Ahad, November 18, 2012
Tragedi adalah hikmah dalam perkahwinan
Tarikh : 17/11/2012
*Luahan oleh ibu Mohd Dafrizal Shah / nenek kepada arwah Dalila Hayfa Mohd Dafrizal Shah
SAYA percaya musibah yang berlaku ada hikmahnya untuk pasangan suami isteri terutama mereka yang masih muda.
Kecekalan dan ketabahan menghadapi situasi berat ini sedikit sebanyak mematangkan mereka untuk lebih menghargai erti perkahwinan.
Begitulah yang berlaku dalam rumah tangga anak dan menantu saya baru-baru ini - diuji dengan pemergian mengejut bayi mereka Dalila Hayfa Mohd Dafrizal Shah yang baru berusia 3 bulan disyaki tersedak susu di sebuah taska yang menjadi tempat persinggahan sementaranya.
Semuanya adalah takdir Allah untuk hambaNya yang Dia tahu mampu menggalas ujian tersebut dengan reda dan sabar.
Ketika catatan ini tersiar, genap 15 hari cucu saya Dalila Hayfa kembali ke rahmatullah. Al-Fatihah!
Sejak peristiwa tragis itu, rumah anak menantu saya menjadi sepi... tidak ada yang bersuara kecuali perlu. Mood untuk berbual langsung tidak ada.
Anak sulung mereka, Delisha dan arwah Dalila adalah penyeri hidup kami sekeluarga juga besan saya.
Sampai saat ini, kami sekeluarga sedang sedih. Tidak tahu sampai bila, berkumpul beramai-ramai tidak semeriah seperti sebelum ini, dan tidak ada ayat yang terkeluar untuk memulakan bicara.
Sekejap yang itu menangis, sekejap di situ teresak-esak, pendek kata suasana masih suram dan sayu sebab di mana-mana, wajah Dalila Hayfa yang comel sentiasa ada.
"Kita kemas apa yang patut pa, katil, barang adik dan pakaiannya. Ma tak sanggup nak tengok semua itu,'' terdengar suara sebak menantu saya berbisik kepada suaminya.
Air mata saya menitis mendengar kata-kata itu, memang betul, jika dilihat semua barang milik si comel itu, bukan sedih saja yang terasa, malah sepertinya dia masih ada bersama kami.
Jika saya boleh sedih yang teramat sangat, apatah lagi ibu yang mengandung dan melahirkannya.
Mana ada ibu bapa yang sanggup melihat anak menantu dalam keadaan sedih begitu. Bayangkan anak yang dipinjamkan 92 hari oleh Allah dijemput kembali ke pangkuanNya dalam keadaan menyayat hati.
Anak saya Mohd Dafrizal Shah seorang yang kuat semangat, agresif dan tidak pernah tunduk pada cabaran.
Sejak zaman sekolah rendah, kemudian menengah hingga ke IPTA dan setelah bekerja dia jarang meminta bantuan saya dalam apa juga perkara kecuali pandangan dan nasihat. Semua dilakukan sendiri. Dia seorang yang berdikari.
Namun, perancangan Allah untuk anak saya itu tidak pernah terduga. Dia kalah dengan tragedi 3 November 2012 yang memisahkan dia dan isteri dengan bayi kedua mereka buat selama-lamanya.
Anak saya separuh pengsan di bilik rawatan kecemasan setelah dimaklumkan bayinya Dalila sudah tidak bernyawa lagi.
Lalu teringat saya dalam panggilan telefonnya kepada saya beberapa jam sebelum itu dia berkata, 'baliklah mak...Dalila koma ni, tak tau depa buat apa kat taska.''
Ketika saya tiba di perkarangan Hospital Tawakal dari Kuala Terengganu dia meluru ke arah saya dengan terhoyong-hayang sambil mendepakan tangan dan merangkul tubuh saya dengan kata-kata, 'Dalila dah tak dak mak! Dalila dah tak dak! Tak tau depa buat apa kat dia!.''
