malah diri sendiri juga huru-hara!

Sebagai wanita yang sedang memburu cinta, tidak salah menjadi isteri kedua jika kena caranya (tetapi, bukankah ramai lelaki bujang di luar sana?). Namun pastikan kita bersedia dari semua segi terlebih dahulu. Dan jangan lupa, kita sendiri yang mahu berkongsi dengan orang lain. Maka, keutamaan bukanlah pada kita.

Sebagai ibu pula, tentunya kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Didik dan bimbinglah mereka sewajarnya. Walaupun kita inginkan mereka bahagia, jangan sampai menjejaskan kebahagiaan orang.

Ingatlah, hidup ini ibarat roda. Atas dan bawah, semuanya pasti akan dirasa. Jika hari ini kita bahagia, esok lusa belum tentu kesudahannya.

* AHSU

Jumaat, September 04, 2009

Poligami satu syariat

ASSALAMUALAIKUM warahmatullah. Salam penuh kesejahteraan buat semua sahabat-sahabat seIslam. Semoga sentiasa berada di dalam keredhaan Allah. Saya berasa terpanggil untuk mengutarakan pendapat tentang persoalan ini, poligami.

Saya rasa pandangan yang diutarakan kadang-kadang melampaui adab kita sebagai seorang hamba Allah bahkan umat kepada baginda Rasul. Tidak boleh kita mengukur sesuatu hukum atau syariat Allah mengikut logik akal. Apabila Puan Mona mengatakan poligami hanya bersesuaian pada zaman Rasulullah s.a.w, puan seolah-olah mendahului pendapat para ulama'.

Saya tahu puan berasa tidak adil, tidak puas hati tetapi bukannya dengan mentafsirkan sesuatu hukum dengan logik akal. Puan sendiri tahu antara perkara yang disyariatkan oleh Allah juga berjihad pada jalan-Nya. Allah berfirman bahawa kamu memang tidak suka perkara ini tetapi inilah yang disukai Allah. Ada lagi banyak perkara di dalam syariat-Nya yang tampak bertentangan dengan logik akal.

Antaranya kuasa talak diletakkan pada tangan lelaki. Kalau dikatakan perempuan tidak sabar, tetapi zaman sekarang ini menyaksikan banyak perempuan yang menjadi ketua malah lebih bersabar daripada lelaki. Jadi, tidak boleh kita katakan kuasa talak diletak kepada lelaki kerana mereka lebih bersabar.

Pengurangan kuasa pada satu golongan di dalam Islam digantikan dengan satu kelebihan oleh Islam. Iaitu Islam meletakkan 'syurga di bawah tapak kaki ibu'. Islam menyuruh supaya didahulukan kehendak ibu daripada kehendak bapa. Keadilan apa yang puan cari sebenarnya? Islam sudah benar adil.

Adil bukan bermakna memberi kopiah kepada anak lelaki dan kepada anak perempuan juga kita memberi kopiah. Adil berlandaskan fitrah. Fitrah itu hanya Allah yang tahu. Berhati-hati dalam berkata-kata..

Bimbang kalau-kalau kita terjebak di dalam golongan yang mempertikaikan hukum Allah. Bukankah Allah pernah berfiman di dalam al-Quran yang bermaksud "Maka hendaklah kamu bersabar dengan hukum Allah"?

n Naurah Musyahidah

Ahad, Ogos 23, 2009

Apa neraca yang kita pakai?

SAYA terpanggil mengulas sedikit mengenai isu poligami yang dipaparkan dalam ruangan ini minggu lalu. Poligami adalah satu perkara yang dibenarkan Islam. Ia halal, mengikut hukum, walaupun wujud syarat-syarat yang mesti dilaksanakan untuk melepaskan diri daripada dosa jika tidak melaksanakannya.

Poligami melibatkan perkahwinan lebih dari satu. Kesalahan tidak menjalankan tugas dengan baik, berlaku bukan saja pada mereka yang berpoligami, tetapi juga pada mereka yang berkahwin satu. Jika logik yang kita tolak poligami kerana ia menyebabkan ketidakadilan dan kesalahan, bagaimana pula dengan kesalahan, ketidakadilan yang dilakukan oleh mereka yang berkahwin satu?

Sebagai seorang Islam, neraca kita sepatutnya mesti berpandu pada hukum Allah SWT. Apa yang dihukum Allah sebagai halal, tentulah indah dan cantik dan apa yang diharamkan Allah tentulah tidak cantik dan tidak elok.

Makanan yang ada daging khinzir, secantik mana pun dihias, tak mungkin dianggap sedap oleh mereka yang ada iman. Ini kerana bagi mereka yang beriman, daging khinzir itu haram dan tidak baik dan tidak elok. Orang yang beriman, jika melihat orang lain tidak menutup aurat mereka, akan menundukkan pandangan mereka, kerana memandang perkara yang bercanggah dengan hukum Islam itu buruk dan tidak membawa kebaikan.

Kalau kita guna neraca ini, maka bagaimana kita boleh berkata yang poligami menjatuhkan maruah wanita, sedangkan kita diam, bila melihat kumpulan sorak yang berpakaian pendek dan mendedahkan aurat, berkumpul dan diraikan? Kita tidak pula katakan yang kumpulan seperti ini, (yang nyata melakukan satu perkara yang haram, dan tidak mungkin dianggap cantik) sebagai menjatuhkan maruah wanita. Tentu sekali kumpulan seperti ini menjatuhkan maruah wanita, dengan kelakuan dan kemegahan pada perkara yang jelas ditegah Islam.

Bercanggah

Tidak pula kita takrifkan sebagai tidak cantik, gambar para artis yang berpakaian bertentangan dengan Islam. Malah, kita beri mereka anugerah kerana melakonkan adegan yang panas dan berkesan dalam filem, walaupun apa yang mereka lakukan itu bercanggah dengan hukum Islam.

Apa pula takrifan kita tentang persatuan yang mempromosikan penyanyi dan penari yang bergiat aktif secara berterusan melanggar hukum Tuhan? Adakah persatuan-persatuan ini memperjuangkan perkara yang baik atau tidak?

Kalau kita tentang persatuan yang mempromosi satu perkara yang halal dan kita sokong persatuan yang mempromosi perkara yang haram, dimanakah neraca kita sebagai seorang Islam?

Adakah kayu ukur kita datang dari New York dan Paris atau dari Mekah dan Madinah?

Salam.

*Hamba Allah.

Kuala Lumpur

Sukarnya mencari cinta

Izinkan saya berkongsi pengalaman saya dengan semua teman-teman di ruangan ini. Biarpun amat berat untuk saya terima semua ini namun saya kuatkan semangat untuk meneruskan kehidupan ini.

