#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Ogos 28, 2009

Malang isteri tua

Oleh Abdullah Wahab
abwahab@hmetro.com.my

SHAH ALAM: Habis madu sepah dibuang. Itulah nasib dialami seorang wanita yang tidak semena-mena ditinggalkan suaminya sejurus lelaki muda terbabit menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di ibu negara, baru-baru ini.

Tindakan lelaki terbabit bukan saja mengejutkan isterinya, Emy Mayshta, 40, malah boleh dianggap tidak berperikemanusiaan kerana wanita berkenaan sebelum ini mendakwa menanggung segala perbelanjaan pengajiannya selama empat tahun di IPTA.

Emy mendakwa, suaminya yang berusia 24 tahun menghilangkan diri seminggu sebelum majlis konvokesyen pada 15 Ogos lalu dan tidak pulang ke rumah mereka di Jalan Mat Raji, Padang Jawa, dekat sini, hingga kini.

Katanya, kali terakhir dia bertemu suaminya pada majlis konvokesyen, namun hanya sempat berbual beberapa minit sebelum lelaki itu lari dan hilang di tengah-tengah kemeriahan majlis graduasi bersama keluarganya.

“Dia lari saya tak kisah, tapi apa yang saya nak ialah dia serahkan semula tujuh gelang, rantai dan cincin emas yang dianggarkan berharga lebih RM10,000 yang diambil kononnya sebagai simpanan.

“Saya juga tak kisah kalau dia sudah tawar hati terhadap saya dan tak mengaku saya isterinya, tapi apa yang saya nak ialah hak saya,” katanya di sini, semalam.

Difahamkan, sebelum menghilangkan diri, suaminya turut melarikan beberapa dokumen penting milik Emy termasuk pasport dan sijil perkahwinan mereka.

Lelaki itu kini dikatakan menyewa rumah bersama rakannya di Kuala Lumpur.

Berikutan itu, Emy membuat laporan di Balai Polis Pantai di sini, kelmarin berhubung kejadian berkenaan.

Emy berkata, dia juga sudah ratusan kali menghubungi dua telefon bimbit milik suaminya untuk berbincang perkara berkenaan, namun gagal.

“Apa yang saya tahu, dia meninggalkan saya disebabkan hasutan keluarganya yang memintanya membubarkan perkahwinan kerana perbezaan umur kami.

“Saya tak kisah semua itu, tapi apa yang saya minta ialah datang jumpa saya dan berbincang secara profesional,” katanya yang turut mempunyai seorang anak lelaki hasil perkahwinan mereka yang kini dibela keluarga mentuanya.

Emy berkata, dia menanggung segala perbelanjaan termasuk yuran pengajian suaminya selama empat tahun di IPTA berkenaan menggunakan wang simpanan hasil penat lelahnya bekerja sebagai pengamal perubatan tradisional.

“Setiap minggu saya akan beri RM500 kepadanya dan ia berlanjutan selama empat tahun pengajiannya.

“Bukan saya nak ungkit tapi semua diambilnya. Malah, sepanjang hidup bersama, saya turut perturunkan segala ilmu saya kepadanya,” katanya.

Perkenalan mereka bermula apabila suaminya mendapatkan khidmat perubatan secara tradisional selepas dia terkena penyakit misteri dan sejak itu cinta mereka berputik sebelum memutuskan berkahwin di rumah keluarga mentuanya, empat tahun lalu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan