Rabu, November 07, 2012
Isteri queen control
Tarikh : 06/11/2012
SETELAH bertahun berumah tangga, mungkin anda sebagai suami sudah semakin 'mengenali' tabiat isteri.
Jika sebelum berkahwin, dia agak pemalu dan hanya menurut apa yang anda katakan, kini ternyata isteri anda bersikap mendominasi.
Pernahkah anda mendengar frasa queen control iaitu satu gelaran bagi isteri yang dilihat lebih dominan daripada suaminya?
Seorang isteri menjadi lebih berkuasa apabila melihat suaminya tidak dapat mengambil tanggungjawab dalam sesebuah rumah tangga atau lemah.
Akibatnya suami berada di bawah telunjuk dan sentiasa mendengar arahan isteri, seringkali menjadi mangsa lelucon kepada orang sekeliling kerana suami lebih banyak mendiamkan diri daripada bertindak.
Selalunya, si isteri ternyata lebih dominan sekiranya berjawatan tinggi, lebih berpengatahuan atau ada kelebihan-kelebihan lain berbanding suami.
Perbandingan ini bukanlah untuk semua. Masih ramai dalam kalangan wanita yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding suami, namun masih menjadi isteri yang taat.
Biasanya isteri yang dominan akan mengambil alih kuasa mengendali rumah tangga dan mengawal hubungan suami isteri dengan jitunya.
Golongan isteri seperti ini cenderung menggunakan fizikalnya yang lebih besar daripada suami.
Dia juga boleh menendang memukul atau mencakar suami sekiranya tahap kemarahan semakin memuncak.
Isteri yang dominan biasanya akan mengambil alih kawalan hubungan dari awal dan sering bertanggungjawab dan memantau dalam soal perhubungan termasuk menentukan hubungan seksual. Ternyata isteri dominan turut mendominasi sehingga ke soal seks.
Sekiranya suaminya lambat dia akan terdorong untuk mendapatkan apa yang dia mahukan.
Biasanya wanita yang dominan akan menentukan bila tarikh pertunangan dan pernikahan pada awal perkahwinan.
Wanita jenis ini juga selalunya akan memanipulasi wanita lain sebagai sasaran untuk meningkatkan status mereka sendiri.
Seorang wanita dominan biasanya akan menjadi yang pertama menunjukkan ledakan kemarahan dan sentiasa mempertahankan posisi dan pandangan peribadinya dan tidak mahu kalah berdebat.
Adakalanya dia juga akan cepat merasa marah biarpun atas kesalahan kecil seperti terlambat datang menjemput.
Mereka juga boleh menaikkan nada suara, berteriak, wajah memerah, melemparkan benda-benda, mendesis dan meludah.
Namun, seorang wanita yang dominan seringkali memiliki kecerdasan yang sangat tajam dan paling tidak, mungkin memiliki pendidikan tinggi.
Golongan ini sentiasa berusaha untuk menaikkan taraf hidup mereka termasuk mendapatkan pengiktirafan dalan apa juga bidang yang diceburi.
Dia akan berusaha mencari posisi pekerjaan yang paling tinggi untuk memegang kekuasaan, tempat yang mana dia boleh 'memerintah'.
Sekiranya berkomunikasi dengannya, anda akan dapati topik yang diperbincangkan hanya dikawal satu pihak sahaja iaitu isteri anda.
Dia akan menjadi individu yang paling ghairah bercakap atau lantang dalam setiap kelompok dan cenderung untuk mempertahankan keinginannya biarpun caranya tidak betul.
Di sebalik, kelemahan ciri dominan, pastinya anda tidak meragui kehebatan isteri anda atas kebolehannya berdikari dan mampu berfikir serta membuat tindakan dengan pantas tanpa memerlukan pendapat anda terutamanya ketika kecemasan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20121106/ke_01/Isteri-Ibqueen-controlbI#ixzz2BzfGCod4
© Utusan Melayu (M) Bhd
Selasa, Oktober 02, 2012
Senjata 'sulit' isteri
Sumber : Utusan Malaysia - Keluarga
Sebagai seorang isteri, pernahkah anda tahu bahawa anda sebenarnya mempunyai beberapa senjata 'sulit' yang dianugerahkan Tuhan untuk memikat dan merangsang suami anda?
Apabila anda tahu apakah senjata-senjata sulit di tubuh anda itu, tahukah pula bagaimana anda menggunakannya untuk 'menundukkan' suami anda agar terus jatuh cinta kepada anda?
Sebagai seorang isteri kita sebenarnya mempunyai pelbagai keistimewaan yang membolehkan kita memikat hati suami berlandaskan apa yang ada pada diri kita.
Mungkin kita pernah terfikir, sebagai seorang lelaki, suami anda sebenarnya mahukan 'kelainan' dari tubuh anda, sedangkan sebaliknya, mereka sebenarnya lebih suka dengan apa yang dikatakan keindahan asli daripada tubuh isteri mereka.
Jadi tidak perlulah kita sebagai isteri membahayakan diri melakukan pembedahan plastik semata-mata untuk mendapatkan tubuh yang 'maha mengancam' pada pandangan suami.
Berikut diberikan tujuh perkara utama yang boleh menjadi senjata sulit isteri memikat suami.
Selepas isteri tahu apakah senjata-senjata berkenaan, silalah gunakan dengan sepenuhnya untuk memikat hati suami anda, terutama apabila anda mengetahui dan dapat melihat jauh di lubuk hati lelaki yang bergelar suami terdapat satu daerah lembut di dalam hati mereka yang mengidamkan kecantikan dalaman kita yang asli.
Tidak syak lagi kini, si isteri itu sebenarnya adalah cantik dan memberahikan pada mata suami. Terpulang kepada isteri menggunakan kebijaksanaannya dan apa yang ada pada dirinya untuk memikat hati suaminya.
Rambut
Rambut umpama mahkota kepada kaum wanita, ia juga sebenarnya boleh dijadikan sumber tarikan tersendiri sebagai daya pemikat isteri yang asli. Rambut isteri yang ikal mayang, bersih, berkilat dan berbau harum adalah sumber pemikat utama kepada suami. Rambut yang berbau harum dengan haruman syampu yang digunakan akan menyebabkan suami suka membelai dan melalukan jari-jemari ke dalamnya ketika bersama.
Mata
Tuhan menganugerahkan mata yang bersinar kepada isteri. Tidak semestinya mata itu bulat, bundar, sepet atau kuyu. Mata sebenarnya boleh memuntahkan inspirasi cinta dan cerita. Pandangan mata juga boleh memberikan 1001 perasaan yang tidak dapat digambarkan. Suami boleh jadi 'cair' dengan pandangan isteri. Renungan isteri yang mendalam dan menggetarkan jiwa si suami boleh menyebabkan golongan Adam ini akan kehilangan ungkapan untuk ditafsirkan, bak kata, ''sayang, saya rasa seolah-olah melayang ketika melihat ke dalam matamu."
Kulit
Kulit adalah satu anugerah kepada wanita. Permukaannya yang licin, lembut, gebu dan bersih serta mulus adalah menjadi dambaan setiap suami ingin menyentuhnya. Justeru, jaga kulit badan anda agar sentiasa bersih agar ia rasa selesa apabila disentuh suami.
Tulang selangka dan lengkung leher
Daerah ini amat menjadi perhatian kepada suami apatah lagi menjadi tempat yang paling mulus untuk menjadi tempat singgahan ciuman suami dan ia juga sebenarnya daya penarik semua wanita.
Sekitar pusat
Bayangkan bahagian di sekitar pusat anda juga sebenarnya menjadi satu tempat yang amat memberangsangkan suami. Cuma di sini tentulah perlu selalu dijaga kebersihannya dan pusat anda akan lebih indah sekiranya anda kekal 'langsing' dengan pinggang terbentuk.
Lentuk liuk tubuh
Ini bukan satu perkara yang dibuat-buat. Lentuk liuk tubuh isteri yang manja ketika bersama suami sebenarnya adalah satu daya penarik yang boleh menggoda si suami. Ini termasuklah cara kita melenggang ketika berjalan, potongan punggung, saiz belakang badan dan sebagainya. Bersyukurlah, tubuh kita sebagai isteri ada segalanya untuk menghangatkan bibit-bibit kemesraan bersama suami.
