#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Pasangan. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Pasangan. Papar semua catatan

Rabu, Februari 16, 2011

Wanita bermadu mudah dijangkiti

Oleh MUSTAPA LAKAWA
mustapa.lakawa@kosmo.com.my


KUALA TERENGGANU - Wanita yang hidup bermadu lebih mudah terkena penyakit barah pangkal rahim atau kanser servik jika suami mereka tidak mengambil langkah berjaga-jaga sebelum mengadakan hubungan kelamin.

Pakar Perubatan Keluarga dari Pejabat Kesihatan Daerah Marang, Dr. Suhazeli Abdullah berkata, virus kanser servik pada kebiasaannya mudah berjangkit dan merebak melalui aktiviti bertukar-tukar pasangan.

Katanya, kanser servik banyak berlaku di Amerika Syarikat kerana amalan kerap bertukar pasangan, namun rakyat di negara ini juga tetap terdedah kepada penyakit itu.

"Mereka yang berpoligami perlu lebih berhati-hati kerana berisiko diancam kanser servik terutama kepada isteri yang dimadukan," katanya ketika menyampaikan syarahan bertajuk Penyakit Pembunuh Senyap anjuran Unversiti Malaysia Terengganu di kampus universiti itu di sini semalam.

Jumaat, Februari 11, 2011

Siapa juara ego?

Oleh Hidayah Mohammad
Berita Harian
2011/02/11


Wanita dan lelaki ada sifat pentingkan diri

PADA awal perhubungan, mungkin tidak nampak sifat dan sikap sebenar seseorang pasangan. Semuanya indah belaka. Bila semakin lama, mulalah berlaku pelbagai kepincangan, perselisihan faham hinggakan natijahnya mencetuskan perbalahan yang akhirnya membawa perpisahan. Salah satu punca yang sukar disedari ialah sifat ego tidak boleh dilihat dengan mata kasar.

Rata-rata wanita gemar menuduh lelaki lebih tinggi ego ,sebaliknya pula si lelaki pula akan menyalahkan wanita pula sehingga menyebabkan persengketaan. Berikutan masing-masing suka menuding jari menyalahkan antara satu sama lain sifat ego bukan saja menjadi masalah dalam hubungan pasangan bercinta, malah turut menjadi isu dalam keluarga, ipar duai, tempat bekerja dan hubungan kemasyarakatan.

Bagi yang tidak sedar memiliki sifat ego, penulis yang juga penuh dengan sifat ego, merungkai sifat berkenaan tanpa disedari oleh rata-rata manusia di muka bumi ini. Sifat buruk itu hanya dapat diubah oleh diri sendiri, sebaliknya ego yang semula jadi sukar untuk diubah oleh orang lain. Kali ini, kita lihat apa pandangan ramai?


Bagi pendapat seorang doktor gigi, Dr Aziz Md Yassin, berkata jika dikatakan lelaki lebih ego daripada wanita, memang ada betulnya, tetapi itu kebanyakannya wujud dalam 15 tahun lalu yang mana lelaki lebih dominan daripada wanita. Namun, zaman semakin berubah.

“Wanita banyak yang menimba ilmu hingga ke menara gading dan banyak yang berkerjaya, jadi mata pencarian keluarga datang juga daripada wanita. Maka, ego akan terhasil daripada duit, harta, kepandaian, status dan gaya hidup yang tinggi, selain dipengaruhi oleh rakan sekeliling dan sifat peribadi seseorang. Sehubungan itu, zaman moden tidak kira lelaki atau wanita sama saja.

“Ego juga datang dengan kuasa yang ada pada seseorang. Contohnya, lelaki yang tidak berpelajaran tinggi, tidak berharta dan tidak kacak (contohnya) tapi masih ada lagi yang ego terhadap isteri berikutan lelaki sudah dicop sebagai 'ketua keluarga' oleh masyarakat kita. Jadi, ketua di sini mempunyai kuasa dalam menentukan hala tuju keluarga. Itu juga penyumbang kepada sifat ego. Ego perlu ada juga sebagai perisai untuk menjaga maruah tapi mestilah berpada dan kena bertempat,” katanya.

Sifat ego adalah penyakit batin. Ia adalah abstrak atau maknawiyah, yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar. Namun tetap dapat dikesan melalui tanda lahiriah pada sikap seseorang itu. Atau dengan kata lain, sifat ego itu ada manifestasi atau implikasinya. Berdasarkan sikap dan tanda terserlah itulah dapat mengenali seseorang itu memiliki sifat ego.

Jumaat, Disember 10, 2010

Lelaki sejati

Kacak, segak, bijak dan matang, belum dianggap pakej lengkap, sebaliknya perlu disertai sikap bertanggungjawab dan hormati orang tua

"FUH...segaknya teman lelaki Aimera. Bukan main tegap lagi badan dia dengan susuk tubuh yang sasa ala-ala jaguh angkat besi berat, muka pun kacak tambah lagi hidung mancung. Lelaki ‘macho’ sangat! Sesuailah dengan dia yang memang cantik dan bijak bergaya,” keluh Rokiah yang kagum dengan penampilan teman lelaki rakan sekerjanya. Namun rakan semeja mendengar yang mendengarnya, pula menjawab luahan Rokiah dengan muka selamba mengenai untungnya wanita itu mendapat suami bukan hanya berjaya dalam profesion, malah tangkas menguruskan hal rumah tangga.

“Memanglah lelaki sejati daripada luarannya. Segak, kacak, gagah. Cukup pakej penampilannya. Tapi Rokiah, aku rasa suami kau pun tak kurangnya boleh dikategorikan sebagai lelaki sejati. Kerja hebat, tolong kau masak, kemas rumah di hujung minggu. Tapi kurangnya, ketinggian dia normal,” kata rakan Rokiah sambil tersenyum manis.

Sambil menongkat dagu, Rokiah hanya diam terpaku tidak mampu membalas sindiran rakannya itu dan sesi luahan hatinya pun terputus begitu saja.

Dari situ, timbul persoalan pada pandangan umum bagaimanakah kita mengukur ‘lelaki sejati’ seperti yang diidamkan ramai wanita? Rupa paras berserta badan sasa mahupun sikap peribahasa mereka menjadi mercu lambang kelelakian? Gaya boleh diasah, tapi bercerita mengenai perilaku dalaman tiada siapa boleh jawab.

Bersama-sama kita berkongsi pendapat dan pandangan beberapa wanita yang berpengalaman dalam mencari pengertian lelaki sejati, mungkin dari sini secara tidak langsung dapat dijadikan sebagai panduan kepada sesiapa saja yang ingin mencari pasangan sesuai untuknya.
Izan Mohd Radzuan menyatakan sememangnya lumrah manusia sukakan sesuatu yang tampak indah dan menarik di pandangan dan setiap individu mempunyai persepsi berbeza ketika membuat pilihan pasangan hidup.

“Rasanya perkara normal apabila memandang jejaka berbadan tegap dengan kelebihan paras rupa menawan mesti kita terpikat. Sebab ia diibaratkan sajian enak buat mata yang sentiasa mengamati persekitaran.

“Perasaan bangga pun pasti muncul apabila kita diapit lelaki bijak bergaya. Berbunga jugalah hati bila rakan memuji betapa kacaknya teman lelaki yang dibawa sesuatu ke majlis,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Pendapat Izan tidak hanya terhenti di situ, pada masa yang sama, beliau juga menegaskan apa pun yang dimiliki secara fizikal, adanya sesuatu yang boleh direka dan dibuang, tapi tingkah laku yang lahir dari dalam hati tidak mampu dikikis.

“Kacak dan sasa boleh kita buat dalam tempoh yang sangat singkat. Tapi hati budi, bukan sesuatu hasil rekaan kreatif. Bagi saya untuk menilai sama ada jejaka itu lelaki pilihan adalah menerusi sikap dan layanan terhadap wanita.

“Lelaki perlu tahu menghormati hak dan tempat wanita. Ukuran kelelakiannya boleh diukur dari situ. Mereka yang matang dalam membuat keputusan dan tidak mendesak boleh berbaris dalam turutan lelaki pujaan wanita,” jelasnya sambil tergelak kecil.

