#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Isnin, Disember 28, 2009

20 sebab kenapa lelaki tak kawin

20 Sebab Lelaki Tak Kawin...hehehe

1."Duit lum cukup lagi". Pompuan mana tahu susahnya laki nak kumpul duit nak bayar mas kawin le? hantaran la. Dah tu mas kawin & hantaran tu letak tinggi mengalahkan artis. Cam nak jual anak jer. Kita makan megi jer nak kumpul duit tu bukannya pompuan tau. Megi pun dah nak naik harga!

2. "Nak beli kereta dulu baru nak kahwin". Takde keta pompuan pun pandang kita sebelah mata jer . Pompuan karang ni mana yang tahan turun naik bas? Jatuh standard kalau naik bas tu.. .

3. "Susah la nak cari yang berkenan dihati". Memang susah pun. Pompuan sekarang ini ?da duit abangku saying, takde pitis sayangpun abis!

4."Tak datang seru lagi kot". Awek pun tak de lagi? camana nak kahwin.

5."Banyak sangat halangan". Banyak sangatla procedure karang ni. Nak kena masuk kursus le. Ujian HIV le. Pastu ada keluarga si dia tak sukakan kita. Nak ajak kawin kat Siam dia tak nak!

6."Belum bersedia la". Nak pikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga ini amat berat.
Pompuan apa tau! Karang ni tanggungjawab terhadap diri sendiri lagi pun belum terlaksana.

7. "Ilmu tak cukup la". Ilmu batin tu memang la dah cukup sejak dapat ?impi basah? yang pertama tu kita dah expert. Tapi ilmu rumahtangga? soal-soal pompuan belum khatam lagi. Kang rumahtangga huru-hara.. orang salahkan kita gak!

8."Kahwin nanti tentu susah nak kena tanggung keluarga lagi, Kalau dapat isteri yang 2 x 5 je.Kena bimbing pulak lepas tu nak kena tanggung semua dosa isteri, dosa sendiri tak tertanggung nie pulak nak tanggung dosa isteri". Berat tanggungjawab ni. Bukan senang yang pikul dosa orang. Dosa sendiri pun tak terpikul. Kalau dapat isteri yang memahami tu ok gak.

9."Dah mencubalah tapi telah dikecewakan". Pompuan memang suka mengecewakan lelaki. Pantang nampak laki kaya jer? tak kira ler laki orang ker?.duda orang ker? terus tinggalkan kita.

10."Banyak perkara nak kena fikirkan terlebih dahulu la". Memang banyak .. Tangungjawab lelaki ni lebih besar. Pompuan semua laki yang tanggung. Belum kawin bapa & saudara lelaki yang tanggung. Dah kawin, suami lak tanggung.

11."Jodoh tak sampai lagi kot". Dah berusaha tapi asyik kena reject jer. Tah apa yang pompuan dok cari tu !!

12."Perempuan nie peliklah kalau dia suka kat kita tapi tak habih2 nak merajuk dan marah macam kita nie suka sangat" . Pompuan ini sikit-sikit majuk. Anak kucing dia ilang sehari pun dia majuk. Macam la kita yang curik anak kucing dia tu. Dah tu nak pujuk kena beli hadiah , bawa jejalan, makan-makan? .abis tu bila duit kita nak cukup untuk kawin!

13. "Dah bagitau dah, nie kita suka dan nie kita tak suka, tapi masih dia buat juga yang kita tak suka". Pompuan selalu suka buat apa yang kita tak suka. Macam mana kita boleh tahan kalau kawin nanti!!

14."Saya takut la nak bercinta nanti terluka susah la". Sebenarnya dah memang terluka. Cuma pompuan jer buat tak tau!!

15."Dia nie suka pasang ramai org sangat". Haah? dia banyak kekawan lelaki. Kita ni duk lam waiting list dia jer.

16. "Dia memang banyak helahlah kejap suka kejap tidak". Pompuan memang camtu..

17. "Nak carik yang solehah lah". Dah jumpa tapi dah berpunya?.Takkan nak rampas orang punya kot.

18. "Masalah la". Pompuan suka menjadikan masalah kecil menjadi besar.

19. "Nak sambung belajarlah awek saya tu ader master atau phd malu la". Takkan kita yang ada SPM ni jer nak terhengeh awek tu. Siang-siang lagi mak bapa dia dah reject.

20. "Saya suka sangat kat dia, tapi dia tak suka kat saya". Pompuan suka bermain-main ngan hati lelaki yang suka kat dia

--

(\__/)
(='.'=) This is Bunny. Copy and paste Bunny into your
(")_(") signature to help him gain world domination.

Ahad, Disember 27, 2009

Tanda awal pendarahan

Berpunca kedudukan plasenta di bawah rahim

DOKTOR, saya berumur 32 tahun dan sedang hamil anak kedua (sekarang sudah 33 minggu). Awal November lalu saya dimasukkan ke hospital selama lima hari kerana ada sedikit pendarahan. Saya diberitahu bahawa plasenta berada di bawah dan menutup sedikit pintu rahim. Doktor memberitahu jika ada pendarahan lagi, saya perlu tinggal di hospital sehingga bersalin. Saya ingin tahu apa yang menyebabkan pendarahan itu? Adakah kerana tekanan ke atas plasenta atau kaitan dengan bayi yang mungkin menekannya? Kenapa ia boleh bergerak ke bawah?

HANNA


Puan kurang bernasib baik kerana plasenta puan berada di segmen bawah rahim atau dikenali sebagai plasenta praevia.

Majoriti besar plasenta berada di segmen atas rahim iaitu di dinding depan atau belakang. Apabila embrio terbentuk selepas persenyawaan, embrio ini akan turun ke dalam rahim untuk hidup dan berkembang menjadi janin. Masalahnya jika embrio ini menempatkan dirinya di bahagian segmen bawah rahim dan bila janin dan uri terbentuk dan berkembang ia boleh menutupi pintu rahim dari dalam.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan embrio ini ‘suka’ duduk di bahagian bawah. Contohnya ialah selepas Caesarean, D&C, pembedahan pada rahim seperti fibroid, kandungan kembar dan diabetes. Umur lebih dari 40 tahun juga dikaitkan dengan plasenta praevia.

Jika puan mengalami plasenta praevia jenis 3, bermakna seluruh lubang pintu rahim itu ditutupi oleh plasenta yang rendah ini. Kebiasaan plasenta berlaku pendarahan sedikit dalam lingkungan 32 hingga 36 minggu. Saya selalu memberitahu pesakit ini adalah tanda amaran awal sebelum tumpahan yang lebih banyak dan serius berlaku dalam lingkungan 36 hingga 38 minggu. Pendarahan ini berlaku bukan berpunca kepada tekanan kepada plasenta.

Pendarahan ini berlaku disebabkan segmen bawah rahim ini mula ‘terbentuk’ atau dalam perkataan lain segmen bawah menipis disebabkan oleh kontraksi rahim sepanjang kandungan ini. Rahim mula ada kontraksi seawal 28 minggu. Plasenta yang melekat di bahagian bawah ini mula tersiat daripada dinding rahim, maka berlakulah pendarahan tadi.

Selalunya doktor akan menasihatkan pasangan jangan melakukan hubungan intim waktu ini, melakukan kerja berat kerana takut ia akan menyebabkan kontraksi berlaku. Oleh kerana itu kadangkala doktor akan menasihatkan pesakit berehat di hospital sehingga tarikh pembedahan caesarean. Dengan cara ini tindakan segera akan diambil jika perdarahan berlaku. Puan, kita tidak boleh samakan kandungan sekarang dengan kandungan sebelumnya.

Selain itu, jika puan mengalami rasa kebas ia adalah biasa bagi wanita yang mengandung. Ia hanyalah masalah kecil dan sementara. Ini berpunca daripada urat sarat di tangan dan kaki tersepit kerana air tersangkut ketika mengandung. Tidak membawa kemudaratan kepada puan dan bayi.

Bentuk kaki bantu imbang tubuh

Oleh Hafizah Iszahanid


Saiz tak sempurna, salah cara berjalan punca sakit belakang

SEPASANG kaki milik anda bukan hanya untuk berjalan, berlari atau melompat. Sepasang kaki itu juga akar kepada kesempurnaan kesihatan.

Walaupun setiap orang memiliki sepasang kaki, tetapi setiap kaki tidak sama. Ada individu yang memiliki ukuran kaki berbeza atau gerbang tapak kaki yang tidak serupa. Ada individu yang tidak memiliki gerbang tapak kaki langsung.


Bentuk kaki mempengaruhi lenggang lengguk anda berjalan. Bentuk kaki yang tidak sempurna saiznya akan mengganggu keseimbangan seluruh tubuh. Sama seperti prinsip asas kejuruteraan, tapak yang tidak kuat tidak berupaya menampung beban. Pergerakan sendi yang tidak normal boleh menjejaskan pergerakan sendi lain yang normal.

Kaki yang tidak sempurna saiznya atau cara berjalan yang tidak menggunakan seluruh kekuatan kaki akan menyebabkan individu itu sakit belakang. Ada kalanya, sakit belakang yang berpanjangan sebenarnya berpunca daripada saiz kaki yang tidak sempurna atau cara berjalan yang tidak betul.

Ketua Pengarah Eksekutif eChiro Lab, Edward Yong berkata kaki yang tidak seimbang memberi kesan pada lutut, kawasan pelvik dan tulang belakang yang dikenali sebagai kesan rantaian kinetik.

Mesin imbasan tapak kaki.

“Setiap orang lahir dengan perbezaan bentuk gerbang kaki dan bentuk kaki kerana semua itu diwarisi secara genetik. Namun, apabila kita tahu ketidakseimbangan itu menjejaskan postur tubuh malah menjejaskan kesihatan dalam jangka masa panjang, langkah pemulihan perlu diambil,” katanya.

Yong berkata, ketidakseimbangan dalam postur tubuh akan membuatkan kaki kerap tergelincir daripada kasut. Manakala mereka yang memiliki gerbang kaki yang tinggi cenderung untuk mengalami sakit tengkuk dan bahu.

“Ada kalanya, gerbang kaki berubah kerana tulang kaki. Misalnya, wanita yang kerap menggunakan kasut tumit tinggi memiliki gerbang yang tinggi,” katanya.

Jelas Yong, bentuk kaki yang tidak sempurna boleh menjadi punca seseorang itu mengalami masalah pinggul, lutut (arthritis dan osteoarthritis), masalah tumit, sakit belakang malah kadang kala mungkin melangkaui hingga radang pada tendon.

Postur tubuh sempurna bermula dengan sepasang kaki.

Manakala tekanan pada tulang di paha (tibia dan femur) boleh menyebabkan lutut juga tertekan dan mungkin menyebabkan pelvik dan tulang belakang teralih. Jika tekanan itu lebih kerap pada sebelah bahagian badan saja, ia menyebabkan paras pelvik antara tubuh kanan dan tubuh kiri tidak sama.

Pergerakan pelvik yang tidak sama menyebabkan tekanan pada otot dan tisu yang kemudiannya menyebabkan sakit belakang yang kronik.

Justeru pelapik pemulih (corective orthotics) biasanya menjadi pilihan bagi mereka yang ingin memperbaiki postur dan keseimbangan tubuh.

Jelas Yong, pelapik pemulih dibuat khas untuk individu dan ia dihasilkan selepas imbasan tapak kaki dibuat. Di Malaysia, antara teknologi imbasan tapak kaki terkini adalah menerusi imbasan tapak kaki yang dibina sejak 1994 oleh RSscan Antarabangsa.

Mesin imbasan ini memiliki kelajuan dan mempunyai resolusi tinggi yang boleh rakam lebih 500 imej dalam masa sesaat selain mampu menganalisis agihan tekanan atau paksaan tekanan yang ditanggung sepasang kaki.

“Menerusi imbasan tapak kaki, lenggang lenggok dinilai. Analisa lenggang lenggong adalah perincian cara anda berjalan,”katanya.

Jelas Yong, mesin imbasan kaki boleh menangkap hingga 1,500 imej kaki ketika melangkah. Daripada situ bebanan kaki anda boleh diketahui. Imbasan tapak kaki juga boleh memberitahu berapa berat beban yang anda tanggung dan adakah cara anda berjalan itu berpotensi memberi masalah kepada sistem tubuh anda.

