#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Bicara Agama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bicara Agama. Papar semua catatan

Khamis, Jun 21, 2012

Rasulullah SAW suami romantis

Oleh : TUAN ASMAWI TUAN UMAR
Sumber : Utusan Malaysia


KEHIDUPAN berumahtangga atau bersuami isteri pasti akan bertambah seri dan sinar andai setiap pasangan tersebut tidak begitu lokek dan kedekut kudrat dalam melestarikan perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain.

Hal sedemikian jika direnungkan sejenak tidak begitu sukar perlaksanaannya akan tetapi disebabkan barangkali usia pembinaan rumah tangga yang agak lama mungkin menjadi penghalangnya.

Ini kerana dikatakan sudah tiada lagi kemanisannya seperti seawal rumah tangga didirikan.

Sudah tentu ini satu persepsi yang salah lagi teramat silap, ini kerana sesebuah rumah tangga yang dibina bukanlah bersifat dalam adegan lakonan drama atau teater yang mempunyai tempoh masa, bahkan ia adalah satu proses pembinaan ummah sepanjang masa.

Sepatutnya semakin mengenal hati budi seseorang, maka semakin bertambah keakraban ditambah pula pernah mengharungi suka duka, jerit perih dalam kehidupan secara bersama.

Sebagai seorang suami yang sentiasa ingin melakukan penambahbaikan terhadap usaha pengislahan dalam rumah tangga, seseorang itu tidak mempunyai pilihan ikon yang paling tepat dan terus relevan untuk diikutinya melainkan Baginda Nabi Muhammad SAW.

Dewasa ini, kita dikejutkan dengan saban hari peningkatan kadar perceraian yang dipelopori oleh pasangan-pasangan muda malah tidak ketinggalan juga pasangan-pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin, apakah itu satu berita atau riwayat yang hanya membuatkan kita tersenyum sinis sambil berkata, "Ya, kalau sudah tidak ada jodoh , apa lagi yang mampu dibuat, perpisahan adalah jalannya."

Kita sebenarnya begitu mudah untuk tidak berfikir bagaimana untuk terus menyelamatkan sebuah ikatan suci atas nama pernikahan malah dengan mudah jika sekiranya terdapat pelbagai konflik dan masalah, maka dengan cepat memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Oleh itu, dalam mengemudi rumah tangga selain daripada kematangan berfikir ia juga harus dimampatkan dengan ilmu pengetahuan agar setiap tindakan itu bersesuaian dengan norma-norma masyarakat serta mengikut aturan ilmu yang diajarkan oleh Islam.

Benar kata-kata yang kita biasa dipasakkan dalam minda bahawa, 'hidup tidak selalunya indah'. Tetapi pernahkah kita semua berfikir juga bahawa jika kena dan tahu caranya keindahan itu boleh muncul dalam kehidupan, maka ia bergantung kepada individu, sama ada untuk mencarinya atau bagi yang sudah memiliki dengan sengaja menghilangkannya.

Menyoroti amalan Baginda Rasulullah SAW dalam melaksanakan tanggungjawab Baginda SAW sebagai suami, maka akan terfikir di minda kita semua bahawa ia tidaklah begitu sulit dan sukar untuk dijelmakan sebagai amalan dalam kehidupan kita semua bagai umatnya.

Mengambil contoh Baginda SAW, walaupun kecil pada sesetengah pandangan daripada kita seperti Rasulullah SAW tidur dalam satu selimut dengan isterinya, ini dapat kita hayati hadis yang menyatakan bahawa daripada Atha' bin Yasar: "Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bekas. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, "Mengapa engkau bangkit?" Jawab Aisyah, "Kerana saya haid, wahai Rasulullah." Sabda Rasulullah, "Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku." Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau." (riwayat Sa'id bin Manshur) .

Selain itu juga , baginda Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat soal penampilan diri agar sentiasa kemas di mata isteri, ini pernah diperkata oleh Saidatina Aisyah:

"Sesungguhnya Nabi SAW apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah SAW (riwayat Ibnu Majah).

Isnin, Julai 05, 2010

Hati gelap punca maksiat

Utusan Malaysia - Bicara Agama
02/07/2010

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

Al-Maraghi berkata: Setelah Allah SWT menyebut tentang ucapan mereka: "Al-Quran itu adalah dongengan orang terdahulu dan bukan wahyu daripada Allah SWT."

Lalu disusuli keterangan tentang sikap biadab mereka yang disebabkan kebiasaan mereka berbuat keji, lalu hati mereka tertutup untuk menerima pandangan yang baik sehingga tidak dapat membezakan antara dongengan dan hujah yang benar.

Kemudian Allah SWT menolak tuduhan dusta yang mereka dakwa dan sering diulang dalam bentuk ucapan: "Jika apa yang dikatakan Muhammad itu benar, pasti kami mendapat kedudukan yang mulia di sisi Tuhan".

Namun, Allah SWT telah menjelaskan kepada mereka, bahawa mereka itu berdusta. Mereka akan dijauhkan daripada rahmat Allah SWT dan tidak akan memperoleh keredaan-Nya.

Kemudian mereka diperintahkan memasuki neraka dan akan dikatakan kepada mereka bahawa azab ini sebagai balasan terhadap perbuatan kamu dahulu dan juga kerana mereka mendustakan apa yang telah dijanjikan oleh Rasulullah SAW kepada kamu sekelian.

Firman Allah SWT: Sebenarnya! (ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.

Syed Qutub berkata: Maksudnya hati mereka telah ditutupi kekotoran dosa dan maksiat yang dilakukan mereka.

Sebenarnya, apabila hati itu lumrah dengan kerja-kerja maksiat, maka cahayanya amat muram, gelap dan kemudian diliputi karat yang tebal yang tidak dapat lagi ditembusi nur hidayah.

Sifat kepekaannya perlahan-lahan hilang dan akhirnya menjadi lemah dan terus mati.

Riwayat Ibn Jarir r.a, al-Tirmizi, al-Nasaie dan Ibn Majah dari Muhammad Ibn al-'Ijlan dari al-Qa'qa' Ibn Hakim dari Abu Soleh dari Abu Hurairah r.a dari Nabi SAW sabdanya yang bermaksud: "Apabila seseorang hamba itu mengerjakan satu dosa, maka timbullah di dalam hatinya satu tompok karat yang hitam.

"Andainya ia bertaubat daripada dosa itu, maka hatinya kembali bersih dari karat tersebut dan jika dosanya bertambah, maka tompok karat hitam itu bertambah besar".

Firman Allah SWT: Jangan lagi mereka berlaku demikian! (kalau tidak), mereka pada hari itu, tetap terdinding dari (rahmat) Tuhannya.

Ibn Kathir berkata: "Maksudnya pada hari kiamat nanti, mereka mempunyai satu kedudukan dan menempati Sijjin. Kemudian pada hari kiamat kelak mereka akan terhalang daripada melihat Allah SWT iaitu Pencipta mereka.

Imam Abu Abdillah al-Syafie berkata: "Dalam ayat ini terdapat dalil yang menunjukkan bahawa orang-orang mukmin dapat melihat Allah SWT pada hari tersebut".

Firman Allah SWT: Kemudian, sesungguhnya mereka akan menderita bakaran neraka. Akhirnya dikatakan (kepada mereka): Inilah dia (azab seksa) yang kamu dustakan dahulu.

Al-Maraghi berkata: "Setelah mereka dihalang mendekatkan diri kepada Allah SWT pada hari kiamat dan memperolehi idaman yang dahulu mereka harap-harapkan, lalu mereka dicampakkan ke neraka bagi merasakan berkobar-kobar apinya dan kepanasannya.

Seksaan yang ditimpa itu adalah sebagai balasan terhadap perbuatan kamu yang mendustakan berita-berita yang disampaikan oleh rasul yang benar itu.

Sebagaimana kamu juga beranggapan sama sekali tidak akan dibangkitkan, dan al-Quran itu hanya dongengan orang terdahulu serta Nabi Muhammad SAW itu ahli sihir dan pendusta dan lain-lain dakwaan.

Surah ini jelas membincangkan golongan yang tidak baik seterusnya membawa kepada balasan neraka.

Lebih malang lagi mereka yang kufur tidak dikurniakan melihat Allah SWT pada hari kiamat sedangkan majoriti ulama menafsirkan bahawa mafhum muafakah menunjukkan orang yang beriman boleh melihat Allah SWT sebagai tambahan kurniaan Allah kepada mereka pada hari akhirat kelak.

Hal ini dibenarkan oleh jumhur ulama seperti Imam al-Syafie, Imam Malik, al-Baghawi dan lain-lain. Melihat Allah SWT merupakan kemuncak kenikmatan dan penghormatan yang dapat diraih oleh hamba-hamba Allah yang soleh.

Selasa, Januari 12, 2010

Ciri-ciri isteri solehah

SOALAN:

KITA biasa dengan ungkapan yang berbunyi, "syurga di bawah tapak kaki ibu". Tetapi benarkah syurga isteri pula di bawah tapak kaki suami? Adakah ungkapan ini disokong oleh mana-mana hadis?

Jawapan:

Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.

Adapun janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.

Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34)

Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660, 661)

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.
2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.
4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.

Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya.
Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)

2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.

3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma' bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".
Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)

4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.

5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.

6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.

7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)


Utusan Malaysia
ARKIB : 08/01/2010

Jumaat, September 04, 2009

Perkara asas dalam bernikah

SOALAN:
Saya ingin penjelasan tentang suatu perkara, iaitu yang berkaitan dengan hukum nikah. Apakah keperluan asas untuk bernikah?

Ada orang yang menyatakan, jika dalam keadaan yang tertentu, contohnya, dalam keadaan yang terdesak dan terpaksa, dan tiada cara lain untuk mengatasi masalah, dan untuk mengatasi dosa zina terutamanya, nikah itu sah dengan hanya adanya mas kahwin, Allah dan para malaikat sebagai saksi, tak perlu ada saksi atau wali yang lain. Tolong beri penjelasan tentang hal ini.

Jawapan:

Hukum-hakam yang berkaitan dengan bab nikah tetap sama seperti yang diajarkan dalam Pendidikan Agama Islam atau Pendidikan Syariah Islamiah semasa di tingkatan lima di sekolah menengah. Atau pun kursus-kursus pra-perkahwinan yang diwajibkan oleh jabatan agama negeri masing-masing dan ia telah konsisten seumpama itu sejak zaman Nabi Muhammad SAW.

Asasnya terletak pada rukunnya yang lima atau biasanya diakronimkan sebagai SISWA di sekolah iaitu:

(1) Suami iaitu pengantin lelaki

(2) Isteri iaitu pengantin perempuan

(3) Saksi iaitu dua orang saksi pernikahan terdiri daripada dua orang lelaki yang adil

(4) Wali kepada pengantin perempuan seperti bapanya

(5) Akad iaitu lafaz ijab dan qabul

Kelima-lima rukun ini perlu dipenuhi syarat-syaratnya barulah sesuatu akad nikah itu sah hukumnya kerana ia adalah perkara asas bab nikah dalam ajaran agama Islam untuk menghalalkan hubungan di antara kedua-dua orang pengantin.

Sebaliknya, kekurangan mana-mana rukun akan memberi kesan batalnya hukum nikah dan hubungan di antara kedua-dua mempelai tidak sah, bahkan statusnya sama sahaja dengan hubungan yang tidak halal. Nauzubillah.

