#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Sumbang Mahram. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sumbang Mahram. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 10, 2010

289 kes sumbang mahram

DATUK Seri Hishammuddin Hussein berkata, jenayah rogol yang dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh Januari hingga Ogos lalu mencatatkan 2,426 kes dengan Selangor adalah tertinggi dilaporkan iaitu 456 kes dan terendah adalah Perlis dengan 18 kes.

Menteri Dalam Negeri itu memberitahu polis sentiasa memandang serius kes seumpama itu selain jenayah seksual lain termasuk sumbang mahram dan mencabul kehormatan kerana majoriti mangsa yang terbabit adalah kalangan kanak-kanak yang masih mentah dan lemah.

“Kes jenayah sumbang mahram yang dilaporkan di seluruh negara bagi tempoh sama sebanyak 289 kes, manakala kes mencabul kehormatan turut mencatatkan 1,441 kes.

“Johor menjadi negeri tertinggi untuk sumbang mahram dan mencabul kehormatan dengan 43 kes dan 216 kes, sementara Perlis tetap negeri terendah dengan satu kes sumbang mahram dan 20 (mencabul kehormatan),” katanya.

Beliau menjawab secara bertulis soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) yang mahukan pecahan laporan kes rogol, sumbang mahram dan pencabulan kehormatan yang diterima polis dan jumlah jenayah seksual itu yang sudah didakwa di mahkamah.

Rabu, September 08, 2010

Sumbang mahram bukti kedangkalan agama, adat resam

Oleh Tuan Musa Awang
Berita Harian
2010/09/08

Islam melaknat orang melakukan perkara terkutuk di dunia dan akhirat

RAMADAN kali ini banyak menguji keimanan sebagai umat Islam. Menatap akhbar sepanjang Ramadan, kita dihidangkan berita meruntun jiwa dan menyayat hati. Kisah adik beradik dirogol abang kandung, datuk merogol cucu dan adik merogol kakak sendiri.


Sumbang mahram ialah perbuatan zina yang dilakukan seseorang yang ada pertalian darah atau keturunan dengan mangsa atau hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan mereka tidak sah di sisi agama, undang-undang serta adat resam.

Islam melaknat orang melakukan sumbang mahram di dunia dan akhirat. Firman Allah SWT bermaksud: “Diharamkan kepada kamu berkahwin dengan (perempuan berikut), ibu kamu, anak kamu dan saudara kamu, saudara bapa kamu, saudara ibu kamu, anak saudara kamu yang lelaki, dan anak saudara kamu yang perempuan dan ibu kamu yang telah menyusukan kamu....” (Surah an-Nisa’: 23)

Sumbang mahram bukan saja merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial yang berpotensi tinggi menghasilkan keturunan secara biologi lemah fizikal dan mental (cacat), tetapi juga suatu bukti kedangkalan agama serta adat resam.

Sumbang mahram ialah jenayah menurut Seksyen 376A dan Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang enam tahun dan tidak melebihi 20 puluh tahun serta sebatan.

Sumbang mahram dikenakan hukuman menurut Seksyen 20, Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997, (Akta 559), yang memperuntukkan: “Mana-mana orang yang melakukan perbuatan sumbang mahram adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau dihukum dengan mana-mana kombinasi hukuman itu.”


Mengikut statistik Polis Bukit Aman, sepanjang 2000 hingga 2007, Johor dan Selangor mencatatkan kes sumbang mahram tertinggi iaitu masing-masing sebanyak 308 kes daripada keseluruhan 2,158 kes dilaporkan kepada polis.

Sabah mencatatkan jumlah kedua tertinggi iaitu sebanyak 258 kes, diikuti Perak (197), Kedah (195), Pahang (164) dan Sarawak (136). Terengganu mencatatkan sebanyak 109 kes, Kelantan (107), Negeri Sembilan (102), Melaka (101), Kuala Lumpur (96), Pulau Pinang (59) dan Perlis (18).

Statistik kes sumbang mahram kerap dilaporkan. Namun, ada juga mangsa tidak membuat laporan khuatir si pelaku akan dipenjarakan atau hilang mata pencarian. Ada juga mangsa diugut supaya tidak melaporkan jenayah itu. Dalam kebanyakan kes, sumbang mahram tidak dilaporkan serta merta.

Kajian Dr Abdul Hadi Zakaria, pada 1996 dan laporannya diterbitkan Januari 1998 dengan tajuk ‘Haruan Makan Anak: Inses di Semenanjung Malaysia’ menunjukkan dari 1992 hingga 1994, 30 peratus kes rogol dilaporkan membabitkan sumbang mahram.

