#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Jumaat, April 30, 2010

'Kerana kakak tertidur'

2010/04/30

Harian Metro - Berita Utama

Oleh Junita Mat Rasid

MUAR: Setakat manalah sangat kudrat seorang kanak-kanak yang baru berusia 12 tahun, apatah lagi untuk menjaga adik sepanjang hari ketika ketiadaan ibu bapa di rumah.Akibat tertidur sekejap di ruang tamu, adik bongsunya berusia 16 bulan yang dijaganya ketika ibu bapa keluar bekerja, ditemui tersembam dalam sebuah akuarium yang diletakkan di lantai dapur.

Bayi yang bertarung nyawa selama 14 jam selepas ditemui berkeadaan ‘nyawa-nyawa ikan’ dalam akuarium di rumahnya di Jalan Ismail di sini, kelmarin, meninggal dunia ketika dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di sini, kira-kira jam 1 pagi semalam.

Dalam tragedi malang itu, mangsa, Nurul Najwa Atika, yang tidak diawasi selepas kakak sulungnya tertidur di ruang tamu, dipercayai tertarik untuk bermain dengan pelbagai ikan peliharaan dalam akuarium yang diletakkan di atas lantai dapur.

Ketika kejadian, tiada orang dewasa di rumah itu kerana bapanya, Robin Gantilan, 37, bekerja di sebuah ladang manakala ibu, Norbayah Salbi, 35, bekerja di sebuah kantin sekolah berhampiran.

Menceritakan detik yang tidak dapat dilupakan isterinya itu, Robin berkata, Norbayah pulang dari kantin untuk menjenguk anak di rumah, kira-kira jam 11 pagi.

“Ketika kejadian saya bekerja di ladang manakala isteri terpaksa meninggalkan anak kerana bekerja di kantin sekolah tidak jauh dari rumah,” katanya.

Menurutnya, sebaik sampai dia mendapati anak bongsu daripada empat beradik itu tiada, manakala anak sulungnya berusia 12 tahun sedang nyenyak tidur di ruang tamu.

Katanya, isterinya mula cemas dan terus mencarinya di sekitar kawasan rumah sebelum terkejut besar apabila menjumpai bayi itu tersembam ke dalam akuarium di dapur.

Robin berkata, ketika ditemui anaknya itu masih bernafas dan isteri dengan bantuan jiran bergegas membawanya mendapatkan rawatan di HPSF sebelum dimasukkan ke ICU kerana Nurul Najwa tidak sedarkan diri.

Bagaimanapun, katanya, Nurul Najwa disahkan meninggal dunia pada kira-kira jam 1 pagi ketika dirawat di ICU hospital berkenaan.

Katanya, kejadian itu mengejutkan mereka kerana tidak menyangka akuarium diletakkan di bawah dan menempatkan beberapa jenis ikan akan meragut nyawa anak kesayangan mereka yang dipercayai asyik melihat ikan sebelum jatuh tertumus.

“Allahyarham seorang periang dan manja menyebabkan kami benar-benar terasa kehilangannya, tambahan pula kejadian itu tidak disangka akan menimpa kami sekeluarga,” katanya.

Jenazah anaknya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Jalan Bakri, selepas solat Zuhur, semalam.

Keluarga Robin berasal dari Sabah dan sudah 15 tahun menetap di Muar.

Tidak janggal bersekedudukan

2010/04/30 Harian Metro

SEOLAH-OLAH lumrah bagi segelintir golongan muda kini yang memilih untuk hidup bersekedudukan.

Pelbagai alasan diberikan golongan terbabit, antaranya faktor kewangan, kesibukan bekerja serta kemudahan daripada segi kediaman.

Ikuti temu bual mengenai isu ini bersama wartawan, Fairul Asmaini Mohd Pilus (asmaini@nstp.com.my)

KISAH seorang kakak yang disyaki sanggup bersekongkol dengan dua adik lelaki menjadikan pangsapuri disewanya sebagai 'syurga seks' bersama teman masing-masing di sebuah rumah di Putrajaya, baru-baru ini, tidak seharusnya dipandang ringan.

Lebih memalukan, si kakak berusia 30-an yang masih berstatus 'anak dara' terbabit mengaku sudah melakukan hubungan seks dan tidur bersama pasangannya berusia 50-an sejak lebih sebulan dengan alasan tidak berkemampuan untuk berkahwin bersama lelaki terbabit.

Perbuatan tiga beradik yang dipercayai dahaga seks itu terbongkar selepas sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menerima aduan perlakuan seks bebas membabitkan empat wanita termasuk tiga gadis bawah umur bersama lapan lelaki yang berusia antara 15 hingga 50 tahun.

Tiga beradik terbabit bersama 'tetamu' mereka akan didakwa mengikut Seksyen 27, Akta 559 (a)(b), Akta Kesalahan Jenayah Syariah 1997. Ia bukanlah kes yang pertama dilaporkan kerana sebelum ini sudah banyak kes masalah sosial seperti pergaulan bebas, seks luar nikah dan bersekedudukan yang dibongkar pihak berkuasa serta dipaparkan di media.

Bersekedudukan yang asalnya gaya hidup di barat itu kini dianggap bukan lagi satu perkara baru bagi masyarakat di negara ini terutama golongan muda di kawasan bandar atau ibu kota.

Biarpun mengetahui perbuatan berkenaan adalah berdosa di sisi agama dan salah mengikut udang-undang, peliknya, masih ramai yang tidak mengendahkannya. Lebih memburukkan lagi keadaan, jiran terdekat juga tidak mengambil peduli semata-mata terlalu mengikut pepatah Melayu, 'jangan jaga tepi kain orang'.

Gaya hidup berkenaan seolah-olah menggambarkan masyarakat hari ini semakin hilang pertimbangan dan tidak lagi menggunakan kewarasan akal dan batas agama dalam membuat sebarang tindakan.

Perasaan malu atau rasa berdosa sudah tiada lagi dalam kamus hidup mereka kerana apa yang penting, kepuasan hawa nafsu dan keseronokan duniawi sedangkan kesannya ditanggung dalam tempoh lama, sedangkan nikmatnya sekejap.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Alwi Ibrahim, baru-baru ini, mendedahkan jumlah anak tidak sah taraf yang didaftarkan meningkat kepada 17,303 di seluruh negara sepanjang tahun lalu iaitu purata 47 orang sehari.


Bilangan itu meningkat 762 kes berbanding 2008 seramai 16,541 manakala pada 2007, seramai 16,100 orang. Angka terbabit meliputi anak yang lahir di luar perkahwinan atau anak luar nikah.
Angka yang didedahkan berkenaan bagaikan memberi isyarat kepada masyarakat secara keseluruhan bahawa bersekedudukan sebenarnya bukan isu yang boleh dipandang ringan.


Bagi Shafina Ahmad (bukan nama sebenar), 29, pada mulanya hanya membawa teman lelakinya, Faizal (bukan nama sebenar) berkunjung ke rumah sewa yang dikongsi bersama dua rakan sekerja pada setiap hujung minggu. Tetapi kerana mahukan lebih privasi, mereka berpindah.

Hubungan intim yang terjalin itu bagaimanapun berpanjangan sehingga mereka mengambil keputusan tinggal bersama di sebuah apartmen tidak jauh dari ibu kota.

Menurut Shafina, atas dasar suka sama suka tanpa memikirkan dosa, dia tinggal bersekedudukan dengan teman lelakinya kerana pada pendapatnya boleh menjimatkan perbelanjaan kerana semuanya ditanggung dan tugasnya hanya melayan kehendak Faizal.

Biarpun tidak berkahwin, mereka bagaikan sepasang suami isteri yang sah dan jiran juga tidak menaruh sebarang syak kepada mereka.

"Memang saya sembunyikan hal (bersekedudukan) ini daripada pengetahuan rakan atau keluarga. Sampai sekarang rahsia ini tersimpan rapi.

"Setiap kali keluarga datang berkunjung, Faizal akan bermalam di rumah kawannya, begitu juga sebaliknya jika keluarganya datang.

"Tinggal bersama tanpa ikatan sah ini bukan pilihan saya, tetapi yang Faizal ketika ini tidak mahu terikat pada sebarang komitmen dan saya pula sayang untuk melepaskannya.

"Namun, saya sedar apa yang kami lakukan ini berdosa di sisi agama dan mahu kembali ke pangkal jalan sebelum terlambat.

"Saya kini berdoa semoga Allah bukakan pintu hati Faizal untuk bertaubat kerana saya terlalu menyayangi dan tidak boleh kehilangannya," katanya yang enggan bercerita mengenai kekerapannya menggugurkan kandungan sepanjang tiga tahun bersama lelaki berkenaan.

Aiza Kadir (bukan nama sebenar), 25, seorang kerani syarikat swasta di ibu kota pula mengakui dia sudah hampir setahun tinggal menyewa bersama lelaki di sebuah kondominium di ibu kota.
Dia yang berasal dari sebuah negeri di utara tanah air berkata, pada awalnya, dia hanya mahu menumpang seminggu dua di rumah rakan baiknya, Suraya, kerana baru saja menjejakkan kaki di ibu kota.


Kata Aiza, selepas kira-kira empat bulan menyewa di rumah itu barulah Suraya memberitahu teman lelakinya (bukan Muslim) mahu tinggal bersama mereka.

"Saya berasa amat marah, tetapi tidak dapat berbuat apa-apa kerana itu rumah Suraya dan saya hanya menumpang sewa saja.

"Jangkaan saya, mereka akan menjaga kelakuan terutama apabila di depan saya meleset sama sekali kerana mereka tidak segan silu bermesra di ruang tamu.

"Saya kini dalam proses mencari rumah sewa baru kerana sudah tidak sanggup lagi berkongsi dosa dengan mereka," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Wanita Islam Antarabangsa yang juga pakar motivasi, Dr Rubiah Kulop Hamzah, berkata berdasarkan kepada kebanyakan kes yang dirujuk kepadanya, masalah bersekedudukan itu sebenarnya berpunca daripada beberapa faktor utama iaitu kewangan, kesibukan kerja dan kemudahan untuk melakukan kesalahan berkenaan.

Menurut Dr Rubiah, dia menerima pelbagai kes bersekedudukan yang berpunca daripada faktor kewangan kerana dewasa ini, masyarakat sibuk dengan kerjaya menyebabkan hubungan suami isteri terjejas.

Hubungan suami isteri boleh menjadi renggang sehingga perasaan cinta sudah tidak wujud dalam hati masing-masing yang sibuk mencari duit dan situasi berkenaan mendorong mereka mencari hiburan luar serta mengabaikan keperluan pasangan.

"Saya menerima banyak kes mengenai rungutan isteri atau suami yang mengadu keperluan nafkah mereka diabaikan kerana pasangan sudah berubah hati kepada orang lain.

"Ia menjejaskan institusi kekeluargaan kerana perbuatan mungkar sebegini biasanya akan berakhir dengan perceraian dan yang menjadi mangsa adalah anak-anak," katanya.

Selain itu katanya, faktor mudah untuk mendapatkan lokasi bagi melakukan perkara sumbang itu turut mendorong kepada penularan budaya bersekedudukan berkenaan di dalam masyarakat Malaysia hari ini.

Katanya, ada isteri yang mengadu kepadanya mengenai suami yang mempunyai pasangan di luar hingga kepada tahap mempunyai bilik khas di hotel sejak bertahun lamanya.

"Memang tidak dinafikan lagi banyak pasangan yang menjadikan hotel murah sebagai lokasi untuk bersekedudukan kerana pemilik tidak mengambil peduli udang-undang asalkan mendapat pelanggan.

"Lebih memburukkan keadaan, ada pasangan yang sanggup menyewa rumah di kawasan elit dan mewah semata-mata untuk menutup kegiatan tidak bermoral mereka daripada dihidu pihak berkuasa," katanya.

Jelasnya, perlakuan sumbang berkenaan juga boleh mewujudkan banyak kesan negatif kepada institusi kekeluargaan dan menjejaskan keharmonian masyarakat.

Jelasnya, suami yang terbabit dalam skandal mempunyai wanita lain juga biasanya akan berubah sikap kepada panas baran kerana bimbang si isteri bertanyakan hal berkenaan. Lebih teruk, ada juga yang sanggup bergaduh dengan pasangan masing-masing kerana mahu menutup kecurangan yang dilakukan.

"Apabila ibu bapa kerap bergaduh, anak akan berubah menjadi agresif dan hilang hormat kepada mereka.

"Ia mendorong anak terutama remaja terjebak dalam gejala sosial kerana di rumah hubungan antara ahli keluarga tidak harmoni," katanya.

Sama berdosa jika tak cegah

2010/04/30 Harian Metro

PENASIHAT Majlis Agama Islam Johor, Datuk Noh Gadut, berkata isu bersekedudukan yang berlaku dalam masyarakat hari ini fenomena yang menyedihkan untuk umat Islam.

Menurutnya, definisi bersekedudukan mempunyai perbezaan iaitu antara tinggal bersama lelaki dan perempuan bukan mahram, tetapi tidak melakukan kemungkaran serta pasangan yang belum berkahwin, tetapi hidup bagaikan suami isteri.

Biarpun begitu, walau apa juga alasan yang diberikan, adalah haram dan berdosa besar bagi lelaki dan perempuan bukan mahram tinggal bersama.

"Bersekedudukan adalah gaya hidup barat yang tidak seharusnya menjadi ikutan masyarakat timur seperti negara ini.

"Sebagai insan yang dikurniakan akal fikiran yang sempurna, kita perlu berfikir panjang dan tidak sepatutnya meniru gaya hidup mereka tanpa menapis apa yang boleh dan tidak terlebih dulu.

"Penularan amalan gaya hidup yang jauh terpesong daripada agama itu mungkin disebabkan masyarakat kita hari ini mempunyai kebebasan yang melampau dan pada masa sama, disogokkan dengan kemudahan hiburan yang terlampau.

"Ini termasuk penyebaran klip video serta tayangan filem berunsur lucah dan kemudahan untuk mendapatkan kondom yang dijual secara terbuka untuk orang ramai.

"Semua ini perlu dikawal dengan lebih ketat kerana ia sebenarnya mampu mendorong generasi muda atau remaja untuk melakukan maksiat," katanya. Noh berkata, adalah wajib menurut hukum syarak untuk masyarakat 'menjaga tepi kain orang' jika ia boleh mendatangkan kebaikan untuk semua dan berdosa jika mereka tidak melakukannya.

"Masyarakat hari ini jauh berbeza dengan masyarakat dulu kerana masing-masing membuat hal sendiri. Ia jelas berbeza dengan masyarakat dulu yang menganggap anak jiran seperti anak sendiri dan mengambil tahu apa yang mereka lakukan.

"Lebih membantu jika masyarakat terutama ibu bapa kerap mengadakan pemeriksaan mengejut ke rumah sewa anak untuk mengetahui gaya hidup mereka.

"Pemilik rumah pula perlu mengambil tahu keadaan penyewa rumah dan jangan hanya tahu menerima sewa bulanan saja," katanya.

Justeru, katanya, semua pihak tidak boleh menuding jari menyalahkan satu sama lain kerana semuanya perlu memainkan peranan masing-masing untuk mengatasi masalah berkenaan daripada terus berleluasa.

"Dalam masalah ini, empat tonggak utama iaitu pemimpin, ilmuwan serta ulama, ahli korporat dan masyarakat perlu berganding bahu untuk memastikan dapat mencari jalan terbaik untuk mengatasinya.

"Kita tidak boleh saling menyalahkan satu sama lain kerana masalah sosial ini sebenarnya berpunca daripada banyak faktor," katanya.