Payu dara
Ops, ini kalau tidak diterangkan pun semua orang tahu. Secara fizikalnya, tidak kiralah apa saiznya, sama ada kecil atau besar pihak suami pasti suka melihat di bahagian ini. Bukan sekadar melihat, suami juga sebenarnya suka menyentuhnya untuk berbuat apa sahaja kerana sebenarnya pada fikiran mereka, ini juga sesuatu yang menjadi hak 'milik' mereka.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20120925/ke_02/Senjata-sulit-isteri#ixzz288OUZGpM
© Utusan Melayu (M) Bhd
Rabu, Mac 09, 2011
Pakaian dalam mewah
hidayah@bharian.com.my
2011/03/09
Mesti sesuai, selesa
CANTIK luar dan dalam adalah kesempurnaan yang sukar dimiliki sesiapa saja. Itu mungkin soal paras rupa dan juga hati. Bagaimana pula dengan soal pemakaian baik luar mahu pun pakaian dalam? Teruja tampil hebat, ada sesetengah wanita gemar berhabisan untuk fesyen pakaian malah tidak kurang juga ada yang sanggup berbelanja lebih, hanya untuk pakaian dalam. Jangan terkejut jika ada wanita yang sanggup berhabisan mengeluarkan belanja lebih hanya untuk membeli pakaian dalam berjenama mewah dan cantik walaupun bukan menjadi tatapan umum.
Bukan lagi perkara pelik, wanita setiap peringkat umur, lebih-lebih lagi yang memiliki kerja hebat mampu mengeluarkan belanja membeli pakaian dalam mewah dan berjenama.
Berbelanja ratusan ringgit hanya untuk sehelai pakaian dalam bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Malah, bagi yang kurang berkemampuan, sanggup mengikat perut dan berjimat, hanya untuk memiliki baju dalam berjenama yang diminati.
Bagi kebanyakan wanita, pakaian dalam yang menarik dan mahal mampu menyuntik keyakinan serta menyerlahkan lagi keanggunan wanita.
Selain cantik, siap berenda dan tampak mewah, jenis fabrik dan keselesaan turut menjadi sebab mengapa wanita sanggup berhabis untuk pakaian dalam. Lebih penting, kebiasaannya baju dalam mahal lebih tahan lama.
Satu baju dalam yang mahal boleh tahan bertahun-tahun berbanding baju dalam murah yang hanya dapat dipakai, mungkin hanya beberapa bulan dan apabila dikira dari segi kos, lebih menjimatkan membeli satu baju dalam mahal daripada beberapa baju dalam yang murah harganya.
Namun, ada juga keluhan terutama daripada wanita bertubuh dan payudara besar, kononnya pakaian dalam untuk mereka kurang menarik. Tidak banyak pakaian dalam yang menarik, tidak seperti baju dalam untuk wanita bertubuh atau payudara sederhana.
Hakikatnya, banyak pilihan menarik terbentang buat wanita di luar sana, tidak kira bertubuh kecil atau tidak, payudara kecil, sederhana atau besar. Banyak pembuat pakaian dalam wanita berjenama, tidak mengetepikan keperluan wanita bertubuh dan memiliki payudara besar.
Namun, apa yang lebih penting, keselesaan pakaian dalam perlu menjadi perkara pertama dalam memilih pakaian dalam. Perkara ini harus diberi keutamaan kerana baju dalam ibarat kulit kedua, yang melekat pada tubuh selama lapan hingga 12 jam sehari, malah hingga 24 jam sehari.
Seperkara lagi, pakaian dalam bukan hanya perlu selesa dari segi fabrik yang digunakan, malah memberi keselesaan dalam aspek sokongan pada payudara.
Tidak guna memakai pakaian dalam yang mahal, cantik dan tampak mewah tapi tidak mampu menyokong payudara hingga payudara nampak kendur, londeh dan tidak menarik!
Seksi dalam fabrik warisan
KOLEKSI pakaian dalam, pakaian renang serta pakaian tidur biasanya lebih tertumpu kepada mainan fabrik seperti satin, lace, renda dan jersey. Namun, jarang atau mungkin belum pernah ada koleksi berkenaan bermotifkan batik dan songket. Konsep berkenaan adalah satu kelainan selain unik dalam usaha mengembangkan keunikan fabrik warisan tempatan.
Dibawa oleh jenama yang baru bertapak, June Saira Lingerie menawarkan koleksi pakaian dalam bermotifkan batik di bawah label Batik Lingerie. Menerusi tagline “Be Sexy with Heritage” (Seksi dengan Warisan) sudah cukup mencerminkan gabungan motif batik dalam himpunan pakaian dalam untuk wanita berani, yang sering mahu tampil menyerlah dengan penampilan seksi.
Pemilih jenama itu, June Ramli, berkata ia sebagai satu kelainan memperkenalkan koleksi pakaian dalam berunsurkan sejarah seni warisan Melayu. Pemilihan batik dan songket antara lain bagi mempromosikan fabrik kebanggaan Malaysia menerusi cara yang belum difikirkan sebelum ini.
“Saya rasa menggunakan fabrik batik pada pakaian dalam juga boleh dipakai wanita setiap hari tanpa mengira cuaca,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.
June Saira Lingerie adalah koleksi yang bermotifkan kontemporari Asia. Rekaan dan motif pakaian dalam June Saira Lingerie berdasarkan motif bunga-bungaan, haiwan mistik keindahan serta alam semula jadi. Contohnya, burung garuda, naga, ikan laga, bunga orkid dan motif wayang kulit.
Fabrik yang dipakai untuk koleksi June Saira Lingerie pula adalah mesh dan satin sebagai pilihan kedua selepas batik. Dalam rangkaian itu juga terdapat koleksi pakaian renang yang cantik dan terang. Mainan rona warna dalam jenama itu juga pelbagai. Ada yang didatangi dengan warna lembut ada juga yang terang dan menyerlah.
June mensasarkan dan dalam usaha untuk menembusi pasaran tempatan terlebih dulu dengan membuka ruang niaga di beberapa gedung beli-belah yang ada. Namun, katanya, ketika ini beliau memerlukan ejen bagi menjual produk June Saira Lingerie.
Koleksi June Lingerie boleh didapati dan dilihat menerusi laman web sosial Facebook -June Saira Lingerie. Untuk sebarang pertanyaan, e-mel junesairalingerie@gmail.com.
Mewah dengan Valisere
MENGGABUNGKAN elemen ‘chic moden’ dan berani dengan pintalan vintaj Eropah, jenama pakaian dalam mewah, Valisere menawarkan koleksi mewah, Murmure, Jardin, Amoureuse dan Envouter. Tiga himpunan mewah adalah rekaan yang menepati keinginan romantis sempena musim bunga/panas 2011.
Menyaluti keperibadian feminin pada tahap paling sofistikated, koleksi Valisere diperbuat daripada fabrik, corak dan cetakan geomatrik yang memukau gaya mewah dengan mencipta koleksi yang bercirikan halus dan berani.
Bagi peminat tegar renda mewah, siri Valisere Murmure dicipta untuk memberi inspirasi dan membangkitkan naluri semula jadi dengan corak memukau dalam tona hangat dan jarang, dikemaskan bersama renda seksi. Kehalusan sulaman menyemarakkan asmara serta rasa mewah pada kulit terutama pada rekaan corak fabrik trikot dan lurex yang berkilat serta cetakan timbul berbintik-bintik dengan sekuin logam sekali gus mencipta penampilan berharga dan mewah bagai kulit kedua.
Lapisan kain satin dan tulle dalam kombinasi rona arang, hitam dan nude secara artistik dipadankan dengan sulaman geomatrik kukuh dan renda guipure mengetengahkan visi kelembutan dan magnetik.
Selain itu, untuk kenakalan romantik lagi nostalgik, manjakan diri dengan sulaman floral jitu dengan visi romantis ala taman dengan haruman flora segar untuk siri Valisere Jardin dan Amoureuse.
Sebahagian daripada koleksi memukau itu ialah baju jarang negligee Valisere yang seksi dengan potongan satin dan tekstur renda. Kelembutan acuan dihiasi dengan motif dan rekaan Euphoria memberikan gaya mewah.
Semua koleksi itu boleh didapati di pusat beli-belah terpilih seperti Isetan, Parkson, Robinsons, Metrojaya dan Empire Subang Gallery (butik Triumph).
INFO
Warna pakaian dalam dan anda
Hitam dan merah:
Mewakili keunggulan, kesungguhan dan kehangatan diri.
Hitam dan kuning:
Membawa erti ‘perasaan panas’ dan ‘suasana hangat’ atau petanda ‘berbahaya’.
Merah jambu:
Mewakili sifat feminin dan diri wanita yang sopan. Ia juga melambangkan daya kekuatan cukup bertenaga untuk menarik perhatian dalam kelembutan.
Putih:
Menggambarkan kesucian serta nilai ringkas dalam diri wanita berkenaan selain mewakili sikap jujur dan tulus. Ia membantu menyejukkan minda, jiwa dan perasaan.
