#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, Mac 26, 2010

Utama kebajikan anak selepas berpisah

Oleh Nurhidayah Muhd Hashim
2010/03/26
Agama - Berita Harian

Ibu bapa bercerai wajar patuhi perintah mahkamah berkaitan hak penjagaan, lawatan

KISAH perebutan hak penjagaan anak selalu menjadi isu besar antara pasangan yang bercerai. Apabila ibu diberikan hak jagaan ke atas anak, selalunya ayah mendapat hak lawatan. Begitulah sebaliknya.

Dalam amalan di mahkamah sama ada mahkamah syariah atau mahkamah biasa, apabila berlaku perceraian antara pasangan yang mempunyai anak, perkara besar yang diselesaikan adalah siapa mendapat hak jagaan ke atas anak-anak dan bagaimana urusan nafkah mereka selepas ini. Ada pasangan yang bercerai berjaya menyelesaikan dengan baik urusan jagaan anak-anak. Namun ada juga yang mengambil pendekatan keras, berebut, memburukkan pasangan di depan anak-anak, bergaduh dan ada yang melarikan anak-anak walaupun selepas diputuskan oleh mahkamah siapa berhak ke atas jagaan itu.

Ia sangat menyedihkan seolah-olah anak adalah barang yang tidak bernyawa dan tidak mempunyai perasaan. Sebenarnya dalam perebutan hak ke atas anak-anak, sama ada kita sedar atau tidak, anak-anak menjadi mangsa yang penuh konflik dalam jiwa mereka. Antara kasih kepada ayah dan kasih kepada ibu.

Walaupun salah seorang ibu bapa menang dalam pertikaian merebut hak jagaan, sebenarnya anak-anak terbabit menjadi mangsa dan kehilangan keindahan hidup seperti yang mereka gambarkan di bawah bumbung rumah tangga bahagia. Kebajikan anak adalah faktor terpenting dan diiktiraf oleh semua mahkamah membabitkan urusan perceraian. Seksyen 86(2) Akta Undang-undang Keluarga Wilayah Persekutuan contohnya menyatakan, ‘untuk memutuskan dalam jagaan siapakah seseorang kanak-kanak patut diletakkan, pertimbangan yang utama ialah kebajikan kanak-kanak itu tertakluk kepada pertimbangan berkenaan, mahkamah hendaklah memberi perhatian kepada kemahuan ibu bapa kanak-kanak dan kemahuan kanak-kanak itu jika dia sudah meningkat umur dapat menyatakan sesuatu pendapatnya sendiri’.

Apabila pada pendapat mahkamah kebajikan anak akan lebih terjaga apabila berada bersama ibu, maka mahkamah akan memutuskan sedemikian. Namun jika anak sudah mencapai tahap umur mampu memberitahu isi hatinya dengan baik dengan siapa dia ingin tinggal, mahkamah akan meneliti perkara ini sebelum memutuskan siapakah yang mendapat hak jagaan itu.

Bukan hak siapa yang sepatutnya menjadi taruhan tetapi kebajikan anak adalah paling penting untuk diperhatikan. Kita seharusnya meletakkan kepercayaan dan mematuhi keputusan mahkamah sama ada keputusan Mahkamah Syariah bagi ibu bapa Muslim atau keputusan mahkamah biasa bagi yang bukan Muslim. Keputusan mahkamah sewajarnya diikuti kerana ia adalah pemutus kepada sebarang pertikaian.

Kes melarikan anak daripada tangan pihak yang mendapat hak jagaan juga bukan perkara baru dalam masyarakat kita. Ibu bapa yang bertikai seharusnya cuba menilai kebajikan anak mereka dan kesan negatif perebutan yang berlaku.

Dalam satu kajian di California oleh pakar psikologi, Judith Wallerstein selama 25 tahun terhadap 131 kanak-kanak yang menjadi mangsa cerai mendapati anak-anak ini mengalami tekanan jiwa yang hebat. Daripada 131 kanak-kanak yang diikuti sehingga mereka menjadi dewasa, sebilangan besar terbabit dengan arak, dadah, melakukan zina/seks bebas di awal usia kerana tekanan dialami. Separuh daripadanya membesar dengan jiwa bermasalah dan berakhir dengan melakukan keganasan rumah tangga, bercerai dengan pasangan dan tidak mempunyai hala tuju hidup yang baik. Kesimpulan kajian itu, beliau mendapati kanak-kanak ini menghadapi masalah komunikasi dan berakhir dengan mereka sendiri melakukan pusingan sama, iaitu tidak bahagia dalam perkahwinan dan melalui hidup bercerai yang hampir sama dengan apa dilalui oleh ibu bapa mereka.

Bayangkanlah bagi anak-anak yang menjadi mangsa perebutan, dilarikan kerana perebutan hak jagaan yang tidak berkesudahan. Sudahlah ibu bapa bercerai, perebutan seolah-olah mereka adalah barang dagangan akan menyebabkan kesan dalam jiwa yang lebih besar kepada anak-anak.

Akhbar di Australia pada 24 Februari lalu, menyiarkan satu berita menggemparkan mengenai perebutan anak antara pasangan selepas cerai. Seorang ibu disabitkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah di Brisbane kerana membunuh anak mereka berumur enam tahun dan 10 tahun.

Ini berikutan Mahkamah Keluarga mengeluarkan perintah bahawa anak-anak diberikan hak lawatan menyambut hari Krismas bersama ayah mereka. Tidak dapat menerima keputusan itu dan sebagai membalas dendam kepada bekas suami, si ibu mengambil tindakan nekad membunuh anak-anak mereka.

Kisah pembunuhan pada November 2002 itu menjadi tajuk hangat sehingga hakim kes terbabit menyebut: “Perbalahan hak jagaan ke atas anak tidak boleh menjadi alasan untuk mengambil dua nyawa yang masih muda. Tidak ada sebarang alasan untuk membenarkan sebarang serangan ke atas kanak-kanak, apatah lagi membunuh mereka.”

Berkaitan dengan melarikan anak daripada penjaga yang sah, mahkamah di Australia sekarang sudah menukar pendekatan apabila membenarkan gambar anak-anak yang dilarikan daripada ibu atau bapa yang diberikan hak jagaan disiarkan di dada akhbar dan laman web mahkamah.

Akhbar The Sunday Herald Sun pada 14 Mac lalu membuat laporan khusus mengenai kes sebegini menyatakan bahawa, ia adalah keputusan baru sebagai langkah terakhir mencari anak yang dilarikan terutama selepas berlaku perceraian. Alasan diberikan oleh pihak mahkamah dan juga polis adalah demi menjaga kebajikan anak.

Apakah pendekatan itu boleh dibawa ke Malaysia? Islam mengiktiraf bahawa hubungan perkahwinan yang tidak dapat diselamatkan boleh diakhiri dengan perceraian. Walaupun ia tidak disukai Allah tetapi tetap dibenarkan dalam situasi tertentu.

Apa yang penting adalah perceraian di antara ibu bapa janganlah menjadi alasan untuk menghancurkan jiwa anak-anak. Alangkah baik sekiranya hubungan ibu bapa berakhir tetapi anak-anak tetap merasai kasih sayang yang sama kerana urusan hak jagaan dan nafkah mereka diputuskan dengan baik di antara ibu dan bapa mereka.

Sekiranya ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah, seharusnya jalan pintas bukan melarikan anak tetapi menggunakan saluran mahkamah juga untuk mendapat penghakiman yang lain.

Penulis ialah Prof Madya di Pusat Pemikiran & Kefahaman Islam, UiTM Shah Alam, sedang melanjutkan PhD bidang Undang-undang Keluarga di Melbourne


Selasa, Mac 16, 2010

Bahagiakah isteri kedua?

Maaf kiranya saya tidak pandai mengatur ayat menjadikan ia tersusun cantik dan puitis, namun masalah yang saya hadapi ini mengelirukan dan sangat berharap agar Putri dapat membantu.

Saya berumur hampir 27 tahun, menetap di selatan tanah air. Saya pernah bertunang tetapi tidak sampai ke jinjang pelamin. Selepas putus dengan lelaki penipu itu, saya berkenalan dengan seorang lelaki menerusi alam siber. Di sinilah kekeliruan saya bermula. Sejak dari awal perkenalan terang-terang saya mengetahui dia sudah berkahwin. Kami berhubung di alam maya .

Selepas beberapa bulan berkenalan, lebih tepat lagi selepas saya putus hubungan dengan teman lelaki yang menipu itu, dia cuba mengisi segala kekosongan yang ada, saya pula merelakan diri
dikasihi. Walaupun dia jauh, dia terasa dekat kerana sentiasa ada setiap masa kecuali tidur.
Kami banyak berbual di satu laman bual dan selepas saya tidak lagi akses dengan Internet.

Selepas pulang ke tanah air, daripada satu hubungan maya, ia telah berubah kepada hubungan sebenar. Saya akui saya sangat senang dengan dia. Perasaan kasih itu timbul atas segala banyak perkara yang dia sanggup lakukan demi saya dan hubungan kami. Saya pernah meminta agar hubungan kami diputuskan, dia menangis teresak-esak memujuk saya mempertimbangkannya semula. Begitulah setiap kali kami bertengkar, pasti dia yang mengalirkan air mata. Saya seorang perempuan yang keras hati. Perilakunya sangat berbeza dengan peribadi saya. Mungkin ini yang membuat kami serasi dan senang berbicara mengenai pelbagai hal. Sepanjang perhubungan kami, dia selalu bercerita tentang isterinya yang mengenali saya melalui gambar yang saya kirim. Isterinya tahu mengenai hubungan kami dan mengetahui hasrat dia untuk mengambil saya sebagai isteri. Isterinya juga tahu setiap malam, suaminya akan menghantar SMS kepada saya dan isterinya juga tahu dia akan keluar dengan saya bila ada kelapangan. Saya jadi keliru, mengapa ada perempuan yang sebaik itu, tidak melenting apa lagi memarahi saya dan tidak juga melarang suaminya. Cuma kami tidak akan kahwin dalam masa terdekat ini kerana beri ruang kepada saya, isterinya dan dia untuk bersedia. Kami mengambil keputusan akan berkahwin dalam beberapa tahun lagi.

Manakala dia pula tidak pernah memburukkan isterinya atau menceritakan kekurangan isteri kepada saya sehingga saya bertanya kenapa perlu saya kalau kalian dah bahagia. Dia menjawab, sebab takdir dan perasaan kasih yang tak pernah dia rasakan sebelum ini. Untuk pengetahuan Putri, mereka telah 9 tahun berkahwin namun belum dikurniakan anak.

Putri, apa yang saya keliru pada masa ini adalah adakah saya patut memberi peluang kepada dia untuk membuktikan hubungan kami ini akan berjaya? Wujudkah perkahwinan sebagai isteri kedua ini bahagia? Apakah persediaan yang perlu saya lakukan? Mohon Putri dapat memberikan sedikit komen yang rasional kerana saya tahu isu ini boleh menyebabkan ramai wanita emosional.

n Nuruliman, Seremban, Negeri Sembilan.