Selain itu, Menteri Di Jabatan Perdana, Datuk Seri Khir Jamil Baharom sebelum ini pernah berkata, pasangan wanita dan lelaki yang tinggal bersekedudukan memang terbukti mereka bersalah kerana tinggal bersama tanpa akad nikah tetapi 'saham' itu dikongsi ibu bapa dan masyarakat jika tidak ambil peduli dan membiarkannya.

"Ibu bapa perlu ambil tahu bagaimana anak mereka bernikah, tarikh pernikahan, wali atau keizinan. Mereka bersekedudukan memang bersalah, tetapi paling penting masyarakat prihatin dan ambil perhatian perbuatan terkutuk itu dapat ditegah.

"Tidak hanya membabitkan mana-mana kes, tetapi isu pasangan bersekedudukan amat merisaukan dan perkara itu perlu ditangani supaya tidak terus berleluasa," katanya.

Kronologi kes bersekedudukan

2010/04/30 Harian Metro

* 23 April 2010 - Sepasang kekasih bersekedudukan dicekup Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka di Duyong selepas mendapat aduan penduduk setempat. Pasangan yang masing-masing berusia 24 tahun itu mempunyai seorang anak lelaki dan wanita berkenaan juga hamil lima bulan.

* 25 Mac 2010 - Seorang suami sanggup meninggalkan isteri dan enam anak semata-mata untuk tinggal bersekedudukan bersama gadis Filipina yang berusia awal 20-an di Damansara. Lelaki tempatan berusia 40-an itu dicekup ahli jawatankuasa surau dan sepasukan polis yang menyerbu sebuah rumah selepas melakukan intipan sejak awal Februari.

* 15 Januari 2010 - Jabatan Agama Islam Pahang menahan lima wanita dan tiga lelaki termasuk satu pasangan sudah bertunang kerana disyaki bersekedudukan lebih sebulan di sebuah rumah di Jalan Mat Kilau. Mereka yang ditahan berusia antara 21 hingga 31 tahun dengan tujuh daripadanya rakan sekerja di sebuah syarikat swasta di sini.

* 7 Januari 2010 - Sepasang suami isteri dikesan bersubahat melakukan maksiat apabila membenarkan anak lelaki membawa teman wanitanya tinggal bersekedudukan di rumah mereka di Kampung Durian Daun, Bondoi, Tampin, walaupun menyedari pasangan itu tidak mempunyai ikatan sah.

* 29 November 2009 - Sepasang kekasih yang bersekedudukan sehingga melahirkan seorang anak luar nikah ditahan selepas dipercayai mendera sehingga mati bayi berusia setahun 10 bulan itu, di Kangar, Perlis. Kejadian dilaporkan berlaku selepas pasangan kekasih berusia 23 tahun itu membawa bayi perempuan berkenaan ke Hospital Tuanku Fauziah untuk mendapatkan rawatan disebabkan demam.

* 17 November 2009 - Penahanan seorang lelaki yang menyamar sebagai pengawal keselamatan di sebuah institusi pendidikan di Gelugor, Georgetown, membongkar kes pasangan yang bersekedudukan sehingga melahirkan anak. Berikutan itu, lelaki berkenaan dan pasangan berusia 20-an itu yang tinggal serumah di Mutiara Idaman, Jelutong serta bayi berusia seminggu, ditahan bagi membantu siasatan.

* 13 Oktober 2009 - Seorang kakak disyaki bersama dua adik lelakinya menjadikan pangsapuri disewanya sebagai 'syurga seks' bersama teman masing-masing. Perbuatan itu terbongkar selepas sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan menerima aduan perlakuan seks bebas membabitkan empat wanita termasuk tiga gadis bawah umur bersama lapan lelaki yang berusia 15 hingga 50 tahun di Putrajaya.

* 30 September 2009 -Seorang wanita yang sedang menunggu proses perceraian ditahan selepas dikesan bersekedudukan bersama seorang duda, di sebuah unit pangsapuri, di Kangar. Pasangan berkenaan yang dikatakan sudah hampir dua bulan menjalin hubungan, ditahan sepasukan anggota penguat kuasa Jabatan Agama Islam Perlis dalam satu serbuan kira-kira jam 4.30 pagi.

* 16 Januari 2009 - Seorang lelaki berusia 24 tahun yang ditahan Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Agama Islam Melaka kerana bersekedudukan sejak lebih dua bulan bersama teman wanita seusianya, memberi alasan tinggal bersama disebabkan belum mendapat rumah atau bilik sewa.

Isnin, April 26, 2010

Kepelbagaian guna cuka

ARKIB : 25/04/2010
Utusan Malaysia


CUKA sering digunakan sebagai pembersih atau pencuci yang berkesan untuk menghapuskan bakteria berikutan paras asid yang terkandung di dalamnya. Membersih menggunakan cuka adalah kaedah bijak untuk mengelak penggunaan bahan kimia selain ia mesra alam dan menjimatkan.

Buat sendiri bahan pencuci dengan mencampurkan 1/4 cawan soda bikarbonat, 1 sudu cecair pencuci dan cuka. Bersihkan permukaan dapur menggunakan bahan tersebut.

Bersih dan harumkan tong sampah dengan campuran 1/2 cawan soda bikarbonat dan cuka. Biarkan selama lima minit dan curahkan air panas.

Bersihkan ketuhar gelombang dengan campuran 1/2 cawan cuka dan 1/2 cawan air. Didihkan campuran tersebut dalam ketuhar gelombang, memudahkan kekotoran yang melekat tanggal dan menghilangkan bau.

Untuk perkakasan kaca yang kusam, rendam tisu dapur atau kain pengelap di dalam cuka, kemudian balut kertas atau kain tersebut pada perkakasan. Biarkan seketika sebelum dibilas sehingga bersih.

Hilangkan kesan kekotoran pada teko dengan campuran 1/2 cawan cuka dan air, biarkan semalaman. Untuk mendapatkan kesan lebih drastik didihkan cuka dengan air di dalam teko tersebut beberapa minit. Biarkan sejuk dan bilas.

Hilangkan kesan kopi pada cawan. Caranya gosok garam atau soda bikarbonat bersama cuka pada cawan tersebut dan bilas bersih.

Hilangkan kesan hitam pada teko aluminium dengan didihkan campuran 1 cawan cuka dan 1 cawan air panas.

Gunakan semburan cuka untuk elak semut di kawasan luar rumah terutama berhampiran jajaran pintu dan tingkap.

Hilangkan bau akibat makanan lama dalam peti sejuk. Mula-mula bersihkan bahagian yang berkenaan dengan sabun dan air. Sembur di bahagian permulaan dengan cuka dan lap dengan kain. Isi soda bikarbonat dalam bekas dan letak di dalam peti sejuk. Biarkan beberapa hari.

Untuk memudahkan kerja-kerja membersihkan perkakasan membakar, semburkan campuran cuka dan air di atas permukaan.

Harumkan tandas anda dengan memasukkan tiga cawan cuka ke dalam mangkuk tandas kira-kira setengah jam, kemudian pam tandas.

Untuk menjadikan mangkuk tandas bersinar, tuangkan secawan atau lebih cuka yang dicampur air, biarkan beberapa jam atau semalaman, bersihkan menggunakan berus tandas dan bilas.

Tanda pada permaidani boleh dihilangkan dengan campiran dua sudu cuka dan 1/4 cawan garam atau soda bikarbonat. Gosok bahan tersebut pada kesan kotoran dan keringkan.

Serlahkan kecantikan

25/04/2010
Kesihatan
Utusan Malaysia

DOKTOR minggu pertama saya kurangkan kalori dengan berpuasa berat mula menurun. Tapi kenapa selepas itu berat tak turun bahkan semakin meningkat. Ini yang membuat saya hilang semangat untuk berdiet.

''Kenapa sukar benar untuk kurus,'' keluh Puan Sal sambil menyuarakan rasa putus asa dan tidak percaya lagi bahawa dirinya mampu kurus.

Saya memberikan penerangan jelas bagaimana tubuh kita memecahkan lemak. Kini setelah menjalani rawatan beliau sudah pun mampu tersenyum semula. Beliau tampak muda dan jelita setelah tubuh menjadi langsing.