Untuk pengetahuan putri saya berumur 26 tahun tetapi sampai sekarang saya masih belum berkahwin, nak kata saya tidak ada penampilan diri tidak juga, saya boleh dikategorikan dalam wanita-wanita yang mempunyai kecantikan tersendiri.

Dalam umur saya sekarang, sudah banyak pengalaman bercinta tetapi semuanya tidak kekal lama. Saya pun tidak tahu kenapa perkara sebegini berlaku pada saya. Sebelum ini saya pernah bercinta dengan seorang yang lebih muda dua tahun daripada saya.

Hubungan kami tidak kekal lama hanya bertahan selama setahun sahaja. Mungkin kami tidak ada keserasian bersama. Saya pernah juga terjebak bercinta dengan suami orang tapi saya tidak sanggup hendak menjadi perampas.

Untuk pengetahuan Putri juga, keluarga saya sudah mendesak untuk saya berkahwin tetapi sampai sekarang saya masih belum ada calon yang sesuai. Paling menyedihkan saya, ibu bapa saya pernah cakap jangan sampai mereka tidak sempat terima menantu dan cucu. Hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya ketika itu, betapa sedih yang teramat sangat. Saya cuba untuk membuat yang terbaik untuk mereka tetapi kita hanya mampu merancang, Dia yang menentukan segalanya. Sekarang saya cuba berkawan dengan A. Tetapi sampai sekarang saya tidak boleh terima dia sebagai teman hidup saya. Saya sudah cuba keluar makan dengan dia, sebab ada orang cakap kalau keluar selalu mungkin boleh timbul perasaan sayang antara kami berdua tetapi sampai sekarang saya tidak rasa semua itu. Saya sendiri pelik kenapa saya tidak boleh terima dia. Saya pernah terfikir bahawa saya terima sahaja dia walaupun saya tidak ada perasaan sayang dengan dia. Saya terima dia pun disebabkan kebahagiaan ibu bapa. Adakah betul tindakan saya ini putri? Apa yang perlu saya lakukan sekarang? Bagaimanakah caranya untuk ada perasaan sayang dekat dia? Tolonglah putri, saya amat perlukan pendapat atau nasihat dari putri.

*Insan kecewa, Pahang

Insan Kecewa,

Putri memahami perasaan saudari yang mengalami dilema kerana desakan keluarga agar berkahwin segera. Hakikatnya, cinta tidak boleh dipaksa. Namun, cinta boleh dipupuk sedikit demi sedikit. Ramai yang bahagia dalam alam rumah tangga mereka walaupun bercinta selepas berkahwin. Cinta bukan penghalang jodoh. Dalam hal ini, saudari boleh melakukan sembahyang istikharah. Dapatkan petunjuk daripada Tuhan sama ada A benar-benar jodoh yang telah ditetapkan-Nya. Insya-Allah, saudari pasti mendapat jawapan sekiranya dilakukan dengan hati yang benar-benar ikhlas. saudari juga boleh berkongsi masalah ini bersama ibu saudari. Mungkin dia boleh memberi nasihat dan saranan kepada saudari apa yang perlu dibuat. Kenalkan juga A kepada keluarga saudari, jika mereka memang berkenan dengan si A, saudari mungkin boleh berusaha menerima A. Dalam percintaan, kadang-kadang kita terlupa kebahagiaan orang sekeliling. Jangan terlalu susah hati, pada usia 26 tahun, belum dikira terlewat lagi untuk berkahwin. Mungkin masa dan jodoh belum tiba lagi. Dalam pada itu, Putri memuji tindakan saudari yang berusaha mencari teman hidup demi membahagiakan ibu bapa. Namun, jangan tergesa-gesa, buatlah keputusan yang terbaik kerana perkahwinan itu adalah sebahagian kehidupan saudari.

Biarlah jodoh lambat asalkan terbaik

Semoga Putri sentiasa seronok menikmati kehidupan yang penuh cabaran dan sentiasa berpusing bagaikan roda. Saya sekadar memberikan pandangan buat rakan-rakan wanita di luar sana yang sering kali sakit kepala bila diajukan soalan paling berbisa di muka bumi ini, "bila nak kahwin?".

Saya anak sulung dalam keluarga, berusia 24 tahun. Saya menjadi sasaran ibu saudara bila nak kahwin walhal saya ada lagi lima sepupu perempuan yang sebaya.

Walaupun baru berusia 24 tahun saya dah terlalu penat mengejar dan menagih cinta lelaki.

Kali pertama bercinta, cinta saya berlabuh di hati lelaki yang tidak tahu menghargai pengorbanan saya.

Banyak kesilapan yang saya lakukan, kerana sayang saya telan semuanya walaupun pahit. Akhirnya saya berpisah walaupun saya sangat menyayangi dia. Sakitnya putus cinta buat saya serik untuk menerima lelaki. Saya teruskan hidup walau hati ini dah hancur.

Sekian lama sendirian saya bertemu dengan seorang yang saya suka tetapi kemudian saya mendapat tahu dia tunangan orang. Terasa bagai ditipu buat sekian kalinya. Memilih untuk berkawan dengan ramai lelaki bukan untuk berfoya-foya tetapi percayalah Allah telah tunjukkan saya bermacam-macam ragam lelaki yang membuatkan saya lebih berhati-hati dalam mencari pasangan hidup. Setiap kali bertemu dengan lelaki-lelaki yang ingin serius dengan saya, langkah pertama yang saya lakukan adalah kembali kepada-Nya. Percayalah Dia tahu yang terbaik untuk kita. Alhamdulillah saya sentiasa ditunjukkan rupa sebenar lelaki yang saya jumpa. Saya seorang yang sangat terbuka tetapi selalu disalah ertikan oleh lelaki yang saya kenali. Kerana saya seorang yang 'gila-gila' mereka ingat saya boleh diperlakukan dengan sesuka hati.

Hati siapa yang tidak terguris bila niat nak berkawan seringkali disalah ertikan. Tak siapa yang tahu hakikat yang terpaksa lalui dalam mencari pasangan hidup.

Buat wanita di luar sana yang mengalami nasib seperti saya. Bawalah bersabar. Hidup cuma sekali, nikmati ia selayaknya. Biarkan orang nak cakap apa yang mereka suka. Hidup kita, kita yang tentukan. Percaya pada ketentuan-Nya. Biarlah jodoh itu lambat asalkan dia yang terbaik untuk kita dan boleh terima kita apa adanya.

*Yaya, Johor Bahru

- Cinta hadir daripada ketrampilan pemilik cinta itu sendiri.

Selasa, Ogos 18, 2009

Poligami rendahkan martabat

POLIGAMI satu isu yang tidak pernah reda apa lagi padam dalam arena kehidupan manusia, malah topik ini sentiasa segar diperbualkan khususnya di kalangan kaum lelaki yang ingin menambah bilangan isteri.

''Namun pada saya bab orang lelaki hendak berpoligami hingga empat sekali pun, itu sudah menjadi lumrah alam dan menjadi hiburan yang menyeronokkan terutama apabila mereka bercerita dan satu-satu kumpulan. Tambahan pula jika si tukang cerita adalah kalangan mereka yang mendakwa bahagianya berpoligami.

''Walau apa pun tujuan saya bercerita di ruangan DCCK ini adalah untuk melahirkan rasa terkejut dan meluat saya apabila membaca tajuk-tajuk akhbar baru-baru ini tentang usaha beberapa orang wanita yang berpoligami ingin menubuhkan sebuah persatuan khusus untuk membantu wanita yang dipoligamikan.

''Tujuan persatuan ini menurut penganjur persatuan itu adalah untuk memudahkan lelaki yang ingin berpoligami dan wanita yang bakal dipoligamikan supaya mereka tidak menghadapi masalah dalam proses berpoligami selain untuk memudahkan lagi kehidupan mereka yang berpoligami.'' Demikian menurut Rostina dalam e-melnya kepada penulis.

''Pada pandangan saya tujuan menubuhkan persatuan poligami itu seolah-olah merendahkan lagi taraf dan martabah kaum wanita. Jelas sekali lahirnya kaum wanita di muka bumi ini semata-mata untuk menjadi tempat pelepas nafsu kaum lelaki di samping menjadi kilang untuk melahirkan anak.

''Persatuan itu bukan sahaja merendahkan martabat kaum wanita, bahkan merendahkan lagi maruah kaum lelaki bahawa hidup mereka di dunia ini tidak ada lain selain memikirkan soal seks sahaja, tidak lebih daripada itu.

''Tidak dinafikan ramai lelaki Melayu di negara ini bagaikan berebut menambahkan bilangan isteri. Kalau tidak diizinkan berkahwin di tempat sendiri, mereka akan bekerja keras untuk mencapai hasratnya, walaupun terpaksa kahwin lari ke Siam, ke Batam ke Medan dan sebagainya asalkan hasrat mereka terlaksana.

''Kalau gagal juga mereka akan mencari seks secara haram seperti melanggan pelacur, melakukan sumbang mahram, merogol dan banyak lagi.

''Sebagai wanita, dan juga seorang ibu yang mempunyai anak-anak gadis yang bakal berkahwin, saya merasa sangat malu dengan situasi ini. Seolah-olah tujuan perkahwinan adalah untuk memperolehi wanita hanya untuk seks, memperoleh anak, melampiaskan nafsu, dan kepuasan lelaki semata-mata.

zuriat

''Pernahkah kita bertanya secara jujur terfikir apakah sebenarnya tujuan wanita apabila mereka ingin berumah tangga? Adakah tujuan seks, adakah ia semata-mata untuk mendapatkan zuriat. Saya rasa tidak sama sekali!

''Pada pandangan saya apabila melangkah ke alam rumahtangga, setiap wanita perlukan lelaki lebih sebagai pelindung, menjaga maruah diri dan keluarga dan paling utama mengeratkan hubungan antara dua keluarga dalam ikatan perkahwian yang murni.

''Wanita juga perlukan suami sebagai pembimbing untuk menjalani kehidupan bahagia, di samping menjalankan perintah Allah sebagai syarat utama.

''Tugas suami isteri tidak habis setakat tujuan seks semata-mata, sebaliknya tumpuan lebih kepada zuriat yang bakal lahir supaya menjadi insan kamil, insan solehah, berbudi luhur, menjadi manusia berguna kepada keluarga, agama dan negara.

''Masalahnya kepada sesetengah lelaki, bagi mereka wanita bukan setakat untuk dijadikan isteri, sebaliknya menjadikan wanita lebih sebagai tempat pemuas nafsu seks suami sahaja. Apabila tidak berpuas hati dengan isteri, ataupun kerana ada kesempatan lain, maka mereka dengan sesuka hati menambah isteri lagi.

''Saya rasa amat sedih, bila seorang lelaki yang pendapatan tak seberapa tetapi masih ingin berpoligami. Bila ini terjadi maka kehidupan anak-anak menjadi korban, pelajaran tak sampai ke mana, jiwa mereka tertekan terutama apabila kurang duit dan kasih sayang dari ayah. Apakah kita ingin melihat anak-anak bangsa kita hidup tak ketentuan hala? Merempat. Sedangkan kaum lain hidup lebih mewah daripada kita?

''Ketika ini masyarakat Islam kita amat tercabar, kita masih lemah dan mundur dalam ekonomi, golongan orang Melayu kaya tidak seberapa. Rata-rata ramai yang miskin, kalau tak percaya, lihat setiap musim pelajar melangkah ke IPTA mereka masih menagih bantuan kewangan. Ramai ayah lepas tangan malah mengharapkan bantuan kerajaan. Akibat lewat dapat PTPTN ramai yang tersadai tak dapat teruskan pengajian.

''Sedihnya bila hendak kahwin lagi ramai suami mengaku mampu banyak duit, tetapi bila anak nak melanjutkan pelajaran mereka terang-terang kata tak ada duit. Jelas mereka hanya mementingkan diri sendiri dan nafsu semata-mata. Sepatutnya kaum lelaki dan wanita yang ingin tubuhkan persatuan poligami ini berfikir dan memandang ke hadapan lebih jauh lagi, lihatlah betapa payahnya anak-anak kaum kita hendak mengharung arus kehidupan yang semakin mencabar pada masa hadapan.

''Saya memikirkan sudah sampailah masanya kaum lelaki khasnya umat Islam di negara ini dan di mana sahaja berfikir dengan lebih luas lagi. Bahawa poligami bukanlah segala-galanya, sebaliknya masa hadapan anak-anak patutnya lebih diutamakan. Kerana mereka bakal menempuh kehidupan yang lebih mencabar lagi, jika tersalah langkah mereka akan menghadapi seribu satu macam masalah khususnya dalam ekonomi.