Nuruliman,

Setiap kali menerima surat pembaca berhubung kisah bercinta dengan suami orang, ramai yang tertekan kerana terpaksa menyembunyikan percintaan tersebut. Namun, lain pula dengan anda.

Masih keliru dan risau sedangkan si isteri kekasih anda sudah bersetuju. Hal ini mungkin berhubung kait dengan pengalaman cinta anda yang pertama. Sekali anda putus tunang, tidak bermakna anda akan melaluinya sekali lagi.

Dalam konteks ini, Putri berpendapat, anda kurang yakin pada perhubungan yang dibina. Jika isterinya boleh menerima anda, mungkin anda perlu bersedia. Mungkin perkara ini sedikit melegakan anda dan pasangan. Sekarang keputusan sama ada ingin meneruskan perhubungan tersebut terpulang kepada anda. Berkahwin bermakna anda sedia berkongsi kasih dan mengharungi kehidupan bersama. Jika anda sudah melapangkan fikiran dan membuka hari bermakna anda bersedia untuk menerima dia dan isterinya. Menjadi isteri kedua atau pertama bukan ukuran kebahagiaan.

Apa yang penting dalam sebuah perkahwinan ialah pelaksanaan selepas itu. Misalnya, tolak-ansur, saling memahami, bantu-membantu dan kepercayaan. Jika anda bersedia melakukannya, mungkin ia petanda anda boleh menjadi isteri. Sebaliknya, ambil sedikit masa dan berbincang dengan keluarga tentang perkara ini. Mungkin dengan adanya pandangan orang tua, anda boleh mencari jalan keluar. Kebahagiaan bukan sesuatu yang boleh digambarkan tetapi bagaimana cara kita merealisasi amat penting. Selamat berjaya.

Tiada ibu salahkan anak sendiri

ARKIB : 14/03/2010
Feminin - Utusan Malaysia

BUKAN senang memahami hati budi mertua tambahan pula jika kita bukan menantu pilihan. Depan nampak baik lemah lembut bukan bererti mertua menyukai kita hinggalah kita tinggal bersamanya dan memahami perasaannya yang tidak senang bermenantukan kita wanita yang tidak disukainya.

''Ramai bertanya mengapa baru setahun dua kahwin dah nak bercerai berai, rumah tangga berantakan. Hanya mereka yang mengalaminya sahaja memahami dan boleh menjawabnya,'' demikian cerita Hanijuzliza dalam e-melnya.

''Dulu saya juga tidak faham, tetapi setelah menghadapi mertua begini, barulah saya mengerti tinggi rendahnya dunia, hingga membuat fikiran kita bercelaru, buntu, serta salah, berdosa dan macam-macam lagi. Penyakit ini bertambah teruk lagi apabila suami sama ikut membenci saya, kerana mengikut kata ibunya.

''Saya baru dua tahun berkahwin, ketika hendak bersalin saya hendak tinggal di rumah sendiri, tetapi suami berkeras mengajak tinggal di rumah ibunya, senang, ada orang nak jaga semasa dalam pantang, begitu katanya.

''Walaupun awalnya saya menolak, kerana saya tak mahu menyusahkan ibunya sebab beliau bekerja, tentu sibuk tak ada masa nak jaga saya, tetapi dia berkeras mahu saya duduk rumah emaknya, maka saya terpaksa mengikut.

''Benar seperti yang diduga, kesibukan ibunya bekerja membuatkan saya lebih susah duduk di rumahnya, sebab saya tak tahu susun atur pinggan mangkuk dalam rumahnya. Berbanding kalau tinggal di rumah sendiri, saya ada makcik yang boleh menjaga saya semasa dalam pantang.

''Lebih malang lagi baru dua minggu tinggal di rumah mertua, pelbagai masalah timbul bermula dengan kehadiran neneknya. Sejak itu macam-macam benda terjadi.

''Rupanya dalam diam mertua dan neneknya berpakat menceritakan keburukan saya kepada suami, Hashnan. Katanya semua tentang diri saya dibencinya. Pendek kata apa yang saya lakukan serba tak kena pada penglihatan mereka.

''Suami saya pulak jenis panas darah. Cepat melenting bila mendangar apa juga keburukan tentang diri saya dari mulut emak dan neneknya. Tanpa usul periksa saya ditanya dan dijerkah. Dua tiga kali bolehlah saya sabar tapi kalau memanjang kena marah saya pun ada perasaan, saya jawab, apa lagi berlaku pertengkaran yang berakhir dengan muka saya ditempeleng. Mulut saya ditampar. Lebih pedih lagi saya kena tumbuk di mata. Itu membuatkan saya berpindah ke rumah sendiri.

''Benar rumah itu bukan rumah saya, tetapi rumah peninggalan arwah emak saya yang meninggal dunia dua tahun sebelum saya berkahwin. Di rumah itu tinggal bersama adik beradik saya seramai tiga orang. Duduk di rumah itu percuma, cuma bayar bil air dan elektrik sahaja. Itu pun kongsi dengan adik-beradik saya.

''Tetapi jika tinggal di rumah pusaka itu menjadi masalah kepada mertua saya dia kena fikir panjang. Sebab sejak kami berkahwin Hashnan cuma beri saya RM100 sebulan sahaja. Yang lain dia tak ambil tahu, semua saya uruskan sendiri bersama adik beradik saya. Lagi pun emak saya ada tinggalkan rumah sewa jadi dapatlah saya bantu adik saya yang tak bekerja itu. Bukan duit saya apatah lagi duit Hashnan. Jika itu yang mertua saya bimbang kalau Hashnan duduk di rumah emak saya.

''Gaji Hashnan bukan banyak, adalah seribu setengah. Bagi saya RM100 bakinya untuk dirinya sendiri. Pada pandangan saya kalau emaknya bertimbang rasa, dia patut tanya saya, bukan menghasut Hashnan pukul saya. Kalau Hashnan tak bagi dia duit bukan salah saya. Salah diri sendiri kerana tak pandai didik anak tahu membalas jasa.

''Salah satu sebab saya tak mahu tinggal di rumah mertua, sebab di rumah itu dah ada abang dan kakak ipar saya bersama dua orang anaknya. Dah ramai sangat. Namun kalau mertua saya perlukan duit minta saja pada Hashnan saya tak pernah sekat.

''Kerana sakit hati saya pindah ke rumah arwah emak semula. Kerana marah Hashnan kata dia menyesal kahwin dengan saya dan tak ikut cakap emak kahwin dengan gadis pilihannya. Pakcik dan makcik yang bersimpati nasihatkan saya bercerai.

''Habis pantang saya berulang alik pergi kaunseling ke pejabat agama. Hashnan tak mahu ceraikan saya kecuali saya mohon cerai taklik. Itu nasihat emaknya, kerana mahu ambil anak saya. Semasa kami masih bersama dia tak pernah peduli tentang anak, dia keluar pagi balik malam, tak tahu beli susu anak, lampin pakai buang apa lagi menghantar dan mengambil anak dari rumah penjaga. Nasib saya tinggal dengan adik-beradik, kalau saya tak sempat merekalah tolong ambil anak saya. Sedangkan Hashnan tak ambil peduli dia lepaskan pada saya. Jadi macam mana dia nak jaga anak?

''Walaupun saya cetak ilmu agama, tapi saya bertanya kepada orang yang tahu, mereka kata jika suami sudah menyediakan rumah, membeli barang basah dan kering, susu dan lampin anak, pakaian untuk saya. Maka suami saya tak payah bagi duit belanja. Tapi cukup ke dengan RM100 sebulan? Kerana sekarang dia duduk di rumah emaknya. Langsung sesen tak bagi duit untuk nafkah anaknya.

''Ketika saya kena lempang, kena tumbuk sampai mata lebam dalam rumah mertua saya, bapa saudara dan emak saudara saya datang berjumpa mertua saya bertanya. Malangnya pak mertua saya bercakap tak tau berhenti macam bersyarah.

''Kata Hashnan saya dibenci mertua kerana suara saya kuat, emaknya lembut kalau bercakap perlahan. Tapi pada saya biarlah suara saya kuat asalkan saya jujur dan ikhlas, daripada suara macam berbisik tetapi bisanya lebih tajam dari pedang. Saya suka berterus terang, tak pandai jadi penghasut, seperti orang bercakap dalam kelambu, suka berpura-pura, pandai berlakon untuk kepentingan diri.

''Saya juga tahu tanggung jawab anak lelaki pada emak ayahnya tak akan putus selagi mak ayah masih hidup, tetapi biarlah berlaku adil tahu menilai kasih emak dan kesetiaan isteri. Kini saya masih lagi kaunseling tapi Hashnan dah tak ambil pusing, dia lebih enjoy hidup macam orang bujang di rumah emaknya.

''Jadi di sini saya nak tanya pembaca apakah tindakan yang patut saya ambil? Patutkah saya kembali kepada Hashnan atau menuruskan perceraian kami? Patutkah saya memohon cerai taklik? Jadi apa pendapat pembaca? Namun saya tak mahu berpisah dengan anak saya.''

Demikian teruknya masalah Hanijuzliza.

Mungkin pembaca boleh membantu meringankan sedikit masalah Hanijuzliza namun mana ibu sanggup berpisah dengan anaknya?

Suamiku penagih dadah tegar



ARKIB : 09/03/2010
Utusan Malaysia


Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI
Gambar SHAHRIL AZMAN ZAIN


Noraida berharap suatu hari nanti suaminya
akan balik ke pangkal jalan
demi masa depan keluarga mereka.



SELAMA 30 tahun bergelumang dengan najis dadah. Walaupun keluar masuk pusat serenti, tidak pernah memberi keinsafan kepadanya.

Pengaruh rakan-rakan begitu menggodanya lebih daripada kasih sayang seorang isteri dan anak yang memerlukan kasih sayang seorang bapa.

Najis dadah yang telah bersemadi di dalam darah dagingnya tidak sedikitpun memberi ruang bagi dirinya untuk kembali ke pangkal jalan. Cuma sekejap sahaja tersedar iaitu semasa berada i pusat serenti.

Nasihat demi nasihat tidak diendahkan. Tarikan dadah lebih kuat. Namun kedudukan seorang isteri yang patuh kepada suami dan rasa sayang yang teramat sangat telah tidak memungkinkan seorang wanita muda beranak satu ini meninggalkan suaminya, seorang penagih dadah tegar.

Cinta dan sayang Noraida Zainuddin (bukan nama sebenar) terhadap suaminya, Ismail Othman (bukan nama sebenar) tidak boleh dipertikai lagi.

Walaupun dia telah 'dibuang' oleh keluarganya gara-gara tidak suka dengan perangai suaminya, namun Noraida pasrah dan berharap suatu hari nanti suaminya kembali ke pangkal jalan dan melupai najis dadah tersebut.

Berasal dari utara Semenanjung Malaysia, dia menceritakan bagaimana boleh terjerumus dalam dunia dilema antara sayangkan suami dan bencinya pada najis dadah.

''Saya bertemu dengan suami yang ketika itu duda ketika sama-sama bekerja sebagai pengawal keselamatan di pusat membeli belah di Ampang, Selangor.