“Melalui imbasan tapak kaki kami boleh mengetahui mengapa seseorang itu kerap berhadapan dengan kesakitan pada bahagian pinggul atau lutut,”katanya.

Daripada analisa itu juga, pelapik pemulih dibuat. Pelapik pemulih juga bukan hanya untuk mereka yang berhadapan dengan masalah ketidakseimbangan postur tubuh tetapi juga pesakit diabetes. Malah, jika masalah ketidakseimbangan postur tubuh dikesan awal, pelapik pemulih boleh dipakai sejak seawal usia, misalnya sejak berusia 10 tahun.

Menstabilkan dan menyeimbangkan kaki melalui pelapik pemulih membantu mengurangkan kesakitan pada lutut terutamanya akibat beban berat tubuh yang ditanggung.

INFO: Siapa yang memerlukan pembentukan semula kaki?

  • Mereka yang ada masalah bahagian bawah tulang belakang
  • Berhadapan dengan masalah pinggul
  • Masalah lutut - sakit seperti arthiris dan oesteoarthritis
  • Masalah tumit dan kaki

Khamis, Disember 17, 2009

AGAMA Pemberian mahar menandakan tanggungjawab suami

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Saleh

KADAR minimum mahar bagi orang kebanyakan (tidak termasuk puteri Sultan, kerabat dan orang besar) bernilai RM300 yang ditetapkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) bagi setiap akad pernikahan bermula 2010 bukan satu beban kepada setiap ketua rumah tangga yang mampu menunaikan tanggungjawab sebagai suami.

Seiring nilai mata wang yang bertambah besar dan keperluan menguruskan majlis akad, nilai itu masih dianggap rendah dan tidak menjadi sebab sesebuah perkahwinan tidak boleh didirikan. Malah, tidak pernah ada keluhan mengenai ketidakmampuan menyediakan mahar daripada pihak lelaki yang ingin berkahwin.

Bebanan sebenarnya ialah wang dan barang hantaran, kos pelamin, bilik pengantin, persalinan, solekan, cenderahati untuk tetamu dan kenduri kahwin yang sering kali diadakan melampaui kemampuan sebenar.

Hakikatnya, mahar tidaklah menjadi sumber kewangan bagi setiap isteri yang baru dikahwini untuk memulakan hidup berumahtangga kerana hikmah mahar adalah sebagai penghormatan terhadap wanita yang tidak boleh dimiliki sebagai isteri secara percuma.

Sebab itu juga, jumlah mahar tidak semestinya lumayan tetapi sebaik-baiknya mesti dengan kadar yang mampu dan disenangi pihak yang memberi. Ia sekali gus menghapuskan adat jahiliah yang merendahkan golongan wanita dan betapa mereka boleh ‘dimiliki’ dan ‘dicerai’ sesuka hati tanpa perjanjian dan kerelaan kedua-dua belah pihak.

Ia bukan juga jual beli barangan di pasar yang hanya mempunyai ‘tawaran’ dan ‘penerimaan’ seperti didakwa oleh pejuang hak wanita Barat, sebaliknya simbolik penyerahan tugas dan tanggungjawab daripada wali wanita kepada bakal suami yang dikahwini melalui waad berserta saksi dan lafaz ijab dan qabul yang jelas.

Mahar juga sebagai tanda kesanggupan bakal suami untuk memikul tanggungjawab membina rumah tangga dan persiapan awal pemberian nafkah zahir serta kewajipan yang wajib dilakukan bermula saat pertama diijabkabulkan. Hikmah pemberian daripada pihak lelaki ialah supaya kita memahami bahawa suamilah yang diperintahkan untuk menyediakan segala keperluan kepada si isteri, bukan sebaliknya.

Yang sepatutnya menjadi wala’ dalam perbincangan hari ini bukanlah kadar mahar yang sepatutnya ditentukan tetapi mengenai pemahaman seorang lelaki yang bakal bergelar suami. Islam juga tidak menetapkan kadar terendah, sederhana atau paling tinggi dalam pemberian mahar kerana tidak mahu membebankan umat, sebaliknya memberikan kebebasan kepada kedua-dua pihak yang ingin mendirikan rumah tangga berbincang kadar yang sepatutnya mengikut kedudukan bakal isteri dan kemampuan bakal suami.

Hari ini, perbincangan antara kedua-dua belah pihak selalunya lebih menjurus kepada kadar hantaran dan bukannya mahar.

Inilah yang menyebabkan segelintir pasangan yang ingin berkahwin terpaksa menangguhkan atau melupakan hasrat mendirikan rumah tangga sehinggalah pihak lelaki dapat mencukupkan wang hantaran yang diminta untuk belanja kenduri di sebelah pihak perempuan, sedangkan pihak lelaki juga harus menyediakan sejumlah peruntukan untuk kenduri di pihak lelaki.

Bencana dalam adat dan budaya yang melampaui kehendak hukum masih tidak begitu diawasi oleh umat Islam hari ini, termasuk dalam soal mendirikan rumah tangga. Rukun nikah kurang dihayati, mahar dan walimah pula mengurangkan pahala ibadah kerana syarak tidak ditepati.

Ia mungkin menjadi sebab banyak ‘masjid’ yang ‘retak’ kalaupun tidak ‘runtuh’ kerana ‘jemaah’ nya yang sakit dan tidak diubati. Kalau ‘imam’ nya elok, ‘makmum’ pula yang tidak mengikut, ada pula yang ‘makmum’ nya patuh tetapi ‘imam’ pula yang tidak boleh diturut.

Sewajarnya faktor material tidak boleh menjadi sebab pernikahan tidak mampu dilangsungkan tetapi kemampuan menjalankan tanggungjawab itulah yang wajib menjadi pertimbangan sebelum mendirikan perkahwinan.

Golongan wanita diletakkan di tempat yang tinggi dan tiada kurangnya daripada lelaki, jadi mereka tidak harus merendah diri sehingga mengabaikan perintah agama demi lelaki yang dicintai. Risiklah peribadi bakal suami agar tidak tersalah pilih pemimpin yang tidak sepatutnya ditaati.

Ahad, Disember 13, 2009

Berlian, kristal paling berharga

Oleh Hazirah Che Sab



Hope - kini dipamerkan di Amerika Syarikat.

Koh-i-noor, berlian paling popular di dunia seberat 186 karat

JIKA disebut barangan kemas, pasti ramai yang dapat membayangkan gemerlapan emas, selain berlian yang disifatkan pasangan secocok.

Ramai yang memuji berlian dan terpesona dengan kilauan memukaunya. Seri berlian tidak pernah suram dan kilauannya sentiasa mampu membuatkan sesiapa saja ingin memilikinya, khususnya wanita.

Mungkin kerana inilah, seperti lirik lagu nyanyian aktres Hollywood, Marilyn Monroe bahawa ‘Diamonds Are The Girl’s Best Friend’ (Berlian Teman Baik Wanita). Tetapi awas, yang memuja dan memburunya bukan saja wanita dan pedagang intan berlian, sebaliknya kumpulan mafia serta penjenayah di seluruh dunia yang mengetahui betapa tingginya nilai berlian ini.


Apakah istimewanya berlian ini sehingga mendominasi dunia perhiasan barang kemas?

Penolong Pengurus Komunikasi Pemasaran Habib Jewels Sdn Bhd (Habib Jewels), Yasheedah Yashaiya, berkata ramai yang tidak tahu, keunikan berlian itu terletak kepada kewujudan dan ciri-ciri istimewa kristal berharga ini.

“Berlian amat sukar diperoleh. Ia mengambil masa beribu-ribu tahun untuk terbentuk dan terletak terlalu jauh dalam perut bumi. Ia cuma naik ke permukaan jika berlaku letusan gunung berapi.

“Malah, dalam tanah seberat 2.5 tan, hakikatnya cuma satu hingga dua karat berlian saja yang ditemui. Ia satu-satunya perhiasan yang mempunyai warna pelangi. Oleh itu, tidak betul sama sekali jika ada yang beranggapan berlian tiada harga di pasaran,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun, bukan semua berlian sama dan mengikut Yasheedah, berlian dinilai dengan empat C iaitu colour (warna), clarity (kejelasan), cut (potongan) dan carat (karat - berat berlian). Lebih berat bermakna lebih tinggilah nilai berlian berkenaan.

Katanya, perkara paling dititikberatkan yang menyerlahkan keunikan berlian ialah cara potongan.

“Potongan paling sempurna ialah Hearts on Fire kerana ukuran setiap penjuru sama. Memandangkan berlian adalah bahan paling keras, yang digunakan untuk memotong berlian ialah berlian juga.

“Satu perkara mengenai berlian yang kerap disalah sangka, ialah ia tidak retak. Ia boleh retak dan berlian kalis calar,” katanya.

Yasheedah berkata, setiap berlian perlu melalui proses ‘Kimberley’ untuk memastikan ia bukan diperoleh secara haram - selalunya daripada keringat penduduk di benua Afrika yang dijadikan hamba untuk melombong berlian.

Berlian paling terkenal dunia ialah Koh-i-noor, yang pada asalnya seberat 186 karat tetapi kini dikatakan sekitar 106 karat. Ia diperoleh daripada sebuah keluarga India pada 1304 dan diwarisi beberapa generasi. Ia bagaimanapun dicuri pada 1739.

Selain itu, berlian lain yang turut terkenal - Hope, seberat 45.52 karat yang kini dipamerkan di Muzium Smithsonian di Washington, Amerika Syarikat. Ia mula muncul dalam perdagangan berlian pada 1830. Ia dibeli oleh seorang ahli perbankan, H Ph Hope, dan dipercayai berlian itu dipotong daripada batu permata yang lebih besar.

Dresden, seberat 41 karat yang berkemungkinan besar berasal dari India. Ia dipotong dalam bentuk buah pir dan mempunyai warna hijau zamrud yang cantik. Berlian terkenal lain ialah The Cullinan I, Star of Africa - berlian putih bentuk buah pir dengan berat 520.02 karat; Sancy - berlian seberat 55 karat yang juga dipotong dalam bentuk buah pir dan Tiffany yang diperoleh daripada Lombong Kimberley yang terkenal di Afrika Selatan.

INFO:

  • Berlian ialah kristal yang terbentuk daripada karbon
  • Dianggap cincin pertunangan tradisi di kebanyakan negara dunia dan hadiah ulang tahun perkahwinan ke-60 dan ke-75.
  • Sebahagian berlian bercahaya biru atau jingga apabila didedahkan kepada sinaran lampau ungu.
  • Berlian tertua berasal dari India
  • Berlian merah jambu mudah ditemui di lombong berlian di Australia.
  • Kira-kira 80 peratus perdagangan berlian di dunia dikawal oleh syarikat DeBeers yang memastikan nilainya pada paras konsisten.

Janda gugat bahagia

Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my

Rumah tangga berantakan selepas suami berkenan wanita lain

Soalan:
PERKAHWINAN saya biarpun baru berusia tiga tahun dan dikurniakan dua anak, terbukti sebegitu mencabar untuk saya. Saya tidak menyangka diuji sehebat ini. Ketika hamil anak kedua, suami berkenalan dengan seorang perempuan di laman sembang. Semuanya berpunca kerana suami terasa dicabar apabila saya mengesyaki dirinya. Saya mula curiga jika sebelum ini telefon bimbitnya tidak disorok tetapi secara tiba tiba dia melakukannya dan sering pulang lewat dari kerja. Jika di rumah pun, dia lebih banyak melayari laman sembang di internet.

Rahsianya terbongkar dan kami telah menyelesaikan masalah kami dengan baik dan perempuan itu tidak mahu lagi berhubungan dengan suami saya sebaik tahu dia sudah berkahwin. Kini masalah sama berulang dengan wanita lain - janda berusia 24 tahun. Untuk pengetahuan Umi, suami berusia 26 tahun dan saya, 29 tahun. Masalahnya, wanita ini enggan berundur biarpun selepas mengetahui status suami.

Saya dan suami sudah ke pejabat agama untuk permohonan cerai namun masih belum menghantar borang itu untuk didaftarkan. Saya dalam dilema sama ada untuk meneruskan perkahwinan ini atau berpisah dengan suami. Ya, saya masih sayangkannya dan mengenangkan anak-anak masih kecil berusia satu dan dua tahun. Apa harus saya lakukan?