''Jika di zaman para nabi, dengan tiada sistem pengangkutan yang canggih, keadaan geografi yang kering di padang pasir dan dalam suasana perjalanan yang sukar, Memang tidak dinafikan poligami boleh diamalkan, lagipun mereka tinggal dalam kawasan yang sangat jauh, terpaksa mengembangkan ajaran Islam dan demi menambah keturunan.

''Sebaliknya di Malaysia, perjalanan dari Utara ke Selatan tidak sampai enam jam, tambahan sudah banyak tambang kapalterbang murah, jadi apakah perlunya poligami. Bila memikirkan isu ini, kadang kala saya terfikir bahawa kaum lelaki ini tidak ada lain yang mereka fikirkan selain seks dan poligami.

''Sepatutnya sebagai ayah dan ketua keluarga mereka berfikiran dan berpandangan jauh tentang masa depan anak-anak mereka. Apakah anak-anak mendapat pelajaran secukupnya, apakah kedudukan ekonomi mereka sudah kukuh. Apakah bekalan yang bakal mereka tinggalkan untuk anak-anak pewaris agama dan bangsa mereka nanti.

''Dalam kehiduapan masyarakat Melayu beragama Islam kita hari ini mereka tidak ada kekuatan ekonomi. Hidup sentiasa memerlukan bantuan kerajaan. Sampai bila harus begini, apakah kaum lelaki tidak terfikir tentang masa depan anak-anak mereka?

''Sepatutnya sebagai ayah kehidupan anak-anak didahulukan, bukan hanya berfikir bagaimana cara mudah berpoligami dan kepada kaum wanita fikirkanlah nasib anak-anak bukan berpesatuan untuk mengamankan hidup isteri-isteri yang berpoligami.

''Wahai kaum lelaki, bukalah mata, bangkitlah berfikirlah lebih matang demi anak-anak, bangsa Melayu dan agama Islam kita pada masa depan.'' Demikian cerita Rostina panjang lebar.

Walaupun ramai kaum lelaki tidak setuju dengan pandangan Rostina, tetapi berfikirlah secara lebih terbuka bagaimana untuk meninggikan lagi ekonomi bangsa Melayu dan mengangkat tinggi martabat agama Islam kita supaya tidak dihina dan diperlekehkan oleh bangsa asing.

Tidak mahu berebut lelaki

SAYA mungkin terlewat untuk memberi komen tetapi saya berharap penulisan saya ini ibarat kita sama-sama nasihat menasihati. Saya bersetuju dengan Mawar Melaka. Jika berlaku tidak keadilan dari pihak lelaki, kita harus bangkit. Cerita Madu Tiga ada memberi pengajaran dan jalan untuk kita mengatasi dan cara mengajar lelaki yang tahu kahwin tapi tak mahu berlaku adil dan bertanggung jawab. Satu pelajaran dari cerita Madu Tiga Allahyarham Tan Sri Ramlee.'Jamil'tidak zalim. Dia berkahwin lagi kerana mungkin mahukan zuriat. Ketiga-tiga pula tak memberi zuriat 'padanya'. Ini pendapat saya tetapi mereka bersatu untuk mencari keadilan.

Saya mangsa keadaan. Diceraikan tanpa ada sebab yang boleh saya fahami. Saya cuba mempertahankan ikatan perkahwinan ini. Saya tak sangka, setelah lama bersamanya membina rumah tangga. Badai datang melanda. Saya terima jika dimadukan tetapi perceraian pilihannya. Saya reda walaupun sudah merintih agar ingat pada anak-anak. Saya terima kerana itu permintaannya. Maka saya berkorban jika itu yang dia mahukan. Semoga berbahagia dan mana-mana salah saya pada pandangannya saya mohon maaf dan saya minta dia berdua juga minta maaf kerana kita bakal mati. Walau di hati saya pasrah pada Allah.

Pada kaum sejenis saya yang telah berjaya dalam kemelut ini, jagalah dia dengan baik. Saya akan meneruskan hidup.

Saya faham. Salah satu sebab mungkin masalah kewangan yang kita hadapi. Saya tidak berkerja dan dah tak muda lagi. Dulu ketika saya berkerja saya dapat membantunya. Kedua mungkin dia telah tergoda oleh daun muda. Sebagai orang tua (saya dah ada cucu), saya tak mahu berebut hanya pada seorang lelaki. Sedikit pun tak menyesal sebab saya yakin apa yang terjadi adalah kehendak Allah jua. Saya telah berusaha.

Inilah yang terbaik. Anak-anak walaupun sudah besar panjang masih mahu kasih sayang kerana orang tua masih hidup. Kita mahukan anak-anak ini berbakti pada kita bila kita mati, maka kita kini masih hidup janganlah membuat anak-anak memusuhi kita.

Sedarlah wahai yang hidup. Semua akan mati kerana dunia ini sementara. Buatlah baik di atas bumi ALLAH ini. Siapa kita untuk mendabik dada.

Salam Dan Terima kasih.

n Intan, Kota Kinabalu, Sabah.

Isnin, Ogos 10, 2009

Abah sentiasa jadi imam solat di rumah

ARKIB : 09/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia

SAYA telah pun berumah tangga dengan seorang lelaki yang saya kenali ketika menuntut di luar negara dulu, beliau seorang suami dan ayah yang sangat baik, saya juga bertuah kerana dikurniakan ibu, ayah mertua dan ipar duai yang sangat-sangat baik, Alhamdulilah... tetapi saya masih lagi berwaspada kerana malang tidak berbau.

Merujuk kepada kisah DCCK minggu lalu, berbalik kepada kisah DCCK keluaran 2 Ogos, saya terpanggil untuk memberikan reaksi tentang nasib ibu dan perangai ayahnya. Cerita beliau ada persamaan sedikit dengan kisah saya.

Saya anak bongsu daripada tiga beradik. Saya dilahirkan dalam keluarga sederhana, tetapi emak meninggal dunia semasa saya berumur tujuh tahun. Jadi segala keperluan arwah, abah yang menguruskannya.

Tetapi di sebalik itu abah seorang yang sangat baran hinggakan jiran-jiran tetangga amat simpati kepada kami, yang jadi mangsa keadaan adalah kakak saya.

Beliau dipukul dan dimaki. Saya dan abang juga tidak terlepas daripada tempiasnya, cuma kakak kena lebih teruk daripada kami. Abah pernah menyatakan emak meninggal dunia disebabkan kakak.

Air muka

Abah tak pernah peduli tentang air muka anak-anak. Kalau baran dia datang dia boleh pukul atau maki kami walaupun di khalayak ramai. Kami tiga beradik inilah yang menangis bersama di dalam bilik.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan tahun berganti tahun, tetapi perangai abah tidak pernah nampak perbezaannya, sehinggalah ditakdirkan abah terkena angin ahmar, kakaklah yang menjaga abah sehingga hujung nyawanya.