Obesiti bermaksud keadaan berat badan berlebihan atau overweight.

Maafkan saya kerana tidak menyokong obesiti. Bagi saya obesiti adalah satu masalah fizikal yang menyebabkan seorang yang cantik tertutup kecantikannya.

Meskipun kata-kata saya menghiris hati golongan gemuk namun anggaplah ia satu cabaran untuk menguruskan badan. Kata pepatah Melayu sayang anak tangan-tangankan. Sayang seorang doktor kepada pesakitnya adalah untuk merubah keadaan anda agar menjadi kurus, cantik dan sihat.

Kecantikan bagi seorang wanita merupakan aset yang sangat penting. Setiap wanita mahu mengekalkan kejelitaannya untuk sepanjang hayat namun ramai tidak dapat berbuat demikian kerana dilanda obesiti.

Seseorang yang terlalu gemuk sudah tentu tidak dapat menggayakan pakaian yang cantik. Apa sahaja yang dipakai akan tampak kurang menarik kerana faktor tubuh badan yang besar. Mereka juga sering kecewa apabila membeli-belah kerana tidak banyak pakaian yang dijual bersaiz besar. Ini menyebabkan mereka tidak berminat untuk shopping dan lebih suka memakai baju besar dan longgar bagi menutupi kekurangan.

Wajah orang yang gemuk juga kurang cantik kerana bentuk muka yang sebenar dilitupi oleh lapisan lemak yang menutup kecantikan sebenar. Sudah tentu apabila sudah berjaya menjadi kurus mereka akan kelihatan sangat berbeza dan bertambah cantik.

Realiti kehidupan menunjukkan yang cantik disenangi justeru marilah kita mengubah penampilan diri menjadi lebih baik lagi. Lagi pun tidak rugi jika menjadi bertambah langsing cantik dan sihat.

Tidak salah jika saya katakan obesiti adalah raja segala penyakit lain seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Penyakit-penyakit ini merosakkan sistem tubuh kita. Lalu ramai yang mengeluh kesal kerana nasi sudah pun menjadi bubur. Potongan tubuh yang langsing dan wajah yang cantik kini hanya tinggal kenangan belaka. Bolehkah ia dipulihkan semula? Sudah tentu boleh jika anda memulakan langkah yang betul.

Apakah punca overweight?

Overweight berpunca daripada lebihan lemak yang terhasil akibat ketidakseimbangan antara kalori yang diambil dengan kalori yang digunakan.

Maknanya seseorang makan makanan yang lebih banyak kalori daripada kalori yang digunakan. Lebihan kalori akan ditukar oleh badan dalam bentuk lemak yang tersimpan sedikit demi sedikit sehingga menjadi berbukit-bukit dan dan empunya badan menjadi gemuk gedempol.

Memahami konsep kalori

Kalori iaitu tenaga yang tersimpan dalam makanan ditukar menjadi lemak dan lemak sebegini sukar digunakan semula menjadi tenaga. Lemak tersimpan hanya akan digunakan apabila tubuh mengalami kurang kalori. Jika kalori yang diambil sudah cukup, tubuh kita akan menggunakan tenaga segera itu tanpa menjejaskan jumlah tenaga tersimpan.

Oleh kerana gaya hidup masa kini, amat mudah kita hanya melakukan aktiviti ringan dianggarkan kita mengenyahkan 2,100 kalori setiap hari.

Anda boleh menggunakan senarai di atas untuk membuat anggaran jumlah kalori yang anda gunakan setiap hari.

Kelebihan menggunakan carta adalah anda boleh membuat menu sendiri berdasarkan jumlah kalori yang tertera. Contohnya jika anda bermain tenis pada Isnin, maka anda boleh memilih makanan dalam jumlah kalori yang agak tinggi pada hari tersebut. Manakala jika anda tiada aktiviti yang menggunakan tenaga, maka anda harus mengurangkan jumlah kalori yang diambil.

Anda boleh makan apa sahaja asalkan tidak melebihi jumlah kalori yang diperlukan. Tidak perlu hanya makan salad kerana banyak lagi makanan lain yang rendah kalori.

Pastikan diet anda mengandungi semua kelas makanan seperti sayur, roti, nasi, ikan, daging dan ikan. Elakkan gula dalam minuman kerana ia mengandungi kalori semata-mata tanpa zat makanan yang lain. Anda perlu kreatif dalam menentukan sajian agar waktu makan menjadi indah meskipun makanan yang dinikmati rendah kalorinya.

Panduan

Jika anda menggunakan 4,000 kalori bagi aktiviti harian maka ambillah makanan sebanyak 2,000 kalori. Ketidakseimbangan begini akan menyebabkan berat badan anda menurun.

Begitu juga jika anda perlu menaikkan sedikit berat badan. Nilai kalori haruslah dinaikkan jika anda berhasrat meningkatkan lagi berat badan anda.

Pada minggu hadapan saya akan tampil dengan pelbagai konsep menarik untuk menangani obesiti. Bagi penerangan lanjut atau program menguruskan badan secara saintifik atau kaunseling menurunkan berat badan hubungi marissa aesthetic 013-2448484 atau 03-87234808. Kami menyokong usaha anda menurunkan berat badan.

Tewas dicumbu abang kandung


Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

Selain dara Lydia diragut abang sendiri, dia turut dibaham 10 lelaki dalam satu malam.

“SAYA tidak sangka sepupu yang selama ini (saya anggap) kekasih sebenarnya abang kandung sendiri. Lebih malang lagi, saya sering melakukan hubungan seks dengannya.”

Itu pengakuan jujur seorang remaja berusia 13 tahun, Lydia (bukan nama sebenar) yang ditemui Jurnal di sebuah pusat pemulihan di Selangor baru-baru ini.

Sejak kecil hidup Lydia diselubungi rahsia. Dia dipelihara datuknya sejak berusia tiga bulan.
Status Lydia hanya terbongkar selepas dia terbabit dalam satu kemalangan jalan raya tahun lalu.

Menurut cerita Lydia, datuknya mendakwa ibu bapa kandungnya ialah mak cik dan pak ciknya iaitu ibu bapa kepada sepupunya.

Tidak beragama

Lydia selesa untuk bercinta dengan sepupu sendiri (abang kandungnya), Rashid (bukan nama sebenar) walaupun dia ketika itu baru berusia 10 tahun.

Hakikatnya, remaja itu bukan sahaja ditipu oleh datuk dan keluarganya, malah Lydia dibiarkan terkapai-kapai tanpa didikan agama.

“Saya tidak pernah mengenal erti solat dan menunaikan amalan wajib yang ditetapkan agama Islam sehingga pada usia saya sekarang. Itupun saya belajar di pusat pemulihan.

“Malah, saya tidak beragama walaupun keluarga saya beragama Islam kerana mereka tidak pernah mengamalkan ajaran Islam. Agama Islam hanya sekadar warisan semata-mata,” katanya sedih.

Keadaan itu menyebabkan Lydia bebas untuk melakukan apa sahaja yang disukainya termasuk menjadi minah rempit, menghidu gam dan merokok.

Hakikatnya, antara sebab dia bercinta dengan Rashid adalah kerana mereka berkongsi minat yang sama.

“Rashid juga seorang mat rempit walaupun bersekolah agama. Jarak sekolahnya hampir dengan rumah datuk menyebabkan dia sering bermalam.

“Kami sering minum (di restoran) dan menonton wayang bersama-sama. Rashid sering memberikan hadiah seperti jam tangan, rantai, cincin dan telefon bimbit kepada saya. Setelah sekian lama bercinta kami akhirnya melakukan hubungan seks.

LYDIA rela tubuhnya dijamah kerana cinta dan terpedaya pujuk rayu.

Rumah datuk lokasi seks

“Lokasi perbuatan terkutuk itu tentulah di rumah datuk, terutama ketika dia tiada di rumah. Kami melakukan aktiviti itu selepas menghidu gam.