Contohnya ‘tiada wali’ seperti yang disebut oleh penanya di atas, hadis di bawah secara terang-terangan menghukumkannya batal atau tidak sah, yang bermaksud: Dari ‘Urwah r.a dari Aisyah r.a dari Nabi SAW bahawasanya baginda telah bersabda: “Mana-mana perempuan yang bernikah tanpa izin walinya, maka pernikahannya itu batal”. (Baginda mengulangi lafaz hadis sebanyak tiga kali menandakan keseriusan hukum ini). [Sumber: Musnad al-Shafie, juzuk 1, halaman 220]

*Perhatian: Hadis mengenai ‘tidak sah nikah tanpa wali’ ini disebut di dalam hampir kesemua kitab-kitab hadis muktabar seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Ibnu Hibban, Al-Mustadrak ‘ala al-Sahihayni oleh al-Hakim, Sunan al-Tirmizi, Sunan al-Bayhaqi al-Kubra, Sunan al-DaruQutni, Musnad al-Shafie, Sunan Abu Daud, Sunan al-Kubra oleh al-Nasa’i dan Sunan Ibnu Majah.

Sebagai seorang Muslim warganegara Malaysia yang berpegang kepada Mazhab Imam al-Shafie, maka kita hendaklah mematuhi hukum-hukum fikah yang telah digariskan oleh beliau.

Berbalik kepada usul penanya tentang ‘bernikah tanpa wali dan saksi, ternyata ia bertentangan dengan pendirian Imam al-Shafie yang menyebut hadis marfu’ ini dalam kitabnya Musnad al-Shafie, juzuk 1, halaman 220 dan 291 yang bermaksud: Dari Ibnu Abbas r.a. berkata: “Tiada pernikahan kecuali dengan (kehadiran) wali mursyid dan dua orang saksi (lelaki) yang adil”.

Al-Baihaqi juga ada menyebut bahawa Imam al-Shafie ada meriwayatkan hadis yang sama tetapi bersanadkan al-Hasan bin Abu al-Hasan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tiada pernikahan kecuali dengan (kehadiran) wali mursyid dan dua orang saksi (lelaki) yang adil”. [Sumber: Sunan al-Baihaqi al-Kubra, juzuk 7, halaman 125, bilangan hadis: 13497]

Di dalam Islam, adalah sesuatu yang penting untuk memeriksa peribadi seseorang yang membuat sesuatu kenyataan sebelum menerima apa-apa yang diperkatakannya seperti panduan al-Quran dalam Surah al-Hujuraat, ayat 6 yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (berita tersebut dahulu untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak mengakibatkan sesuatu perkara buruk atau kecelakaan (yang tidak diingini) kepada sesuatu kaum berpunca daripada kejahilan kamu (mengenainya) sehingga membuatkan kamu menyesal atas apa yang telah kamu lakukan.

Oleh yang demikian, kita perlu menyelidik autoriti orang yang dimaksudkan dengan, ‘ada orang yang menyatakan…sekian, sekian’ terlebih dahulu bagi menentukan sama ada ia adalah kenyataan yang boleh diterima pakai atau perlu diabaikan.

Sementara pada pihak ustaz, hasil penyelidikan menemukan satu hadis (athar) berkaitan dengan soalan saudara yang diriwayatkan oleh al-Bayhaqi dalam bab apa yang diharuskan pada pernikahan tanpa wali dan dua orang saksi berdalilkan harusnya hukum nikah dengan perempuan yang dihadiahkan (hibah) yang bermaksud: Dari Abu Sa’id r.a. berkata: Tidak sah sesuatu pernikahan itu kecuali dengan (kehadiran) wali, saksi dan mahar dengan pengecualian terhadap apa-apa dari (autoriti) Nabi SAW semasa hidupnya. [Sumber: Sunan al-Baihaqi al-Kubra, juzuk 7, halaman 6, bilangan hadis: 13137].

Kesimpulannya, kenyataan ‘orang’ yang dimaksudkan oleh saudara itu telah dijelaskan oleh hadis (athar) di atas.

Maka, tidak boleh tidak, anda mestilah memenuhi tuntutan hukum fikah bab munakahat untuk berkahwin. Tiada jalan pintas dibenarkan bagi menghalalkan hubungan di antara lelaki dan perempuan kecuali dengan bernikah secara yang sah di sisi agama Islam seperti orang lain telah lakukan.

Malahan, perkembangan teknologi semasa sepatutnya memudahkan kita semua untuk menyelesaikan apa jua masalah yang kita sebagai manusia mungkin hadapi sehingga logik membayangkan kewujudan ruang situasi ‘terpaksa dan terdesak’ atau ‘tiada cara lain’ menjadi semakin sempit kini.

Jumaat, Ogos 07, 2009

Hukum menikahi wanita yang hamil

SOALAN:
Apa hukumnya menikahi wanita yang sedang hamil (luar nikah). Benarkah jika seorang lelaki menikahi wanita yang hamil terlebih dahulu hukumnya tidak sah dan harus menikah sekali lagi jika anak yang di kandung sudah lahir? (sesudah anak berusia 40 hari).

Apakah status anak itu kerana setahu saya anak tersebut tidak boleh dibinkan menurut nama si ayah dan jika anak itu perempuan maka si ayah tidak boleh menjadi wali.

Jawapan:
Menurut Dr. Wahbah al-Zuhaili, penulis al-Fiqh al-Islami, hukum tidak sah seseorang lelaki menikahi wanita yang sedang hamil hasil hubungan luar nikah atau diistilahkan sebagai 'zina' dalam bidang fikah adalah fatwa mazhab Maliki.


Namun tidak disyaratkan anak yang dilahirkan oleh wanita itu mesti berusia 40 hari atau lebih untuk melaksanakan akad nikah kemudiannya.

Mazhab ini mensyaratkan lelaki yang ingin bernikah dengan mana-mana wanita yang terlibat dengan zina perlulah memastikan rahimnya suci terlebih dahulu. Caranya, dengan menunggu sehingga tempoh tiga kali datang bulan (haid) atau berlalunya tempoh tiga bulan dari saat terakhir dia melakukan zina (al-istibra').

Jumhur ulama bersepakat mewajibkan istibra' demi menjaga kesucian susur galur keturunan kerana ia akan melibatkan status anak sah taraf atau tidak untuk dibinkan kepada suami yang dikahwini setelah zina berlaku, kemudian masalah wali kahwin bagi anak perempuan dan masalah pewarisan harta dari segi hukum-hakam Islam.

Jika syarat ini diabaikan, dan akad nikah diteruskan, maka akadnya dihukumkan fasid atau rosak yakni tidak sah di mana perpisahan dihukumkan wajib bagi pasangan tersebut; sama ada zahir pada wanita itu tanda-tanda hamil atau tidak.

Jika wanita itu didapati mengandung hasil hubungan zina, maka istibra'nya ialah kelahiran anak itu. Tidak sah akad nikah sebelum wanita itu bersalin berdasarkan hadis yang bermaksud: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya). (riwayat Abu Daud dan juga oleh al-Tirmizi yang menghukumkannya berdarjat hasan dengan lafaz 'anak orang lain').

Termasuk satu lagi hadis sahih dari al-Hakim mengenai wanita-wanita tawanan perang Awtas susulan daripada peperangan Hunain yang dibahagi-bahagikan kepada para pejuang yang bermaksud: "Tidak disetubuhi seorang wanita hamil itu sehingga bersalin".

Syarat ini juga digunapakai dalam mazhab Hanbali terutamanya bagi lelaki yang telah mengetahui status wanita itu berdasarkan hadis riwayat Imam Ahmad bin Hanbal yang bermaksud: "Janganlah sekali-kali seorang lelaki menyetubuhi seorang wanita yang hamil bukan dari benihnya".

Syarat tambahan mazhab ini ialah hendaklah wanita itu bertaubat nasuha terhadap dosa besar yang telah dilakukannya itu bagi mengeluarkannya daripada hukum asal al-Quran ke atas penzina: Lelaki yang berzina tidak boleh berkahwin melainkan dengan perempuan yang berzina atau perempuan musyrik; dan perempuan yang berzina pula tidak boleh berkahwin melainkan dengan lelaki yang berzina atau lelaki musyrik dan perkahwinan yang demikian itu diharamkan ke atas orang-orang yang beriman. (al-Nur: 3)

Lebih-lebih lagi jika mereka tidak berkahwin dengan lelaki yang berzina seperti yang diisyaratkan di akhir ayat tersebut.

Hal ini berdasarkan hadis yang bermaksud: "Seseorang yang benar-benar bertaubat daripada dosanya (taubat nasuha) adalah umpama seorang yang suci daripada segala dosa".

Kemudian baginda membacakan sepotong ayat al-Quran dari surah al-Baqarah ayat 222: Sesungguhnya Allah Maha Menyintai orang-orang yang suka bertaubat dan sentiasa menjaga kesucian.

Sementara mazhab Hanafi menghukumkan sah akad nikah seseorang lelaki yang mengahwini seorang wanita yang berzina dengan seorang lelaki lain jika dapat dipastikan wanita itu tidak hamil.

Jika wanita itu hamil juga diharuskan menikahinya dengan syarat tidak boleh menyetubuhi wanita itu sehingga dia bersalin berdasarkan ayat 23-24 dari surah al-Nisaa' yang tidak menyenaraikannya sebagai wanita yang haram dinikahi:
Telah diharamkan kepada kamu untuk berkahwin dengan (perempuan-perempuan yang berikut): ibu-ibu kamu, anak-anak kamu, adik-beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu kamu, anak-anak saudara perempuan daripada adik-beradik lelaki dan perempuan kamu, ibu-ibu susuan kamu dan adik-beradik susuan kamu, dan ibu-ibu isteri-isteri kamu, anak-anak tiri hasil perkahwinan terdahulu isteri-isteri kamu yang telah kamu nikahi (setelah mereka bercerai) kecuali jika kamu menceraikan mereka sebelum bersetubuh, maka tidak salah kamu (berkahwin dengan anaknya). Dan (haram juga bagi kamu untuk berkahwin dengan) bekas isteri anak-anak lelaki kamu sendiri yang berasal dari benih kamu sendiri. Dan diharamkan ke atas kamu menghimpunkan dua orang perempuan adik-beradik sekaligus sebagai isteri-isteri kamu, kecuali yang telah berlaku pada masa lalu. Sesungguhnya Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Dan (diharamkan juga kamu berkahwin dengan) perempuan-perempuan yang masih berstatus isteri orang, kecuali hamba sahaya yang kamu miliki. (Hukumnya haram ini) adalah suatu ketetapan dari Allah (yang diwajibkan) ke atas kamu. Dan dihalalkan bagi kamu perempuan-perempuan lain selain daripada yang disebut (di atas), untuk kamu mencari (wanitai) dan memperisterikannya dengan harta kamu dengan menikahinya secara yang sah, bukan secara berzina… (an-Nisaa': 23 dan 24).

Pendapat ini dikuatkan dengan hadis riwayat al-Bukhari berkenaan perlakuan zina wanita yang telah berkahwin: Anak yang dilahirkan itu bagi empunya kamar tidur (iaitu hak suami yang sah), dan batu bagi penzina (rejam). Ia menggambarkan bahawa air mani penzina tidak mengharamkan hubungan perkahwinan yang sah.

Mazhab ini bersependapat dengan mazhab Hanbali dan Maliki yang mengharamkan persetubuhan kepada lelaki yang mengahwini wanita yang mengandung bukan dari benihnya. Sehingga wanita itu bersalin berdalilkan hadis yang sama: "Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah sekali-kali dia menyiram airnya pada tanaman orang lain. (Iaitu menyetubuhi wanita yang hamil bukan dari benihnya)". (riwayat Abu Daud).

Mazhab Syafie pula mengharuskan seseorang yang berzina menikahi wanita yang menjadi pasangan zinanya berdasarkan ayat 3, Surah al-Nur.

Perbuatan haram mereka berzina tidak mengharamkan mereka untuk melakukan pernikahan yang sah di mana hukumnya halal. Fatwa ini disepakati oleh jumhur ulama.

Nasab bayi

Menurut fatwa jumhur, jika wanita itu melahirkan anak selepas enam bulan berkahwin, maka anak itu dinasabkan kepada suaminya yang sah.