''Setelah kenal dua bulan, saya terus melangsungkan perkahwinan dengannya dan keluarga merestuinya. Kami duduk menyewa sebuah rumah di ibu kota. Apabila duduk serumah, barulah tembelangnya pecah.

''Hidup suami yang telah 30 tahun bergelumang dengan dadah tidak boleh disekat lagi. Dia benar-benar gian dan tidak boleh dilarang. Saya benar-benar terkejut pada mulanya melihatkan perlakuannya yang sewenang-wenang menghisap dadah di rumah. Nasihat demi nasihat tidak dilayan, malah saya dimarahinya.

''Namun saya tidak pernah menyesal mengahwininya. Mungkin ini dugaan Allah yang dikurniakan kepada umatnya. Dan mungkin sayalah orang yang bertuah yang boleh merubah kehidupan suami. Setiap hari, saya cuba sedikit demi sedikit memberi kesedaran kepada suami, tapi dibuat seperti alir mengalir sahaja. Masuk telinga kiri keluar telinga kanan.

''Ketika saya mengandung tujuh bulan, suami saya ditangkap dan dihantar ke pusat serenti. Saya tidak tahu di mana hendak pergi. Kerja pun tiada, mana nak cari tempat berlindung. Hendak balik ke kampung pun, keluarga tidak menerima apabila mengetahui keadaan suami begitu. Namun Allah sayangkan saya. Seorang insan mulia telah membawa ke rumah perlindungan lalu menempatkan saya di situ,'' katanya dengan nada sedih mengenangkan masa depannya yang gelap sekiranya suaminya masih meneruskan ketagihan dadah itu.

Menurut Noraida, pernah dia dipukul di kepala oleh suami kerana menasihatkannya supaya berhenti. Kadangkala bila saya berleter dan menasihatnya, dia terus angkat kaki dan berjumpa dengan rakan-rakannya yang boleh memberi apa yang dikehendakinya.

''Pernah juga saya melari diri dari rumah dan bersembunyi di rumah kawan. Tetapi rindu dan sayang kepada suami mengatasi segalanya. Saya kembali semula kepadanya.

''Duit gaji juga habis dibelinya dadah. Walaupun dia beri duit belanja untuk rumah, tapi ala kadar sahaja, memang kadang kala tidak mencukupi,'' katanya yang bersyukur, dirinya dan anaknya tidak dihidapi AIDS atau HIV.

Noraida tahu punca mengapa suaminya tidak boleh berhenti. Ini semua adalah rakan-rakan yang terdiri daripada bekas-bekas penagih yang tinggal berhampiran dengan kediamannya.

Mereka juga seperti suaminya, penagih dadah tegar. Keluar masuk pusat serenti adalah biasa.
Untuk menjauhkan suaminya dengan rakan-rakan bukannya mudah. Ini kerana suami yang membuat segala keputusan. Tidak boleh dilarang atau diberi nasihat.

Walaupun suaminya begitu, Noraida tidak berniat untuk meminta cerai dengan Ismail. Dia memikirkan anak yang baru mengenal dunia yang memerlukan kasih sayang seorang ayah dan dirinya yang kini telah dibuang keluarga.

Mana lagi dia hendak mengadu sekiranya suami meninggalkannya. Apa yang diharapkan oleh anak pertama daripada tujuh beradik ini ialah suatu hari nanti mendung hitam yang mewarnai kehidupannya ini bakal memberi sinar kecerahan yang berpanjangan pada keluarganya.

Perlunya makan secara berhemah

Tabiat pemakanan menentukan tahap kesihatan masyarakat di negara ini. - Gambar hiasan

BILA mengajak anak-anak makan di luar, sering kali anda mungkin terpaksa mengalah kepada pilihan mereka iaitu tidak lain dan tidak bukan, makanan segera.

Siapa yang perlu dipersalah dalam hal ini sedangkan mereka disajikan dengan makanan ini sejak mula pandai memanggil "ibu" atau "ayah" malahan mungkin sebelum mereka mula berjalan lagi!

Di samping kos makan yang kadang kala tinggi, sering kali ibu bapa terpaksa menelan perasaan bersalah kerana tidak berlaku tegas dan menggalakkan anak-anak makan makanan yang sihat.

"Anak-anak saya lebih gemar makanan segera. Bagilah mereka burger, ayam goreng, kentang goreng, macam pijak semut tak mati, aman satu hari," keluh Yani, ibu kepada tiga orang anak.

Sebagai ibu yang bekerja, Yani mengakui bahawa dia sering membeli makanan segera sebagai jalan mudah kerana kesuntukan masa untuk memasak.

Dia juga kerap menjadikan makanan segera sebagai makanan tengah hari kerana waktu rehat yang pendek, justeru gagal memenuhi azam tahun barunya yang dibuat setiap tahun.

Malahan bila membawa anak-anak keluar membeli belah, Yani sering mengumpan anak-anaknya dengan makanan ringan atau junk food dengan membiarkan mereka memilih paket kentang goreng dan snek kegemaran agar mereka tidak menimbulkan banyak kerenah.

MENANGANI OBESITI

Memandangkan begitu banyak laporan mengenai penyakit kronik seperti obesiti dan diabetes yang melanda rakyat Malaysia akhir-akhir ini, sudah tentu secara logiknya pilihan yang tepat ialah mengamalkan gaya hidup yang lebih sihat.

Ini bermakna berhemah dalam memilih makanan terutama bila berdepan dengan makanan segera atau makanan ringan.

Malangnya rasa menyesal dengan bidalan, "anda adalah apa yang anda makan" hanya akan terngiang-ngiang di telinga apabila kaki memijak alat penimbang berat dan melihat tambahan kilo yang sesungguhnya bagai "tetamu yang tidak diundang."

Bagi mereka yang terlebih makan atau "hidup untuk makan" dengan menjadikan makanan segera atau makanan ringan sebagai pilihan utama, amalan ini boleh menjurus kepada obesiti yang akan hanya mendatangkan padah pelbagai komplikasi kesihatan.

Pada hakikatnya, obesiti hari ini bukan sahaja isu melibatkan orang dewasa tetapi juga kanak-kanak jika ibu bapa tidak berhati-hati dalam pemilihan makanan untuk anak-anak mereka.

Ada pihak yang pantas menuding jari kepada iklan atau kempen besar-besaran yang dijalankan oleh sesetengah rangkaian makanan segera.

Namun bukankah kita mempunyai kawalan penuh ke atas dompet kita dan perlu bertanggungjawab atas tindakan kita dan tidak cepat menyalahkan orang lain.

Makanan ringan, makanan segera, bagi sesetengah orang, kedua-dua kategori makanan ini mungkin telah sebati dalam kehidupan mereka dan secara tidak sedar, amalan ini diwarisi anak-anak mereka.

Restoran makanan segera semakin mendapat tempat di hati pelanggan apabila menyediakan khidmat bungkus atau bawa balik (take-away atau take-out) dan ada juga yang menawarkan khidmat pandu lalu.

Menu lazim yang dihidangkan di restoran makanan segera termasuk burger, sandwic, ayam goreng, kentang goreng, hot dog, nuget ayam, kentang lecek, salad dan milkshakes di samping minuman berkabonat.

KUANTITI KECIL

"Makanan yang rendah nilai nutrisi dengan nilai kalori yang agak tinggi," kata Mary Easaw-John, Pengurus Kanan Dietetik dan Khidmat Makanan, Institut Jantung Negara (IJN) apabila ditanya mengenai makanan ringan.

Ramai juga yang cuba mengelak atau mengehadkan makanan ringan dalam diet mereka kerana kebimbangan makanan itu tidak sihat.

Menurut beliau, pakar diet dan penganjur kesihatan yang lain sering berusaha untuk mendidik masyarakat mengenai makanan ringan, menggalakkan mereka mengamalkan diet yang seimbang dengan kandungan makanan sihat yang tinggi.

"Jika anda boleh hidup tanpa makanan ringan, ia memang bagus untuk anda. Sekiranya anda perlu memakannya, nikmatilah ia dalam jumlah yang kecil," katanya.

Beliau menasihatkan pengguna supaya meluangkan masa untuk membaca label bukan sahaja untuk tarikh luput tetapi untuk memahami nilai nutrisi makanan dan mengelakkan daripada membeli makanan ringan yang mengandungi nilai nutrisi yang rendah tetapi tinggi dengan lemak, gula dan garam.

Easaw juga dengan pantas berkata, makanan ringan pastinya bukan untuk mereka yang mengalami lebihan berat badan atau menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi, sakit jantung dan diabetes, keadaan di mana seseorang itu mempunyai paras gula (glukos) yang tinggi kerana badan bukan sahaja tidak boleh menghasilkan insulin yang mencukupi atau kerana sel badan tidak bertindak secara betul kepada insulin yang dihasilkan.

Mengenai makanan segera pula, Easaw menjelaskan bahawa satu hidangan memberikan nisbah yang tidak seimbang, kadang kala melebihi 100 peratus daripada pengambilan harian lemak, kolesterol, garam dan gula yang disyorkan.

"Jadi bacalah analisis nutrisi makanan segera yang disediakan oleh restoran makanan segera supaya sesuai dengan pelan makanan anda," katanya.

KEBIMBANGAN UTAMA

"Lebih tinggi daripada standard gula, garam dan kolesterol yang boleh diterima," demikian pandangan Datuk Paul Selva Raj, Ketua Pegawai Eksekutif, Pusat Sumber dan Penyelidikan Penguna (CRRC) Persekutuan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca) mengenai makanan segera dan makanan ringan.

Beliau berkata semakin ramai rakyat Malaysia kini dilanda masalah lebihan berat badan dan obesiti.

Menurut statistik yang disediakan Selva Raj, kadar lebihan berat badan dalam kalangan rakyat Malaysia ialah 29.1 peratus pada 2006 berbanding 16.6 peratus pada 1996.

Kenaikan yang tinggi juga dicatat untuk kadar obesiti, dari 4.4 peratus pada 1996 kepada 14.2 peratus pada 2006 (kenaikan 9.8 peratus).

Selva Raj berkata lebihan berat badan serta obesiti boleh mencetuskan masalah lain seperti diabetes dan tekanan darah tinggi.

"Bilangan rakyat Malaysia yang menderita diabetes meningkat dari 6.6 peratus pada 1996 kepada 14.9 peratus pada 2006 sementara bilangan mereka yang menderita tekanan darah tinggi melonjak dari 12.7 peratus kepada 42.6 peratus pada 2006," katanya.

Menurut Selva Raj, pemakanan makanan segera atau makanan ringan beserta dengan gaya hidup yang tidak banyak bergerak hanya memburukkan keadaan kesihatan di Malaysia.

MUSLIHAT IKLAN

Selva Raj juga menegaskan bahawa Kementerian Kesihatan perlu juga bertindak ke atas iklan makanan ringan serta makanan tidak sihat yang lain.

Katanya, pemasar dan pengiklan sering menggunakan pelbagai taktik untuk menarik perhatian pelanggan kanak-kanak.