Sementara itu, Suraiyah Mohamad turut menyokong mengenai rupa paras perlu juga diambil kira kerana penampilan mencerminkan diri kita. Namun, ia perlu disematkan sebagai kriteria kedua dalam senarai jika ingin mencari teman hidup.

Katanya, penampilan adalah perkara yang boleh dipelajari dan berubah dalam sekelip mata. Namun, untuk menjadi seorang yang bertanggungjawab dan berdisiplin amat sukar dan ia lahir secara sendirinya dalam diri sejak dari awal lagi.

“Bukan mudah untuk kita jadi seorang yang berdisiplin, lebih-lebih lagi jika terlalu sibuk dengan tugas seharian. Untuk memikul tanggungjawab yang diberikan juga bukan perkara main-main kerana ia memerlukan kekuatan dalaman.

“Adalah lebih bagusnya jika seseorang itu matang daripada usianya, kerana ramai berpendapat lelaki lambat berfikiran dewasa dan perkara itu amat membimbangkan jika wanita bersamanya jauh lebih berusia daripadanya.

“Apa pun, peranan lelaki sejati tidak patut terletak pada luaran mereka saja. Kalau mereka pandai melakukan tugas sampingan seperti memasak atau mengemas, pasti menjadi pujaan ramai memandangkan wanita masa kini juga tidak kurangnya sibuk dengan kerjaya dipilih,” jelasnya tanpa teragak-agak.

Suraiya juga berpendapat pasangan yang tahu memberi saling memberi ruang dan bijak membahagi masa serta tanggungjawab memang menjadi idaman semua insan.

Sementara itu, Salina Mohamed Ishak berkata, seseorang itu tidak seharusnya melihat dari segi fizikal lelaki saja, sebaliknya perlu mendekati dan memahami secara keseluruhan peribadi dirinya sebelum mengambil keputusan menjadikannya sebagai pasangan istimewa.

Katanya, rupa paras dan bentuk tubuh adalah ‘pinjaman’ saja kerana lambat laun kesemuanya akan berubah apabila angka usia semakin meningkat. Baginya, kredit akan diberikan kepada lelaki yang tahu menghormati warga emas kerana itu membuktikan dia tahu menghormati wanita.

“Bukan senang nak ukur sama ada lelaki itu betul-betul sejati mahupun sebaliknya dan bergantung kepada individu sendiri bagaimana ingin menilainya. Tapi bagi saya, jika jejaka itu tahu menghormati orang tua dan bijak membawa diri, dia menjadi lelaki sejati idaman saya.

“Di situ, kelelakiannya teruji dan bukan mudah untuk kita mengambil hati orang tua. Malah untuk menjadi seorang yang pandai membawa diri. Mengambil hati orang tua juga bukan senang kerana perkara itu tidak boleh disembunyikan di sebalik topeng,” katanya.

Ketika ditanya mengenai pendapatnya mengenai kelebihan lelaki yang pandai menguruskan hal kerja rumah, katanya, adalah perkara wajib untuk lelaki mempelajari perkara itu dan jika mereka memang sedia kala berminat adalah keuntungan kepada pasangannya.

“Kita tidak seharusnya hanya memandang pada kelebihannya seperti pandai memasak atau menggosok baju dan sekali gus membuat telahan dia adalah lelaki sejati. Mungkin memang dia sudah diasah dari kecil untuk melakukan tugasan sedemikian dan tabiat itu terus tertanam dalam dirinya.

“Jadi untuk nak menguji lelaki itu sejati atau sebaliknya cuba jangan hanya melihat pada luaran saja, tetapi pada dalamannya juga. Nilai di mana kelebihan dan kekurangannya. Dengan itu kita akan benar-benar mengenali lelaki terbabit,” katanya sebelum menamatkan perbualan petang itu.

