#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Julai 09, 2014

Puasa singkir toksin

Oleh NOOR FAZRINA KAMAL
Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 8/7/2014


ADA ibu yang menyusukan anak mengadu keadaan ekzema pada bayinya menjadi lebih teruk pada minggu pertama berpuasa.

Dia lalu segera mengajukan pertanyaan kepada pakar tentang keadaan tersebut kerana khuatir kemungkinan mengambil makanan yang tidak sesuai ketika berbuka puasa.

Pengarah Penjagaan Kesihatan di Spectrum of Life, Dr. Suriyakhatun Osman berkata, apa yang dialami bayi tersebut sebenarnya adalah kesan daripada tubuh ibunya yang sedang mengalami detoksifikasi pada hari-hari awal berpuasa.

Beliau berkata, gejala detox termasuk sakit kepala, berak cair, lenguh badan, nafas dan peluh berbau, letih dan emosi terganggu.

Pada awal minggu berpuasa mungkin ada yang merasakan tidak terlalu letih kerana ‘bekalan tenaga’ masih banyak .

Memasuki minggu kedua ada yang mengadu lemah dan tak kurang juga yang mula meminimumkan pergerakan fizikal dengan alasan tidak mahu keletihan sementara menunggu waktu berbuka. Ada juga yang mendapati tubuh menjadi semakin cergas setelah memasuki dua minggu berpuasa.

Apapun setiap daripada kita adalah berbeza dan tindak balas berpuasa juga berbeza bagi setiap individu.

“Tumpuan ibu yang menyusukan anak pada bulan Ramadan ini biasanya tentang bagaimana untuk membanyakkan susu dan tidak kurang juga persoalan tentang proses penyingkiran toksin atau detoks semasa berpuasa

“Puasa itu sendiri adalah detoks dan beberapa langkah boleh dilakukan bagi meminimumkan gejala proses detoks yang boleh menjejaskan anak ekzema," ujarnya.


Menurut Dr. Suriyakhatun, semasa berpuasa ada beberapa gejala yang berlaku pada tubuh disebabkan badan membuang toksin yang telah sekian lama berada di dalam tubuh.

Antara gejala yang dirasai ialah mulut berbau busuk, kencing berbau busuk, najis berbentuk cair atau disertai lendir, sakit kepala, lenguh-lenguh badan dan lidah berselaput putih.

“Ini berlaku pada peringkat awal puasa dan lagi banyak lemak seseorang lagi banyaklah gejala daripada tanda penyingkiran toksin dalam tubuh ini. Bagaimanapun jangan risau kerana semakin lama anda berpuasa, semakin kurang gejala penyingkiran ini berlaku," katanya.

Tambahnya lagi, cara-cara untuk mengesan kebanyakan toksin sudah keluar dari tubuh ialah apabila lidah tidak lagi berselaput putih, tubuh menjadi kurang letih dan tidak lagi lenguh serta hilang sakit kepala.

Tegasnya, ibu-ibu menyusu juga perlu mengambil perhatian tentang alahan masing-masing dan mengenal pasti makanan apa yang mempunyai reaksi alahan pada diri dan anak yang disusukan.

“Setiap yang dimakan ibu memang memberi kesan kepada susu yang diberikan kepada bayi. Apabila proses detoks berlaku pula maka memang akan ada reaksi yang lebih kuat dalam badan ibu, alahan seseorang akan lebih kuat semasa puasa.

“Makanan yang banyak rempah pun boleh menyebabkan susunya mengandungi lebih bahan radangan, jadi ibu menyusu tidak dinasihatkan makan makanan yang mengandungi banyak rempah atau cili," ujarnya.

Proses penyingkiran toksin

Dr. Suriyakhatun berkata, proses penyingkiran toksik bermula daripada bahan buangan sel (waste material) masuk ke dalam darah semula sebelum keluar terus dari badan melalui organ detoks seperti, ginjal, sistem penghadaman termasuk hati, kulit dan paru-paru.

Bermakna toksin ini keluar ke air susu juga sebab itulah anak ibu menyusu ada yang mengalami ekzema lebih teruk pada minggu awal ibunya berpuasa.

“Toksin dari lemak juga akan mula keluar dan ini bukan bahan buangan tetapi kimia yang terperangkap dalam lemak. Ini juga akan berada dalam air susu peringkat awal puasa," tambahnya.

Maka langkah langkah yang ibu perlu ambil adalah mempercepatkan proses detoks adalah dengan melakukan langkah-langkah berikut, pertamanya, ibu boleh mengurangkan memberi susu badan pada peringkat awal puasa bagi anak yang sudah berusia lebih enam bulan.

Proses ini menurut Dr. Suriyakhatun berlangsung hanya untuk tiga hingga empat hari pertama puasa sahaja. Sebagai alternatif, beri anak makan dan susu yang dia tidak alah contohnya susu beras (rice milk).

Langkah kedua mempercepatkan proses detoks ini ialah dengan cara meningkatkan pergerakan usus sebagai organ detoks dengan meminum jus aloe vera, minuman enzim dan makanan sunnah seperti al manna. Perlu awasi pengambilan gula, tepung gandum, dan pemanis tanpa zat yang akan merosakkan kesihatan usus dan mengurangkan keberkesanan usus untuk detoksifikasi," katanya.

Selain itu, mereka yang mengalami simptom detoks disarankan membuat skrub pada kulit semasa mandi pagi dan keluarkan peluh waktu petang sebelum berbuka, sama ada masuk dalam sauna atau berjoging selama setengah jam.

“Selepas berbuka disarankan minum air bersih sebanyak yang boleh. Ketika solat Tarawih bawa botol air dan teguk selalu, pastikan banyak kencing untuk mempercepatkan proses detoks sebelum tubuh anda bersih dan bertenaga semula.

Elak berjalan di matahari terik dan elak bersenam di awal puasa, cuma bersenam pada waktu petang sebelum berbuka," katanya.

Tip Ramadan untuk ibu menyusu

Ibu mengandung dan menyusu perlu awasi tanda-tanda hypoglycaemia dan juga dehidrasi.

Antaranya pitam, berpeluh sejuk, badan rasa lemah dan tak bermaya semasa berpuasa.

Dalam keadaan ini amatlah disaran untuk berbuka anda tidak diwajibkan berpuasa dan jika berpuasa anda kena nilai kemampuan diri dan berbuka sebelum berlaku mudarat.

Bagaimanapun bagi yang mampu berpuasa perlu beri perhatian yang lebih tentang mutu makanan ketika berbuka dan bersahur.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140708/ke_02/Puasa-singkir-toksin#ixzz36xWGu9pR
© Utusan Melayu (M) Bhd

Khamis, April 24, 2014

Anak buka rahsia mak didera bapa


Oleh NORMALA HAMZAH
normala.hamzah@utusan.com.my
Tarikh : 19/04/2014

PERKAHWINAN bertujuan menyatukan dua insan dalam sebuah ikatan kasih yang diharap akan berkekalan sampai ke hujung nyawa. Susah senang, gagal atau berjaya dikongsi bersama dengan rasa penuh tanggungjawab asalkan hidup dapat diteruskan dalam suasana harmoni.

Pun begitu tidak semua perkahwinan membawa bahagia, ada yang derita hingga ke hujung usia dan ada juga yang patah di tengah jalan. Semuanya adalah suratan takdir dan tidak siapa mampu menolaknya.

Bagaimana pula dengan suami yang mendera isteri tetapi tidak mahu menceraikan isteri kerana ego dan tidak berhati perut?

Inilah kisah yang ingin saya kongsi dengan pembaca minggu ini, kisah Mazni (bukan nama sebenar) yang telah berkongsi hidup bersama suaminya, Roslan (bukan nama sebenar) selama tujuh tahun. Perkahwinan yang menjadikan Mazni terseksa jiwa dan raga, malah dia hampir mengalami tekanan jiwa dengan sikap suami yang teramat ego.

Kita ikuti cerita Mazni.

