#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Mac 08, 2011

Tak gentar dilambung badai

Teks dan gambar Kusyi Hirdan
Harian Metro


SETIAP pagi dia menghantar anaknya ke sekolah dan selepas itu dia ke laut pula menangkap ikan. Dia nelayan yang agak jarang ditemui kerana dia adalah nelayan wanita!

Ramai yang tidak tahu nama sebenarnya ialah Fauziah Yahya kerana dia sering dipanggil sebagai Siah. Siah dan abangnya, Isa sering bekerja sama mensasarkan tangkapan ketam, ikan bebolos dan udang lantas itu membuatkan orang kampung mencari mereka sekiranya mahukan ketiga-tiga hasilan laut itu.

Siah, 34, memang masih muda tetapi pengalamannya ke laut agak banyak kerana ia bermula sejak kecil.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu mula mengikut arwah bapanya ke laut ketika usianya 10 tahun. Ketika itu mereka sekadar menggunakan sampan berdayung, tidak berenjin seperti sekarang. Memang Siah anak yang rapat dengan arwah bapanya.

Pengalaman yang ditimba itu membuat Siah arif mengenai laut. Bukan sahaja mengenai hasilan laut tetapi perkara yang berkaitan seperti angin, ribut, jaring, bot dan cerita alam yang lain. Manakan tidak, laut terletak betul-betul di belakang rumah ibunya.

"Pada setiap hasil laut, jenis jaring sentiasa berbeza. Jaring untuk ikan bebolos contohnya, bentuknya lebih halus, panjangnya 900 meter, saya boleh siapkan dalam masa dua hari sahaja.

"Jaring udang pula lebih pendek, satu hari tiga keping boleh siap," cerita Siah sambil menambah, dalam tempoh dua minggu, dia boleh menyiapkan 20 keping jaring.

Menurutnya, jaring kena selalu ditukar kerana cepat rosak dan menghasilkannya sendiri lebih berbaloi kerana jaring sedia ada yang dibeli ada kalanya agak mahal.

Dunia orang laut selalunya difahami oleh orang laut sahaja. Sebagai orang yang asing mengenai dunia laut, memang seronok mendengar dia bercerita mengenai pengetahuan dan pengalamannya.

"Kena kenal pasti sama ada air kecil atau air besar. Begitu juga sama ada arus ada atau tidak. Biasanya sekiranya air tiada arus, ikan tiada.

"Kalau air besar, ada rezeki untuk kami. Begitu juga teknik menebar jaring. Ketam di bahagian tepi dan jaring ditebar melintang. Ikan bebolos pula ditebar menegak dan ke tengah sedikit," katanya.

"Pergi ke laut kena tengok keadaan air. Air surut waktu yang sesuai untuk memulakan kerja kerana walaupun surut, ikan lebih banyak. "Paling kurang setiap kali kami mendapat tujuh hingga lapan kilogram sehari. Ikan bebolos dijual RM10 sekilogram," katanya.

Menurut emak Siah, Halimah Baba, 61, mungkin disebabkan arwah suaminya dahulu seorang nelayan maka semua anak-anaknya suka ke laut walaupun mereka ada pekerjaan lain. Sekiranya tidak ke laut pun ada yang minat memancing.

Halimah sendiri mengusahakan ikan kering untuk dijual kepada orang kampung. Pelbagai ikan digunakannya seperti anak tamban dan gelama.

"Ikan direndam air garam dahulu kemudian dijemur sehingga kering. Tempoh mengering mengambil masa tiga hingga empat hari dan mesti di bawah cuaca yang benar-benar panas.

"Dahulu kami mempunyai dua bot tetapi sekarang tinggal sebuah sahaja kerana dicuri orang. Kenalah tempah yang baru.

"Dahulu sebelum bot hilang, enjin pun pernah hilang. Inilah cabaran sebagai penangkap ikan. Jaring koyak dan sebagainya adalah rempah ratus kehidupan sebagai nelayan," katanya.

Di laut, berada di atas bot masing-masing, nelayan saling bertegur sapa dan kenal mengenali. Memang ada yang terkejut melihat seorang perempuan berada di tengah laut menangkap ikan tetapi Siah sudah biasa dengan keadaan itu.

Walaupun melaksanakan kerja jarang dilakukan oleh kaum hawa tetapi orang kampungnya, Kampung Pantai Hilir, Melaka, menganggap apa yang dilakukan ibu dua anak itu sebagai perkara biasa.

"Saya memilih bidang ini kerana memang sangat sukakan laut. Entahlah, tak tahu kenapa tetapi jiwa saya memang sangat menyukai laut.

"Pernah mencuba bekerja dengan orang tetapi rasanya tidak sesuai dengan jiwa saya. Laut juga yang saya ingat selalu.

"Dari dahulu lagi, balik sekolah saya mesti mengikut bapa ke laut. Begitu juga selepas balik kerja. Jadi lebih baiklah saya buat pekerjaan ini," katanya sambil merenung laut yang redup di hadapan kami.

Ke laut menangkap ikan ternyata dunia yang dicintai wanita bertubuh kecil ini. Kerjanya bukan mudah bagi kebanyakan wanita, menolak bot ke laut, mengemudi dan kemudian menebar jaring. Ia memerlukan kemahiran dan pengalaman tinggi tetapi Siah berjaya melakukannya.

Suaminya, Mohd Nazri Husin, 37, dahulu pernah tidak membenarkan Siah ke laut kerana bimbangkan keselamatannya tetapi apabila dia tetap meminta izin akhirnya si suami membenarkan.

"Cuma waktu mengandung saya berhenti seketika ke laut tetapi selepas itu sambung semula. Ketika mengandung itu saya menolong kerja membersih ikan dan membantu emak membuat ikan masin.

"Anak perempuan saya juga nampaknya mempunyai minat sama seperti saya. Suka sangat ke laut," katanya.

Laut bukan sahaja tempat Siah menambah rezeki tetapi hatinya seronok, puas dan gembira berada di situ. Membesar dalam keluarga nelayan, pengalaman Siah memang pelbagai, antaranya dia pernah karam apabila bot dinaiki bersama arwah bapanya dipukul ombak.

"Ketika itu saya berumur 10 tahun dan ingat lagi, saya kena berenang ke tepi untuk menyelamatkan diri," katanya.

Belum lagi kisah dilanda ribut yang melandanya tiba-tiba.

"Waktu pergi air tenang dan cuaca baik. Tiba-tiba sahaja ribut melanda. Terpaksa lari ke pantai selamatkan diri dan potong jaring yang sudah ditebar ke laut.

"Memang bab cuaca susah hendak dijangka jadi kami kena sentiasa bersedia," katanya.

Sekiranya ke laut, Siah membawa peralatan lengkap seperti pisau dan playar kerana itu diperlukan sekiranya perlu memotong jaring di kala kecemasan. Rezeki nelayan memang tidak menentu. Ada kala banyak, ada kala sedikit, ada kala terlalu sedikit.

"Sekiranya terlalu sedikit, ia menjadi makanan keluarga sahaja. Tidak dapat dijual kepada orang kampung. Tetapi biasanya anak ikan sentiasa ada jadi kami boleh membuat ikan kering yang ada pengikutnya sendiri.

"Seronok apabila dapat menaikkan ikan, puas sangat rasa hati," pengakhir kata Siah sambil memeluk anak lelaki bongsunya yang sentiasa manja di sisi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan