#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Rabu, Mac 30, 2011

Apabila isteri bersuara

Oleh ZUHAYATI YAZID SALAH satu azam wanita yang melangkah masuk ke alam perkahwinan ialah ingin menjadi isteri solehah. Ia mungkin mudah disebut. Tetapi untuk melaksanakan tugas sebagai isteri terbaik tidaklah mudah. Kehadiran isteri yang baik akan mudah melahirkan rumah tangga bahagia. Sebaliknya isteri yang tidak memahami akan tanggungjawabnya sudah pasti akan melahirkan rumah tangga yang kucar-kacir. Wanita sememangnya dilahirkan dengan sifat kehalusan yang dianugerah oleh Allah, bersesuaian sekali sebagai pengasuh, pendidik anak-anak, pembimbing dan juga penghibur hati suami. Rumah tangga bahagia boleh diasaskan oleh isteri yang solehah dengan memenuhi tanggungjawab yang digariskan dalam tuntutan yang pembentukan rumah tangga yang bahagia. Dalam mengharungi kehidupan berumah tangga, isteri sebenarnya merupakan pembantu kepada suami, jadi sekira suami bertindak tidak betul adalah menjadi tanggungjawab isteri untuk menegur. Setiap individu mempunyai kekurangan dan kelemahan. Begitu juga dengan suami. Semasa di alam percintaan dan pertunangan mungkin tidak dapat mengesan kekurangan tersebut. Setelah berumah tangga baru keadaan ini terserlah, sudah tentu ia mengecewakan. Keadaan itu jika tidak diperbaiki ia akan menjadi api dalam sekam dalam kehidupan. Jika seorang suami itu buta dengan kelemahan dan kelemahan ini menyebabkan kesusahan atau kegagalan baginya mendapatkan kejayaan adalah mustahak bagi isteri menyediakan kesedaran tersebut. Sebenarnya, dalam kehidupan berumah tangga, isteri juga ada hak dalam menentukan kebahagiaan cuma ia mesti dilaksanakan dengan cara kewanitaan, lemah lembut dan penuh berhemat. Sebenarnya, isteri boleh bersuara dalam hal-hal tertentu yang melanggar etika pergaulan suami isteri demi mempertahankan kewibawaannya sebagai isteri yang berhemah. Sekiranya suami ada membuat kesilapan, tegurlah secara diplomasi kepada suami dan nasihat kepada secara berhemah supaya meninggalkan perbuatan itu. Sekiranya ia melibatkan hal-hal yang menimbulkan dosa, isteri mempunyai hak untuk menjauhkan anak-anak malah dirinya sendiri daripada terlibat melakukan perbuatan yang tidak bermoral. Tidak salah menasihati dan menegur kesilapan suami walaupun dia adalah ketua keluarga. Biarpun begitu, sebagai isteri yang solehah, sikap taat adalah ciri penting dalam kehidupan berumah tangga. Sebagai isteri, selagi perbuatan tidak menyalahi undang-undang dan syariat agama, kita sebagai isteri wajib untuk mentaati suami. Namun sekiranya kita mendapati ada perbuatan yang tidak betul, cuba berbincang secara baik supaya tidak menimbulkan masalah dalam rumah tangga. Percayalah, sekiranya kita taat kepada suami dengan ikhlas, pasti Allah akan memberi rahmat kepada diri kita. Begitu juga dalam situasi suami menzalimi anak-anak, isteri perlu bertindak sebagai pelindung kepada anak-anak. Ajaklah berbincang secara waras dengan suami, apakah relevannya suami bertindak ganas dengan anak-anak. Sekiranya suami mempunyai sebab-sebab yang tertentu menyebabkan dia ganas mendidik anak, kompromi dengan si suami supaya tidak terlalu ganas dalam mendidik anak. Bagaimanapun, sebagai ibu jangan pula terlalu menyokong tindakan anak-anak sehingga menyebabkan pergaduhan kepada suami isteri. Lazimnya, anak-anak yang terlalu di manja akan menjadi degil dan besar kepala kerana setiap perbuatan yang dilakukan seolah-olah mendapat restu daripada ibunya.

Suami hanyalah tetamu

Saya berpendapat kebanyakan masalah yang sering melanda rumahtangga berpunca daripada skap wanita sendiri yang terlalu sayangkan suami, sanggup mengabdikan diri asalkan suami sayang, walaupun ada kalanya boleh menjerat diri.'' Demikian cerita Marlisya dalam e-melnya. ''Bertambah gigil bila ustaz kata syurga di bawah tapak kaki suami, maka isteri jadi lebih takut, taat membabi buta tanpa mengira sama ada suami itu penzina, peminum, kaki pukul dan tak bertanggungjawab, hingga mereka lupa masa depan sendiri. Pada saya isteri seperti itu hanya membodohkan diri sendiri. ''Kebanyakan suami berpendapat kasih sayangnya setinggi gunung, melimpah ruah sehingga boleh dikongsi ramai wanita yang menjadi isteri-isteri ataupun kekasih. Kerana itulah saya berpendapat suami adalah tetamu dalam kehidupan saya. Suami boleh datang dan pergi sesuka hatinya. Hari ini dia boleh sayangkan kita esok lusa dia boleh berubah dan mencintai orang lain pula. ''Jadi nasihat saya kepada isteri berpada-padalah memberi cinta, kasih dan sayang kepada suami, janganlah sampai menghambakan diri. Kerana jika bercerai suami tetap dipanggil sebagai bekas suami, sudah tiada hubungan lagi dengan kita. Ketika itu jika nasib kurang baik, anak-anak pun dia buat-buat tak kenal kerana tak mahu bertanggungjawab. ''Demikian juga halnya dengan anak-anak yang saya ibaratkan juga sebagai tetamu. Sewaktu kecil kita jaga, didik dan membesarkan mereka. Itu tanggungjawab kita, tetapi setelah berkahwin, mereka ada keluarga sendiri, akhirnya kita semakin jauh daripada hidup mereka, hanya sesekali mereka datang menjengok kita ibarat tetamu. ''Memberi kasih sayang, cinta kepada manusia biarlah berpada-pada, kecuali kepada Allah. Ada isteri terlalu fanatik mencintai suami hingga sanggup mengabaikan diri sendiri. Pada saya itu isteri bodoh. ''Saya bercakap dari pengalaman sendiri. Pernah 20 tahun dulu suami saya jatuh cinta dengan seorang janda dan bercadang untuk berkahwin. Janda itu kawan baik saya. Bila berita tersebut tersebar saya telefon ibu janda itu dan nasihatkan beliau supaya izinkan anaknya berkahwin. ''Ketika itu saya ada dua orang anak. Tetapi saya setitik air mata pun tak tumpah kerana peristiwa itu. Rasanya tak berbaloi saya nak menangis. Sambil menolong suami memasukkan pakaian dalam beg, saya kata padanya; ''Saya reda awak kahwin dengan wanita itu sekiranya dia lebih baik daripada saya. Mungkin juga Allah nak pertemukan saya dengan lelaki yang lebih baik daripada awak.'' Agaknya kata-kata saya pedas, akhirnya dia tak jadi kahwin, mungkin dia fikir jika saya dirceraikan dia takut saya berkahwin dengan lelaki lain yang mungkin lebih baik daripadanya. Dia jadi cemburu. Kewangan ''Kini setelah 30 tahun berkahwin dan ada tiga orang anak, kesimpulannya saya rasa tidak perlu mencintai suami 100 peratus, sebaliknya saya jadi isteri yang mementingkan diri sendiri. Saya berkira dalam soal kewangan walaupun 80 peratus perbelanjaan rumah, saya yang sumbang seperti duit pasar, termasuklah duit pengasuh anak ketika mereka kecil dan duit tuisyen setelah mereka besar. Saya reda, biarlah Allah beri keberkatan kepada saya. ''Nasihat saya isteri jangan bergantung 100 peratus pada suami, buat simpanan sendiri, jangan buka akaun bank simpanan bersama, jangan beritahu jumlah duit kita, jangan jadi penjamin kalau suami nak pinjam bank. Kerana kalau ada simpanan sendiri anda tak takut jika suami buat hal, kerana kita pun boleh letak jawatan jadi isteri dengan hati tenang. ''Nasihat emak penuh berkias kepada saya ketika berkahwin dulu, katanya; ''kalau sayang sangat suami jangan tidur dalam perut suami.'' Puas saya fikir apa maksut emak rupanya emak pesan jangan terlalu percayakan suami walaupun kita sayang dia. ''Ayah pulak ketika saya kahwin dia hadiahkan sebilah kapak kecil (yang saya simpan sampai kini). Ia sebagai simbolik supaya saya jadi isteri yang tabah, cekal dan berani mempertahankan diri dari segala dugaan dan ancaman. Sungguh dalam makna dan nasihat emak ayah kepada saya. ''Jika ada masa saya pergi melancong keluar negara, ke Eropah, Korea dan China atau ke mana sahaja saya teringin. Hati saya tenang di samping anak-anak yang masih menuntut, sebab lepas kahwin saya lambat dapat anak. Kini suami semakin sayangkan saya. Mungkin dia sedar kesilapannya dan merasa rugi kalau ceraikan saya. ''Kepada isteri-isteri yang masih terperangkap dengan masalah dan perangai suami, kerana kesilapan sendiri terlalu mencintainya sepenuh hati, bawalah bersabar. Anda masih belum terlambat untuk membetulkan keadaan demi masa depan anda. Dekatkan diri dengan Allah semoga anda mendapat ketenangan dan ganjaranNya. ''Kepada ibu bapa yang ada anak perempuan yang akan atau sudah berkahwin titiplah nasihat agar mereka dapat menempuh hidup ini dengan hati terbuka, berani dan cukup bersedia menghadapi masalah rumahtangga. ''Jika ada anak lelaki nasihat mereka supaya jadi suami bertanggungjawab, kerana kebanyakan punca keruntuhan rumahtangga hari ini adalah kerana kaum lelaki tidak tahu jalankan tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh Allah. ''Ingatlah wahai suami semua, hidup anda dan kita semua bukan di dunia ini sahaja, akhirat kelak kita akan mendapat balasan setimpal dengan apa yang kita lakukan semasa hayat kita. . ''Bagi saya hidup ini terlalu singkat kerana itu wanita perlu mencari sendiri kebahagian, jangan tunggu orang lain membahagiakan kita dan lebih penting jangan perbodohkan diri untuk keselesaan orang lain, walaupun suami sendiri. ''Sebaiknya isteri juga mesti mencari keselesaan hidup di dunia dan di akhirat.'' Pesanan Marlisya menutup cerita.