Jika kurang dari tempoh itu, maka tidak boleh dinasabkan kepadanya kecuali dia berkeras mengaku bahawa bayi itu anaknya atau tidak ada bukti jelas ia adalah hasil daripada hubungan zina terutamanya dalam menjaga maruah seorang Muslim.
Tempoh minimum enam bulan ini berdasarkan hadis riwayat al-Baihaqi di mana pada masa pemerintahan Saidina Umar, terdapat seorang wanita yang melahirkan anak setelah enam bulan mengandung.
Dia telah dibawa menghadap Saidina Umar untuk dihakimi iaitu diputuskan menjalani hukum rejam. Kes tersebut sampai ke pengetahuan Saidina Ali lalu beliau berkata: Wanita itu tidak sepatutnya direjam.
Kata-kata beliau akhirnya diketahui oleh Saidina Umar, lalu beliau terus menghantar utusan bertanyakan Saidina Ali tentang hal itu.
Saidina Ali terus membacakan ayat 233 dari surah al-Baqarah yang bermaksud: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan bayi-bayi mereka sehingga genap tempoh dua tahun bagi mereka yang ingin menyempurnakan proses penyusuan…. Kemudian beliau membaca ayat 15 dari surah al-Ahqaf yang bermaksud: Dan tempoh mengandungnya sehingga selesai proses penyusuannya mengambil masa selama 30 bulan….
Perbezaan kedua-dua tempoh di dalam dua ayat al-Quran tadi ialah 6 bulan (30 bulan - 24 bulan bersamaan dengan 6 bulan).
Jadi, kelahiran itu tidak boleh dianggap anak zina, oleh yang demikian, mereka telah membatalkan hukuman rejam ke atas wanita tersebut.
Hanya status undang-undang anak tak sah taraf sahaja tidak boleh berbinkan suami kepada wanita yang mengandung luar nikah dan seterusnya tidak boleh berwalikannya.
Menurut fatwa Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan Kali Ke 57 pada 10 Jun 2003 penjelasan istilah Anak Tidak Sah Taraf adalah seperti berikut:
*Anak yang dilahirkan di luar nikah iaitu sama ada hasil daripada zina atau rogol;
*Anak yang dilahirkan dalam tempoh kurang enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah (sehingga dia bersalin) dan dia bukan hasil daripada persetubuhan syubhah; dan
*Anak yang dilahirkan dalam tempoh lebih dari enam bulan dua lahzah Qamariah dari waktu akad nikah dan ada bukti dari segi syarak bahawa anak tersebut ialah anak luar nikah melalui ikrar (pengakuan) mereka yang berkenaan (suami dan isteri tersebut atau salah seorang daripadanya), atau empat orang saksi yang memenuhi syarat-syarat mengikut hukum syarak seperti proses li'an.


Jumaat, Julai 31, 2009

Jangan mudah minta cerai

SOALAN:

Saya berkahwin pada tahun 2006 dan mempunyai seorang anak lelaki berusia dua tahun. Saya bercerai pada April 2009. Untuk pengetahuan ustaz, saya yang pohon cerai kerana kami sudah tidak tinggal bersama sejak tahun 2008.

Selain itu, suami juga mengabaikan tugasnya sebagai suami dan ayah. Saya dibiarkan seperti gantung tidak bertali. Jadi saya minta cerai, berdosakah saya ustaz? Adakah saya dikategorikan sebagai isteri nusyuz?

Suami juga tidak pernah solat, dan bila saya suruh atau nasihat, dia kata solat tidak boleh dipaksa. Biar dapat hidayah, baru akan solat. Walaupun suami baik, dia agak berkira bab duit dengan saya dan selalu dengar cakap emak dan kakak sahaja. Pandangan saya langsung tidak dipeduli.

Saya runsing memikirkan hal ini. Bagaimana saya dapat meneruskan hidup ini terutama memberi kehidupan yang sempurna kepada anak?

JAWAPAN:

Saya tidak tahu kenapa puan bercerai dengan begitu cepat. Kalau ikutkan puan baru berumahtangga sejak 2006, maksudnya belum sampai belum sampai tiga tahun puan sudahpun tuntut cerai.

Mungkin ada sesuatu yang puan tidak dapat menanggung atau puan tidak dapat bersabar dengan perangai suami. Meminta cerai dari suami kadang-kadang menjadi tabiat sesetengah wanita yang tidak sabar dengan kerenah suami.

Di dalam menjaga hak seorang isteri Islam memperuntukkan fasakh (membatalkan nikah) yang boleh dituntut oleh isteri dari kadi atau hakim Mahkamah Syariah bagi dengan alasan yang syarie bagi membatalkan nikah mereka.

Takrifnya, fasakh adalah membatalkan atau melepaskan akad nikah disebabkan oleh kecacatan yang berlaku pada waktu akad atau kecacatan yang mendatang selepas berlakunya akad nikah yang menghalang kekalnya perkahwinan.

Hikmah fasakh dinyatakan ada tiga perkara seperti berikut:
* Untuk menjamin hak dan perlindungan kepada kaum wanita sekiranya mereka teraniaya.
* Menyedarkan kaum suami bahawa perceraian bukan hanya dimiliki secara mutlak oleh suami sahaja.
* Menunjukkan keunggulan syariat Allah SWT yang Maha Mengetahui akan keperluan hamba-Nya.


Berdosa atau tidak puan dalam menuntut cerai itu urusan Allah SWT. Saya tidak tahu apa sebenarnya yang berlaku dalam rumahtangga puan.

Sebenarnya setiap pasangan suami isteri adalah bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga ikatan pernikahan sehingga ke akhir hayat serta mencari jalan bagi mengatasi sebarang masalah yang timbul.

Masalah sebenarnya bukan rekaan Allah SWT untuk sengaja menyusahkan hambanya. Malahan manusia sendiri yang mendedahkan dirinya atas sesuatu kejahatan dan kesalahan dan harus bertanggungjawab atas perbuatannya sendiri tanpa menyalahkan sesiapapun.

Suami tidak bertanggungjawab antara alasan puan, bukan suami puan seorang yang tidak bertanggungjawab malah ramai lagi lelaki yang sama macam perangai bekas suami puan. Bayangkan sahaja kalau kesemua mereka meminta cerai?


Puan juga mendakwa bekas suami tidak solat. Dia tidak solat sejak bila? Kalau dia tidak solat sejak puan kenal dia dan tiba-tiba didakwa dia tidak jaga solat, menjadi alasan mengapa puan tidak sukakan dia, itu adalah kurang tepat. Peliknya manusia apabila tidak suka semuanya nampak buruk.

Saya kalau boleh tidak mahu rumahtangga orang Islam dirobohkan dengan sewenang-wenangnya. Saya mahu mengajak kaum muslimin berusaha mempertahankan rumahtangga, keruntuhan institusi keluarga adalah permulaan kepada permasalahan negara.

Mengikut kajian, kebanyakan anak-anak serta remaja yang berpeleseran adalah berpunca daripada broken family. Dalam persoalan ini jika puan mempunyai alasan yang kukuh dan syarie, maka tindakan puan tidaklah jatuh nusyuz. Malahan nusyuz itu sendiri membawa maksud yang lain.

Nusyuz bermaksud seorang isteri meninggalkan rumah tanpa izin suami, tidak taat kepada suami sedangkan suami melaksanakan tanggungjawabnya kepada ahli keluarga.

Suami hanya dengar cakap ibu dan kakak dia sedangkan cakap isteri tidak didengar. Adalah terlalu awal untuk puan menghukum suami dengan demikian.

Masalahnya kadang-kadang orang perempuan terlalu ingin melihat suami mendengar cakapnya dan kalau ada yang tidak didengar maka dituduh suami mendengar tak dengar cakap isteri.

Puan berumahtangga dari tahun 2006 hingga 2008 baru tiga tahun. Tetapi bekas suami puan menjadi anak kepada ibu untuk 30 tahun (kalau umurnya 30) begitu juga sebagai seorang adik kepada kakak-kakaknya.


Saya tidak nafikan bahawa suami mestilah meletakkan kepentingan isteri di hadapan tanpa menafikan kedudukan ibu bapa dan adik-beradik.

Sekarang puan sedih kerana kehilangan suami. Bukan mudah untuk melangsungkan kehidupan sebagai ibu tunggal. Untuk menghilangkan kesedihan puan kena banyak bersabar, terima apa yang berlaku sebagai takdir dari Allah ada hikmah di sebaliknya.

Jangan kenang yang sudah lepas kerana mengenang yang lepas akan jadikan puan terus diselubungi keresahan dan kesedihan sekali gus mengganggu aktiviti seharian. Dalam memberi pendidikan kepada anak, puan harus memainkan peranan sebagai seorang ibu dan ayah.

Adalah sukar bagi anak itu melalui kehidupan tanpa seorang ayah. Anak itu berhak mendapat kasih sayang dari ayahnya, jangan dihalang dan dibantah. Melainkan memang dikhuatiri sekiranya ayah boleh merosakkan masa anaknya dengan tabiat yang tidak baik.

Kebiasaannya mahkamah akan memerintahkan bekas suami menyediakan perbelanjaan yang secukupnya mengikut kemampuannya. Jika perbelanjaan yang diberi oleh suami masih tidak memadai hendaklah dipohon penambahan perbelanjaan anak melalui peguam.

Isnin, Julai 13, 2009

Haram bagi wanita cukur alis, membentuk gigi sempurna

RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Mas’ud)

Maksud mengubah ciptaan Allah ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah yang sudah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.

Mencabut bulu kening yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu supaya menepati cita rasa sendiri untuk kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan haram di sisi Islam.

Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah. Lagipun jika yang dicabut itu yang berselerak, bukan termasuk bulu dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya.

Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan. Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya saja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir).

Memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau semburan) adalah harus tetapi tidak mengubahnya kerana ia adalah haram.

Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah kerana itu sikap diwarisi daripada syaitan.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)

Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.

Isnin, Jun 22, 2009

Bertunang janji murni ke arah penuhi Sunnah

Oleh Masmawi Abdullah
Berita Harian
Agama

Batas hubungan pasangan belum bernikah perlu dijaga bagi elak perbuatan zina

PERTUNANGAN bertujuan memberi kesempatan kepada lelaki dan perempuan lebih mengenali diri serta keluarga masing-masing, bukan tiket untuk bergaul mesra seumpama suami isteri yang sah kerana perhubungan lelaki dan wanita mempunyai batasan tertentu.

Oleh itu, bagi pasangan muda mudi yang masih di alam percintaan atau pertunangan perlu menjaga batas hubungan ditetapkan agama. Jika mereka melakukan hubungan seks sebelum bernikah, mereka sudah melanggar batasan agama melarang perbuatan zina.

Berdasarkan hukuman Islam, mereka yang melakukan zina boleh dihukum 100 kali sebat bagi individu yang belum bernikah, dan direjam dengan batu bagi mereka yang sudah bernikah.

Mereka yang sudah mampu dan bersedia dari segi mental, fizikal serta mempunyai keyakinan daripada aspek ekonomi perlulah menyahut seruan agama untuk bernikah atau mendirikan rumah tangga.

Amalan menangguhkan perkahwinan atau pernikahan tidak digalakkan Islam. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Tiga perkara jangan dilewatkan, iaitu solat apabila sampai waktunya, jenazah apabila siap diuruskan untuk dikebumikan dan wanita yang belum bersuami, tetapi sudah ada calon sesuai." (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim)

Larangan menjauhi perbuatan menjurus kepada zina termasuk berdua-duaan lelaki dan perempuan banyak diingatkan dalam firman Allah sebagai dalil yang perlu diberi perhatian disebabkan kesannya yang boleh membawa kehancuran serta masalah besar.