'Saya berusia lewat 30-an, bekerja sebagai seorang pegawai di sebuah syarikat insurans. Saya telah bernikah dengan Roslan, seorang penjawat awam selama tujuh tahun. Kami dikurniakan tiga orang anak berusia setahun, empat dan tujuh tahun.

'Kami bernikah atas pilihan keluarga. Saya tidak pernah kenal dia sebelum kami disatukan kerana ibunya yang beriya-iya mahukan saya sebagai menantu.

'Saya juga tidak tahu kenapa Roslan bersetuju dengan hajat ibunya, sedangkan dia tidak cintakan saya. Bagaimanapun, saya reda dengan ketentuan jodoh. Saya menerimanya dengan hati terbuka dan berusaha menjadi isteri yang baik dan solehah.

'Di peringkat awal pernikahan kami semuanya baik-baik belaka. Saya dilayan seperti mana suami lain melayan isteri. Apabila anak sulung kami lahir, suami mula buat hal. Perangainya mula berubah.

'Dia bukan kaki perempuan, tidak juga yang selalu keluar malam berfoya-foya. Masalah dengan suami saya, dia seorang yang panas baran dan suka memerintah.

'Saya sering diherdik, ditengking dan dimarahi tanpa sebab. Ada kalanya disebabkan masalah kecil, dia boleh menengking dan mengeluarkan kata-kata yang tidak enak didengar kepada saya. Pun begitu, saya masih bersabar sebab ingatkan anak-anak. Malah dia kerap memukul saya di hadapan anak-anak.

'Daripada panas baran, dia mula naik tangan. Sikit sahaja silap, saya akan ditampar. Pendek kata, saya tidak boleh buat silap. Itu pun saya sabar. Tidak sekalipun saya ceritakan kepada sesiapa termasuk ibu dan ayah saya dan keluarga.

'Di rumah, saya didera mental dan fizikal. Semua kerja rumah saya harus buat sendiri. Tidak ada pembantu rumah. Mengemas, memasak dan membeli keperluan rumah, saya yang kena buat. Dia hanya menjadi pemerhati.

'Bayangkan, setiap hari saya terpaksa bangun pagi untuk memasak, membasuh pakaian dan menghantar anak ke taska. Mujur dua orang anak yang bersekolah naik bas. Sering kali saya masuk kerja lewat kerana kesesakan jalan atau terlewat bangun.

'Sekali dua, mungkin terlepas tetapi kalau selalu, kawan-kawan pun tidak dapat membantu. Akhirnya saya diberi surat amaran kerana terlalu kerap datang lewat ke pejabat. Saya cuba bercakap dengan suami dan minta dia carikan saya pembantu rumah.

'Nak tahu apa jawapannya, awak kan ada. Awaklah jadi pembantu rumah. Itu pun tak boleh buat! Sedihnya hati saya, Allah sahaja yang tahu. Saya cuba memujuk tetapi gagal, dia berkeras yang kami tidak perlukan pembantu rumah kerana membazir katanya.

'Memang saya akui, saya boleh buat semua kerja. Tetapi dengan kudrat yang ada, saya tidak mampu lagi bertahan. Saya sering keletihan apabila balik ke rumah. Pergi menjemput anak-anak di taska dan rumah jiran. Dari pukul 6 pagi, saya keluar rumah, sampai di rumah hampir 8 malam. Bayangkan!

'Suami langsung tidak ada tolak ansur untuk membantu. Anak menangis pun boleh dibiarkan begitu sahaja. Saya juga yang terpaksa bergelut dengan anak dan kerja rumah. Anak-anak sedang membesar dan perlukan perhatian kami sebagai ibu bapa, itu pun dia tidak faham.

'Saya pelik dengan perangai suami. Bagaimana dia boleh tidak ada perasaan kasihan sedikit pun kepada saya. Bukan dia tidak nampak bagaimana kalutnya saya untuk buat semua kerja rumah.

'Balik rumah, saya perlu memasak untuk makan malam. Kalau saya tak masak, dikatanya saya malas dan tidak pandai melayannya. Serba tak kena dibuatnya!

'Mengenangkan sikap suami, hati saya menjadi luluh, saya sangat sedih. Sering kali saya menangis apabila mendengar cerita kawan-kawan pejabat yang mana suami mereka suka membantu buat kerja di rumah. Saya selalu berdoa agar satu hari nanti suami akan berubah dan mohon Allah lembutkan hatinya.

'Satu hari, ibu saya datang ke rumah. Saya ambil cuti kerana nak jaga hati ibu. Anak-anak sangat gembira apabila saya ada di rumah, sebab mereka tidak payah pergi ke rumah jiran selepas balik sekolah.

'Entah macam mana anak sulung saya yang berusia tujuh tahun memberitahu neneknya yang saya selalu kena marah dan pukul dengan ayahnya. Apa lagi, mengamuk ibu saya terutama setelah tanda lebam dan bengkak di lengan saya kerana baru ditampar oleh suami sehari sebelum ini.

'Saya mengelak daripada bercerita hal sebenar tetapi gagal sebab anak saya yang sulung itu petah bercerita dengan neneknya apa yang ayahnya selalu buat terhadap saya dan juga mereka. Saya tidak dapat berbohong lagi. Mahu tidak mahu saya terpaksa berterus terang.

'Malam itu juga, ayah dan abang saya tiba di rumah. Rupa-rupanya ibu telah menelefon mereka memberitahu apa yang telah berlaku kepada saya. Saya menangis apabila ayah dan abang bertanya hal sebenar. Saya akhirnya memberitahu mereka yang selama ini saya tidak bahagia dan banyak berahsia dengan mereka.

'Malam itu, sebaik sahaja Roslan balik ke rumah, dia terkejut melihat ayah dan abang saya ada di rumah. Dia menegur dan bertanya khabar tetapi ayah bersikap dingin. Ayah benar-benar marah dan mahu membuat perhitungan dan menyelesaikan masalah kami berdua malam itu juga.

'Setelah diasak dan ditunjukkan bukti tangan saya yang bengkak dan lebam-lebam, akhirnya Roslan mengaku akan perbuatannya. Dia meminta maaf kepada ayah dan abang di atas perbuatannya itu. Tetapi abah tidak dapat menerima.

'Abah tegur perbuatannya yang tidak berhati perut itu. Pada masa yang sama ayah minta dia bertaubat dan menyediakan segala keperluan rumah untuk saya dan anak-anak jika mahu terus bersama saya.

'Pertengkaran hebat berlaku antara abah, abang dan Roslan. Keluarga Roslan juga dipanggil untuk menyelesaikan perkara ini. Terkejut keluarga mentua saya dengan apa yang berlaku.

'Saya menangis semahu-mahunya menyaksikan perdebatan antara dua keluarga ini. Tidak siapa tahu apa yang saya tanggung selama ini. Keluarga mentua memarahi saya kerana menyimpan rahsia ini terlalu lama. Sepatutnya saya berterus terang dengan mereka atau keluarga saya.

'Saya rasa tidak ada seorang isteri yang mahu membuka keburukan suami kepada keluarga, lebih-lebih lagi jika si isteri sangat mencintai suaminya, begitulah juga dengan saya. Tetapi kehendak Allah tidak siapa menduga, dalam sekelip mata masalah rumah tangga saya tersingkap.

'Roslan macam orang bodoh. Dia dihembur dengan kata-kata yang bukan kepalang oleh ibu bapanya. Saya hanya berdiam diri dengan air mata yang berlinangan di pipi. Bukan niat saya bercerita kepada sesiapa.

'Akan tetapi Allah Maha Mendengar dan Melihat penderitaan saya. Hari itu, Roslan diberi pilihan sama ada membebaskan saya atau bertaubat dan berubah.

'Dia memilih untuk bertaubat dan berubah. Dia melutut di hadapan ayah dan ibu saya serta ibu bapanya meminta maaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapannya. Suasana sangat pilu.

'Saya meraung apabila Roslan memeluk saya dan memohon maaf atas keterlanjurannya selama ini. Katanya, dia tidak ada niat untuk menyeksa saya tetapi egonya mengatasi mindanya sebagai seorang suami yang perlu melindungi saya. Akhirnya keadaan kembali pulih.