Tip memilih baju dalam sesuai
* Tali bahu mestilah cukup besar untuk menampung dan menyokong payudara iaitu sekurang-kurangnya 19 milimeter (mm) lebar bagi mereka yang bertubuh besar dan payudara besar. Bagi yg bertubuh besar tetapi mempunyai payudara kecil atau sederhana, pilihlah tali bahu antara 13 mm hingga 16 mm.
* Mangkuk atau acuan baju dalam yang paling sesuai untuk mereka yang bertubuh besar dan memiliki payudara besar sewajarnya memberi liputan sepenuhnya. Ia memastikan payudara kemas dan tidak terbuai apabila bergerak atau berjalan.
* Bagi wanita yang bertubuh besar dan mempunyai payudara sederhana, disarankan memilih mangkuk penuh. Mangkuk tiga suku juga boleh dikenakan tetapi pilih saiz baju dalam yang besar.
* Sayap belakang juga mestilah cukup lebar supaya tisu pada bahagian belakang tidak membojol dan berat payudara dapat diseimbangkan dan menghasilkan garis ukur lilit yang selari antara bahagian depan dan belakang baju dalam. Ini turut membantu memperbaiki postur tubuh.
Sumber: www.cikedis.com
Selasa, Mac 08, 2011
Tak gentar dilambung badai
Harian Metro
SETIAP pagi dia menghantar anaknya ke sekolah dan selepas itu dia ke laut pula menangkap ikan. Dia nelayan yang agak jarang ditemui kerana dia adalah nelayan wanita!
Ramai yang tidak tahu nama sebenarnya ialah Fauziah Yahya kerana dia sering dipanggil sebagai Siah. Siah dan abangnya, Isa sering bekerja sama mensasarkan tangkapan ketam, ikan bebolos dan udang lantas itu membuatkan orang kampung mencari mereka sekiranya mahukan ketiga-tiga hasilan laut itu.
Siah, 34, memang masih muda tetapi pengalamannya ke laut agak banyak kerana ia bermula sejak kecil.
Anak ketiga daripada lapan beradik itu mula mengikut arwah bapanya ke laut ketika usianya 10 tahun. Ketika itu mereka sekadar menggunakan sampan berdayung, tidak berenjin seperti sekarang. Memang Siah anak yang rapat dengan arwah bapanya.
Pengalaman yang ditimba itu membuat Siah arif mengenai laut. Bukan sahaja mengenai hasilan laut tetapi perkara yang berkaitan seperti angin, ribut, jaring, bot dan cerita alam yang lain. Manakan tidak, laut terletak betul-betul di belakang rumah ibunya.
"Pada setiap hasil laut, jenis jaring sentiasa berbeza. Jaring untuk ikan bebolos contohnya, bentuknya lebih halus, panjangnya 900 meter, saya boleh siapkan dalam masa dua hari sahaja.
"Jaring udang pula lebih pendek, satu hari tiga keping boleh siap," cerita Siah sambil menambah, dalam tempoh dua minggu, dia boleh menyiapkan 20 keping jaring.
Menurutnya, jaring kena selalu ditukar kerana cepat rosak dan menghasilkannya sendiri lebih berbaloi kerana jaring sedia ada yang dibeli ada kalanya agak mahal.
Dunia orang laut selalunya difahami oleh orang laut sahaja. Sebagai orang yang asing mengenai dunia laut, memang seronok mendengar dia bercerita mengenai pengetahuan dan pengalamannya.
"Kena kenal pasti sama ada air kecil atau air besar. Begitu juga sama ada arus ada atau tidak. Biasanya sekiranya air tiada arus, ikan tiada.
"Kalau air besar, ada rezeki untuk kami. Begitu juga teknik menebar jaring. Ketam di bahagian tepi dan jaring ditebar melintang. Ikan bebolos pula ditebar menegak dan ke tengah sedikit," katanya.
"Pergi ke laut kena tengok keadaan air. Air surut waktu yang sesuai untuk memulakan kerja kerana walaupun surut, ikan lebih banyak. "Paling kurang setiap kali kami mendapat tujuh hingga lapan kilogram sehari. Ikan bebolos dijual RM10 sekilogram," katanya.
Menurut emak Siah, Halimah Baba, 61, mungkin disebabkan arwah suaminya dahulu seorang nelayan maka semua anak-anaknya suka ke laut walaupun mereka ada pekerjaan lain. Sekiranya tidak ke laut pun ada yang minat memancing.
Halimah sendiri mengusahakan ikan kering untuk dijual kepada orang kampung. Pelbagai ikan digunakannya seperti anak tamban dan gelama.
"Ikan direndam air garam dahulu kemudian dijemur sehingga kering. Tempoh mengering mengambil masa tiga hingga empat hari dan mesti di bawah cuaca yang benar-benar panas.
"Dahulu kami mempunyai dua bot tetapi sekarang tinggal sebuah sahaja kerana dicuri orang. Kenalah tempah yang baru.
"Dahulu sebelum bot hilang, enjin pun pernah hilang. Inilah cabaran sebagai penangkap ikan. Jaring koyak dan sebagainya adalah rempah ratus kehidupan sebagai nelayan," katanya.
Di laut, berada di atas bot masing-masing, nelayan saling bertegur sapa dan kenal mengenali. Memang ada yang terkejut melihat seorang perempuan berada di tengah laut menangkap ikan tetapi Siah sudah biasa dengan keadaan itu.
Walaupun melaksanakan kerja jarang dilakukan oleh kaum hawa tetapi orang kampungnya, Kampung Pantai Hilir, Melaka, menganggap apa yang dilakukan ibu dua anak itu sebagai perkara biasa.
"Saya memilih bidang ini kerana memang sangat sukakan laut. Entahlah, tak tahu kenapa tetapi jiwa saya memang sangat menyukai laut.
"Pernah mencuba bekerja dengan orang tetapi rasanya tidak sesuai dengan jiwa saya. Laut juga yang saya ingat selalu.
"Dari dahulu lagi, balik sekolah saya mesti mengikut bapa ke laut. Begitu juga selepas balik kerja. Jadi lebih baiklah saya buat pekerjaan ini," katanya sambil merenung laut yang redup di hadapan kami.
Ke laut menangkap ikan ternyata dunia yang dicintai wanita bertubuh kecil ini. Kerjanya bukan mudah bagi kebanyakan wanita, menolak bot ke laut, mengemudi dan kemudian menebar jaring. Ia memerlukan kemahiran dan pengalaman tinggi tetapi Siah berjaya melakukannya.
Suaminya, Mohd Nazri Husin, 37, dahulu pernah tidak membenarkan Siah ke laut kerana bimbangkan keselamatannya tetapi apabila dia tetap meminta izin akhirnya si suami membenarkan.
"Cuma waktu mengandung saya berhenti seketika ke laut tetapi selepas itu sambung semula. Ketika mengandung itu saya menolong kerja membersih ikan dan membantu emak membuat ikan masin.
"Anak perempuan saya juga nampaknya mempunyai minat sama seperti saya. Suka sangat ke laut," katanya.
Laut bukan sahaja tempat Siah menambah rezeki tetapi hatinya seronok, puas dan gembira berada di situ. Membesar dalam keluarga nelayan, pengalaman Siah memang pelbagai, antaranya dia pernah karam apabila bot dinaiki bersama arwah bapanya dipukul ombak.
"Ketika itu saya berumur 10 tahun dan ingat lagi, saya kena berenang ke tepi untuk menyelamatkan diri," katanya.
Belum lagi kisah dilanda ribut yang melandanya tiba-tiba.
"Waktu pergi air tenang dan cuaca baik. Tiba-tiba sahaja ribut melanda. Terpaksa lari ke pantai selamatkan diri dan potong jaring yang sudah ditebar ke laut.
"Memang bab cuaca susah hendak dijangka jadi kami kena sentiasa bersedia," katanya.
Sekiranya ke laut, Siah membawa peralatan lengkap seperti pisau dan playar kerana itu diperlukan sekiranya perlu memotong jaring di kala kecemasan. Rezeki nelayan memang tidak menentu. Ada kala banyak, ada kala sedikit, ada kala terlalu sedikit.
"Sekiranya terlalu sedikit, ia menjadi makanan keluarga sahaja. Tidak dapat dijual kepada orang kampung. Tetapi biasanya anak ikan sentiasa ada jadi kami boleh membuat ikan kering yang ada pengikutnya sendiri.
"Seronok apabila dapat menaikkan ikan, puas sangat rasa hati," pengakhir kata Siah sambil memeluk anak lelaki bongsunya yang sentiasa manja di sisi.