Antaranya firman Allah yang bermaksud: "Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu perbuatan yang keji dan mendatangkan keburukan." (Surah al-Israk, ayat 32)

Diriwayatkan daripada Abu Bakar, Umar, Ali Jabir bin Abdullah, Abu Sanid Al-Khudri, Abu Hurairah, Zaid bin Khalid, Buraidah al-Aslam, bahawa seorang sahabat nabi bernama Masiz dihukum rejam oleh pengawasnya sendiri bahawa ia berzina.

Begitu juga dua perempuan dari Bani Kakhim dan Bani Khamid yang dijatuhi hukuman rejam di atas pengakuan berzina.

Allah berfirman yang bermaksud: "Katakanlah kepada orang yang beriman, hendaklah kamu menahan pandangan mereka serta memelihara kemaluan mereka." (Surah an-Nur, ayat 31)

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Tiga golongan yang tidak akan berbicara dengan Allah pada hari kiamat, dan Allah juga tidak akan memandang mereka dan akan mendapat azab yang pedih iaitu, lelaki tua yang berzina, pemimpin yang berbohong dan orang miskin yang sombong." (Hadis riwayat Muslim)

Banyak lagi dalil memberi amaran serta mengingatkan umat Islam supaya menjauhi zina. Ini perlu diingatkan dan didedahkan kerana dapat dilihat budaya masyarakat hari ini, majlis tunang ibarat majlis pernikahan.

Jika dulu, majlis pertunangan hanya dihadiri ahli keluarga atau wakil pihak lelaki untuk berbincang dengan keluarga perempuan, tetapi hari ini si jejaka turut hadir sama, malah bergambar dalam suasana menimbulkan fitnah kepada orang ramai.

Majlis pertunangan kini berubah seakan majlis persandingan apabila kedua-dua lelaki dan perempuan yang hanya baru diikat dengan kata janji untuk disatukan, dibenarkan duduk bersebelahan sambil disaksikan keluarga.

Mungkin restu yang diberikan ahli keluarga menyebabkan pasangan bertunang lupa akan batasan yang perlu dijaga hingga ada yang setiap hari berjumpa malah, ada juga yang dibawa pulang untuk bermalam di rumah ibu bapa.

Sebagai pihak yang bertanggungjawab, ibu bapa sepatutnya membimbing pasangan yang bertunang supaya menjaga hubungan itu mengikut syariat agama sehingga mereka sah disatukan sebagai suami isteri kerana tempoh bertunang ialah masa untuk mereka memahami satu sama lain.

Jika dilihat, pasangan bertunang agak bebas dalam pergaulan, sebaiknya ibu bapa serta keluarga menyegerakan upacara pernikahan kerana itu lebih baik daripada membiarkan mereka terus terjebak dengan tingkah laku menyalahi ajaran agama.

Agak menyedihkan apabila tingkah laku anak muda hari ini tidak dipedulikan ibu bapa yang menganggap adalah sesuatu yang biasa untuk membenarkan mereka sering berjumpa atas alasan supaya lebih mengenali.

Sudah diberi amaran jelas akan perkara itu dalam sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Jangan kamu berseronok-seronok atau berdua-duaan dengan wanita, kerana yang ketiga itu adalah syaitan." (Hadis riwayat at-Tabrani).

Seriusnya supaya mengelakkan diri daripada terjebak dengan hubungan intim lelaki dan wanita, Rasulullah SAW bersabda bermaksud yang bermaksud: "Lebih baik seseorang lelaki berdekatan dengan binatang bernajis yang berlumuran lumpur daripada ia berdekatan bahunya kepada wanita yang tidak halal baginya." (Hadis Riwayat at-Tarbrani).

Hormati ikatan pertunangan dengan menjadikannya sebagai janji murni ke arah memenuhi Sunnah Rasulullah SAW untuk membina keluarga yang dilimpahi perasaan kasih sayang dan kesejahteraan.

Jumaat, Jun 19, 2009

Prosedur kahwin warga asing

Soalan
Sayamerancang untuk mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Pasangan saya adalah warga Pakistan yang telah tiga tahun menetap di Malaysia. Apakah prosedur yang perlu dilakukan untuk melangsungkan perkahwinan. Adakah pasangan saya perlu mengikuti kursus praperkahwinan?
Irma, Ampang


Jawapan
Perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warga asing atau di antara dua warga asing adalah boleh dan dibenarkan untuk dilakukan di Malaysia. Bagi perkahwinan di antara rakyat Malaysia dan warganegara asing, prosedur yang harus diikuti adalah berlainan daripada prosedur perkahwinan di antara sesama rakyat Malaysia.


Secara amnya apabila warga asing dan rakyat Malaysia ingin berkahwin, mereka wajib untuk memohon kebenaran berkahwin dari Jabatan Agama.

Borang permohonan perkahwinan haruslah disertakan dengan dokumen-dokumen berikut:
l Salinan pasport atau salinan kad pengenalan (lelaki dan perempuan);
l Surat kebenaran dari kedutaan negara pemohon (bagi kes saudari, Kedutaan Pakistan);
l Surat keterangan dari Jabatan Imigresen Malaysia;
l Surat Akuan Cerai atau Surat Akuan Kematian (jika pernah berkahwin atau kematian pasangan sebelumnya);
l Surat Kebenaran Poligami dari Mahkamah Syariah di Malaysia (jika berpoligami);
l Surat wakalah wali (bagi wanita); dan
l Salinan Sijil Kursus Perkahwinan.


Borang permohonan dan dokumen-dokumen ini haruslah dikemukakan kepada Penolong Pendaftar Nikah Kariah di mana saudari bermastautin.

Ini adalah untuk mendapatkan kelulusan bernikah dari Pendaftar Nikah. Permohonan ini haruslah diserahkan dalam tempoh sebulan atau tidak kurang dari tujuh hari sebelum tarikh perkahwinan yang dirancang.

Adalah dinasihatkan untuk melakukan persediaan awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan.

Sekiranya bakal suami saudari adalah penduduk tetap negara ini atau pemegang Kad Pengenalan Merah, dokumen yang lain harus disertakan iaitu:
l Salinan Kad Pengenalan Merah dan permit masuk; dan
l Surat Pengesahan dari Jabatan Pendaftaran Negara atau pengesahan permit masuk dari Jabatan Imigresen.


Kedua-dua situasi di atas adalah bagi warga asing yang mempunyai pas masuk secara sosial atau perniagaan. Situasi adalah berbeza bagi warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini melalui permit pekerjaan.

Perlu dimaklumkan bahawa warga asing yang memegang permit kerja adalah tidak dibenarkan memohon untuk berkahwin di negara ini. Sekiranya perkahwinan ini berlangsung dengan tidak mematuhi undang-undang, maka ia akan memberi implikasi kepada permit kerja yang telah diberi kepadanya.

Ini adalah berdasarkan kepada kontrak yang telah dipersetujui dan ditandatangani. Sekiranya warga asing tersebut mahu berkahwin dengan wanita tempatan, kontrak atau permit kerja pekerja asing tersebut di Malaysia adalah terbatal.

Kemudian warga asing tersebut perlu pulang ke negara asal untuk tempoh enam bulan (cooling period) dan sepanjang tempoh tersebut warga asing tersebut hanya diberikan pas sementara (pas lawatan) yang tidak akan dilanjutkan.

Selepas tempoh enam bulan tersebut barulah warga asing tersebut boleh mendaftar di imigresen untuk mendaftar sebagai suami kepada warganegara.

Untuk pengetahuan saudari, satu pekeliling telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen di mana suami/isteri kepada warganegara Malaysia yang telah diberikan/layak diberikan Pas Lawatan Sosial Jangka Panjang berdasarkan syarat-syarat dan peraturan-peraturan semasa yang sedang berkuatkuasa adalah dibenarkan untuk bekerja (melakukan pekerjaan berbayar), berniaga dan pekerjaan profesional tanpa perlu menukar status Pas Lawatan Sosial mereka kepada pas kerja yang berkaitan (Pas Penggajian / Pas Lawatan Kerja Sementara).

Berkenaan dengan kursus pra perkahwinan, warga asing tidak diwajibkan mengikutinya. Walau bagaimanapun jika kursus pra perkahwinan diadakan dalam bahasa yang boleh difahami oleh bakal suami saudari, digalakkan untuk menyertainya.

Diharap penjelasan ini dapat membantu saudari, jika terdapat sebarang kemusykilan boleh menghubungi pihak kami atau layari laman web Sisters di www.sistersinislam.org.my

Mendepani cabaran keluarga Muslim

ARKIB : 16/06/2009
Utusan Malaysia
Oleh ZUARIDA MOHYIN

SAYANGNYA, realiti dalam masyarakat kita, terlalu banyak permasalahan yang melanda keluarga Muslim hari ini. Kes-kes keganasan rumah tangga sama ada secara fizikal, mental dan seksual kerap kita dengar. Begitu juga dengan kes perceraian sehingga mencecah belasan ribu kes setiap tahun.

Selain itu, kita turut dipaparkan dengan kisah suami meninggalkan isteri dan anak-anak tanpa khabar berita, apatah lagi melunaskan tanggungjawab menyediakan nafkah. Gejala sosial di kalangan remaja seperti; penagihan dadah, lepak merempit, seks bebas, juga semakin meruncing dari sehari ke sehari. Yang membimbangkan bilangan ini sentiasa dijuarai oleh kelompok Muslim.

Hakikatnya, semua ini adalah petanda bahawa keluarga Muslim di negara ini sudah tidak lagi berpandukan kepada ajaran agama Islam dalam melayari kehidupan ini.

Tambah malang, apabila ada segelintir daripada golongan ini langsung tidak mengendahkan garis panduan bagi mencapai kebahagiaan di dunia dan di akhirat sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Mereka lebih suka memilih atau mencari jalan sendiri dalam kehidupan yang serba mencabar ini.

Keseriusan permasalahan di atas ini turut diakui Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid dalam ucapan beliau ketika berucap pada Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa pada penghujung Mei lalu di IKIM.

Terang beliau, dalam satu kajian mendapati 34.7 peratus wanita bekerja menghantar anak kepada saudara mara untuk dijaga apabila mereka keluar bekerja, 19.2 peratus lagi menghantar anak kepada pengasuh yang merupakan jiran, 13 peratus menghantar anak ke pusat asuhan dan 7.9 peratus menggunakan khidmat pembantu rumah.

"Walau apapun bentuk jagaan yang dipilih, apa yang penting ibu bapa itu tidak mengabaikan tanggungjawab mereka dalam soal mendidik anak-anak. Tidak salah ibu bapa mengharapkan orang lain menjaga anak-anak, khususnya apabila keluar bekerja namun tanggungjawab mendidik anak masih terpikul di bahu ibu bapa.

"Malah dalam Laporan Keselamatan Kehidupan Dalam Talian Norton 2009 yang dilakukan di kalangan 9000 orang dewasa dan kanak-kanak di 12 negara di seluruh dunia mendapati, golongan dewasa melayari Internet tiga jam sehari atau 89 jam sebulan berbanding kanak-kanak, kira-kira 39 jam sebulan. Ini menjelaskan bahawa ICT pada hari ini merupakan sebahagian daripada kehidupan dua golongan ini dan sudah pastinya, golongan remaja.

"Selain komputer berInternet, telefon bimbit turut menjadi kegilaan remaja. Ia mendedahkan remaja kepada kegiatan tidak sihat yang mampu merosakkan pemikiran dan masa depan generasi muda ini. Di samping itu, ibu bapa juga perlulah berhati-hati berkaitan aspek pergaulan anak-anak terutamanya dalam memilih rakan sebaya. Ini kerana pengaruh rakan sebaya amatlah kuat," kata beliau yang berharap sebahagian cabaran-cabaran yang mendepani institusi keluarga dapat di atasi menerusi penglibatan para peserta pada forum dua hari itu.

