#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Ad-Din. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Ad-Din. Papar semua catatan

Jumaat, Ogos 28, 2009

Bulan kumpul pahala, hindari dosa


UMAT Islam seharusnya bersyukur ke hadrat Allah s.w.t kerana diberi kesempatan sekali lagi untuk berada di bulan mulia yang penuh keberkatan, iaitu bulan Ramadan 1430 Hijrah.

Ramadan mempunyai banyak keistimewaan terutama pada ibadat puasa, dipertanggungjawabkan ke atas setiap individu Islam yang mencukupi syarat kewajipannya.

Pada bulan mulia ini diturunkan al-Quran, dihapuskan dosa dan dilimpahi ganjaran berganda, malah terdapat satu malam yang sangat baik berbanding 1,000 bulan iaitu malam al-Qadar yang dikhususkan kepada orang beriman.

Sesuai dengan kelebihannya itu, Ramadan dikenali juga bulan kerahmatan dan kemenangan, bulan keampunan, pembebasan daripada api neraka dan bulan ibadat, lebih-lebih lagi pada Ramadan dikhaskan dengan solat sunat Tarawih.

Keistimewaan Ramadan ini dapat dilihat melalui kenyataan Rasulullah s.a.w, antaranya sabda Baginda yang bermaksud: "Pada malam pertama Ramadan, akan dibelenggu segala syaitan, ditutup semua pintu neraka dan dibuka semua pintu syurga.

Kemudian datanglah seruan: Wahai orang yangmenginginkan kebaikan, datanglah. Wahai orang yang mengingini kejahatan, berhentilah. Pada setiap malam (Ramadan), Allah membebaskan segolongan hamba-Nya daripada api neraka." (Hadis riwayat At-Tirmizi)

Begitupun, tiada yang lebih istimewa pada bulan Ramadan selain ibadat puasa iaitu satu ibadat yang mempunyai ciri dan hikmah tersendiri berbanding dengan ibadat lain.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda, maksudnya: "Sesiapa berpuasa bulan Ramadan dengan penuh keimanan, mengharap balasan daripada Allah, diampunkan baginya dosa yang telah lalu." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Ibadat puasa adalah ujian ketahanan iman serta akidah untuk kita melakukan suatu pengislahan (penambahbaikan).Walaupun ibadat lain tidak kurang dan tidak dapat kita nafikan kebaikannya tetapi menjadi tabiat manusia apabila sesuatu itu dapat dilihat, maka ia akan ditonton dan dipertontonkan.

Sesuatu yang ditonton dan dipertontonkan kadangkala akan menimbulkan perasaan riak, sombong ataupun ingin dipuji dan disanjung, sedangkan sifat seumpama ini akan hanya menjejaskan kemurnian ibadat itu sendiri.

Oleh kerana hakikat ibadat puasa ini tidak dapat ditonton dan tidak dapat dipamerkan, dengan sendirinya seseorang ingin dipuji dan dipuja ataupun mahu menunjukkan riak itu tadi tidak dapat berbuat demikian, sebaliknya menjurus kepada pembinaan sifat positif dalam diri seperti ikhlas dan berkasih sayang.

Sifat seumpama inilah menjadi senjata yang dapat memperbetulkan diri dan masyarakat kita.

Apabila kita dapat memperbetulkan diri, barulah kita mampu dan berupaya untuk memperbetulkan keluarga dan masyarakat.

Kita tidak mungkin dapat memperbetulkan keluarga, jika kita tidak dapat memperbetulkan diri kita terlebih dahulu.

Kita juga tidak dapat melihat masyarakat yang subur dengan nilai kebaikan, jika diri kita tidak menyumbang ke arah itu.

Khamis, Ogos 13, 2009

Persekitaran bentuk peribadi

Sumber : Ad-Din, Harian Metro

PERSEKITARAN yang baik membentuk peribadi cemerlang, manakala persekitaran buruk menjadikan diri semakin gersang.

Tetapi dalam sesetengah kes muncul juga diri yang sangat naif akhlaknya walaupun dalam persekitaran baik dan ada pula baik akhlaknya biarpun di sekelilingnya buruk.