Isteri Sedih

Jawapan:
SALAM ceria untuk Isteri Sedih. Perkahwinan adalah satu kontrak yang paling mahal dalam hidup pasangan dan paling sukar untuk menjaganya. Kerana kontrak ini sangat terbuka pada gangguan-gangguan dan cabaran terutama dorongan iblis yang tugasnya adalah menghancurkan semua kebahagiaan manusia yang mentaati Allah SWT. Iblis sentiasa menjadi musuh kita dan jelaslah keadaan anda yang mana suami masih mencari layanan dari luar rumah daripada menjaga dan memberi layanan terbaik kepada isteri dan anak-anaknya.

Cabaran ini boleh datang dari dalam diri kita sendiri atau datang daripada pasangan atau datangnya dari orang ketiga berbentuk bisikan manusia dan bisikan iblis. Inilah yang sedang terjadi pada anda dan suami.

Oleh itu, puan yang diberi kesempatan menjadi isteri dan jadi ibu walau dalam tempoh singkat, terimalah hadiah dari Allah SWT ini sebagai kesempatan bagi anda mengecapi bahagia sebagai sebuah keluarga walaupun kini suami sudah terperangkap hasutan iblis dengan cinta nafsu yang tidak bertunjangkan kepada Allah SWT. Ini terbukti apabila dia tidak berhasrat untuk membaiki hubungan dengan anda sebagai isteri yang sah, malah terus memburu wanita kedua selepas terkandas dengan wanita pertama.

Persoalannya sekarang terserah pada anda. Sama ada mahu terus jadi isteri yang sabar dan membaiki diri dengan mencari sokongan tambahan ibu bapa, keluarga sendiri dan keluarga mentua atau mahu bebas daripada jawatan isteri dan sanggup bergelar ibu tunggal. Pilihan terletak di tangan anda. Jika anda berasa mampu hidup berdikari dengan anak-anak tanpa suami, dengan maksud ada pendapatan sendiri , ada rumah dan ada kemudahan untuk meneruskan hidup sendiri dengan sokongan keluarga dan mampu jadi hamba Allah SWT yang taat kepada-Nya, maka berpisah itu dapat memberi masa untuk kedua pihak menilai diri sendiri dan membaiki diri masing-masing. Mungkin juga disusuli kemampuan untuk berbaik semula. Atau, kemungkinan perpisahan itu memberi ketenteraman yang sudah lama hilang daripada hidup masing-masing lalu berasa lebih berbahagia hidup tanpa suami dan menjadikan perpisahan itu terbaik untuk anda.

Agama kita sendiri mensyaratkan setiap perkahwinan harus memberi ketenteraman dan kebahagiaan, cinta dan kasih sayang antara dua pihak. Anak pula hadiah terbaik pengikat kasih sayang dan menjadikannya lebih erat. Jika matlamat ini menjadi sebaliknya, maka apa faedahnya perkahwinan itu dikekalkan, apa faedahnya anda menyimpan cinta pada orang yang tidak lagi mencintai anda? Adalah paling rugi dan bodoh mencintai orang yang sudah membenci kita.

Pada pandangan Umi, perkahwinan ini sememangnya sulit dipertahankan jika yang berusaha membaikinya hanya sebelah pihak saja. Ini kerana, suami dan isteri itu pasangan yang ibarat kasut, kalau dicuci sebelah dan sebelah lagi sentiasa kotor, mana mungkin kita gembira memakainya dalam keadaan sebelah bersih dan sebelah kotor.

Atau diibaratkan sebuah kapal, suami adalah nakhoda kapal yang menentukan arah tuju pelayaran ada isteri adalah anak kapalnya. Mana mungkin anak kapal dapat melayarkan kapalnya tanpa usaha dan tindakan dan bantuan nakhodanya. Jika terus belayar, pasti kapal tidak dapat sampai dan berlabuh di pelabuhan sepatutnya. Malah lebih malang lagi kapal terus terapung tanpa haluan dan akhirnya tenggelam dipukul ribut di samudera.

Pada anda yang kapalnya masih boleh belayar, anda perlu bertindak sebelum kapal tenggelam dan anak kapal mati lemas secara percuma. Ini kerana nakhoda kapal sudah tidak berminat untuk terus belayar dengan anda kelasinya. Anda tidak perlu bimbang untuk terus hidup. Anda masih muda dan masih boleh mencari pekerjaan atau masih sempat belajar kemahiran untuk mencari nafkah. Bangunlah keyakinan bahawa semua kesulitan tidak kekal dan pasti akan berlalu dengan syarat anda mengubah gaya hidup anda. Allah SWT tidak akan mengubah nasib kamu jika kamu tidak mengubahnya. Yakinlah bahawa bumi ini Allah jadikan cukup untuk semua manusia dari Nabi Adam hingga kiamat. Keyakinan ini akan membuat anda merasa tenteram bahawa Allah SWT itu Maha Penyayang dan Maha Pengasih.

Jika anda fikir tidak boleh hidup tanpa suami, bermakna kasih sayang anda sudah nipis. Maka carilah semula kekuatan untuk berasakan kasih sayang Allah SWT itu tidak pernah kurang pada hambanya, hanya hambanya saja yang tidak merasakan kerana mereka terlalu mencintai manusia dan seluruh ini alamnya dengan melupakan pencipta-Nya. Yakinlah juga Allah SWT itu sangat adil, apa yang diberikan sesuai keadaan hamba-Nya, jika harta hilang akan diganti di akhirat, siapa dizalimi di dunia, akan dilayan sebaiknya di akhirat, siapa melakukan seksaan di dunia, pasti akan diseksa di akhirat. Sebab itu Allah SWT berpesan: “Tidak ada kezaliman pada hari ini, sesungguhnya Allah SWT cepat perhitunganNya.” (QS Ghafir:17).

Akhirnya, janganlah bersedih dengan masa lalu dan menunda kehidupan hari ini kerana takut akan hari esok atau kerana harapan saat indah di esok hari. Sebelum bertindak tanyakan pada diri anda, apa kemungkinan terburuk yang akan terjadi, kedua - siapkan diri anda untuk menerima dan menghadapinya kemudian, hadapi dengan tenang untuk menjadikan kemungkinan terburuk itu menjadi lebih baik. Selamat berjuang dengan istiqamah kerana Allah SWT.


Enggan terima jodoh orang kampung

Gadis berkerjaya, berfikiran moden mahu suami urban, bergaya

SAYA bukanlah golongan anak dara tua walaupun sudah berusia 28 tahun yang dianggap biasa pada zaman ini. Saya berkerjaya, lulusan luar negara dan saya adalah wanita bandar yang sukakan kehidupan kota. Saya berasal dari kampung dan keluarga pun masih memiliki nilai desa dan kemelayuan yang tinggi. Saya tidak ada masalah dengan hal itu kerana saya tahu asal usul saya.

Apa yang menjadi masalah apabila emak cuba menjodohkan saya dengan lelaki sekampung, anak jiran yang ada pertalian kekeluargaan biarpun ‘bau-bau bacang.’ Dia berkhidmat sebagai kerani dalam jabatan kerajaan di kampung.

Saya tidak mengenalinya, tetapi berdasarkan cerita emak, dia lelaki yang baik dan sopan santun. Saya bukanlah menghina lelaki itu, tetapi saya mahu mencari lelaki yang setaraf dengan saya dari segi pendidikan dan cita rasa.

Saya mahukan lelaki bergaya bandar atau urban seperti saya dan selesa hidup di kota. Keluarga lelaki itu awal-awal lagi sudah berpesan kalau berkahwin dengannya nanti, saya perlu minta bertukar bekerja di kampung sebab dia anak lelaki tunggal lima beradik dan perlu menjaga emaknya. Tentu saja saya tidak mahu kerana saya bekerja di syarikat swasta yang tiada cawangan di kampung. Sudah tentu saya kena berhenti kerja dan cari kerja lain. Nampaknya, awal-awal lagi keluarga lelaki itu sudah tunjuk belang hendak mengawal saya!

Puan, ayah tidak membantah dan tidak menyokong. Emak yang bersungguh-sungguh sukakan lelaki itu kerana keluarganya baik-baik dan dia juga baik dan kononnya kacak. Saya tidak peduli dengan kebaikan atau ketampanannya kerana mahu mengahwini lelaki yang memenuhi selera saya. Bagaimana saya mahu memberi penjelasan kepada ibu yang mahukan saya menikahi lelaki bukan pilihan hati?

Dara 28 Tahun.

JAWAPAN


Salam hormat buat Dara 28 Tahun. Umur tidak menjanjikan apa apa gelaran, kecuali manusia yang sibuk melabelkan umur dengan gelaran yang kadang kadang memalukan, kadang-kadang menghina dan menyinggung perasaan malah merendahkan. Gelaran seperti anak dara lanjut usia atau ‘andalusia,’ anak dara tua atau andartu adalah label dicipta manusia yang hatinya jauh hubungan dengan Allah SWT, yang tidak mengaitkan soal jodoh pertemuan dan ajal maut adalah dalam peta genggaman-Nya yang tidak dimaklumkan kepada manusia. Oleh itu, jangan bimbangkan itu walaupun usia anda baru mencecah 28 tahun.

Persoalan anda ialah soal membuat pilihan bagi meneruskan hidup di bumi Allah SWT. Pilihan ini dianggap penting kerana budaya melintasi gerbang perkahwinan menjadi penanda aras kematangan manusia dan kesempurnaan kehidupan bermasyarakat. Berpegang pada budaya berfikir inilah yang mendorong ibu anda mendesak anda untuk berumah tangga. Berdasarkan keyakinan inilah ibu bapa kadang-kadang berasa malu jika anda daranya lambat berkahwin kerana dianggap tidak laku lalu masuk ke gerbang ‘andartu’.

Faktor ini menguatkan lagi hasrat ibu untuk menjodohkan anda dengan jejaka pilihannya yang dirasakannya sesuai dengan kemahuannya. Tindakan dan desakan ibu menjadi lebih kuat kepada anda kerana ibu anda tidak pernah melihat atau dimaklumkan bahawa anda sudah punya calon sendiri.

Apatah lagi anda mungkin tidak pernah berbincang atau bercerita soal ciri-ciri calon suami idaman yang anda cari sama ada secara serius atau secara gurauan bagi melemparkan pandangan kepada kedua-dua orang tua anda terutama ibu anda. Ini kerana mana-mana ibu pun akan bimbang dan mungkin malu dengan persekitarannya kerana mempunyai anda dara yang belum berpunya sedangkan umurnya sudah layak berumah tangga, apatah lagi sudah bekerjaya.

Mungkin masyarakat persekitaran sudah mula bertanya-tanya dengan ibu mengenai anda, maklumlah dalam persekitaran di kampung pula. Berdasarkan kefahaman ini anda tidak boleh marah dengan tindakan ibu kerana mungkin juga dia mahu menimang cucu.

Apa yang wajar buat ialah berbincang secara terbuka dan ikhlas dengan bahasa yang santun berlandaskan rasa hormat yang tinggi di hati dengan ibu bapa berhubung dengan perkara ini. Anda boleh menyatakan pendirian anda dengan penuh hemah, tanpa berasa megah dengan apa yang anda miliki dan hajatkan, serta tidak menyatakan penolakan pada pilihan ibu sehingga membuat ibu bapa merasa tersinggung dan berkecil hati.

Sebagai anak yang sangat hormat dengan ibu bapa dan ‘berlesen’ rasa sayang yang tinggi kepada kedua ibu bapa, nyatakan mengapa anda harus tidak menerima cadangan ibu bapa. Nyatakan juga yang anda belum bersedia untuk berkahwin dan mencari pasangan yang tidak membuat terpaksa berpindah ke kampung. Nyatakan juga yang anda sangat sayang dengan kerja dan tempat kerja sekarang serta masa depan kerjaya anda dari segi pangkat, gaji dan jaminan lain yang dibekalkan oleh tempat kerja. Ditambah pula dengan faktor syarikat tiada cawangan di kampung.