Pada sesi satu seminar itu, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman dalam kertas kerjanya bertajuk, 'Profil Keluarga di Malaysia dan Kesannya Kepada Keluarga' turut sependapat dengan Ahmad Sarji.
Oleh itu, tegas beliau kefungsian keluarga dan peranan institusi itu amat penting ke arah pembangunan insan, pembentukan dan perkembangan manusia, pembangunan potensi setiap ahli keluarga dan mencorakkan perkembangan dan kesejahteraan rakyat.

"Institusi keluarga di Malaysia sedang melalui perubahan dan transisi tanpa disedari. Keupayaan keluarga untuk mengharungi arus permodenan dan pembangunan menjadi antara isu utama yang perlu diberi perhatian.

"Maka kita perlu lebih berdaya tahan dalam menangani cabaran-cabaran hidup seperti penjagaan anak terutama bagi pasangan dwi-kerjaya, pengurusan kewangan, keibubapaan anak remaja dan tanggungjawab kepada ibu bapa tua," katanya.

Aminah turut menggariskan beberapa kesan kehidupan kekeluargaan yang perlu diambil perhatian di antaranya;

"Peningkatan dalam kumpulan umur bekerja merupakan bonus demografi kepada negara. Penduduk dikatakan berada pada tahap optimum di mana manfaat dapat diperoleh hasil daripada pelaburan ekonomi yang produktif kerana tanggungan ekonomi adalah rendah dan secara relatifnya terhadap ramai pekerja yang menanggung penduduk yang bukan produktif. Pada kesempatan ini, pelaburan ke atas pembangunan sosial perlu diperhebatkan, terutamanya kepada golongan remaja ke arah pembentukan sahsiah diri yang jitu dan resilien.

"Kestabilan institusi perkahwinan perlu dititikberatkan seperti menangani senario kahwin lewat dan perceraian. Kesedaran mengenai perkahwinan dan kepentingan hidup berkeluarga perlu diperluas supaya senario pembujangan tidak menjadi satu budaya dalam masyarakat.

"Pendidikan kemahiran keibubapaan berteraskan tanggungjawab bersama antara suami dan isteri perlu diutamakan agar peranan yang dimainkan lebih signifikan ke arah membina keluarga sejahtera.

"Intervensi untuk membimbing golongan remaja perlu diperhebatkan kerana golongan ini bakal menjadi pewaris di dalam masyarakat negara ini. Langkah ini juga dilihat mampu membendung gejala sosial yang semakin membarah.

"Penerapan nilai-nilai murni dibudayakan dalam masyarakat dan nilai ini perlu disemarakkan sebagai tonggak utama mengukuhkan institusi keluarga agar lebih berdaya tahan, sekali gus menyatupadukan masyarakat.

"Menyedari hakikat bahawa institusi keluarga kini perlu diberi sokongan, perhatian yang khusus dan program-program berbentuk support system perlu dilaksanakan secara istiqamah.

"Warga emas perlu diberi perhatian yang sewajarnya seperti memperbanyakkan prasarana dan kemudahan komuniti yang mesra warga emas. Ia sekali gus membantu mereka mengisi masa lapang dengan aktiviti yang sihat dan bermanfaat.

"Agensi-agensi kerajaan serta pihak berkenaan yang terlibat secara langsung dan tidak dalam perancangan dan penggubalan dasar mahupun perancangan pembangunan negara perlu memberi keutamaan kepada pembangunan sosial dan ekonomi.

Kekayaan tak bawa bersama kebahagiaan

Oleh Nawawi Subandi
Berita Harian, Agama

Rumah tangga bahagia boleh dibina dengan sifat sentiasa bersyukur

APABILA berkata mengenai bahagia, sudah pasti semua mengimpikannya. Kebahagiaan adalah perasaan yang sangat sukar diungkapkan dan bersifat subjektif. Bahagia selalunya dicapai apabila seseorang itu merasa kepuasan, gembira, kecukupan serta penuh kesyukuran dan keredaan.

Kebahagiaan adalah milik semua. Bahagia tidak hanya dimiliki mereka yang kaya raya dan berharta kerana boleh saja mereka yang kaya raya berasa tidak bahagia serta runsing memikirkan keselamatan hartanya yang bertimbun. Tidak kurang juga dengan keadaan manusia yang hari-harinya penuh dengan keletihan disebabkan sibuk mengejar harta dan kerjaya. Tiada lagi masa untuk duduk bersama keluarga, isteri mahupun suami. Sehinggakan hubungan cinta menjadi hambar.

Bahagia juga belum tentu dapat dicapai dengan memiliki sebuah kediaman mewah dan indah. Rumah besar itu boleh menjadi penjara baginya yang penuh dengan kesunyian tanpa hiburan. Ibarat seekor burung terkurung dalam sangkar emas.

Bahagia juga belum tentu dimiliki dengan memiliki pasangan suami atau isteri yang tampan dan cantik rupawan kerana ketampanan serta kecantikan itu akan menghilang ditelan waktu.

Antara faktor lain yang mungkin menyumbang kepada kenikmatan hidup, sekali gus berasa bahagia adalah faktor kesihatan, kecukupan makanan, kasih sayang serta suasana persekitaran. Namun, cukupkah dengan itu saja?

Kebahagiaan belum tentu dapat dicapai hanya dengan berbekalkan harta melimpah ruah, kerja yang lumayan hasilnya, kediaman mewah, serta rupa fizikal yang menawan semata-mata. Bagaimanakah hakikat bahagia yang menjadi idaman manusia?

Jika kembali kepada agama, kebahagiaan itu dapat diraih dan dinikmati oleh mereka yang sentiasa berpegang teguh dengan prinsip agama bagi setiap urusan dilakukan dalam kehidupan mereka. Apabila meletakkan prinsip agama sebagai keutamaan, di sini mereka mengutamakan Allah.

Mereka sentiasa bersyukur dengan nikmat yang Allah berikan dan dengannya mereka bersikap qana'ah atau sentiasa berasa cukup serta berpuas hati.

Allah berfirman yang bermaksud: "(Iaitu) orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." (Surah ar-Ra'd, ayat 28)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa di antara kamu yang berasa aman dirinya, sihat tubuhnya dan cukup persediaan makanan rutinnya pada hari itu, seakan-akan dia sudah diberi semua kenikmatan dunia." (Hadis Riwayat at-Tirmizi)

Rasulullah SAW juga turut menjelaskan bahawa kekayaan itu bukanlah dicapai dengan banyaknya harta menimbun, tetapi ia dicapai dengan kayanya hati. Sabda Baginda SAW yang bermaksud: "Kaya itu bukanlah diukur dengan banyaknya harta benda, akan tetapi kaya yang sebenarnya adalah kaya hati." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Orang yang kaya hatinya, dia sentiasa memiliki sifat qana'ah dengan menerima apa yang Allah berikan. Dia sentiasa reda dan berasa puas di atas usahanya. Tidak memiliki rasa tamak untuk mengejar sesuatu dengan berlebih-lebihan tanpa keperluan, tidak rakus mengejar dunia serta tidak pula meminta-minta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Benar-benar beruntung orang yang memeluk Islam, mereka diberi kecukupan rezeki dan qana'ah di dalam menerima apa juga pemberian Allah terhadapnya." (Hadis riwayat Muslim)

Rasulullah SAW berpesan supaya sentiasa melihat siapa yang berada di bawah kita dan mereka yang kurang bernasib baik berbanding apa kita miliki, bukannya dengan melihat kekayaan dimiliki orang yang mewah berbanding diri kita.

Baginda SAW bersabda yang bermaksud: "Lihatlah orang yang berada di bawahmu dan jangan melihat kekayaan orang yang di atasmu, perkara itu lebih baik sehingga engkau tidak meremehkan nikmat Allah." (Hadis riwayat Muslim)

Pesanan Rasulullah SAW itu bertujuan mengajak kita sentiasa bersyukur dengan segala kemampuan dan hasil yang diusahakan serta diperoleh, sekali gus menjauhkan diri daripada berasa kurang bernasib baik dan bersikap tamak.

Selain itu, tidak dapat dinafikan bahawa kehidupan yang baik merujuk kepada kehidupan berkeluarga, iaitu dengan memiliki isteri yang baik, anak dan keperluan berkaitan dengannya.

Firman Allah yang bermaksud: "Dijadikan indah pada (pandangan) manusia itu kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita (isteri), anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (syurga)." (Surah Ali-Imran, ayat 14)

Dengan itu, bagi sesebuah keluarga, suami dan isteri hendaklah sentiasa berkasih sayang, tolong-menolong dan saling memahami dalam setiap hal ehwal urusan kehidupan. Mereka saling mengerti tugas dan hak masing-masing berdasarkan apa yang digariskan agama.

Setiap pihak sentiasa berusaha memberikan kebahagiaan, keceriaan, ketenteraman, dan kehangatan cinta sesama mereka. Rumah tangga bahagia dibina atas landasan agama, akan membawa pasangan suami isteri berkekalan hingga ke syurga yang penuh kenikmatan.

Ia dapat diraih apabila mereka menjadikan rumah tangga sebagai medan meraih keredaan dan mengejar cinta Allah. Dalam persoalan ini, suami selaku ketua keluarga bertanggungjawab mengemudi keluarga dibinanya menuju kebahagiaan.

Ia dapat dicapai apabila suami sentiasa bergaul, tahu mengambil hati, melahirkan rasa kemesraan, memupuk rasa mencintai dan memenuhi keperluan mereka dengan baik dan sentiasa berusaha membimbing ahlinya kepada perkara dicintai Allah.

Kefahaman agama yang teguh membolehkan keluarga mencapai kebahagiaan kerana berkongsi fokus yang sama, iaitu mencari keredaan Allah. Ia menjauhkan mereka daripada perkara negatif apabila hidup dipenuhi tauhid, kasih sayang, saling mencintai, kesyukuran serta kemesraan.

Antara faktor lain yang mendorong kebahagiaan bagi sesebuah kehidupan adalah seperti digambarkan Rasulullah SAW dalam sabda yang bermaksud: "Empat perkara yang mendatangkan kebahagiaan adalah, isteri salihah, rumah yang luas, jiran tetangga yang baik dan kenderaan selesa. Dan empat perkara yang mendatangkan kesengsaraan adalah isteri buruk akhlaknya, jiran tetangga jahat, kenderaan buruk serta rumah yang sempit." (Hadis riwayat Ibnu Hibban)

Dimaksudkan dengan isteri yang salihah, sudah tentu isteri yang memahami persoalan agama dengan baik, mengamalkan ilmunya (taat) dan sangat komited dengan kedudukannya sebagai seorang isteri.

Rumah yang luas adalah rumah sentiasa terisi dengan sifat qana'ah, aktiviti dicintai Allah, suasana yang tenteram dan ceria serta kemudahan yang baik.

Kenderaan yang selesa penting bagi tujuan kelancaran pengangkutan dan hal ehwal urusan serta tugas seharian.

Jiran tetangga yang baik merujuk kepada soal pergaulan dan kehidupan bermasyarakat di atas etika syariat yang betul. Dengan itu, apa yang sebaliknya adalah merujuk kepada unsur yang mampu mendatangkan keburukan, sekali gus jauh daripada nilai sebuah kebahagiaan.

Sebenar-benar kebahagiaan itu adalah kebahagiaan yang dibina di atas keredaan Allah, sekali gus menjamin kehidupan bahagia yang berkekalan sehingga ke akhirat. Firman Allah yang bermaksud: "Orang yang beriman dan beramal salih, bagi mereka kebahagiaan dan tempat kembali yang baik." (Surah ar-Ra'd, ayat 29)

Isnin, Jun 15, 2009

Bawa bukti untuk fasakh

ARKIB : 12/06/2009
Utusan Malaysia

Soalan:

SAYA telah mendirikan rumah tangga selama 10 tahun dan mempunyai dua orang anak. Sejak dua tahun yang lepas saya mensyaki suami saya menjalani urus niaga yang menyalahi undang-undang. Puas sudah saya menasihatinya supaya kembali ke pangkal jalan demi anak-anak namun, dia tetap berdegil. Pada dua minggu yang lepas, suami saya telah ditahan polis untuk siasatan lanjut. Bolehkah saya menuntut fasakh jika suami saya didakwa di mahkamah atas kesalahan jenayah, didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara?

Nana Merana,
Ampang, Selangor.


Jawapan:

Amatlah senang untuk memilih jalan pintas dan salah bagi tujuan mencari rezeki, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mendesak kini. Namun, jalan itu memberi padah kepada diri dan juga ahli keluarga.

Walaupun dalam hukum syarak memberikan hak kepada suami untuk menceraikan isteri hanya dengan lafaz talak, namun hukum syarak juga memberi hak kepada isteri untuk membubarkan perkahwinan melalui beberapa cara iaitu khul, taklik dan fasakh. Ini bermakna kedua-dua suami isteri diberi hak untuk membubarkan perkahwinan mereka melalui pelbagai cara. Perceraian secara fasakh tidak dinyatakan secara terang di dalam al-Quran namun, prinsipnya boleh dilihat dalam Surah al-Baqarah ayat 231 dan al-Nisa' ayat 35.

Fasakh juga diterima sebagai salah satu cara untuk membubarkan perkahwinan berasaskan kepada prinsip yang terkandung dalam hadis Nabi Muhammad S.A.W yang berbunyi: Ini berdasarkan hadis Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan oleh Imam Malik di dalam al-Muwatta, hal. 226 dan Ibn Majah di dalam kitab al-Sunan, hadis nombor: 2340 dan 2341 berbunyi: "la darar wa la dirar", yang bermaksud: "Tiada (jangan melakukan) perkara yang membawa kemudaratan pada diri sendiri dan tiada (jangan melakukan) perkara yang memudaratkan orang lain".

Pembubaran perkahwinan melalui fasakh memerlukan campurtangan hakim atas sebab-sebab yang biasanya diketengahkan oleh seseorang isteri. Fasakh yang dituntut oleh isteri ini adalah tertakluk kepada beberapa sebab yang telah ditetapkan oleh para Fuqaha.

Untuk menjawab kemusykilan puan, kami akan merujuk Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003. Dalam situasi apabila seorang suami telah dijatuhkan hukuman penjara oleh mahkamah atas sesuatu kesalahan terutama kesalahan jenayah, dan dia telah pun menjalani hukuman penjara tersebut selama setahun, seseorang isteri boleh menuntut dan diberikan fasakh. Ini telah pun diperuntukkan oleh Seksyen 53(1)(c) dan (3) Enakmen.

Untuk makluman puan, seseorang individu itu dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Maka, dalam situasi yang berlaku ke atas suami puan yang masih dalam siasatan polis tidak menunjukkan bahawa sesuatu sabitan kesalahan jenayah telah dijatuhkan. Hakim Mahkamah Syariah perlu mengambilkira segala fakta yang mengelilingi kes untuk mempertimbangkan permohonan fasakh seorang isteri.

Walau bagaimanapun, menurut undang-undang, puan boleh memohon fasakh atas alasan bahawa suami hidup berperangai keji pada pandangan hukum syarak, di bawah seksyen 53(1)(h)(ii) Enakmen. Tetapi, puan harus membawa bukti-bukti untuk menyokong permohonan fasakh tersebut. Apa sahaja bukti seperti gambar-gambar ataupun saksi-saksi yang tahu dan nampak kegiatan jenayah suami puan juga boleh membantu.

Diharapkan penjelasan ini dapat membantu puan dalam mengharung hari-hari yang mendatang. Sekian.

Jangan permainkan lafaz cerai

Utusan Malaysia

Soalan:

BARU-baru ini saya ada berselisihan faham dengan suami yang disebabkan kerana tiada kepercayaan dalam hubungan. Dalam pergaduhan tersebut saya telah mendesak suami menceraikan saya dan disebabkan desakan saya bertalu-talu (sebanyak empat kali) suami saya telah mengeluarkan perkataan berbunyi, “Abang ceraikan.” Itulah yang saya dengar pada ketika itu.

Pada keesokan harinya bila keadaan kembali tenang saya telah bertanya akan status hubungan perkahwinan kami pada suami, akan tetapi dia menyatakan tidak bermaksud menceraikan saya dan hanya akan menceraikan saya jika saya benar-benar mahukannya.

Saya keliru dan tidak pasti sama ada perkahwinan kami sah atau tidak. Mohon tuan beri penjelasan mengenai status perkahwinan kami ini?


Jawapan:

Dalam situasi yang dinyatakan, tidak jatuh talak kerana si suami tidak berniat untuk menceraikan isterinya. Oleh yang demikian, dalam hal talak, janganlah dipermain- mainkan atau mudah diucapkan oleh setiap pasangan kerana implikasinya amat berat bagi hubungan suami isteri.

Oleh itu, setiap pasangan suami isteri, hendaklah bersabar dan amalkanlah bermusyawarah jika timbul sesuatu masalah dalam rumah tangga.

Untuk makluman anda, Islam mengajar etika dan menjatuhkan talak.

Oleh itu, untuk mengawal penyalahgunaan lafaz talak serta agar mengikut etika, maka mengikut peruntukan undang-undang, suami hendaklah menjatuhkan talak di dalam mahkamah.

Jika talak dijatuhkan di luar mahkamah, suami berkenaan akan dikenakan denda yang akan ditentukan oleh pihak mahkamah.

Makna sebenar semangat

ARKIB : 14/06/2009
Dr.Amran Kasimin

SOALAN:
Emak saya sakit teruk; sukar tidur malam, stres, sesekali menangis, sesekali ketawa mengilai panjang dan ada ketikanya termenung, tidak keluar bilik, dan macam-macam lagi, lalu akhirnya sembuh setelah berubat di sebuah kampung di Melaka. Bomoh yang merawatnya memintanya supaya memutus ubat, atau memulang paku buah keras.

Mungkin kerana seronok sembuh, emak saya juga abang lupa untuk memutus ubat lalu akhirnya ibu saya sakit semula, lebih teruk.Emak dibawa berubat semula dan sembuh lalu abang memutus ubat seperti yang disarankan oleh bomoh tadi. Soalan saya ialah, adakah orang yang berubat cara Melayu (tradisional) akan sakit semula kalau tidak memutus ubat, seperti yang terjadi pada ibu saya.

*Noryn, Shah Alam, Selangor.

Jawapan
Orang Melayu tradisional mempercayai bahawa setiap benda itu mempunyai semangat, sama ada benda itu merupakan objek alam, seperti laut ataupun daratan, ataupun objek lain yang lebih khusus, seperti pokok, terutamanya pokok yang besar-besar, hutan-hutan, batu-batu besar, gua-gua dan sebagainya.


Andainya semangat ini dirujuk kepada objek berkenaan semangat yang dimaksudkan di sini ialah makhluk-makhluk halus, yang dipercayai menghuni tempat-tempat tersebut.

Kerana itulah tempat-tempat seumpama ini tidak boleh diperlakukan sembarangan, seperti membuang air besar ataupun air kecil, ditakuti ia boleh menyebabkan kemarahan semangat ataupun makhluk-makhluk halus yang menghuni, ataupun menunggu tempat tadi, menyebabkan makhluk-makhluk tadi marah lalu mengganggu manusia yang terlibat.

Sekiranya semangat tersebut dirujuk kepada padi, semangat di sini adalah merupakan kekuatan dalaman yang ada pada tanaman ini. Kerana itulah maka lahirnya pelbagai upacara, pantang larang dan petua yang perlu dipatuhi yang berkaitan dengan padi, agar semangat padi tidak lari ataupun hilang. Padi yang hilang semangat menyebabkannya tidak menjadi, mudah diserang musuh, seperti ulat, binatang seperti tikus, belalang dan sebagainya, ataupun orang yang memakan beras hasil daripada padi yang tidak mempunyai semangat itu tidak merasa puas ataupun kenyang biarpun perut penuh.

Apabila semangat itu dirujuk pada diri manusia, semangat di sini bermaksud sebagai kekuatan dalaman yang perlu wujud pada diri seseorang. Orang yang hilang semangat, ataupun lemah semangat mudah diserang penyakit, kerana ketahanan dirinya ketika itu tidak kuat, ataupun tidak ada langsung. kerana itu, semangat yang dimaksudkan di sini adalah merupakan body resistance. masyarakat Melayu tradisional selalunya merujuk orang yang lemah semangat itu kepada perempuan yang mengandung, ibu yang masih dalam hari, bayi, terutamanya bayi yang masih dalam hari, juga pesakit yang masih berada dalam pengawasan mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional.

Orang yang baru sembuh daripada penyakit yang dialami merupakan mereka yang masih belum pulih semangatnya, ataupun kekuatan dalamannya. Kerana itu, orang yang seumpama ini mudah diserang oleh sakit yang sama, ataupun lain-lain penyakit, terutamanya sakit yang dipercayai berpunca daripada gangguan makhluk-makhluk halus.

Kerana itulah, orang yang berada dalam keadaan seperti ini perlu diperkuatkan semangatnya, iaitu dengan cara mengadakan upacara “memulang paku buah keras”, seperti yang saudara jelaskan.

Dalam upacara ini bahan yang selalunya disediakan ialah buah keras, limau sama ada tiga ataupun lima biji biasanya limau nipis. Adalah lebih baik sekiranya limau yang dibawa itu terdiri daripada limau yang diambil dari satu tangkai yang sama, garam, bahan yang diperbuat daripada besi, seperti paku, pisau dan sebagainya, juga wang, yang tidak semestinya berjumlah tujuh ringgit seperti yang saudara jelaskan. Ia mungkin berjumlah dua ringgit setengah, dua ringgit dan setengah sen, ataupun suku sen, bergantung bagaimana seseorang itu menerima ajaran daripada gurunya. Sesetengah daripada mereka mengenakan jumlah wang ini lebih tinggi daripada apa yang saudara jelaskan, ataupun lebih rendah daripada itu.

Bahan-bahan yang perlu disediakan untuk upacara ini pada asalnya mempunyai simbolik yang tersendiri. Bahan-bahan tersebut, seperti buah keras merupakan lambang bagi kekuatan semangat pesakit. Oleh kerana semangat yang dimiliki oleh pesakit berada dalam keadaan lemah ketika itu, dengan melakukan upacara memulang buah keras, diharapkan semangat pesakit tersebut menjadi keras seperti buah keras tadi.

buah
Adalah dimaklumi bahawa bahan ini adalah buah yang paling keras, yang sering digunakan dalam dunia perubatan tradisional Melayu, atau sekurang-kurangnya “buah keras” itu sendiri sudah cukup untuk menjadi lambang “keras” bagi memperkuat semangat pesakit yang lemah ketika itu.


Pada hakikatnya, orang Melayu umumnya telah kehilangan pengertian tentang keperluan membawa pisau ataupun paku dalam upacara yang dimaksudkan. Penggunaan bahan-bahan yang diperbuat daripada besi adalah merupakan salah satu daripada pengaruh yang didatangkan dari India yang terterap kukuh dalam kebudayaan Melayu, di mana dipercayai bahawa bahan-bahan yang diperbuat daripada besi boleh menakut-nakutkan makhluk-makhluk halus.

Kita mungkin dapat melihat kacip pinang yang diselitkan di atas pintu bilik tempat ibu dan bayi yang masih dalam hari berada. Orang Melayu tradisional mempercayai bahawa makhluk-makhluk halus suka mengganggu ketika ini. Untuk keselamatan ibu dan bayi yang masih berada dalam waktu pantang, bahan tadi diletakkan di atas pintu bilik untuk menakut-nakutkan makhluk-makhluk halus yang mungkin datang mengganggu, ataupun hendak menghisap darah.

Selain di atas pintu, bahan-bahan yang diperbuat daripada besi, seperti cangkul juga ada kalanya diletakkan di bawah bilik di mana ibu dan bayi berada. Pada hujung kain yang digunakan untuk mendokong bayi juga sering disimpulkan pisau lipat kecil untuk tujuan yang sama. Amalan ini boleh dikatakan tidak dilakukan ketika ini.

Selain daripada menjadi bahan perasa utama dalam kehidupan manusia, garam memberi makna besar dalam kehidupan manusia tradisional. Walaupun demikian bahan ini seumpama tidak memberi sumbangan dalam kehidupan manusia kerana ia mudah diperolehi juga murah harganya, pada hal bahan ini, biar dalam keadaan apa sekalipun adalah penting. Orang Melayu dahulu kala menggunakan bahan ini untuk memperlihatkan kematangan berfikir dan kekuatan seseorang. Orang yang lebih banyak makan garam, iaitu orang yang lebih dewasa dianggap lebih berpengalaman dan mempunyai kemantapan berfikir yang lebih berbanding dengan mereka yang lebih muda usianya.

Sebahagian besar orang Asli pula meyakini bahawa mimpi yang berkaitan dengan garam, seperti mimpi membeli garam, makan garam dan sebagainya memberi alamat yang buruk. Orang yang bermimpi yang berkaitan dengan garam pada malam hari perlu berhati-hati ketika berjalan di hutan, menaiki motor dan sebagainya, kerana mimpi seperti ini merupakan petanda tidak baik yang akan berlaku. Mungkin orang yang berkenaan akan dihempap pokok ketika berjalan di hutan, diterkam binatang buas ataupun berjumpa hantu di hutan. Ketika menunggang motor ia mungkin akan mengalami kemalangan. Adalah lebih baik orang yang bermimpi itu tidak keluar rumah, atau tidak bekerja di keesokan harinya.

Biarpun amalan memulang paku buah keras itu mempunyai simbol-simbol ataupun lambang-lambang tertentu seperti yang saya jelaskan, namun pengertian tersebut seumpama tidak di dewasa ini selain daripada adat kebiasaan yang diperturunkan daripada satu generasi kepada generasi yang berikutnya.

Bagi mereka yang melibatkan diri dengan rawatan tradisional, amalan ini ada kalanya hanya merupakan tuntutan yang diajar oleh gurunya yang perlu dilakukan, tidak lebih daripada itu. Sesetengah daripada mereka mengenakan syarat-syarat tersebut pada sakit-sakit tertentu, tidak pada semua penyakit yang diubati olehnya.

Amalan ini juga adakalanya dikaitkan dengan amalan “memutus ubat”. Amalan terakhir ini dilakukan sebagai tanda berterima kasih daripada pesakit juga keluarganya kepada individu tertentu yang telah menolongnya ketika sakit. Ia dilakukan tidak semestinya setelah pesakit sembuh, tetapi keluarga pesakit secara tidak langsung telah mengambil keputusan untuk menamatkan rawatan daripada individu berkenaan, ataupun lebih jelas keluarga pesakit meminta izin untuk membawa pesakit berubat dengan orang lain.

Dari segi logik memang sukar untuk menjelaskan bahawa sakit akan berulang sekiranya upacara seperti ini tidak dilakukan. Sakit boleh berulang atau menjadi lebih teruk, tetapi bukan kerana tidak memulang paku buah keras seperti yang dijelaskan.

Fenomena yang berlaku dalam masyarakat Melayu, apabila seseorang itu sembuh hasil daripada bantuan mereka yang dipanggil sebagai, pawang, bomoh, dukun, poyang ustaz dan sebagainya, mereka akan lupa untuk berterima kasih kepada orang yang pernah memberi pertolongan, biarpun perawat tadi melakukan segala-galanya dengan penuh ikhlas dan kerana Allah. Kerana itulah maka amalan memutus ubat itu perlu, iaitu untuk memberitahu kepada perawat, bahawa pesakit yang dibantu telah sembuh, dan dalam masa yang sama, tidak salah sekiranya pesakit itu memberi cenderamata seperti yang dijelaskan, ataupun menurut keikhlasan diri masing-masing.

Jumaat, Mei 29, 2009

Wajib bergaul baik dengan isteri




Soalan:

Adakah dikira sudah menunaikan tanggungjawab kalau suami hanya memberikan wang kepada isterinya sedangkan tidak bergaul dengan baik dan tiada kemesraan dan asyik mencari kesalahan dan keburukan isteri semata-mata?

Jawapan:

Islam sentiasa menyuruh umatnya berbuat kebaikan. Ini termasuklah dalam perhubungan dan pergaulan suami dan isteri.

Maksud bergaul baik dalam syariah Islam adalah diambil daripada perintah Allah SWT di dalam al-Quran, firman yang bermaksud: … dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…(al-Nisa': 19).

Al-Quran melalui perintah mahukan setiap suami bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan cara yang baik atau makruf.

Di dalam meneladani kehendak ayat ini ahli tafsir mengemukakan beberapa pandangan melalui pengamatan masing-masing.

~ Di antara mereka ialah Ibn Kathir. Beliau berpendapat bahawa ayat ini, "… dan hendaklah kamu bergaul baik dengan isteri-isteri kamu dengan cara yang baik…" bermaksud: para suami hendaklah memperelokkan bicara mereka bersama isteri, hendaklah memperelokkan tingkah laku kepada mereka serta menjaga penampilan yang baik mengikut kemampuan kamu seperti mana yang kamu harapkan daripada mereka iaitu isteri-isteri kamu, maka hendaklah kamu melakukan yang baik-baik itu terhadap mereka seperti yang kamu mahukan daripada mereka. (Ibn Kathir, jld:1, hlm: 466).

~ Al-Zamakhsyariy dan Fakhruddin al-Raziy berpendapat: "bermalam dengan isteri (memenuhi hak-hak batin bagi si isteri) melangsaikan nafkah dan bercakap baik dengan mereka". (al-Zamakhsyariy, jld:1,hlm:490, Fakhruddin al-Raziy, jld:10,hlm:12).

~ Al-Jashsas dalam tafsirnya berpendapat: "Sesungguhnya Allah SWT memerintahkan para suami supaya bergaul baik dengan isteri-isteri mereka dengan baik, perkara yang baik itu ialah menunaikan hak-hak seorang isteri dengan membayar mas kahwinnya serta nafkah dan pemberian antara isteri-isteri (jika lebih dari seorang), juga tidak menyakiti isteri dengan bahasa yang kesat dan kasar serta ditegah dari memalingkan wajah dari si isteri". (al-jashsas, Ahkam al-Quran, jld: 2, hlm: 109).

~ Tafsir Muhammad Rasyid Reda menarik dalam huraian ayat ini, beliau menjelaskan bahawa: "Wajib ke atas kamu wahai orang-orang yang beriman supaya berbuat baik dengan isteri-isteri kamu dalam pergaulan, dengan menjadikan persahabatan kamu serta pergaulan kamu dengan mereka dengan cara yang baik sesuai dengan dengan tabiat mereka sebagai wanita.

"Pergaulan itu mestilah yang tidak ditegah oleh syarak dan adat dan tidak bertentangan dengan maruah seseorang. Adapun menyempitkan pemberian nafkah (bersikap kedekut/ berkira dalam nafkah) serta menyakiti mereka dengan perkataan dan perbuatan, semua itu adalah bertentangan dengan bergaul baik dengan isteri dan bertentangan dengan al-Quran.

"Sesungguhnya setiap seorang dari pasangan suami isteri ialah membawa kegembiraan dan kebahagiaan". (Muhammad Rasyid Reda, Tafsir al-Manar, jld:4,hlm:456).

Maka jelas lagi terang bahawa hukum bergaul baik dengan isteri adalah wajib. Bagi suami yang gagal menggauli isterinya dengan baik sedangkan dia taat kepada suaminya adalah berdosa.

Hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: "Lelaki yang paling sempurna imannya ialah lelaki yang paling sempurna akhlaknya, dan sebaik-baik kamu (baik akhlak) ialah mereka yang baik dengan isteri-isterinya". (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:326 ).

Dalam hadis yang lain daripada ibn Abbas r.a baginda bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik kamu ialah mereka yang baik dengan isterinya, dan aku adalah orang paling baik dengan isteri-isteriku". (riwayat al-Tarmidzi, Tuhfatu al-Ahwaziy, jld:4,hlm:325).

Di dalam kedua-dua hadis di atas baginda SAW menegaskan bahawa sebaik-baik manusia di kalangan bani Adam ialah orang baik dengan isterinya, ini kerana isteri adalah lebih utama dijaga haknya sebelum orang lain.

Berperangai buruk

Jika seorang suami dengan isterinya baik maka dia juga baik dengan orang lain, dan sekiranya dia berperangai buruk dengan isterinya maka dia juga akan bersikap hodoh dengan orang lain.

Di antara perkara yang dapat membantu suami menjadi baik dengan isterinya mesti memiliki kemahiran-kemahiran berikut.

Pertama: Mengenal tabiat wanita; ini kerana Allah SWT menjadi Adam dan hawa dengan tabiat fizikal yang berbeza. Berbeza dari sudut perasaan dan emosinya. Orang lelaki tabiatnya kasar, orang perempuan tabiatnya lembut.

Baginda SAW telah banyak berpesan kepada kaum lelaki supaya berlemah-lembut dan berhemah dalam mendidik dan menjaga mereka.

Kedua, mengenang kebaikannya. Kalau diadili dengan penuh kewarasan setiap orang suami akan mendapati insan yang paling banyak berkorban untuk suami ialah isteri.

Walaupun isteri mempunyai kesilapan dan kesalahan itu kerana emosinya dan hormonnya yang kadang-kadang tidak stabil, ini tidak memberi gambaran keseluruhan tabiat isteri.

Saya yakin bahawa isteri banyak sumbangannya kepada suami oleh itu fikir-fikirkan ketika mereka melakukan kesalahan atau kesilapan.

Sesungguhnya manusia tidak ada yang sempurna dan tidak ada yang tidak melakukan kesilapan. Tutuplah kesalahannya dengan kebaikannya.

Ketiga, menutup keaibannya; tiada yang sempurna. Allah SWT menjadikan manusia sering memerlukan antara satu sama yang lain.

Mengaibkan

Jangan diaibkan isteri kepada sesiapa pun, walaupun kepada saudara dan sahabat handainya. Keaiban isteri juga cermin bagi suami, apabila suami mengaibkan isteri maksudnya dia mengaibkan dirinya sendiri.

Keempat, kemungkinan kebaikan ada pada isteri yang dibencinya; jangan dibenci atau dicaci mungkin isteri yang dibenci oleh si suami itu ada kebaikan padanya, yang lambat laun pasti akan zahir.

Kelima, mengenal kedudukan isteri di rumah. Dalam banyak keadaan si isteri tinggal di rumah, adakalanya selepas berumahtangga ada di kalangan isteri yang tiada lagi baginya kehidupan bersosial, kerana suami dan anak-anaklah segala-galanya.

Berlaku adillah kepada isteri-isteri yang berada di bawah jagaan anda supaya amanah Allah SWT tidak terabai.

Khamis, Mei 28, 2009

Islam garis langkah terbaik selesai konflik perkahwinan

Oleh Nik Salida Suhaila
Berita Harian, AGAMA
28 Mei 2009

Pasangan harus mengetahui punca krisis, urus perdamaian sebelum memilih untuk bercerai

HARI ini, kegetiran rumah tangga bukan saja berlaku kepada pasangan baru berkahwin, tetapi juga yang hampir melewati setengah abad. Puncanya, tiada persefahaman, akibat masalah yang mungkin remeh-temeh atau tiada masalah langsung, tetapi itulah berlaku apabila jodoh tidak berpanjangan.