Jumaat, Mac 04, 2011
Anda kategori mana?
snur@bharian.com.my
2011/03/04
Lelaki bimbit tas tangan wanita : Tak macho tapi nampak seperti budiman
RAMAI lelaki cuba menonjolkan sifat budiman sama ada melalui tingkah laku, pertuturan, penampilan atau etika diri dengan pelbagai sebab dan alasan paling kerap dilakukan tentunya untuk kelihatan menarik di mata wanita. Gelagat golongan Adam berlagak ‘gentleman’ yang biasa dilihat terutama di dalam kelompok lelaki Asia adalah aksi mereka menjinjit tas tangan milik isteri atau teman wanita ketika membeli-belah.
Pertolongan dihulurkan itu kelihatan tulus ikhlas tapi kadangkala boleh mengundang rasa jelak daripada khalayak mungkin kerana pelakunya banyak terdiri daripada golongan di bawah umur.
Namun, tidak ada hukum mengatakan ia dosa atau salah tapi tetap ada yang mencemuh mungkin kerana nampak seperti tidak kena gaya.
RATU cuba merungkai isu itu dengan mendapatkan pandangan daripada wanita sendiri, mungkin boleh dijadikan panduan bagi golongan lelaki.
Sokong
Pelajar, Hafieza Ariffin, 22.
“TINDAKAN itu nampak seperti tidak ada salahnya. Kalau lelaki boleh tolong bawakan beg plastik untuk isteri atau kekasihnya sama saja jika dia tolong bawakan beg tangan.
“Konsepnya adalah tolong-menolong. Mana tahu, jikalau beg itu berat sangat dan wanita itu perlukan pertolongan untuk ringankan beban menyandang beg,” katanya.
Suri Rumah, Nor Fazuliana Johari, 22.
“APABILA ada anak kecil, dia memerlukan pertolongan suami untuk membawa tas tangannya tatkala keluar ke mana-mana. Saya suka bila suami tawarkan diri untuk memegang beg kerana dia malas mendukung anak. Jadi, ringan sikit beban lagipun mengendong anak dan beg sekali gus tentunya boleh mengundang masalah lain seperti diragut,” katanya.
Tak sokong
Usahawan, Roslawati Ramly, 39.
“MENGAKUI tidak akan sesekali membenarkan lelaki menyandang tas tangannya kerana aksi lelaki sebegitu nampak pelik. Tak macho lelaki begitu malah secara peribadi, saya sendiri tak suka lihat lelaki bimbit tas tangan teman wanita atau isteri kecuali pegang sebentar sementara ingin ke tandas.
“Selalunya anak muda sering bersikap begini mungkin kerana ingin menunjukkan sikap mengambil berat demi untuk memenangi hati teman wanitanya. Tapi bagi saya, untuk kelihatan budiman dan penyayang, lelaki juga perlu kelihatan macho. Jadi, dalam apa juga tindakan, biarlah kena pada tempat,” katanya.
Usahawan, Aff Fridawati Dahlan, 29.
“LELAKI tidak sesuai mengendong tas tangan wanita walau berada dalam apa juga situasi dan tempat. Saya akui, rimas apabila melihat atau berdepan lelaki yang sering menawar diri untuk membawa tas tangan saya apabila keluar bersama.
“Mungkin wanita yang berada di dalam situasi itu terpaksa akur dengan sikap lelaki terutama budak muda yang kononnya mahu tunjukkan sifat budiman. Jika menolak, bimbang dikata tidak menghargai tapi jujur dikatakan, lelaki memang tidak sesuai membawa tas tangan wanita,” katanya.
Selasa, Januari 12, 2010
Ciri-ciri isteri solehah
KITA biasa dengan ungkapan yang berbunyi, "syurga di bawah tapak kaki ibu". Tetapi benarkah syurga isteri pula di bawah tapak kaki suami? Adakah ungkapan ini disokong oleh mana-mana hadis?
Jawapan:
Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.
Adapun janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.
Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34)
Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.
Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)
Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]
Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660, 661)
Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:
1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.
2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.
4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.
Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.
Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya.
Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)
2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.
3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma' bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".
Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)
4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.
5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.
6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.
7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)
Utusan Malaysia
ARKIB : 08/01/2010
Khamis, November 12, 2009
Pendam gelodak batin 20 tahun
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammadahmad
PUTRAJAYA: Malu diperli atau disindir mendorong segelintir isteri sanggup memendam gelodak batin lebih 20 tahun apabila suami yang sudah memiliki ‘pucuk muda’ langsung tidak menyentuh mereka walaupun tidak mengabaikan keperluan zahir, termasuk memberikan wang untuk keperluan harian.
Malah, ada lelaki yang mempunyai isteri baru sanggup memberikan pelbagai alasan termasuk menghidap penyakit kronik sehingga langsung tidak boleh tidur sekatil dengan isteri tua kerana kononnya boleh menimbulkan masalah kesihatan.
Ini menyebabkan isteri yang tidak tahan dengan gelodak batin terpaksa membawa masalah mereka ke mahkamah bagi menuntut cerai ‘tanpa rela’, tetapi menggunakan alasan lain bagi menjaga maruah diri supaya tidak dilabelkan sebagai wanita gila seks.
Bagaimanapun, ada wanita yang sanggup bertahan bertahun-tahun menanggung derita batin walaupun melakukan pelbagai usaha bagi menarik hati suami, tetapi pasangannya yang balik ke rumah lebih rela menonton dan terlelap di depan televisyen daripada melayani isteri.
Gejala tidak sihat di kalangan isteri menderita itu didedahkan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, yang mengaku menerima banyak aduan mengenai isteri tidak diberikan nafkah batin selama bertahun-tahun.Menurutnya, aduan itu bukan pelik, tetapi ia kenyataan yang perlu diterima apabila ada di kalangan suami sanggup menipu isteri dengan memberikan alasan tidak sihat atau menghidap penyakit kronik yang kononnya terpaksa membataskan perlakuan seks dan tidak boleh tidur sekatil dengan isteri.
“Alasan itu digunakan bertahun-tahun bagi mengelak tanggungjawab memberi nafkah batin kepada isteri. Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila si suami meninggal dunia dan suami didapati mempunyai isteri baru dan anak lain.
“Ketika hidupnya dia tidak melayan nafkah batin isteri dengan alasan tidak sihat, tetapi pada masa sama sanggup berada di depan televisyen berjam-jam,” katanya.
Mengulas lanjut perkara itu, Wan Abdul Halim yang lebih 30 tahun berkecimpung dalam persatuan ibu tunggal berkata, gejala tidak sihat itu membabitkan isteri berusia 18 hingga 50 tahun yang mengakui tidak diberikan layanan seks bertahun-tahun oleh suami.
Malah, katanya, ada lelaki tidak menyentuh isterinya bertahun-tahun walaupun mereka masih tinggal di rumah sama sehingga si isteri terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah.
“Bagaimanapun, bagi menjaga maruah, isteri terpaksa menggunakan isu lain sebagai alasan walaupun nafkah batin isu utama yang sepatutnya diutarakan di mahkamah.
“Senario ini terlalu kerap berlaku dan seolah-olah menjadi asam garam dalam masyarakat sehingga ada isteri yang sanggup menyimpan gelodak jiwa mereka,” katanya.
Menurutnya, gejala ini sebenarnya satu penderaan terhadap golongan isteri yang sering menjadi sasaran apabila suami berkahwin lain secara sulit sehingga mengabaikan tanggungjawab batin terhadap isteri lain.
Tanpa berselindung, Wan Abdul Halim menganggap golongan suami terbabit manusia yang tidak hiraukan dosa dan hanya tahu melayan nafsu sendiri dengan mengambil kesempatan terhadap isteri yang sepatutnya dijaga sebaik-baiknya.
Ditanya sama ada wujud kes isteri yang terbabit dengan gejala tidak sihat apabila menghadapi masalah nafkah batin, Wan Abdul Halim tidak menafikannya, tetapi jumlahnya terlalu sedikit berdasarkan aduan diterima.
Menurutnya, kebanyakan aduan isteri yang menghadapi masalah itu lebih menjurus kepada menuntut perceraian di mahkamah tanpa mengaitkan diri dengan masalah nafkah diabaikan suami bertahun-tahun.
Lebih malang, katanya, ada wanita yang tidak mendapat galakan daripada keluarga dan rakan untuk mengetengahkan isu itu di mahkamah.
“Nasihat negatif kononnya tuntutan itu akan memalukan isteri dan golongan wanita mendorong isteri yang menderita tidak meneruskan hasrat ke mahkamah walaupun mereka mempunyai hak.
“Berdasarkan pemerhatian dan aduan, saya mahu gejala ini dibendung segera supaya tidak menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat, termasuk menghadapkan suami yang mengabaikan tanggungjawab batin kepada isteri ke mahkamah,” katanya.