Pelaku utama jenayah ini ialah bapa kandung (48.8 peratus) dan diikuti bapa tiri (24.4 peratus). Si pelaku lain ialah bapa saudara, abang ipar dan datuk. Kebanyakan kes sumbang mahram berlaku di rumah kediaman mangsa.

Kajian juga menunjukkan kes sumbang mahram membabitkan mangsa yang muda, iaitu 54.9 peratus dari mereka berumur antara 11 hingga 15 tahun manakala umur si pelaku pula dari semuda 18 hingga 65 tahun.

Antara punca berlaku sumbang mahram ialah kegagalan atau kecuaian isteri memuaskan keperluan suami akibat tuntutan kerja, kepenatan, kelemahan iman, ketandusan ilmu dan kurang penghayatan agama.

Kelemahan agama menjadi lebih parah jika mereka terdedah dengan gambar atau filem porno yang mudah dimuat turun atau dipindahkan ke dalam telefon bimbit.

Islam melarang lelaki dan wanita berdua-duaan di tempat sunyi kerana akan muncul syaitan yang menghasut ke arah kejahatan seperti sabda Rasulullah yang bermaksud: “Tidak berada di tempat sunyi antara seorang lelaki dan seorang wanita kecuali yang ketiganya adalah syaitan.”

Islam juga mensyariatkan supaya dipisahkan tempat tidur anak dan ibu bapa sejak mereka berusia tujuh tahun serta mengajarkan kepada mereka supaya memberi salam serta meminta izin terlebih dulu sebelum masuk ke bilik ibu bapa.

Islam mensyariatkan supaya bilik untuk anak gadis diasingkan dengan bilik anak lelaki apabila mereka akil baligh, serta menekankan batas aurat, pergaulan antara ibu bapa dengan anak dan adik beradik berlainan jantina. Perasaan malu mendedahkan aurat perlu ditekankan sejak anak kecil lagi.

Firman Allah bermaksud: “Wahai anak Adam, sesungguhnya kami telah menurunkan kepada kamu (bahan untuk) pakaian menutup aurat kamu, pakaian perhiasan dan pakaian yang berupa takwa itulah sebaik-baiknya. Yang demikian itu adalah tanda (limpah kurnia) Allah (dan rahmat kepada hamba-Nya supaya mereka mengenang dan bersyukur).” (Surah Al-A'raaf: 26)

Walaupun ahli keluarga boleh membuka aurat dalam kalangan mereka tetapi tidak sehingga menampakkan bahagian antara pusat dan lutut, berpakaian terlalu nipis, seksi atau mengikut bentuk badan. Anak juga perlu ditekankan larangan berzina dan melakukan dosa besar.

Peningkatan kadar perceraian, dikhuatiri kanak-kanak terdedah kepada risiko gejala sumbang mahram. Jika seseorang ibu berkahwin semula, anak perempuan akan tinggal serumah dengan bapa tiri, menjadikan risiko mereka terdedah kepada penganiayaan seksual bapa tiri.

Bagi kes yang membabitkan adik beradik, keluarga yang bercerai akan menyumbang kepada faktor ini kerana si ibu keluar rumah untuk mencari rezeki dengan meninggalkan abang menjaga adik di rumah.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia.

Isnin, Julai 26, 2010

Tindakan tiada perasaan

Harian Metro
2010/07/26

KUALA LUMPUR: Tindakan seorang kontraktor yang mempunyai empat isteri, tetapi masih tergamak menjadikan anak kandungnya tempat untuk melampias nafsunya jelas menunjukkan dia sedang mengalami masalah psikologi.

Ahli Lembaga Kaunselor yang dilantik Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta pensyarah Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling Universiti Malaya (UM), Prof Dr Suradi Salim (gambar) berkata, perbuatan sebegitu menunjukkan pelakunya seorang yang tidak normal serta menjadi individu tidak mempunyai perasaan.

Menurutnya, kemungkinan individu ini tidak ada pengetahuan mengenai batasan dalam hubungan kekeluargaan hingga tergamak memuaskan nafsunya dengan anak sendiri.

Katanya, terdapat juga kemungkinan pelakunya mempunyai masalah dalam pergaulan bersama masyarakat hingga sanggup mengambil kesempatan terhadap keluarganya.

“Selalunya, jika seseorang itu mempunyai nafsu seks yang kuat, tetapi mempunyai pegangan agama dan menjadi ahli masyarakat yang baik...dia tidak tergamak untuk berbuat demikian kepada ahli keluarganya sendiri,” katanya.