'Suami diberi amaran keras oleh keluarga kami. Jika terjadi lagi perkara seumpama itu, dia tidak ada pilihan melainkan kehilangan saya dan anak-anak, itu kata dua yang abah dan abang saya berikan kepadanya.

'Alhamdulillah selepas peristiwa itu semuanya kembali tenang. Roslan berubah terus daripada perangai lamanya. Dia menjadi seorang suami dan ayah yang penyayang dan prihatin. Saya terasa seperti kami baru berkahwin dan memulakan kehidupan baru.

'Saya bersyukur dengan apa yang berlaku. Terutama peranan yang dimainkan oleh keluarga kami dalam menyelesaikan masalah ini. Terima kasih juga kepada anak saya yang membuka cerita kepada neneknya. Jika tidak, sampai bila saya akan terus terseksa pun, saya tidak tahu.

'Saya percaya, Allah menguji saya kerana Dia mahu memberi yang lebih baik untuk saya dan keluarga. Saya bersyukur dan berharap apa yang saya lalui akan menjadi teladan kepada pasangan suami isteri yang lain.

'Pesanan saya, sayangkan suami biar bertempat dan jangan sampai memudaratkan diri. Bertindak menjaga hak kita sebagai isteri jika tidak mahu menderita... saya telah menempuhnya dan saya tidak mahu anda pula melaluinya,’’ demikian Mazni menamatkan ceritanya.

Menarik sungguh cerita Mazni. Jarang ibu bapa mahu mencampuri masalah rumah tangga anak dan menantu mereka. Tetapi keluarga Mazni bertindak bijak apabila bersemuka dengan suami Mazni dan keluarganya.

Inilah tindakan yang harus dibuat oleh ibu bapa apabila berdepan dengan krisis rumah tangga anak menantu. Bukan niat mengeruhkan keadaan tetapi menyelesaikannya dengan baik.

Semoga kes ini menjadi pengajaran buat Roslan dan Mazni dan didoakan agar kehidupan mereka sekeluarga dalam rahmat Allah hendaknya.

Mengundur diri, pesanan saya untuk pembaca budiman, di sebalik derita ada gembira, di sebalik bahagia ada air mata. Kembalilah kepada Allah apabila anda berada di persimpangan dalam mencari jalan pulang.

Salam



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20140419/ke_01/Anak-buka-rahsia-mak-didera-bapa#ixzz2znfddbqa
© Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, Mac 18, 2014

Soal Jawab: Berdosa jika berprasangka buruk ke atas suami

Oleh : Rohidzir Rais
Sumber : Berita Harian
Traikh : 16/03/2014


Sikap tak percaya boleh rosakkan hubungan

Soalan:
Berdosakah saya ustaz kerana tanpa pengetahuan suami sering mengintip beliau. Saya juga sering melihat mesej pesanan ringkas (SMS) dan WhatsApp juga Facebook beliau melalui telefonnya.


Suraya Sulaiman,
Ipoh, Perak

Jawapan:

Berprasangka buruk terhadap orang lain adalah salah dan berdosa. Apa lagi sekiranya dilakukan terhadap suami sendiri. Sikap buruk sangka ini hanya merosakkan hubungan suami isteri yang sepatutnya dibina atas dasar kepercayaan. Perbuatan mencari kesalahan suami dan memikirkan perkara negatif terhadap suami adalah dilarang seperti peringatan Allah dalam surah al-Hujurat, ayat 12. Firman Allah yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhi kebanyakan berprasangka kerana sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.”
Tindakan mengintip dan mencari kesalahan suami dengan memeriksa telefon bimbit, e-mel dan akaun Facebooknya juga adalah perbuatan yang salah dan tidak amanah. Selain ia melanggar hak peribadi suami, tindakan itu juga menggalakkan pergaduhan antara suami isteri. Tidak hairanlah Rasulullah SAW sangat membenci perbuatan ini.

Sabda Baginda: “Berhati-hatilah kalian daripada tindakan berprasangka buruk kerana prasangka buruk adalah sedusta-dusta ucapan. Janganlah kalian saling mencari keburukan orang lain, saling intip-mengintip, saling mendengki, saling membelakangi dan saling membenci. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

Berkenaan perbuatan tajasssu atau mengintip kesalahan orang lain, seorang sarjana Islam, Abu Hatim bin Hibban al-Busti menjelaskan dalam kitabnya Raudhah al-‘Uqala’: “Tajassus adalah cabang daripada kemunafikan, seperti sebaliknya prasangka yang baik adalah cabang daripada keimanan. Orang yang berakal akan berprasangka baik kepada saudaranya, dan tidak mahu membuatnya sedih dan berduka, sedangkan orang yang bodoh akan selalu berprasangka buruk kepada saudaranya dan tidak segan-segan berbuat jahat dan membuatnya menderita.”

Justeru saya menasihatkan puan agar beristighfar dan bertaubat daripada perbuatan dan kesalahan yang puan lakukan. Ia bukan saja bagi membersihkan dosa yang dilakukan, tetapi juga mengembalikan ketenangan dalam hati. Ini kerana prasangka buruk terhadap suami pasti menyebabkan jiwa puan sering tertekan dan merana. Oleh itu hentikan segera perbuatan ini dan bertaubatlah.

Sekiranya ada sebarang isu berkaitan suami, sebaiknya puan berdepan sendiri dengan suami dan mendapat jawapan terus daripadanya. Jika berlaku krisis, carikan orang tengah yang mampu mendamaikan kedua-dua pihak.

Selasa, Disember 31, 2013

Makna azam tahun baru

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
ARKIB : 29/12/2013

RAMAI yang berpendapat tidak lengkap tahun baru tanpa azam baru. Menurut satu kajian tentang isu ini di United Kingdom yang dilakukan oleh sebuah badan bukan kerajaan - Mind, azam tahun baru boleh menyebabkan stres.

Laporan kajian tersebut mengatakan azam tahun baru membuatkan seseorang fokus pada keburukan diri, mencari kesilapan dan kehodohan sepanjang masa depan. Ia dikatakan tidak baik untuk masa depan kerana seseorang itu akan diselubungi dengan perkara negatif sahaja.

Pensyarah Jabatan Psikologi, Universiti Malaya, Dr. Mariani Mohd. Nor berpendapat kajian ini tidak 100 peratus sahih kerana setiap individu mempunyai pemikiran berbeza berdasarkan pergaulan sosial dan latarbelakang kehidupan masing-masing.

Tambah beliau, setiap orang tidak dikelilingi oleh kelompok orang yang sama.

"Jika individu mempunyai azam baru yang lebih fokus untuk mendapatkan kejayaan, dia tidak akan menoleh ke arah fakta yang lebih kepada mencari kesilapan. Sebaliknya dia akan menggunakannya untuk memperbaiki kelemahan dan kesilapan yang telah berlaku. Hanya individu yang kecewa sahaja nampak kepada keburukan diri sendiri. Sudah namanya azam, ia lebih bermaksud cita-cita, kecekalan, semangat dan ketentuan diri sendiri yang lebih meyakinkan untuk masa depan lebih terjamin, bahagia dan ceria," katanya.

Tambah Dr. Mariani, perlunya azam tahun baru kerana ia bermakna bermulanya matlamat hidup seseorang dalam sesuatu tahun itu.

"Matlamat hidup pula boleh dilihat dari segi jangka pendek dan jangka panjang. Matlamat jangka panjang lebih umum dan untuk mencapainya, seseorang itu perlu mencapai matlamat jangka pendek terlebih dulu. Semua ini memberi motivasi atau pendorong kepada seseorang untuk memulakan tindakan," katanya.

Sementara itu, Dr. Mariani menasihatkan mereka yang ingin memulakan azam baru supaya menyebutnya lebih spesifik.

Selain itu, setiap individu perlu perkemaskan langkah yang perlu dalam mencapai azam yang baru itu.