Khamis, Oktober 08, 2009
'Nikmat' bersalin normal
Utusan Malaysia
TIGA puluh atau 40 tahun dulu ketika perkhidmatan kesihatan belum begitu meluas proses bersalin atau melahirkan bayi di rumah merupakan situasi biasa di kalangan masyarakat.
Proses kelahiran secara normal di rumah berlaku tanpa peralatan-peralatan canggih sekadar kehadiran bantuan 'mak bidan' dan jururawat desa (jika ada).
Seiring dengan perkembangan zaman dan kemajuan dalam dunia perubatan, sebahagian besar proses kelahiran berlaku di hospital dengan bantuan para doktor dan jururawat serta peralatan-peralatan moden.
Malah sesetengah bakal ibu memilih untuk bersalin secara pembedahan atau menikmati kecanggihan ubat-ubatan dengan fungsi untuk mengurangkan sakit bersalin.
Sebab itu bakal ibu zaman ini sudah terlalu biasa dengan istilah-istilah seperti ceaserean, induce, epidural, vasektomy, etonox dan pelbagai lagi teknik rawatan bagi membantu memudahkan proses bersalin.
Sedangkan kaedah bersalin secara normal pula hanya relevan di hospital-hospital kerajaan (jika tiada komplikasi yang melibatkan nyawa ibu atau bayi).
"Bersalin adalah satu proses semula jadi yang dianugerahkan oleh Allah S.W.T kepada setiap wanita yang mengandung.
"Tidak ada mana-mana wanita mengandung yang akan kekal mengandung selama hayat mereka, cukup tempoh anak akan keluar melalui saluran peranakan ibu sebagai satu tindak balas semula jadi sistem tubuh mereka," ujar Nadine Ghows, pengasas The Gentle Birthing Group (GBG), sebuah kumpulan sokongan untuk ibu-ibu yang memilih untuk bersalin secara normal.
Kini menurut Nadine, di negara-negara Eropah bersalin normal di rumah menjadi pilihan kebanyakan ibu-ibu di sana.
Malah kebanyakan daripada mereka juga berminat memilih kaedah bersalin normal di dalam air untuk menambah pengalaman melahirkan anak.
"Ada di kalangan wanita yang mula mempersoalkan tentang penggunaan ubat-ubatan ketika proses bersalin.
"Kelahiran normal bukan sahaja memberikan satu kelahiran yang tanpa sebarang intervensi malah ia memberi si ibu membuat keputusan sendiri untuk melalui proses bersalin yang mereka mahu.
"Kita perlu didik minda kaum ibu bahawa setiap penggunaan ubat-ubat kimia memberi kesan kepada bayi yang dilahirkan.
"Sebagai contoh, seorang ibu yang mengambil gas etonox untuk mengurangkan rasa sakit ketika bersalin mungkin tidak mengetahui gas tersebut boleh sampai kepada bayi mereka dan sedikit sebanyak memberi kesan pada bayi. Antaranya bayi mungkin akan lambat bertindak balas terhadap penyusuan dan beberapa masalah lain lagi yang masih dalam kajian.
"Jika kandungan tidak mempunyai apa-apa komplikasi, pilihan terbaik ialah bersalin secara normal tanpa sebarang intervensi," jelasnya yang ditemui di kediaman ibunya yang terletak di Subang, Selangor, baru-baru ini.
GBG baru saja ditubuhkan oleh kumpulan ibu yang mahu dan memilih untuk melahirkan bayi mereka secara normal tanpa sebarang tekanan untuk menggunakan kaedah intervensi yang tidak begitu diperlukan.
Kumpulan sokongan itu juga seboleh-bolehnya memberikan galakan dan sokongan terbaik kepada si ibu yang mahukan kelahiran bayi mereka secara normal.
"Ketika mengandungkan anak sulong saya ini, saya berkesempatan bertemu dengan ramai kenalan, keluarga dan wanita biasa yang berkongsi pengalaman melahirkan bayi.
"Selain itu saya juga banyak membaca bahan bacaan tentang kelahiran, belajar senaman dan menghadiri kelas pranatal dan terapi alternatif seperti akupuntur," jelasnya yang melahirkan anaknya, Sarah Ayesah Shafie, ketika berada di Australia dua tahun lalu.
Hasil daripada bertukar-tukar pandangan dan pembacaannya Nadine mendapat kesimpulan sendiri bahawa sokongan, penjagaan dan galakan yang diterima oleh bakal ibu daripada kenalan dan keluarga menjadi penentu sama ada kelahiran yang bakal berlaku secara normal atau sebaliknya.
Malah katanya, ramai wanita yang mampu bersalin normal memilih untuk bersalin di rumah melalui nasihat dan pengawasan pegawai perubatan.
"Jika ibu memilih untuk bersalin di rumah dengan kaedah bersalin di dalam air, dia perlu memaklumkan kepada hospital berdekatan agar langkah serta peraturan sepatutnya akan dapat diikuti.
"Lazimnya ibu akan diawasi oleh seorang doktor dan jururawat dan mengikut pengalaman mereka yang pernah melahirkan anak di dalam air, proses kelahiran tersebut kurang sakit berbanding kelahiran biasa," jelasnya lagi.
Kelahiran dalam air di Malaysia
Nadine percaya memang terdapat ramai wanita di Malaysia yang bersalin secara normal dan tidak kurang juga yang berminat mencuba kaedah bersalin di dalam air.
"Sehingga kini terdapat dua hospital di Malaysia yang menyediakan perkhidmatan kelahiran di dalam air iaitu di Hospital Pantai Kuala Lumpur dan Island Hospital Penang," ujarnya yang kini sedang mendalami bidang pendidikan kelahiran bayi.
Begitupun di negara ini, kaedah bersalin di dalam air masih belum dipraktikkan dengan meluas.
"Terdapat banyak jenis kolam untuk bersalin dengan pelbagai saiz dijual dengan meluas di pasaran Britain. Kolam tersebut juga ada dijual di Internet serta farmasi tertentu di Malaysia," katanya.
Bagi sesiapa yang berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang GBG bolehlah menghantar soalan dan kemusykilan anda kepada alamat e-mel: mygentlebirth@gmail.com
Selasa, September 01, 2009
Dasar Wanita Negara 2009 lebih dinamik
Oleh Nor Affizar Ibrahim
affizar@bharian.com.my
Dikemas kini selepas 20 tahun dasar pertama diperkenal bagi perkasakan wanita dalam arus perdana secara komprehensif SELEPAS 20 tahun, akhirnya Dasar Wanita Negara 2009 yang diluluskan Kabinet pada 22 Julai lalu dilancarkan, sekali gus menjadi aspirasi untuk memberikan lonjakan dan nafas baru dalam usaha kerajaan memperdanakan wanita di negara ini dalam pembangunan negara.
Pengenalan dasar baru yang dilancarkan sempena sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2009 itu juga sejajar dengan perubahan persekitaran dan keperluan masa hadapan dalam dunia globalisasi yang semakin kompetitif.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata Dasar Wanita Negara yang digubal kerajaan pada 1989 adalah titik tolak kepada agenda pembangunan negara yang sangat penting kerana buat pertama kalinya, garis panduan yang konkrit untuk mengintegrasikan wanita sepenuhnya dalam pembangunan negara, diwujudkan.
Beliau berkata, kemajuan dan pencapaian wanita Malaysia di bawah Dasar Wanita Negara yang pertama amat terserlah sama ada dalam sektor kerajaan, swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat, keluarga mahupun individu.
“Menyedari keperluan untuk potensi wanita yang menjadi separuh daripada kekuatan negara ini digilap secara optimum, kerajaan menggubal Dasar Wanita Negara pada 1989. Dasar ini mengandungi strategi khusus bagi memastikan impak positif wanita dalam proses pembangunan,” katanya ketika berucap pada majlis sambutan Hari Wanita Peringkat Kebangsaan 2009 di ibu negara, baru-baru ini.
Pelancaran Dasar Wanita Negara 2009 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak. Hadir sama, Datin Seri Rosmah Mansor dan isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman.
Shahrizat berkata, dasar baru berkenaan berhasrat untuk merealisasikan aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan yang berdaya saing dan mempunyai ketahanan diri dengan melahirkan wanita berilmu serta berwawasan, mempunyai daya kreativiti dan inovasi, di samping menghayati nilai-nilai murni.
Katanya, dasar itu juga bermaksud untuk memberi panduan dan hala tuju dalam usaha perancangan dan pelaksanaan pembangunan wanita atas kesedaran bahawa wanita adalah separuh daripada penduduk negara yang menyumbang gigih kepada pembangunan negara.
“Kerajaan berasakan perlu dan penting Dasar Wanita Negara yang digubal 20 tahun lalu dikaji semula dan diperkemaskan supaya lebih relevan. Hasilnya, Dasar Wanita Negara 2009 diperkenalkan dan ia adalah dasar yang progresif dan dinamik serta mampu menjadi peta laluan bagi wanita Malaysia mencorakkan landskap pembangunan ekonomi, sosial dan politik negara.