"Pemasaran kepada kanak-kanak dieksploitasi secara meluas di mana-mana di Malaysia. Kerajaan perlu mengadakan kawalan menerusi perundangan, dasar dan program pendidikan bagi melindungi kepentingan kanak-kanak," tegasnya.

Selva Raj mengulangi bahawa makanan ringan tidak seharusnya dijual di kantin sekolah juga di luar sekolah (dalam jarak tertentu).

Dalam hal ini beliau menyarankan ibu bapa supaya memainkan peranam utama dalam mendidik serta membimbing anak-anak mengamalkan pemakanan yang sihat.

"Mereka perlu bekerjasama dengan sekolah dan pihak berkuasa tempatan untuk memantau kantin sekolah serta memastikan makanan ringan bukan sahaja tidak dijual di kantin sekolah tetapi juga di luar pagar sekolah," katanya.

Sumber : BERNAMA
Utusan Malaysia

Benih cinta yang tidak dihargai


ARKIB : 15/03/2010
Utusan Malaysia
Tangisan seorang bayi yang baru menjenguk dunia pasti mengundang air mata ibu yang melahirkannya. Kesakitan serta-merta hilang diganti dengan rasa syukur dan bangga bergelar ibu.

Suara bayi yang dikandung sembilan bulan sembilan hari itu juga bakal mencorak kebahagiaan rumah tangga ibu dan bapanya. Namun sayang sekali, kini tangisan kelahiran itu tidak lagi menjadi pengubat dan penawar buat sesetengah ibu.

Malah ada ibu yang sanggup melenyapkan tangisan pertama zuriat yang dia lahirkan hanya kerana seorang lelaki. Lalu tubuh kecil comel tidak bernyawa itu dibuang sesuka hati bagaikan sampah sarap yang sudah tidak berguna lagi.

Di mana harga kasih seorang ibu? Di mana letaknya nilai kemanusiaan fitrah wanita yang Allah SAW kurniakan kepada kaum Hawa?

Bermula dengan Oktober tahun lalu, seorang kanak-kanak perempuan, Aaliyah Aiman Hussin Abdullah mati akibat didera, dirogol dan diliwat oleh teman lelaki ibunya seorang warga Sudan. Kejadian itu berlaku di sebuah kondominium di Cheras, Kuala Lumpur.

Dua minggu lalu, sekali lagi masyarakat dikejutkan dengan tragedi menyayat hati apabila seorang kanak-kanak, Syafiah Humairah Sahari, 3, meninggal dunia kerana didera teman lelaki ibunya.

Saya pasti ramai yang menitiskan air mata kala menatap seraut wajah Syafiah yang bagaikan tidur nyenyak ketika jenazahnya dikafankan.

Ibarat sekuntum bunga yang cantik dan semerbak harumnya begitulah wajah manis anak tidak berdosa itu yang kematiannya menjadikan ramai ibu-ibu tidak lelap mata kerana simpati dan sedih yang amat sangat termasuk juga saya.

Pada 1 Mac, seorang wanita berusia 22 tahun ditahan polis bagi membantu siasatan kes penemuan mayat bayi yang hampir reput di dalam tandas sebuah pusat latihan memandu di Jalan Lapangan Terbang di Segamat.

Wanita itu dipercayai membuang bayi yang dilahirkannya di dalam bungkusan plastik lalu ditinggalkan dalam tandas wanita pusat latihan memandu itu sebelum ditemui seorang kakitangan pusat latihan di situ.

Sedihnya kerana mayat bayi malang itu ditemui kira-kira dua hingga lima hari selepas dibuang. Wanita yang dipercayai ibunya ditahan kurang 24 jam selepas mayatnya ditemui. Bayangkan! Itukah nilai kasih sayang seorang ibu?

Kisah sedih lagi menyayat hati ini adalah antara sebahagian lakonan hidup manusia yang semakin keliru dengan kehidupan mereka. Bukan satu atau dua tetapi telah banyak kes pembuangan bayi dan penderaan kanak-kanak berlaku. Semuanya mendukacita dan memalukan.

Dan saya pasti kejadian ini akan berterusan entah sampai bila selagi kita sebagai manusia dan ahli masyarakat tidak insaf dan mengambil iktibar akan segala kejadian yang berlaku.
Ke mana hilangnya status institusi keluarga kita yang satu ketika bagaikan keluargaku syurgaku?

Apakah kerana cinta dihalang atau memang kerana rakusnya nafsu manusia fenomena ini bermaharajalela tanpa belas kasihan?

Tidak dinafikan masalah rumah tangga dan keluarga menjadi salah satu punca berlakunya kes pembunuhan serta pembuangan bayi yang semakin berleluasa di negara ini.

Nyata institusi keluarga kita semakin goyah. Kasih sayang antara ahli keluarga semakin pupus, ibu bapa bersikap lepas tangan lalu kehidupan berkeluarga sekarang menjadi ibarat masing-masing perahu masing-masing kayuh. Sampai atau tidak ke daratan, sendiri yang jawab.

Remaja atau wanita yang sudah berstatus ibu tunggal atau yang belum berkahwin kerap terjebak dengan cinta tiada noktah ini. Cinta datang dan pergi setelah nafsu disempurnakan.

Pengalaman bertemu penghuni beberapa buah rumah pemulihan dan perlindungan menjadikan saya percaya bahawa kebanyakan kes hubungan terlarang yang membawa kepada perkara terkutuk ini berpunca daripada kejujuran dan kesetiaan tidak bertempat kaum wanita terhadap pasangan mereka.

Terlalu daif tentang agama, percayakan kekasih, ingin mencuba seks, dirogol, pengaruh kawan-kawan yang negatif dan suka sama suka menjadi kata kunci berlakunya perbuatan keji yang menjadikan kaum wanita ini sanggup melakukan apa sahaja untuk membuktikan cinta kasih kepada pasangan mereka.

Cinta juga meletakkan kebanyakan ibu tunggal yang kesepian berada dalam keadaan keliru untuk mendahulukan anak kandung atau kekasih hati.

Kerana cinta semuanya dituruti. Apabila nafsu mengatasi keimanan maka syaitan akan berada di tengah-tengah. Kerana cinta juga mereka sanggup melihat anak sendiri diseksa dan dianiaya sedangkan itu darah daging yang menjadi bukti benih cinta terdahulu.

Kematian Syafiah Humairah memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mengabaikan sebarang kes penderaan sebaliknya lebih membuka mata dan telinga untuk melaporkan sebarang rasa curiga terhadap individu yang dikhuatiri boleh mendatangkan mudarat kepada kanak-kanak. Jangan apabila sudah berlaku semua mahu membuka mulut dan bercerita.

Kepada wanita dan ibu tunggal yang sedang mencari cinta baru, hati-hatilah. Cinta bukan segala-galanya, tolonglah jangan tinggalkan anak-anak anda bersama teman lelaki jika tidak mahu melihat hidup mereka musnah dek cinta anda yang belum diketahui nokhtahnya.

Sanggupkah anda melihat ini semua berterusan? Jika tidak, ayuh kita sedarkan masyarakat supaya bangkit melindungi kanak-kanak dan jangan bersikap sambil lewa. Biarlah dianggap menjaga tepi kain orang asalkan satu nyawa dapat diselamatkan.

Buat ibu bapa, luangkan masa berkualiti dengan anak-anak, pupuk dan berilah kasih sayang kepada ahli keluarga anda kerana ia satu keperluan dan tanggungjawab.

Jangan apabila terjadi seperti Safiah Humairah atau Aaliyah baru kita tersentak. Ketika itu menangis air mata darah sekalipun tidak berguna lagi kerana nasi sudah menjadi bubur.
Aduhai Syafiah Humairah Sahari, bersemadilah dengan tenang di alam baqa. Di situlah tempat paling aman dan bahagia buat seorang anak yang suci bersih sepertimu. Al-fatihah!
Salam.

Isnin, Mac 08, 2010

Masyarakat tak kisah maksiat

Oleh Hamizah Badiran

am@hmetro.com.my

2010/03/08

KUALA LUMPUR: Kurangnya peranan ibu bapa dalam institusi kekeluargaan dan pembabitan masyarakat adalah antara punca pelbagai masalah sosial seperti penderaan kanak-kanak secara fizikal atau seksual, kes sumbang mahram dan pembuangan bayi.

Pengerusi Majlis Kebajikan Kanak-Kanak Malaysia, Tan Sri Zaleha Ismail, berkata nilai murni seperti sikap bertanggungjawab menjadi nadi utama yang perlu dipupuk dalam diri setiap individu supaya mereka tahu kesan dan akibat sebelum melakukan sesuatu perkara yang boleh dikategorikan sebagai jenayah.

Pada ketika ini, saya begitu runsing dengan kes penderaan anak dan pembuangan bayi yang semakin menjadi-jadi dilakukan individu tidak bertanggungjawab.

“Kanak-kanak memerlukan kasih sayang, pendidikan sempurna, hidup dalam keadaan aman, harmoni dan bersih bagi memastikan mereka membesar untuk menjadi insan berguna,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu-Bapa dan Guru (PIBG) kali ke-23 Sekolah Kebangsaan Taman Nirwana (SKTN), Ampang, di sini, semalam.

Katanya, bagi membendung masalah itu dari terus berleluasa, pihak berkuasa diakui menggalas tanggungjawab untuk melaksanakannya, tetapi mereka hanya akan bertindak selepas masalah itu terjadi.

“Justeru itu, pembabitan masyarakat dilihat amat penting kerana mereka boleh bertindak sebagai ejen penghubung bagi melaporkan kes seperti ini sebelum kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Kebanyakan masyarakat tidak mahu mengambil tahu apatah lagi menegur sekiranya ada di kalangan jiran atau penduduk di kawasan sekitar penempatan mereka melakukan penderaan dan maksiat lalu mendatangkan masalah di kemudian hari dan mangsa seperti kanak-kanak ini tidak dapat diselamatkan,” ujarnya.

Menurutnya, sebagai langkah awal, ‘pendidikan karakter’ atau ‘character education’ di sekolah dianggap boleh membantu masalah ini daripada terus berlaku.

Melalui pelajaran itu nanti, anak-anak dapat membina karakter diri yang diterapkan dengan nilai murni seperti berdisiplin, mengawal perasaan marah, penuhi diri dengan ilmu agama dan sayang menyayangi sesama insan bagi memastikan mereka dapat menggunakan ilmu itu dalam menempuhi kehidupan dewasa.

“Saya berharap melalui usaha ini, mereka dapat menggunakannya sebagai prinsip hidup dan sentiasa beringat sebelum melakukan perkara berunsur negatif,” katanya.

Musibah krisis rumah tangga

Oleh Hariyati Ariffin
Harian Metro
2010/03/08

“SEDANGKAN lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri”. Peribahasa ini cukup sinonim dengan kemelut yang melanda pasangan yang berkahwin. Konflik rumah tangga adalah asam garam kehidupan.

Mengharungi kehidupan perkahwinan dan menjalankan kewajipan sebagai ibu bapa, suami dan isteri bukan mudah untuk dilaksanakan. Institusi perkahwinan adalah sesuatu yang amat suci dan harus dijaga dengan baik demi masa depan keluarga serta keturunan kerana dengan kebahagiaan keluarga akan terbentuk satu sistem sosial yang sejahtera.