Kisah Nabi Ibrahim a.s boleh dijadikan contoh. Walaupun baginda hidup di dalam persekitaran yang teruk, ketika kaumnya dalam keadaan teraba-raba menyembah berhala, baginda tidak turut serta, sebaliknya mencari Tuhan yang satu.

Bangsa Arab dulu, satu ketika dengan kehidupan jahiliah, tetapi apabila datang Islam, mereka berlumba-lumba memeluk agama yang suci. Budaya mereka bertukar, daripada percaya kepada yang karut, kepada beriman kepada Allah.

Berhala bukan saja tidak diendahkan malah dimusnahkan bagi membina persekitaran baru yang diredai dan diberkati, sekali gus meletakkan nilai akhlak kepada yang satu.

Apakah dimaksudkan persekitaran di sini? Persekitaran merujuk kepada segala sesuatu yang berada di sekelilingnya dan memberi kesan terhadap kehidupan seseorang, sama ada secara langsung atau tidak, sejak dalam kandungan ibu hingga akhir hayat.

Dari pengertian ini, persekitaran merangkumi kedudukan geografi atau tempat yang diduduki seseorang, rumah tangga yang terdiri daripada ibu bapa serta anggota keluarga lain yang dinaungi, teman dan sahabat serta masyarakat.

Unsur alam persekitaran mempunyai peranan dalam pembentukan akhlak. Hakikat ini tidak boleh diketepikan.Ibnu Khaldun ada mengemukakan pendapat, iaitu tempat tinggal memang mempunyai kesan dan pengaruh kepada sifat sesuatu bangsa, walaupun kesan dari faktor ini amat kecil.

Secara umum ada sunnah yang mengakui kesan dari faktor ini, seperti hadis yang bermaksud: "Hati-hati yang kasar dari sebelah timur dan amanah bagi ahli (penduduk) Hijaz."

Mengenai faktor ibu, kajian mengakui ada kesan daripada jiwa (rohani) ibu yang mengandungkan anaknya. Selalu disebut dalam kajian itu pengakuan seorang ahli fikir barat, Tomes Hobbs. Sifat yang berduka itu ada kaitan dengan jiwa ibunya yang ketakutan ketika kapal tentera Sepanyol, Armada menuju ke pantai. Menurut sarjana, kes seperti ini dikatakan berlaku di kalangan masyarakat. Ada disebut kenan (keganjilan tertentu).

Islam mengakui kesan persekitaran dari faktor kandungan ibu. Rasulullah mengajar umatnya memulakan dengan doa ketika bersetubuh dengan isteri, memohon supaya tidak dicampuri syaitan. Jadi, jika ditakdirkan mendapat zuriat, pasangan suami isteri mendapat jaminan bayinya terselamat dari penguasaan syaitan.

Adalah wajar bagi kita turut memanjatkan doa kepada bayi sejak dari dalam kandungan. Sekiranya tidak, mintalah bantuan orang soleh untuk mendoakannya, supaya dia mendapat kesejahteraan, menjadi insan yang baik dan memberikan ketenangan.

Faktor persekitaran yang paling penting apabila lahirnya bayi ke dunia. Ibu bapa dan ahli keluarga lain memainkan peranan begitu besar dalam pembentukan sifat dan sikapnya. Ini kerana sifat anak di peringkat awal cenderung untuk meniru, iaitu tahap awal dalam proses pembelajarannya.

Jika tahap ini dapat dimanfaatkan ibu bapa dan ahli keluarga dengan akhlak yang baik, tentu peribadinya juga terpuji.

Pada awal usia beginilah ibu bapa harus menunjukkan contoh baik, seperti berkata dengan sopan, beradab, menghormati yang lain, saling membantu dan tidak bongkak.

Imam al-Ghazali ada menegaskan: "Kanak-kanak adalah amanah Allah kepada ibu bapa. Hatinya yang masih bersih adalah mutiara berharga yang sedia menerima untuk dibentuk dan digilap."

Rasulullah bersabda maksudnya: "Setiap anak itu dilahirkan atas fitrah, kedua ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi, Nasrani atau Majusi"

Satu lagi hadis bermaksud: "Wahai anak, bacalah Bismillah, makan dengan tangan kanan dan makanlah dari yang hampir di sebelah kamu."