Saya dan abang memberikan berbagai alasan untuk tidak menjaga abah, tetapi kakak sanggup berhenti kerja sebagai Akauntan semata-mata ingin menjaga abah, walaupun suaminya tidak merelakannya.

Kakaklah yang menjaga abah, tetapi setelah kakak menasihatkan kami, akhirnya kami akur dan menjaga abah setakat yang termampu, apa yang kakak kata kita hanya akan ada ibu dan ayah sekali sahaja dunia dan akhirat walau sejahat mana sekali pun abah dia tetap bapa kami yang sah.

Oleh itu pada saya kita hormatilah kedua-dua ibu bapa kita walau sejahat mana sekalipun dia, insya-Allah satu hari Allah SWT akan menyedarkan mereka tentang dosa yang telah mereka lakukan.

Tetapi walau macam mana pun kami bertiga tetap sayangkan abah dunia dan akhirat sebab abahlah yang menggantikan emak selepas kematian emak. Dia bersusah payah mencari duit bagi menyekolahkan kami sehingga kami berjaya.

Dia jugalah mengajar kami untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak kami.. Walau sebaran manapun abah, dia tidak pernah lupa untuk menjadi imam ketika berjemaah dengan anak-anaknya.

Ziee,
Kuala Lumpur

Isnin, Ogos 03, 2009

Berbincanglah untuk selesai masalah

ASSALAMMUALAIKKUM,

Saya suka membaca artikel-artikel yang pelbagai di akhbar. Sememangnya artikel seperti DCCK tak pernah saya kecualikan, kini 'Reaksi'.

Banyak juga mencuba untuk bertukar-tukar pendapat. Mungkin belum dapat menarik perhatian. Tak mengapa, dengan menulis saya telah mendapat kepuasan. Diharap pada satu ketika ada juga manfaatnya.


Saya setuju, sebagai anak kita mesti beralah. Bukan kepada ibu mertua sahaja tetapi ibu sendiri juga. Ini ajaran Islam. Waima orang yang lebih tua! Tambahan pila kita juga orang Melayu. Penuh dengan adap sopan santun.

Bagaimanapun, kita bukan malaikat, mesti ada dua hala, jika ada terhantuk hati, berilah kemaafan, kita manusia biasa, usah dipanjang-panjangkan.

Kembali pada al-Quran! Sifat Allah yang Pengampun dan Penyayang. Siapalah kita di dunia yang fana ini. Elakkanlah konflik. Berusahalah bertolak ansur. Demi manusia sejagat.

Saya juga banyak terbaca akan rumahtangga yang berantakan. Disebabkan mertua dan ipar duai. Disinilah kelemahan kita. Mengapa tak dapat kita cari jalan keluar dengan baik.

beragama
Para lelaki yang beragama islam adalah ketua keluarga. Di sini saya nampak kelemahan banyak para suami orang Melayu dan Islam yang saya kenal, bukanlah semua. Maka itu cerita-cerita keluarga ini yang penuh dalam akhbar-akhbar.

Fikirlah dalam islam adalah istimewa lelaki diberi kelebihan. Tetapi tanggungjawab juga adalah besar.

Dalam Islam lelaki diberi tempat yang baik. Mereka mengimamkan. Mereka ketua keluarga. Mereka menjadi wali. Mereka mendapat dua bahagian harta. Semua pasti ada sebab-sebab yang khas. Maka lelaki Islam mesti adil, mesti beramanah, mesti berani dan mesti bersedia.

Apabila berkahwin suami mesti mendidik isteri. Lelaki mesti berani menegur dan membimbing ahli keluarganya ke jalan yang diminta syariat dan syarak.

Adalah tanggungjawab semua suami memberi nafkah, membawa isteri di jalan Allah. Maka jika ada silap di mana-mana carilah jalan yang baik. Ajaklah isteri berbincang. Tegur dia.

Perceraian jalan terakhir, apa sebab sekalipun, ada cara dalam al-Quran mendidik isteri yang degil, yang jahat dan ganjaran isteri yang taat!

Maafkan isteri yang telah bertaubat, tidak boleh memukul dan mencederakan, tak boleh disakiti. Ada orang cerdik pandai untuk diajak berbincang iaitu ahli-ahli agama!

Yang berlaku ialah suami menipu, menafikan mencederakan dan menzalimi. Mengapa? Suami sendiri tidak membaca al-Quran! Allah beri kuota empat. Jika satupun tak boleh jaga bayangkan jika punya lebih daripada satu! Fikirlah anak-anak.

Jika ibu yang ditalakkan. Anak-anak berpecah belah. Tidak salah bermadu, tetapi berusahalah mendekati keluarga sedia ada. Berbincanglah. Kita sama-sama ada hati nurani. Dunia ini sementara, oleh itu takutlah kepada Allah. Kita akan di persoalkan setiap perlakuan kita.

Kita telah diberi akal. Fikirkanlah.

Salam.
*INN SUBANG.

Isnin, Julai 27, 2009

Menantu perempuan mesti beralah

PENDEDAHAN seorang nenek yang menceritakan pengalamannya dalam ruangan ini minggu lalu menarik perhatian saya untuk memberikan sedikit pandangan.

Tetapi tanpa mahu merujuk secara keseluruhan kepada keluhan tersebut, saya cuma ingin mengulas mengenai sikap menantu perempuan.

Saya sendiri sudah mendengar banyak cerita mengenai menantu perempuan yang kadang kala menunjukkan kerenah yang bukan-bukan.

Ada antara mereka tidak tahu menghormati mertua, biarpun sebenarnya kalau mertua tidak mengizinkan sudah tentu mereka tidak akan mendapat suami yang mereka idamkan. Mereka berpendapat, apabila seseorang lelaki itu sudah berkahwin maka ia menjadi hak eksklusif mereka, orang lain tidak boleh kacau-kacau termasuklah ibu bapa lelaki berkenaan.

Kesudahannya hubungan menantu dengan mertua menjadi renggang. Kalau hendak balik ke rumah mertua macam-macam alasan diberikan tetapi kalau hendak balik rumah sendiri awal-awal lagi sudah kemaskan pakaian.

Kepada kaum wanita yang menjadi menantu, faham-fahamlah bahawa tanggungjawab seorang lelaki terhadap ibu bapa mereka tidak akan berakhir biarpun mereka sudah berkahwin. Selagi ibu bapa mereka masih bernafas di alam fana ini, selagi itulah mereka bertanggungjawab menjaga kedua-dua orang tuanya.

