#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Ogos 10, 2009

Abah sentiasa jadi imam solat di rumah

ARKIB : 09/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia

SAYA telah pun berumah tangga dengan seorang lelaki yang saya kenali ketika menuntut di luar negara dulu, beliau seorang suami dan ayah yang sangat baik, saya juga bertuah kerana dikurniakan ibu, ayah mertua dan ipar duai yang sangat-sangat baik, Alhamdulilah... tetapi saya masih lagi berwaspada kerana malang tidak berbau.

Merujuk kepada kisah DCCK minggu lalu, berbalik kepada kisah DCCK keluaran 2 Ogos, saya terpanggil untuk memberikan reaksi tentang nasib ibu dan perangai ayahnya. Cerita beliau ada persamaan sedikit dengan kisah saya.

Saya anak bongsu daripada tiga beradik. Saya dilahirkan dalam keluarga sederhana, tetapi emak meninggal dunia semasa saya berumur tujuh tahun. Jadi segala keperluan arwah, abah yang menguruskannya.

Tetapi di sebalik itu abah seorang yang sangat baran hinggakan jiran-jiran tetangga amat simpati kepada kami, yang jadi mangsa keadaan adalah kakak saya.

Beliau dipukul dan dimaki. Saya dan abang juga tidak terlepas daripada tempiasnya, cuma kakak kena lebih teruk daripada kami. Abah pernah menyatakan emak meninggal dunia disebabkan kakak.

Air muka

Abah tak pernah peduli tentang air muka anak-anak. Kalau baran dia datang dia boleh pukul atau maki kami walaupun di khalayak ramai. Kami tiga beradik inilah yang menangis bersama di dalam bilik.

Hari berganti hari, bulan berganti bulan tahun berganti tahun, tetapi perangai abah tidak pernah nampak perbezaannya, sehinggalah ditakdirkan abah terkena angin ahmar, kakaklah yang menjaga abah sehingga hujung nyawanya.

Saya dan abang memberikan berbagai alasan untuk tidak menjaga abah, tetapi kakak sanggup berhenti kerja sebagai Akauntan semata-mata ingin menjaga abah, walaupun suaminya tidak merelakannya.

Kakaklah yang menjaga abah, tetapi setelah kakak menasihatkan kami, akhirnya kami akur dan menjaga abah setakat yang termampu, apa yang kakak kata kita hanya akan ada ibu dan ayah sekali sahaja dunia dan akhirat walau sejahat mana sekali pun abah dia tetap bapa kami yang sah.

Oleh itu pada saya kita hormatilah kedua-dua ibu bapa kita walau sejahat mana sekalipun dia, insya-Allah satu hari Allah SWT akan menyedarkan mereka tentang dosa yang telah mereka lakukan.

Tetapi walau macam mana pun kami bertiga tetap sayangkan abah dunia dan akhirat sebab abahlah yang menggantikan emak selepas kematian emak. Dia bersusah payah mencari duit bagi menyekolahkan kami sehingga kami berjaya.

Dia jugalah mengajar kami untuk menjadi ibu bapa yang baik kepada anak-anak kami.. Walau sebaran manapun abah, dia tidak pernah lupa untuk menjadi imam ketika berjemaah dengan anak-anaknya.

Ziee,
Kuala Lumpur

Tiada ulasan:

Catat Ulasan