Jumaat, Julai 02, 2010

Anak hilang kepercayaan

Oleh Maiamalina Mohamed Amin
Harian Metro
2010/07/02


KUALA LUMPUR: “Anak ini akan hilang kepercayaan pada sesiapa pun kerana lelaki yang paling dipercayai dan sepatutnya menjadi pelindung adalah orang sama yang merosakkan hidupnya,” kata Prof Madya Datin Dr Noor Aziah Mohd Awal.

Timbalan Pengerusi Majlis Perunding Wanita Islam Malaysia (MPWIM), Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) berkata demikian ketika mengulas perbuatan jijik duda berusia 40-an yang merogol tiga anaknya secara bergilir-gilir.

Menurut Dr Noor Aziah, hilang kepercayaan antara kesan psikologi paling teruk dialami anak perempuan yang menjadi mangsa sumbang mahram sama ada oleh bapa kandung, bapa tiri, abang mahupun ahli keluarga lain.

Katanya, hanya dengan kaunseling yang menjamin kerahsiaan terhadap semua cerita akan membuatkan mangsa meluahkan rasa amarah atau apa saja perasaan yang terpendam dalam hati akibat perbuatan keji anggota keluarga sendiri.

“Itu pun bukan senang kita melihat mangsa membuka mulut kerana kes rogol yang ada kaitan dengan mahram sendiri tidak sama dengan rogol biasa, apatah lagi membabitkan orang yang sepatutnya memberi perlindungan kepada anak-anaknya.

“Jadi kita tak boleh salahkan mangsa jika dia mendiamkan diri, rahsiakan perkara sebenar kerana biasanya mereka takut hendak membuat laporan, tambahan sekiranya berdepan ugutan selain tidak tahu ke mana hendak pergi.

“Kalau ikutkan kes begini banyak berlaku dalam masyarakat, tetapi sangat kurang dilaporkan kerana mangsa masih berada dalam pengaruh pelaku. Jadi dia (mangsa) takut,” katanya ketika dihubungi semalam.

Muka depan Harian Metro semalam melaporkan kisah seorang bapa yang luarannya dianggap bertanggungjawab kerana membesarkan sendiri tiga anak gadisnya sejak berpisah dengan bekas isteri, kira-kira lima tahun lalu sebenarnya menyimpan rahsia besar.

Lelaki berusia 40-an itu menjadikan tiga anaknya berusia 11, 13 dan 14 tahun sebagai pemuas nafsu sejak lebih enam bulan lalu dan rahsianya terbongkar Selasa lalu apabila seorang anak perempuannya mendedahkan episod hitam dihadapi.

Lebih mengaibkan tiga beradik yang bersekolah di Kota Kinabalu itu dirogol bapa mereka secara bergilir-gilir, seorang demi seorang pada satu malam, sebelum perkara itu diketahui ibu saudara mangsa yang tinggal berdekatan. Pensyarah Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu turut meminta masyarakat tidak meminggirkan mangsa rogolsebaliknya, memberi sepenuh sokongan untuk mereka memulakan kehidupan dengan lebih baik.

Rabu, Mei 26, 2010

Ratah tubuh anak lumpuh

Oleh Zaid Salim dan Baharom Bakar
am@hmetro.com. my
2010/05/26

KUALA TERENGGANU: Dia dikenali penduduk kampung sebagai seorang yang warak apabila menjadikan masjid dan surau sebagai rumah kedua kerana kerap mengunjungi rumah Allah itu bagi menunaikan tanggungjawab sebagai seorang Islam.

Namun, segala perilaku itu hanya topeng semata-mata apabila lelaki terbabit berkelakuan tidak ubah seperti binatang selepas menjadikan anak gadisnya berusia 15 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu gilanya.

Perbuatannya terbongkar, menyebabkan bapa berusia lingkungan 50-an itu hidup sebagai pelarian sejak diburu polis, selain anaknya sendiri kerana tidak menyangka perbuatan biadab lelaki berkenaan yang selama ini dianggap benteng keluarga.

Difahamkan, perbuatan haruan makan anak lelaki terbabit dipercayai dilakukannya sejak beberapa tahun lalu memeranjatkan penduduk kampung apabila gadis yang lumpuh dan bisu sejak lahir itu didakwa mengandung.

Lelaki terbabit dikatakan mengambil kesempatan melakukan perbuatan terkutuk itu setiap kali sebelum memandikan mangsa di bilik air rumahnya.

Bagaimanapun, penderitaan gadis malang sepanjang menjadi ‘hidangan’ bapa sendiri terbongkar selepas doktor mengesahkan dia mengandung ketika mendapatkan rawatan kerana demam panas di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini, awal bulan ini.