“Jiran-jiran pula tidak mengesyaki apa-apa kerana hubungan persaudaraan kami,” katanya.
Lydia bernasib baik kerana tidak mengandung kerana dia mengambil pil perancang kehamilan.

Cinta Rashid sebenarnya palsu malah dia mempunyai agenda tersendiri untuk memusnahkan hidup Lydia.

Rashid tidak mencintai Lydia, sebaliknya dia berhasrat untuk menjadikan remaja itu sebagai objek taruhan merempit.

“Saya tidak menyedari perkara itu pada awalnya tetapi rahsia itu terbongkar setelah dia kalah dalam perlumbaan.

“Rashid meminta saya mengikut sekumpulan mat rempit. Saya kemudian dibawa ke sebuah rumah dan di sana saya dipaksa melakukan hubungan seks dengan 10 lelaki dalam satu malam.

“Sakit rasanya, tetapi kerana cinta pada Rashid saya pendam sahaja. Keesokannya saya dihantar pulang.

Abang pandai pujuk

“Saya geram dengan sikap Rashid tetapi akhirnya cair kerana Rashid memang seorang yang pandai memujuk,” ujar Lydia.

Selepas itu, dia terus menjadi umpan taruhan Rashid apabila lelaki itu merempit. Lydia akhirnya rela menjadi pemuas nafsu mat rempit.

“Saya tidak kisah (terhadap) pandangan masyarakat. Mereka kata, saya bohsia, pelacur dan sebagainya (tetapi) saya tidak kisah kerana realitinya (saya) memang begitu.

“Saya juga sering melawan cakap datuk malah sanggup memakinya dengan kata-kata kesat jika kehendak saya tidak dipenuhi,” katanya.

Pecah tembelang

Namun, peristiwa kemalangan jalan raya pada tahun lalu mengubah perjalanan hidup Lydia kerana kejadian itu mendedahkan tembelang Rashid.

“Peristiwa (kemalangan) itu berlaku di Puchong semasa saya bersiar-siar bersama seorang kakak angkat. Saya dilanggar oleh sebuah kereta semasa ingin memasuki simpang di satu selekoh.

“Saya kemudiannya dimasukkan ke sebuah hospital dan koma selama seminggu.

“Sebaik sedar, datuk memberitahu saya sebenarnya bercinta dengan abang sendiri. Datuk mengatakan individu yang selama ini saya anggap sebagai bapa dan ibu saudara sebenarnya ibu dan ayah kandung saya sendiri,” ujarnya.

Lydia tidak dapat menerima hakikat itu pada mulanya kerana dia menganggap hubungan seks dengan abang sendiri merupakan perkara paling jijik pernah dilakukannya.

“Selepas sembuh, saya menjadi tidak keruan dan berkurung dalam bilik. Saya pernah cuba membunuh diri.Saya bernasib baik kerana keluarga menghantar saya ke pusat pemulihan untuk menjalani rawatan.

“Rashid juga menghilangkan diri. Syukur kini saya telah kenal erti solat dan bertaubat. Saya berharap Allah dapat ampunkan dosa saya,” ujarnya pilu.

Jumaat, April 23, 2010

Jiwa beriman tabah hadapi dugaan

Sabar, jujur dalam urusan seharian akhlak Muslim dipelopori Rasulullah

KESABARAN merujuk kepada kemampuan untuk menanggung kesukaran tanpa gelisah dan menunggu hasilnya, biar berapa lambat sekalipun di samping sanggup menghadapi bebanan biar betapa berat dengan hati tenang dan pemikiran jitu.

Ini adalah berasaskan prinsip dalam al-Quran yang menekankan manusia pasti diuji sehingga mereka mengaturkan persediaan untuk menghadapi bencana yang akan menimpa supaya tidak kehilangan punca apabila bencana menimpa secara mendadak.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya kami tetap menguji kamu sehingga ternyata pengetahuan kami ternyata adanya orang yang berjuang daripada kalangan kamu dan orang yang sabar. Kami dapat mengesahkan berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad, ayat 3)

Konsep sabar diasaskan kepada dua hakikat penting iaitu pertama, tabiat kehidupan di dunia ini, Allah tidak menjadikan dunia sebagai tempat balasan dan persemadian. Dunia dijadikan tempat ujian dan percubaan.

Kedua, ia dikaitkan dengan hakikat 'iman' iaitu ikatan antara manusia dengan Allah. Manusia harus tunduk kepada ujian Allah untuk membuktikan mana yang tulen dan palsu.

Firman Allah yang bermaksud: "Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru pada serba-serbinya; Allah akan memperlihatkan kepada kamu tanda kekuasaannya; maka janganlah kamu meminta disegerakan kedatangannya." (Surah al-Anbiya', ayat 37)

Sifat sabar adalah ciri keagungan dan lambang kesempurnaan serta petanda penguasaan diri terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Dalam tamadun Barat pun, sifat ini diterima dengan baik.

Seorang tokoh terkenal Amerika Syarikat pernah berkata: "Jangan memohon untuk meringankan bebanmu tetapi mohonlah supaya ditegapkan badanmu." Pokoknya, sabar akan memupuk sikap keagungan dan percaya kepada diri sendiri.

Sabar boleh dibahagikan kepada tiga kelas. Pertama, sabar atas ketaatan. Ini adalah berasaskan kewajipan untuk melakukan sesuatu secara berterusan atau istiqamah. Contohnya, sabar dalam melaksanakan ibadah dan tuntutan agama.

Kedua, sabar daripada maksiat yang menjadi unsur penentangan terhadap godaan tersebar terhadap manusia yang menggerakkan mereka melakukan dosa dilarang.

Sabar adalah cetusan daripada keyakinan yang kuat dan tumpuan tegas terhadap apa yang diredai Allah SWT. Ini adalah semangat yang melindungi diri daripada melakukan perkara keji serta keburukan.

Ketiga, kesabaran menghadapi bencana yang menimpa seorang Muslim sama ada diri, keluarga, harta atau kedudukannya.

Konsep kesabaran bertambah kompleks apabila ia dipikul kumpulan kepemimpinan mewakili sekelompok pengikut, lebih-lebih lagi pemimpin yang mewakili kumpulan lebih besar, meliputi pelbagai bangsa, agama dan budaya.

Pemimpin akan sentiasa diuji dengan pelbagai isu dan akan dirakamkan dalam sejarah kepemimpinannya, sama ada dia lulus atau gagal menangani pelbagai perkara yang mewarnai eranya.

Pokoknya, pemimpin sejati bukan sekadar popular pada eranya sebaliknya dikenang sepanjang masa. Begitu juga dalam perniagaan, sikap sabar menghadapi kerenah pelanggan dan pekerja adalah sifat terpuji kerana ia menjadi asas kepada kejayaan perniagaan jangka panjang.

Kesabaran menghadapi dugaan ekonomi dan perniagaan yang meleset dan kesabaran menghadapi peraturan, tekanan serta pesaing di pasaran juga penting untuk memastikan perniagaan terus hidup pada jangka masa panjang.

Kesabaran juga akan memberikan kesan besar kepada pertimbangan terhadap kesaksamaan dan keadilan. Bersikap adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan ketentuan akidah, syariah dan akhlak serta bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Adil meliputi keadilan kepada orang lain dan diri sendiri. Banyak contoh bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan sikap adilnya. Dalam sebuah hadis, dikatakan: "Kaum Bani Israel sudah menemui kehancuran disebabkan mereka mengadakan undang-undang (hukuman) ke atas orang miskin dan memaafkan orang kaya."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, berdiri tegaklah untuk Allah sebagai saksi kepada keadilan dan jangan biarkan permusuhan orang lain menghasut kamu supaya bertindak berlawanan daripada keadilan, sentiasa berlaku adil kerana ia sangat dekat dengan ketaatan. Bertanggungjawablah terhadap tugas kamu kepada Allah."