Ungkapan di dalam hadis terbabit merujuk kepada pembentukan akidah, akhlak dan gaya hidup anak. Ia juga mengisyaratkan peranan dan tanggungjawab ibu bapa dalam pembentukan akhlak dan jati diri.

Rabu, Jun 24, 2009

Memahami maksud idah

Oleh Idris Musa

idris@hmetro.com.my

PERSOALAN mengenai idah jarang diperkatakan dengan anggapan ramai tahu mengenainya, tetapi yang nyata masih ada kurang faham sehingga keadaan menjadi keliru.

Menurut kitab fiqah, idah ialah waktu menunggu diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak.

Bagi wanita hamil, idahnya sehingga lahir anak dikandungnya itu, baik cerai mati atau cerai hidup.

"Dan perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya." (Surah at-Talaq: 4)

Wanita tidak hamil, ada ketikanya bercerai mati dan bercerai hidup. Bagi yang bercerai mati, idahnya empat bulan sepuluh hari.

"Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari." (Surah al-Baqarah: 234)

Jika diperhatikan, ayat 4 surah at-Talaq umum membabitkan cerai hidup dan cerai mati apabila hamil idahnya sehingga lahir anak dan ayat 234 surah al-Baqarah juga umum membabitkan wanita hamil dan tidak apabila bercerai mati idahnya empat bulan sepuluh hari.

Di sini wujud sedikit perselisihan faham mengenai wanita bercerai mati sedangkan dirinya hamil, manakala anaknya lahir sebelum cukup empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal.

Apakah idahnya tamat dengan melahirkan anak walaupun belum cukup tempoh empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal kerana berdasarkan umumnya ayat pertama di atas?

Haruskah idahnya dicukupkan juga empat bulan sepuluh hari kerana berdasarkan ayat yang kedua?

Menurut jumhur ulama salaf (terdahulu), idahnya ialah lahir anaknya walaupun belum cukup empat bulan sepuluh hari.

Tetapi menurut pendapat lain yang diriwayatkan daripada Ali, idahnya mesti mengambil yang lebih panjang. Walaupun anaknya lahir lebih awal, idahnya harus menunggu sehingga empat bulan sepuluh hari.

Menurut pendapat itu, jika sampai tempoh empat bulan sepuluh hari, tetapi anak yang dikandungnya belum lahir, idahnya harus menunggu sehingga bersalin.

Selain itu, ada perbezaan pendapat mengenai idah wanita hamil.

Imam Syafie berpendapat idah wanita terbabit dengan lahirnya anak dikandung apabila anak itu dari suami yang menceraikannya. Tetapi jika anak bukan dari suami yang menceraikannya, wanita terbabit tidak beridah dengan kelahiran anak.

Pendapat Abu Hanifah, perempuan itu harus beridah dengan lahir anaknya, baik anak itu anak daripada suami yang menceraikannya atau bukan, walau anak zina sekalipun.

Idah bagi wanita bercerai hidup dengan suaminya ialah tiga kali suci sekiranya dia mempunyai haid.

"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)." (Surah al-Baqarah: 228)

Mengira tiga kali suci itu tidak dicampuri suaminya, dengan suci sewaktu perceraian dikira satu kali suci. Tetapi jika dalam suci waktu perceraian itu dicampuri, dikira tiga kali suci mulai suci dari haid pertama selepas perceraian. Demikian juga perceraian yang berlaku ketika haid, dikira tiga kali suci dari suci selepas haid yang berlaku sewaktu perceraian.

Keadaan terbabit sekali gus menyebabkan idah bagi seseorang wanita lebih panjang. Oleh kerana itu, adalah dilarang suami menceraikan isteri dalam keadaan haid dan suci yang sudah dicampuri.

Isteri yang diceraikan suaminya sebelum dicampuri tiada idah (tidak perlu beridah).

"Kemudian kamu talak mereka itu sebelum kamu campuri, maka tidaklah mereka beridah." (Surah al-Ahzab: 49)Tetapi bagi wanita yang tiada haid, idahnya tiga bulan.

"Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan..." (Surah at-Talaq: 4)

Perempuan yang tiada haid ada tiga golongan; iaitu yang masih kecil (belum sampai umur), sudah sampai umur, tetapi belum pernah haid dan orang tua yang sudah keputusan haid.

Wanita beridah tidaklah boleh dibiarkan begitu saja, malah mereka masih mempunyai hak daripada bekas suaminya, seperti tempat tinggal (rumah), pakaian dan segala perbelanjaan.

Mereka ialah wanita yang taat dalam idah rajiyah (boleh dirujuk), kecuali isteri derhaka, tidak berhak menerima apa-apa.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Dari Fatimah binti Qais, berkata Rasulullah s.a.w kepadanya: 'Perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman daripada bekas suaminya itu apabila bekas suaminya itu berhak rujuk kepadanya.'" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

Wanita dalam idah bain (tidak boleh dirujuk) jika hamil juga berhak mendapatkan kediaman, nafkah dan pakaian.

"Jika mereka (janda yang dicerai) mengandung, maka beri nafkahlah olehmu sampai lahir kandungannya." (Surah at-Talaq: 6)

Sementara wanita yang dicerai secara bain, tetapi tidak hamil, sama ada bain dengan tebus talak mahupun dengan talak tiga, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal.

"Tinggalkanlah mereka di tempat kediaman yang sepadan dengan keadaan kamu." (Surah at-Talaq: 6)

Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, wanita dicerai secara talak bain yang tidak hamil tidaklah berhak mendapatkan nafkah dan tempat tinggal.

Dari Fatimah binti Qais dari Nabi s.a.w mengenai perempuan yang ditalak tiga, kata Rasulullah, dia tidak berhak tempat tinggal dan tidak pula nafkah. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Adapun firman Allah dalam surah at-Talaq ayat 6, kata mereka hanya terhadap wanita dalam idah rajiyah.

Bagi wanita yang beridah disebabkan kematian suami, mereka tidak mempunyai hak sama sekali walaupun hamil kerana diri dan anak yang dikandungnya sudah mendapat hak pusaka daripada suaminya yang meninggal.

"Janda hamil yang kematian suaminya tidak berhak mengambil nafkah." (Riwayat Daruqutni)

Jumaat, Mei 29, 2009

Islam lindungi hak isteri

Hosted by Cute Icons.NET


Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

TIADA lafaz paling keramat dari lidah seorang lelaki yang bergelar suami, kecuali talak, bahkan dilihat dari satu sudut ia adalah hak eksklusif kaum Adam terhadap kaum Hawa.

Ada benarnya, kerana dalam Islam lafaz talak atau cerai yang keluar dari bibir si isteri tidak diambil kira, walaupun dia melafazkannya berulang kali dengan bersungguh-sungguh, sekali gus menunjukkan kuasa talak hak suami.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Nabi! Apabila kamu (engkau dan umatmu) hendak menceraikan isteri-isteri (kamu), ceraikanlah mereka pada masa mereka dapat memulakan idahnya dan hitunglah masa idah itu (dengan betul) serta bertakwalah kepada Allah, Tuhan kamu..." (al-Quran, surah al-Talaq-65: 1)

Walaupun begitu, seorang suami harus berwaspada.

Sabda Nabi bermaksud: "Allah tidak menjadi sesuatu yang halal, yang lebih dibenci oleh-Nya dari talak."

Dan lagi: "Perbuatan halal yang paling dibenci oleh Allah ialah talak." (Riwayat Abu Dawud)

Seorang suami tidak wajar mempermainkan perkataan cerai kerana sekali ia terlepas dari mulut, mereka mungkin menyesal seumur hidup.

Rasulullah bersabda: "Tiga perkara menjadi serius walaupun dalam keadaan main-main atau serius iaitu nikah, cerai dan membebaskan hamba.

"Tetapi, sejauh mana lafaz cerai menjadi hak eksklusif suami? Apakah hak untuk berpisah bagi si isteri terkunci rapat? Jika benar, bukankah ia menzalimi isteri dan tidakkah undang-undang Islam ini menganiayai wanita!

Pensyarah Kanan Institut Islam Toronto, Kanada, Sheikh Ahmad Kutty, berkata dalam Islam, lelaki dan wanita mempunyai hak.