Berulang kali dia mengulangi kata-kata itu dengan esakan tanpa henti. Hingga saat ini raungan itu masih terngiang-ngiang di telinga saya.
Saya seperti tidak berpijak di bumi nyata. Seluruh tubuh menggigil. Tapi saya tahu, saya perlu kuat untuk menangani keadaan ini supaya anak dan menantu saya juga kuat.
Lama saya memeluknya, mencium pipinya dan berkata,"adik jangan menangis, adik perlu reda dengan ketentuan Allah. Mak ada untuk adik. Sabar banyak-banyak.''
Air matanya saat itu bagaikan empangan pecah... mengalir laju membasahi kedua-dua pipinya.
Dia memegang tangan saya dan membawa saya ke bilik kecemasan di mana jenazah Dalila diletakkan.
Di atas katil terbujur kaku tubuh cucu comel saya, Dalila Hayfa. Saya beristigfar beberapa kali untuk mengumpul kekuatan sebelum mengucup wajah comel itu. Air mata yang mengalir deras saya sapu. Kemudian memeluk menantu saya Haidah yang sudah bengkak matanya kerana menangis.
Haidah juga juga seorang yang kuat. Di sebalik sifatnya yang pendiam, dia seorang wanita, isteri dan ibu yang baik dan sempurna di mata saya sebagai mentua.
Alhamdulillah, saya tiba tepat pada masanya doktor membenarkan arwah dibawa pulang. Bersaksikan kakak saya Hayati dan ibu saudara yang saya panggil Mak Lang, saya mengendong Dalila ke kereta yang dipandu adik saya Zahir lalu bergerak meninggalkan hospital.
Sepanjang perjalanan saya mendakap erat tubuh arwah yang saya lihat seperti sedang tidur lena...Ya Allah, jika inilah ujian untuk kami, kami reda Ya Allah...kami reda melepaskan arwah kepadaMu.
Dalam sekelip mata kebahagiaan dan kegembiraan anak menantu saya diragut. Bayangkanlah, pagi Dalila dihantar dalam keadaan sihat, segar bugar dan masih tersenyum kala diagah, petangnya apabila diambil, tubuhnya sudah kebiru-biruan.
Kata doktor, Dalila sudah tidak bernyawa dua jam sebelum dia dijemput oleh ibunya untuk dibawa pulang pada pukul 5.20 petang. Apa yang sebenarnya terjadi? Hanya Allah yang tahu!
Kakak arwah, Delisha Hafiya, setahun 9 bulan juga tidak sempat bermesra dengan adiknya. Cucu pertama saya itu apabila balik ke rumah, tercari-cari adiknya di semua tempat yang pernah dia dan adiknya bersenda.
Selalunya Delisha yang paling sibuk mencium adiknya yang terbaring di atas tilam atau car seat setiap kali papa dan mamanya menghantar mereka ke taska. Kini semua itu sudah tiada lagi. Delisha sudah kehilangan Dalila.
Saat dimandikan, Haidah dan anak saya tidak dapat mengawal perasaan mereka. Tapi saya bangga mereka punya kekuatan untuk memandikan sekujur tubuh kecil itu di ribaan Haidah dalam suasana yang saya tidak mampu ungkapkan dengan kata-kata.
Hanya Allah yang tahu saat itu. "ini kali akhir mama mandikan adik....lepas ini dah tak ada dah... ma reda adik.. baliklah! Tunggu ma datang ke sana!''
Ya Allah, sesak nafas saya mendengar kata-kata itu - Saya tidak mampu lagi melihat muka menantu dan anak saya dalam keadaan yang cukup sedih itu sebab saya juga sudah hampir hilang kekuatan kerana terlampau sebak.
Apa yang berlaku di depan mata tidak boleh dilupakan dalam sesaat dua.. ia bakal mengambil masa yang lama. Sesiapa yang pernah melalui kesedihan seperti ini pasti faham.
Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana memudahkan segala urusan. Jenazah Dalila Hayfa sempurna dimandi, dikafankan di Surau Al-Hidayah, AU3, Ampang Hulu Kelang dan disemadikan di Tanah Perkuburan AU5, Lembah Keramat.
Saya tahu anak dan menantu saya sedih. Malah saudara mara yang datang dari jauh dan dekat juga amat sedih.
Tapi saya yakin mereka akan bangkit dan menerima semua ini sebagai ujian yang amat berharga daripada Allah SWT.
Seperti yang saya katakan di awal catatan ini, saya berdoa dan berharap agar tragedi menyayat hati ini akan mengeratkan hubungan dan kasih sayang anak dan menantu saya.
Malah ia akan menjadikan mereka lebih menghargai erti perkahwinan yang masih muda usianya.
Setiap orang diuji Allah, pemisahnya kecil atau besar, ringan atau berat, juga pahit atau manis. Buat Dafrizal dan Haidah, mak tahu kalian berdua cukup kuat untuk menerima ujian Allah ini.
Jangan sia-siakan hidup yang masih panjang. Ingatlah, Delisha perlukan kalian berdua. Setiap pemberian yang Allah ambil balik, Dia akan gantikan dengan yang lebih baik. Mak doakan semoga Allah menghadiahkan zuriat yang terbaik untuk kalian berdua pada masa mendatang.
Jangan lupa berdoa untuk arwah - jangan pernah lupa yang dia pernah mengisi kebahagiaan kalian berdua walaupun seketika cuma.
Mak, abah, abang, adik-adik dan saudara mara juga terasa kehilangan. Lepaskan Dalila dengan tenang dan penuh keimanan. Jangan berdendam. Walau kita tidak tahu sebab dan puncanya, Allah melihat apa yang berlaku. Satu hari kebenaran tentang kecuaian manusia ini akan dapat diatasi.
Anak-anakku, pesanan mak lagi, sematkan di hati dengan keimanan dan takwa bahawa arwah sudah menjadi penghuni syurga dan di sana dia menanti kalian berdua!
Al-Fatihah. Salam
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121117/ke_04/Tragedi-adalah-hikmah-dalam-perkahwinan#ixzz2D22dNfOQ
© Utusan Melayu (M) Bhd
Jumaat, Februari 18, 2011
Derita anak kecil
am@hmetro.com.my
KUALA LUMPUR: “Sayu hati saya apabila melihat keadaannya yang sebelum ini ceria kini menderita kerana terpaksa bertarung nyawa berikutan parah di kepala sejak 10 bulan lalu.
“Doktor beritahu masa depannya masih kabur dan kemungkinan tidak akan menjadi normal seperti kanak-kanak lain,” kata Rina Abdul Halim, 30, mengenai anaknya, Sheena Mohamad Safwan, 18 bulan.
Bayi perempuan itu kini menderita dan masih dirawat selepas mengalami pendarahan otak serius dan patah kaki dipercayai didera pengasuhnya ketika berusia enam bulan.
Kejadian itu menyebabkan bayi terbabit menjalani beberapa pembedahan bagi mengeluarkan darah beku di dalam otak, selain terlantar beberapa bulan di hospital.
Rina berkata, tragedi berkenaan berlaku selepas dia menghantar anak ketiganya itu ke rumah pengasuh di Mantin, Negeri Sembilan, pada April tahun lalu.
Menurutnya, ketika dihantar ke rumah pengasuh terbabit, Sheena sihat sebelum dia pergi bekerja di ibu kota menaiki komuter dari Seremban.
“Bagaimanapun, pada hari kejadian, saya tidak dapat mengambil Sheena berikutan komuter mengalami masalah sebelum meminta suami mengambil anak saya itu di rumah pengasuh kira-kira jam 5 petang.