Dalam al-Quran juga seruan begini jelas seperti firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa atau kaum kerabatmu sama ada mereka kaya atau miskin." (Surah an-Nisa', ayat 135)

Bagaimanakah sifat adil diamalkan dalam perniagaan? Adil penting dalam urusan jual beli. Timbangan yang tepat adalah satu aspek keadilan yang penting.

Memberikan maklumat sepenuhnya kepada pelanggan bagi membolehkan mereka membuat keputusan rasional adalah satu lagi sikap keadilan dalam perniagaan.

Bersikap adil ketika tawar-menawar bagi mengelakkan elemen eksploitasi disebabkan tekanan atau maklumat tidak sempurna dimiliki rakan kongsi adalah perlu.

Pengiklanan dan promosi serta bentuk pembungkusan yang boleh mengaburi mata bertentangan sikap keadilan dalam perniagaan.

Syarat perniagaan dan urusan jual beli yang memberikan faedah kepada kedua belah pihak secara seimbang juga satu contoh amalan perniagaan adil.

Perkongsian keuntungan dengan pekerja atau pemodal berasaskan pada kadar sesuai adalah satu lagi sikap adil yang perlu diamalkan. Ada banyak lagi elemen peribadi Muslim boleh diambil sebagai akhlak yang menjadi asas etika kehidupan sejagat. Ini termasuk baik hati, rahmat dan kasih sayang, kemaafan, murah hati, layanan baik, pengorbanan, rendah hati, kesopanan, tabah, tekun, gagah, dedikasi, bertanggungjawab, berdisiplin, bekerjasama, ketepatan masa, berjimat cermat dan bersyukur.

Jika diperhatikan, sifat dan sikap berkenaan hampir semua boleh dikaitkan atau berpunca daripada prinsip akhlak Islam yang dipelopori Rasulullah SAW. Ia adalah ciri pecahan kepada prinsip asas akhlak Islam.

Prinsip kehidupan seorang Muslim berteraskan kepada konsep mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

Ia berteraskan kepada nilai hidup setiap individu Muslim di alam semesta yang menekankan konsep pengabdian kepada Allah.

Cabaran yang yang tidak boleh diketepikan juga ialah mengukuhkan nilai murni individu supaya sentiasa menonjolkan kepentingan masyarakat umum dalam keputusan yang dibuat. Ini memerlukan nilai diasaskan pada akhlak berasaskan ajaran Islam yang murni.

Prinsip mengutamakan kepentingan ummah dengan matlamat mendapat keredaan Allah berbanding diri sendiri dan segelintir kecil kumpulan akan menjadi tonggak utama penyelesaian isu dalam apa bidang sekalipun.

Pasrah terima ujian

Apa yang kita boleh lakukan jika tidak dapat menerima qada' dan qadar?

RAMAI orang yang kerap mengalami trauma putus asa dalam hidup atau perjuangan mereka apabila berhadapan dengan persaingan dan kekalahan.

Terlalu berfikiran negatif hinggakan tidak ada usaha untuk mencari penyelesaian.

Pejuang-pejuang Melayu ketika menuntut kemerdekaan tidak pernah berasa gusar dengan penjajah British. Tok Janggut, Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharaja Lela dan Md. Salleh adalah di antara wira yang berani. Perjuangan adalah kemenangan. Walaupun mereka tewas dalam pertempuran, tetapi perjuangan yang dibawa oleh mereka berakhir dengan kemerdekaan negara.

Mereka tidak lari daripada perjuangan kerana sikap dan keyakinan mereka terhadap kemenangan. Imam Abdullah Haroon, salah seorang pejuang dasar aparteid di Afrika Selatan adalah seorang yang berketurunan Melayu.

Walaupun kisah perjuangannya tidak seharum nama Nelson Mandela, kubur Imam Abdullah pernah diziarahi oleh bekas Presiden Afrika Selatan itu.


Demi perjuangan menentang dasar yang zalim itu, Imam Abdullah ditahan selama 130 hari dengan seksaan yang sungguh sakit dan tidak berperikemanusiaan.

Panglima perang Islam, Khalid Al-Walid tidak pernah kalah dalam pertempuran, semangat juangnya sangat tinggi dan beliau hanya mengeluh kerana tidak mati syahid di medan perang.

Sebagai contoh, jika ada orang mengatakan Melayu tidak mampu dan tidak boleh buat sesuatu kerja, jangan terus melenting, mengamuk dan terus rasa putus asa. Melenting, mengamuk dan putus asa merupakan satu imbasan perlakuan tidak mampu menerima kritikan.

Jadi, macam mana kita hendak maju? Yang terbaik ialah dengan mengambil kritikan itu sebagai cabaran kita bertindak bagi membuktikan kita boleh buat. Apa yang mereka buat, kita juga boleh buat malah lebih baik daripada mereka.

Melayu hari ini pun rata-ratanya telah mendapat pendidikan yang sangat baik dan mampu membuat analisis yang mudah. Perubahan ketara yang Melayu kena berani lakukan ialah bersedia menerima kritikan sebagai peluang membuktikan kemampuan dan keupayaan diri sendiri.

Individu yang berjaya adalah orang yang berhenti menyalahkan orang lain. Menuding jari ke arah apa sahaja kecuali diri sendiri tidak akan memberi sebarang makna dalam hidup.

Paulo Coelho, seorang penulis yang terkenal di peringkat antarabangsa, memulakan usaha menulis buku novel bermodalkan kisah sebenar beliau kerana perasaannya tidak gembira dan sukar mencapai matlamat dalam hidup.

Kisah ceritanya sangat berkait dengan perjalanan kerohanian. Justeru, The Alchemist, buku paling laris beliau mengisahkan pengalamannya melawat Mesir, berkawan dengan orang Islam dan melihat kehidupan perjalanan hidup rakannya sebagai seorang Islam yang taat.

Dalam ceritanya itu, Coelho mendengar bacaan al-Quran yang kuat menusuk hatinya yang kemudiannya memberikannya penuh inspirasi bahawa Tuhan, pada hakikatnya, menunjuk arah kepada manusia. Katanya: "Jika kita mendengar apa yang Tuhan beritahu, tidak ada pilihan untuk kita melakukan kesilapan."

Jika seseorang memberi fokus kepada hidupnya, masa depannya dan orang di sekelilingnya maka setiap hari adalah pembawa perubahan. Apabila hidup bersama keinginan yang membuak-buak, kita mula belajar untuk berbakti dan menghambakan diri kepada Allah, Tuhan yang maha Pengasih lagi maha Penyayang.

Allah menimbulkan keinginan kita terhadap sesuatu yang menjadi hajat kita dengan mencampakkannya ke dalam hati. Dan rahsia mendapatkannya ialah dengan yakin sepenuh hati bahawa Allah akan menunaikan hajat kita.

Cubalah biasakan diri kita untuk menerima qada' dan qadar Allah. Apa yang kita boleh lakukan jika tidak dapat menerima qada' dan qadar? Apakah kita boleh masuk perut bumi atau membina tangga untuk ke langit?

Jalan keluarnya adalah dengan rasa reda dan kita pasrah. Renungkan firman Allah: "Di mana pun kamu berada, kematian akan menemui kamu, meskipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh" - surah An-Nisa': 78. Rasulullah memberi peringatan dalam sabdanya yang bermaksud: "Maka barang siapa yang reda (terhadap ujian yang Allah timpakan) maka ia akan memperoleh reda Allah (dan pahalanya) dan barang siapa membenci (dan tidak reda terhadap ujian yang Allah timpakan), maka dia akan memperoleh kemurkaan Allah (dan seksanya)."

Tawakal, keimanan teguh elak penyakit jiwa

Oleh Penulis Khas YaPEIM

PENYAKIT psikologi seperti tekanan perasaan, bimbang, sedih, hasad dengki serta putus asa sebenarnya berpunca daripada fikiran tidak rasional yang ada dalam minda seseorang. Ia berlegar di sekitar salah faham terhadap empat perkara pokok iaitu :
1 - Allah

2 - Hakikat diri insan
3 - Hakikat dunia
4 - Hari akhirat.