Apapun juga pandangan dilontarkan, perkara utama yang perlu diberi keutamaan dalam mencari lelaki sejati, janganlah kita tergopoh. Buat kaum Adam, mungkin anda juga mempunyai pengertian tersendiri terhadap kelebihan yang ada pada dirinya sebagai ’lelaki sejati’.

Khamis, Jun 17, 2010

Jangan biar pasangan kesunyian

ARKIB : 15/06/2010
Utusan Malaysia - Keluarga

Oleh ZUHAYATI YAZID

ALAM rumah tangga seharusnya menjadi impian setiap pasangan di dunia ini yang menginginkan hidup bersama pasangan yang dicintai hingga akhir hayatnya.

Namun apabila usia perkahwinan semakin lama adakalanya hubungan juga semakin renggang, perasaan cinta dan sayang juga semakin pudar dan semakin kurang ‘magis’nya.

Malah ada ketikanya sudah tidak sama seperti waktu awal-awal perkahwinan dulu. Maklumlah anak-anak sudah besar dan cucu juga semakin ramai.

Ada yang bersikap tidak kisah atau ambil mudah terhadap pasangan mereka.

Hidup bersama bertahun-tahun membuatkan mereka merasakan sudah cukup memahami pasangan, lantas mereka mula bersikap ambil mudah terhadap pasangan.

‘‘Sebenarnya itu satu kesilapan yang sering dilakukan oleh pasangan yang telah lama berkahwin. Jadi tidak hairan jika ada rumah tangga yang runtuh walaupun sudah berusia berpuluh tahun,’’ ujar Penolong Pengarah Kaunseling Kolej Matrikulasi Selangor, Zuaiza Paiman.

Tegas beliau, biarpun sudah lama berkahwin, sebagai manusia normal naluri untuk disayang tetap wujud.

‘‘Biarpun sudah lama mengharungi kehidupan bersama, perasaan cinta dan kasih sayang harus dibajai, jangan sesekali meminggirkan insan yang paling mengharapkan belaian dan perhatian,’’ tegasnya bersungguh.

Tambah beliau, biarpun masing-masing sudah ‘masak’ dengan kerenah sendiri, namun jangan membiarkan pasangan berasa kesunyian.

‘‘Adalah sangat berbahaya membiarkan pasangan kita berasa sunyi, oleh itu anggap pasangan kita sebagai orang yang paling penting,” katanya.

Menurutnya lagi, bermula dengan kesunyian akan menjadikan seseorang itu cuba mencari keseronokan yang lain.

‘‘Oleh itu adalah tanggungjawab kita untuk memberikan perhatian kepada pasangan sendiri. Biarpun sibuk sentiasa beri perhatian setiap perkara yang diingini.

‘‘Bagi isteri menjadi suri rumah ada waktunya mereka tidak menang tangan dalam menguruskan hal anak-anak dan antara mereka terlepas pandang dalam menjalankan tanggungjawab mereka terhadap suami.

‘‘Bagi isteri yang bekerjaya pula, jangan mengharapkan segala urusan suami disediakan oleh pembantu. Walhal itu semua tanggungjawab isteri,’’ ujarnya lagi.

Kata beliau lagi, dalam perhubungan komunikasi adalah perkara yang penting.

‘‘Ini kunci utama. Komunikasi adalah sesuatu yang penting, tanpa komunikasi kita tidak tahu apa yang tersirat di hati masing-masing,’’ ujarnya lagi.

Katanya lagi, dalam keadaan sedemikian biasanya pasangan akan saling memendam, akhirnya apabila meledak, keadaan tidak dapat dipulihkan lagi.

‘‘Oleh itu, jangan pendamkan apa yang terbuku sebaliknya berkongsi cerita dengan pasangan kita,” katanya.

Katanya lagi, biarpun sudah lama melayari bahtera perkahwinan, namun kuasa sentuhan mampu mengembalikan kehangatan dalam hubungan suami isteri.

‘‘Siapa kata orang tua tidak inginkan belaian dan sentuhan. Kadangkala sentuhan juga sudah cukup untuk menyampaikan segala yang terpendam,” katanya.

Rabu, Mei 26, 2010

Poligami ikut syarak, adil jamin bahagia

Berita Harian
Oleh Asyraf Ismail
2010/05/25

Tidak patuhi syarat ditetapkan Islam punca pandangan negatif masyarakat

POLIGAMI, adalah satu perkataan yang bila disebut akan membuatkan sesetengah manusia tersenyum manakala sesetengah yang lain berkerut dahi. Poligami adalah antara perkara yang disyariatkan harus dalam Islam. Poligami juga adalah larangan keras dalam ajaran agama lain. Poligami sudah menjadi amalan umat manusia sebelum kedatangan Islam lagi.

Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”. (Surah An-Nisa’, ayat 2)

Penulis tidak ingin membincangkan lebih lanjut syarat itu secara khusus, namun ingin membawa pembaca melihat kepada realiti semasa atau permasalahan semasa berkaitan poligami.

Poligami sering dilihat jijik, dipersalahkan dan dihina berdasarkan keadaan sekeliling yang memaksa masyarakat memandangnya begitu. Masyarakat sering dihidangkan dengan pelbagai adegan dan pemasalahan konflik poligami sama ada secara realiti atau lakonan di kaca televisyen.

Realitinya, masyarakat sering dihidangkan dengan keluarga poligami yang berpecah belah, tidak adil, isteri ditinggalkan, anak-anak terbiar dan sebagainya. Lakonan filem dan drama tidak kurang membuat paparan serupa malah lebih hina lagi apabila ia dijadikan bahan jenaka. Salahkah masyarakat berfikiran begitu? Mungkinkah jika mereka diberi hidangan yang lain mengenai poligami, maka mereka akan berubah fikiran?.

Pengamal poligami kebanyakannya bukanlah mereka yang layak seperti disyaratkan oleh Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 3 itu. Mereka mungkin bersedia dari sudut fizikal tetapi bagaimana pula dengan mentalnya (rohani)? Bersediakah mereka dengan ilmu? Bersediakah mereka dengan kesedaran bahawa Allah akan menyoal setiap amanah yang mereka pikul?

Sunnah Nabi SAW sering dijadikan alasan dan sandaran rapuh bagi golongan ini yang kononnya ingin mengamalkan sunnahnya. Kebanyakan mereka tidak menyedari sunnah ini disandarkan kepada hukum keharusan bersyarat yang Allah SWT nyatakan. Syarat-syarat ini sering dikesampingkan demi mencapai cita-cita berpoligami yang menjadi idaman sejak sekian lama.

Nafsu dan syahwat berlegar menguasai hati dan minda supaya terus menempuhnya tanpa perlu direnung lagi. Akibatnya, terjadilah poligami yang hina dan dihina. Wanita yang mengharapkan poligami dapat menyelamatkan mereka, terus hampa.

Namun, di sana ada begitu ramai kalangan wanita yang perlukan kasih sayang, perlukan suami, perlukan perlindungan daripada seorang lelaki. Bilangan wanita yang terus melebihi lelaki semakin bertambah saban tahun. Nisbah ini semakin ketara apabila dilihat secara lebih dekat di menara gading atau pusat pengajian lain.

Kebanyakan wanita yang berjaya sukar mendapatkan pasangan sesuai bagi mendirikan rumah tangga apatah lagi menginginkan pasangan yang baik. Lebih ketara lagi kepada janda (ibu tunggal) yang bercerai sama ada cerai hidup atau mati. Ramai di kalangan mereka muda serta masih mengimpikan sebuah keluarga.

Namun hakikatnya, mendapat pasangan yang masih bujang ketika mereka sudah bergelar janda dengan sejumlah anak, impian ini semakin sukar. Apakah jawapannya? Tentulah poligami. Dilema ini semakin menjadi rumit apabila memikirkan hakikat poligami semasa serta pandangan serong masyarakat terutama kalangan wanita sendiri terhadap amalan ini.

Kemungkinan besar, derita ibu tunggal ini akan berterusan terpaksa dipendam tanpa sempat menikmati hidup berkeluarga atas halangan terbabit. Wanita ini terus hampa. Ke mana perginya lelaki yang baik? Ke mana perginya ustaz yang begitu lantang menyampaikan dakwah? Mengapa mereka tidak tampil dan mengamalkan poligami sebenar sebagai contoh seumpama sunnah Nabi SAW?