Menurutnya, ini selari dengan firman Allah bermaksud: "Dan isteri-isteri itu ada hak yang sama seperti kewajibannya secara yang sepatutnya..." (al-Quran, surah al- Baqarah: 228)

"Hak ini termasuk hak untuk dilayan secara adil dan baik dalam semua keadaan, kedua-duanya dalam kes perkahwinan dan perpisahan," katanya, dalam satu ruangan soal jawab hukum di laman sesawang.

Sebagaimana lelaki mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinan, wanita juga ada hak berbuat demikian, lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan konflik yang mengakibatkan kekecewaan dan kesengsaraan.

Katanya, Allah memerintahkan lelaki berbuat baik terhadap wanita sepanjang waktu dan sebarang perlakuan tidak adil, menjadikan isteri tahanan penjara dalam perkahwinan.

"...maka bolehlah kamu pegang mereka (rujuk) dengan baik, atau lepaskan mereka dengan baik..." (al-Quran, surah al-Baqarah: 231)

"Dengan penjelasan penting al-Quran ini, Islam mengajar kita apabila seorang suami melanggar prinsip terbabit, isteri mempunyai hak mengambil apa-apa tindakan undang-undang bagi membubarkan perkahwinan.

"Ia adalah hak yang diberikan Islam kepadanya dan keputusan mahkamah dalam kes ini benar-benar berdasarkan Islam, bagi dirinya hanya bertindak dalam usaha untuk menghindari penganiayaan dan kecederaan dirinya," katanya.

Beliau berkata, prinsip perundangan Islam menjelaskan, perlindungan mesti diambil bagi mengelak kecederaan dan kerosakan.

"Justeru, katanya, jika seorang isteri itu tidak mendapat keselesaan daripada suaminya, dia berhak meminta cerai.

Ulama terkemuka, Sheikh Yusuf Al-Qaradawi dalam bukunya, Halal dan Haram dalam Islam, berkata wanita yang tidak tahan tinggal dengan suaminya ada hak untuk membebaskan dirinya daripada ikatan perkahwinan, dengan mengembalikan mas kahwin (mahar) kepada suaminya.

Pemberian dari isteri itu katanya, sama ada lebih atau kurang nilainya bergantung kepada persetujuan kedua-dua pihak.

Bagaimanapun, katanya, seorang suami itu sepatutnya tidak meminta lebih daripada yang diberikannya kepada isteri.

"Dan tidak halal bagi kamu mengambil balik sesuatu yang telah kamu berikan kepada mereka, kecuali jika keduanya (suami isteri) takut tidak dapat menegakkan hukum Allah. Oleh itu kalau kamu khuatir bahawa kedua-duanya tidak dapat menegakkan hukum Allah, maka tidaklah berdosa (tebus talak) yang diberikan oleh isteri untuk menebus dirinya. Itulah hukum Allah maka janganlah kamu melanggarnya; dan sesiapa yang melanggar hukum Allah, maka mereka itulah orang yang zalim." (al-Quran, surah al-Baqarah: 229)

Bagaimanapun, menurut al-Qaradhawi, adalah tidak dibenarkan bagi wanita untuk mendapat cerai dari suami kecuali dia diberikan layanan yang teruk atau dalam keadaan itu dia mempunyai sebab munasabah.

Katanya, Nabi bersabda, maksudnya: "Sekiranya mana-mana wanita meminta cerai dari suaminya tanpa sebab yang kukuh, terhalang haruman syurga darinya."(Hadis riwayat Abu Daud)

Dari penjelasan ini, nyata sekali nasib seorang isteri masih terbela di dalam Islam dan dia mempunyai hak untuk bercerai apabila dirasakan perkahwinan sudah tidak memberikan nikmat kepadanya.

Perceraian itu boleh dituntut di Mahkamah Syariah, sama ada dengan cara fasakh (pembubaran perkahwinan) atau tebus talak (cerai yang diucapkan oleh suami dengan pembayaran dari pihak isteri kepada suaminya).

Dalam undang-undang keluarga Islam, perceraian boleh juga berlaku melalui talak taklik, pertukaran agama dan li'an.