Sabtu, Mac 26, 2011

Mangsa ragut trauma, peragut tak diadili?

MANGSA menggeletar ketakutan. Fikirannya buntu. Tiada siapa ambil tahu. Jaraknya hanya beberapa langkah dari deretan kedai di taman perumahan di Kuala Lumpur. Mangsa mencapai telefon yang terjatuh ke lantai kereta. Nasibnya baik telefon masih berfungsi. Dia terus menghubungi kawan. Nada suaranya menggigil dan terputus-putus memberitahu kawannya: "Habis dah, semua habis. Cermin kereta aku dipecah. Orang itu rampas beg berisi sampul duit RM13,000. Duit itu aku nak bayar pendahuluan kereta baru." Kawannya suruh bertenang. ''Cepat buat laporan polis." Arahan kawan diikutinya segera. Kemudian dia menelefon bosnya. "Tidak perlu datang kerja. Selesaikan masalah," kata bos yang perihatin. Mangsa sudah kehilangan sebahagian harta hasil titik peluhnya. MyKad, barang peribadi, kad ATM, buku bank, kad kerja dan kunci rumah. Semuanya dirampas oleh dua lelaki yang bermotosikal. Dia tidak cam mereka. Dia sempat melihat sekilas lelaki yang menumbuk pecah cermin Perodua Kancilnya. Orang itu berpakaian seragam pengawal keselamatan. Aku ceritakan kejadian ini sekadar untuk renungan pembaca. Mangsa itu aku sendiri. Aku manusia biasa yang diuji Allah SWT dengan kerugian, hilang harta, sakit dan pening. Kejadian itu berlaku empat tahun lepas. Namun, trauma ketakutan masih menghantui aku. Begitulah pengajarannya. Berwaspadalah apabila membawa beg berisi duit berlebihan atau barang berharga. Jangan bersantai-santai sebab kita diperhatikan mereka yang disangka baik tapi dek terdesak dalam kehidupan, adalah sebaliknya. Sebelum kejadian malang itu, sewaktu hendak keluar dari bank, hati aku tertanya-tanya mengapa seorang lelaki sungguh hormat membukakan pintu. Selepas kejadian baru aku terfikir rupa-rupanya ini satu isyarat kepada pelanggan bank ini bahawa dia bakal menjadi mangsa rompakan. Di balai polis, pegawai penyiasat bertanya sama ada aku boleh cam lelaki itu. Sayangnya, aku tidak ingat wajahnya. Maka pihak polis tidak dapat membantu dengan segera, sekadar meronda tempat kejadian. Kebetulan pada masa itu banyak kejadian curi, ragut, pecah rumah yang didakwa dilakukan geng Palembang. Senja baru aku pulang. Tiba-tiba, telefon bimbit berbunyi. Seorang wanita memperkenalkan diri sambil memberitahu bahawa pembantu rumahnya menjumpai sebuah beg warna hitam berisi barang serta MyKad, kad kerja atas nama aku dan juga ada nombor telefon. Menurut wanita itu, beg dijumpai di dalam tong sampah depan rumahnya. Kami berjanji untuk berjumpa esok hari. Pada keesokan harinya, anak lelaki wanita itu membawa beg ke rumah aku. Apabila dibuka beg itu, hati aku terkejut. Kenapa? Ya, hampir semua barang dan dokumen penting ada dan yang hilang hanya sampul surat berisi duit, sebatang pen Parker dan sikat rambut! Dan, terdapat juga sekotak rokok keretek dan pemetik api plastik. Aku menelefon pegawai penyiasat polis. Kata pertamanya ialah: "Alhamdulillah." Hati aku memujuk diri sendiri dengan mengatakan harta dan duit itu rezeki Allah. Namun, kesan ketakutan sebagai mangsa kejadian ini tidak akan hilang selama-lamanya. Aku tidak menaruh dendam tapi kadang kala hati menjadi tidak keruan terutama setiap kali aku berhenti kereta di persimpangan lampu isyarat. Dan, di sebelah kereta pula ada lelaki menunggang motosikal. "Tak usah buruk sangka," cetus hatiku. Rakan taulan pun turut mengalami ketakutan yang sama. Rakan yang aku panggil nama mesra Taj pula memberitahu, sekarang apabila keluar berjalan jika berdekatan rumah, dia hanya membawa kad ATM saja. Dia jarang membawa MyKad kerana takut disamun lagi. Apabila MyKad hilang, katanya, susah nak buat urusan. Taj trauma kesan disamun di depan rumahnya. Rantai emas, beg duit walaupun tidak banyak habis dilarikan. Ada seorang lagi rakan mengalami trauma selepas diragut ketika berjalan menuju ke perhentian bas. Lengan dan sikunya cedera. Dalam satu lagi kejadian rakan aku jadi mangsa samun ketika memandu untuk pulang ke rumah. Dia dipintas oleh seorang penunggang motosikal yang kemudian melarikan keretanya. Dia cedera kerana ditetak. Seorang rakan yang balik bertugas waktu tengah malam bulan lepas dilaporkan jadi mangsa samun kejam apabila keretanya dilanggar dari belakang. Kereta mewahnya dilarikan. Mangsa ini terkapai-kapai mencari pertolongan. Aku pernah meliputi kes samun di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, seorang suspek kena penjara 20 bulan dan dua kali sebatan selepas mengaku salah menyamun rakyat asing. Memetik satu kes lain, juga di Mahkamah Majistret, penganggur dipenjara setahun selepas mengaku salah meragut beg mangsa yang hanya berisi duit RM11. Dan seorang suspek lain pula dipenjara setahun selepas mengaku salah menyamun RM200 milik mangsa dengan menggunakan sebilah parang. Mahkamah dan pihak polis mengendalikan suspek yang didakwa melakukan jenayah ini menurut peruntukan undang-undang. Namun, kami sebagai mangsa tetap dalam ketakutan.

Jumaat, Mac 25, 2011

Tidak perlu terlalu panik

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH
adawiyah.koh@utusan.com.my


Profesor Dr. Muhaya Mohamad menjelaskan, kebimbangan yang melampau boleh menjejaskan kesihatan mental dan menganggu aktiviti harian.

Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai sentiasa bertenang dan tidak terlalu memikirkan masalah radiasi kerana kerajaan sudah melakukan persiapan untuk memantau hal ini.

"Seharusnya orang ramai mengambil iktibar perkara ini. Bukan terlalu memikirkan pencegahan yang perlu diambil tetapi persediaan mental amat perlu. Misalnya, kita melihat rakyat Jepun kehilangan ahli keluarga mereka. Kita perlu menghargai ahli keluarga bermula dari sekarang. Dalam hal ini, kita menyaksikan kerajaan berusaha untuk memantau keadaan dan akan memberi maklumat dari semasa ke semasa," katanya yang sering diundang untuk memberi motivasi di televisyen dan radio.

Dalam pada itu, setiap individu boleh mendapatkan panduan pencegahan radiasi untuk mengurangkan kebimbangan.

Dr. Muhaya turut menasihatkan orang ramai tidak mengabaikan urusan harian termasuk rutin penjagaan kesihatan yang biasa dilakukan semata-mata takutkan radiasi.

"Mungkin selepas ini orang ramai takut bersenam di luar rumah kerana takut terkena kesan pencemaran radiasi.

Selagi belum ada maklumat yang tepat, masyarakat tidak perlu terlalu panik dan bimbang sehingga menjejaskan kesihatan mental," ujarnya.

Kesejahteraan mental , kestabilan emosi, kemantapan sahsiah dan personaliti, kecergasan fizikal, serta perhubungan sosial yang positif amatlah penting untuk menjalani kehidupan yang benar-benar sihat.

Fenomena ini secara logiknya adalah sejajar dengan definisi kesihatan seperti mana yang dinyatakan oleh World Health Organization atau WHO, iaitu health is a state of complete physical, mental and social well being and not merely the absence of disease or infirmity.

Definisi ini sebenarnya memberitahu kepada kita bahawa untuk menjadi seorang individu sihat, kita perlulah sihat dan sejahtera dari segi mental dan fizikal. Kesihatan mental memerlukan kita memiliki pandangan dan sikap yang positif dan proaktif terhadap diri sendiri serta orang lain dalam perhubungan di samping memiliki sikap yang positif terhadap persekitaran kita.

Lelaki manja anak emak?

Oleh Hidayah Mohammad
Berita Harian
2011/03/25


Sikap begitu `mendera’ teman wanita, isteri

SETIAP kali ingin membuat keputusan, mencari emak. Apa saja masalah yang berlaku - emak; bermanja berlebihan - emak; mencari keputusan untuk hal berkaitan rumah tangga, baik membeli rumah atau perabot - emak; bergaduh dengan isteri juga, mengadu pada emak. Pendek kata, semua yang dibuat emak dibabitkan, walaupun usia bukan muda, malah sudah beristeri dan berkeluarga.

Inikah yang dikatakan anak emak? Istilah berkenaan bukan baru kita dengar, sebaliknya sudah digunakan sejak dulu lagi, lebih-lebih lagi untuk lelaki yang terlalu manja dengan ibunya.

Mungkin tidak ada cacat-celanya perkara ini bagi si lelaki itu dan ibunya, tetapi tidak bagi kebanyakan wanita. Rata-rata, wanita rimas dengan lelaki begini, terutama wanita yang bersuamikan anak emak kerana anak emak ini sering kali tidak matang dalam membuat keputusan bijak, sekali gus mencerminkan mereka lelaki yang tidak pandai berdikari.