Persoalan ini kerap timbul dan dibahaskan, ditambah ingatan bahawa sesungguhnya dakwah Nabi SAW berjalan serentak antara bil hal dan bil lisan (dengan perbuatan dan dengan perkataan). Nabi SAW tidak hanya mengajak umatnya ke masjid berjemaah tanpa Baginda terlebih dulu menunjukkan contoh. Begitulah dalam hal poligami yang diharuskan Allah SWT, Rasulullah adalah contoh teladan yang patut diikuti sepanjang zaman.

Mungkin kebanyakan lelaki baik ini mempunyai seribu satu alasan yang munasabah mahupun yang direka-reka. Antara alasan munasabah yang paling kerap diutarakan ialah berkaitan dengan undang-undang mengenai poligami. Undang-undang dilihat terlalu sulit lagi menyulitkan bagi mereka yang ingin berpoligami.

Pemohon perlu membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Syariah yang namanya sudah menimbulkan gerun. Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia pula mempunyai bilangan hakim yang terhad sehinggakan kadangkala menunggu giliran perbicaraan, rumah tangga yang dibina sedia kala menjadi retak menunggu belah mahupun terus berderai.

Mahkamah pula akan memanggil isteri pemohon, di samping bakal isteri serta walinya. Perbicaraan biasanya dibuat dalam mahkamah terbuka yang sedikit sebanyak menyebabkan ramai yang terbantut memikirkan kemungkinan aib yang bakal didengari orang lain. Perbicaraan biasanya akan membabitkan keterangan isteri yang peratus menolaknya sangat tinggi.

Maka keterangan ini kebiasaannya akan membabitkan kelemahan atau kekurangan suami sebagai menguatkan hujah menolak permohonan itu, sama ada ia benar atau mungkin ditambah-tambah. Mana mungkin orang baik lagi terhormat sanggup menghadapi keadaan ini sedangkan mereka dihormati dan disanjung masyarakat.

Akhirnya, mereka hanya memendamkan hasrat poligami demi kerana baiknya mereka dan tidak sanggup menanggung malu. Wanita yang memerlukan pembelaan atau perlindungan lelaki yang layak dan baik, sekali lagi hampa.

Kesimpulannya, poligami adalah jalan penyelesaian yang disediakan Allah untuk hamba-Nya. Hamba-Nya sebagai khalifah, haruslah mengatur jalan ini supaya cantik dan sesuai. Semua syaratnya harus dipenuhi dan dipelihara tanpa dihujani tambahan perkara yang menyulitkan. Kekeluargaan adalah permulaan sebuah ketamadunan. Sistem Islam adalah penyelamat.

Kemaruk seks di hotel murah

Sinar Harian
25 Mei 2010

DUNGUN – Seorang wanita yang sudah bertunang sanggup menjadikan hotel murah di pantai peranginan Kuala Abang, di sini sebagai tempat memuaskan nafsu bersama lelaki lain, gara-gara kemaruk seks.

Hubungan sulit itu terbongkar apabila rumah tumpangan yang disewa secara bulanan oleh lelaki itu diserbu pihak berkuasa, petang kelmarin.

Ketika serbuan dibuat kira-kira jam 5 petang, wanita yang berasal dari Kampung Seberang Pintasan itu dikatakan baru selesai melakukan perbuatan terkutuk bersama teman lelakinya yang bekerja sebagai penjual ikan di Kompleks Perikanan Kuala Dungun.

Setelah disoal siasat penguat kuasa, wanita itu mengaku sudah beberapa kali memuaskan nafsu dengan teman lelakinya yang berasal dari Kampung Baru Kuala Abang.

“Kami pernah melakukan perkara sama beberapa kali sebelum ini di beberapa lokasi, jadi bila dia menyewa bilik di sini, dia menjemput saya ke sini untuk puaskan nafsu,” katanya.