Kemudian, gunakan segala kesilapan teknikal yang telah berlaku sebagai pengajaran sahaja dan bukan sebagai sempadan untuk tidak mahu mencuba lagi. Jangan lupa, meningkatkan kelemahan diri dan cari strategi positif yang lain. Pastikan anda menjadikan kekuatan diri sebagai perisai untuk lebih berjaya dalam mencapai matlamat atau azam baru," jelas beliau.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131229/ke_02/Makna-azam-tahun-baru#ixzz2p0q7Wwjv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Lambaian mayat seorang gadis

ARKIB : 29/12/2013
Utusan Malaysia
Oleh ZULKARNAIN ZAKARIA

KISAH INI diceritakan oleh seorang rakan yang bekerja dalam industri media. Namanya Omar. Menurut Omar, ketika itu pukul 12.00 malam, dia menunggang motosikalnya meninggalkan majlis malam media di Klang, Selangor. Omar yang merupakan seorang jurugambar perlu pulang segera ke rumahnya di Kuala Lumpur.

Tidak banyak kenderaan yang lalu lalang dinihari itu, sehinggalah dia sampai di bawah jejantas berhampiran SIRIM, Shah Alam. Di situ Omar lihat ada seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan. Pelik, berani betul gadis itu bersendirian di dalam gelap.

Omar memberhentikan motosikal dan mempelawa gadis tersebut untuk menghantarnya pulang. Dia bimbangkan keselamatannya. Namun sapaan dan pelawaan Omar langsung tidak berjawab. Gadis yang rambutnya melepasi bahu dan mengenakan baju serta skirt putih itu tetap diam membatu.

Hanya selepas lebih 10 minit menanti, barulah gadis itu bersuara. Kata si gadis, kalau benar Omar mahu membantu, dia harap dapat dihantar pulang ke rumahnya di sebuah taman perumahan di Klang.

Omar berikannya topi keledar dan mereka mula bergerak menuju ke taman perumahan yang disebutkan tadi. Dalam perjalanan, gadis yang memperkenalkan dirinya sebagai Mizah itu memberitahu, dia berdiri di tepi jalan kerana ditinggalkan oleh seorang kawan lelaki.

Pada mulanya Mizah menumpang kereta lelaki tersebut untuk pulang ke rumah selepas menghadiri majlis hari jadi. Bagaimanapun, di dalam perjalanan, lelaki berkenaan mula berkelakuan tidak senonoh.

Dia memberhentikan kereta di bawah jejantas tadi dan memaksa Mizah untuk menyerahkan kehormatannya.

Mujur saya dapat lepaskan diri. Saya buka pintu, keluar dan menjerit. Dia terus pecut kereta dan tinggalkan saya di sini," kata Mizah sambil merapatkan dirinya ke tubuh Omar.

Akhirnya mereka sampai di rumah Mizah. Di halaman rumah yang masih terang itu kelihatan dua orang anak kecil bermain-main. Kata Mizah, itu anaknya. Dia baru bercerai setahun lepas.

Sebelum berpisah, Omar dan Mizah saling bertukar nombor telefon.

Hendak dijadikan cerita, seminggu kemudian Omar pergi ke rumah Mizah bersama seorang kawan. Niat Omar adalah untuk memperkenalkan kawannya itu kepada gadis berkenaan.

Namun, sampai di rumah Mizah, kedua-dua mereka terkejut. Manakan tidak, di hadapan mereka ialah sebuah rumah yang sudah lama terbiar. Tingkapnya rebeh, cermin pecah, dinding berkulat dan lalang tinggi meliar!

Ketika Omar dan sahabatnya tercangak-cangak, seorang jiran keluar apabila menyedari kedatangan mereka. Omar dan kawannya terkejut apabila jiran tersebut memberitahu, Mizah dan dua orang anaknya sudah meninggal dua tahun lepas!

Tambah jiran itu, sebenarnya selain Omar, sudah hampir 10 orang datang ke rumah terbiar itu mencari Mizah. Semua lelaki berkenaan memberitahu mereka terserempak dengan Mizah di bawah jejantas berhampiran SIRIM, tempat dia ditinggalkan.

Apa yang telah berlaku sebenarnya?

Kata jiran tersebut, pada malam kejadian, Mizah berjaya pulang. Gadis itu bagaimanapun ditemui mati keesokannya bersama mayat kedua-dua orang anaknya, dipercayai dibunuh oleh lelaki yang cuba mencabulnya. Kes kematian Mizah ada dilaporkan di media-media tempatan, sekitar 25 tahun yang lalu.

Kisah kedua ini pula diceritakan oleh seorang lelaki berusia 50-an, bernama Maspa Dawi, semasa saya berkunjung ke Sarawak pada awal 2000. Maspa memberitahu, pada pukul 2 pagi awal 1980-an, dia memandu kereta ke hospital umum Kuching, Sarawak untuk menghantar jirannya yang mahu bersalin.

Di tengah perjalanan, Maspa terpandang seorang gadis sedang berdiri di tepi jalan menghala ke Matang. Apabila disuluh lampu keretanya, kelihatan gadis itu sedang membelakangkannya sambil memegang sekaki payung.

Gadis itu memakai kebaya pendek warna hijau muda. Rambutnya disanggul dan dihiasi bunga kecubung. Penampilannya persis gadis tahun 1940-an dan 1950-an.

Pulang dari hospital, Maspa terkejut kerana si gadis berkenaan masih berdiri di tepi jalan tadi. Maspa memperlahankan keretanya dan memandang gadis tersebut. Ternyata si gadis sangat cantik paras wajahnya. Mukanya disolek rapi.

"Sah... pelacur!" kata Maspa di dalam hati.

Seminggu kemudian semasa menghadiri majlis kenduri di rumah arwah sepupunya, Maspa menceritakan kisah tadi kepada seorang ustaz. Terkejut Maspa kerana ustaz tersebut rupa-rupanya pernah melihat gadis berkenaan. Malah dia turut menumpangkan gadis itu menaiki keretanya. Di sepanjang perjalanan selama 15 minit, si gadis langsung tidak berkata walau sepatah pun.

Yang menyeramkan, sampai saja di sekolah berkenaan, ustaz itu mendapati gadis berkenaan sudah pun ghaib. Esoknya ustaz tersebut mendapati ada kuntuman bunga kecubung bertaburan di atas kerusi belakang keretanya!

Menurut penduduk setempat, gadis itu dahulu telah ditangkap dan dijadikan hamba seks tentera Jepun. Dia kemudian dibunuh dan mayatnya ditanam di sekitar bulatan tersebut. Kisah misteri ini pernah disiarkan oleh majalah Mastika, suatu ketika dahulu.

Soalan saya, "siapakah? yang ditumpangkan dalam kisah-kisah yang dipaparkan tadi? Hantu! Ya, Hantu. Ops! Itu bukan jawapan saya, tapi jawapan anda.

Tiada siapa boleh menafikan, kita cukup gemar mendengar cerita hantu, khususnya masyarakat Melayu. Bagaimanapun, cara kita berfikir dan mentafsir fenomena itu tidak banyak berubah sejak dari zaman animisme.

Pada zaman itu, ketika ilmu moden belum bermula, setiap kejadian yang tidak dapat dijawab oleh akal, seperti petir dan gempa bumi, akan disandarkan kepada kuasa supernatural ghaib.

Apabila Islam sampai ke Nusantara kira-kira 10 abad yang lalu, kepercayaan itu dimurnikan, dan ditambah dengan konsep tuhan, syaitan dan jin. Syaitan tidak jemu berusaha untuk menyesatkan umat manusia, termasuk dengan menjelmakan diri sebagai hantu.

Bagaimanapun, pencerahan minda itu terhenti setakat di situ saja. Sampailah sekarang, andai berlaku saja kejadian atau fenomena aneh yang sukar dijawab, ia terus saja didakwa angkara hantu, syaitan, jin dan makhluk ghaib lainnya seperti hantu raya dan orang bunian. Tiada cerdik pandai sains yang cuba membantu memberikan jawapan dari sudut ilmu moden.