Ramai melihat perkara itu, lebih banyak buruk daripada baiknya terutama apabila segala yang dilakukan untuknya tidak pernah nampak elok dan baik, hanya kerana tidak sama seperti ibunya. Masak tak sedap, tak macam emak masak; tak pandai kemas rumah, tak macam emak dan macam-macam lagi hal, yang boleh membuat isteri atau teman wanita jauh hati.

Si lelaki juga tidak terkecuali menerima kesan buruknya. Bagi lelaki bujang umpamanya, gelaran anak emak, membuatkan wanita sukar mendekati mereka. Wanita akan beranggapan lelaki begini tidak matang, membosankan dan tidak layak dijadikan suami!

Bagi yang berkahwin, tidak mustahil, isteri lama-kelamaan jauh hati, kecil hati dan tidak lagi mahu melayari kehidupan bersama.

Namun, tidak wajar rasanya hal sebegini menjadi punca rumah tangga berantakan. Jika bijak dan pandai mencari ‘puncanya’, mengenal pasti serta melakukan perkara yang membuatkan si suami atau teman lelaki melebihkan ibu mereka, bukan saja mereka akan lebih sayangkan kita, mungkin satu hari kita akan juga akan jadi anak emak kepada ibunya!
Hakikatnya, apabila berpacaran seterusnya mendirikan rumah tangga, kita bukan hanya berkawan dan berkahwin dengan pasangan malah keluarga mereka. Ibu isteri juga adalah ibu kepada suami dan begitu juga sebaliknya.

Sebagai anak, sewajarnya ibu harus terus disanjungi, tidak kira bila dan di mana. Namun, lelaki bergelar suami juga harus tahu peranan dan tanggungjawabnya kepada isteri dan keluarga. Tidak salah merujuk kepada ibu tetapi tidaklah dalam semua perkara, lebih-lebih lagi jika berselisih faham dengan isteri.

Isteri juga harus menghormati dan menyayangi keluarga suami sebagai tanda taat kepada suami. Bukankah syurga buat isteri terletak di tapak kaki suami.

Jumaat, Mac 18, 2011

Rahmat nasi dan budu

Oleh Mohd Fakri Awang Lah
bhnita@bharian.com.my
2011/03/18


Mas nekad majukan diri dan keluarga

KEPERITAN dan kesusahan hidup masih dirasai Mas Hamat, 56, apabila beliau terpaksa menyediakan nasi berlaukkan budu bagi membesarkan tujuh anaknya sebelum beliau berjaya sebagai pengusaha makanan ringan yang meraih pulangan sehingga RM20,000 sebulan.

Kesusahan hidup yang dialaminya selepas berpisah dengan suami, kira-kira 15 tahun lalu itu membuat beliau bertekad untuk mengubah nasib keluarganya dan beliau memulakan dengan perniagaan menjual kain untuk menampung kehidupan pada 1995.

"Kehidupan saya bersama anak sangat memeritkan hingga pada suatu ketika, saya hanya mampu menyediakan nasi dan budu untuk mereka.

"Kerana ingin keluar daripada kepompong kemiskinan, saya bertekad untuk memulakan perniagaan dan mula menjual pakaian serta kain dari rumah ke rumah.
Saya turut membuat beberapa jenis makanan ringan seperti popia dan kuih goyang untuk dijual ketika mengutip hutang pakaian daripada pelanggan," katanya yang kini menjadi pengusaha produk Jayanita.

Namun, permintaan makanan ringannya semakin meningkat malah, keuntungan diperoleh daripada perniagaan itu lebih tinggi berbanding perniagaan pakaian membuatkannya tekad untuk memberi tumpuan pada perniagaan makanan ringan.

Pada 2002, Mas berjaya membuka sebuah bengkel kecil di hadapan rumah sebagai tempat operasi untuk membuat produk makanan ringan.

Permintaan semakin meningkat tetapi beliau pula kekurangan peralatan untuk memenuhi keperluan. Beliau memohon bantuan daripada Ahli Parlimen Kuala Krai, Datuk Ramzi Ab Rahman.

"Datuk Ramzi kemudian bersetuju untuk menyalurkan bantuan kepada saya untuk membesarkan perniagaan dan sebagai permulaan, beliau memberi RM5,000 menerusi skim Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) bagi membesarkan bengkel.

"Saya meneruskan pembuatan makanan ringan di bengkel berkenaan sehingga 2006 dan pada hujung tahun berkenaan, wakil Pejabat Pertanian Kuala Krai datang dan bertanya jika saya ingin memperbesar bengkel sedia ada.

"Saya bersetuju dengan cadangan itu dan pada penghujung 2008, bengkel yang dijanjikan siap dibina dengan kos kira-kira RM20,000," katanya.

Dengan kekuatan empat pekerja, dibantu dua anak, produk makanan ringan Mas dijual serata Semenanjung, termasuk Selangor, Kuala Lumpur, Pahang dan Melaka.

Laluan untuk Mas mengembangkan perniagaan terbentang luas. Banyak skim pinjaman disediakan kerajaan membantunya, antaranya Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Setakat ini, lebih RM160,000 dipinjam Mas untuk menerus dan membesarkan perniagaan.

Berkat sokongan, perniagaannya semakin maju dan hari ini, Mas boleh senyum bangga dengan keuntungan bersih sekitar RM20,000 sebulan.

Mas kini lebih bersemangat memajukan diri dan keluarga. Beliau sedang memohon untuk mendapatkan Sijil Amalan Pengilangan Baik (GMP) bagi membolehkan produknya menembusi pasaran luar negara.

Rabu, Mac 16, 2011

Elak anak hilang

PADA musim cuti sekolah ini pasti ramai ibu bapa mengambil kesempatan membawa anak-anak ke pusat beli-belah sebagai cara menghiburkan mereka.

Bagi ibu bapa yang tidak sempat membawa anak-anak bercuti, membeli-belah adalah satu aktiviti menyeronokkan kepada anak-anak.

Namun begitu, dalam kesibukan serta kelekaan ibu bapa membeli-belah anak-anak harus diawasi sepenuhnya.

Ini kerana sering berlaku kejadian yang tidak diingini seperti kehilangan anak-anak serta penculikan.

Bagi ibu bapa yang bimbang mengenai keselamatan anak-anak ketika di luar berikut disertakan panduan yang mungkin dapat membantu:

- Apabila keluar ke tempat yang sesak atau menjadi tumpuan awam seperti pusat beli-belah, pesta atau karnival, catat dalam sekeping kertas nombor telefon ibu bapa dan selitkan dalam kocek seluar anak-anak. Ini sesuai untuk kanak-kanak berusia dua hingga empat tahun.

- Maklumkan kepada anak-anak yang baru saja boleh berjalan mengenai ruang yang ingin mereka terokai. Walaupun mereka kecil, mereka boleh memahami bahaya sesuatu tempat atau ruang.

- Pada usia empat dan lima tahun, bekalkan mereka duit siling dan ajar mereka menggunakan telefon awam. Pastikan anak-anak menghafal nombor telefon ibu bapa mereka.

- Sebelum memulakan sebarang aktiviti, ajar anak-anak membaca peta lantai pusat beli-belah. Ini aktiviti yang sangat menyeronokkan.

Mereka akan tahu lot kedai, tangga dan laluan. Dengan cara ini anak-anak akan lebih terdedah dan boleh membaca simbol dengan mudah dalam peta lakaran.

- Apabila meletak kenderaan di dalam lot bertingkat di pusat beli-belah, minta anak-anak catat dan ingat nombor petak serta tingkat kenderaan diletakkan contohnya B1 atau B2.

Paling mudah, gunakan telefon bimbit untuk mengambil gambar. Ini bagi memudahkan anak-anak mengingati di mana ibu bapa meletakkan kenderaan.

- Setiap tempat yang ingin dituju, carikan satu tanda yang mudah dilihat dan pesan kepada anak-anak sekiranya tersesat, datang ke tempat bertanda dan tunggu di situ.

Jangan merayau ke mana-mana sehingga ibu bapa berjumpa kembali dengan anak-anak. Sekiranya di pusat beli-belah itu terdapat kaunter pertanyaan, bawa anak-anak ke situ dan ajar mereka untuk pergi ke bahagian kaunter pertanyaan sekiranya mereka kehilangan ibu bapa.

- "Jangan nakal-nakal, kalau nakal nanti mama minta polis tangkap abang atau kakak." Ibu bapa sering menakut-nakutkan anak mereka dengan polis namun ini tidak sepatutnya berlaku. Ini kerana apabila anak-anak ini mengalami kesulitan ajar mereka untuk menghubungi polis.

- Ketika membeli-belah letakkan anak anda di dalam troli. Mudah untuk anda bergerak kerana anak bersama anda sepanjang masa. Walaupun anak sulung anda berusia empat tahun dan sering berkeras tidak mahu duduk di dalam troli, beritahu padanya mengapa dia perlu diletakkan di dalamnya.

Dia akan faham dan tidak akan memberontak. Perlu diingat, meletakkan anak-anak di dalam troli bukan jaminan keselamatan terkawal. Anda perlu memberi perhatian pada troli itu.

Jangan tinggalkan anak anda di dalam troli dalam keadaan jauh daripada pengawasan mata anda, sebaiknya tolak ke mana saja anda pergi bersama troli.

- Sekiranya anda mahu ke tandas atau urusan membayar bil, jangan sesekali tinggalkan anak anda dengan seseorang yang baru anda kenali, walau sebaik mana pun perwatakan dan penampilannya di depan mata anda. Bahaya ada di mana-mana, jangan sesekali percayakan sesiapa.

- Ajar anak lelaki untuk lebih menghormati juga melindungi wanita. Ini sangat penting kerana apabila ibu bapa membawa anak-anak ke tempat sesak seperti pusat beli-belah atau karnival, anak lelaki akan sentiasa memastikan adik, kakak dan ibu dalam keadaan selamat.