Wanita itu yang merupakan anak keempat daripada lima beradik memberitahu :Sinar Harian: bahawa dia bakal melangsungkan perkahwinan dalam tempoh terdekat.

Katanya, dia juga pernah melakukan perkara sama beberapa kali bersama tunangnya ketika bermalam di rumah bakal mentuanya.

"Bagi mengelakkan perbuatan itu diketahui, kami melakukannya pada lewat malam di dalam bilik tunang saya setelah kedua-dua orang tua nyenyak.

“Bila jumpa kawan saya di hotel, kami puaskan nafsu juga tetapi perbuatan saya ini tidak diketahui tunang saya," katanya.

Sementara itu, hasil pemeriksaan mendapati lelaki yang ditahan terlibat penyalahgunaan dadah. Polis menemui tiga paket plastik di atas meja di dalam bilik hotel dan setiap satu mengandungi 10 pil kemerahan disyaki pil kuda.

Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Dahlan Mohd Noor yang mengesahkan tangkapan itu berkata, lelaki terbabit ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

"Ujian air kencing mendapati wanita itu positif dadah dan dia ditahan mengikut Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Ketua Penguat kuasa Syariah, Jabatan Agama Daerah Dungun, Yusuf Musa mengesahkan pasangan itu turut ditahan mengikut Seksyen 31 (a) dan (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Takzir Negeri Terengganu kerana kesalahan khalwat.

"Jila jika sabit kesalahan, mereka boleh dijatuhkan hukuman denda maksimum RM3,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.

Pasangan lakukan maksiat dikecam

Sinar Harian

BAGAN NAKHODA OMAR – Penduduk Kampung Banting di sini tidak akan teragak-agak mengambil tindakan sendiri terhadap pasangan bukan muhrim yang ditangkap melakukan maksiat di kampung berkenaan.

Ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) Kampung Banting Bagan Nakhoda Omar, Muhamad Bajuri Ibrahim, 50, berkata, penduduk kampung menyedari ada kereta dan pasangan muda dari luar yang masuk ke kampung untuk melakukan perbuatan terkutuk itu.

Katanya, perlakuan tidak bermoral itu berlaku di tiga lorong antara Tebuk Haji Omar dan Tebuk Haji Mat Saman.

“Sebelum ini mungkin ada, tapi kami tidak perasan. Namun sejak akhir-akhir ini, ia berlaku. Sebaik kita menyedari masalah ini, kita pantau dan lihat lokasi yang menjadi pilihan mereka.

"Kita mengenal pasti antaranya disebabkan lorong tersebut sunyi dan dikelilingi kebun sawit dan pisang serta tiada rumah penduduk di kawasan itu.

“Selain itu, mereka memilih lokasi dekat pokok rimbun supaya terlindung daripada pandangan penduduk. Bagaimanapun, kami tidak dapat melakukan apa-apa dengan pokok tersebut memandang pemilik kebun tidak menetap di sini,” katanya.

Menurutnya, pasangan tersebut tidak mengira masa dan berani memasuki kampung itu untuk melakukan maksiat pada waktu siang ketika penduduk keluar bekerja.

“Kita percaya dan yakin mereka melakukan maksiat. Kita ada menerima aduan dan ada juga antara penduduk pernah melihat aksi mereka. Pernah satu ketika, penduduk yang terserempak dengan pasangan berkenaan hampir dirempuh ketika pasangan tersebut cuba melarikan diri,” katanya.

“Pada masa sama, kita yakin lorong-lorong ini menjadi tempat mereka melakukan maksiat daripada barang-barang yang ditinggalkan, antaranya kondom dan tisu,” katanya.

Baginya, mungkin sukar jika penduduk bertindak sendiri, tetapi dengan adanya maklumat antara satu sama lain, penduduk akan bergerak secara berkumpulan untuk membanteras.

“Amaran keras daripada penduduk kampung. Jangan lakukan maksiat di tempat kami kerana kami mungkin mengambil tindakan sendiri jika kami melihatnya sendiri. Sekarang kita sedang cuba memantau keadaan ini dan penduduk yang duduk berhampiran lorong turut bekerjasama memberikan maklumat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi JKKKP Hashim Ramli berkata, bukan hanya perlakuan maksiat malah lorong itu dan kawasan sekitar pantai kampung berkenaan turut dijadikan lokasi penyalahgunaan dadah.