Sejak kebelakangan ini kes perceraian membabitkan pasangan baru berkahwin mahupun yang sudah berpuluh tahun hidup bersama amat membimbangkan. Kes perceraian dalam tempoh perkahwinan yang amat singkat iaitu antara seminggu dan setahun, serta kes perceraian pasangan yang telah lama berkahwin dan mempunyai cucu jelas memperlihatkan kepincangan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita yang perlu diberikan perhatian serius.

Konflik rumah tangga dan perceraian memberi impak besar pada struktur institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara. Keluarga adalah unit asas yang dapat memperkukuhkan sistem sosial dan sekali gus membina kesejahteraan negara.

Kepincangan institusi kekeluargaan ini secara tidak langsung menambah masalah kepada negara apabila mereka yang menjadi mangsa perpecahan rumah tangga terbabit dengan masalah seperti gejala sosial, dadah, pelacuran, ketidakstabilan mental dan jenayah.

Kesan jangka panjangnya ialah masyarakat dan negara akan berhadapan dengan keruntuhan sistem sosial yang membawa kepada keruntuhan nilai murni dan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini individu yang paling terkesan apabila berlakunya konflik rumah tangga ialah anak-anak.

Orang-orang tua pernah berpesan jika mahu bercerai lihatlah pada wajah anak-anak. Kerana di mata mereka ada seribu penderitaan dan kesengsaraan jika ikatan perkahwinan itu terputus. Allah amat membenci perceraian walaupun ia dihalalkan.

Dalam hal yang berkaitan, anak-anak inilah yang menjadi mangsa jika perceraian berlaku. Banyak kajian membuktikan bahawa kesan perceraian akan meninggalkan stigma yang sangat mendalam di jiwa anak-anak serta pasangan berkenaan. Malah, bukan saja hidup mereka menjadi kucar-kacir tetapi kesannya menjalar ke beberapa keturunan.

Statistik perceraian yang diambil daripada lama web Jakim menunjukkan secara keseluruhannya kadar perceraian semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Keseluruhan kes perceraian di seluruh negara pada 2008 ialah 22,289. Selangor mendahului senarai teratas kes perceraian dengan 3,558 kes, dikuti Kedah 2,407 kes dan Johor 2,329 kes.

Menurut Kaunselor Perkahwinan dan Perceraian, Hushim Salleh peningkatan dalam kadar perceraian ialah satu amaran kepada masyarakat bahawa sesuatu perlu dibuat segera dalam sistem kekeluargaan kita bagi menangani isu yang nampak kecil tetapi sebenarnya ibarat barah yang akan memusnahkan bangsa dan negara.

Beliau berkata, perkahwinan bukanlah sesuatu yang sentiasa sempurna. Hidup dalam rumah tangga memang banyak cabarannya, oleh itu pasangan perlu banyak bersabar, bertolak ansur dan memahami pasangan masing-masing dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

“Setiap pasangan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing justeru titik persefahaman dan keserasian perlu dicari agar rumah tangga dapat dibina dengan rasa hormat menghormati dan sentiasa aman dan damai,” kata Hushim yang mengesyorkan pasangan yang mahu bercerai berjumpa kaunselor untuk berbincang.

Beliau berkata, untuk menangani masalah perceraian, konsep mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Dalam menangani masalah ini, komunikasi amat penting dalam menyelesaikan kemelut yang melanda jiwa dan perasaan mereka. Mereka mestilah meluahkan segala yang tidak berkenan dari hati ke hati, jangan memendam rasa kerana itu bahaya, ” kata Hushim lagi.

Beliau juga berkata, setiap masalah ada penyelesaiannya jika kedua-dua pihak boleh berunding. Pasangan yang bermasalah jangan berdendam dan jangan mengungkit perkara lama.

“Dendam dan mengungkit perkara lama perkara yang menyemarakkan lagi api kemarahan,” jelasnya.

Hushim menjelaskan kesan perceraian pada keluarga dan masyarakat amat banyak dan daripada segi jangka panjangnya amat buruk. Jika institusi kekeluargaan sudah pincang akan berlakulah gejala kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah, lari dari rumah, mengandung anak luar nikah dan jenayah. Semuanya ini berkait antara satu sama lain.

Hushim juga menegaskan perceraian dan konflik rumah tangga menyebabkan emosi anak-anak terganggu, mereka selalu murung dan berasa kurang disayangi. Ini kerana apabila rumah tangga pincang dan hidup anak-anak tidak tenteram disebabkan ibu dan ayah sering bergaduh mereka mencari pelarian kepada masalah itu.

Kesan lain termasuk masalah mental anak-anak yang menyebabkan penurunan prestasi belajar mereka akibat runsing kerana melihat kemelut perkahwinan ibu dan ayah mereka.

“Mereka juga rasa rendah diri bila diejek kerana masalah perceraian ibu bapa. Tekanan pada psikologi kanak-kanak ini juga amat hebat. Perceraian membentuk pembinaan karakter yang kurang sihat umpamanya bersikap agresif, pendendam, pentingkan diri sendiri dan menjadi pembuli.

“Malah anak-anak yang begitu terkesan dengan situasi perceraian akan melahirkan perasaan tidak normal seperti lelaki membenci perempuan dan perempuan membenci lelaki.

“Selain itu perceraian juga membuatkan anak-anak bersikap fobia memasuki alam perkahwinan kerana melihat masalah yang dialami ibu bapa mereka,” katanya.

Perkara ini berlaku kerana sejak agama sudah tidak menjadi pegangan mereka dan semua hukum agama ditolak begitu saja. Akibatnya isteri tidak menghormati suami dan suami tidak bertanggungjawab terhadap keluarga, kata Hushim.

Sementara itu, Dr Mohd Nizam Sahad, dari Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pula berkata, musibah seperti krisis rumah tangga yang menimpa manusia adalah sebagai penebus dosa dan ujian dari pada Allah akibat kelalaian dan kealpaan manusia dalam hubungan menegak dengan Pencipta.

Menurut beliau, Allah timpakan musibah konflik rumah tangga semoga kita kembali kepada-Nya dan merenung tanggungjawab kita sebagai suami mahupun isteri untuk sama-sama berusaha beroleh syurga Allah melalui pelaksanaan sebaik mungkin fungsi kita sebagai suami yang memimpin dan isteri yang berkhidmat.

Katanya, seandainya krisis rumah tangga sampai ke kemuncak dengan terjadinya perceraian, anggaplah ia ketentuan Allah yang pada perceraian itu sebagai jalan keluar daripada krisis berpanjangan yang mengganggu gugat hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Penulis ialah pensyarah UiTM, Shah Alam

Jumaat, Mac 05, 2010

Terik matahari bawa penyakit

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my
(Terima kasih Jabatan Pemasaran dan Perhubungan Awam DEMC)


CUACA panas dan tidak menentu yang melanda seluruh negara ketika ini merunsingkan semua. Di negeri-negeri sebelah utara, cuaca panas terik disusuli kemarau yang mengeringkan sungai-sungai dan juga sawah.

Sementara di Lembah Kelang pula, bahang panas tetap terasa sekali pun selepas hujan turun untuk seketika. Di kawasan selatan dan pantai timur juga turut mengalami keadaan yang sama.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, negara kini berada dalam fasa terakhir monsun timur laut yang mana cuaca lebih panas dan kering berbanding bulan Disember dan Januari lalu.

Secara perbandingan, suhu lebih tinggi pada Februari hingga April berbanding bulan lain.

Suhu yang dicatatkan pada 1 hingga 23 Februari lalu menunjukkan antara 34oC hingga 36oC. Sedangkan purata suhu negara ini adalah sekitar 28oC hingga 33oC.

Rekod suhu paling tinggi pernah dicatatkan di negara ini pada 9 April 1998 di Chuping, Perlis ialah 40.1oC iaitu ketika fenomena El Nino melanda.

Sementara itu, suhu maksimum juga pernah dicatatkan ditempat yang sama, Chuping dan Pulau Langkawi pada 21 dan 26 Februari 1998 dengan suhu 38.6oC.

Sepanjang tempoh 1 hingga 23 Februari lalu juga, bacaan di 26 daripada 35 stesen meteorologi di seluruh negara menunjukkan hujan turun kurang daripada paras sederhana, empat stesen pula pada paras sederhana dan hanya lima melebihi paras itu.

Kawasan yang menerima hujan rendah adalah Perlis, Kedah (termasuk Pulau Langkawi), Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor, Sabah (semua bahagian) dan Sarawak (Miri, Bintulu dan Limbang).

Terdapat tiga peringkat HRI berlaku iaitu:

1. Kejang akibat kepanasan (heat cramps)

l Sakit otot di bahagian abdomen, lengan dan kaki yang berlaku disebabkan oleh aktiviti berterusan.

l Badan tidak berpeluh ketika melakukan aktiviti berat yang berterusan menyebabkan anda terdedah kepada heat cramps.

l Perpeluhan melampau hingga menyebabkan garam dan cecair dalam badan kehabisan, menyebabkan paras garam rendah dalam otot.

l Heat cramps juga merupakan contoh lesu akibat kepanasan (heat exhaustion).

2. Lesu akibat panas (heat exhaustion)

l Bentuk ringan HRI yang boleh berlaku akibat beberapa hari terdedah kepada suhu tinggi dan tidak mendapat keseimbangan cecair dalam badan.

l Mereka yang berusia dan mempunyai tekanan darah tinggi serta berkerja atau bersukan di bawah terik mentari lebih terdedah kepada masalah ini.

l Tanda-tanda adalah berpeluh melampau, pucat, kejang otot, keletihan, lemah tubuh badan, pening-pening, sakit kepala, muntah, mabuk dan pengsan.

l Lain-lain simptom berkaitan - kulit sejuk dan lembap, denyutan lemah atau laju, pernafasan lemah atau terlalu laju.

Jika mengalami lesu akibat panas, sila ambil langkah ini:

l Minum air kosong, jus buah-buahan atau minuman isotonik.

l Rehat dalam kawasan pendingin hawa.

l Mandi atau berendam dalam air.

l Pakai pakaian nipis

3. Strok panas (heat stroke)

Keadaan paling teruk bagi HRI. Biasanya disebabkan bersukan atau kerja berat di kawasan panas ditambah dengan cecair yang kurang dalam tubuh badan. Tanda-tanda mengalami heat strok:

l Suhu badan terlalu tinggi (melebihi 40oC boleh menyebabkan pengsan)

l Kulit menjadi merah, panas dan kering (tiada peluh)

l Nadi kuat dan laju

l Kepala berdenyut-denyut

l Pening-pening, muntah, keliru, tidak sedar diri.

Kanak-kanak, orang tua, individu obes dan individu yang kurang berpeluh (akibat keturunan) berisiko tinggi mengalami masalah ini.

Bagi atlet yang mengalami keadaan ini di padang, tiba-tiba mereka hilang kawalan diri dan tidak memahami permainan. Atlet itu tidak sedar dia sedang mengalami keadaan strok panas, simptom hanya boleh dilihat oleh orang di sekelilingnya.