“Dasar ini adalah hasil daripada percambahan minda, konsultansi dan pemuafakatan antara agensi kerajaan, ahli akademik, kumpulan pakar, sektor swasta serta NGO yang arif dan berpengalaman dalam bidang masing-masing,” katanya.
Antara pembaharuan yang diketengahkan dalam dasar baru itu ialah pembudayaan kesaksamaan gender di kalangan badan eksekutif, badan perundangan dan badan kehakiman, di samping langkah membenarkan untuk meningkatkan penyertaan wanita pada peringkat pembuat keputusan.
Dasar berkenaan turut menggalakkan sinergi multi sektor untuk meningkatkan taraf sosio-ekonomi wanita serta penyelidikan dan pembangunan yang menjurus kepada pengumpulan serta pengaplikasian data mengikut pecahan gender.
“Dasar yang dilancarkan ini akan turut disusuli dengan Pelan Tindakan Pembangunan Wanita (PTPW) bagi memperincikan tindakan yang perlu diambil oleh kerajaan dan bukan kerajaan. Dalam Pelan Tindakan berkenaan dimuatkan inisiatif untuk pembangunan wanita yang merangkumi 13 sektor utama, antaranya ekonomi, kemiskinan, undang-undang, keganasan terhadap wanita dan kesihatan,” katanya.
Shahrizat berkata, ledakan teknologi maklumat, proses globalisasi, transformasi politik serta perubahan iklim ekonomi baik pada peringkat nasional mahupun global memberikan pelbagai bentuk cabaran baru untuk wanita Malaysia .
Katanya, antara cabaran utama dihadapi ialah kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh masih rendah. Statistik terkini menunjukkan kadar penyertaan wanita di negara dalam sektor pekerjaan adalah pada kadar 45.7 peratus jika dibandingkan dengan peratusan tenaga kerja wanita di negara lain yang mencecah sehingga 70 peratus.
Kedua, isu pembangunan ekonomi wanita dan isu kemiskinan terutama di kalangan isi rumah yang diketuai oleh wanita termasuk ibu tunggal di bandar dan luar bandar. Ketiga, masih terdapat undang-undang dan peraturan yang dianggap mendiskriminasikan wanita walaupun secara tersirat.
Keempat, peningkatan kes keganasan terhadap wanita termasuk keganasan rumah tangga, rogol, sumbang mahram, pencabulan dan gangguan seksual di tempat kerja, manakala kelima, risiko yang lebih tinggi berkaitan isu kesihatan masa kini seperti barah dan HIV/Aids.
INFO
Dasar Wanita Negara 2009:
- Perlembagaan Persekutuan
- Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW)
- Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak (CRC)
- Deklarasi dan Pelan Tindakan Mengenai Pembangunan Wanita Dalam Negara Anggota Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM)
Jumaat, Ogos 21, 2009
Menjadi kaya dengan menulis?
Penulis yang menghasilkan lapan buah novel sejak 2002 dengan karya pertama, Suara Hati berkata, menjadi kaya semata-mata hasil menulis hanya wujud di Barat tetapi tidak di Malaysia.
''Ini kerana di Barat, jumlah cetakan sesebuah novel boleh mencapai hingga berjuta-juta naskhah kerana pasarannya meluas hingga ke seluruh dunia tetapi di Malaysia jumlah cetakannya hanya untuk pasaran di dalam negara, Brunei dan Singapura.
''Ini bermakna jumlah cetakan sesebuah novel tidak banyak. Jadi sukar untuk saya mengatakan seseorang penulis di Malaysia boleh menjadi kaya hasil daripada penulisan kecuali bagi penulis yang memiliki syarikat penerbitan sendiri dan mampu bersaing serta bertahan dalam dunia penerbitan yang penuh cabaran.
''Di negara ini, bagi penulis yang ingin menjadi 'senang sedikit' hanya dengan duit royalti harus tahu memanfaatkan ganjaran itu dengan membuat pelaburan yang menguntungkan dan bukan membelanjakan sesuka hati. Ini kerana royalti yang diterima tidak banyak dan ada pula dibayar berdikit-dikit.
''Pada saya, selalunya saya menggunakan royalti yang diterima dengan membuat pelaburan dalam hartanah, saham dan sebagainya.
" Hanya dengan cara inilah jumlah yang sedikit akan beransur-ansur menjadi banyak dan penulis akan menikmati kehidupan yang lebih selesa hasil daripada penulisan,'' katanya ketika ditemui di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, baru-baru ini.
Penulis yang mempunyai beberapa buah rumah kerana pelaburannya melalui hasil royalti itu memberitahu, penulis akan menerima bayaran royalti daripada penerbit setelah hasil karyanya diterbitkan.
Bayaran royalti
Bayaran royalti bergantung kepada jumlah cetakan buku dan kadar bayaran seperti yang telah dipersetujui dalam perjanjian.
''Mengimbau penglibatan awal saya dalam bidang penulisan, walaupun karya pertama saya iaitu Suara Hati sudah diterbitkan, saya tidak tahu bagaimana kiraan bayaran royalti dibuat dan jumlah bayaran yang akan saya terima.
''Hal ini kerana saya tidak mengenali penulis-penulis senior untuk mendapatkan maklumat daripada mereka. Saya juga tidak bertanya kepada editor kerana pada ketika itu bagi saya yang lebih penting ialah manuskrip saya diterbitkan. Saya ingin membuktikan kepada anak-anak murid saya bahawa saya juga boleh menulis novel.
''Alhamdulillah bayaran royalti pertama yang saya terima amat memuaskan. Ini sekali gus menyuntik semangat saya untuk terus menulis. Bagaimanapun dari awal pembabitan telah saya tetapkan hanya sebuah novel sahaja yang akan saya tulis dalam setahun tetapi kini saya menimbangkan cadangan pihak penerbit supaya menghasilkan dua buah novel setahun.
''Bagi saya menulis bukan semata-mata kerana bayaran royalti tetapi untuk memberi kepuasan diri sendiri dengan setiap novel yang dihasilkan.
''Penulis yang berkarya dan mengharap untuk mendapatkan royalti yang banyak tentu akan berasa kecewa jika pendapatan yang diterima tidak seperti yang diharapkan,'' jelasnya yang sememangnya kelihatan hidup mewah dengan hasil penulisan novel. Beliau juga mengakui kemampuannya untuk melancong ke luar negara setiap tahun bersama keluarga melalui ganjaran royalti.
Sementelah pula mempunyai suami yang sememangnya pakar dalam menguruskan pelaburan hartanah telah memungkinkan Anis menceburi bidang tersebut.
''Pembelian beberapa hartanah inilah yang boleh mengingatkan saya penat lelah dan idea yang dicurahkan dalam menghasilkan sesebuah novel.
"Sehubungan itu, adalah tidak rugi malah bakal memberi keuntungan di kemudian hari kerana hartanah ini akan meningkat dari tahun ke tahun,'' jelasnya yang sering mengadakan penyelidikan mendalam melalui Internet sesuatu isu yang bakal mewarnai novel cintanya.
Sementara itu, bagi penulis novel dan buku masakan yang juga selebriti chef, Norzailina Nordin mengakui memang ada di kalangan penulis di negara ini menerima pendapatan lumayan daripada bayaran royalti, tetapi hanya segelintir sahaja terutama yang telah terkenal.
Bagaimanapun, lumayannya hanya boleh ditakrifkan dalam lingkungan taraf kehidupan negara ini sahaja dan bukannya lumayan seperti penulis di Barat yang mencecah jutaan ringgit.
''Lumayannya pendapatan penulis bergantung kepada jumlah jualan karyanya. Sekiranya novelnya memang laris seperti pisang goreng panas, maka banyaklah habuan diterima.
''Di Barat, dengan hanya sebuah novel sahaja telah boleh memberi mereka gelaran jutawan manakala di Malaysia, setakat ribuan sahaja.
"Penulis-penulis masih bertongkat-tongkat dalam menuju ke arah lumayan dan mungkin suatu hari nanti, kita akan mendengar jutawan penulis akan muncul di kalangan rakyat Malaysia sekiranya novelnya diterima oleh peminat dunia dan diterjemahkan dalam pelbagai bahasa,'' katanya yang telah menghasilkan hampir 24 buah novel dan chef undangan di televisyen tempatan dan Singapura.
Menurut Norzailina yang berjinak dalam penulisan sejak berada dalam tingkatan lima, penulis Malaysia hanya boleh digelar setakat 'senang sedikit' bukanlah lumayan dalam erti kata sejagat.
