#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Ogos 10, 2009

Cemburu keluarga lain bahagia

ARKIB : 09/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia

SAYA berusia 21 tahun dan sedang menuntut dalam tahun kedua di sebuah IPTA. Saya berhadapan dengan masalah keluarga yang sekian lama saya tanggung. Ayah saya seorang yang panas baran mungkin juga disebabkan beliau telah lama menghidap satu penyakit yang menyebabkannya sering tertekan.

Ayah selalunya akan memarahi emak walaupun atas kesalahan yang kecil. Tetapi apabila abang dan adik saya meningkat dewasa, mereka mula berani untuk tegur ayah apabila ayah memarahi emak. Kadang-kadang sehingga berlaku pertengkaran kerana abang saya telah lama pendam perasaan ini dan juga merasa tertekan dengan sikap ayah. Apabila hal ini berlaku, sayalah yang akan tenangkan perasaan ayah dan cuba untuk memujuknya. Alhamdulillah kemarahan ayah akan cepat reda. Saya sedih apabila abang memarahi ayah dan meninggikan suaranya. Saya akan menasihatinya untuk bersabar dengan sikap ayah. Saya selalu cakap yang ayah sakit, tak seperti ayah orang lain yang sihat.

Ada kalanya saya merasa jiwa saya terlalu kosong. Kadang-kadang saya cemburu melihat kawan-kawan yang bahagia bersama keluarga. Tetapi saya telah lama memujuk hati agar sentiasa tabah dengan dugaan seperti ini. Saya telah reda dengan takdir yang telah ditetapkan Tuhan. Saya sentiasa yakin dan percaya, akan ada hikmah di sebaliknya walaupun kita merasakan perkara itu buruk pada kita. Semakin saya meningkat dewasa, semakin saya mula belajar erti kehidupan sebenar. Saya berdoa agar akan ada sinar yang membahagiakan hati saya suatu hari nanti. Amin...

Lavender, Gurun, Kedah.

Lavender,
SETIAP keluarga mempunyai masalah yang kadang-kadang tidak terzahir. Masalah yang sekian lama adik tanggung mungkin antara cebisan kisah kekeluargaan dalam masyarakat.


Jangan bersedih, kerana Putri yakin adik berjaya mengawal keadaan tersebut. Buktinya, adiklah yang akan tenangkan perasaan ayah dan cuba untuk memujuknya agar bersabar. Akhirnya, kemarahan ayah akan cepat reda apabila adik memujuknya. Adik juga cuba menjelaskan keadaan ayah adik kepada abang. Sebagai adik, bantulah abang mengawal kemarahannya supaya ayah adik tidak terguris.

Tidak dinafikan kita akan cemburu melihat kawan-kawan lain yang bahagia bersama keluarga. Tetapi adik perlu bersyukur kerana adik mempunyai keluarga yang lengkap. Mungkin adik boleh mengajak ayah dan abang berjumpa kaunselor untuk mendapatkan terapi mengawal panas baran. Selain itu, mungkin adik boleh meminta bantuan ahli agama atau ustaz bagaimana membantu meredakan kemarahan seseorang. Putri harap ia dapat membantu adik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan