Jumaat, Februari 11, 2011
Rahsia sihat 109 tahun
Ibu kepada sembilan anak berasal dari Jawa Tengah, Indonesia masih mampu mencucuk benang ke lubang jarum tanpa menggunakan cermin mata. “Petua menjaga kesihatan yang diamalkan sejak muda hingga sekarang ialah makan pelbagai jenis ulam terutama tauge segar. Selain itu saya juga suka masakan pedas dan sambal.
“Selain makan tidak terlalu kenyang, kita perlu sentiasa melakukan suruhan Allah seperti solat dan puasa. Apabila sentiasa berdamping dengan Tuhan, hati senang, penyakit dapat dielakkan.
“Doa setiap kali lepas solat juga penting dalam usaha mendapat petunjuk dan hidayah daripada Allah,” katanya yang kini tinggal bersama anaknya, Tumijan Gonu, 69, di Felda Bukit Goh, di sini.
Kaminah berkata, dengan mengingati Allah, hati akan tenang seterusnya mampu menjalani kehidupan lebih ceria bersama keluarga tanpa rasa bosan dan rimas. Menurutnya, perhatian diberikan ahli keluarga juga memberi keselesaan kepadanya walaupun empat adik-beradiknya serta kebanyakan saudara-mara sudah tiada.
“Saya bersyukur masih dipanjangkan umur tanpa menghidap penyakit kronik, mungkin ada hikmah di sebalik usia lanjut ini,” katanya yang tidak mampu berjalan selepas terjatuh di bilik air dua bulan lalu.
Namun, menurutnya, dia sentiasa berdoa suatu hari nanti mampu berdiri dan berjalan seperti sebelum ini.
Kaminah yang meminati kuih apam kukus inti kelapa datang ke Malaysia ketika berusia 20 tahun dan menetap di beberapa penempatan di Johor, sebelum dia dan arwah suaminya yang meninggal pada usia 120 tahun menetap di Felda Bukit Goh.
Bagi Tumijan, walaupun ibunya lanjut usia dia masih mengingati pelbagai perkara berkaitan ahli keluarga, sahabat dan beberapa peristiwa menarik ketika zaman mudanya.
Menurutnya, setiap hari ibunya berbual dengan cucu dan cicitnya mengenai pelbagai perkara, termasuk isu semasa.
Jumaat, Oktober 22, 2010
Placenta praevia boleh ragut nyawa
izza.rosly@kosmo.com.my

PENDARAHAN ketika hamil merupakan antara perkara yang ditakuti kaum ibu mengandung kerana ia berisiko menyebabkan keguguran jika tidak disusuli dengan rawatan segera.
Pendarahan boleh berlaku di bahagian luar faraj iaitu pada vulva atau pangkal rahim. Ia boleh terjadi kerana komplikasi kehamilan atau keadaan plasenta yang tidak normal iaitu kedudukannya berhampiran atau betul-betul di atas serviks yang dipanggil placenta praevia.
Umum mengetahui, plasenta merupakan organ yang menghubungkan ibu dengan janin dalam rahim. Ia berfungsi membekalkan makanan termasuk oksigen daripada ibu kepada janin dan mengeluarkan bahan kumuh daripada janin melalui ibu.
Namun, kedudukan plasenta yang songsang daripada kedudukan normal boleh mengakibatkan pendarahan yang serius.
Pakar Ginekologi dan Obstetrik, Hospital Pantai Ampang, Dr. Sudha Kumari memberitahu, terdapat empat jenis placenta praevia iaitu lateral, marginal, partial dan central.

“Plasenta praevia lateral merujuk kepada kedudukan plasenta yang cenderung jaraknya lima sentimeter atau lebih daripada serviks manakala kedudukan marginal pula menunjukkan plasenta berada betul-betul di margin serviks.
“Placenta praevia partial pula menunjukkan keadaan plasenta menutupi sebahagian serviks, manakala penutupan serviks sepenuhnya pula dipanggil central iaitu kedudukan plasenta betul-betul di atas serviks. Dalam keempat-empat kes, keadaan central ini paling merbahaya,” katanya.
Tambah Sudha, keadaan tersebut berlaku selepas tempoh 24 minggu kehamilan dan ia disebabkan beberapa perkara iaitu parut ketika proses kelahiran atau pembedahan, kekerapan bersalin dan infeksi.
“Keadaan ini akan menjadi punca plasenta akan terus melekat di situ dan tidak bergerak. Pada awal tempoh kehamilan, plasenta berada di mana-mana dalam rahim kerana pada masa itu saiz bayi terlalu kecil, namun apabila tempoh kehamilan bertambah ia (plasenta) berubah tempat ke bahagian atas rahim.
“Kedudukan plasenta yang tidak berubah dipanggil placenta praevia. Sebenarnya, plasenta tidak bergerak tetapi uterus membesar dan mengembang, oleh itu ia secara automatik akan naik ke atas,” ujarnya.
Ia akan terjadi selepas 24 minggu tempoh kehamilan kerana dalam tempoh tersebut plasenta akan berada di kedudukan atas.
Menurut Sudha, walaupun plasenta berada di bawah pada kehamilan minggu ke-24, kebarangkalian ia berpindah ke atas tetap ada dan ia memerlukan pemantauan kandungan dengan kerap.

“Biasanya jika kedudukan plasenta dalam keadaan lateral dan marginal pada minggu ke-26 kehamilan, ada kemungkinan plasenta akan naik tetapi jika plasenta dalam keadaan central dan partial, kemungkinan besar ia tidak akan naik kerana kedudukannya betul-betul di atas serviks.
“Kerana itu, seseorang ibu perlu menjalani rawatan susulan dengan doktor. Selepas minggu ke-34 kita akan dapat tahu sama ada plasenta akan naik atau tidak,” katanya.
Siapa yang berisiko mendapat placenta praevia?
Mereka yang berisiko tinggi mendapat placenta praevia adalah dalam kalangan wanita yang pernah mengalami placenta praevia pada kehamilan sebelumnya.
Selain itu katanya, kekerapan bersalin setiap tahun, kelahiran anak kembar, pernah menjalani pembedahan caesarean dan fibroid, malah ada yang berpendapat wanita yang mengambil kokain dan merokok juga mempunyai risiko yang sama.
“Apabila umur meningkat risiko juga akan meningkat. Umur yang berisiko ialah wanita berusia bawah 20 tahun dan melebihi 35 tahun. Umur yang paling selamat ialah 20 hingga 30 tahun. Risiko wanita untuk mendapat placenta praevia adalah satu dalam 200 kehamilan.

“Seseorang yang didiagnos mengalami placenta praevia apabila berlaku pendarahan pada minggu ke-24 kehamilan. Oleh itu, doktor perlu buat ujian ultra bunyi bagi memastikan kedudukan plasenta,” jelasnya.
Wanita yang dikesan mengalami placenta praevia dinasihatkan untuk berehat, tidak membuat kerja-kerja berat, tidak bersenam, tidak mengadakan pemeriksaan vagina dan tidak melakukan hubungan seks sepanjang tempoh kehamilan kerana ia boleh menyebabkan pendarahan.
Sudha memberitahu, wanita yang mengalami placenta praevia central dalam minggu ke-34 kehamilan akan dimasukkan ke hospital bagi tujuan pemantauan.
“Jika tiada sebarang pendarahan, mereka boleh berehat di rumah dengan syarat, jarak rumah mereka dekat dengan hospital dan mempunyai pengetahuan mengenai keadaan kehamilannya bagi mengelakkan risiko ke atas ibu dan anak.
“Segera berjumpa dengan doktor jika berlaku sebarang pendarahan tanpa rasa sakit. Buat permulaan, pendarahan kali pertama akan keluar sikit dan akan berhenti seketika sebelum berlaku pendarahan yang banyak,” katanya.
Tambahnya lagi, jika berlaku sedikit pendarahan dalam tempoh kehamilan masuk minggu ke-34, pihak hospital akan menunggu sehingga cukup bulan, tetapi jika si ibu mengalami pendarahan yang banyak, bayi perlu dikeluarkan segera demi kebaikan ibu dan anak.

“Jika berlaku pendarahan yang banyak, jantung bayi akan jatuh dan bayi perlu dikeluarkan segera jika tidak, bayi akan mati di dalam kandungan.
“Ibu yang mengalami placenta praevia tidak boleh melahirkan bayi secara normal dan perlu menjalani pembedahan caesarean. Bukan itu sahaja, ia memerlukan doktor yang berpengalaman luas mengendalikan kes placenta praevia serta kakitangan hospital yang terlatih. Jika tidak keadaan itu mengundang risiko kematian,” jelasnya.
Ujar beliau, dalam keadaan pendarahan yang banyak, seboleh-bolehnya, doktor mahu menyelamatkan nyawa kedua-dua ibu dan bayi tetapi keutamaan diberikan kepada ibu.
Isnin, Ogos 23, 2010
Gadis sunti bermukah
am@hmetro.com.my
2010/08/23
KULIM: Usianya baru menjengah 12 tahun, namun gelora nafsu seorang gadis sunti yang juga murid tahun enam, tidak dapat membendungnya daripada melakukan maksiat.
Lebih mengejutkan, ketika umat Islam menahan lapar dan dahaga kerana menunaikan ibadah puasa, murid sebuah sekolah rendah di Kuala Ketil, dekat sini, bertindak di luar dugaan apabila berkhalwat bersama dua lelaki sekali gus pada siang hari.
Malah, ketika operasi mencegah maksiat dilakukan, remaja terbabit didapati sedang melakukan hubungan seks dengan seorang daripada lelaki berkenaan dalam sebuah rumah di Taman Desa Aman, Karangan, dekat sini.
Dalam operasi dijalankan Penguat kuasa Pejabat Agama Islam Daerah Kulim Kedah (PADK) kira-kira jam 11 pagi Khamis lalu, murid perempuan berkenaan didapati sedang bersetubuh dengan lelaki terbabit, manakala seorang lelaki lagi turut berada dalam rumah itu.
Ketua Unit Penguat kuasa PADK, Azmi Rejab berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai perbuatan terkutuk remaja terbabit pada jam 10.35 pagi sebelum pegawai PADK, diketuai Sheikh Radzi Abdul Mutalib bersama tujuh anggota, membuat pemeriksaan di rumah berkenaan kira-kira jam 11 pagi.
Katanya, melalui intipan sebelum melakukan serbuan, pihaknya mendapati remaja perempuan itu bersama seorang lelaki berusia 23 tahun dalam sebuah bilik, manakala seorang lagi lelaki turut berada dalam rumah sama.
“Gadis sunti itu baru mengenali lelaki berusia 23 tahun terbabit sebelum mereka melakukan hubungan seks,” katanya.
Azmi berkata, seorang lagi lelaki berusia 20 tahun menjemput remaja berkenaan di Kuala Ketil sebelum membawanya ke rumah sewa lelaki itu di sini.
“Berdasarkan siasatan, lelaki berusia 20 tahun itu turut mengaku tidur bersama remaja perempuan terbabit pada malam sebelum itu.
“Mereka mengakui tidak mempunyai hubungan mahram dan ketiga-tiganya ditahan sebelum dibawa ke Balai Polis Kulim untuk diambil keterangan,” katanya.
Menurutnya, gadis berkenaan dihantar ke Hospital Kulim untuk pemeriksaan lanjut manakala kedua-dua lelaki terbabit ditahan di lokap Balai Polis Kulim.
Difahamkan, polis mengklasifikasikan kes sebagai rogol kerana membabitkan remaja perempuan bawah umur dan disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.
Dalam perkembangan sama, Azmi berkata sedikit kekecohan berlaku apabila ibu gadis terbabit dipanggil ke pejabat PADK berikutan ketidakpuasan hati wanita berkenaan terhadap tindakan anaknya dan pasangan.
“Ibu remaja itu memukul kepala, muka serta badan lelaki yang ditahan menggunakan kasut kerana tidak puas hati selepas anaknya didapati bersekedudukan, namun kekecohan berjaya dileraikan pegawai bertugas,” katanya.
Khamis, Mei 27, 2010
Bawa anak ke kelas
abwahab@hmetro.com.my
2010/05/27
SHAH ALAM: Walaupun terpaksa membahagikan masa antara belajar dan keluarga, ia tidak mendatangkan masalah bagi penerima Anugerah Naib Canselor, Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Perbankan Islam) Nazeriah Muhamad Ali, 32, kerana apa yang penting bijak menguruskan masa, selain bersungguh-sungguh.
Nazeriah mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.76 berkata, suaminya, Rosdeen Rasip, 44, dan dua anak lelakinya, Nazrul Qaid, 5, dan Nazreen Hakimi, 4, pendorong utama untuknya belajar bersungguh-sungguh.
Dia yang bekerja di Bank Negara, berkata kepayahan ketika menguruskan dua anaknya yang kecil, selain bebanan tugasan sedikit pun tidak mematahkan semangatnya mendapat keputusan terbaik dalam setiap mata pelajaran diambil, malah menjadikan perkara itu sebagai cabaran dia berusaha lebih gigih.
“Sesekali saya membawa kedua-dua anak saya ke kelas kerana suami keluar kawasan bekerja.
“Malah, saya sedikit pun tidak mengeluh dan menganggap ia ujian bagi mereka yang bekeluarga,” katanya ketika ditemui selepas majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Dewan Sri Budiman, semalam.
Nazeriah memasuki UiTM pada 2007 dan menamatkan pengajian tahun lalu mendapat tajaan daripada majikannya, Bank Negara.
Antara cabaran yang sukar dilupakannya apabila suaminya bekerja sebagai jurutera projek ke Sarawak untuk tugasan hampir enam bulan menyebabkan dia menguruskan keluarga seorang diri.
Ditanya cara pembelajarannya sehingga setiap semester mendapat Anugerah Dekan, dia berkata dia seperti pelajar lain, belajar dan memberi tumpuan di dalam kelas.
“Tetapi minat perlu ada kerana jika kita tak minat dalam sesuatu subjek, agak susah mendapat keputusan cemerlang.
“Memandangkan di dalam kelas, saya yang paling senior, mungkin itu menyebabkan saya perlu belajar lebih daripada mereka,” katanya menambah kebanyakan pelajar terlalu mengharap kepada nota kuliah dan tidak berusaha mencari sendiri.
Nazariah berkata, pemikiran juga berbeza antara pelajar baru dengan senior kerana kebanyakan pelajar baru semuanya hendak mudah sekali gus menyebabkan mereka menjadi malas.
“Tetapi tidak bagi saya, kerana tujuan saya masuk universiti bukan berseronok, tetapi mencari ilmu dan pengalaman baru,” katanya yang tinggal di Telok Pulai, Klang.
Sementara itu, bagi penerima Anugeran Naib Canselor Sarjana Pentadbiran Perniagaan (Kewangan) Roslinawati Mat Ghaza, 24, berkata dia berulang-alik setiap hari dari rumahnya di Padang Luas, Besut Terengganu ke kampus UiTM di Kota Bharu.
“Dugaan itu menyebabkan saya tidak berputus asa dan berusaha bersungguh-sungguh sehingga saya mendapat CGPA 3.58,” katanya.