''Ini kerana jumlah cetakan tidak banyak dan bergantung kepada jualan buku. Ganjaran royalti yang diterima oleh penulis bergantung kepada syarikat penerbitan yang dihantar karyanya. Setiap syarikat mempunyai kiraan yang berbeza, begitu juga dengan jumlah cetakan bagi sesebuah buku yang dihasilkan.
''Ada yang menerima 15 peratus daripada keuntungan dan ada yang 10 peratus daripada harga buku, itupun setelah ditolak harga kertas, kos percetakan dan kos-kos sampingan.
''Keuntungan itulah yang akan diperoleh oleh penulis. Selalunya penulis-penulis terkenal yang mempunyai peminat tersendiri akan menagih lebih keuntungan kerana peminat ini akan sentiasa menunggu-nunggu novel terbaru mereka,'' kata penerima 20 Most Prolific Women Writers of Malaysia oleh Great Estern-MPH Bookstore tiga tahun lalu.
Melihatkan jumlah novel dan buku yang ditulisnya saban bulan dan tahun, Norzailina bolehlah dikira salah seorang penulis yang menerima pendapatan lumayan.
Walaupun sentiasa merendahkan diri dan berselindung dengan kenyataan lumayan, namun beliau mengakui wang royalti yang tidak putus-putus diterimanya daripada pelbagai penerbitan sedikit sebanyak menambah simpanannya terutama digunakan untuk pendidikan anak-anaknya yang berada di menara gading.
''Saya suka hidup bersederhana dan tidak menggunakan wang royalti itu untuk bermewah-mewah tetapi dimanfaatkan untuk pelajaran anak-anak dan simpanan di hari tua,'' ujarnya yang berjiwa romantik sekali gus mempengaruhi gaya penulisannya yang banyak diambil daripada pengalaman diri sendiri, rakan-rakan dan adik-beradik.
Bagi penulis novel kemasyarakatan secara sambilan, Salina Ibrahim, lumayan atau tidak pulangan yang diperoleh setelah hasil diterbitkan sebenarnya bergantung kepada karya dan juga penerbit novel itu sendiri.
Jika karya yang dihasilkan mampu menarik minat pembaca dan penerbit juga menjalankan pelbagai promosi untuk memperkenalkan novel tersebut di pasaran, maka tidak mustahil pendapatan yang diperoleh boleh mencecah ribuan ringgit hanya dalam tempoh masa tidak sampai satu tahun.
''Jika tanya pendapat saya, jawapannya mudah, mungkin betul kerana novel pertama yang saya hasilkan pada tahun 2001, bertemakan kemasyarakatan mampu memberikan pulangan belasan ribu ringgit dalam tempoh setahun setelah diterbitkan.
''Sebenarnya sama ada anda mampu meraih hasil lumayan ataupun tidak ia bergantung kepada beberapa faktor dan boleh dikatakan dua faktor yang penting ialah karya dan juga penerbit itu sendiri.
''Selain karya yang bagus dan boleh diterima pembaca, penerbit juga harus memainkan peranan penting dalam mempromosi dan memasarkan bahan terbitan mereka,'' ujarnya.
Bagi anak kelahiran Perak ini, bermula tahun 2001 hingga 2008, beliau berjaya menghasilkan tujuh buah novel dan yang terbaru dua lagi novel masih dalam proses.
Beliau yang juga merupakan Editor Pengurus Kumpulan Majalah Islam di salah sebuah syarikat penerbitan kini mampu mengukir senyuman kerana walaupun tidak memperoleh pulangan yang lumayan tetapi hasil wang royalti yang diterimanya, Salina sudah mampu membeli sebuah rumah, menukar kereta, membeli komputer riba, menunaikan umrah dan banyak lagi.
Bagi mereka yang ternanti-nantikan karya terbaru Salina Ibrahim, dapatkan naskah terkini hujung tahun ini.
''Untuk novel kelapan saya ini, sudah 80 peratus hampir siap tetapi judulnya biarlah saya simpan dahulu.
''Manakala untuk karya saya yang kesembilan, ia masih dalam proses penulisan tetapi saya sudah memulakannya,'' katanya mengakhiri perbualan.
Jumaat, Julai 24, 2009
Bidaan dara Duenos lebih RM11 juta
Duenos menjual dara itu dengan tujuan untuk mencari wang bagi membiayai rawatan perubatan ibunya yang menghidap penyakit Alzheimer.
Gadis itu yang kini menetap di Valencia, Sepanyol akan menggunakan sebahagian wang tersebut untuk membiayai pengajiannya dalam bidang perubatan.
Duenos akan menyiarkan dokumen perubatan bagi membuktikan dia masih dara.
Wanita itu berkata, pendapatannya sebagai seorang pembersih rumah di sini tidak dapat membantunya untuk menyimpan wang bagi membiayai rawatan ibunya.
Duenos memberitahu, dia membaca iklan beberapa gadis lain yang menawarkan dara menyebabkan dia mahu melakukan perbuatan sama.
"Ia bukannya keputusan yang mudah untuk dibuat kerana tidak terlintas dalam pemikiran bahawa saya akan bersama dengan orang yang tidak dikenali pada malam pertama saya," katanya.
Bagaimanapun, dia menolak satu bidaan yang mencecah lebih £2 juta kerana pembida tersebut mahu melakukan hubungan seks dengan kerap sedangkan daranya itu ditawarkan untuk satu malam sahaja. - Agensi
Isnin, Julai 13, 2009
Kaki cantik

halina@bharian.com.my
MEMILIKI sepasang kaki licin tanpa bulu roma mampu menambah keyakinan diri. Fakta ini tidak dapat dinafikan kerana sememangnya kebanyakan gadis tidak mungkin keluar rumah dengan menggayakan skirt mahupun seluar kapri yang mendedahkan kaki yang penuh bulu roma!
Justeru, banyak kaedah diperkenalkan untuk membuang bulu roma kaki sama ada menggunakan cara paling menyakitkan hinggalah kepada cara moden yang memberikan kesan menakjubkan dalam sekelip mata. Bagaimanapun, pengguna perlu bijak memilih kaedah bersesuaian dan lebih penting tidak memberikan kesan pada kulit.
Demi kecantikan: Kini ada pelbagai kaedah membuang bulu roma lebih mudah berbanding cara konvensional yang menyakitkan
TIDAK dapat dipastikan sejak bila wanita mula membuang bulu roma kaki, tetapi apa yang diketahui sebelum terdapat pelbagai kaedah moden hari ini, wanita terpaksa mencabut bulu roma kaki mahupun di bawah lengan sehelai demi sehelai. Walaupun amat menyakitkan, demi memiliki kaki cantik keperitan itu sanggup diatasi.
Bagi memenuhi keperluan wanita hari ini yang sentiasa sibuk, kaedah menggunakan depilatoris atau meluruhkan bulu roma diperkenalkan beberapa jenama selain lilin (waxing) dan gula dalam bentuk waxing, laser, elektrolisis dan sebagainya.
Kaedah depilatoris iaitu menggunakan krim untuk menanggalkan bulu roma tidak semestinya sesuai untuk semua terutama yang mempunyai kulit sensitif dan terdedah kepada risiko radang serius. Kandungan kimia seperti kalsium hidroksid dan sodium atau kalsium thioglycolate amat kuat dan berkemungkinan boleh menyebabkan kulit terbakar.
Justeru, amat penting untuk mengujinya terlebih dulu pada tangan bagi mengesan sebarang tindak balas alahan kulit. Depilatoris sama seperti bercukur, meluruhkan bulu roma pada permukaan kulit. Ia akan tumbuh semula beberapa hari selepas itu.
Temannya, Amy Tan Yan Ee mula menyedari mengenai kepentingan menanggalkan bulu roma pada kaki sejak berada di tingkatan empat lagi. Ia berlaku apabila beberapa rakan lelaki menegur bulu roma kakinya yang agak lebat.
“Sebelum ini saya tidak pernah pakai skirt. Bukan sebab malu ada bulu roma lebat, tetapi ketika itu saya agak tomboi sikit. Sekarang saya rasa lebih yakin menggayakan skirt tanpa bulu roma pada kaki dan kaki pun kelihatan licin,” katanya.
Haram bagi wanita cukur alis, membentuk gigi sempurna
RASULULLAH SAW bersabda yang bermaksud: “Allah mengutuk wanita yang bertatu atau minta ditatu, wanita yang mencukur alis dan mereka yang meminta dicukur alis mereka, wanita yang membentuk giginya agar kelihatan cantik dan mereka yang mengubah ciptaan Allah.” (Hadis riwayat Ibnu Mas’ud)
Maksud mengubah ciptaan Allah ialah membuat perubahan pada ciptaan Allah yang sudah sempurna secara pandangan umum dan adat atas dasar tidak berpuas hati dengan anugerah itu, bukan kerana memperbaiki atau memulihkan kecacatan.