Anda juga boleh menjelaskan betapa susahnya untuk mendapat pekerjaan sedemikian di tempat lain pada masa ini. Juga tidak salah jika anda mengakui bahawa anda sedang mencari pasangan yang selari dengan gaya hidup anda sebagai jaminan kelangsungan sesebuah rumah tangga dan keluarga. Adalah sangat bijak jika anda tidak mengatakan apa-apa kekurangan mengenai tokoh pilihan ibu anda itu seperti, orang kampung, pendapatan rendah dan kelulusan rendah dan lain-lain yang berbau menghina dan merendahkan dirinya! Malah tidak rugi jika memberikan sedikit kelebihannya seperti orangnya baik dan dan lain-lain yang positif.

Namun akhirnya, nyatakan yang anda belum bersedia untuk berumah tangga walaupun umur sudah cukup kerana mencari calon sesuai atau melanjutkan pelajaran atau merancang melakukan sesuatu projek besar dan lain-lain. Akhir sekali janganlah bersedih, kerana kesedihan hanya akan membuat anda lemah dalam beribadat, membuat anda malas berjihad, membuat anda putus harapan dan mendorong anda untuk buruk sangka. Rasa sedih juga akan menjadi akar penyakit jiwa, sumber penyakit saraf, boleh menghancur jiwa dan pencetus keraguan dan kebingungan.

Langkah paling baik, belajarlah mengatakan tidak dan rawatlah hati dan perasaan menggunakan apa yang kita ada. Kita masih ada al-Quran, ada doa, ada solat, ada sedekah, ada kesempatan berbuat baik. Jangan pernah menyerah dengan kebimbangan dan kesedihan, lawanlah dengan solat, bertasbih, menulis dan membaca dan menulis, terima tamu, silaturahim dan berdoalah. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada-Ku, nescaya akan Aku perkenankan bagimu (QS Al-Mukmin:60). Kemudian Allah SWT menjamin lagi menerusi firman-Nya dalam surah Al-A’raf: 55 yang bermaksud: “Berdoalah kamu kepada Rabb-mu dengan merendah diri dan suara yang lembut.”

Sesungguhnya Allah SWT tidak menyukai orang yang melampaui batas. Dengan dua peringatan itu diharap anda akan mampu membina keyakinan untuk memperjuangkan masa depan anda. Anda adalah apa yang anda pilih, maka pilihlah apa yang anda rasa mampu menggembirakan anda dan keluarga.

Bimbang dikecewakan lagi

Bersama Dr Rubiah K Hamzah (Pakar Motivasi)
bminggu@bharian.com.my

Duda takut bercinta semula selepas bercerai

Soalan:
SAYA duda 37 tahun dan tiada anak. Sudah lima tahun saya berpisah dengan isteri kerana tiada persefahaman. Saya ingin cuba kembali membina hubungan baru tetapi takut untuk memulakan kembali. Saya terfikir, mungkinkah saya akan dikecewakan seperti dulu. Malah pengalaman lalu bersama bekas isteri - bercinta sejak zaman belajar tetapi perkahwinan kami sempat bertahan lima tahun saja. Saya menyukai seorang perempuan di pejabat tetapi seperti takut untuk memulakan perhubungan. Apa pendapat puan?
DUDA TAKUT

Jawapan:
Salam semangat buat tuan yang bergelar duda. Tuan adalah hamba Allah SWT yang diuji dengan perceraian. Selama lima tahun anda sudah menamatkan episod perkahwinan pertama. Harus diingat, inilah ‘ sekolah’ perkahwinan pertama anda. Anda sudah kenal apa itu asam garam dalam perkahwinan. Anda juga sudah merasai dan mengalami pahit manisnya bercinta dan berumah tangga. Ini adalah pengalaman besar yang sudah pasti mematangkan anda untuk meneruskan hidup.

Sayangnya, anda mewarisi ‘ijazah’ dalam bentuk takut saja selama lima tahun. Sampai bila anda mahu terperangkap dengan rasa takut itu? Rasa takut yang tersimpan bermakna hubungan tuan dengan Pencipta kurang mesra. Akibatnya anda buruk sangka dengan Allah SWT, sedangkan Dia sentiasa memberikan yang terbaik buat hamba-Nya kerana kita adalah makhluk terbaik ciptaan-Nya dan paling dicintai Allah SWT.

Jadi, mana mungkin anda berasa terlepas daripada rasa cinta Allah SWT, sedangkan apa yang sudah dan akan terjadi pada anda, setiap saatnya diketahui dan dicatat Allah SWT sama ada yang anda nyatakan atau yang anda sembunyikan. Allah Maha tahu apa di dalam hati kita dan Allah SWT tahu apa yang di hadapan kita.

Perceraian yang anda alami bermakna anda bertemu dengan pasangan yang salah. Oleh itu anda diberi peluang untuk mencari gantinya dan mungkin dipertemukan dengan pasangan yang lebih baik. Sesuai dengan janji-Nya yang bermaksud: “Allah SWT tidak mengubah nasib sesuatu kaum selagi kaum itu tidak berusaha mengubah nasibnya sendiri.” Kuasa Maha Berkuasa yang melukis peta hidup kita sejak lahir hingga kita dijemput pulang oleh Penciptanya.

Oleh itu kita sebagai hamba tidak boleh buruk sangka dengan Allah SWT, sebab jodoh pertemuan di tangan Tuhan. Wajarnya kita berbaik sangka dengan Allah SWT. Orang yang baik sangka kepada Allah SWT tidak akan gagal. Pengakuan ini disemadikan dalam hadis yang bermaksud : “Aku sesuai dengan prasangka hamba-Ku kepada-Ku, maka berprasangkalah ia kepada Ku sesukanya.” Ini bermakna jika kita hamba-Nya berasa Allah SWT dekat, maka Allah SWT akan dekat, tapi jika kita berprasangka Allah SWT jauh, maka pastilah kita berasakan-Nya jauh lalu timbulkan pemikiran dan perasaan yang tidak positif dalam hidup kita. Oleh itu semak balik talian kita dengan Allah SWT.

Jika talian baik pasti kita berasa Allah SWT akan membimbing dan memberi petunjuk kepada kita dan memberi kekuatan untuk kita menjalani hidup yang lebih baik. Telitilah pesanan ulama ini : “Berharap adalah bahan penting untuk membangun kesabaran dan yang akan membantu orang untuk bersabar. Berharap bermakna berbaik sangka kepada Allah SWT. Berbaik sangka kepada Allah SWT kerana ini jaminan untuk tidak gagal.”

Yakinlah Allah Maha Penyayang pada hamba-Nya dan contoh cinta Allah SWT kepada hamba-Nya yang mengharap pertolongan daripada Allah SWT diberikan jalan keluar daripada semua kesulitan selepas ditemukan hambanya itu dengan kebuntuan, selepas pintu harapan tertutup, selepas kehabisan akal dan selepas tidak tahu lagi bagaimana mengakhiri tekanan dan masalah dan ujian terhadap dirinya.

Mengapa Allah SWT tentukan begitu? Tidak lain dan tidak bukan kerana Allah SWT mahu menjadikan kesulitan dan kebuntuan itu sebagai pendorong untuk manusia mengarahkan harapannya kepada-Nya dan terus membaiki prasangka buruk menjadi prasangka baik kepada Allah SWT.

Jika ini dapat anda lakukan maka anda akan berasa tenang dan lapang fikiran dan perasaan dan menjadi pendorong untuk anda melangkah membaiki diri dan kehidupan. Apatah lagi jika doa ini selalu dimunajat pada Allah SWT: “Ya Allah, berilah aku ganjaran terbaik daripada musibah yang menimpa dan gantikan bagiku sesuatu yang lebih baik daripadanya.”

Insya-Allah, Dia akan menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik darinya. Pandangan saya, anda sewajarnya mencari pengganti yang baru agar masa dan usia tidak terbuang begitu saja, kerana umur sangat mahal harganya, maka jalanilah ia dengan sabar kerana qadar itu tidak selalu sesuai dengan keinginan kita.

Namun dengan segala keterbatasan yang ada, kita tidak mampu memahami mengapa qada dan qadar harus seperti itu dan kita tidak ada pilihan untuk tidak melalui dan menerimanya, yang ada hanyalah kemampuan berusaha secara terbaik dan tidak mengulangi kesalahan masa lalu, Insya- Allah anda akan berjaya seperti pesanan hadis: “Barang siapa yang Allah SWT menghendaki kebaikan kepadanya, maka dia akan diuji.”

Maka beranikan diri untuk memulakan hidup yang baru tanpa takut dan ragu-ragu. Ini kerana kedua-dua perasaan itu adalah racun kepada semua rancangan baik, seolah-olah kita membunuh diri sendiri. Ingatlah pesanan ini yang bermaksud: “Dan, janganlah kamu membunuh dirimu sendiri.” (QS An-Nisa’ :29) dan “Allah mentakdirkan dan Allah melakukan apa yang Dia kehendaki.” Selamat merubah kehidupan dengan mencintai Allah SWT dalam setiap langkah anda.


Bedah payu dara meningkat

Oleh Suzan Ahmad
suzan@bharian.com.my


Pembedahan payudara sedang dilaksanakan.

Tidak semua wanita sesuai lakukan pembedahan kosmetik

KITA diciptakan Tuhan berbeza secara fizikal dan keinginan untuk cantik itu adalah sebahagian daripada naluri manusia. Justeru, kemajuan perubatan mengambil kesempatan menerusi penemuan moden seperti teknologi pembesaran payu dara.

Pakar bedah plastik dan kosmetik Asia dan Malaysia mengakui fenomena peningkatan jumlah wanita yang mahu menjalani pembedahan payu dara. Alasannya cukup mudah, inginkan penghidupan lebih berkualiti. Keadaan ini agak membimbangkan apabila peningkatan itu sama dengan pertambahan permintaan untuk pembedahan pembetulan akibat kegagalan pembedahan sebelumnya.


Pengerusi Simposium Pakar Bedah Payu Dara (ABAS), Dr Charles Randquist yang berkunjung ke Malaysia baru-baru ini mengakui ramai wanita kurang faham mengenai bidang tugas sebenar pakar bedah kosmetik.

“Ada yang menyangka pembedahan kosmetik seperti pembedahan kelopak mata boleh dilakukan pakar kecantikan, hakikatnya pakar kecantikan dan pengamal perubatan am belum cukup terlatih untuk melakukan pembedahan, termasuk menyedut lemak, membesarkan payu dara, atau pembedahan kosmetik lain seperti rekonstruksi,” kata pakar dari Stockholm, Sweden itu.

Realitinya, tidak semua wanita perlu atau sesuai melakukan pembedahan kosmetik.

Kata Randquist, pakar perlu memahami dalam apa juga situasi sekali, cara terbaik untuk membina kerjaya pengamal perubatan beretika ialah mengecewakan individu yang tidak sepatutnya melakukan pembedahan yang dikehendakinya dengan menjelaskan risiko yang bakal dihadapi.

“Apa yang saya maksudkan ialah peraturan tertinggi pakar bedah ialah bersifat jujur dengan diri sendiri dan pesakit kerana tidak semua pesakit memerlukan pembedahan dan hanya doktor layak menasihatkan pesakit sewajarnya,” katanya.

Beliau yang menimba pengalaman sebagai pakar pembedahan payu dara sejak 1997, berkata sekiranya pakar sendiri berasakan pembedahan tidak akan membawa kebaikan kepada pesakit, maka mereka (pakar kosmetik) perlu menolaknya.

“Saya percaya jika kita melakukan kerja dengan telus, seharusnya kita menerima ganjaran yang setimpal. Hakikatnya, kejujuran adalah pelaburan terbaik,” katanya.

Randquist berkata, pakar bedah kosmetik perlu meletakkan standard terbaik dalam amalan kedoktoran. Jika semuanya bersandarkan wang ringgit, ini bermakna dari segi etikanya, kerjaya perubatan umpama diperolok-olokkan.

Perhimpunan 60 pakar bedah kecantikan dari seluruh dunia sempena simposium tiga hari di Hospital Gleneagles Intan, di sini, baru-baru ini bertujuan berkongsi kepakaran, selain membincangkan teknologi implan dan surgeri terkini payu dara dengan menampilkan sembilan pakar bedah terkenal dari Sweden, Brazil, Singapura, Korea Selatan, China, Jepun, Amerika Syarikat, Kanada dan Malaysia.