Khamis, Mei 13, 2010
Rahsia hati seorang ibu!
Apa pun panggilan, taraf dan martabat seorang wanita bernama ibu amat tinggi.
Pada saya ibu adalah seorang insan yang dianggap lemah tetapi punya jiwa kental, kuat semangat dan sarat dengan sifat-sifat penyayang, prihatin dan sanggup berkorban apa sahaja untuk orang-orang yang mereka kasihi dan sayangi.
Ibu adalah insan yang punya keteguhan hati dan selalu belajar serta menelaah dengan penuh kesedaran dan kelurusan hati.
Mereka juga wanita yang bersabar dan peka pada keadaan keliling serta selalu menjadikan Aishah, Mariam dan Khadijah sebagai contoh dalam meneruskan amanah dan tanggungjawab mengurus rumah tangga serta mencurah setia dan kasih kepada suami tercinta sehingga ke akhir hayat.
Daripada rahim mereka juga lahirnya para lelaki terhormat yang dididik dan diasuh menjadi ketua keluarga dan pemimpin yang bertanggungjawab.
Mereka wanita yang membangunkan rasa kasih sayang kepada orang lain tanpa berbelah bahagi.
Laksana seekor lebah yang hinggap di atas bunga-bunga yang semerbak harum dan ranting-ranting yang rapuh tetapi teguh, itulah ibaratnya nilai seorang ibu.
Mengambil contoh, ibu Nabi Muhammad SAW, Siti Aminah adalah wanita yang menghadiahkan seorang manusia, seorang pemimpin agung dan Rasul yang mulia kepada seluruh umat manusia di muka bumi ini.
Berapa banyak air mata yang berlinang di pipi seorang wanita, berapa banyak derita di hati seorang ibu tidak mudah difahami oleh seorang anak.
Lantaran air mata, derita dan harapan adalah makanan jiwanya dan hanya dia yang mengerti.
Kata-kata seorang ibu, adalah doa yang mujarab. Tidak perlu ditanya, seorang ibu tahu apa yang terbaik untuk anak-anaknya.
Sebagai anak, apakah pula yang terbaik kita berikan kepada seorang ibu? Cukupkah sudah bakti dan pengorbanan yang telah kita lakukan untuk membalas jasa mereka?
Biarpun tidak pernah meminta seorang ibu mengharapkan anak-anak mengenang budi. Menjadi insan soleh dan solehah agar dapat mendoakan kesejahteraannya apabila sudah kembali ke pangkuan Ilahi. Kenang dan hargailah jasa ibu. Luangkan masa untuk bersama mereka mendengar, memahami dan melayani mereka seperti mana mereka memeluk, membelai dan menjaga kita semasa kita kecil dulu.
Mengingatkan diri saya juga anda, jadilah seorang ibu yang bagaikan kupu-kupu, berperawakan indah dipandang, terbang dari satu bunga ke satu bunga dari satu tangkai ke satu tangkai dan dari satu taman ke satu taman.
Buat anak-anak, sama ada yang telah menjadi ibu atau gadis remaja yang sedang belajar menjadi wanita hayati fitrah kita sebagai makhluk istimewa ciptaan Allah SWT.
Kepada wanita yang saya panggil mak, kami anak-anak amat memahami beban perasaan yang ditanggung.
Namun kami bersyukur kerana mak menerima ujian ini dengan sabar dan tabah. Semuanya dugaan yang harus kita tempuh dan kita akan melaluinya bersama-sama.
Sejak lima bulan lalu kami nampak kepenatan mak menjaga kebajikan pak yang semakin uzur.
Tetapi Mak tidak pernah mengeluh. Kekuatan dan semangat pak terletak pada jiwa dan kasih sayang mak yang tidak pernah berganjak walaupun seinci.
Sebagai isteri, kasih dan setia telah terbukti, sebagai ibu, budi dan jasa mak tiada terbalas oleh kami. Terima kasih mak!