Beberapa contoh salah faham terhadap Allah ialah seseorang yang berusaha keras dan berasakan dengan pasti bahawa dia akan mendapat apa yang diusahakannya. Namun apabila gagal, dia akan berasa sedih dan tertekan.

Begitu juga keadaan seseorang yang putus kasih, akhirnya menyebabkan dia berada dalam kesedihan yang melampau serta putus harap. Sama juga yang sedih dan terkilan kerana segala pengorbanannya tidak diiktiraf oleh majikan hingga melemahkan semangat untuk terus cemerlang.

Banyak lagi contoh yang dapat diketengahkan, namun apa yang pasti semua permasalahan psikologi tadi disebabkan jahilnya kita dengan hakikat Allah atau jauhnya Allah daripada kehidupan kita. Harus diingat bahawa Allah yang menentukan segala keputusan. Kita hanya sekadar merancang dan melakukan yang terbaik. Selebihnya serahkan kepada Allah. Dengan berpendapat bahawa kita mesti dapat apa saja diusahakan adalah sesuatu yang tidak rasional dan akhirnya menyebabkan kita tertekan serta merana.


Di sinilah konsep tawakal dan kepercayaan kepada qada dan qadar perlu diingatkan. Bagi individu yang putus kasih, seharusnya beliau memahami jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Dalam hal seseorang yang terkilan kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya, beliau harus ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan segala sesuatu pastinya tidak terlepas daripada pandangan-NYA.

Sebab itulah kita sewajarnya bersikap ikhlas dalam pekerjaan kerana mungkin kita tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan duniawi, namun kita akan mendapat ganjaran lebih besar dan bermakna di akhirat nanti. Contoh di atas, jelas menunjukkan kejahilan terhadap Tuhan punca penyakit psikologi yang kita alami.

Salah faham terhadap hakikat diri, contohnya seseorang yang berfikiran bahawa harta dapat menjamin kabahagiaan, tetapi apabila harta sudah banyak, bukannya hati bertambah senang, malah semakin tertekan.

Anak beranak berpecah belah kerana harta dan ada yang sanggup berbunuhan kerana tamakkan harta. Tidur malam tidak sempurna sama ada asyik memikirkan bagaimana mahu menambah harta atau takut harta dilarikan orang.

Jika kita mengenali siapa kita sebenarnya, iaitu hakikat ruh dan jasad, kita akan mengetahui hakikat diri yang sebenar adalah ruh bukannya jasad. Jasad hanya kenderaan bagi ruh dan harta pula hanya sekadar memenuhi kehendak jasad. Apabila mati, jasad kita tinggalkan akan hancur musnah, tetapi roh (yang kita rujuk sebagai ‘aku’) akan meneruskan perjalanan ke alam berikutnya.

Faktor utama yang membahagiakan roh adalah kenal dan dekatnya ia dengan Tuhannya. Sebab itu, lagi dekat kita dengan Allah, lagi bahagia kita rasakan, tetapi lagi jauh kita dengan Tuhan, bertambah sengsara kita rasakan.

Orang kaya-raya dan berkedudukan, tetapi tidak mengamalkan ajaran Allah dan Rasul, rohnya sakit dan tidak akan bahagia. Hatinya penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam penyakit psikologi lain. Namun jika rohnya sihat, tetapi berkurangan sedikit daripada aspek keperluan jasadiah, dia masih tersenyum bahagia.

Salah faham terhadap dunia berlaku apabila kita mengharapkan sesuatu bersifat duniawi akan kekal. Kasih suami pada isteri, ibu pada anak, biar seutuh mana sekalipun, pastinya akan berkesudahan dengan perpisahan. Tiada yang kekal kecuali Allah.

Oleh itu, mengharapkan sesuatu yang tidak kekal supaya kekal adalah tidak rasional. Kita yang akan merana jika fahaman sebegini berada dalam kotak fikiran.

Disebabkan itu, dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan pemilihan pasangan, Rasulullah SAW menyuruh kita memilih pasangan yang beragama, kerana agama adalah sesuatu yang kekal. Rumah tangga yang dibina atas asas agama pasti lebih utuh daripada yang dibina atas asas kecantikan dan harta yang sifatnya sementara.

Salah faham terhadap hari kemudian berlaku apabila kita menganggapnya tidak penting kerana ia jauh dan tidak nampak. Namun sebaliknya, hari akhirat adalah penting kerana ia adalah destinasi terakhir dan abadi.

Memahami hakikat ini, kita sewajarnya tidak mudah menangis dan berasa sedih apabila berhadapan dengan permasalahan duniawi. Kita sepatutnya tahu menyusun keutamaan dengan mendahulukan apa yang dapat menjamin kebahagiaan kita di sana.

Ada tiga perkara yang perlu kita usahakan sebagai bekalan di akhirat nanti seperti yang disaran Rasulullah SAW iaitu anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.

Bersesuaian dengan pentingnya amal jariah, penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai institusi amal jariah haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Banyak penyakit psikologi dialami masyarakat hari ini berpunca daripada kejahilan atau kurangnya ilmu khususnya berkaitan empat perkara. Sumber ilmu yang benar seharusnya daripada agama. Agama memberikan mekanisme pertahanan yang kuat untuk kita berdepan segala cabaran di dunia.


Sifat sabar bentuk jiwa sentiasa tenang

Oleh Khairunneezam Mohd Noor

SESUNGGUHNYA tiada sesiapapun di dunia ini yang suka berhadapan dengan musibah atau malapetaka. Sebagai manusia yang beriman, segala kecelakaan yang berlaku perlu dihadapi dengan sabar dan bertakwa. Ujian yang diberikan Allah ini datang dalam pelbagai cara. Kehilangan atau kematian ahli keluarga tersayang, gagal dalam pelajaran, kesukaran dalam bekerja, kemusnahan harta benda, menghidap pelbagai penyakit kronik, terbabit dalam kemalangan, kerugian dalam perniagaan dan sebagainya adalah sesuatu yang cukup pedih untuk dihadapi.

Jika hati seseorang itu goyah dan tidak rasional, musibah yang melanda tidak akan dianggap sebagai cubaan dan petunjuk yang berupaya meneguhkan keimanan dan kekuatan diri. Kehidupan dianggap sebagai tidak bermakna. Jiwa tidak tenteram dan perasaan menjadi kusut apabila kesenangan dan kebahagiaan dinikmati sebelum ini hilang sekelip mata. Ada di antara kita yang menganggap Allah tidak adil kerana menurunkan musibah demi musibah, umpama 'sudah jatuh ditimpa tangga'. Ditambah lagi hasutan syaitan akan menyemarakkan lagi rasa putus asa, sesal, sedih dan marah. Kesannya, mulalah seseorang itu mencari penyelesaian secara negatif dengan melakukan kemungkaran . Ia sebenarnya adalah tanda protes terhadap nasib buruk dialami mereka.

Sebenarnya jika sifat sabar dipupuk sebaiknya dalam diri, seseorang itu akan terus diberi petunjuk oleh Allah dalam menghadapi cabaran kehidupan di dunia yang fana ini. Firman Allah, maksudnya: Sesiapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka dialah yang beroleh petunjuk, dan sesiapa yang disesatkan oleh Allah, maka merekalah orang yang rugi (Surah al-A`raf ayat 178).

Bagi orang yang bersabar, dia akan reda dan tabah menerima segala ketentuan Allah. Bahkan sifat berserah (tawakal) dan bersyukur akan tumbuh subur di dalam sanubari di samping percaya segala sesuatu yang berlaku ada hikmah di sebaliknya. Individu seperti ini sedar bahawa Allah menunjukkan contoh kesabaran rasul yang bergelar `Ululazmi' yang menerima pelbagai cabaran lebih hebat dalam menyebarkan dakwah Islamiah pada zaman mereka. Sifat sabar dapat membentuk keperibadian seseorang supaya sentiasa tenang. Ketenangan ini yang akan memandu dirinya untuk memuhasabah diri. Daripada perspektif Islam, orang yang bersabar dan tabah menghadapi ketentuan Allah adalah orang yang terpelihara kehidupannya di dunia dan di akhirat dan mendapat ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. Ini selaras dengan firman Allah: "Sesungguhnya orang yang sabar sajalah yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira? (Surah al-Zumar, ayat 10).