Hah, bosannya! Anggapan itu telah menyebabkan kita menjadi malas dan keliru. Bukan menolak kebenaran agama, tetapi kenapa kita tidak pernah membuka fikiran untuk mencari kesahihan, ‘Benarkah itu hantu?'

Bukankah elok kalau kita berusaha menafikan kewujudan hantu itu, daripada sewenang-wenang mengesahkannya? Bukankah takut kepada hantu dan syaitan itu boleh memesongkan akidah?

Paling menyedihkan, cara berfikir ini sangat sukar untuk diubah. Kita lebih suka mendengar cerita berbanding mencari jawapannya.

Untuk itu, apa kata kalau mulai minggu ini kita buka sedikit fikiran dan cuba dengar apa pandangan pengkaji paranormal barat tentang hantu. Untuk pengetahuan anda, kajian paranormal barat mempunyai pelbagai teori dan sebahagian besarnya mengatakan bahawa sebenarnya hantu itu tidak wujud.

Yang wujud adalah kesilapan kita mentafsir apa yang disaksikan itu. Wahai ustaz, saya ingin bertanya, sesatkah kita kalau mempercayai teori-teori sebegini?

Kembali kepada cerita kita: Jadi, siapakah wanita yang ditumpangkan dalam kisah-kisah di atas tadi? Kalau bukan hantu, siapa? Jawapannya pada minggu hadapan.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131229/ke_01/Lambaian-mayat-seorang-gadis#ixzz2p0dbhbw7
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jumaat, Disember 27, 2013

Hidup tak karuan akibat jiran

ARKIB : 25/12/2013
Utusan Malaysia - Keluarga


Sudah enam bulan semenjak jiran baharunya berpindah dan menyewa di sebelah rumahnya, hidup Hashimah (bukan nama sebenar) sekeluarga, 46, jadi tidak keruan dan tertekan.

Memang pada awal kemunculan pasangan Salmah (bukan nama sebenar), 36, dan suaminya, Rahim (juga bukan nama sebenar), 41, serta dua anak mereka yang berusia tiga dan lima tahun, disambut gembira oleh Hashimah.

Dia berusaha untuk berbaik-baik apatah lagi rumah sebelahnya itu sudah lama kosong selepas penyewa terakhir berpindah ke Alor Setar, Kedah, kerana tuntutan tugas.

Mula-mula sewaktu awal pindah, saya layan keluarga berkenaan dengan baik kerana saya lihat Salmah dan keluarganya mudah mesra serta tidak sombong.

Berbanding penyewa terdahulu, keluarga Salmah secara fizikal nampak moden, sosial dan bergaya dengan kehidupan mereka kelihatan mewah.

Walaupun gaya hidup mereka mungkin agak berbeza dengan keluarga saya yang sederhana, saya terima mereka dengan hati terbuka dan tanpa prejudis, cerita Hashimah ketika kami bertembung di sebuah majlis perkahwinan di Bangi, Selangor, baru-baru ini.

Minggu pertama suai-kenal antara dua keluarga berjiran itu, berlangsung seperti biasa. Mereka saling sapa-menyapa dan bertanya khabar.

Minggu seterusnya, Hashimah tergerak hati menjemput jiran baharunya itu bertandang dan makan malam di rumah sebagai tanda mengalu-alukan kehadiran mereka di kawasan kejiranan itu.

Pelawaan itu disambut dan perkenalan semakin mesra.

Dari situ Hashimah dapat tahu bahawa Salmah tidak bekerja kerana baharu sahaja balik dari luar negara dan sedang menunggu permohonan kerjanya di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara. Manakala suaminya seorang arkitek yang membuat kerja-kerja dari rumah.

Niat baik Hashimah mengundang jiran tetangga ke rumah akhirnya menimbulkan keadaan yang kurang menyenangkan kepadanya.

Selepas daripada undangan makan malam di rumah saya itu, Salmah dan dua orang anaknya semakin kerap bertandang ke rumah saya tidak kira pagi, tengah hari mahupun petang.

Mula-mula dia datang ketika saya dan keluarga hendak bersarapan, saya terkejut juga apabila tiba-tiba pintu rumah diketuk. Salmah berkata, dia sengaja datang bersama anak-anak kerana bosan di rumah. Sementelah datang ketika kami hendak mula bersarapan, saya jemput sekali mereka makan kerana tidak manis rasanya membiarkan mereka melihat sahaja kami makan.

Mula-mula sarapan, beberapa hari kemudian waktu makan tengahari pula dan begitulah berlarutan selama beberapa bulan ini.

"Apa yang menjadi musykil, setiap kali kami anak-beranak hendak makan, waktu itulah dia dan anak-anak datang ke rumah. Pintu dapur kami sudah seperti pintu rumahnya sahaja kerana dia boleh masuk dan keluar sesuka hati,รข€ jelas Hashimah.

Hashimah memberitahu bukanlah dia kedekut, tetapi sekiranya selalu sangat Salmah dan anak-anaknya berada di ruang dapur rumahnya untuk makan, itu sudah menjadi sesuatu yang luar biasa.

Mula-mula dia diamkan sahaja, namun lama-kelamaan terasa sakit hati pula lebih-lebih lagi apabila melihat perangai anak-anak Salmah yang suka mengambil makanan dengan tangan sehingga habis berkecah lauk-pauk di dapur.

Itu belum ditambah dengan perangai Salmah sendiri yang apabila ke dapur laju sahaja tangannya membuka tudung saji mahupun periuk belanga, sedikit pun tidak ada rasa malu atau segan.

รข€œSaya mula rasa tidak sedap hati dengan sikapnya itu. Tertanya-tanya juga saya sama ada dia memasak atau tidak di rumahnya atau sekurang-kurangnya membeli lauk yang sudah siap bagi makanan dirinya anak-beranak. Mujurlah waktu makan malam dia tidak datang mungkin malu sebab waktu itu suami saya ada di rumah.

รข€œNamun sangkaan saya meleset kerana ternyata Salmah memang jenis yang tidak tahu malu apabila suatu hari dia datang ke rumah dengan hanya berseluar pendek dan baju-T tanpa lengan. Waktu itu hujung minggu, sudah tentu suami dan anak-anak remaja saya ada di rumah.

"Peliknya, dia tidak kisah pun, saya pula yang naik segan dengan suami dan anak-anak yang terpinga-pinga dengan kemunculan Salmah dalam keadaan sebegitu.

Selain pakaiannya yang langsung tidak sesuai, hati saya rasa geram juga kerana kehadirannya mengganggu privacy saya bersama keluarga, jelas Hashimah seolah menahan geram.

Hari demi sehari, pencerobohan Salmah dan anak-anak semakin menjadi-jadi. Anak-beranak tersebut menjadikan rumah Hashimah seperti rumah sendiri, menonton televisyen sambil tidur di atas sofa tanpa rasa malu atau bersalah. Itu belum lagi hutang-hutang Salmah yang dipinjam daripada Hashimah, masih tidak berbayar.

Kehidupan macam orang kaya, lagak bila bercakap tidak mahu kalah, dia sahaja yang menang dan kononnya baharu balik dari luar negara. Kalau bercuti pun ambil pakej yang luar negara sahaja, tidak pandang yang dalam negara, tetapi satu sen pun tiada dalam tangan. Kalau saya tidak masak dan anak-anaknya tidak makan di sini pasti ada yang kebulur.

Soal meminjam duit nombor satu. Biarpun cuma RM5 atau RM10 tapi kalau setiap hari sudah tentu jadi banyak. Itu belum lagi dia meminjam barangan seperti gula, beras, kopi dan sebagainya. Pendek kata semuanya dia pinjam,dengus Hashimah.

Riak kesal nampak jelas pada wajah Hashimah gara-gara terlalu baik dengan jiran.

Jelas Hashimah, suaminya meminta dia menasihati Salmah agar tidak selalu bertandang ke rumah mereka, namun apabila perkara itu disebut pada Salmah, dia hanya mendiamkan diri.

Sehari dua memang dia tidak datang, masuk hari ketiga buat perangai macam biasa. Kadang-kadang saya kuncikan pintu dapur, Salmah akan mengetuk pintu agak lama sebelum pulang ke rumahnya. Apa yang dimusykilkan kenapa suaminya tidak menegur sikap isterinya itu, malah semacam menggalakkan pula.