Mencabut bulu kening yang sempurna dan membuat atau melukis bulu kening yang baru selepas itu supaya menepati cita rasa sendiri untuk kelihatan lebih cantik, menawan dan bergaya adalah perbuatan haram di sisi Islam.
Jika perbuatan mencabut bulu kening itu disebabkan ia tumbuh berselerak dan tidak kemas yang amat teruk, maka hal ini tidaklah termasuk dalam erti kata mengubah ciptaan Allah. Lagipun jika yang dicabut itu yang berselerak, bukan termasuk bulu dipanggil kening serta tidak membuat lukisan semula terhadapnya.
Ini dilakukan atas dasar menjaga kekemasan diri bukan kerana tidak puas hati dengan ciptaan Allah kerana Allah itu cantik dan sukakan kecantikan. Hanya rawatan ke atas penyakit yang tidak boleh sembuh dengan sendirinya saja yang diharuskan seperti memasang gigi palsu di tempat gigi yang rongak (bukan mematahkan gigi menggantikannya dengan yang lain), mengatur susunan gigi yang tidak tersusun (tapi bukan mengasah atau mengikir).
Memakai ubat supaya rambut tumbuh di tempat botak (bukan memakai rambut palsu), memakai ubat untuk membuang jeragat pada kulit (bukan membuat pembedahan plastik atau memakai bahan kimia untuk menukar warna kulit), memakai inai, syampu atau gel pada rambut atau janggut supaya lebih segar dan terurus (bukan mewarnakannya dengan cat atau semburan) adalah harus tetapi tidak mengubahnya kerana ia adalah haram.
Diri manusia dan segala makhluk di alam ini adalah hak mutlak Allah. Oleh itu kita hendaklah mematuhi segala hukum dan kehendak agama dengan baik. Janganlah tertipu dan terpengaruh dengan tabiat orang yang suka menurut hawa nafsunya disebabkan sikap tidak bersyukur dan tidak berpuas hati dengan ciptaan dan anugerah Allah kerana itu sikap diwarisi daripada syaitan.
Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah memberi wahyu kepada Aku yang memerintahkan supaya kamu semua bersifat tawaduk sehingga tidak ada seseorang pun merasa dirinya megah (lebih bangga diri) dari orang lain dan tidak boleh seseorang itu menzalimi dan melampaui batas terhadap orang lain.” (Hadis riwayat Muslim)
Islam melarang umatnya bersifat bangga diri, kerana mempunyai pangkat dan kedudukan tinggi, tetapi hendaklah bersifat hormat menghormati antara satu sama lain dan jangan merendahkan orang lain, kerana semulia-mulia manusia di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa.
Wanita tak tahu pilih coli
snur@bharian.com.my
Sembilan daripada sepuluh wanita mengenakan baju dalam tidak sesuai saiz
KAJIAN dilakukan terhadap wanita di seluruh dunia mendapati 80 peratus daripada mereka tidak memahami kepentingan pakaian dalam, gaya dan saiz sesuai untuk payudara. Lebih memeranjatkan, sembilan daripada sepuluh wanita mengenakan coli tidak sesuai saiz sendiri manakala 60 peratus tidak menepati kehendak dan keperluan badan serta payudara ketika memakai coli.
Memahami pentingnya memilih coli yang sepadan, Pengurus Pemasaran Bahagian Pembelian dan Pembangunan Avon Cosmetics, Hanim Sharom memberikan beberapa tip dan panduan mudah untuk wanita ketika memilih pakaian dalam supaya kesilapan kecil yang dilakukan tidak menjejaskan kesihatan mereka.
"Wanita mengalami perubahan fasa di dalam hidup sehingga mengubah perkembangan biologi antaranya perubahan berat badan, proses kehamilan dan ketika haid," katanya.
Pada peringkat awal perkembangan biologi tubuh wanita, payudara kecil dan tidak kelihatan. Di usia sekitar 10 tahun, lapisan lemak di bawah epidermis masih lagi tidak terlalu tebal manakala ketika mencapai tahap matang, berlaku perkembangan optimum tubuh wanita dan ketika ini pertumbuhan payudara mulai matang.
Bagaimanapun, selepas usia 35 tahun, pertumbuhan lemak di bahagian bawah epidermis telah sempurna dan menyebabkan bentuk payudara mulai berubah dan mengendur. Hanim berkata, pemilihan padanan coli yang sesuai saiz payudara dapat membantu memberikan ilusi tubuh lebih ramping, sempurna serta kelihatan tambah menarik.
"Adalah penting bagi wanita untuk mengenal rupa bentuk dan posisi payudara mereka sama berbentuk bulat, pendulous (jatuh) atau pun kecil atau di dalam posisi normal, jauh juga dekat," katanya.
Bagi mengenal pasti kiraan tepat untuk jenis payudara, gunakan teknik tiga segi. Jadikan titik puting dan tulang dada sebagai penanda.
Payudara normal adalah untuk ukuran sama antara tiga titik penanda, ukuran rapat jika jarak antara dua titik puting dekat manakala ukuran jauh jika titik yang sama mempunyai jarak yang lebih panjang berbanding jarak antara titik puting dan tulang dada.
"Selepas anda mulai mengenal payudara sendiri, mulakan memilih coli sesuai supaya payudara yang besar tidak terlihat terlalu menonjol manakala pemilik payudara kecil tetap kelihatan feminin.
"Contohnya wanita yang memiliki payudara bulat padat, kenakan coli potongan klasik bercawan penuh untuk mengelakkan kesan jangka panjang ketika proses pengenduran.
"Jika selesa mengenakan coli tanpa dawai, anda perlu memastikan coli ada struktur sokongan tambahan dengan tali bahu yang lebar, kancing dan sayap belakangnya juga perlu lebar," katanya.
Ada juga wanita malu memiliki payudara besar. Avon Intimate tidak terkecuali mencipta sejenis coli yang mampu membuatkan payudara kelihatan satu saiz lebih kecil. "Dinamakan 'minimizer', coli potongan unik ini direka khas untuk pemilik payudara bulat padat dan besar kelihatan lebih menawan dan cantik terbentuk.
"Perkara yang memalukan jika butang kemeja anda terbuka kerana bahagian berkenaan ketat dan sarat, jadi pemakaian coli 'minimizer' boleh mengelakkan situasi berulang malah kemeja juga terlihat lebih kemas dan selesa di pakai," katanya.
Pemakaian coli seharusnya tidak membebankan pemakai. Justeru, untuk memastikan pemakaiannya selesa, pastikan cawan coli tidak menekan payudara, membentuk kesan membonjol atau sehingga isi kelihatan terkeluar di bahagian atas, tepi dan belakang lengan.
Soal penjagaan boleh menentukan jangka hayat pakaian dalam anda, kerana ketahanan dan keanjalannya bergantung kepada kekerapan memakai, mengering dan membasuh.
"Periksa pakaian dalam anda setiap enam bulan. Selain itu, kaedah penyidaian dan lipatan boleh menentukan pakaian anda tahan lebih lama," katanya.
FAKTA:
Payudara kecil - Pilih cawan separuh atau tiga suku menutupi payudara dengan alas - 't-shirt bra' dan 'push up bra' akan membantu memberikan kepadatan tambahan
Payudara pendulous
- Coli berdawai paling sesuai untuk menampung dari bahagian bawah
- Coli berlapisan span boleh membantu mengisi bahagian yang kosong
- Coli tidak berdawai tapi bercawan penuh, mempunyai struktur sokongan tambahan, bertali lebar, kancing dan sayap belakang lebar sesuai untuk wanita yang memiliki payudara pendulous bersaiz besar.
Payudara posisi jauh - Pilih coli berdawai atau tidak berdawai yang direka khas untuk memberikan sokongan sisi lebih mantap kerana ia mampu merapatkan posisi payudara.
Payudara posisi rapat - Sebaik-baiknya pakai coli berdawai yang mampu menjarakkan kedudukan antara payudara (bahagian tengah coli yang terbahagi).
INFO : Bagaimana mengukur saiz coli?
Ukur saiz badan - Ukur sekeliling bawah payudara dan gunakan jadual di bawah untuk mendapatkan saiz coli Saiz badan TAMBAH Saiz coli Nombor genap 28" +4" 32" Nombor ganjil 29" +5" 34"
Ukur saiz mangkuk - Ukur bahagian paling penuh payudara kemudian cari beza antara saiz coli (SC) dengan saiz payudara (SP) untuk mendapatkan saiz mangkuk coli Beza SP-SC Saiz mangkuk 0 A +1" B +2" C +3" D +4" DD