- Sebagai langkah terakhir sekiranya ibu bapa memiliki anak-anak terlalu aktif, mungkin penggunaan abah-abah adalah kaedah terbaik demi keselamatan si kecil. Selain mampu mengurangkan risiko kehilangan anak, ibu bapa tidak perlu bimbang anak kesayangan mereka akan merayau jauh ke kawasan yang berbahaya atau diculik.

Ada juga pakar psikologi berpendapat, penggunaan abah-abah keselamatan pada anak adalah satu tindakan melampau kerana mereka berhak menikmati sedikit kebebasan yang berpatutan.

- Sebaiknya anda memegang, menyentuh atau mendukung anak ketika di luar rumah kerana ia akan merapatkan hubungan psikologi anak-anak.

Dakwa janda sakit mental

IPOH: Bekas suami kepada wanita yang mendakwa pernah bersekedudukan dengannya selama empat tahun dan tujuh kali menggugurkan bayi dalam kandungannya sepanjang tempoh itu, menyifatkan jandanya itu mengalami gangguan psikotik sehingga sanggup menabur fitnah yang tidak pernah dijangkakan itu.

Beliau yang hanya dikenali sebagai Din, 30-an, berkata, semua dakwaan bekas isterinya tidak benar dan berniat jahat bertujuan mengaibkan diri dan keluarganya serta menjejaskan kariernya sebagai guru.

Din mendakwa, beliau mula menyedari bekas isterinya itu ada ‘sedikit’ masalah mental tidak lama selepas mereka mendirikan rumah tangga berikutan sikapnya yang boleh berubah secara tiba-tiba.

“Dia mudah berprasangka buruk dan selalu berfikiran negatif serta boleh berubah sikap daripada lemah-lembut menjadi agresif secara tiba-tiba dan antara punca rumahtangga yang dibina kami hanya mampu bertahan setahun.

“Ada sebab lain, tetapi saya tidak mahu dedahkan demi menjaga aibnya. “Jika perkara sama dihadapi lelaki lain, mereka tidak teragak-agak menceraikan isteri mereka,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.

Din berkata, dia tidak terkejut dengan tindakan bekas isterinya itu kerana tahu penyakit dihadapinya.

Katanya, dia cuma tidak menyangka wanita itu sanggup membuat fitnah seperti itu yang turut terkena tempias kepada dirinya sendiri.

Katanya, semua fitnah cuba ditaburkan bekas isterinya itu hanya disebabkan tidak dapat menerima hakikat diceraikan.

“Saya pasti ramai pembaca tertanya-tanya apa motif sebenar pendedahannya dan bagi mereka yang berfikiran waras, sudah pasti tidak akan melakukan tindakan itu kerana jika benar apa dikatakan itu, ia menjatuhkan maruah diri sendiri,” katanya.

Isnin, Mac 14, 2011

Isteri hanya daki di kulit

KADANG kala saya naik meluat dengan perangai sesetengah wanita yang tak habis-habis menangisi masalah keluarga. Ada kata suami ada kekasih, suami berpoligami, tak kurang juga yang kena dera secara mental dan fizikal. Semuanya masalah hati dan perasaan.

''Semua masalah disebabkan ada pihak berasa agihan kasih sayang tidak adil campur tangan orang ketiga, ditipu suami, keadilan memikul tanggungjawab yang terletak dibahu wanita sahaja. Peliknya walaupun perasaan mereka dilukai namun masih ramai wanita takut bertindak mempertahankan diri! Mengapa ini terjadi?'' tanya Puan Farahazwan dalam emelnya.

''Semua masalah itu tidak akan ada kesudahannya, selagi isteri tidak belajar bagaimana untuk mengatasinya. Mereka sedar semuanya berpunca daripada orang ketiga yang mendakwa jodohnya telah ditakdirkan. Orang ketiga mahukan kasih sayang. Dia pertahankan haknya tak kisahlah ada rumahtangga lain musnah asalkan hajatnya tercapai.

''Namun yang buat saya terkilan bila ada isteri dan anak-anak jadi mangsa keganasan suami-suami yang berpoligami. Saya sedih sangat lihat masih ada isteri yang sanggup pertahankan badannya dipukul dan dihina kerana sayangkan suami. Wahai isteri, tolonglah jangan tunggu sampai anda dan anak-anak cacat baru hendak dapatkan pertolongan.

Pelindung

''Kalau suami yang anda harapkan menjadi pelindung sudah mula angkat kaki tangan memukul anda dan anak-anak untuk melepaskan kemarahannya, jangan bermimpi yang anda dan anak-anak selamat hidup dengannya. Tak payah tunggu! sila angkat kaki!

''Setiap kita ada pilihan, pilihlah untuk hidup sejahtera atau sebaliknya. Jangan takut dengan rezeki dan hari depan, serahkan kepada-Nya.

''Saya suka berikan pandangan dari beberapa situasi yang mungkin boleh kita fikirkan. Terpulanglah kepada anda memikirkan. Mungkin ada yang setuju, mungkin ada tidak setuju. Iaitu tentang reaksi dan tindakan anda jika suami ingin berpoligami

''Pertama, benarkan saja. Terutamanya kalau suami anda berkemampuan lahir batin. Kerana kalau disekat, dia akan naik 'hantu' bila hasratnya dibantah. Ingat kepada Allah. Suami bukan hak kita. Hanya pinjaman. Mungkin sudah takdirnya dia ada jodoh lagi. Kuatkan semangat dan jangan susah hati. Berserah kepadaNya.

''Kedua, kalau suami tak minta berpoligami, tapi buat maksiat di belakang kita? Tindakan anda suruh dia kahwin. Cari borang kebenaran berpoligami dan deraf surat berjanjian supaya dia buat perjanjian tidak menganiaya anda dan beri nafkah anak anak.

''Buat maksiat memang seronok, sebab perisanya syaitan yang beri. Selagi tidak diikat dengan tanggungjawab, selagi itulah suami tak henti buat maksiat, jadi suruh dia kahwin. Jika dia suami yang bertanggungjawab pasti dia tak berani. Memang seronok buat maksiat tanpa tanggungjawab. Bila dah kahwin baru dia tahu langit tinggi atau rendah.

''Ketiga, jika anda tahu suami tak mampu berpoligami dan anda tak mahu bantu, bersedialah bercerai secara baik, tambahan jika suami sudah hilang rasa sayang terhadap anda. Langsung tak ada hati hendak pegang anda. Tak payahlah merayu-rayu. Lagi teruk jika dia anggap anda sudah tidak wujud dalam hidupnya. Maka anggaplah jodoh sudah habis.

''Tetapi berbincanglah baik-baik tentang masa depan anak-anak. Bersikap rasional dan beri keutamaan untuk mencari jalan penyelesaian tentang nafkah.

''Keempat, kalau suami jenis suka naik tangan kaki ke badan sampai cedera berdarah tunggu apa lagi, memang dah rezeki anda terlepas daripada genggaman suami zalim. Tapi sebelum itu simpan segala rekod dan bukti. Tuntut hak anda. Kalau suami jenis cepat 'meletup' segera dapatkan pertolongan sebelum anda maut.

''Memang banyak cabaran berumahtangga. Seronok hanya seketika semasa bercinta. Hari semalam dan hari ini tidak menjanjikan kesudahan yang baik untuk hari esok. Apa yang penting, lengkapkan diri dengan pengetahuan dalam berumah tangga, buka bank akaun simpanan anda sendiri demi masa depan. Ingat pesan orang tua-tua 'suami macam daki di kulit' bila-bila masa dia boleh buang anda.

''Jangan mengharapkan balasan daripada manusia atau suami anda. Tetapi, berilah yang terbaik sebagai seorang isteri dan ibu kepada suami anda. Anggaplah semua pengorbanan anda itu sebagai tanggungjawab dan komitmen anda sebagai hambaNya.

''Seperkara yang lebih penting dalam hidup kita, anda mesti bahagiakan diri anda dahulu. Jangan fikir hanya suami sahaja boleh membahagiakan anda. Anda boleh mencari kebahagian sendiri dengan menjadi insan yang baik dan beriman. Bila perasaan dan hati anda telah bahagian maka anda pasti dapat membahagiakan insan lain disekeliling anda.

''Jadilah manusia yang boleh memberi manfaat kepada manusia lain khususnya kepada ibu bapa sendiri dan perbanyakkan sedekah jika anda mampu. Kerana itulah yang lebih penting sebenarnya dalam menjalani kehidupan di dunia ini dan menjadi bekalan di akhirat.

''Jangan sesekali mengharapkan jika anda bahagiakan hidup pasangan anda, maka dia akan bahagiakan anda! Belum tentu!

''Lebih teruk jika anda memikirkan hanya wang boleh membahagiakan anda. Kadang kala bila suami banyak wang anda akan jadi lebih tidak bahagia. Begitu juga halnya jika anda cuba menambat hati suami dengan memberikan dia wang. Lagi banyak anda beri, maka lebih jauh dia tinggalkan anda setelah apa yang dihajati tercapai.'' Demikian nasihat Farahazwan panjang lebar kepada wanita yang tidak pernah belajar tentang erti sebenar kehidupan dalam berumahtangga.

Jumaat, Mac 11, 2011

Lupa nafkah anak setelah bercerai

Rengekan Sarah (bukan nama sebenar) itu sebenarnya yang membuatkan Farid (bukan nama sebenar) cair sehingga dia sanggup memberi apa sahaja yang diminta oleh kekasihnya itu.

Lagipun Farid sudah bebas sekarang kerana telah sah bercerai. Kini tiada ada sesiapa lagi yang boleh menghalang hubungannya dengan gadis bertubuh seksi itu.

Farid juga sering tersenyum sendirian ketika mengenang semula percutiannya bersama dengan Sarah di kota Paris kerana disitulah impiannya selama ini telah dikotakan.

Beliau tidak kisah berhabis duit untuk membelikan hadiah barangan berjenama yang mahal asalkan dapat 'membeli' buah hatinya itu.