Kadang-kadang Salmah siap bawa pinggan lagi untuk 'tapau' lauk dan nasi buat suaminya. Nasib baik mereka sekeluarga tidak tidur dan mandi di sini, kalau tidak lagi haru," katanya.

Pelik dan hairan dengan sikap jirannya ini membawa kekesalan kepada Hashimah yang mengakui kini hidupnya sekeluarga tiada privacy lagi.

Ternyata niat mulia Hashimah untuk berbuat baik kepada jiran membawa bala kepadanya sekelurga. Kebaikan yang dihulur diambil kesempatan dan tidak tidak pasti sampai bila mampu bertahan.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131225/ke_01/Hidup-tak-karuan-akibat-jiran#ixzz2p0sSYv8o
© Utusan Melayu (M) Bhd

Isnin, November 25, 2013

Kepercayaan dikhianati

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/11/2013

"PERIBAHASA 'musuh dalam selimut', memang tepat bagi menggambarkan apa yang terjadi pada saya. Tidak perlu mencari makna tersirat, ayat tersebut sahaja sudah cukup membuatkan saya sendiri gerun memikirkan apa yang telah berlaku.

"Bayangkan selama lebih 10 tahun saya tidur bersama musuh saya sendiri. Pembaca mungkin tidak akan faham apa yang saya lalui tetapi itulah hakikatnya apabila suami saya yang boleh saya anggap di sini sebagai musuh telah menjadi insan yang sekatil dengan saya setiap hari,"getus Jamilah Basar (bukan nama sebenar), 44.

Wanita bertubuh kecil molek itu telah mendirikan rumah tangga dengan seorang kakitangan kerajaan yang mana pertemuan mereka telah diaturkan oleh ahli keluarga masing-masing.

Tanpa melalui fasa bercinta, Jamilah dan Johan (juga bukan nama sebenar), 47, telah bersetuju untuk menjadi pasangan suami isteri. Takdir menentukan perkahwinan mereka tidak dikurniakan cahaya mata walau telah puas berusaha.

"Perubatan moden, alternatif dan apa saja yang disarankan ahli keluarga serta kenalan, kami tidak berputus asa mencubanya. Selama lebih tiga tahun usaha dibuat, akhirnya kami berdua mengambil keputusan reda dengan ketentuan-Nya.

"Tapi saya memang dapat rasakan rumah tangga kami tidaklah semesra seperti di awal perkahwinan. Suami semakin kurang menghabiskan masa di rumah. Malah kerap pula mendapat tugasan luar daerah.

"Saya memujuk hati sendiri yang mula mengesyaki perkara negatif, maklumlah perempuan yang tidak boleh mengandungkan zuriat suaminya pasti akan sentiasa dalam keadaan risau dan susah hati,"cerita Jamilah yang merupakan seorang pegawai di sebuah syarikat swasta di ibu kota.
Mengambil kira faktor usia yang semakin meningkat, Jamilah mempunyai perancangan kehidupannnya sendiri.

Dia tidak mahu makan gaji sehingga umurnya cukup untuk bersara. Lalu dengan modal yang dikumpul, Jamilah telah memulakan perniagaan restoran yang bermula sebagai pendapatan sampingan.

"Kebetulan saya mendapat sebuah tempat berniaga di medan selera di sebuah pusat membeli belah yang baharu dibuka di ibu kota.

"Sangka saya dengan kesibukan ini sedikit sebanyak boleh mengalih tumpuan kami suami isteri daripada memikirkan soal zuriat.

"Pada awal perniagaan memang saya masih bekerja. Tetapi setelah masuk bulan kedua saya rasa tidak menang tangan dan saya perlu berhenti serta menambah lagi kakitangan yang sedia ada.

"Saya mengambil keputusan ke negara seberang bersama suami bagi mencari sendiri pembantu perniagaan untuk restoran kami. Kami tidak mahu tersalah pilih jadi temu bual yang kami buat begitu teliti mengambil kira faktor kecekapan, kepandaian berfikir dan membuat keputusan.

"Tidak sampai dua hari di negara seberang, suami telah membawa saya ke sebuah rumah sahabatnya yang mempunyai pengaruh di sana.

"Kami juga telah diperkenalkan dengan beberapa calon yang dikatakan boleh berkhidmat dengan kami dan segala urusan seperti pembuatan pasport, pemeriksaan kesihatan semuanya diuruskan oleh sahabat suami, yang juga mempunyai kelayakan menguruskan pembekalan pembantu rumah.

"Saya bersyukur segala urusan dipermudahkan. Tiga calon yang ditawarkan, semuanya menepati kriteria yang saya cari lalu semuanya kami ambil dan bawa ke Malaysia,"cerita Jamilah.

Oleh kerana kediaman yang dimiliki Jamilah dan Johan memang besar dan mempunyai lima bilik, maka ketiga-tiga pembantu tersebut ditempatkan di bilik masing-masing.

Entah kenapa hati Jamilah begitu senang dengan mereka kerana Jamilah mahu menganggap pembantunya sebagai adik angkat sendiri.

"Cuma yang membuatkan saya musykil, suami langsung tidak berbual dengan ketiga-tiga mereka. Dia tidak pernah mengarahkan sesuatu mahupun berinteraksi. Tetapi di sudut hati saya rasa lega juga kerana manalah tahu suami jatuh hati pada mereka yang lebih muda,"imbas Jamilah.
Pembantu demam

Dijadikan cerita, satu hari salah seorang pembantu Jamilah, tidak begitu sihat untuk melakukan tugasan di restoran dan diberi rehat saja di rumah.

Risau keadaan pembantunya, Jamilah mengambil keputusan pulang awal tetapi sebenarnya hatinya telah mula berdebar dari restoran lagi.

"Setibanya saya di rumah, saya memperlahankan langkah dan terdetik pula hati untuk mengintai apa yang sedang dilakukan Susanti (bukan nama sebenar) ketika itu. Bukan menaruh syak tapi kenapa hati memang berdebar tidak sedap. Saya terus ke biliknya tapi dia tidak berada di situ.

"Saya terdengar bunyi desiran air di bilik mandi dan lega hati ini mendapati dia sedang mandi. Cuma peliknya mengapa bunyi air itu datang dari bilik air yang terletak dalam bilik tidur saya?

"Jantung saya berdebar lagi dan saya lantas ternampak pakaian dalam yang bukan milik saya di atas lantai bilik tidur saya. Serentak dengan itu bunyi ketawa kecil lelaki dan wanita bermesra di bilik mandi.

"Mula berteka-teki tapi saya mengambil keputusan tidak mahu melihat adegan seterusnya. Saya terus ke tingkat bawah dan bersedia menghadapi kedua mereka dengan sewaras yang mungkin,"tutur Jamilah lagi.

Seperti sangkaannya, Johan dan Susanti dengan hanya bertuala menuruni anak tangga dengan penuh mesra. Jamilah memang tersentap seakan mahu pengsan melihat kemesraan bagai pasangan suami isteri yang telah lama mengenali satu sama lain.

Jamilah mahu penjelasan, dan tanpa rasa takut, Johan menjelaskan dia memang telah lama mengenali Susanti.

"Rupanya yang dahulu dia kerap ke luar daerah memang dia ke seberang menemui kekasihnya, Susanti. Patutlah urusan membawa masuk Susanti ke Malaysia begitu mudah, semuanya telah diatur dengan teliti oleh suami dengan bantuan sahabatnya di sana.

"Yang lebih membuatkan saya terduduk ialah suami langsung tidak takut atas perbuatannya malah berbangga kerana dia tidak perlu susah-susah membawa รข€˜madu' saya ke rumah lagi.

"Langsung tiada kesal di hatinya. Dia turut menuturkan kata-kata kesat pada saya bahawa dia langsung tidak cintakan saya dan memang menunggu masa menceraikan saya. Selama ini hubungan kami hanyalah lakonan semata pada dia,"ujar Jamilah penuh emosi.