Pengasuh terbabit menghubungi kami supaya mengambil Sheena lebih awal dengan alasan hendak membuat persediaan menyambut hari jadi anaknya. Dia mempunyai dua anak perempuan berusia 12 bulan dan tujuh tahun,” katanya.
Menurutnya, dia yang tiba di rumah mula bimbang keadaan Sheena kerana asyik merengek serta menangis bahkan ada ketikanya mengalami kesukaran bernafas.
“Saya yang menyangkakan anak kembung perut membawanya ke klinik dan doktor menyatakan mungkin dia tidak selesa kerana demam.
“Namun, sebaik dibawa pulang, saya mula perasan terdapat bengkak pada pahanya sebelum membawanya semula ke klinik. Bagaimanapun, Sheena terpaksa dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar di Seremban, selepas keadaannya makin kritikal,” katanya.
Rina berkata, ketika di wad kecemasan, dia memberitahu doktor bertugas supaya berhati-hati sebelum menceritakan apa yang berlaku. “Namun segalanya terjawab apabila ujian X-ray mendapati paha anak saya patah dan bengkak di kepalanya kian ketara. Melihatkan itu, saya menghubungi pengasuh terbabit dan bertanyakan hal sebenar.
“Dia bagaimanapun memberitahu tiada apa yang berlaku serta tidak tahu punca kecederaan anak saya. Sheena kemudian dimasukkan ke wad kanak-kanak, ” katanya.
Namun, katanya, tidak lama kemudian bayinya tiba-tiba tidak sedarkan diri dan doktor memberitahu anak diserang sawan tiga kali ketika dirawat.
“Melihat keadaan anak saya bertambah serius, doktor mengesyaki sesuatu lalu mengarahkan dilakukan CT Scan dan keputusan menunjukkan anak saya mengalami pendarahan dalam otak.
“Sebaik mendengar khabar itu, saya bagaikan hilang arah apatah lagi memikirkan nyawa anak saya seolah-olah seperti telur di hujung tanduk. Sheena kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum pembedahan dilakukan pakar neurologi.
“Susulan itu, anak saya terlantar beberapa minggu di hospital berkenaan dan sebanyak enam pek darah beku dikeluarkan dari kepalanya. Pakar mata turut mengesahkan anak saya mengalami pendarahan di kedua-dua matanya,” katanya.
Rina berkata, berdasarkan laporan perubatan, doktor mengesyaki kecederaan anaknya berkemungkinan akibat digoncang dengan kuat (sindrom menggoncang bayi).
“Bagaimanapun, doktor tidak dapat memastikan bagaimana kaki Sheena boleh patah berikutan dia masih bayi dan belum boleh merangkak dan berjalan. “Kakinya yang patah dipakaikan hip-spica (menggunakan gentian kaca) selama hampir enam minggu. Untuk itu, saya terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama empat bulan untuk menjaga anak saya itu,” katanya dengan nada sebak.
Menurutnya, dia kini masih perlu berulang-alik ke HKL dan Hospital Tuanku Jaafar, bagi mendapatkan rawatan bayinya.
Dia yang membuat laporan polis berhubung kes terbabit bagaimanapun pelik apabila belum ada tindakan undang-undang diambil walaupun sudah berulang kali mendapatkan penjelasan.
“Saya mahukan keadilan terhadap nasib bayi saya. Penderitaan Sheena terlalu teruk dan saya tidak boleh memaafkan apa yang berlaku begitu sahaja. Saya yakin polis mampu merungkai apa yang berlaku dan membawa individu yang bersalah ke muka pengadilan,” katanya.
Jumaat, Oktober 22, 2010
Maut berebut alat kawalan jauh TV
KOSMO
KUANTAN - Gara-gara berebutkan alat kawalan jauh televisyen dengan adik, seorang pelajar lelaki Maahad Tahfiz Batu 4 di sini menemui ajal selepas tercetus pertengkaran dengan saudaranya di Taman Balok Baru di sini, 4.30 petang semalam.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang, Supt Mohd Haris Daud berkata, sebelum kejadian, mangsa, Naili Nafiz Zakaria, 14, dipercayai bertengkar dengan adik perempuannya berusia lima tahun yang berebut mahu menonton siaran pilihan masing-masing di televisyen.