“Kita sentiasa memantau dan sedang memerhatikan. Bagi sesiapa pun yang menjadikan kampung ini sebagai tempat melakukan salah laku moral perlu menghentikannya.

"Kegiatan ini sesuatu yang ditentang dan kita tidak mahu membiarkan perkara ini terus berlaku,” katanya.

Isnin, Ogos 03, 2009

Dilema berpasangan

ARKIB : 02/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia


SAYA ingin meminta pandangan dan nasihat mengenai hal keagamaan. Berikut ialah soalan saya: Kini, 'bercouple' atau perpasangan atau semakin menjadi-jadi dalam kalangan remaja.

Saya difahamkan oleh ustazah sekolah saya bahawa berpasangan merupakan suatu perbuatan yang dilarang dalam Islam kerana perbuatan ini boleh membawa kepada perlakuan maksiat seperti berzina.


Baru-baru ini, sahabat karib saya yang sedang dalam dilema sama ada ingin berpasangan ataupun tidak telah datang kepada saya untuk meminta pendapat saya dan saya telah menasihatkannya supaya tidak berpasangan kerana ia perbuatan haram.

Namun, saya mendapat tahu bahawa dia telah berpasangan beberapa hari yang lepas. Saya amat terkejut mendengar perkara tersebut. Perangai dia berubah semenjak berpasangan dan pelajarannya diabaikan. Saya amat sayang akan sahabat saya itu dan saya tidak mahu dia lalai dengan perkara tersebut dan tidak mahu dia terjerumus ke lembah maksiat.

Jadi, saya ingin meminta pandangan dan nasihat bagaimana saya boleh menasihati sahabat saya tersebut. Kalau boleh sertakan dalil-dalil yang menerangkan berkaitan perkara ini supaya sahabat saya sedar bahawa bercouple adalah perbuatan yang salah. Semoga dapat membantu saya.

Sekian, terima kasih.

Sahabat Prihatin, Kuantan, Pahang.

Sahabat Prihatin,
Syabas kerana anda berusaha untuk membantu sahabat. Namun, sebelum sebarang tanggapan dibuat, anda perlu menyiasat perhubungan sahabat anda yang sebenar. Tidak perlu membuat penilaian awal kerana anda perlu berbincang dari hati ke hati dengan sahabat anda.


Berkasih

'Berkawan biar seribu, berkasih biar satu'. Sering kita dengar bukan? Dalam konteks ini, berkawan itu, tidaklah menjadi satu kesalahan. Malahan, jika kita pandai dalam berkawan, ia akan membawa kegembiraan kepada kita. Menjadikan hari-hari kita semakin berwarna dengan kehadiran kawan-kawan di sekeliling kita.

Nabi Muhammad SAW menegaskan: "Apabila seorang lelaki dan wanita duduk bersama mereka ditemani teman ketiga (yang membisikkan kejahatan kepada mereka)." Konteks Perhubungan
Berlainan Jantina

Inilah firman Allah ta'ala"
"dan orang-orang beriman lelaki dan perempuan, setengahnya menjadi penolong bagi setengah yang lain, mereka menyuruh berbuat makruf dan mencegah mungkar."

Dalam konteks ini, tiada halangan lelaki dan perempuan ajnabi berkawan dan bersahabat serta liqa' atau pertemuan dalam bekerjasama dalam perkara-perkara kebaikan seperti menuntut ilmu, program-program kebajikan dan jihad.

Perincian Dr Abdul Halil Abu Syuqqah (sahabat Dr Qardhawi),
1. Pertemuan dan kerjasama itu hendaklah dalam suasana serius
2. Menahan pandangan
3. Menghindari berjabat tangan
4. Mengenakan pakaian yang menepati syariat
5. Tidak bersesakan dan elok jika ada pemisahan
6. Menghindari suasana berdua-duaan di tempat sunyi.