Paling penting pada Farid pelaburannya itu adalah untuk langkah seterusnya supaya pancing akan mudah menggena.

Tekaannya tepat kerana Sarah bukan sahaja tidak perlu dipaksa sebaliknya gadis bermata kuyu itu merelakan sahaja asalkan Farid dapat melepas apa yang dihajat selama ini.

Farid puas kerana dengan wang dia berjaya menundukkan Sarah yang digilainya sekian lama ini. Tetapi pada masa sama dia tidak sedar sudah sekian lama mengabaikan bayaran nafkah ke atas tiga anaknya selepas bercerai dengan Nabila (bukan nama sebenar).

Itu semua gara-gara berjoli sakan untuk Sarah sehingga sudah beberapa kali beliau menerima surat amaran dari mahkamah.

Kisah suami enggan membayar nafkah anak dengan memberikan pelbagai alasan sebenarnya sudah lama berlaku di dalam masyarakat.

Kes ini juga telah dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur di hadapan Hakim Wan Mahyuddin Wan Muhammad.

Mengikut fakta kes, pemiutang penghakiman (bekas isteri) memohon mahkamah untuk mengarahkan bekas suami membayar RM29,050 bagi nafkah anak-anak yang tertunggak sejak sekian lama.

Bekas isteri mendakwa bekas suami telah gagal melaksanakan bayaran nafkah anak-anak RM2,000 sebulan seperti yang diperintahkan oleh mahkamah.

Selain itu bekas isteri juga memohon kos tuntutan itu sebanyak RM5,000 ditanggung oleh bekas suami.

Bagaimanapun bekas suami tersebut memberi alasan tidak mampu membayar nafkah anak-anak kerana telah diisytiharkan muflis atau bankrap oleh Mahkamah Tinggi.

Wan Mahyuddin kemudiannya memutuskan supaya permohonan bekas isteri diluluskan dan memerintahkan bekas suami membayar RM 29,050 secara ansuran sehingga selesai.

Jelas Wan Mahyuddin, ia perlu dilakukan dengan cara memasukkan wang ke dalam akaun bekas isteri sebagai wakil kepada anak-anak sebanyak RM1,000 sebulan selama 29 bulan pada setiap 29 haribulan setiap bulan.

Mahkamah juga memerintahkan bekas suami berkenaan memfailkan dengan segera notis penghakiman berdasarkan peruntukan Seksyen 179 Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Negeri Selangor) 2003 sekiranya bekas suami gagal membayar RM1,000 sebulan.

Sekiranya bekas suami gagal membayar maka dia boleh dipenjarakan sehingga menjelaskan bayaran hutang nafkah anak-anak yang tertunggak.

Wan Mahyuddin menjelaskan, mahkamah juga mendapati bekas suami dalam keterangannya gagal membela diri dan tiada saksi-saksinya dipanggil bagi mengesahkan bayaran nafkah telah dibuat.

Walaupun bekas suami telah mengemukakan isu muflis tetapi mahkamah tidak menerima alasan itu untuk mengecualikan bayaran nafkah anak-anak berdasarkan rujukan dalam kitab dan hukum syarak.

Ini kerana mahkamah mengambil contoh dalam kes ini jika seseorang itu berhutang dengan bank untuk membeli sebuah kereta dan sekiranya peminjam diisytiharkan muflis tentulah bank akan menarik balik kereta yang dibeli dan akhirnya kereta tersebut akan dilelong oleh pihak bank.

Malang

Oleh itu, seorang yang telah muflis bukannya dikira terlepas dari membayar hutangnya dan sepatutnya harta-harta bekas suami dilelong dan diserahkan kepada bekas isteri.

Juga satu perkara yang malang jika seorang bapa berhutang dan tidak menjaga kebajikan anak-anaknya kerana anak adalah anugerah Allah yang paling bernilai menurut pandangan Islam.

Juga sudah menjadi kewajipan kepada bapa untuk membayar nafkah kepada anak-anaknya.

Malah mahkamah juga berpandangan bekas suami masih mampu membayar hutangnya kerana harta-harta yang dimilikinya tidak dibuktikan telah dijual sepenuhnya walaupun di dalam affidavit bekas suami menyatakan harta-hartanya telah dilupuskan.

Harta-harta itu termasuk harta alih (sebidang tanah kosong, hartanah kosong, kondominium dan rumah) dan harta tak alih (sebuah Toyota Estima, Honda CRV, Suzuki Vitara dan Proton Satria).

Berkenaan dakwaan bekas suami telah membuat beberapa bayaran nafkah anak-anak juga dipertikai mahkamah kerana ia telah dibuat tanpa mengikut perintah mahkamah ataupun tanpa persetujuan bekas isteri terlebih dahulu.

Malah tiada keterangan saksi-saksi diberikan dan qarinah seperti resit bayaran juga tidak diserahkan ke mahkamah semasa bekas suami memberi keterangan.

Walaupun adanya bayaran soalnya adakah bayaran yang pernah dibuat oleh bekas suami mencukupi bagi keperluan semua anak-anak.

Jika sudah mencukupi sudah, pada pandangan mahkamah sudah pasti bekas isteri tidak akan mengambil tindakan ke atasnya.

Belasah guna tali pinggang

KEMAMAN: Seorang isteri yang menderita kerana didera suami nekad mendedahkan pembabitan lelaki berkenaan dalam penyalahgunaan dadah sejak setahun lalu.

Penangan pil kuda bukan saja menyebabkan lelaki berusia 23 tahun itu membelasah isteri dengan kaki dan tangan, malah lebih malang lagi apabila tubuh ibu kepada dua anak itu turut disebat dengan tali pinggang apabila si suami hilang kawalan akibat ketandusan bekalan dadah.

Lelaki terbabit yang bekerja sebagai pembantu penguat kuasa di sebuah agensi penguatkuasaan kerajaan di Kuala Lumpur dikatakan menagih pil kuda sejak setahun lalu dan dipercayai mendapat bekalan dadah berkenaan daripada pengedar di bandar raya itu.

Mangsa berusia 21 tahun nekad membuat laporan polis apabila lelaki terbabit yang bagaikan dirasuk syaitan membelasahnya dengan tali pinggang ketika pulang bercuti ke rumah keluarga di Felda Cherul, Cheneh,.

Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdullah Sani Salat, berkata pihaknya menerima laporan wanita terbabit yang dibuat di Pondok Polis Cheneh pada jam 2 petang, Ahad lalu.

Beliau berkata, susulan laporan itu, anggota polis di pondok berkenaan mengambil tindakan segera menahan lelaki terbabit dalam satu serbuan diketuai Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (KBSJN) Kemaman, Asisten Superintendan Hamzah Awang Dollah di rumah keluarga lelaki berkenaan.

Menurutnya, dalam serbuan disaksikan kedua-dua orang tua lelaki terbabit pada jam 2.30 petang hari sama, anggota penguat kuasa berkenaan yang panik dengan kehadiran polis di rumah itu bertindak agresif bagi mengelak ditahan.

“Pemeriksaan pada badan lelaki terbabit tidak menemui sebarang dadah dan dia kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman untuk siasatan lanjut.
“Lelaki terbabit dipercayai menagih pil kuda berdasarkan keputusan ujian air kencing yang dilakukan mendapati dia positif metaphetamine,” katanya.

Abdullah berkata, lelaki terbabit sudah dibebaskan semalam dengan jaminan polis selepas direman selama tiga hari di lokap IPD Kemaman bermula Isnin lalu.

Katanya, anggota penguat kuasa itu akan dipanggil semula selepas polis mendapat laporan penuh ujian air kencing daripada makmal Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Beliau berkata, siasatan awal polis percaya lelaki terbabit bertindak agresif dan sering memukul isterinya apabila ketagihan selepas dipercayai terputus bekalan apabila pulang bercuti di kampung.

“Penangan dadah jenis metaphetamine seperti pil kuda boleh menyebabkan penagih hilang kawalan dan bertindak tanpa peri kemanusiaan sekiranya terputus bekalan,” katanya.

Abdullah berkata, siasatan terhadap lelaki terbabit dilakukan mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara dua tahun.

Khamis, Mac 10, 2011

Tujuh kali gugur bayi

Oleh Mohd Husni Mohd Noor
mhusni@hmetro.com.my


IPOH: Akibat begitu mudah termakan pujuk rayu teman lelaki, seorang janda muda membuat pengakuan mengejutkan apabila memberitahu pernah menggugurkan bayi dalam kandungannya sebanyak tujuh kali dalam tempoh empat tahun.

Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Balqis, 32, berkata perkara tidak masuk akal dilakukannya itu bermula selepas dia bercerai dan berkenalan dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin pada 2007.

Menurutnya, lelaki itu berjaya memikat hatinya dengan pelbagai janji manis untuk mengahwininya dalam tempoh terdekat.

“Saya meletakkan harapan tinggi kepadanya apatah lagi dengan hidup saya yang terumbang-ambing selain perlu membesarkan tiga anak hasil perkahwinan pertama sebelum ini.

“Malangnya rasa cinta keterlaluan itu menyebabkan saya terlanjur melakukan hubungan seks berulang kali sehingga mengandung sebanyak enam kali.

“Saya membuat proses pengguguran haram di klinik swasta dengan bayaran RM300 bagi sekali ‘cuci’. Pada mulanya doktor di klinik itu tidak begitu kisah dengan permintaan saya, namun dia mula bimbang apabila saya mahu membuat pengguguran kali kelima.

“Doktor terbabit menasihatkan saya tidak lagi membuat pengguguran janin kerana bimbang ia boleh merosakkan peranakan selain boleh mendapat kanser rahim,” katanya.

Menurutnya, walaupun pernah terlintas rasa berdosa namun dia tetap melakukan perkara terkutuk itu kerana termakan dengan janji kekasihnya untuk berkahwin.

“Pernah sekali saya menanggung kesakitan amat sangat selepas menggugurkan kandungan berusia tiga bulan yang ketika itu sudah mempunyai bentuk bayi. Malah pernah juga saya ‘lekat’ mengandung semula hanya selepas dua bulan menggugurkan janin.