Rantau Asia melahirkan ramai pakar payu dara, sayangnya ia masih ketinggalan dari segi perangkaan saintifik berhubung pembesaran payu dara.

“Oleh kerana itulah kami memilih untuk menganjurkan ABAS di Asia dan Malaysia sebagai hos agar kami dan rakan sekerja di rantau Asia dapat berkongsi pengetahuan sekali gus mengurangkan kadar komplikasi dan trauma,” katanya

INFO: Senario pembedahan payu dara di Malaysia:

  • Trend ini meningkat di kalangan wanita Malaysia, terutama kaum Cina.

  • Pelanggan biasanya terpedaya dengan saranan pakar kecantikan untuk melakukan pembedahan menggunakan khidmat doktor yang diterbangkan dari China yang kosnya lebih murah.

  • Caj ‘pakar satu malam’ yang diterbangkan dari China antara RM8,000 ke RM20,000

  • Caj pakar bedah kosmetik bertauliah untuk bentuk implan airmata RM12,000 hingga RM16,000 dan bentuk implan bulat RM10,000-RM14,000.

  • Ada 45 pakar bedah plastik bertauliah diiktiraf di Malaysia dan layak menjalankan semua bentuk pembedahan kecantikan.
  • Padah ambil hormon



    Pengambilan estrogen saja boleh sebabkan barah payudara, rahim

    Bolehkah saya mengambil pil hormon estrogen untuk membentuk buah dada dan punggung lebih menarik? Ini disebabkan bentuk badan saya yang terlalu kurus? Adakah ada sebarang kesan sampingan penggunaannya?

    Gadis Risau, Johor


    SAUDARI, ia sememangnya satu hakikat apabila semua wanita menghendaki badan yang cantik terutama payudara dan punggung yang montok. Tetapi, bukan semua berupaya mempunyai badan yang mengiurkan seperti yang diidamkan ramai, termasuklah saudari.

    Faktor genetik atau keturunan memainkan peranan yang penting. Jika keturunan puan berjenis kecil dan kurus seperti mana emak atau adik beradik yang lain, maka sukar untuk memiliki badan yang diimpikan. Bagi mendapatkan badan yang cantik jika kita seorang yang kurus seperti saudari, saya saudari cuba tambahkan berat badan dengan melebihkan makanan hingga ke tahap indeks atau berat jisim tubuh (BMI) yang ideal. BMI yang kurang dari 18 adalah terlalu kurus dan melebihi 30 adalah obesiti atau terlalu gemuk.

    Pengambilan hormon estrogen menyebabkan payudara membengkak dan tegang selain boleh meningkatkan selera makan. Tetapi ia mungkin tidak berkekalan yang mana kesannya hilang selepas saudari berhenti mengambil hormon.

    Dari segi perubatan, adalah dilarang sama sekali mengambil hormon estrogen saja tanpa ditambah dengan hormon progesterone. Hormon estrogen saja jika diambil dalam masa panjang boleh menyebabkan barah rahim, ovari, payudara dan pintu rahim. Oleh itu kami (doktor pakar perbidanan) selalunya memberi hormon estrogen dalam bentuk kombinasi bersama hormon progesterone seperti pil perancang keluarga dan hormon gentian untuk pesakit menopaus. Sebarang pengambilan hormon memerlukan pemantauan yang rapi setiap tahun seperti ujian darah, mamogram dan pap smear serta dengan imbasan pelvis.

    Kesan sampingan lain ialah peningkatan risiko batu karang dalam hempedu sebanyak dua hingga tiga kali ganda, perdarahan tidak menentu daripada rahim, pembekuan darah pada betis kaki dan pelvis yang menyebabkan embolisma ke paru-paru, barah hati, darah tinggi, kencing manis dan menggalakkan pertumbuhan fibroid dan endometriosis.

    Selain itu, kesan sampingan yang kecil seperti 'water retention' atau pengumpulan air dalam tubuh, payudara bengkak dan sakit, loya, muntah, perubahan mood dan perut 'bengkak'. Banyak lagi kesan-kesan sampingan yang lain.

    Kesimpulannya, saudari tidak perlu mengambil hormon estrogen untuk mendapatkan badan yang cantik. Jika perlu mengambilnya. Gunakan pil perancang keluarga sebagai alternatif terutama sekali jika puan gunakan pil ini sebagai satu cara cegah kehamilan.

    Sabtu, Disember 12, 2009

    Sorok cinta daripada keluarga

    SAYA seorang pemuda berumur 21 tahun dan masih belajar di Institut Pengajian Tinggi. Saya bukan jenis yang suka bersosial seperti orang lain. Tetapi saya pernah bercinta seawal berumur 19 tahun dan perhubungan kami tidak lama.

    Selepas enam bulan kami putus saya berkenalan dengan seseorang yang bernama Fatin. Setelah kami berkawan hampir tiga bulan dan saya pun berterus terang dengan dia bahawa saya menyintainya.

    Reaksi yang diberi positif. Maka, hidup saya sangat gembira kerana cinta saya diterima. Kami pernah keluar dan makan bersama. Sepanjang saya bercinta dengan dia saya tidak pernah beritahu keluarga terutama ibu dan bapa saya. Saya takut nanti mereka tidak bersetuju saya bercinta. Saya takut ibu menghalang cinta ini.

    Dulu, saya pernah memberitahu saya ada teman wanita, dia terkejut seolah-olah sukar menerimanya. Sehingga hari ini, keluarga saya tidak tahu perhubungan ini.

    Putri adakah salah tindakan saya ini kerana tidak berterus terang? Saya harap Putri boleh tolong masalah saya ini.

    * Izwan, Kulim, Kedah.

    Izwan,

    SIAPA saja bakal isteri anda, semuanya sudah ditetapkan Allah. Namun, seseorang itu harus berusaha untuk mendapatkan calon terbaik. Seorang ibu memang menginginkan anak hidup bahagia bersama teman hidupnya.

    Sebenarnya, tiada ibu yang akan merosakkan masa depan anaknya, malah ibu anda belum mengenali hati budi kekasih anda. Sebaiknya, perkenalkan dia dengan keluarga anda. Begitu juga dengan anda, perlu berkenalan dengan keluarganya. Inilah dugaan orang berkasih. Semuanya, perlukan masa dan kesabaran.

    Mungkin jika sudah saling berkenalan, keluarga masing-masing dapat menerima hubungan anda. Adalah lebih baik berterus-terang daripada kecewa di kemudian hari. Perbanyakkan solat hajat semoga Allah SWT mengizinkan ikatan perhubungan itu nanti hingga ke alam perkahwinan. Perkahwinan yang dibina dengan restu ibu bapa bermakna mendapat keredaan Allah.

    Kekasih hati isteri orang

    BARU-BARU ini saya berkenalan dengan seorang wanita. Dia seorang wanita baik, peramah, sedia mendengar masalah dan kelakar. Dia mempunyai ciri-ciri yang saya cari selama ini. Malangnya dia sudah berkahwin. Namun, dia tetap menghubungi saya setiap hari dan cukup mengambil berat keadaan saya.

    Selalu menasihati dan cara layanannya, seperti saya kekasihnya. Adakah dia hanya ingin menjadikan saya sebagai sahabat untuk melepas rindu pada suami yang selalu sibuk dengan kerja atau dia memang ditakdirkan untuk saya? Pernah juga saya lakukan solat istikharah sebanyak tiga kali dan berdoa supaya ditemukan dengan jodoh terbaik buat saya.

    Bagaimana saya nak mengetahui isi hatinya ini? Andainya dia bukan jodoh saya, apa harus dilakukan untuk selesaikan kekusutan ini.

    * Lelaki dilema, Muar, Johor.

    Lelaki dilema,

    Dalam permasalahan ini, sebaiknya anda fikirkan apa perasaan jika isteri anda berkelakuan begitu dengan orang lain, kecewakan? Jika dalam diri anda berasa kecewa sekiranya perkara ini berlaku, janganlah buat pada isteri orang lain. Perbuatan ini juga menggambarkan anda mementingkan diri, kerana tidak memikirkan perasaan suami wanita tersebut.

    Walaupun dia mengambil berat mengenai anda, tapi anda tidak tahu atas dasar apa dia berbuat demikian.

    Mungkin dia sunyi atau menguji anda atau memang dia ingin bersikap curang. Adakah wanita ini yang anda mahukan? Atau mungkin dia hanya sekadar mahu bersahabat dengan anda. Namun, segalanya terpulang pada anda. Bergantung kepada keadaan, sekiranya ia terjalin kerana kerja atau persahabatan lama, ia mungkin tiada masalah. Sekiranya sudah lahir bibit-bibit cinta, sebaiknya hentikan perhubungan ini.

    Jika berterusan kemungkinan berlaku pergeseran antara mereka disebabkan anda. Mahukan perkara ini berlaku pada anda nanti? Jika ini berlaku adakah anda akan gembira? Dan mengharap dia akan memilih anda, belum pasti, jadi cuba nilai semula sikap anda baik atau tidak.

    Nasihat Putri, cubalah hargai perasaan orang lain dan jangan terlalu cepat terpengaruh dengan perhatian orang.

    Faham pengertian mencintai diri sendiri dan mencintai Allah.

    Dilema cinta suami orang

    SAYA adalah salah seorang daripada peminat ruangan luahan rasa Mingguan Malaysia. Di sini saya juga terpanggil untuk menyuarakan masalah saya. Saya seorang gadis remaja dan masih tidak mempunyai teman istimewa seperti remaja - remaja lain. Setelah lebih dua tahun bekerja saya mula berkenalan dengan seorang lelaki tetapi statusnya adalah suami orang. Hubungan kami pada awalnya hanya kawan biasa tetapi dia meluahkan hasratnya menyukai saya. Pada mulanya saya tidak mempunyai apa-apa perasaan terhadapnya tetapi setelah sekian lama berkawan hubungan kami menjadi semakin akrab. Sekarang sangat sukar bagi saya untuk melupakan dia. Kadang-kadang kata-kata manisnya mampu membuat hati saya mempercayainya. Masalah saya sekarang adakah dia benar-benar jujur mencintai saya Putri? Saya bingung kerana dia sudah mempunyai keluarga dan anak. Adakah saya harus memutuskan hubungan dengannya? Tolong Putri, Saya sangat - sangat perlukan teman untuk meluahkan masalah saya ini.

    * Taurus, Terengganu.

    Taurus,

    Cinta lahir tanpa kita duga apabila hati mula terpikat dengan seseorang yang prihatin, bertanggungjawab, sikap ambil berat di samping kekerapan bertemu dan saling mencurahkan rasa hati.

    Kerana itu, wanita teruja menyambut cinta lelaki ini walaupun dia suami orang. Jadi, anda perlu bersedia berdepan dengan banyak duri yang bakal menghalang perhubungan itu. Walaupun ia takdir, terlalu sukar menerima lebih-lebih lagi hati terpaut pada yang sudah berpunya.

    Jika Taurus baru belajar menyintai suami orang, seharusnya Taurus perhatikan situasi lelaki tersebut. Memang sukar untuk mengetahui sama ada dia jujur atau tidak. Namun, anda boleh menguji dia dalam beberapa perkara. Jika dia setiap hari melahirkan rasa bahagia ketika bersama anda, ia mungkin sekadar kata-kata manis untuk mendapatkan cinta anda. Walaupun ia mungkin kelihatan seperti komitmen tetapi anda perlu berhati-hati. Dia mungkin tidak bahagia bersama keluarganya. Sebab itu, dia terasa bahagia dengan kehadiran anda kerana memberi perhatian yang tidak pernah dia perolehi sebelum ini.

    Maaf jika Putri katakan, jika dia menyembunyikan hubungan ini daripada pengetahuan orang ramai, maka ia adalah hubungan sulit. Bayangkan anda tidak boleh bebas berdua-duaan dengannya, pasti menyakitkan hati. Ini menyebabkan anda kehilangan keyakinan diri dan sentiasa diselubungi ketakutan.