Saya sering baca di ruangan ini, paparan-paparan mengenai sikap menantu lelaki termasuklah kritikan oleh sesetengah isteri kerana si suami terlalu beratkan ibu bapa mereka.

Bagi saya, itu sikap yang mulia cuma jangan sampai rumah tangga dan kebajikan anak-anak terabai.

Saya juga sering berjumpa dengan menantu perempuan yang suka sangat mengkritik ibu bapa mertua mereka. Mungkin kedua-dua orang tua itu ada buat salah tetapi jangan sampai memutuskan silaturahim.

Tetapi masalahnya kaum wanita ini kebanyakannya suka sangat ikut perasaan. Bila nampak suami berat sikit di sebelah ibu bapanya, mula buat muka. Sebenarnya, selagi suami itu tidak mengabaikan rumah tangga, biarlah dia menjalankan tanggungjawab sebagai anak lelaki.

Selain itu, kalau sudah meminta tolong ibu bapa mertua menjaga anak-anak maka faham-fahamlah untuk memberikan sedikit sumbangan. Jangan kerana hendak jimat wang maka anak-anak dihantar kepada ibu bapa mertua untuk dijaga.

Sebenarnya orang tua kita tak kisah untuk menjaga cucu-cucunya, malah kasih sayang mereka kepada cucu kadang kala lebih tinggi berbanding mereka sayangkan kita. Namun orang Melayu diajar untuk berbudi berbahasa, maka kalaulah ibu bapa mertua dah jaga anak-anak kita, pandai-pandailah kita membalas budi mereka.

Sebagai datuk dan nenek, mereka tidak akan meminta balasan, malah mereka bahagia bila cucu-cucu ada di rumah, tetapi kita pun kena juga tahu apa yang patut kita berikan. Jangan ingat kudrat yang mertua kita keluarkan percuma sahaja. Sepatutnya pada usia tua mereka berehat dan menumpukan perhatian kepada beribadat kepada Allah.

Tetapi bila kita hantar anak-anak ke rumah mereka untuk dijaga, sedikit sebanyak waktu lapang mereka sudah terganggu. Namun kita yakin mereka tidak akan bersungut.

Satu hal lagi, kalau bermusuh dengan ibu bapa mertua, janganlah menghasut suami pun ikut sama. Apa pun berlaku hubungan anak dan ibu bapa tidak boleh diputuskan. Si suami pun janganlah mengikut sahaja, kalau tahu si isteri melakukan perkara yang salah.

Tetapi paling baik si menantu harus tahu beralah, jangan hendak tunjuk keras kepala tidak tentu fasal kerana apa pun kita harus faham bahawa setiap niat yang baik pasti diberkati Allah.
Mungkin sesetengah mertua ada perangainya sendiri tetapi kita tidak boleh melawan kerana apa pun mereka akan tetap pertahankan pendirian mereka.

Oleh itu daripada pening-peningkan kepala adalah lebih baik menantu-menantu perempuan ini bersabar sahaja. Bagi si suami pula, pandai-pandailah menyelesaikan masalah yang timbul, jangan kita pun berat sebelah.

Saya memberikan pandangan ini secara ikhlas dan berharap tidak ada mana-mana pihak tersinggung.

Hasbullah, Melaka.

Jangan malu bermadu

Saya tertarik dengan luahan Siti Mariam minggu lalu.

Saya memahami derita puan kerana terpaksa memendam perasaan. Lebih memedihkan, puan terpaksa berselindung tentang status tersebut daripada pengetahuan keluarga dan kawan-kawan.

Namun, apalah yang hendak dimalukan dengan status bermadu. Seharusnya lelaki atau suami yang perlu malu kerana gagal menjalankan tanggungjawab dengan adil selepas berpoligami.

Wanita yang sanggup bermadu perlu berbangga kerana sanggup berkorban demi kebahagiaan suami dan wanita lain. Tetapi jika berlaku ketidakadilan, wanita perlu bangkit.

Perjuangkan hak kepada saluran yang betul. Rujuklah ke mahkamah syariah atau kaunselor agar penyelesaian itu dapat dijalankan dengan baik.

Di sini, saya ingin berkongsi dengan pembaca, wanita selalu mengikut emosi ketika marah. Itu perlu dielakkan kerana apabila wanita mengamuk atau marah. Ia menunjukkan kelemahan kita.
Wanita perlu menyelesaikan sesuatu masalah dengan kelembutan.

Sifat ini tidak dimiliki oleh lelaki. Justeru, wanita perlu menggunakan kuasa dengan mencairkan hati lelaki menggunakan kelembutan. Tetapi bukan untuk menggoda lelaki atau suami orang. Sebaiknya ia digunakan ketika berhubung dengan suami.

Kepada Siti Mariam, saya doakan kebahagiaan anda. Bersabarlah. Saya kagum dengan ketabahan anda.

n Mawar, Melaka.

Hentikanlah segala bentuk kegelisahan, bersabarlah, hadapilah kenyataan hidup dengan tabah dan teruslah melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup anda.


Samseng di sekolah, alim di rumah

KEBELAKANGAN ini hangat diperkatakan mengenai tingkah laku pelajar yang amat membimbangkan ibu bapa.

Ponteng, merokok, buli dan samseng adalah gejala lama di kalangan pelajar sekolah menengah, tinggal lagi tidak diuar-uarkan dan diketengahkan, hanya baru-baru ini ia meletup hingga merunsingkan semua pihak.

Bermula dari rumah, remaja tidak diawasi secara berkesan memandangkan kebanyakan ibu bapa bekerja dan tiada di rumah dari pagi hingga malam.

Hanya pada hujung minggu mereka bersama anak dan ada juga disebabkan rumah tangga bergolak hingga kebajikan anak terabai.

Semua ibu bapa menyayangi anak, hanya cara mereka mendidik anak daripada kecil hingga remaja membezakan peribadi anak.

Bagi ibu bapa yang menitikberatkan perkembangan anak dan mempunyai latar belakang keagamaan utuh, mereka mendidik anak mengikut acuan sepatutnya. Anak menerima didikan begini beruntung dan membesar menjadi rakyat cemerlang.

Maaf saya katakan, bagi ibu bapa yang longgar keimanannya dan rumah tangga bermasalah, anak tidak dikawal selia sebagaimana yang diamanahkan Allah. Pengawasan terhadap anak terlalu tipis akibatnya anak terabai.