Sebagai masyarakat yang sentiasa prihatin terhadap satu sama lain, adalah wajar untuk kita membimbing dan membantu sebaiknya orang yang dilanda kesusahan. Bukannya mencemuh, menghina atau menjauhkan diri daripada mereka ini yang masih trauma dan tercari-cari pedoman menghadapi saat-saat sukar dalam hidup.

Bantuan boleh dihulurkan dalam pelbagai bentuk sama ada wang ringgit, kudrat tulang empat kerat, nasihat, kaunseling dan doa. Sokongan masyarakat dari segi fizikal, psikologi dan emosi sangat terkesan dalam membentuk sifat kesabaran dan ketakwaan dalam diri mereka yang dilanda musibah. Ia sekali gus menunjukkan betapa tingginya nilai tamadun masyarakat yang mengambil berat hal ehwal dan kebajikan setiap ahlinya.

Khairunneezam Mohd Noor adalah pensyarah yang sedang melanjutkan pengajian Doktor Falsafah di Universiti La Trobe, Melbourne, Australia

Hati raja kerajaan diri

Nurani: Hati raja kerajaan diri

SETIAP kerajaan mempunyai ketua atau raja. Bagi kerajaan diri, rajanya ialah hati dan kerana itu ia perlu dipelihara sebaik-baiknya, diberikan pendidikan dan asuhan sebegitu rupa, supaya kerajaan yang ditadbirnya dalam keadaan baik.

Begitupun, hati mempunyai dua penasihat iaitu akal dan nafsu. Ketika akal mengambil peranan sebagai penasihat, hati menjadi baik kerana pertimbangan dapat dibuat seadil-adilnya, tetapi apabila nafsu menjadi penasihat, hati turut berubah menjadi jahat.

Ketika hati menjadi raja kepada sistem kerajaan diri, anggota fizikal yang lain, seperti mata, telinga, mulut, tangan dan kaki adalah rakyat yang perlu mengikut segala perintah dan peraturannya.

Jika hati memerintahkan perkara baik, anggota badan sebagai rakyat mengikut saja perintah berkenaan, turut melakukan perkara yang baik, tetapi apabila hati memerintahkan kejahatan, jahatlah perbuatan dilakukan anggota badan.

Nabi Muhammad s.a.w pernah bersabda, maksudnya: "Di dalam tubuh anak Adam itu ada seketul daging, apabila daging itu baik, baiklah seluruh anggota badan dan jika jahat, jahatlah seluruh anggota badan. Ketahuilah itulah hati."

Hati mempunyai keistimewaan berbanding anggota yang lain. Ia adalah raja yang luar biasa, mahu tidak mahu kena ditaati rakyatnya. Disebabkan ada hatilah manusia dapat mentadbir dan menjalani sistem kehidupan di alam maya ini.

Di dalam hati bersifat tersembunyi, pemimpinnya juga tersembunyi. Malaikat memimpin hati dengan benda yang datang daripada Allah manakala syaitan memimpin hati dengan benda yang datang daripada iblis.

Walaupun pada hakikatnya semua perlakuan daripada Allah, tetapi kita sandarkan perkara jahat kepada syaitan manakala perkara baik daripada Allah. Dari Allah semestinya tepat lagi benar manakala daripada syaitan adalah kekufuran dan tidak baik.

Orang selalu mengatakan kulit luaran sangat sensitif kepada sesuatu, tetapi sebenarnya hati yang berada di dalam diri lebih peka, sama ada pada perkara positif atau negatif. Hati akan cepat terasa dan cepat tersinggung, malah dengan tiba-tiba juga boleh hilang semua perasaan itu.

Kadangkala disebabkan manusia tidak meneliti perjalanan hati di dalam diri, mereka berasa sudah cukup baik dan tenang, sedangkan hakikat adalah sebaliknya, kerana sebaik saja datang cabaran atau rangsangan dari luar, hatinya mudah cair, goyah dan tidak lagi tenang.

Contohnya, apabila anda dimarahi, anda berasa mahu memarahi kembali orang terbabit. Ini menunjukkan anda mempunyai sifat pemarah. Apabila tiada rangsangan itu, anda merasakan tiada sifat pemarah dan hati sudah berkeadaan baik.

Walaupun hati manusia cuma satu, tetapi kerana pelbagai cabaran mendatang, timbul pelbagai perasaan dan kesedaran.

Seseorang yang berjaya akan berasa bangga atau riak dan ego dengan kejayaan itu dan ada juga berasa syukur, malah malu kepada Allah. Pada waktu itulah hati yang sensitif akan sedar.

Jika hati tidak sedar dia sudah berbuat baik, ia adalah sifat terpuji kerana tidak berbangga dengan kebaikan itu. Tetapi jangan pula sehingga hati tidak bersyukur kepada Allah kerana dengan izin-Nya manusia dapat melakukan kebaikan.

Perkara paling buruk ialah apabila hati tidak sedar ia sebenarnya jahat. Hati tidak sedar rangsangan yang datang membuatkan ia bangga atau ego.

Lebih berbahaya apabila hati yang jahat dianggap sebagai hati yang baik, tidak sedar kejahatannya dan tidak cuba untuk berubah dengan bertaubat atau melakukan muhasabah, bahkan terus berbuat jahat kerana berasakan dirinya dalam kebaikan.

Kemudian, rasa hati terbahagi kepada dua dan kedua-duanya adalah benih yang ditanam Allah ke dalam hati manusia. Ini adalah fitrah semula jadi, yang lahir bersama manusia, cuma sama ada ia subur atau terbantut bergantung kepada usaha manusia sendiri.

Contohnya di kebun, benih jagung sudah ditanam dan terpulang kepada petani untuk menyiram, memberikan baja dan menjaganya. Apabila benih itu baik, tetapi tidak dijaga, mungkin ia mati sebelum tumbuh atau terbantut. Begitu juga dengan hati.

Fitrah baik manusia apabila tidak disuburkan dari awal kemungkinan mati akhirnya. Sebaliknya, jika peringkat awal disuburkan ia akan berakar umbi di dalam hati sehingga dengan mudah hati menjadi baik.

Apabila sudah terlewat baru hendak disuburkan, agak sukar kerana ia umpama benih yang terbiar lama tanpa disirami, dibajai dan dijaga.

Perasaan positif pada hati boleh terbantut apabila dari kecil individu itu tidak dididik, dibimbing dan diasuh. Dia terpaksa menempuhi kesukaran untuk menyuburkannya.

Benih yang positif dijaga dan disuburkan dari peringkat awal akan terus subur dan tidak perlu bersusah payah lagi apabila dewasa. Tetapi perasaan negatif sejak kecil sukar disuburkan, sukar untuk ditebang apabila sudah dewasa, ibarat pohon yang sudah teguh.

Antara benih positif ialah perasaan kasih, penyayang, simpati, lemah lembut, pemurah, sopan, rendah hati, hormat, taat, baik sangka, reda dengan ketentuan dan sabar dalam menghadapi cabaran hidup manakala benih negatif ialah rasa benci, pemarah, besar diri, bangga, dendam, dengki, khianat, bakhil dan suka menabur fitnah.

Jadi, manusia sudah semestinya perlu berusaha menyuburkan sifat positif dan memadamkan sifat negatif sekiranya mahu kepada kejayaan, ketenangan dan keselesaan. Apabila sifat positif tumbuh subur, secara tidak langsung benih negatif terbantut atau terus padam.

Dari situ, hati sebagai raja kepada kerajaan diri mula disinari dengan kebenaran dan kesucian, malah segala tindakan yang bakal dilakukan oleh rakyatnya terdiri daripada anggota badan yang lain juga adalah tindakan yang mulia lagi terpuji.