Bercakap kepada pemberita, Mohd Haris berkata, seorang saudara mangsa yang melihat pertengkaran itu dikatakan segera campur tangan sambil mengacah membaling serpihan kaca tingkap yang terdapat di depan pintu kepada mangsa.
Mohd Haris berkata, serpihan kaca berkenaan tiba-tiba terlepas dari tangan dan terkena paha kanan mangsa yang menyebabkan berlaku pendarahan yang banyak.
Menurut Mohd Haris, mangsa kemudiannya dibawa ke Klinik Balok di sini oleh jirannya sebelum disahkan meninggal dunia pada 5.40 petang ketika sedang mendapatkan rawatan.
Katanya ketika kejadian, ibu bapa mangsa tiada di rumah. – Bernama
Rabu, Mei 26, 2010
Hukum ibu bapa cuai
Utusan Malaysia
Oleh SUFFIAN ABU BAKAR
AKIBAT terlalu sayangkan anak dan membiarkan mereka bebas melakukan apa sahaja, manusia kadangkala terlupa sehingga mengabaikan soal keselamatan.
Apabila berlaku insiden atau kejadian yang tidak diingini, barulah kita tersedar bahawa kebebasan atau kurang perhatian yang diberikan itu boleh membawa maut.
Justeru, tidak hairanlah kita kini sering didedahkan dengan berita-berita sedih mengenai kematian kanak-kanak atau bayi di rumah. Tidak salah jika dikatakan ia berpunca daripada kecuaian ibu bapa.
Menuduh ibu bapa terbabit cuai bukan tujuan penulis yang mengutarakan isu ini. Sebaliknya, apa yang ingin dikatakan adalah sejauh mana kita peka tentang keselamatan anak-anak di bawah jagaan kita agar mereka terhindar daripada sebarang malapetaka.
Kita ambil contoh kejadian seorang bayi berusia sembilan bulan yang maut selepas terjatuh dari tingkat tiga di sebuah rumah di USJ 6 Subang Jaya, Sabtu lalu.
Siapa yang tidak sayangkan anak. Sudah pasti ibu bapanya sungguh menyayangi anak lelaki tunggal mereka. Namun sudah ditakdirkan, bayi itu merangkak di atas katil yang terletak bersebelahan dengan tingkap lalu terjatuh.
Siapa sangka, rumah yang terletak di tingkat tiga itu tidak dipasang jeriji besi.
Difahamkan, unit-unit kediaman yang terletak di situ, khususnya bukan di aras bawah tidak memasang jeriji keselamatan. Bagi mereka, mungkin pencuri sukar untuk memanjat dan memasuki unit kediaman tersebut yang terletak di aras yang tinggi.
Tetapi siapa pula sangka, jeriji besi itu mampu menyelamatkan nyawa bayi malang tersebut sekiranya ia dipasang.
Pihak polis masih menyiasat kes ini yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut. Sekadar ingin bertanya, adakah kejadian ini boleh dianggap sebagai cuai.
Jika ia berpunca daripada kecuaian, adakah mereka yang bertanggungjawab atas kematian bayi itu boleh dikenakan tindakan undang-undang. Kecuaian boleh dilihat daripada pelbagai sudut.
Seperti yang disebut oleh polis sebelum ini, ibu bapa yang membiarkan anaknya yang tidak memiliki lesen menunggang motosikal atau memandu kenderaan, boleh dikenakan tindakan undang-undang atas kecuaian mereka.
Menyebut tentang sikap ibu bapa membiarkan anak memandu tanpa lesen, teringat satu peristiwa yang berlaku dan menggemparkan negara baru-baru ini.