Menurut sumber, perbuatan terkutuk lelaki itu yang bekerja sebagai buruh binaan menimbulkan kemarahan anak lelakinya kerana tidak menyangka bapa diharapkan menjaga keselamatan bertindak sebagai gunting dalam lipatan apabila tergamak ‘meratah’ daging anak sendiri.

Sumber berkata, kerana terlalu marah dengan perbuatan bapa terbabit, anak lelakinya yang juga bekas anggota tentera membaling pasu bunga ke arah bapa berkenaan ketika pasangan anak-beranak itu bergaduh dalam rumah.

Katanya, balingan pasu bunga itu mengenai bahagian belakang bapa terbabit menyebabkan lelaki terbabit yang bimbang dengan amukan anak lelakinya melarikan diri sebelum dia dipercayai bersembunyi di kampung berhampiran.

Sumber berkenaan berkata, ibu mangsa berusia lingkungan 40-an yang dimaklumkan mengenai keadaan anaknya enggan membuat laporan polis dengan alasan mahu menjaga nama baik suami dan ahli keluarganya, namun atas desakan anak lelakinya, dia nekad membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu.

Difahamkan, doktor yang membuat pemeriksaan lanjut mengesyaki remaja terbabit mengandung di luar rahim dan bercadang melakukan pembedahan. Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Zuhaimi Omar berkata, hasil pemeriksaan lanjut mengesahkan mangsa tidak mengandung.

“Mangsa menerima bantuan bulanan kategori orang kurang upaya (OKU) dirawat di HSNZ dan kami cuba mendapatkan perintah mahkamah bagi membolehkan mangsa diletakkan di bawah penjagaan JKM di Pusat Taman Sinar Harapan di Bukit Besar, di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, pihaknya mengesahkan menerima laporan dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan. Katanya, polis memburu bapa mangsa yang menghilangkan diri selepas berlaku pergaduhan antara dia dan ahli keluarganya di kediamannya, kelmarin.

Isnin, Julai 27, 2009

Tak puas tiga isteri

Oleh Ravale Savarinathan
am@hmetro.com.my

TELUK INTAN: Dia mempunyai tiga isteri, namun seorang bapa berperangai iblis masih belum puas hingga tergamak menjadikan anak kandungnya berusia 14 tahun sebagai tempat memuaskan nafsu buas seksnya lebih 60 kali sejak November tahun lalu.

Sejak pertama kali dirogol pada tahun lalu, mangsa yang juga pelajar tingkatan dua di sebuah sekolah menengah di daerah ini terus ‘diratah’ oleh bapa kandungnya berusia 50 tahun sebanyak dua kali seminggu sehinggalah perlakuan itu dibongkar dan dilapor kepada polis jam 11.50 pagi kelmarin.

Mangsa yang juga anak kedua daripada enam beradik menetap bersama keluarganya di Hutan Melintang, tidak sanggup membiarkan lagi perlakuan bapanya meratah tubuhnya itu sebelum memaklumkan perbuatan berkenaan kepada kakaknya.

Kakaknya kemudian menceritakan kisah malang adiknya itu kepada seorang guru sekolah di tempatnya belajar mengenai tingkah laku jijik bapa kandung mereka.

Selepas merekodkan segala keterangan dan masalah yang dihadapi mangsa, guru sekolah berkenaan membuat laporan polis yang kemudiannya menahan bapa mangsa untuk siasatan lanjut.

Pemangku Ketua Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Superitenden Chan Kuang Yu, berkata lelaki berusia 50 tahun itu kini ditahan untuk siasatan serta direman selama tujuh hari.

Beliau berkata, kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 376B, Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Mangsa yang juga anak suspek pula dibawa ke Hospital Teluk Intan (HTI) untuk menjalani pemeriksaan kesihatan,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, berdasarkan siasatan, mangsa pertama kali dirogol di rumahnya dan selebihnya dilakukan di luar rumah termasuk di sebuah kebun kelapa sawit berdekatan rumah mereka.

Chan berkata, setiap kali merogol mangsa, suspek akan membawa mangsa keluar rumah sama ada untuk ke kedai atau bersiar-siar sebelum melakukan perbuatan terkutuk itu pada malam harinya.

Katanya, pihaknya tidak menolak kemungkinan bahawa mangsa turut diugut oleh suspek supaya tidak memberitahu perkara itu kepada sesiapa termasuk ibunya yang juga isteri ketiga suspek.

“Kami percaya, mangsa yang sudah tidak tahan dengan penderitaan akibat dirogol oleh bapanya bertindak membongkar kejadian itu kepada kakaknya,” katanya.