“Sepatutnya saya menjalani tempoh pantang seperti wanita bersalin, namun semua itu saya abaikan kerana faktor kerja selain bimbang diketahui rakan sekerja,” katanya.

Menurutnya, dia hanya mengambil cuti rehat antara empat hari hingga seminggu.

“Akibat terlalu kerap menggugurkan janin, saya mengalami tekanan hidup, murung selain kerap dihantui rasa berdosa. Lebih teruk apabila saya sering bermimpi kanak-kanak menangis ketika tidur.

“Sepanjang empat tahun itu, saya disahkan mengandung enam kali sebelum menggugurkan kandungan itu menyebabkan berat badan saya susut kepada 47 kilogram,” katanya.

Rabu, Mac 09, 2011

Jangan bersikap terburu-buru

Oleh SHOLINA OSMAN

Jangan jadikan diri anda mangsa kepada jenayah ragut kerana ia boleh membawa maut.


KAUM wanita di negara ini dinasihatkan supaya tidak bersikap terburu-buru jika secara tiba-tiba terpaksa berhadapan dengan jenayah ragut.

Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, apa yang penting lihat dahulu keadaannya supaya mangsa tidak diancam dengan bahaya.

"Barang yang hilang boleh diganti tetapi nyawa itu lebih penting daripada segala-galanya,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Sehubungan itu katanya, sekalipun seseorang wanita itu mungkin menganggap dirinya berani tetapi dia mesti tahu menilai keadaan persekitaran pada ketika itu supaya tindakannya itu nanti tidak akan mengancam nyawa sendiri.

"Ini kerana modus operasi peragut biasanya dilakukan dengan menggunakan motosikal di mana seorang meragut dan seorang lagi memecut kenderaan dengan laju,'' katanya.

Katanya, jika wanita yang sedang berjalan itu tetap juga mempertahankan beg tangannya lebih mendatangkan bahaya kerana boleh membuatkan mangsa terjatuh.

Bagaimanapun Lam Thye memuji sikap berani segelintir wanita yang bertindak ke atas peragut sekalipun tahu bahawa sudah ramai yang terkorban dan cedera akibat jenayah ini.

Katanya, tindakan ini bukan boleh dilakukan oleh semua orang tetapi semangat luar biasa ini mungkin timbul disebabkan oleh rasa benci ke atas peragut.

"Ini menunjukkan wanita ini sememangnya berani walaupun berdepan dengan keadaan yang boleh melayangkan nyawa malah berdepan dengan kecederaan,'' katanya.

Sehubungan itu, katanya, beliau akan mencadangkan kepada mesyuarat MCPF nanti supaya mereka yang berani ini diberikan penghargaan.

"Wanita yang berani melawan penjenayah ini wajar dicontohi oleh orang lain khususnya dalam usaha menangani jenayah,'' katanya.

Lam Thye berkata, pihaknya memberikan beberapa tip antaranya menyarankan kaum wanita supaya sentiasa berwaspada jika mengalas beg tangan.

"Sebaiknya pastikan beg tangan itu tidak mengandungi dokumen penting dan masukkan kad pengenalan atau kad lain yang penting di dalam poket baju,'' katanya.

Malah katanya, sebaiknya ketika berjalan kaki seeloknya dari arah aliran kenderaan secara berhadapan.

Yang penting katanya, pastikan beg tangan dipegang atau digalas dengan kemas supaya tidak mudah disambar oleh peragut dari belakang.

Che Bon masih trauma

Oleh SHOLINA OSMAN

PAGI itu sama seperti pagi-pagi yang lain dalam hidup Che Bon Yob yang tinggal di Simpang Empat, Perlis. Cuma hari itu dia perlu segera ke bank bagi memasukkan wang untuk anaknya yang sedang menuntut di sebuah universiti di Kuala Lumpur.

Lagi pun, dia tidak boleh melengahkan urusan itu memandangkan bank akan ditutup pada minggu tersebut sempena cuti Krismas.

Che Bon tidak ke bank bersendirian. Dia ditemani anak saudaranya yang dikenali sebagai Kak Chik dengan menunggang motosikal.

Memandangkan tiada siapa di rumah, sudah menjadi kelaziman Che Bon akan menyimpan semua barangan kemas seperti rantai dan gelang dalam beg tangannya.

Dia merasa lebih selamat kalau semua itu dimasukkan dalam beg tangan yang boleh dibawanya ke mana-mana sahaja.

Sebaik sahaja Kak Chik sampai, Che Bon terus keluar dengan membonceng motosikal anak saudaranya itu ke bank yang terletak lebih kurang dua kilometer dari rumahnya.

Jalan yang dilalui juga sememangnya biasa digunakan Che Bon dan penduduk kampung di situ sebagai jalan pintas.

Bagaimanapun perasaan Che Bon terasa agak lain juga pada hari itu. Jalan tersebut dirasakan begitu lengang. Hanya motosikal yang ditunggangnya bersama Kak Chik yang bergerak agak perlahan itu sahaja ada di jalan ketika itu.

Dalam perjalanan itu, Che Bon yang terleka seketika terkejut apabila merasakan bahu kanannya yang sedang mengepit beg direntap dengan kasar.

“Yang saya pelik pada ketika itu langsung tidak kedengaran bunyi enjin motosikal kecuali yang dikemudi Kak Chik sahaja,’’ katanya ketika dihubungi MegaMega.

Cerita Che Bon, kejadian itu berlaku secepat kilat sehingga membuatkannya dan Kak Chik tergamam seketika tanpa mampu berbuat apa-apa.

Dirinya seakan-akan terpukau malah hanya mampu memandang sahaja ke arah peragut bermotosikal itu yang hanya berjaya merentap tali beg tangannya.

Hanya selepas beberapa saat selepas itu baharu terkeluar perkataan ‘jahat’ dari mulutnya menyumpah peragut itu.

Yang pelik cerita Che Bon, bukan dirinya sahaja malah anak saudaranya juga terkunci mulut untuk menjerit minta tolong.

Ketika itu Che Bon bertindak memindahkan beg tangan yang sudah terputus tali itu untuk dikepit sekuat-kuat hati di sebelah kiri tangannya pula.

Belum pun reda nafas akibat terkejut, peragut itu berpatah balik dan muncul lagi dari belakang.

“Peragut yang berseorangan itu mengekori motosikal kami di mana tangannya berterusan berusaha untuk merentap beg tangan dari celah lengan saya,’’ katanya.

Che Bon juga langsung tidak pandang ke kiri atau kanan walaupun peragut berkenaan tak henti-henti menjerit ‘berikan beg awak...berikan beg awak,’’ katanya.

Tindakan Che Bon yang kuat mempertahankan beg tangannya itu membuatkan peragut tersebut berang lalu menendang motosikal yang diboncengnya.

Akibatnya Che Bom terjatuh dari motosikal. Dia akui dunianya terasa kelam sekejap selepas terjatuh dan mukanya tersembam di atas jalan.

Manakala Kak Chik yang dalam keadaan terkejut itu berusaha berdiri sambil memegang motosikal yang hampir rebah ke jalan.

Che Bon bernasib baik kerana kejadian itu disedari oleh orang ramai yang menyebabkan peragut itu terus memecut motosikalnya.

Itu antara kisah bagaimana kaum Hawa berani bertindak mempertahankan hak mereka daripada dilarikan peragut.

Namun tidak semua yang berjaya. Ada yang tersungkur cedera parah. Ada pula yang terkorban akibat perbuatan peragut yang tidak berhati perut tersebut.

Tidak kurang juga ada wanita yang terpaksa menanggung kecacatan seumur hidup, kesan parut kekal serta mengharungi trauma yang tidak pernah hilang dari fikiran.

Bagi peragut pula, wanita merupakan sasaran utama mereka kerana berpandangan golongan itu lemah dan mudah ditumpaskan.

Tetapi mereka juga ada kalanya terlupa bahawa bukan semua golongan yang dianggap lemah itu boleh dijadikan mangsa dengan mudah.

Kenyataannya beberapa wanita telah berjaya menghalang perbuatan peragut ini walaupun sebenarnya ia masih dalam jumlah yang begitu kecil.

Sekurang-kurangnya semangat ‘srikandi’ untuk menentang peragut wajar menjadi contoh dan pendorong kepada mana-mana wanita supaya tidak sesekali memberi peluang untuk dijadikan sebagai mangsa peragut.

Biarpun banyak pihak menasihatkan supaya tidak melawan peragut kerana nyawa lebih penting daripada harta benda. Namun, ia bukan alasan untuk membiarkan peragut bermaharajalela tanpa ditentang.

Che Bon merupakan salah seorang wanita yang bersemangat ‘srikandi’ yang langsung tidak memberi peluang untuk peragut merampas beg tangan yang berisi barang kemas bernilai kira-kira RM12,000.

Detik-detik cemas melawan peragut itu walaupun dah berlalu sejak tiga tahun lalu masih lagi hangat di ingatan Che Bon.

“Saya akui masih lagi trauma dengan peristiwa itu dan berharap ia tidak akan berulang lagi,’ katanya’.

Cerita Che Bon, sejak peristiwa itu dia bukan sahaja enggan membonceng motosikal malah dirinya merasa lebih selamat jika menaiki kereta jika hendak keluar dari rumah.


Sementara itu, Noorhuda Ibrahim, 35, pula tidak boleh melupakan pengalaman empat kali diragut.

“Tiga kali beg tangan diragut dan sekali telefon bimbit,’’ kata wanita bertubuh kecil molek ini.

Bagaimanapun katanya, dalam tiga kes ragut itu beliau tidak berbuat apa-apa kerana ia berlaku dengan pantas.

Noorhuda berkata, insiden kali ke tiga telah membuatkan beliau nekad untuk berhempas-pulas berlawan peragut.

“Saya cuba untuk tidak melepaskan beg tangan yang ditarik dari belakang ketika berjalan pulang ke rumah,’’ katanya.