Jamilah terbayang, selama lebih 10 tahun dia sebenarnya menghambakan diri pada suami yang sebenarnya memusuhi dirinya sendiri.
Lebih menyedihkan Jamilah, suami memang mahu menggunakan segala wang simpanannya yang dilaburkan dalam pemilikan perniagaan bersama.
Walau pasrah dengan apa yang berlaku, Jamilah sebenarnya sangat bersyukur kerana diperlihatkan kejahatan suami sebelum sesuatu yang lebih mudarat menimpa.

Jamilah kini telahpun bercerai dengan Johan dan dalam proses menuntut kembali haknya, di samping menemui pakar kaunseling untuk memulihkan kembali keyakinan diri serta tanggapannya terhadap lelaki bergelar suami.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131120/ke_02/Kepercayaan-dikhianati#ixzz2ldLAGsOa © Utusan Melayu (M) Bhd

Ayah 'pisahkan' kami supaya suami sedar silapnya

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 23/11/2013

RAMAI yang selama ini menyangka kepuasan bekerja terletak pada gaji lumayan. Hakikat sebenar adalah sebaliknya. Tidak ada maknanya gaji yang tinggi apabila kita tidak punya masa bersama keluarga, tidak sempat bersosial, tiada masa rehat dan melalui suasana kerja yang tegang. Gaji lumayan dan kemudahan yang dimiliki hanya memberikan kepuasan jangka pendek.

Ya betul! ada kerja ada gaji, tetapi jika terlalu kerap bertukar pekerjaan, adalah sesuatu yang merugikan diri sendiri. Ada segelintir orang bekerja kerana organisasi tempat dia bekerja mempunyai pekerja yang ramai serta nama yang besar. Hakikatnya, saiz organisasi bukanlah faktor utama dalam mencari keseronokan jika tidak disertakan dengan keikhlasan dan minat. Bagaimana pula jika anda mengahwini seorang lelaki yang suka bertukar-tukar pekerjaan kerana inginkan kepuasan dan pujian orang keliling sehinggakan akhirnya tidak ada kerja dan terpaksa berbohong dengan isteri?.

Hana (bukan nama sebenar) ada cerita yang ingin dikongsi dengan pembaca berkaitan mukadimah saya minggu ini. Kita ikuti cerita Hana. "Saya berusia lewat 20-an bekerja sebagai seorang penjawat awam dan mempunyai seorang anak hasil perkahwinan dengan Adi (bukan nama sebenar) yang bercita-cita tinggi dalam hidupnya. "Kami berkahwin atas dasar cinta sama cinta dan direstui keluarga kedua-dua pihak. Saya akur dengan realiti hidup bahawa setiap perkahwinan akan diduga dalam mencari keberkatan hidup bersuami isteri.

"Ketika masih menuntut di IPTA, emak mengingatkan saya supaya 'sambil menyelam minum air'. Saya faham apa yang emak inginkan, sambil belajar kita kena cari calon teman hidup. "Ketika di tahun akhir pengajian, saya diperkenalkan oleh rakan sekuliah kepada abangnya yang telah pun bekerja. Saya tidak bertepuk sebelah tangan kerana cinta saya disambut dan mendapat restu keluarga masing-masing.

"Tiga bulan kemudian kami bertunang dan bulan berikutnya kami bernikah. Alangkah bahagianya saya ketika itu, impian menjadi kenyataan.

"Menjadi ratu dan raja sehari adalah kenangan yang paling indah bagi semua pasangan pengantin. Sehingga kini gambar kami ketika bersanding di atas pelamin masih tersusun kemas di atas meja di dalam kamar tidur kami.

"Segalanya adalah kerana cinta dan kasih yang tidak berbelah bahagi kepada Adi, seorang suami yang prihatin dalam semua urusan dan saya sangat bersyukur dan rasa disayangi.

"Setahun kemudian, kami dikurniakan seorang anak lelaki dan kasih kami bertambah erat. Kami tiada masalah dalam urusan penjagaan anak kerana emak mentua saya sanggup menjaga cucunya.

"Rumah kami tidak berapa jauh dari rumah mentua saya, jadi senang untuk kami berulang-alik menghantar anak pada waktu pejabat sahaja. Hujung minggu, kami bergilir-gilir bertandang ke rumah mentua dan emak saya.

"Suatu hari, saya mengambil cuti kecemasan kerana anak kurang sihat dan perlu dibawa ke klinik. Adi memberi alasan banyak kerja dan tidak dapat menemani saya bersama anak ke klinik.

"Saya langsung tidak pernah fikir yang Adi akan berlaku curang terhadap saya. Hinggalah segala-galanya terbongkar pada hari itu setelah saya melihat Adi bersama seorang gadis berpegangan tangan di sebuah kompleks membeli-belah semasa saya membawa anak ke klinik.

"Sedihnya hati bila mata saya melihat suami yang saya sangka pergi bekerja rupa-rupanya mengambil kesempatan menduakan saya. Mereka nampak sangat mesra.

"Saya mengambil kesempatan menggunakan telefon bimbit untuk merakamkan aksi mesra mereka dan terus meninggalkan tempat itu dengan linangan air mata.

"Hancurnya hati ini sukar untuk digambarkan dan sepanjang perjalanan pulang ke rumah, saya tidak berhenti menangis. Mengenangkan si kecil yang tidak sihat, saya kuatkan semangat untuk melawan kesedihan saya.

"Dalam hati, saya tertanya-tanya apa kesalahan saya dan kenapa Adi sanggup berubah kasih kepada perempuan lain yang sebaya dengan saya?

"Usia perkahwinan kami masih muda tetapi Adi telah menunjukkan belangnya yang selama ini disembunyikan daripada saya. Nampak di depan pijak semut tak mati, di belakang? Mengenangkan perangai Adi, saya menjadi kecewa dan sedih yang teramat.

"Terpandang wajah anak, saya menangis sungguh-sungguh tetapi reda akan takdir yang tersurat. Saya masih boleh mengawal emosi kerana tidak mahu mencetuskan perkara yang boleh mengeruhkan lagi suasana. "Terfikir juga saya, mungkin itu saudara suami yang saya tidak kenal tetapi kenapa perlu sampai pegang tangan dan peluk? Saya tidak putus-putus berdoa semoga tidak terjadi sesuatu perkara yang boleh memisahkan saya dan suami.

"Saya tidak pernah bersuara atau mengadu hal ini kepada keluarga. Sakit hati saya ubati sendiri sambil berdoa agar suami akan berubah dan insaf dengan perbuatannya.

"Saya mohon Allah selamatkan kami sekeluarga dan memberi petunjuk kepada Adi dalam melayari bahtera rumah tangga sebagai suami dan ayah kepada anak kami yang masih kecil.

"Hari-hari yang dilalui seperti tiada sengketa antara kami, masing-masing berlakon, Adi dengan romantisnya sebagai ketua keluarga dan saya juga begitu kerana tidak mahu dia mengesyaki apa-apa terutama isu saya nampak dia bersama perempuan itu tempoh hari.

"Segala yang saya lakukan semata-mata untuk menyelamatkan maruah kami. Saya tidak mahu kami bergaduh dengan isu yang boleh meranapkan kasih sayang kami yang masih mentah dalam alam rumah tangga.

"Perbelanjaan rumah tangga, saya dahulukan sebab alasan suami, gajinya disimpan untuk membeli rumah yang lebih selesa. Baguslah ada cadangan untuk memiliki rumah yang lebih selesa…" sambil tersenyum saya zahirkan pandangan itu kepadanya ketika kami sedang makan malam.

"Dunia ini terlalu kecil untuk kita sembunyikan pergerakan kerana banyak mata yang akan memandang dan dalam sekelip mata segala maklumat akan tersebar. Allah Maha Mengetahui, kebenaran akan terserlah tanpa diminta.

"Diringkaskan cerita, satu hari ayah saya sendiri ternampak menantu kesayangannya itu sedang bersantai dengan kawan-kawannya di sebuah warung pada hal ketika itu, sepatutnya dia ada di tempat kerja.