Ada yang mengadu suami jatuh cinta lagi dan tidak mampu membahagi kasih, lalu isteri terpaksa memberi laluan kepada cinta baru suami, dan anak pula tiada pilihan melainkan reda dengan kehilangan seorang ayah yang mereka dambakan kasih sayangnya sehingga dewasa.

Keluarga adalah institusi paling kecil, tetapi utama dalam pembinaan tamadun. Asas kukuh menjadi tunjang kepada peradaban yang sihat dalam sesebuah masyarakat. Oleh itu, keutuhan dan kerukunan perlu dicapai setiap unit keluarga bagi membolehkan membina tamadun manusia. Pincang institusi itu bermakna akan ada pelbagai bentuk kerosakan di muka bumi.

Permulaan untuk membina unit asas institusi kekeluargaan adalah perkahwinan. Antara objektif perkahwinan, menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita, memenuhi fitrah kehidupan manusia mengingini kasih sayang serta ketenangan terhasil daripada ikatan yang suci. Ia juga untuk memanjangkan generasi sedia ada dengan pertambahan zuriat keturunan sebagai penyambung tugas dan tanggungjawab sebagai khalifah Allah di bumi di samping mengelakkan masalah sosial yang semakin meruncing akibat hubungan terlarang antara manusia.

Asas kepada perkahwinan ialah rasa cinta, kasih sayang, melaksanakan tanggungjawab, saling mempercayai, hormat menghormati, belas kasihan dan bertolak ansur. Persoalan mengenai penganiayaan dan kezaliman terhadap wanita rentetan daripada perkahwinan tidak timbul langsung dalam Islam kerana isteri mempunyai hak mendapat kebahagiaan. Jika hak itu dinafikan oleh suami, isteri berhak menuntut perceraian.

Antara penyebab berlakunya konflik dalam rumah tangga adalah tekanan ekonomi, masalah komunikasi, memberi ruang kepada kehadiran orang ketiga, penyakit atau kematian, kesunyian dan tidak menyandarkan hubungan suci itu kepada tiang agama.

Konflik sebegini tidak seharusnya diakhiri dengan perceraian. Lagi pun, talak perkara paling dibenci Allah. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Perkara halal yang paling dibenci oleh Allah ialah perceraian." (Hadis riwayat Abu Dawud)

Langkah mengembalikan hubungan yang tegang seperti sedia kala adalah dengan memulakan sebuah kehidupan baru. Pasangan harus mengetahui penyebab kepada krisis berlanjutan. Jalan penyelesaian juga mesti dibincangkan bersama dan jangan melengahkan masa untuk memulakan sistem pembinaan semula perkahwinan yang bahagia.

Islam menganjurkan setiap individu Muslim hidup bahagia dan jika ada masalah yang mengganggu keharmonian, ia hendaklah diselesaikan seberapa upaya. Untuk menguruskan perdamaian akibat perbalahan antara pasangan, pelbagai cara boleh digunakan seperti mendapatkan nasihat daripada orang yang lebih dihormati.

Pasangan juga perlu berbincang dari hati ke hati dengan meluahkan apa terbuku bagi mengelakkan sebarang salah faham yang boleh berlarutan. Tetapi, ini hanya boleh berlaku jika masih wujud perasaan hormat antara suami isteri, jika sebaliknya, maka tiada perdamaian 'hati' yang boleh diusahakan lagi.

Selain itu, suami boleh memulihkan keadaan dengan tujuan memberi pengajaran mungkin dalam bentuk teguran, amaran atau pukulan yang tidak menyakitkan. Jika salah satu pihak cuai menjalankan tanggungjawab menyebabkan konflik dalam perkahwinan, suami atau isteri boleh membuat aduan dan tindakan mahkamah. Jika mahkamah menjatuhkan hukuman, maka hukuman ini bolehlah juga dikatakan sebagai amaran.

Tiada perhatian daripada ibu bapa yang bermasalah mengakibatkan anak mencari kebahagiaan lain, jurang komunikasi pula menidakkan ajaran dan bimbingan dalam sebuah keluarga, akhirnya wujudlah anak menagih perhatian di jalanan.

Asalnya, dulu mereka melepak untuk menghabiskan masa terluang dan ia sangat menyeronokkan, tetapi hari ini mereka menjadi samseng jalanan untuk membina 'jati diri' menghadapi kemungkinan kemudian hari. Akhirnya rumah tangga bermasalah menjadi semakin punah kerana ibu bapa tidak tegar menghadapi kerenah anak yang lebih mengusutkan.

Akhir-akhir ini juga banyak konflik perkahwinan membawa kepada krisis yang besar sehingga pasangan bertindak untuk tinggal berasingan. Ia berlaku mungkin disebabkan pasangan tidak langsung cuba menyelesaikan masalah. Pasangan juga mungkin boleh meredakan kemarahan dengan berjauhan antara satu sama lain dalam tempoh tertentu. Ia tidak digalakkan kerana boleh menyebabkan masalah lain yang timbul seperti nusyuz, pengabaian nafkah zahir dan batin.

Islam membenarkan pengasingan sementara jika ia adalah jalan terbaik untuk meredakan keadaan dan melindungi mana-mana pihak daripada kemudaratan lebih besar. Apabila seseorang lelaki bersumpah untuk menjauhkan diri daripada isterinya, al-Quran menjelaskan bahawa mereka perlu diberi tempoh untuk bertenang dan dapat berfikir semula secara waras.

Firman Allah bermaksud: "Kepada orang yang bersumpah tidak akan mencampuri isteri mereka diberikan tempoh empat bulan. Setelah itu jika mereka kembali (mencampurinya), maka sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Baqarah, ayat 226)

Bukan tiada caranya untuk menangani konflik rumah tangga, tetapi jika tidak kembali kepada ajaran-Nya, tentulah masalah menjadi semakin runcing, suami mesti sentiasa menjadi pemimpin, isteri setia dibimbing, anak pula jangan dikesamping.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Isnin, Mei 25, 2009

Adab berjimak

Soalan:
Apakah pandangan Islam, mengenai hak seorang isteri ke atas suaminya. Ada di antara suami yang gagal menunaikan hak isterinya khususnya dalam menunaikan jimak, dengan alasan sibuk dengan kerja dan aktiviti di luar.

Jawapan:

Jimak adalah hak seorang isteri yang wajib ke atas suaminya merupakan pandangan Ibn Qudamah al-hanbaliy, al-Wat’u, wajib atas seorang lelaki. Maksudnya, wajib ke atas seorang suami ‘mendampingi’ isterinya sekiranya dia tidak uzur, ini pandangan Imam Malik.

Dalil yang mewajibkan jimak ialah firman Allah SWT yang bermaksud: Dan kamu tidak akan dapat berlaku adil di antara isteri-isteri kamu sekalipun kamu bersungguh-sungguh (hendak melakukannya); oleh itu janganlah kamu cenderung Dengan melampau (berat sebelah kepada isteri yang kamu sayangi) sehingga kamu biarkan isteri Yang lain seperti benda Yang tergantung (di awan-awan); dan jika kamu memperbaiki (Keadaan Yang pincang itu), dan memelihara diri (daripada perbuatan Yang zalim), maka Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. (al-Nisa’: 129).

Berdasarkan ayat ini Imam al-Jashsas berkata, si isteri wajib mendapatkan nafkah batin daripada suaminya. Ini kerana ayat di atas adalah menjadi dalil bahawa jangan tinggalkan isteri-isteri kamu dalam keadaan tergantung (tidak menunaikan hak jimak ke atas mereka).

Imam al-Bukhari mengeluarkan hadis daripada Abdullah bin Amru bin al-Ash yang bermaksud: Rasulullah SAW telah bersabda: Wahai Abdullah bukankah aku telah memberitahu engkau bahawa engkau berpuasa di siang hari dan bersolat malam (secara berterusan)? Aku menjawab: ya wahai Rasulullah. Baginda berkata: Jangan buat begitu, puasalah engkau dan berbuka, bangun malam untuk solat dan tidur, sesungguhnya jasad engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya mata engkau mempunyai hak ke atas engkau, dan sesungguhnya isteri engkau mempunyai hak ke atas engkau.

Dalam mensyarahkan hadis ini ulama berpendapat: Tidak harus bagi seorang suami hanya mementingkan ibadat sehingga lalai dari menunaikan hak seorang isteri.

Di dalam syariat Islam nikah adalah untuk memelihara kemaslahatan suami dan isteri demi memelihara maruah diri supaya tidak melakukan suatu yang ditegah oleh Allah sehingga melangsaikan keinginan nafsu pada jalan yang haram.

Di dalam athar sahabah, Umar bin al-Khattab r.a telah memutuskan keputusan di dalam qada ke atas Kaab bin Siwar supaya seorang lelaki hendaklah bermalam bersama isterinya setiap empat malam sekali.

Dalam memperhalusi fatwa Umar ini Ibn Qudamah menyatakan: “Sesungguhnya keputusan Umar ini tersebar dan tiada yang membantahnya dan ia dipersetujui oleh ulama (ijmak). (Ibn Qudamah, al-Mughniy, jld:7, hlm: 29).

Maka bagi suami yang bersama dengan isterinya bukan dalam musafir, maka hendaklah menunaikan hak isterinya paling tidak empat hari sekali. Pandangan ini disokong oleh Imam al-Ghazali.

Di dalam menunaikan hak nafsu pada jalan yang halal ini, Islam telah mengajar umatnya supaya memelihara adab-adab berjimak supaya tidak melampaui batasan syarak.

Di antaranya ialah:

1- Melafazkan bismillah, dan mohon perlindungan dari kerterlibatan syaitan dalam jimak.

Telah diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Muslim, daripada Ibn Abbas r.a daripada Nabi SAW yang bermaksud: “Sekiranya ada di antara kalian yang ingin mendatangi isterinya (jimak) hendak membaca: Bismillah, Allahumma jannibna al-Syaitan wa jannib al-syaitan maa razaqtana, sekiranya mereka berdua dikurniakan anak maka anak itu tidak akan dimudaratkan oleh syaitan”. (al-Bukhari, Syarah al-‘Asqalaniy, jld:9, hlm: 305).

2. Hampir tidak dipelihara ialah menutup tubuh ketika mengadakan hubungan kelamin.

Baginda Rasulullah SAW ada berpesan, melalui hadis baginda yang diriwayatkan oleh Ibn Majah yang bermaksud: “Apabila salah seorang di antara kamu ingin mendatangi isterinya maka hendaklah menutup dan jangan telanjang bulat seperti keldai liar”. (Ibn Majah, jld: 1, hlm: 619).

3. Tidak menyetubuhi isteri di sisi isteri yang lain atau didengari oleh isteri yang lain.

4. Tidak menghadap kiblat, antara adab yang jarang didedahkan ialah tidak menghadap kiblat ketika jimak.

Ini kerana Amru bin Hazam dan athar menghukum perbuatan menghadap kiblat ketika jimak dan bercakap banyak ketika jimak sebagai makruh.

Perkara ini pernah ditegur oleh Rasulullah saw dalam hadis yang bermaksud: “Jangan kamu banyak berbicara ketika berjimak dengan isteri-isteri kamu”. (al-Mughniy, jld:7, hlm: 25).

5. Mencapai kepuasan dalam jimak. Tidak dikira sempurna jimak itu selagi tidak mencapai kepuasan oleh pasangan suami dan isteri.

Kesimpulannya, walaupun jimak adalah ibadat, dalam melakukan ibadat kita mengharapkan agar ia membawa maksud yang positif kepada si pengamalnya.

Justeru, adalah wajar bagi setiap pasangan memelihara adab dan menjaga batasan agar tidak terlalu terikut-ikut dengan kehendak nafsu sehingga melakukan suatu yang bukan dari budaya Islam.