Kata Noorhuda, beliau memang sedar bahaya yang mengundang tetapi semua itu diketepikan selepas dibakar oleh semangat ‘srikandi’ untuk berlawan.

Ketika itu dalam fikirannya, jangan melepaskan begitu sahaja beg tangan tetapi berusaha untuk mempertahankannya.

“Saya puas hati kerana tidak menyerah beg dengan begitu sahaja kepada peragut,’’ katanya yang cedera semasa kejadian itu.

Akibat bergelut dengan peragut, Noorhuda luka teruk di bahagian bahu, lengan dan pinggul.

Katanya, selama sebulan jugalah beliau terpaksa berulang-alik ke hospital untuk menerima suntikan bagi mengelakkan lukanya dicemari kuman.

Jelas Noorhuda, sehingga ke hari ini parut itu jelas kelihatan dan akan mengingatkan beliau terhadap kejadian itu yang dirasakan masih baru berlaku.

Pakaian dalam mewah

Oleh Hidayah Mohammad
hidayah@bharian.com.my
2011/03/09

Mesti sesuai, selesa

CANTIK luar dan dalam adalah kesempurnaan yang sukar dimiliki sesiapa saja. Itu mungkin soal paras rupa dan juga hati. Bagaimana pula dengan soal pemakaian baik luar mahu pun pakaian dalam? Teruja tampil hebat, ada sesetengah wanita gemar berhabisan untuk fesyen pakaian malah tidak kurang juga ada yang sanggup berbelanja lebih, hanya untuk pakaian dalam. Jangan terkejut jika ada wanita yang sanggup berhabisan mengeluarkan belanja lebih hanya untuk membeli pakaian dalam berjenama mewah dan cantik walaupun bukan menjadi tatapan umum.

Bukan lagi perkara pelik, wanita setiap peringkat umur, lebih-lebih lagi yang memiliki kerja hebat mampu mengeluarkan belanja membeli pakaian dalam mewah dan berjenama.

Berbelanja ratusan ringgit hanya untuk sehelai pakaian dalam bukan lagi sesuatu yang luar biasa. Malah, bagi yang kurang berkemampuan, sanggup mengikat perut dan berjimat, hanya untuk memiliki baju dalam berjenama yang diminati.

Bagi kebanyakan wanita, pakaian dalam yang menarik dan mahal mampu menyuntik keyakinan serta menyerlahkan lagi keanggunan wanita.

Selain cantik, siap berenda dan tampak mewah, jenis fabrik dan keselesaan turut menjadi sebab mengapa wanita sanggup berhabis untuk pakaian dalam. Lebih penting, kebiasaannya baju dalam mahal lebih tahan lama.

Satu baju dalam yang mahal boleh tahan bertahun-tahun berbanding baju dalam murah yang hanya dapat dipakai, mungkin hanya beberapa bulan dan apabila dikira dari segi kos, lebih menjimatkan membeli satu baju dalam mahal daripada beberapa baju dalam yang murah harganya.

Namun, ada juga keluhan terutama daripada wanita bertubuh dan payudara besar, kononnya pakaian dalam untuk mereka kurang menarik. Tidak banyak pakaian dalam yang menarik, tidak seperti baju dalam untuk wanita bertubuh atau payudara sederhana.

Hakikatnya, banyak pilihan menarik terbentang buat wanita di luar sana, tidak kira bertubuh kecil atau tidak, payudara kecil, sederhana atau besar. Banyak pembuat pakaian dalam wanita berjenama, tidak mengetepikan keperluan wanita bertubuh dan memiliki payudara besar.

Namun, apa yang lebih penting, keselesaan pakaian dalam perlu menjadi perkara pertama dalam memilih pakaian dalam. Perkara ini harus diberi keutamaan kerana baju dalam ibarat kulit kedua, yang melekat pada tubuh selama lapan hingga 12 jam sehari, malah hingga 24 jam sehari.

Seperkara lagi, pakaian dalam bukan hanya perlu selesa dari segi fabrik yang digunakan, malah memberi keselesaan dalam aspek sokongan pada payudara.

Tidak guna memakai pakaian dalam yang mahal, cantik dan tampak mewah tapi tidak mampu menyokong payudara hingga payudara nampak kendur, londeh dan tidak menarik!

Seksi dalam fabrik warisan

KOLEKSI pakaian dalam, pakaian renang serta pakaian tidur biasanya lebih tertumpu kepada mainan fabrik seperti satin, lace, renda dan jersey. Namun, jarang atau mungkin belum pernah ada koleksi berkenaan bermotifkan batik dan songket. Konsep berkenaan adalah satu kelainan selain unik dalam usaha mengembangkan keunikan fabrik warisan tempatan.

Dibawa oleh jenama yang baru bertapak, June Saira Lingerie menawarkan koleksi pakaian dalam bermotifkan batik di bawah label Batik Lingerie. Menerusi tagline “Be Sexy with Heritage” (Seksi dengan Warisan) sudah cukup mencerminkan gabungan motif batik dalam himpunan pakaian dalam untuk wanita berani, yang sering mahu tampil menyerlah dengan penampilan seksi.

Pemilih jenama itu, June Ramli, berkata ia sebagai satu kelainan memperkenalkan koleksi pakaian dalam berunsurkan sejarah seni warisan Melayu. Pemilihan batik dan songket antara lain bagi mempromosikan fabrik kebanggaan Malaysia menerusi cara yang belum difikirkan sebelum ini.

“Saya rasa menggunakan fabrik batik pada pakaian dalam juga boleh dipakai wanita setiap hari tanpa mengira cuaca,” katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

June Saira Lingerie adalah koleksi yang bermotifkan kontemporari Asia. Rekaan dan motif pakaian dalam June Saira Lingerie berdasarkan motif bunga-bungaan, haiwan mistik keindahan serta alam semula jadi. Contohnya, burung garuda, naga, ikan laga, bunga orkid dan motif wayang kulit.

Fabrik yang dipakai untuk koleksi June Saira Lingerie pula adalah mesh dan satin sebagai pilihan kedua selepas batik. Dalam rangkaian itu juga terdapat koleksi pakaian renang yang cantik dan terang. Mainan rona warna dalam jenama itu juga pelbagai. Ada yang didatangi dengan warna lembut ada juga yang terang dan menyerlah.

June mensasarkan dan dalam usaha untuk menembusi pasaran tempatan terlebih dulu dengan membuka ruang niaga di beberapa gedung beli-belah yang ada. Namun, katanya, ketika ini beliau memerlukan ejen bagi menjual produk June Saira Lingerie.

Koleksi June Lingerie boleh didapati dan dilihat menerusi laman web sosial Facebook -June Saira Lingerie. Untuk sebarang pertanyaan, e-mel junesairalingerie@gmail.com.

Mewah dengan Valisere

MENGGABUNGKAN elemen ‘chic moden’ dan berani dengan pintalan vintaj Eropah, jenama pakaian dalam mewah, Valisere menawarkan koleksi mewah, Murmure, Jardin, Amoureuse dan Envouter. Tiga himpunan mewah adalah rekaan yang menepati keinginan romantis sempena musim bunga/panas 2011.

Menyaluti keperibadian feminin pada tahap paling sofistikated, koleksi Valisere diperbuat daripada fabrik, corak dan cetakan geomatrik yang memukau gaya mewah dengan mencipta koleksi yang bercirikan halus dan berani.

Bagi peminat tegar renda mewah, siri Valisere Murmure dicipta untuk memberi inspirasi dan membangkitkan naluri semula jadi dengan corak memukau dalam tona hangat dan jarang, dikemaskan bersama renda seksi. Kehalusan sulaman menyemarakkan asmara serta rasa mewah pada kulit terutama pada rekaan corak fabrik trikot dan lurex yang berkilat serta cetakan timbul berbintik-bintik dengan sekuin logam sekali gus mencipta penampilan berharga dan mewah bagai kulit kedua.

Lapisan kain satin dan tulle dalam kombinasi rona arang, hitam dan nude secara artistik dipadankan dengan sulaman geomatrik kukuh dan renda guipure mengetengahkan visi kelembutan dan magnetik.

Selain itu, untuk kenakalan romantik lagi nostalgik, manjakan diri dengan sulaman floral jitu dengan visi romantis ala taman dengan haruman flora segar untuk siri Valisere Jardin dan Amoureuse.

Sebahagian daripada koleksi memukau itu ialah baju jarang negligee Valisere yang seksi dengan potongan satin dan tekstur renda. Kelembutan acuan dihiasi dengan motif dan rekaan Euphoria memberikan gaya mewah.

Semua koleksi itu boleh didapati di pusat beli-belah terpilih seperti Isetan, Parkson, Robinsons, Metrojaya dan Empire Subang Gallery (butik Triumph).

INFO

Warna pakaian dalam dan anda

Hitam dan merah:
Mewakili keunggulan, kesungguhan dan kehangatan diri.

Hitam dan kuning:
Membawa erti ‘perasaan panas’ dan ‘suasana hangat’ atau petanda ‘berbahaya’.

Merah jambu:
Mewakili sifat feminin dan diri wanita yang sopan. Ia juga melambangkan daya kekuatan cukup bertenaga untuk menarik perhatian dalam kelembutan.

Putih:
Menggambarkan kesucian serta nilai ringkas dalam diri wanita berkenaan selain mewakili sikap jujur dan tulus. Ia membantu menyejukkan minda, jiwa dan perasaan.

Tip memilih baju dalam sesuai

* Tali bahu mestilah cukup besar untuk menampung dan menyokong payudara iaitu sekurang-kurangnya 19 milimeter (mm) lebar bagi mereka yang bertubuh besar dan payudara besar. Bagi yg bertubuh besar tetapi mempunyai payudara kecil atau sederhana, pilihlah tali bahu antara 13 mm hingga 16 mm.

* Mangkuk atau acuan baju dalam yang paling sesuai untuk mereka yang bertubuh besar dan memiliki payudara besar sewajarnya memberi liputan sepenuhnya. Ia memastikan payudara kemas dan tidak terbuai apabila bergerak atau berjalan.