"Sekarang waktu pejabat, kenapa tidak masuk bekerja? Tiba-tiba ayah saya muncul di hadapan Adi yang kelihatan terkejut dengan kehadiran bapa mentuanya secara tiba-tiba.

"Dia tidak berkata apa-apa kerana terlampau terkejut. Kawan-kawannya semua lari meninggalkan dia terpinga-pinga seorang diri menahan malu disergah ayah saya.

"Tanpa menunggu jawapan, ayah saya terus meninggalkan warung tersebut dan menceritakan kepada emak apa yang dilihatnya. Kita tunggu Hana dan Adi pulang ke rumah dan tanya mereka hal yang sebenar, kata emak yang cuba menenangkan ayah yang ternyata amat marah.

"Pada malam itu, emak dan ayah bertandang ke rumah kami. Saya tidak tahu apa puncanya kedatangan mak dan ayah pada malam itu sehinggalah tercetus soal jawab antara mentua dan menantu.

"Pelbagai alasan diberikan oleh Adi dan saya hanya mendiamkan diri walaupun saya tahu kisah sebenar. Sebagai isteri, saya sedih dan malu dengan perlakuan Adi yang tidak matang dan tidak bijak walaupun telah berkeluarga dan telah menjadi seorang ayah.

"Lebih memalukan saya apabila Adi memberitahu dia sudah tiga bulan berhenti kerja kerana pekerjaan tersebut tidak serasi dengannya. Ini belum lagi cerita perempuan yang dibawa berjalan ke hulu ke hilir yang telah menjadi bualan jiran yang sering ternampak mereka.

"Saya tidak menafikannya kerana bukti tersimpan rapi dalam telefon bimbit yang dirakam tetapi saya tidak mahu timbulkan pada malam itu kerana bimbang kemarahan ayah akan bertambah.

"Saya jadi buntu memikirkan apa yang terjadi dan mungkin ini ujian untuk saya. Saya harus menerimanya dengan penuh kesabaran. Saya masih waras untuk bertindak memilih jalan mudah dengan cara menuntut cerai.

"Atas nasihat ayah, kami 'dipisahkan' untuk sementara waktu sehingga Adi bekerja semula dan mengubah sikapnya yang suka berfoya-foya.

"Muhasabah diri awak dan cari kerja jika mahu mendapatkan kembali isteri dan anak kamu, ayah memberi kata dua kepada Adi dengan nada suara yang tinggi.

"Saya tidak mampu untuk berkata apa-apa kerana saya sendiri pernah melihat perlakuan Adi yang melukakan hati saya. Tiga bulan kami berpisah sementara. Saya dan anak pulang ke rumah mak walaupun timbul kekecohan di antara mentua dan keluarga saya yang masing-masing bertelagah dengan apa yang terjadi.

"Dengan bantuan seorang jiran yang prihatin, suami saya telah mendapat pekerjaan yang gajinya lebih kecil daripada sebelum ini. Syarat untuk bersama keluarga terpaksa dipenuhi walaupun pekerjaannya yang dahulu lebih lumayan daripada sekarang.

"Bumi ini terbentang luas untuk kita mencari rezeki kurniaan Allah jika kita rajin berusaha. Bak kata pepatah jika ringan tulang akan berat perut,"itu kata-kata ayah kepada Adi.

"Hubungan dengan perempuan itu juga sudah putus dan saya sendiri bersama ayah dan mak bersemuka dengan perempuan itu untuk menyelesaikan kemelut rumah tangga saya. Adi juga telah meminta maaf di atas kecurangannya dan berjanji tidak akan mengulangi lagi perbuatannya itu.

"Segala yang terjadi ada hikmahnya untuk Adi supaya dia insaf dan muhasabah diri. Alhamdulillah Adi telah kembali ke pangkal jalan dan saya gembira dengan perubahan dirinya, menjadi suami dan ayah yang boleh dibanggakan. Terima kasih yang tidak terhingga kepada ayah dan emak yang telah 'mendidik' suami saya dan menyelamatkan rumah tangga kami.

"Tanpa bantuan dan nasihat daripada ayah dan emak, tidak mungkin rumah tangga kami dapat diselamatkan. Mereka adalah kaunselor yang hebat, tempat saya dan suami bergantung hidup dan mendapatkan nasihat.

"Sekali lagi terima kasih ayah mak. Juga kepada mentua yang memahami masalah saya. Terima kasih abang kerana sedar kesilapan dan kembali menjadi suami dan ayah yang bertanggungjawab. Semoga Allah kekalkan hubungan kami hingga ke syurga, itu pinta dan doa saya," Hana menamatkan ceritanya.

Alhamdulillah, itu yang dapat saya suarakan dengan kisah yang dikongsi oleh Hana dengan kita semua. Menarik bukan? Saya amat kagum dengan sikap kedua-dua orang tua Hana dalam menangani isu rumah tangga anak dan menantu mereka. Inilah contoh mentua yang kita perlu jadikan teladan. Mentua yang faham masalah anak menantu dan berfikiran positif untuk membantu menyatukan semula anak menantu agar terus bahagia.

Syabas juga kepada Hana yang tabah menghadapi dugaan ini dan menerima semula suami dengan penuh kasih sayang. Setiap orang perlu diberi peluang kedua atas setiap kesilapan yang dilakukan. Selebihnya berdoa dan mohon petunjuk Allah. Saya doakan keluarga Hana akan sentiasa dalam peliharaan Allah dan dirahmati-Nya sepanjang hayat. Salam.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131123/ke_02/Ayah-pisahkan-kami-supaya-suami-sedar-silapnya#ixzz2ld4DnKph © Utusan Melayu (M) Bhd

Selasa, Januari 22, 2013

Penyusuan anak angkat

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/01/2013
Bersama Profesor Dr. Nik Hazlina Nik Hussain


SAYA telah berkahwin selama 15 tahun tetapi tidak mempunyai anak. Saya dan suami telah mencuba pelbagai rawatan sama ada secara moden atau tradisional. Malangnya kami masih tidak berjaya. Kami juga mencuba rawatan secara persenyawaan in-vitro (IVF) sebanyak dua kali namun saya masih tidak hamil. Kami reda dan bercadang mengambil anak angkat. Mohon doktor membantu cara untuk mencetuskan penyusuan ibu bagi anak angkat tersebut. Bilakah cara yang patut dimulakan? Bagaimanakah hukum berkenaan bayi susuan ini?
Artikah, Selangor

Isnin, Januari 21, 2013

Ratapan si ibu tiri

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 20/01/2013


TERIMA KASIH kepada Nursuraya yang kisahnya dipaparkan dua minggu lalu, sebab membuka mata saya agar tidak lagi menyalahkan diri sendiri setiap kali suami marah-marah dan mengatakan kehadiran saya tidak memberi faedah kepadanya anak-beranak.

''Kalau sebelum ini saya berendam air mata menyalahkan diri, memohon maaf kerana tidak pandai menjaga dia dan anak-anaknya, kini saya sedar saya bukan satu-satunya ibu tiri yang diperlakukan sebegini,'' itu cerita Rosalena ketika ditemui baru-baru ini.

Khamis, Januari 17, 2013

Mama jaga 'anak-anak' ayam

Sumber : Utusan Malaysia
Tarikh : 16/01/2013
Oleh Siti Aishah Yusoff
Gambar Fauzi Baharuddin

Sejak dilahirkan Fatimah (bukan nama sebenar), 64, tidak pernah mempunyai kad pengenalan diri sehingga ke hari ini. Menyedihkan, namun itu cuma salah satu daripada kisah duka dalam hidupnya.

Ada cerita yang lebih pilu dipendam sejak sekian lama. Pada usia yang selayaknya dipanggil nenek, dia masih bergelumang dengan najis dadah sebagai penagih tegar.


Bukan sahaja terlibat dengan najis dadah sejak berumur 21 tahun, malah dalam masa yang sama juga dia adalah antara pekerja seks yang paling lama bertapak di Jalan Chow Kit dan sekitarnya.