    Jangan menipu diri sendiri. Dia memang sentiasa mengucapkan kata-kata manis kepada anda. Tetapi pada masa yang sama dia masih bersama isterinya dan tidak mahu berkahwin dengan anda. Hubungan ini mungkin boleh berlanjutan tetapi mampukah anda menunggunya dan dalam pada masa yang sama usia anda juga meningkat?

    Perkara yang paling dikesali jika lelaki ini mungkin menipu isterinya. Walaupun dia tidak mengatakannya, buktinya sudah ada. Dia sanggup menghabiskan masa bersama anda kerana ingin mendekati anda. Bayangkan, isterinya mungkin beranggapan dia sedang bekerja tetapi sebenarnya dia sedang berdua dengan anda. Ingat, lelaki tidak jujur ini mungkin mengulangi sikap ini pada anda.

    Akhirnya, tanyalah pada diri anda sendiri, mampukah anda mencintainya? Anda mintalah dia berterus- terang dengan isterinya. Sekiranya, dia enggan, bermakna dia tidak sayang dan jujur dengan isterinya. Alasan untuk tidak melukai hati isteri bukan alasan kukuh memandangkan dia sudah melukai hati isterinya pada saat dia menjalinkan hubungan dengan wanita lain. Adakah lelaki ini yang anda cintai? Fikir-fikirkanlah.

    Bahana jika ingin terlalu cantik

    BRO senyum sendirian apabila membaca berita bekas Ratu Argentina yang berusia 38 tahun, Solange Magnano meninggal dunia, Ahad lalu selepas mengalami komplikasi akibat pembedahan kosmetik yang dilakukan olehnya.

    Apa yang Bro tertarik ialah ulasan teman rapat Magnano, Roberti Pizza yang berkata, ‘‘Wanita yang mempunyai segala-galanya ini meninggal dunia kerana dia mahu memiliki punggung yang pejal.’’

    Inilah masalah sesetengah perempuan, walaupun Tuhan sudah beri tubuh dan wajah yang cantik masih belum mahu bersyukur, sebaliknya terus berusaha mengubah ciptaan Tuhan, akhirnya ia menjemput penderitaan kepada diri sendiri.

    Tak payahlah kita bercakap fasal perangai orang Barat kerana memang itulah sikap mereka sejak dulu lagi tetapi yang Bro pelik di Malaysia ni pun berlambak wanita kita yang nak cantik lebih. Tak payahlah nak nafi kerana Bro ada ramai ‘spy’.

    Apa yang Bro terkejut ada antara mereka ini adalah insan-insan hebat yang boleh disifatkan sudah ada segala-galanya termasuk kecantikan dan kekayaan. Tetapi mereka tidak puas.

    Kalau hidung tak mancung, mereka buat pembedahan plastik, kalau lemak terlebih mereka pi sedut lemak, bila buah dada kecil, mereka usaha perbesarkan melalui rawatan, itu belum lagi termasuk menghabiskan wang beribu-ribu ringgit beli kosmetik setiap bulan. Apa yang Bro kesal, sebahagian mereka adalah wanita Melayu, beragama Islam.

    Paling yang Bro muak, bila orang tanya, wanita yang berkenaan akan menafikannya ‘sampai terguling-guling’. Bro bukan tak tahu, ramai wanita kita lebih suka habis masa berjam-jam kat pusat-pusat kecantikan, semata-mata hendak dilihat cantik.

    Mereka suka kalau orang puji mereka cantik sedangkan bagi Bro, pujian paling baik datang daripada suami. Tetapi bila kat rumah tak mahu pula mereka menghiasi diri, kadang kala muka macam tak mandi 14 hari.

    Seperkara lagi Bro tak faham kenapa nak cantik sangat sampai membahayakan diri. Sepatutnya kalau tubuh kita dah sempurna tak ada cacat cela bersyukurlah dengan apa yang ada.

    Berlebihan

    Selalu Bro lihat, wanita yang dianggap kurang cantiklah yang berusaha buat macam-macam untuk mencantikkan diri. Kadang kala sampai berlebihan sehingga tak nampak macam muka asalnya.

    Selain itu bagi wanita yang dianggap cantik pula, mereka terus berusaha hendak nampak bertambah cantik. Maknanya, tak bersyukurlah tu.

    Bro tak kisah kalau, ada wanita yang hendak jadi cantik semata-mata demi memantapkan lagi kasih sayang dan cinta suami kepada mereka, tetapi janganlah hendak cantik untuk tarik perhatian orang lain.

    Kerap juga Bro lihat, ada wanita semasa di dalam kenderaan ketika hendak pergi kerja baru hendak pakai bedak atau gincu, suami kat sebelah tak tahu nak kata apa. Tak kisahlah apa pun, yang penting Bro hendak nasihatkan kaum wanita, tak payahlah menyusahkan diri untuk kelihatan terlampau cantik.

    Soal cantik itu hanya luaran dan ia bukanlah penentu kebahagiaan kita di Akhirat kelak, apa yang lebih mustahak ialah amal ibadah kita kepada Allah. Kalau muka cantik tetapi perangai macam hantu raya pun tak guna juga.

    Sebab itulah, pokok pangkalnya ialah diri kita sendiri dan sejauh mana kita pandai bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah.

    Jadikanlah kes bekas Ratu Argentina itu sebagai pengajaran kepada kita semua supaya jangan memadai hendak mengubah ciptaan Allah. Teruskanlah kehidupan kita secara sederhana dalam apa juga hal termasuklah untuk mencantikkan diri.

    * BRO - Wajah bukan ukuran

    Setia membawa derita

    DITINGGAL bertahun-tahun tanpa cerai atau digantung tak bertali, atau ditinggal kerana suami ada isteri baru, dan macam-macam cara lagi. Yang sedihnya bila isteri kena tinggal yang dipersalahkan adalah isteri.

    Mereka dituduh tak pandai jaga suami, jarang sekali kita dengar suami lari tinggalkan isteri kerana lebih sayangkan isteri muda dan meninggalkan tanggung jawabnya kepada isterinya. Demikian cerita Nurbaya dalam e-melnya.

    ‘‘Saya katakan demikian sebab perkara ini terjadi kepada keluarga saya sendiri, kakak saya punyalah sayang suami tak percaya kalau suaminya kahwin lagi. Punyalah setia dan sanggup pikul apa juga masalah yang dilepaskan oleh suaminya.

    ‘‘Pernah kami nasihatkan kakak supaya jangan sayang suami membabi buta, kalau suami pijam kat Along nanti apa nak jadi. Kami tak mahu masalah Along berlaku dalam keluarga kami, sebab kakak tinggal dengan emak, kalau sesuatu terjadi pada rumah emak atau pada diri emak sendiri tentu kami sama susah. Tapi kakak menafikan suaminya baik takkan tergamak buat aniaya kepada keluarga.

    ‘‘Sebenarnya kakak dah lama ditinggalkan suaminya konon kerja luar nak habiskan projek. Bila habis nanti pulanglah. Kami tak percaya, sebab suaminya jadi kontrektor bukan buat projek luar negara, kalau setakat Pahang, Johor atau Perlis, paling kurang sebulan sekali balik ke rumah. Tapi malangnya lima enam bulan baru pulang sekali, memang tak masuk akal.

    ‘‘Kalau balik duduk rumah seminggu dua tak apa jugak, ini sehari sahaja, hilang lagi, anak-anak membesar dengan daya usaha kakak, nasib kakak bekerja. Kami kata suami kakak dah kahwin lain, tapi kakak menafikan.

    ‘‘Lebih malang lagi, semua perbelanjaan rumahtangga, dari sewa rumah, pakaian, makan minum dan susu anak-anak kakak yang sediakan, hinggakan anak yang tua dah sekolah darjah satu pun suaminya tak mahu duduk kat rumah masih sebok kerja.

    ‘‘Sepanjang 12 tahun kakak berkahwin, dua tahun aja suaminya tinggal bersama, lapan tahun lamanya kakak bersabar dengan perangai suaminya yang pulang bila suka, bila kakak bersalin dia baliklah sehari dua, lepas tu hilang lagi. Hari raya pun kadang-kadang aja suaminya pulang dan beraya bersama, selebihnya duduk jauh.

    ‘‘Kami kata suami kakak pembohong, kerja pun takkan tak ada cuti hari raya, kuli pun nak cuti, habis kenapa dia tak balik rumah. Sudah pasti suami kakak dah kahwin lain. Kuli Indon tu pun tahu nak pulang ke kampung bila cuti raya paling tidak dua minggu, ini suami kakak, payah nak jumpa muka, kerja memanjang.

    ‘‘Akhirnya bila keadaan hidup kakak semakin teruk rumah sewa naik melambung, kakak tak mampu bayar, dia terima pelawaan kami pulang duduk dengan emak, duit sewa rumah boleh digunakan untuk keperluan anak-anak yang bersekolah. Lagi pun emak tinggal seorang adik lelaki kena tukar kerja ke selatan.

    ‘‘Bila tinggal dengan emak suaminya tak pulang langsung, hanya telefon sekali sekala. Kakak jadi sedih. Kami nasihatkan kakak kalau nak pindah rumah sewa mintalah duit sewa pada suaminya. Tapi kata kakak dia kena bantu suaminya. Tapi sampai bila?

    ‘‘Nak jadikan cerita Allah maha besar dan maha berkuasa, akhirnya salah seorang saudara mara kami terserempak dengan suami kakak berjalan dengan isteri baru dan dua orang anaknya. Barulah terbongkar cerita, benarlah dugaan kami selama ini. Tapi kakak tak percaya. Begitulah setia dan cintanya kakak pada suaminya.

    ‘‘Setahun lamanya kakak bersabar menanti penjelasan dari suaminya. Akhirnya barulah dia mengaku. Kakak cuma menangis. Lepas membuat pengakuan kepada keluarga kami bahawa dia berjanji akan memberi nafkah kepada anak-anaknya, dan dia tidak akan menceraikan kakak. Dia pulang semula kepada isteri barunya.

    Bermadu

    ‘‘Kami serahkan segalanya kepada keputusan kakak, apakah dia sanggup bermadu atau sebaliknya. Tapi kakak sanggup bermadu, kerana selama ini dia sudah pun dimadukan cuma dia sahaja yang tidak tahu. Kami terima keputusan kakak kerana dia kakak kami darah daging kami, kami tidak akan biarkan kakak hidup sengsara, kerana bila kakak susah, hati emak lagi susah. Kami perlu jaga hati dua wanita ini.

    ‘‘Namun langit tak selalunya cerah, bisnes tak selalunya baik, kalau tak beringat dari awal simpan duit memang susah. Nak jadikan cerita satu hari suami kakak balik, kali ini dia duduk rumah tiga hari, lepas tu hilang, minggu depannya duduk lagi tiga hari, lepas hilang lagi. Lepas sebulan dia duduk terus rumah emak.

    ‘‘Terkejut besar kami apa dah jadi. Ini mesti ada kes. Bila abang long tanya dia beritahu dia dah bercerai dengan isteri kedua. Dan sekarang nak buat bisnes di sini aja lah. Tapi katanya dia ada masalah kewangan. Nak pinjam RM20,000 buat pendahuluan. Mana kami nak cari duit sebanyak itu. Tapi kakak sanggup berkorban, buat pinjam bank. Begitulah setia dan sayangnya kakak pada suaminya.

    ‘‘Malangnya lepas dua bulan duit habis. Nak duit lagi. Mana kakak nak cari duit. Dia suruh pinjam pada emak. Kami halang. Kami nak tahu apa jenis bisnesnya. Kerana dia dolak dalik, kami tak benarkan. Dia ugut kakak pinjam duit Along.

    ‘‘Rupanya selepas diselidik dia kembali kepada kakak kerana bisnesnya gulung tikar, isteri kedua minta cerai sebab tak tahan dikejar tauke simen juga pekerja yang tak dibayar gaji. Si isteri ketakutan. Kami dapat tahu duitnya habis kerana enjoy ke sempadan.

    ‘‘Lagi satu masalah besar yang terpaksa kakak tanggung suami kakak ada darah tinggi dan kencing manis. Suruh jumpa doktor di hospital kerajaan dia tak mahu, dia nak pergi swasta aja. Sekali jumpa doktor beratus ringgit duit terbang. Kakak yang kena tanggung. Sedangkan kakak kakitangan kerajaan boleh dapat rawatan murah tapi dia tak mahu pergi. Memang dia suka seksa hidup kakak.