Anak sebegini pasti akan membesar dengan meniru gejala songsang, maklumlah dunia tanpa sempadan, mereka mudah mengakses pelbagai sumber negatif. Anak yang kurang mendapat pengawasan inilah apabila remaja kelak akan menimbulkan masalah di sekolah, kepada jiran tetangga, masyarakat malah negara.

Di sekolah, mereka mempengaruhi rakan supaya ponteng, merokok dan membentuk kumpulan samseng dan bersikap biadap. Jika ditegur, mereka sanggup memaki-hamun dan memukul.

Peliknya, di depan ibu bapa anak ini boleh bertukar perangai. Ini yang menyebabkan ibu bapa tidak percaya jika ada yang menuduh anak mereka nakal.

Di peringkat ini, peranan semua pihak iaitu ibu bapa dan guru amat penting. Mereka harus berganding bahu dan memainkan peranan masing-masing untuk menangani gejala tidak sihat daripada lebih parah. Jangan menuding jari mana-mana pihak, perbuatan ini tidak menyelesaikan masalah.

Di sekolah, guru ada kuasa dan berhak meminta daripada pelajar sijil cuti sakit atau surat daripada ibu bapa jika pelajar tidak hadir ke sekolah. Sekurang-kurangnya pihak sekolah dapat memberitahu ibu bapa mengenai ketidakhadiran pelajar supaya ibu bapa boleh melaksanakan peranan mereka. Jika tiada timbal-balas, ibu bapa tidak tahu sama ada anak ke sekolah atau tidak.

Pelajar yang terbabit dengan gejala lebih serius seperti membuli rakan dan berkelakuan samseng, persatuan ibu baba dan guru (PIBG) sekolah berhak menggantung persekolahan pelajar. Ia dilakukan ketika siasatan ke atas pelajar dijalankan serta menghukumnya dengan hukuman setimpal atau dengan kerjasama Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), menukarkan sekolah pelajar terbabit.

Ibu bapa harus memberi kerjasama dan menerima dengan hati terbuka tindakan sekolah terhadap anak. Tidak wajar pelajar berkenaan dibuang sekolah kerana pembuangan pelajar adalah tindakan terakhir. Itu pun sekiranya pelajar itu melakukan jenayah berat.

Beri mereka peluang kedua untuk memperbaiki diri. Jangan musnahkan masa depan mereka semata-mata kerana hukuman mengikut emosi. Elakkanlah mereka menjadi dewasa dengan tidak berpelajaran, nanti akan menyusahkan masyarakat.

Kepada guru, didiklah pelajar supaya menjadi warga negara. Guru umpama lilin dan mereka mempunyai anak, pasti ada naluri keibubapaan dalam diri mereka. Sayangilah anak bangsa dan generasi pelapis kepemimpinan.

Kepada ibu bapa, laksanakanlah amanah Allah dengan mendidik anak ke jalan lurus.

WARGA PRIHATIN
Seremban, Negeri Sembilan.

Isnin, Julai 20, 2009

Bukan lelaki sahaja yang salah

Arkib 19/7/2009

SAYA benar-benar bersimpati dengan nasib yang menimpa Sha seperti mana yang beliau coretkan dalam ruangan ini minggu lalu. Walaupun saya seorang lelaki tetapi saya sama sekali tidak menyebelahi mana-mana lelaki yang bersikap tidak adil, apatah lagi tidak memberi nafkah kepada bekas isteri dan anak-anak.

Namun begitu, saya percaya Sha sudah belajar daripada kesilapan yang lalu dan saya doakan beliau akan bertemu jodoh dengan insan yang lebih bertanggungjawab, berhati mulia dan soleh.

Apa pun, pengalaman yang dilalui oleh Sha seharusnya menjadi pengajaran kepada gadis atau wanita yang ingin berkahwin. Sememangnya tidak dapat dinafikan, jodoh pertemuan ajal maut di tangan Allah, tetapi dalam masa yang sama kita juga harus ingat bahawa Allah tidak akan mengubah nasib kita jika kita tidak mengubahnya sendiri.

Atas sebab itulah, saya ingin menasihatkan gadis-gadis supaya tidak mudah terpedaya dengan janji manis apatah lagi madah berhelah mana-mana lelaki yang ingin mereka jadikan suami.

Perkahwinan ibarat mendirikan sebuah masjid, atas sebab itu, ia bukan sahaja harus dibina atas dasar kasih sayang dan cinta yang suci dan ikhlas tetapi juga memahami tanggungjawab masing-masing sebagai suami atau isteri.

Kalaulah ketika bercinta atau bertunang pun sudah buat perangai, adalah lebih baik kita menolak sahaja pasangan kita itu. Jangan terpengaruh dengan cinta buta kerana akhirnya yang akan menanggung penderitaan adalah kita sendiri seperti mana yang dialami oleh Sha.

terpedaya

Saya tidak berhasrat menjadikan Sha sebagai contoh, tetapi kita sudah lihat bagaimana dalam banyak kes perempuan seolah-olah begitu mudah terpedaya, malah kononnya atas dasar cinta, mereka menggadaikan tubuh mereka kepada kekasih.

Apa yang lebih malang ada pula gadis-gadis yang sanggup lari daripada rumah kerana ingin mengikut kekasih. Kasihan kepada ibu bapa mereka.

Oleh itu, dalam soal teraniaya akibat perbuatan suami, jangan salahkan lelaki sahaja, salahkan juga kaum perempuan yang begitu mudah terpedaya.

Memang benar wanita adalah insan yang lemah tetapi Islam juga mengajar kita untuk menjadi manusia yang kuat dan berupaya dalam melayari bahtera kehidupan.

Janganlah apabila sesuatu sudah berlaku maka dengan mudah kaum lelaki dipersalahkan, pokok pangkalnya ada diri kita sendiri. Kalau perempuan, gadis atau wanita itu bijak sudah tentu mereka tidak akan terperangkap dengan permainan lidah lelaki.

Sebab itulah dalam apa juga soal, kita perlu meminta petunjuk daripada Allah termasuklah dalam soal memilih jodoh. Kalau ada keraguan di permulaan hubungan kita dengan seseorang maka mintalah petunjuk-Nya, apakah ia perlu diteruskan atau tidak.

Bagi saya, adalah lebih baik kecewa ketika berada di alam percintaan berbanding menderita ketika di alam perkahwinan. Tetapi kadang kala sesetengah gadis atau wanita itu degil, walaupun tahu pasangan mereka baik sikit daripada jembalang masih juga hendak menjalinkan hubungan kesudahannya apabila berkahwin mereka yang terpaksa berendam air mata.