Rawatan strok panas:

Seandainya sukar untuk merendamkan mangsa dalam air sejuk gunakan kaedah ini:

l Mandikan mangsa dengan air sejuk

l Renjis air sejuk pada mangsa menggunakan pam air taman

l Span mangsa dengan air sejuk

l Letakkan beg ais pada leher, ketiak dan kawasan sulit.

l Jika kelembapan rendah, balut mangsa dengan selimut basah dan sejuk dan kipas.

Perhatikan suhu badan dan teruskan proses penyejukan hingga suhu badan menurun kepada 36oC atau 37oC (mangsa perlu dikeluarkan daripada air untuk menghalang penyejukan lampau apabila suhu stabil).

l Jika mangsa sedar, beri dia minum air sejuk

l Pesakit perlu dibawa ke hospital untuk pemerhatian doktor sekali pun rawatan di padang berjaya.

Ruam panas

Satu lagi penyakit yang sangat sinonim dengan cuaca panas. Ia terjadi akibat pendedahan kepada suhu yang panas secara berterusan. Juga disebut miliaria. Masalah seperti urtikaria (gatal-gatal) dan tidak berpeluh juga termasuk sebagai ruam panas. Biasa berlaku ketika musim panas terutama jika kelembapan tinggi. Keadaan ini boleh berlanjutan berhari-hari jika tidak dirawat dan memerlukan rawatan profesional andai peringkat serius.

Jenis-jenis ruam panas

l Jernih (miliaria kristalina)

l Putih/ kuning (miliaria pustulosa)

l Merah (miliaria rubra)

l Dalam (miliaria profunda)

Risiko ruam panas

Semua orang terdedah kepada ruam panas. Namun mereka yang lebih terdedah kepada masalah ini adalah:

l bayi

l kanak-kanak berumur di bawah empat tahun

l atlet atau individu yang berkerja di kawasan panas atau terik matahari

l obesiti

l pesakit yang sukar bergerak (bed ridden)

l individu yang kurang atau tidak berpeluh secara kongenital (keturunan)

l pekerja ketenteraan

Punca

Berlaku apabila liang peluh dan bulu roma pada permukaan kulit tersumbat. Kelenjar peluh dengan peluh yang terperangkap menyebabkan muncul benjolan kecil yang mengandungi air pada kawasan kulit.

Peluh manusia mengandungi garam yang tinggi, sangat berpotensi menyebabkan iritasi kulit dan ruam panas.

Kerana itu pentingnya membasuh peluh dengan air dan sabun.

Simptom

Ruam panas biasanya muncul dalam bentuk benjolan kecil dalam jumlah yang banyak di bahagian folikel bulu roma. Di sesetengah kawasan, ia mungkin berwarna merah atau merah jambu.

Lebih teruk, ruam panas boleh menyebabkan iritasi teruk dan muncul tompok-tompok merah lebih besar dan gatal-gatal.

Sesetengah individu mengalami ruam panas sangat gatal dan sesetengah pula tiada kesan tertentu.

Kawasan yang sering terjadi ruam panas adalah muka, leher, belakang, abdomen, kemaluan, di bawah dada, lipatan siku dan punggung.

Rawatan profesional

Kebanyakan kes ruam panas pulih dengan sendiri tanpa rawatan doktor. Ruam panas yang berpanjangan perlu didiagnos melalui karakter kulit dan sejarah ruam sebelum ini. Ruam yang teruk memerlukan ujian mikroskopik atau biopsi kulit. Lain-lain ujian yang perlu dilakukan adalah untuk memastikan sama ada jangkitan bakteria, ekzema atau jangkitan kulat.

Penjagaan sendiri di rumah

Kebanyakan ruam panas boleh pulih tanpa rawatan. Sesetengah kes pulih sehari selepas bertukar kepada kawasan yang lebih sejuk.

Langkah untuk penjagaan ruam panas:

1. Basuh kawasan ruam dengan sabun lembut. kemudian bilas dengan air dan kringkan dengan tuala. Basuh beberapa kali setiap hari terutama selepas bersenam atau bersukan, berjalan jauh atau terdedah kepada matahari.

2. Duduk di kawasan yang sejuk (di bawah bumbung dan biarkan kulit bebas bernafas).

3. Mandi atau berendam dalam air sejuk.

4. Rehat dalam kawasan berpendingin hawa (21 hingga 22oC) sebagai terapeutik. Jika tiada alat pendingin hawa di rumah, boleh keluar bersiar-siar di kawasan mempunyai pendingin hawa.

5. Elakkan sentuhan kulit ke kulit di kawasan lipatan seperti bawah dada dan abdomen dengan meletakkan kain kapas atau material menyerap peluh.

6. Letak pek sejuk di kawasan yang mengalami ruam panas (jangan letak melebihi 20 minit dalam satu jam).

7. Gunakan ubat niacin.

Cara mengelak ruam panas

l Pakai pakaian menyerap peluh seperti kapas.

l Elakkan penggunaan fabrik nylon dan poliester.

l Pastikan bayi berada dalam keadaan selesa dan kering. Periksa lampin mereka dan tukar lebih kerap kerana bayi lebih mudah terkena ruam lampin.

l Air liur bayi yang meleleh mengundang penyumbatan folikel liang roma menyebabkan ruam panas.

l Individu yang terlantar sakit di katil perlu bergerak untuk mengelakkan peluh berterusan di kawasan yang sama.

Faktor yang memburukkan ruam panas

l kelembapan tinggi

l Suhu tinggi

l Aktiviti jakuzi, sauna dan bilik stim.

l demam

l selaran matahari (sunburn)

l berpeluh kerap atau hiperhidrosis

l pakaian yang ketat dan fabrik tidak mesra pengaliran udara

Ejakulasi awal resahkan lelaki

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my
Utusan Malaysia
ARKIB : 28/02/2010

* Kes Satu
Seorang lelaki berusia awal 30-an mengadu sering mengalami ejakulasi awal. Dia resah dan malu sekiranya isterinya tidak mendapat kepuasan ketika mereka bersama.


* Kes Dua
Seorang wanita berusia 30-an dan baru setahun berkahwin mengadu tidak pernah kenal erti klimaks hingga terpaksa berpura-pura demi memuaskan suami. Apa yang berlaku sebenarnya?


Dua paparan kes itu adalah kejadian sebenar yang sering dihadapi pasangan suami isteri akibat ejakulasi awal (PE).

Penafian, malu, rasa bersalah, hampa dan resah. Perasaan rendah diri membelenggu lelaki yang mengalami masalah pancutan mani awal atau PE. PE ialah sejenis masalah seks umum di kalangan lelaki yang masih kurang difahami. PE kini didapati mungkin menjadi punca masalah dalam beribu-ribu perkahwinan dan hubungan intim antara pasangan di seluruh rantau Asia Pasifik. Ia sekali gus menekankan betapa perlunya lelaki yang dihantui PE untuk mendapatkan nasihat perubatan dan merawat masalah tersebut.

Hasil Kajian Penularan dan Sikap Terhadap Ejakulasi Awal Asia Pasifik (AP PEPA) baru yang membabitkan lebih 5,000 lelaki menunjukkan bahawa tahap kesedaran tentang masalah yang kian menular itu masih rendah di rantau ini. Dalam kajian ini, responden diminta untuk menilai sendiri sama ada mereka menghidap PE. Selain itu, mereka turut menjawab soal selidik Alat Diagnostik Ejakulasi Awal (PEDT) untuk membuat penilaian objektif sama ada mereka menghidap PE.

Berasaskan hasil tinjauan, sehingga 29 peratus lelaki mungkin menghidap PE di Malaysia dan 31 peratus di rantau Asia Pasifik. Sementara itu, kaum lelaki secara umumnya keberatan untuk membincangkan secara terbuka atau mendapatkan nasihat atau rawatan profesional berkaitan dengan kegagalan seks kerana ia mungkin amat memalukan mereka.

Menurut Perunding Urologi dan Ketua Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Dr. Zulkifli Md. Zainuddin, PE merujuk kepada disfungsi seks umum yang mungkin dialami sejak hubungan seks pertama atau kemudian.

Persatuan Perubatan Seks Antarabangsa mentakrifkannya sebagai "disfungsi seks lelaki yang mempunyai ciri-ciri iaitu ejakulasi yang sentiasa atau hampir sentiasa berlaku sebelum atau dalam masa kira-kira satu minit selepas persetubuhan (kemasukan zakar ke dalam vagina).

Selain itu, kegagalan menangguhkan ejakulasi setiap kali atau hampir setiap kali bersetubuh. Ia juga menyebabkan kesan peribadi yang negatif termasuk kegelisahan, gangguan, keresahan atau keputusan untuk mengelakkan hubungan seks.

Selain tahap kesedaran yang rendah, kajian PEPA juga mendapati tahap kefahaman yang rendah tentang PE di rantau ini. Malangnya, sehingga 35 peratus daripada responden berpendapat PE dan ED adalah lebih kurang sama. Hampir separuh daripada responden mempunyai tanggapan salah bahawa PE boleh dirawat dengan berkesan menggunakan ubat bagi ED. Satu dalam setiap tiga responden percaya PE langsung tidak boleh dirawat dengan berkesan.

Tambah Dr. Zulkifli, kombinasi faktor fisiologi dan psikologi dipercayai mempengaruhi mekanisme ejakulasi. Penyelidikan mendapati bahawa serotonin, sejenis neurotransmiter (seperti penghantar isyarat kimia dalam otak) yang juga membantu mengawal tidur dan selera, menyederhanakan mood dan mengurangkan kesakitan, memainkan peranan penting menentukan masa ejakulasi.

"Matlamat utama bagi terapi PE, tidak kira sama ada berbentuk farmakologi atau tingkah laku ialah untuk meningkatkan kawalan terhadap ejakulasi. Ia mungkin menghasilkan tahap kepuasan seks yang lebih tinggi bagi lelaki dan pasangannya, atau mengurangkan keresahan peribadi atau masalah keintiman yang timbul," katanya.

Dr. Zulkifli memberitahu, rawatan yang betul boleh menamatkan kekecewaan yang dialami penghidap PE dan juga pasangan seks mereka.

"Malangnya, situasi bertambah buruk kerana doktor dan pesakit tidak membincangkan perkara berhubung seks seperti yang sepatutnya kerana rasa malu atau kerana tanggapan buruk yang dikaitkan dengannya. Sementara itu, kaum wanita pula rasa berat hati untuk membincangkan perkara ini. Padahal, kami dapati ramai lelaki akan mendapatkan nasihat doktor jika didorong oleh pasangan mereka," katanya.

Antara rawatan yang disarankan adalah komunikasi antara pasangan, pendidikan psiko-seksual, strategi pemikiran dan perbuatan. Ini termasuk beberapa teknik seperti stop-start (Semens 1956 iaitu berhenti, kemudian mula. Selain itu, squeeze (Master and Johnson 1970) iaitu tahan pancutan dengan memegang atau memicit dan stop-pause (Kaplen 1980) iaitu berhenti dan tunggu.