Semoga Allah panjangkan usia, sihat tubuh badan untuk kalian berdua terus memenuhi ruang hidup kami semua.
Menutup kata, jadilah seperti seekor lebah yang selalu memakan sesuatu yang baik dan mengeluarkan yang baik juga.
Jika ia jatuh di atas tangkai tidak memecahkannya, apabila menyentuh debunga tidak melukainya tetapi mengeluarkan madu tanpa menyengat malah terus terbang dengan rasa cinta dan hinggap bagaikan tali kasih pada mereka yang mahu disayanginya.
Semoga kita semua menjadi ibu terbaik di hati anak-anak dan isteri solehah di mata dan hati suami.
Salam
Jumaat, Februari 19, 2010
Anak tertekan ibu main kayu tiga
Harian Metro
KAJANG: Akibat terlalu kecewa dengan kecurangan dilakukan ibu sendiri yang sanggup bermain kayu tiga sebelum dicekup berkhalwat bersama lelaki lain awal pagi kelmarin, anak sulung wanita terbabit kini tertekan, selain mahu menamatkan pengajiannya di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA).
Malah, dia yang cuba bertemu dengan ibunya sehari sebelum kejadian untuk meminta sedikit wang perbelanjaan diherdik wanita terbabit dan langsung tidak dipedulikan. Keadaan menjadi lebih bercelaru selepas mengetahui kejadian itu apabila anak sulung wanita berkenaan yang berusia 18 tahun tertekan dan tidak dapat menerima kenyataan ibunya sanggup berbuat demikian semata-mata kerana terlalu mabuk cinta dengan suami orang. Menceritakan kejadian itu, bapa pelajar terbabit yang enggan dikenali berkata, anaknya itu cuba bertemu dengan ibunya itu, namun dia dimarahi membuatkannya menjadi semakin tertekan. “Anak sulung saya pergi ke rumah disewa ibunya untuk berjumpa dengannya meminta wang bagi membeli sedikit keperluan pengajiannya. “Bagaimanapun, mereka bertembung di luar rumah dan isteri saya mempersoalkan tindakan mencarinya di situ membuatkan anak saya terlalu kecewa dengan tindakan itu,” katanya. Menurutnya, disebabkan terlalu sedih, anaknya itu menangis teresak-esak berjumpa dengannya dan menceritakan semua kejadian yang menimpa dirinya. “Saya benar-benar sedih dengan kelakuan isteri yang sanggup memperlakukan anak sebegitu rupa dan perbuatannya itu boleh dianggap sebagai melampau,” katanya. Harian Metro kelmarin melaporkan seorang isteri ditahan bersama pasangannya yang juga suami orang ketika mereka berada di sebuah pangsapuri. Isteri berkenaan yang juga guru sekolah rendah berusia 40 tahun dan pasangannya berusia 45 tahun yang bertugas di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) ditahan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) kira-kira jam 3.30 pagi.
Wanita terbabit dikatakan mula bermain kayu tiga sejak beberapa bulan lalu selepas mengenali seorang lelaki ketika menghadiri kursus dan perbuatannya itu mula dihidu suami apabila dia dilihat sering mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan juga ibu.
Jumaat, Julai 10, 2009
Kenali personaliti ibu hamil

Utusan Malaysia
Kehamilan dan melahirkan anak merupakan anugerah Tuhan paling berharga untuk insan bergelar wanita. - Gambar hiasan
KEHAMILAN adalah nikmat hidup dan anugerah istimewa yang dikurniakan oleh Pencipta kepada kaum wanita.
Nikmat ini lebih menyerlah dengan kelahiran bayi sihat dan sempurna, apatah lagi jika kehamilan itu yang pertama.
Melalui proses kehamilan ada ketikanya ibu merasakan dia adalah orang yang paling bertuah dan ada ketikanya pula mahu diberi perhatian lebih daripada biasa.
Pakar Psikologi terkenal dari United Kingdom, Dr. Linda Papadopoulos berkata, apabila memiliki anak segala-galanya akan berubah secara semula jadi termasuk corak kehidupan seharian.
"Pada setiap kehamilan, ia berbeza-beza termasuk perubahan kelakuan dan kesihatan yang mana ia membantu menguruskan jangkaan serta emosi kita untuk menghadapi saat-saat getir untuk bergelar ibu.
"Dalam masa yang sama, ibu juga perlu mengenalpasti siapakah dirinya yang secara tidak langsung dapat membantu mengawal emosi, membuat keputusan penting dan menyesuaikan diri dengan situasi baru,'' ujarnya.
Bagi mendapatkan pengalaman yang menyeronokkan semasa hamil, Dr. Papadopoulos mendedahkan lima ciri personaliti yang paling kerap dialami bakal ibu iaitu:
Ibu yang sering runsing
Sentiasa mencari maklumat sebanyak mungkin daripada sumber-sumber yang senang diperoleh. Ibu yang sering runsing adalah seorang yang sangat berminat untuk memperoleh maklumat.
Sentiasa meminta nasihat daripada kawan-kawan serta ahli keluarga di samping membaca buku-buku yang berkaitan dengan kehamilan dan bayi. Ibu yang sering runsing juga akan ditenggelami pelbagai maklumat di sekelilingnya.
Malangnya, keputusan yang mengelirukan akan menjadikan ibu tersebut kurang yakin dengan keputusan yang telah dibuat di dalam situasi baru.
Mereka ini juga akan sering dilanda kebimbangan dan akan berubat sendiri (self-medicating) dengan maklumat yang terlalu banyak yang diperoleh daripada pelbagai sumber.
Jika anda seorang ibu yang kerunsingan atau jika anda mempunyai simptom-simptom akan menjadi seorang ibu yang kerunsingan, apa yang penting ialah mengingati bahawa perkara tersebut adalah semula jadi dan fikirkan bayi baru anda.
Untuk mengelakkan kekeliruan, kurangkan sumber-sumber maklumat yang anda memperoleh.
Cuba gunakan laman web seperti laman web kehamilan dan kunjungi pakar kesihatan kehamilan untuk mendapatkan maklumat yang tepat serta mengadakan perbincangan apa yang terbaik untuk anda dan juga bayi anda.
Ibu hebat
Ibu hebat merupakan pemimpin dalam kumpulan Menjadi lumrah, jika individu itu merupakan ibu hebat, dia akan menonjol daripada orang lain.
Mungkin dia adalah orang pertama yang akan hamil di kalangan rakan-rakan dan pada masa telah membaca banyak buku mengenai kehamilan, pergi kelas atau ini merupakan kehamilan kedua atau ketiga mereka.
Untuk pengetahuan bersama, ibu hebat juga merupakan seorang yang akan memberi nasihat tentang kehamilan dan bagaimana menjadi seorang ibu. Mereka juga sering berkongsi pengalaman tanpa sebarang keraguan.
Jika anda ibu hebat anda cenderung untuk membandingkan bayi anda dengan peristiwa penting seperti tendangan pertama, perkataan pertama dan langkah pertama.
Ibu hebat juga seharusnya cuba mengingati bahawa setiap kanak-kanak adalah seorang individu tanpa mengira bagaimana kompetitifnya keadaan sekeliling.
Sebagai ibu, terdapat banyak pilihan yang boleh dibuat bermula dari mana memperoleh bayi sehingga bagaimana memberinya makan.
Perkara yang penting ialah membuat keputusan yang tepat untuk diri sendiri dan juga bayi.
Ibu yang profesional
Profesional dari segi nama dan semula jadi. Bagi seorang ibu yang profesional, dia amat teratur, rasional serta menjadi seorang pengikut yang setia terutama sekali yang berkaitan dengan bayinya.