    ‘‘Kerana hati susah, duit tak ada, bisnes gulung tikar, hidup menumpang rumah emak di tambah rasa malu pada kaum keluarga, penyakit suami kakak tambah serius, akhirnya masuk hospital. Kakaklah yang teruk berulang alik ke hospital setiap hari, masalah anak-anak jadi tanggungjawab emak pulak. Kini sudah dua tahun berlalu penyakitnya melarat pada masalah buah pinggang pulak.

    Tentu pembaca boleh membuat tafsiran sendiri, apabila suami tinggalkan isteri, masalahnya bukan sahaja kepada isteri tetapi anak-anak juga yang menjadi tanggug jawabnya yang hakiki.

    Insaf demi kehidupan lebih sempurna


    semua orang pernah buat silap, jadi insaf demi kehidupan lebih sempurna.
    - gambar hiasan


    PERCAYALAH, sepanjang dua tahun terbabit dengan penyalahgunaan dadah, ia memberi pengajaran dan keinsafan cukup besar kepada saya, jadi saya sentiasa berdoa supaya tidak terjebak semula," kata Sarah Suria Shahren (bukan nama sebenar) ketika ditemui wartawan Mega di Rumah Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih) baru-baru ini.

    Sarah, 22, adalah salah seorang daripada 10 mangsa dadah wanita yang kini sedang menjalani rawatan di Pengasih bagi memulih dan 'mengeluarkan' diri daripada masalah penyalahgunaan dadah.

    Mengimbau 'detik hitam' penglibatannya dengan dadah, Sarah berkata, semuanya bermula pada usianya 19 tahun iaitu ketika dia menuntut di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Elektrik.

    Anak sulung daripada empat adik-beradik itu berkata, bebanan dan tumpuan tinggi yang perlu dilakukan sebagai pelajar memberikannya tekanan namun tidak mempunyai tempat mengadu.

    Beliau berkata, kesibukan tugas ayahnya sebagai eksekutif kanan dan ibunya yang memegang jawatan dalam bidang grafik mengehadkan masa mereka untuk mendengar serta berbincang masalah dihadapi anak-anak.

    "Walaupun saya rapat dengan ayah serta adik-adik, tetapi kesibukan mereka ditambah sikap ibu yang kurang mesra, gemar membuat keputusan terhadap anak dan tidak mahu mengalah menyebabkan saya lebih rela duduk di rumah sewa bersama rakan-rakan.

    "Masa saya yang terhad bersama keluarga membuatkan saya lebih rapat dan percaya kepada rakan-rakan tetapi pada masa sama merasa tersisih daripada keluarga," katanya.

    Sejak itu, katanya, beliau selalu menceritakan masalah pelajarannya kepada seorang rakan lelaki rapat yang kemudian memperkenalkannya kepada dadah jenis syabu.

    "Rakan saya kata syabu adalah ubat yang mampu menenangkan jiwa dan memberi saya lebih tenaga untuk mengulangkaji pelajaran bagi tempoh lama setiap hari," katanya.

    Mulai saat itu, katanya, beliau yang pada awal hanya mengambil syabu secara minimum dan 'suka-suka' akhirnya terpaksa bergantung sepenuhnya kepada bahan itu.

    "Syabu memberikan saya tenaga maksimum sehingga tidak tidur selama tiga hingga empat hari dan mampu menumpukan sepenuhnya kepada apa sahaja tugasan yang saya lakukan," katanya.

    Selain itu, jelasnya, walaupun rakan-rakan mengesyaki sesuatu apabila melihat dia tidak tidur lama, mereka akhirnya 'termakan' alasannya yang mengatakan dia sememangnya begitu.

    Ujarnya, dia tiada masalah mendapatkan bekalan syabu kerana rakannya itu akan menjemputnya di rumah sewa sebelum mereka ke mana-mana lokasi tersembunyi untuk menagih bersama.

    Namun, katanya, dia menyedari berat badannya mula susut secara mendadak, kurang selera makan, halusinasi (bercakap sendiri), emosi terganggu dan kurang tidur.

    Katanya, selain menggunakan duit perbelanjaan pemberian ibu bapa dan pinjaman pendidikan, dia juga terpaksa mencuri barangan di rumah keluarga bagi mendapatkan wang kira-kira RM1,000 sebulan untuk membeli syabu.

    Selepas dua tahun terjebak dengan dadah, katanya, barulah keluarga mengetahui, itupun ekoran sikapnya yang cepat marah apabila ditegur serta keluar rumah tanpa memaklumkan kepada keluarga ke mana tujuannya.

    "Suatu hari, selepas saya tidak pulang ke rumah beberapa hari, ayah menelefon rakan baik saya bertanyakan di mana saya berada dan mungkin kerana kasihan kepada ayah dan mahu membantu saya yang semakin ketagih dadah, kawan baik saya memberitahu ayah bahawa saya di rumahnya.

    "Ketika ayah datang mahu menjemput saya pulang, saya betul-betul 'naik angin' dan merasa dianiaya kawan baik sendiri tetapi selepas berbincang dengan keluarga secara baik, ibu bapa serta saya mengakui kesalahan masing-masing dan berjanji mahu mengubahnya," tambahnya.

    Pada masa sama, ujarnya, ibu bapanya bertekad mahu menghantarnya ke pusat pemulihan dadah bagi memulihkan diri.

    "Ibu bapa menelefon pak cik saya dan atas nasihatnya supaya memilih Pengasih, saya dihantar ke sini walaupun kesediaan saya hanya 50-50," katanya.

    Kini, selepas menjalani rawatan selama lapan bulan dan bakal menamatkannya tidak lama lagi, Sarah berubah menjadi individu yang bebas dadah, berkeyakinan tinggi dan berfikiran terbuka.

    Selain itu, dia juga memiliki banyak nilai murni, penyabar, lebih menyayangi keluarga, mudah bertolak-ansur, mensyukuri kehidupan dan bertekad untuk terus berubah ke arah lebih baik.

    "Bayangkan dulu, jika saya pernah terfikir mahu membunuh ibu kandung sendiri, tapi kini ibu adalah rakan rapat yang kerap datang melawat saya sepanjang berada di Pengasih," katanya.

    Menurut Sarah, apa yang mengagumkannya mengenai Pengasih, ia tidak mengajar pelatih supaya menjauhi dadah secara terus tetapi mendidik setiap pelatih nilai-nilai murni atau positif yang perlu ada dalam diri seseorang.

    "Bila sudah ada nilai murni serta tahu apa patut atau tidak dilakukan, kita lebih sedar apa yang kita buat selama ini dan menjadikan kita berubah.

    "Pengasih banyak membantu saya menguatkan mental dan berfikir secara logik jadi saya benar-benar menghargai peluang saya peroleh di sini serta sangat berterima kasih," ujarnya.

    Cuma, katanya, selepas dibenarkan keluar dari Pengasih, beliau ingin menetap dan bekerja di Kuala Lumpur terlebih dahulu dalam tempoh tertentu sebelum benar-benar bersedia pulang ke Pulau Pinang untuk bersama keluarga.

    "Cabarannya kini, saya perlu benar-benar kuat dan untuk ini, saya mesti menjauhi rakan lelaki saya, tidak melihat tempat saya 'lepak' menghisap dadah dulu dan menjauhi punca lain yang menyebabkan saya terbabit dengannya.

    "Tolonglah tulis nasihat saya kepada setiap individu yang belum menghisap dadah ini, supaya menjauhi dadah atau ketahui dahulu kesan buruknya manakala bagi mereka yang sudah terbabit, fikirlah semua orang pernah buat silap, jadi insaf demi kehidupan lebih sempurna," katanya.

    Bagi bekas penagih dadah Filipina, Daphne Sarmiento, yang pernah mendapatkan rawatan pemulihan kira-kira empat bulan di Pengasih, keinginan tinggi untuk mengetahui bagaimana rasanya menghisap dadah dan tindakannya mencuba bahan itu, mengheret dia ke dalam kehidupan terumbang-ambing selama 14 tahun.

    Berbadan kecil molek, berwajah jelita dan berkeyakinan tinggi membuatkan orang yang tidak mengenalinya sebelum ini mungkin sukar percaya beliau adalah bekas penagih dadah.

    Membuka bicara, wanita berusia 30-an yang sentiasa tersenyum ini berkata, dadah hampir memusnahkan dirinya dan membuatkan beliau sentiasa membelakangkan keluarga.

    "Walaupun mampu menenangkan jiwa tetapi ia hanyalah dalam tempoh singkat dan dadah sebenarnya lebih banyak membuatkan kehidupan seseorang yang mengambilnya sukar.

    "Setiap kali tidak memperolehnya atau ketagih, saya akan bersikap agresif dan berkasar dengan keluarga yang amat menyayangi saya," katanya.

    Bermula dalam kuantiti dadah yang sedikit atau diambil dalam jarak waktu lama, jelasnya, dia mula ketagih terutama apabila ada masalah dan sejak itu, ia semakin bertambah setiap hari.

    Akhirnya, dengan keazaman yang tinggi dan atas sokongan keluarga serta kekasih, dia bertekad memulihkan masalah penagihan dadah dihadapi dan melangkah masuk ke Pengasih.

    Peringkat awal rawatan, ujarnya, ia memang sukar, tambahan berada bersama pelatih Malaysia yang berbeza agama serta budaya dengannya namun atas komitmen tinggi tenaga pengajar membantu, dia meneruskan rawatan hingga berjaya.

    "Selepas tamat rawatan, saya menukar nombor telefon, bertukar rakan-rakan dan berhenti bersosial secara negatif bagi memastikan saya tidak terjebak kembali dalam penagihan dadah.

    "Hari ini, saya adalah individu yang penuh ciri-ciri positif, lebih rapat dengan keluarga dan giat menjalankan kerja-kerja amal membantu penagih di negara saya serta peringkat antarabangsa," tambahnya yang akan mendirikan rumah tangga tahun depan.

    Seorang lagi bekas penagih, yang enggan dikenali berkata, dia bersetuju dengan Daphne bahawa dadah mampu memusnahkan seseorang.

    Selama kira-kira berbelas tahun terbabit dengan dadah, ujarnya, dia bukan sahaja kehilangan ratusan ribu ringgit dan kedudukan jawatan tetapi juga kehancuran rumah tangga.

    "Bayangkan boleh dikatakan hampir keseluruhan daripada ribuan ringgit duit gaji, saya habiskan untuk membeli dadah.

    "Kesan ketagihan membuatkan saya sering bergaduh suami isteri dan saya menyalahkan dia 100 peratus sehingga kami bercerai," katanya.

    Selepas satu pekerjaan, dia mendapat tawaran ke syarikat lain dengan pangkat lebih tinggi namun akibat menagih dadah, dia tidak dapat menumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja.

    Menyedari diri semakin musnah, katanya, dia mengambil keputusan meletakkan jawatan dan mendaftar sebagai pelatih di Pengasih.

    "Setahun saya sudah bebas daripada dadah sepenuhnya. Hari ini, saya melihat diri saya seorang yang lebih sihat, cergas, ceria, menghargai kehidupan, mudah bertolak ansur dan rapat dengan keluarga,'' katanya.

    Isteri tuntut mutaah

    SOALAN

    PERCERAIAN saya dan bekas suami (A) telah disahkan di mahkamah. Perkahwinan kami telah bertahan selama 15 tahun dan ada tiga orang cahaya mata.

    Saya kini sedang dalam proses untuk menuntut mutaah. A telah memberitahu saya bahawa dia hanya akan membayar RM500 sebagai mutaah.

    Menurutnya mutaah ini hanya adat Melayu, bukan menurut hukum Syarak.

    Di negara Islam lain, tiada bekas isteri yang dapat mutaah dan ia hanya ada di Malaysia.

    Dia juga berkata bahawa bayaran RM500 lebih daripada cukup. Saya kini menjadi ragu-ragu, adakah apa yang A katakan itu benar? Bolehkah saya menuntut mutaah?

    Azizah Harun,

    Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

    Jawapan

    Selain daripada hak menuntut nafkah, seorang isteri yang diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati.