Sementara itu, menurut Pakar Perunding Urologi Universiti Malaya, Dr. George Lee, kaum lelaki perlu sedar bahawa PE adalah masalah perubatan yang boleh menjejaskan hubungan intim dan kualiti kehidupan.

"Berita baik bagi mereka PE boleh dirawat. Saya tahu mungkin sukar untuk membincangkan hal intim, tetapi mereka tidak keseorangan dan bantuan boleh didapati. Kesan PE terhadap lelaki dan pasangan mereka boleh menjejaskan hubungan. Ini bukan sahaja suatu masalah yang menyentuh soal harga diri atau kejantanan, tetapi juga memberi kesan besar terhadap kepuasan wanita, dan juga hubungan secara keseluruhannya," katanya.

Tekanan
Hasil tinjauan mendedahkan ramai responden yang disahkan menghidap PE menafikan masalah mereka. 31 peratus disahkan menerusi PEDT sebagai menghidap PE atau mungkin menghidap PE, tetapi hanya 13 peratus mengakui mereka mengalami PE. Selain itu, hasil tinjauan mendapati 29 peratus lelaki Malaysia mungkin menghidap PE, dengan Malaysia menunjukkan peratusan responden tertinggi.


Secara keseluruhan, kaum lelaki amat resah dengan masa yang singkat sebelum ejakulasi dan kegagalan mengawal ejakulasi.

"Lelaki tidak harus terus menderita dalam diam. Tinjauan serantau ini menunjukkan bahawa ramai yang tidak sanggup tampil untuk mendapatkan rawatan kerana bimbang dipandang serong atau rasa malu.

"Kaum lelaki perlu sedar bahawa untuk mengeratkan hubungan dengan pasangan, mereka tidak seharusnya membiarkan masalah yang boleh dirawat menjejaskan keupayaan mereka menikmati hubungan seks yang memuaskan dengan pasangan mereka," tambah Dr. Lee

Lelaki malu mengaku mangsa penderaan domestik

Oleh DIYANA ROSE KAMALLUDEEN

Gambar SHAIFUDIN MOHD NOR

ARKIB : 02/03/2010

Utusan Malaysia

UMUM mengaitkan penderaan domestik dengan si pesalah laku sebagai pihak lelaki. Malah 85 peratus kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan melibatkan penderaan suami terhadap isteri mereka.

Namun bagaimana pula apabila sebaliknya? Baru-baru ini, akhbar melaporkan kes penderaan membabitkan lelaki berusia 47 tahun yang mendakwa didera isteri dan anak-anaknya di Melaka.

Pelbagai tanggapan dilemparkan terhadap kes yang jarang-jarang sekali kedengaran berlaku dalam masyarakat kita apatah lagi lelaki Asia diangkat sebagai ketua keluarga hakiki.

"Ini yang membuatkan lebih sukar mencari rujukan tentang kes penderaan terhadap lelaki, lebih-lebih lagi di seluruh Asia.

"Sedangkan di luar negara seperti Amerika Syarikat (AS), kes-kes penderaan terhadap suami atau keganasan wanita ke atas pasangan mereka sering dilaporkan kepada pihak berkuasa," kata Dr. Sajaratulnisah Othman.

Beliau merupakan pakar dalam bidang keganasan rumah tangga, sering membuat kajian mengenai kes-kes terkini di samping mencari kesimpulan punca, akibat dan kesan daripada permasalahan tersebut.

Dr. Sajaratulnisah yang juga Ketua Bahagian Perubatan Rawatan Utama, Fakulti Perubatan Universiti Malaya berkata, sama seperti penderaan terhadap isteri, suami yang menjadi mangsa dera juga terdedah kepada tiga jenis keganasan iaitu;

* Fizikal
* Seksual
* Psikologikal

Perbandingan

Beliau berkata, kebanyakan kes penderaan terhadap isteri lazimnya membawa kesan mudarat termasuk maut dan akibat sama juga berlaku terhadap mangsa kaum lelaki.

Sehingga kini, tiada jumlah sebenar didapati dari segi perangkaan lelaki mangsa penderaan dalam perhubungan domestik sama ada didera atau dilayan secara ganas oleh wanita.

Pun begitu dianggarkan dalam 100 situasi (kes) penderaan, 40 peratus daripadanya disyaki melibatkan pesalah laku wanita terhadap mangsa lelaki.

Di AS, dianggarkan 400,000 wanita didera oleh pasangan mereka setiap tahun. Ini bermaksud terdapat kira-kira 200,000 lelaki turut dilayani secara ganas oleh isteri mahupun teman wanita masing-masing.

Menurut Dr. Sajaratulnisah, kebanyakan kes tersebut melibatkan penderaan atau gangguan psikologi terhadap mangsa.

Dalam kes demikian, si isteri menggunakan apa jua sumber terdekat (maklumat, latar belakang suami) untuk digunakan terhadap suami bagi mengawal mangsa seterusnya menjejaskan kestabilan emosinya.

Punca

Apabila ditanya mengenai punca kes seumpamanya boleh tercetus, beliau menjelaskan beberapa faktor yang mampu menyumbang ke arah berlakunya keganasan domestik terhadap lelaki.

"Terdapat teori bahawa gangguan ekologi (persekitaran kehidupan) menjadi penyebab timbulnya kes penderaan suami," ujarnya.

Kelemahan identiti maskulin lelaki akibat tercabar hebat oleh wanita juga boleh menimbulkan potensi suami ditindas isteri secara psikologi mahupun fizikal.

Apabila peranan suami sebagai ketua keluarga terus-terusan dicabar, akibat pelbagai faktor antaranya kuasa dan kewangan seperti isteri memegang jawatan lebih tinggi serta menyumbang lebih pendapatannya kepada keluarga.

Jurang status ekonomi dan sosial antara suami isteri itu boleh menjejaskan fungsi institusi keluarga terbabit jika gagal ditangani dengan bijak.

Kesan

Malang sekali, penderaan domestik merupakan antara jenayah yang paling sukar ditangani kerana lazimnya mangsa enggan membuka pekung dan mendedahkan keburukan suami atau isteri.

Sedangkan ramai di antara mereka terpaksa menanggung kesan teruk akibat perlakuan ganas ke atas mereka seperti trauma dan gangguan mental sehingga tidak mampu berfungsi di tempat kerja.

Di samping itu, mangsa penderaan selalunya berasa gelisah, takut, bimbang keluar rumah dan berjumpa rakan-rakan atau saudara atau Post Traumatic Stress Disorder (Gangguan tekanan selepas trauma).

Ini membuatkan mangsa sentiasa teringat dan terbayang kejadian penderaan terhadap mereka berulang-ulang kali sehingga mengakibatkan mangsa mengambil pil tidur, dadah dan alkohol untuk melupakannya.

"Malah ada di antara pesakit saya sendiri yang tampil dengan komplen tentang sakit perut, bila diperiksa tiada apa-apa.

"Lama-kelamaan, penyakit itu sentiasa datang dan pergi apabila ditanya barulah pesakit terbabit mengaku dia sudah lama didera tetapi enggan membuat laporan polis," katanya.

Tiada sokongan

Mungkin akibat kurangnya sokongan daripada masyarakat, menyebabkan mangsa dera tidak mahu tampil mendedahkan perlakuan ganas pasangan terhadap mereka.

Atau mungkin juga, mangsa yang sudah berbelas tahun didera tidak mahu mengabaikan anak-anak dan menjadikan mereka mangsa penceraian.

Sedangkan wanita mangsa dera pun sukar mencari jalan keluar daripada nasib malang yang menimpa inikan pula kaum lelaki yang sepatutnya menjadi pelindung keluarga.

Tambah Dr. Sajaratulnisah lagi, beliau sendiri tidak pernah memaksa pesakitnya membuat laporan polis jika disyaki mangsa dera.

Sebaliknya, mereka dialu-alukan meluahkan perasaan mengenai apa yang berlaku ke atas diri mereka dan doktor sepertinya boleh membantu jika ingin menghentikan perbuatan kejam pasangan itu.

"Kami bersedia menyediakan segala dokumentasi diri pesakit sebagai rujukan penting dalam mahkamah sekiranya mangsa ingin mendapatkan keadilan untuk diri dan anak-anak," ujarnya.

Mengatur tabiat makan anak

Oleh KHAIRUNNEEZAM MOHD. NOOR
Utusan Malaysia
ARKIB : 04/03/2010

KECENDERUNGAN kanak-kanak memilih makanan segera dan makanan rapu (junk food) sebenarnya mewujudkan tabiat pemakanan tidak sihat.

Memburukkan keadaan, hampir saban hari kanak-kanak ini terdedah dan tertarik dengan iklan-iklan makanan segera berjenama terkenal yang menggiurkan.

Kebanyakan makanan segera dan makanan ringan di pasaran hari ini mengandungi emulsifier, bahan pewarna dan perisa yang antaranya boleh mendatangkan mudarat.

Begitu juga dengan kandungan lemak tidak tepu, gula dan garam yang tinggi ditambah lagi kandungan serat yang sangat rendah dikhuatiri akan menjejaskan kesihatan sesiapa sahaja terutama anak-anak.

Ada ibu bapa yang tidak mengambil pusing akan hal ini, ditambah lagi mereka sendiri mempunyai tabiat pemakanan yang kurang sihat.

Ada juga ibu bapa yang beranggapan tiada salahnya anak-anak tidak dihidangkan makanan sewajarnya seperti sayur-sayuran atau buah-buahan dalam menu harian, lantaran begitu banyak pil-pil vitamin yang boleh dibeli untuk anak-anak di pasaran.

Ironinya, pakar pemakanan sendiri tidak menggalakkan masyarakat untuk terlalu bergantung kepada pil-pil suplemen seperti ini.

Menurut Coughlin (2003) dalam penulisan jurnalnya bertajuk 'Body image dissatisfaction in children: prevalence and parental influence' terdapat tiga faktor yang menyebabkan anak-anak mempunyai tabiat makanan yang tidak sihat.

Pertama, apabila anak-anak mempunyai pilihan makanan ringan yang banyak di rumah.

Misalnya melambakkan sebegitu banyak stok makanan ringan, gula-gula atau air berkarbonat di dapur sekadar tujuan untuk dinikmati secara ringan sambil bersantai menonton televisyen.

Keadaan ini membuka ruang dan pengaruh kepada anak-anak untuk lebih tertarik menikmati makanan ringan tersebut berbanding makanan berat yang lebih berkhasiat.

Memang tidak salah untuk sesekali anak-anak makan makanan ringan, namun ibu bapa perlu menyediakan pilihan makanan ringan yang berkhasiat seperti biskut, roti berkrim, bertih jagung rendah lemak, yogurt atau pun kismis.

Faktor kedua, keperluan anak-anak untuk memilih makanan kegemaran. Kadang kala, ada anak-anak yang dipaksa ibu bapa untuk makan satu-satu jenis makanan sahaja.

Ia akan menyebabkan anak-anak kebosanan dan tidak berminat untuk terus menikmati sajian makanan yang serupa.