Ketika itu semuanya sudah tidak bermakna lagi, kalau menyumpah setinggi seribu gunung sekalipun ia tidak akan mengubah keadaan, adalah lebih baik jika kita bermuhasabah terhadap kesilapan yang kita telah lakukan.Mungkin ada kaum wanita yang tidak berpuas hati dengan reaksi ini tetapi ia adalah hakikat.

Menuding jari kepada suami atau bekas suami selepas segala-galanya berlaku bukanlah tindakan yang bijak, sebaliknya sampai ke mati, kaum wanita terlibat akan terus dihantui peristiwa berkenaan.

Oleh itu, kepada semua gadis dan wanita, belajarlah mengenal kehidupan dengan sebaik-baiknya, jangan terpengaruh dengan cinta dan terpedaya dengan nafsu. Sesungguhnya jalan terbaik untuk mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat adalah dengan meminta petunjuk dan pertolongan daripada Allah SWT, dalam apa juga kita lakukan.

Salam...
n Nasrollah
Kota Bharu, Kelantan.


Selasa, Julai 14, 2009

Jangan ghairah lepaskan perasaan

ASSALAMMUALAIKKUM,

Pada mulanya, apabila saya membaca luahan Puan Norfaizah di ruangan ini, saya tidak berhasrat untuk memberi maklum balas kerana saya yakin sudah pasti ramai kaum wanita yang bersetuju dengan apa yang beliau luahkan.

Sebelum itu, saya mohon maaf kerana saya tidak berhasrat membela mana-mana lelaki yang bertindak tidak adil apabila berpoligami malah saya juga amat menentang mana-mana juga lelaki yang mengabaikan isteri pertama selepas isterinya itu membenarkan dia berkahwin lain.

Namun begitu ini tidak bermakna bahawa Puan Norfaizah diberi 'lesen' untuk mengutuk bekas suami puan sepuas-puasnya. Memang benar puan mungkin menderita dengan apa yang sudah puan lalui tetapi adakah wajar puan melepaskan geram dengan cara sebegini.

Saya bimbang dalam keghairahan puan melakukan 'serangan balas' kepada bekas suami, puan akhirnya melakukan dosa. Sedangkan dalam masa yang sama walaupun bekas suami puan biarpun didakwa oleh puan terpaksa bersusah payah menjaga anak-anak dengan isteri baru tetapi sekurang-kurangnya dia sedang menjalankan tanggungjawab sebagai seorang suami dan bapa.

Hari demi hari, bekas suami puan sedang mengutip pahala melalui setiap keringat yang beliau titiskan demi menjaga keluarga barunya tetapi puan bagaimana? Puan hanya sekadar berpuas hati kerana dapat 'menghentam' bekas suami puan sepuas-puas tetapi kesudahannya apa yang puan dapat.

Oleh itu sebagai hamba Allah, saya ingin menasihatkan puan banyak-banyaklah mengingati Allah, anggaplah apa yang berlaku dalam hidup puan adalah dugaan daripada-Nya seperti mana puan coretkan iaitu, ''bangkitlah, bukalah hati menghadapi dugaan Allah. Tentu ada hikmah di sebalik apa yang Dia suratkan untuk kita. Hanya Allah mengetahui apa yang kita tahu."

Membaca bait ayat itu, saya yakin puan juga adalah seorang wanita yang tabah dalam menghadapi suratan takdir. Saya bangga dengan semangat puan dan saya yakin puan boleh berjaya dalam hidup bersama-sama dengan anak-anak.

Tetapi janganlah sesekali merosakkan kebahagiaan yang puan kecapi itu melalui cara melumuri hati puan dengan dendam yang tidak berkesudahan kepada bekas suami puan. Adalah lebih baik puan mendoakan kesejahteraan beliau bersama keluarga barunya.

Saya hormati keputusan puan kerana memohon cerai demi tidak mahu melakukan dosa tetapi tidakkah puan terfikir, apakah puan tidak berdosa dengan 'mengutuk' bekas suami puan? Niat puan mungkin jujur untuk memaparkan pengalaman dan menjadikan teladan kepada orang lain tetapi pendekatan yang digunakan adalah tidak sesuai.

Setiap manusia menempuh perjalanan hidup yang berbeza, puan mungkin tidak rela berpoligami tetapi ada wanita lain rela membenarkan suaminya berbuat demikian demi kasih sayangnya seperti mana Puan Junainah. Wanita yang membenarkan suaminya berpoligami bukannya memburu kebahagiaan di dunia semata-mata tetapi paling penting bagi mereka adalah akhirat.

Kita hanya singgah di alam fana ini hanyalah sementara, apabila tiba masanya kita akan kembali mengadap Allah SWT. Ketika itu semua amal ibadah kita akan dihitung satu persatu termasuklah semasa kita menjadi suami atau isteri. Tidak kisahlah jika perkahwinan kita berakhir dengan perceraian tetapi perbuatan kita ketika menjadi suami atau isteri akan tetap dihitung.

Oleh itu, secara jujur dan ikhlas, saya meminta puan supaya hapuskanlah perasaan dendam puan kepada bekas suami.

Saya yakin pengalaman hidup sudah banyak mematangkan puan untuk menjadi insan yang pemaaf dan melihat ke hadapan. Janganlah sampai puan dilihat terlalu angkuh dengan kebahagiaan yang dikecapi sekarang sehingga sanggup memburuk-burukkan bekas suami puan. Biarlah dia dengan keluarganya. Ingatlah, biar apa pun berlaku anak-anak puan adalah darah daging bekas suami puan dan anak-anak isteri mudanya adalah adik-adik kepada anak-anak puan.

Jangan biarkan kerana dendam kesumat puan, mereka adik beradik berbalah sehingga akhir hayat, ketika itu siapakah yang akan berdosa?

Akhir kata, saya ingin menasihatkan wanita-wanita yang senasib dengan Puan Norfaizah banyak-banyaklah bersabar dengan dugaan Allah. Belajarlah juga untuk mengkaji kelemahan diri sendiri sehingga memungkinkan suami puan terfikir berkahwin lain.

Ingatlah firman Allah SWT dalam surah Al Baqarah ayat 155-157 yang bermaksud; Dan Kami pasti akan menguji kalian dengan sedikit ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa serta buah-buahan dan khabarlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar iaitu yang apabila mereka ditimpa musibah mereka berkata, Sesungguhnya kami akan adalah miliki Allah dan kepada-Nya jualah kami akan kembali. Mereka itulah orang-orang yang beroleh selawat (kesejahteraan) dan rahmat daripada Tuhan mereka dan mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk.

Salam.

* Mujahid, alor setar.