    Hak itu bersandar kepada Surah al-Baqarah, ayat 241 yang bermaksud, "Dan isteri-isteri yang diceraikan berhak mendapat mutaah dengan cara yang patut sebagai satu tanggungan yang wajib bagi orang-orang yang bertakwa."

    Juga dalam ayat 236 yang bermaksud, "…Walaupun demikian, hendaklah kamu memberi mutaah (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu)…"

    Daripada dua ayat ini, jelas menunjukkan mutaah yang menjadi hak isteri adalah bersandarkan kepada hukum Syarak.

    Seksyen 56 Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984 menyatakan bahawa seseorang perempuan yang telah diceraikan tanpa sebab yang patut oleh suaminya boleh memohon mutaah atau pemberian saguhati kepada mahkamah.

    Selepas mendengar keterangan daripada kedua pihak dan berpuas hati bahawa isteri diceraikan tanpa sebab yang patut, mahkamah boleh memerintahkan suami membayar sejumlah wang yang wajar dan patut mengikut hukum Syarak.

    Dalam kes di Pulau Pinang, Noor Bee lwn Ahmad Shanusi (1978) 1 JH (2) 63, mahkamah berpendapat bahawa mutaah bertujuan menutup rasa malu yang dialami oleh isteri, menghindarkan fitnah dan sebagai asas untuk memulakan hidup baru tanpa suami.

    Tentang kemampuan suami ini, kita boleh merujuk kepada kes Tengku Anun Zaharah lwn Datuk Dr Hussein (1980) 3 JH 125 yang mana peguam pihak isteri telah merujuk kepada Kitab al-Ehwal Shaksiah fi Ahkam zaujat watalaq yang ada menerangkan bahawa apabila Sayidinna Hassan Abi Talib menceraikan isterinya, beliau telah menghantar 10,000 dinar kepada bekas isterinya sebagai bayaran mutaah.

    Jika pada zaman itu jumlah sedemikian boleh dibayar sebagai mutaah, maka jumlah RM25,200 yang diminta sekarang tidaklah begitu tinggi memandangkan kemampuan dan keupayaan pihak suami. Dalam kes ini, Mahkamah Kadi Besar Selangor telah membenarkan tuntutan itu.

    Dalam kes Noor Bee di atas, mahkamah juga telah mengambil kira pengorbanan oleh isteri sepanjang perkahwinannya selain daripada kemampuan suami dalam memutuskan kadar mutaah yang patut diberikan kepada isteri.

    Dalam permohonan mutaah kepada mahkamah, puan boleh mengambil kira perkara-perkara seperti jumlah pendapatan, taraf hidup, umur, kesihatan dan hal ehwal kewangan puan dan bekas suami, tempoh perkahwinan dan keadaan perceraian tersebut berlaku untuk dipertimbangkan oleh mahkamah dalam menentukan jumlah yang wajar dan patut diberikan kepada puan.

    Memandangkan mutaah ini bersandarkan kepada hukum Syarak, maka peruntukan tentang mutaah bukan sahaja terdapat di Malaysia.

    Terdapat juga negara-negara Islam lain yang memberi hak mutaah kepada isteri yang diceraikan. Di Indonesia misalnya, ada diperuntukkan tentang mutaah wajib dan mutaah sunat.

    Di negara-negara Asia Barat seperti undang-undang di Jordan, Syria dan Mesir bersependapat bahawa pihak isteri berhak untuk mendapat bayaran pampasan iaitu mutaah apabila diceraikan oleh suami tanpa sebab yang patut atau munasabah.

    Bersyukur diceraikan

    Oleh Shaidah Shafie

    Perjuangan Hawa untuk hidup berdikari bersama tiga anak kini berbaloi

    HIDUP tidak mudah untuk diharungi sekiranya segala-galanya harus dilalui seorang diri walaupun mungkin ada yang melihat suami sentiasa di sisi, walaupun hakikatnya jauh di dalam hati, hanya Allah yang mengetahui kebenaran yang terpaksa dilalui sepanjang hidup bersama.

    Wanita terutama, kerap kita dengar didera suami seperti dipukul, diperkosa walaupun sudah halal di sisi agama mahupun dimadukan tanpa kerelaan kerana natijah pembawaan suami yang tidak tahu mengasihi isteri serta menganggap isteri adalah hamba semata-mata.

    Bagi Hawatullisa Kamil, (bukan nama sebenar) berakhirnya sebuah perkahwinan antara beliau dan suami, Adam Azimi, (bukan nama sebenar) ibarat bulan jatuh ke riba selepas bertahun memendam perasaan akibat perbuatan Adam yang tidak pernah tahu nilai seorang isteri yang sah di sisi agama.

    Bahkan, pembawaan Adam tidak semolek namanya kerana Adam yang dikahwini Hawa adalah Adam yang meminjam perangai syaitan, tetapi berperwatakan manusia lantaran judi dan arak adalah rutin harian Adam sekiranya berkesempatan.

    “Pada awal perkahwinan, Adam adalah sebaik-baik manusia dan kami hidup aman damai. Tapi selepas dua tahun, Adam berubah dan jauh berbeza daripada Adam yang saya kenali pertama kali ketika berkursus di Johor Bahru.

    “Saya tidak tahu kenapa ia berlaku, puas berbincang, dia berjanji untuk berubah dan saya juga tidak menyalahkan Adam di atas kegagalan kami untuk mempunyai cahaya mata. Saya pasrah, tapi Adam semakin jauh tersasar daripada kehidupan yang sepatutnya,” katanya ketika ditemui di ibu kota, baru-baru ini.

    Dengan penuh kesabaran dan keyakinan bahawa Adam akan berubah, Hawa mengambil seorang anak angkat untuk menceriakan kehidupan mereka, tetapi tindakan berkenaan tidak sedikit pun memberi kesan terhadap Adam.

    “Saya menyangka dia akan menjadi lebih baik tapi keadaan sebaliknya. Jadi saya mengambil keputusan memfailkan perceraian kerana dia tidak boleh lagi mengendahkan keluarga apatah lagi menjaga saya, isterinya dengan baik kerana semuanya harus saya lakukan sendiri.

    “Pernah juga saya menjejak dia di kelab dalam keadaan mabuk berkepit dengan perempuan di kelab berkenaan. Apabila balik ke rumah, saya pula dipukul dan dimaki. Duit saya juga habis kerana membayar ganti rugi kerosakan yang kerap dilakukan di kelab setiap kali dia mabuk,” katanya tanpa sebarang penyesalan.

    Nyata Hawa adalah wanita yang kuat dalam menempuh kehidupan kerana sanggup turun naik mahkamah bagi menuntut perceraian setelah berasakan hidupnya musnah sekiranya dia masih setia bersama Adam yang hanya tinggal nama sebagai suami sedangkan fungsinya tidak wujud.

    Hawa meneruskan kehidupan seperti biasa turun naik mahkamah untuk mendapatkan hak kehidupan yang lebih bermutu bersama anak angkat walaupun Adam berkeras tidak mahu melepaskannya. Setiap pergerakan dan perbuatan Adam terhadapnya dicatat dengan tujuan untuk dijadikan bukti kelak sekiranya diperlukan.

    Selain itu, Hawa juga sentiasa berdoa supaya Allah mengurniakan kehidupan yang lebih baik untuk beliau walaupun tanpa kehadiran Adam. Tanpa jemu dan leka, Hawa berterusan berikhtiar supaya Adam melepaskan beliau untuk menjalani kehidupan sendiri.

    “Saya memang memfailkan perceraian, tetapi saya tidak menuntut satu sen pun duit Adam walaupun saya berhak. Saya tidak akan menyusahkan Adam, apa yang saya mahu ialah lepaskan saya untuk hidup sendiri dan merasai nikmat menjadi ibu kepada anak yang saya pelihara kini.

    “Saya juga mengambil dua lagi anak angkat, menjadikan semuanya tiga orang. Saya ingin menghabiskan pengajian peringkat sarjana saya dan biar Adam dengan dunianya sendiri. Saya tidak terhutang apa-apa dengan dia. Saya doakan suatu hari nanti dia akan kembali ke pangkal jalan,” katanya.

    Ketika ditemui juga, ada air mata jernih mengalir di wajah Hawa kerana bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan. Adam sudah melafazkan perpisahan di hadapan pihak berwajib dan berjanji tidak akan mengeruhkan lagi kehidupan Hawa serta tiga anak angkatnya yang tidak pernah diingat nama ketiga-tiganya.

    “Saya bersyukur yang amat kerana kini kehidupan saya lebih tenteram. Anak sulung sudah belajar dalam darjah empat dan dua adiknya juga menunjukkan prestasi baik dalam pelajaran.

    “Saya pula akan tamat belajar tidak lama lagi. Insya-Allah kalau ada rezeki, saya akan bawa ketiga-tiga mereka mengerjakan umrah. Saya juga sudah membuat wasiat harta saya untuk tiga beradik ini yang menjadi kecintaan saya. Bagi wanita yang mengalami apa yang saya lalui ini, jangan putus asa,” katanya.

    Hawa juga meminta supaya setiap wanita wajar bersedia zahir dan batin terhadap keruntuhan dalam rumah tangga sekiranya berlaku kerana kita hanya mampu merencana yang indah dan manis saja tanpa memikirkan kesan lain. Justeru supaya tidak terduduk pada kemudian hari, kuatkan mental dan fizikal kerana hidup tentunya ada ujian tersendiri.

    “Walaupun kes ini sudah selesai dan saya masih merasakan kesukaran yang dilalui dulu, kini ada jalan lurus terbentang luas untuk saya rentas bersama anak-anak. Buku kehidupan bersama Adam sudah saya simpan jauh dan tidak akan dibuka lagi.

    “Saya perlu meneruskan hidup dan bersyukur dengan apa yang Allah kurniakan pada saya. Jangan cepat putus asa, keluar masuk mahkamah adalah perkara biasa. Sebagai wanita, kita harus perkasa diri dalam semua segi,” katanya.

    Jumaat, Disember 11, 2009

    Boleh bela diri sendiri

    Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
    ahmadshahrul@hmetro.com.my

    PUTRAJAYA: Wanita yang menghadapi masalah rumah tangga dan kesempitan wang boleh menjadi peguam untuk membela diri sendiri di mahkamah syariah jika kes mereka berlarutan untuk tempoh lama, kata pakar sosiologi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman.

    Beliau berkata, walaupun tindakan membela diri sendiri itu agak ‘pelik’, tetapi ia adalah antara pendekatan pilihan yang boleh dilakukan dan dibenarkan mahkamah jika wanita teraniaya terbabit tidak mampu mengupah peguam. Wan Abdul Halim membuat gesaan itu kerana mengakui dan mendapati kebanyakan golongan wanita terpaksa berhabisan ribuan ringgit hanya untuk mendapatkan kebenaran fasakh atau perceraian daripada mahkamah.

    Menurutnya, beliau menerima banyak aduan daripada golongan wanita teraniaya yang tidak sanggup lagi ke mahkamah kerana terpaksa menanggung perbelanjaan peguam, terutama apabila kes mereka tertangguh untuk beberapa tahun.

    “Sebenarnya golongan wanita ini terutama mereka yang tidak berkemampuan selalu menjadi mangsa apabila cuba membawa sesuatu kes mereka ke mahkamah.

    Masalah utama yang dihadapi adalah bagi mendapatkan peguam untuk membela mereka yang sudah pasti memerlukan perbelanjaan besar walaupun pada masa sama mereka ‘berperang’ dengan masalah peribadi,” katanya, semalam.

    Tanpa berselindung, Wan Abdul Halim yang juga Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih, berkata memang tidak menjadi masalah jika wanita terbabit mempunyai sumber kewangan bagi mengupah peguam, tetapi apa yang menjadi masalah apabila ia membabitkan golongan wanita tidak berkemampuan.

    Menurutnya, beliau banyak menerima rungutan golongan yang tidak berkemampuan untuk melantik peguam bagi mewakili menyelesaikan kes mereka di mahkamah.

    “Walaupun ada perkhidmatan Biro Bantuan Guaman (BBG), tetapi jumlah yang memerlukan khidmat itu terlalu ramai sehingga ada kes yang berlarutan dan menimbulkan masalah kepada wanita terbabit,” katanya.