Dia akan melahirkan bayi di hospital dan dikelilingi dengan peralatan yang canggih, doktor dan segala kelengkapan lain yang berkaitan sebagai persediaan jika menghadapi sebarang komplikasi ketika hendak bersalin.
Ketika inilah dia akan mengikuti nasihat daripada orang alim ulama dan tidak mengambil peduli mengenai cerita-cerita mitos.
Jika anda seorang ibu yang profesional, perkara yang paling penting dilakukan ialah bertenang.
Persediaan adalah penting. Dalam hal ini, biarlah bidan atau doktor pakar yang memimpin anda.
Kebanyakan ganjaran untuk ibu-ibu datangnya daripada pengalaman-pengalaman serta peristiwa-peristiwa yang tidak diduga.
Ibu sejati
Ibu sejati merupakan ibu semula jadi. Sebagai seorang ibu yang sejati, dia lebih suka untuk melalui detik-detik kehamilan dalam suasana yang sederhana.
Ibu sejati juga suka dengan cara dan ramuan tradisional serta menginginkan keselesaan bayi mereka seperti berada di rumah sendiri.
Jika anda seorang ibu yang sejati, apa yang anda percaya adalah satu daya penggerak yang penting dalam hidup. Tetapi sebagai seorang ibu, anda sekarang memikul bertanggungjawab bukan sahaja terhadap diri sendiri tetapi ke atas bayi anda juga.
Anda perlu memastikan segala keinginan peribadi anda diseimbangkan dengan keperluan anak anda. Sebagai seorang ibu yang sejati juga anda perlu berbincang dengan bidan ataupun pakar dalam usaha memberikan yang terbaik buat anak anda.
Ibu yang tidak runsing
Ibu jenis ini melalui kehidupan dengan tiada sebarang kerisauan atau kebimbangan. Ia seperti menjelajah seluruh dunia, melompat dari kapal terbang, terjun cenuram tanpa berkelip-kelip dan akan menyambut hari ulang tahun kelahiran anak dalam situasi yang sama.
Jika anda seorang ibu yang tidak rungsing, ia bagus untuk membayangkan pengalaman-pengalaman yang menyeronokkan sebagai seorang ibu dan penting juga untuk menguruskan segala jangkaan agar bersedia untuk mengalami kesakitan luar biasa atau kesakitan yang tidak dapat dielakkan.
Sekiranya sudah bersedia menjadi seorang ibu, kunjungi bidan atau doktor pakar secepat mungkin selepas mendapati diri hamil.
Isnin, Mei 25, 2009
Isteri, ibu dan pekerja
Wanita bekerjaya perlu pandai menyeimbangkan masa antara kerjaya dan keluarga.
Dari pagi sehinggalah lewat petang, mereka sibuk merancang, mengurus dan membina masa depan empayar kerjaya. Ini membuatkan sesetengah urusan yang wajib dipikulnya di rumah dilepaskan kepada pembantu rumah.
Anak-anak dan suami pula merasakan diri mereka terabai gara-gara kerjaya yang dihambat oleh ibu dan isteri. Pengabaian dalam aspek kekeluargaan itu berkaitan tentang penjagaan, penyediaan makanan dan kualiti masa dengan anak-anak.
Soalnya, adakah wanita bekerjaya hari ini masih dihimpit masalah yang sama atau mengganggap pengurusan keluarga seharusnya dibahagikan sama rata dengan suami?
Bagi Puan Sri Maimon Arif Patail yang mempunyai kerjaya hebat, beliau menolak kenyataan bahawa wanita kerjaya seringkali mengabaikan tanggungjawab sebagai isteri dan ibu.
"Sejauh mana bebanan kerja yang ditanggung, ia bukanlah penghalang untuk seseorang wanita kerjaya terlepas daripada tanggungjawab menjaga keluarga dan anak-anaknya," katanya