Maka ibu bapa harus bijak mempelbagaikan jenis atau cara masakan yang disajikan sama. Yang pentingnya, khasiat makanan tetap terpelihara dan memberi faedah kepada perkembangan tubuh badan dan mental anak-anak.

Jika anak-anak mahu makan burger, sosej atau ayam goreng seperti mana yang dijual di restoran makanan segera, ibu bapa sendiri sebenarnya mampu untuk menyediakan makanan segera tersebut dengan jaminan khasiat yang lebih tinggi.

Faktor ketiga pula adalah emosi. Kanak-kanak yang mengalami kesedihan, ketakutan atau krisis kekeluargaan cenderung memiliki tabiat kurang makan atau terlebih makan.

Jika ibu bapa melihat emosi anak-anak yang terganggu sebegini turut memberi kesan negatif kepada tabiat pemakanan mereka, maka dicadangkan agar masalah yang menghantui anak-anak itu diselesaikan dahulu, bukan terfokus kepada membetulkan kaedah makan mereka.

The American Academy of Peadiatrics misalnya mencadangkan beberapa perkara dalam menyusun-atur semula jadual pemakanan dan tabiat makanan seharian anak-anak yang sihat.

Banyak ibu bapa yang risau anak-anak mereka makan mungkin terlalu sedikit atau terlalu banyak. Maka, untuk mengelak kerisauan dan membimbing anak-anak makan dengan betul, kedua-dua pihak perlu sedar akan tanggungjawab masing-masing.

Tanggungjawab ibu bapa adalah menyediakan pilihan makanan berkhasiat dalam hidangan makanan utama (sarapan, makan tengahari dan makan malam) dan makan ringan seperti minum petang.

Ibu bapa menentukan apa untuk dimakan, di mana dan bila. Tanggungjawab anak-anak pula untuk memilih berapa banyak mereka perlu makan makanan yang disediakan ibu bapa.

Kaedah ini mungkin mengambil masa jika ia baru hendak dipraktikkan, namun ia akan membentuk disiplin makan yang baik untuk anak-anak di mana mereka memperoleh jumlah makanan berkhasiat yang sepatutnya, pada waktu yang tepat dan tempat yang betul.

Ibu bapa sendiri patut mengamalkan tabiat pemakanan harian yang sihat supaya anak-anak akan melihat dan mengikutnya sebagai contoh yang baik.

Begitu juga ibu bapa yang merokok perlu seboleh-bolehnya mengelakkan diri daripada merokok di hadapan anak-anak, atau lebih baik lagi berhenti terus daripada merokok.

Membuat aktiviti fizikal dan jasmani secara tekal dan kerap bersama anak-anak akan membantu mereka menjadi sihat. Senaman yang dilakukan mampu membakar kalori yang diambil dalam makanan, mengeluarkan toksik di samping merapatkan hubungan sesama ahli keluarga.

Makan secara bersama-sama dalam keluarga sekerap mungkin. Sediakan menu makanan yang menarik, pelbagai dan segar. Dalam sesi makan seperti inilah ibu bapa dan anak-anak lebih mudah untuk mendapatkan kata sepakat tentang tabiat pemakanan dan jenis makanan yang baik untuk seisi keluarga.

Jika mampu, bawa anak-anak berjumpa pakar pemakanan atau ke pusat kesihatan untuk membuat pemeriksaan kesihatan dan mendapatkan khidmat nasihat yang sewajarnya.

Kadang kala, anak-anak akan lebih terpengaruh dan mempercayai kata-kata seorang doktor berkaitan tabiat makan yang betul daripada nasihat ibu bapanya. Namun ia bukanlah satu isu yang besar, asalkan anak-anak dapat terus sihat dan membesar dengan normal dan baik.

Kesimpulannya, jika tabiat makan anak-anak tidak diselaraskan dan dikawal sebaiknya oleh ibu bapa, dikhuatiri mereka akan mudah menghidap penyakit-penyakit kronik yang boleh mengundang kesan negatif dalam jangka masa pendek mahu pun panjang.

Pemilihan makanan yang tepat turut mampu membantu seisi keluarga untuk berjimat-cermat sekali gus memiliki tubuh badan yang sihat.

Duit tidak dibazirkan membeli makanan yang tidak berkhasiat lagi 'beracun', bahkan jimat daripada terpaksa membayar bil-bil perubatan kerana keadaan ahli keluarga sakit dek tabiat makan yang buruk.

Konflik rumah tangga jangan biar anak tersepit

PERSELISIHAN faham, pertengkaran dan pergaduhan antara suami isteri adalah konflik yang biasanya jarang dapat dielak dalam sesebuah rumah tangga.

Apabila perkara tersebut terjadi ia sememangnya menyusahkan bukan setakat kepada yang bergaduh malah orang sekeliling terutama sekali anak-anak.

Suami atau isteri yang menjalinkan hubungan sulit pasti akan diselubungi rasa bersalah, manakala pasangannya pula pasti akan rasa tertipu dan rasa teraniaya - kesimpulannya kedua-dua pihak pasti rasa kecewa dan tidak tahu apakah langkah seterusnya yang patut diambil.

Apabila krisis rumah tangga berlaku, ada ibu bapa yang berusaha untuk tidak melibatkan anak-anak tapi sebenarnya anak-anak adalah pihak yang paling terkesan akibat pergaduhan rumah tangga.


Lebih teruk apabila pergaduhan antara suami isteri telah meletakkan anak-anak dalam keadaan tersepit di tengah-tengah apabila krisis tidak dapat mencapai kata sepakat.

Ramai individu yang melakukan perkara-perkara mengejutkan sebagai cara menangani perasaan marah atau kecewa yang dialami.

Bagaimanapun, seboleh mungkin ibu bapa pasti tidak mahu untuk 'menjangkitkan' perasaan kecewa itu kepada orang lain terutama anak-anak.

Kisah yang dialami pasangan Mariam dan Rahim (bukan nama sebenar) ini mungkin boleh diambil iktibar bagaimana untuk menangani situasi dengan anak-anak apabila salah seorang pasangan berlaku curang.

Bagi Mariam apabila mengenang kecurangan Rahim, perkara yang paling dibimbangi oleh wanita itu ialah sejauh mana ia akan menjejaskan perasaan anak-anaknya seramai empat orang.

Mariam bimbang bukan saja anak-anak akan kecewa apabila mengetahui apa yang dilakukan bapa mereka, tetapi ia juga akan memberi contoh buruk.

Selama ini Mariam dan Rahim sentiasa mengajar anak-anak mereka supaya berlaku jujur dan menunaikan janji yang mereka buat - tetapi di sini Rahim telah berlaku sebaliknya.

Disebabkan Mariam baru saja tahu tentang kecurangan suaminya, dia berasa belum bersedia untuk memberitahu anak-anaknya.

Rahim pula mengambil keputusan tinggal sementara di rumah kakaknya bagi memberi ruang kepada isterinya.

Dengan ketiadaan Rahim, Mariam mula mencari alasan yang munasabah bagi memberitahu anak-anak bahawa ayah mereka tidak tinggal serumah lagi.

Mariam tidak suka berbohong atau berpura-pura seolah-oleh segalanya berjalan dengan baik, tetapi dia juga tidak tahu bagaimana untuk memberitahu cerita yang sebenar.

Berikut beberapa panduan bagaimana perlu berhadapan dengan anak-anak apabila rumah tangga tidak mampu di selamatkan lagi.

Berterus-terang
Paling penting adalah digalakkan untuk berterus terang dan bercakap dengan penuh integriti dengan anak-anak jika anda menghadapi situasi seperti ini.


Memang ada beberapa isu yang mungkin timbul yang perlu difikirkan seperti tahap usia yang tidak sesuai, tetapi anak-anak tidak harus berpura-pura seolah-olah segala-galanya baik sedangkan realitinya tidak begitu.

Jika pasangan anda mempunyai hubungan dengan orang lain - atau jika anda sendiri yang berlaku curang - putuskan cara terbaik dan selesa untuk menjelaskan kepada anak-anak tanpa perlu membebankan mereka.

Dalam kes Mariam, dia sedar sudah tiba masanya untuk berterus-terang dengan anak-anak.
Suatu petang dia memanggil semua anak-anaknya dan menjelaskan bahawa ayah mereka telah memungkiri janji pada Mariam dan sebagai isteri dia berasa sedih, marah dan terluka.


Mariam menjelaskan bahawa buat sementara ini bapa mereka tinggal dengan kakaknya dan tidak tahu sama ada rumah tangga mereka akan kekal.

Tetapi dia turut menyakinkan anak-anak bahawa bapa mereka tetap sayangkan mereka dan akan terus berjumpa mereka selepas ini.

Mariam juga menegaskan bahawa ini adalah cabaran yang sedang dihadapi oleh dia dan Rahim dan ia tidak merubah hakikat bahawa mereka adalah sekeluarga dan tetap saling menyayangi.

Jangan buat andaian
Mariam berulang kali terfikir dan berlatih cara untuk menerangkan kepada anak-anak mengenai kecurangan Rahim dan tentang keadaan hubungan dia suami isteri kepada anak-anak.


Pada mulanya, Mariam menimbangkan untuk memberitahu bahawa Rahim berasa kesal kerana berlaku curang dan kenapa ia berlaku - maklumat yang Mariam sendiri pun tidak berapa tahu hanya mengandaikan sahaja.

Bagaimanapun Mariam mengubah rancangan dan memutuskan hanya mahu bercakap mengena perasaannya saja dan tentang apa yang dia tahu saja.

Memang dalam keadaan perasaan di selubungi marah dan kecewa boleh memutar-belitkan cerita hubungan sulit pasangan tetapi perbuatan tersebut hanya akan memburukkan keadaan.

Sebaliknya cuba ambil satu langkah ke belakang dan fokus pada perkara-perkara fakta yang anda tahu dan perasaan anda saja.

Jangan buat andaian seolah-olah anda mengetahui perasaan atau rancangan pasangan anda atau tentang perasaan anak.

Adalah lebih baik untuk meminta anak-anak terus bertanya kepada suami anda pada soalan-soalan yang anda tidak tahu jawapannya. Jika anda suami isteri boleh duduk bersama dengan anak-anak itu lebih baik.

Jika tidak lakukan yang terbaik untuk mendengar dan memberi penjelasan yang anda rasa yakin ia adalah perspektif sebenar dan bukan andaian.

Jangan fikir perkara yang lepas
Adalah lebih baik untuk memberi perhatian kepada apa yang sedang berlaku sekarang bukan sesuatu yang sudah lepas.


Ini termasuk sama ada membantu kerja rumah anak-anak, bercakap dengan mereka mengenai rancangan pada hujung minggu atau mendengar mereka berkongsi mengenai buku atau rancangan televisyen kegemaran mereka.

Pastikan terus berkomunikasi terutama dengan anak-anak dan kalau boleh dengan pasangan anda juga.

Anda suami isteri masih perlu menyayangi, menjaga dan memberi contoh yang baik kepad anak-anak.

Mungkin pengajaran paling positif yang boleh anda beri pada anak-anak ialah berlaku jujur terutama pada waktu sukar seperti ini dan masih saling menyayangi.