Sehingga kini, tiada tindakan diambil atas kecuaian keluarga terbabit, sebaliknya pasukan keselamatan yang dipersalahkan atas motif politik oleh pihak tertentu, susulan daripada tindakan seorang remaja memandu tanpa lesen (sehingga menemui maut).
Apa yang ingin penulis sebut, sikap segelintir ibu bapa yang terlalu sayangkan anak-anak mereka secara berlebihan sehingga membiarkan anak-anak membuat apa sahaja tindakan biarpun ia melanggar undang-undang.
Apabila sudah berlaku sesuatu kejadian atau insiden, pihak lain yang dipersalahkan. Menyesal ketika itu sudah tidak berguna kerana insan yang disayangi sudah pergi, tetapi janganlah pihak lain pula yang dipersalahkan.
Sikap prihatin ibu bapa tentang keselamatan anak-anak sebenarnya perlu ada. Bukan setakat perlu ada, sebaliknya mesti disertai dengan pengawasan yang rapi dan sempurna.
Ingatlah, anak-anak merupakan amanah yang diberikan oleh Allah. Terpulang kepada kita untuk mencorakkan masa depannya.
Jumaat, April 30, 2010
'Kerana kakak tertidur'
2010/04/30
Harian Metro - Berita Utama
Oleh Junita Mat Rasid
MUAR: Setakat manalah sangat kudrat seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun, apatah lagi untuk menjaga adik sepanjang hari ketika ketiadaan ibu bapa di rumah.Akibat tertidur sekejap di ruang tamu, adik bongsunya berusia 16 bulan yang dijaganya ketika ibu bapa keluar bekerja, ditemui tersembam dalam sebuah akuarium yang diletakkan di lantai dapur.
Bayi yang bertarung nyawa selama 14 jam selepas ditemui berkeadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam akuarium di rumahnya di Jalan Ismail di sini, kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.
Dalam tragedi malang itu, mangsa, Nurul Najwa Atika, yang tidak diawasi selepas kakak sulungnya tertidur di ruang tamu, dipercayai tertarik untuk bermain dengan pelbagai ikan peliharaan dalam akuarium yang diletakkan di atas lantai dapur.
Ketika kejadian, tiada orang dewasa di rumah itu kerana bapanya, Robin Gantilan, 37, bekerja di sebuah ladang manakala ibu, Norbayah Salbi, 35, bekerja di sebuah kantin sekolah berhampiran.
Menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan isterinya itu, Robin berkata, Norbayah pulang dari kantin untuk menjenguk anak di rumah, kira-kira jam 11 pagi.
“Ketika kejadian saya bekerja di ladang manakala isteri terpaksa meninggalkan anak kerana bekerja di kantin sekolah tidak jauh dari rumah,” katanya.
Menurutnya, sebaik sampai dia mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu tiada, manakala anak sulungnya berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu.
Katanya, isterinya mula cemas dan terus mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum terkejut besar apabila menjumpai bayi itu tersembam ke dalam akuarium di dapur.
Robin berkata, ketika ditemui anaknya itu masih bernafas dan isteri dengan bantuan jiran bergegas membawanya mendapatkan rawatan di HPSF sebelum dimasukkan ke ICU kerana Nurul Najwa tidak sedarkan diri.
Bagaimanapun, katanya, Nurul Najwa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi ketika dirawat di ICU hospital berkenaan.
Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka kerana tidak menyangka akuarium diletakkan di bawah dan menempatkan beberapa jenis ikan akan meragut nyawa anak kesayangan mereka yang dipercayai asyik melihat ikan sebelum jatuh tertumus.
“Allahyarham seorang periang dan manja menyebabkan kami benar-benar terasa kehilangannya, tambahan pula kejadian itu tidak disangka akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.
Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri, selepas solat Zuhur, semalam.
Keluarga Robin berasal dari Sabah dan sudah 15 tahun menetap di Muar.