* Bagi wanita yang bertubuh besar dan mempunyai payudara sederhana, disarankan memilih mangkuk penuh. Mangkuk tiga suku juga boleh dikenakan tetapi pilih saiz baju dalam yang besar.

* Sayap belakang juga mestilah cukup lebar supaya tisu pada bahagian belakang tidak membojol dan berat payudara dapat diseimbangkan dan menghasilkan garis ukur lilit yang selari antara bahagian depan dan belakang baju dalam. Ini turut membantu memperbaiki postur tubuh.

Sumber: www.cikedis.com

Selasa, Mac 08, 2011

Tak gentar dilambung badai

Teks dan gambar Kusyi Hirdan
Harian Metro


SETIAP pagi dia menghantar anaknya ke sekolah dan selepas itu dia ke laut pula menangkap ikan. Dia nelayan yang agak jarang ditemui kerana dia adalah nelayan wanita!

Ramai yang tidak tahu nama sebenarnya ialah Fauziah Yahya kerana dia sering dipanggil sebagai Siah. Siah dan abangnya, Isa sering bekerja sama mensasarkan tangkapan ketam, ikan bebolos dan udang lantas itu membuatkan orang kampung mencari mereka sekiranya mahukan ketiga-tiga hasilan laut itu.

Siah, 34, memang masih muda tetapi pengalamannya ke laut agak banyak kerana ia bermula sejak kecil.

Anak ketiga daripada lapan beradik itu mula mengikut arwah bapanya ke laut ketika usianya 10 tahun. Ketika itu mereka sekadar menggunakan sampan berdayung, tidak berenjin seperti sekarang. Memang Siah anak yang rapat dengan arwah bapanya.

Pengalaman yang ditimba itu membuat Siah arif mengenai laut. Bukan sahaja mengenai hasilan laut tetapi perkara yang berkaitan seperti angin, ribut, jaring, bot dan cerita alam yang lain. Manakan tidak, laut terletak betul-betul di belakang rumah ibunya.

"Pada setiap hasil laut, jenis jaring sentiasa berbeza. Jaring untuk ikan bebolos contohnya, bentuknya lebih halus, panjangnya 900 meter, saya boleh siapkan dalam masa dua hari sahaja.

"Jaring udang pula lebih pendek, satu hari tiga keping boleh siap," cerita Siah sambil menambah, dalam tempoh dua minggu, dia boleh menyiapkan 20 keping jaring.

Menurutnya, jaring kena selalu ditukar kerana cepat rosak dan menghasilkannya sendiri lebih berbaloi kerana jaring sedia ada yang dibeli ada kalanya agak mahal.

Dunia orang laut selalunya difahami oleh orang laut sahaja. Sebagai orang yang asing mengenai dunia laut, memang seronok mendengar dia bercerita mengenai pengetahuan dan pengalamannya.

"Kena kenal pasti sama ada air kecil atau air besar. Begitu juga sama ada arus ada atau tidak. Biasanya sekiranya air tiada arus, ikan tiada.

"Kalau air besar, ada rezeki untuk kami. Begitu juga teknik menebar jaring. Ketam di bahagian tepi dan jaring ditebar melintang. Ikan bebolos pula ditebar menegak dan ke tengah sedikit," katanya.

"Pergi ke laut kena tengok keadaan air. Air surut waktu yang sesuai untuk memulakan kerja kerana walaupun surut, ikan lebih banyak. "Paling kurang setiap kali kami mendapat tujuh hingga lapan kilogram sehari. Ikan bebolos dijual RM10 sekilogram," katanya.

Menurut emak Siah, Halimah Baba, 61, mungkin disebabkan arwah suaminya dahulu seorang nelayan maka semua anak-anaknya suka ke laut walaupun mereka ada pekerjaan lain. Sekiranya tidak ke laut pun ada yang minat memancing.

Halimah sendiri mengusahakan ikan kering untuk dijual kepada orang kampung. Pelbagai ikan digunakannya seperti anak tamban dan gelama.

"Ikan direndam air garam dahulu kemudian dijemur sehingga kering. Tempoh mengering mengambil masa tiga hingga empat hari dan mesti di bawah cuaca yang benar-benar panas.

"Dahulu kami mempunyai dua bot tetapi sekarang tinggal sebuah sahaja kerana dicuri orang. Kenalah tempah yang baru.

"Dahulu sebelum bot hilang, enjin pun pernah hilang. Inilah cabaran sebagai penangkap ikan. Jaring koyak dan sebagainya adalah rempah ratus kehidupan sebagai nelayan," katanya.

Di laut, berada di atas bot masing-masing, nelayan saling bertegur sapa dan kenal mengenali. Memang ada yang terkejut melihat seorang perempuan berada di tengah laut menangkap ikan tetapi Siah sudah biasa dengan keadaan itu.

Walaupun melaksanakan kerja jarang dilakukan oleh kaum hawa tetapi orang kampungnya, Kampung Pantai Hilir, Melaka, menganggap apa yang dilakukan ibu dua anak itu sebagai perkara biasa.

"Saya memilih bidang ini kerana memang sangat sukakan laut. Entahlah, tak tahu kenapa tetapi jiwa saya memang sangat menyukai laut.

"Pernah mencuba bekerja dengan orang tetapi rasanya tidak sesuai dengan jiwa saya. Laut juga yang saya ingat selalu.

"Dari dahulu lagi, balik sekolah saya mesti mengikut bapa ke laut. Begitu juga selepas balik kerja. Jadi lebih baiklah saya buat pekerjaan ini," katanya sambil merenung laut yang redup di hadapan kami.

Ke laut menangkap ikan ternyata dunia yang dicintai wanita bertubuh kecil ini. Kerjanya bukan mudah bagi kebanyakan wanita, menolak bot ke laut, mengemudi dan kemudian menebar jaring. Ia memerlukan kemahiran dan pengalaman tinggi tetapi Siah berjaya melakukannya.

Suaminya, Mohd Nazri Husin, 37, dahulu pernah tidak membenarkan Siah ke laut kerana bimbangkan keselamatannya tetapi apabila dia tetap meminta izin akhirnya si suami membenarkan.

"Cuma waktu mengandung saya berhenti seketika ke laut tetapi selepas itu sambung semula. Ketika mengandung itu saya menolong kerja membersih ikan dan membantu emak membuat ikan masin.

"Anak perempuan saya juga nampaknya mempunyai minat sama seperti saya. Suka sangat ke laut," katanya.

Laut bukan sahaja tempat Siah menambah rezeki tetapi hatinya seronok, puas dan gembira berada di situ. Membesar dalam keluarga nelayan, pengalaman Siah memang pelbagai, antaranya dia pernah karam apabila bot dinaiki bersama arwah bapanya dipukul ombak.

"Ketika itu saya berumur 10 tahun dan ingat lagi, saya kena berenang ke tepi untuk menyelamatkan diri," katanya.

Belum lagi kisah dilanda ribut yang melandanya tiba-tiba.

"Waktu pergi air tenang dan cuaca baik. Tiba-tiba sahaja ribut melanda. Terpaksa lari ke pantai selamatkan diri dan potong jaring yang sudah ditebar ke laut.

"Memang bab cuaca susah hendak dijangka jadi kami kena sentiasa bersedia," katanya.

Sekiranya ke laut, Siah membawa peralatan lengkap seperti pisau dan playar kerana itu diperlukan sekiranya perlu memotong jaring di kala kecemasan. Rezeki nelayan memang tidak menentu. Ada kala banyak, ada kala sedikit, ada kala terlalu sedikit.

"Sekiranya terlalu sedikit, ia menjadi makanan keluarga sahaja. Tidak dapat dijual kepada orang kampung. Tetapi biasanya anak ikan sentiasa ada jadi kami boleh membuat ikan kering yang ada pengikutnya sendiri.

"Seronok apabila dapat menaikkan ikan, puas sangat rasa hati," pengakhir kata Siah sambil memeluk anak lelaki bongsunya yang sentiasa manja di sisi.

Isnin, Mac 07, 2011

Kalau dah namanya lelaki

PENGALAMAN pahit yang saya lalui mungkin pernah dirasai oleh kaum wanita lain. Mustahil dalam sesebuah perkahwinan tidak pernah dilanda badai. Namun setiap masalah dapat mematangkan kita dalam berfikir dan bertindak. Saya tak salahkan kaum lelaki, malah ada kes tertentu para isteri sendiri menjadi ibu keladi pembawa masalah dalam rumah tangganya. Oleh kerana itu saya mohon pembaca berfikir secara rasional DCCK minggu ini yang memaparkan kisah hidup saya.

''Saya telah berkahwin selama 18 tahun. Dan sepanjang tempoh itu saya diuji sebanyak dua kali dengan kehadiran orang ketiga. Namun saya tidak menyalahkan pihak ketiga semata-mata, suami saya tetap bersalah dalam hal ini.'' Demikian cerita Nordilaila dalam emelnya.

''Kata pepatah ''bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Hakikat yang perlu diterima oleh setiap lelaki dan perlu dipercayai oleh setiap wanita adalah secantik dan sebaik mana pun isteri yang sah dimiliki, lelaki tetap lelaki. Keinginan mereka untuk memiliki lebih daripada satu isteri untuk mewarnai hidupnya tetap tertanam dalam hati mereka.

''Sebagai isteri, saya cuba sedaya upaya menjadi isteri dan ibu yang baik, walaupun bukan paling sempurna kerana hanya Dia sahaja yang Maha sempurna.

''Telahan saya benar. Lapan tahun lepas, ketika saya sibuk menyiapkan ijazah sarjana muda atas permintaan suami, yang mahu saya terus maju, rupa-rupanya ketika itu dia sudah ada perancangan dalam hatinya, kerana dia sedang mengulit cinta dengan gadis berusia 22 tahun.

''Peristiwa itu tidak saya ketahui dan tidak terbongkar hinggalah cuti akhir semester, saya pulang ke rumah untuk berehat kebetulan saya diserang demam panas. Saya pulang dengan harapan suami dapat melegekan sedikit deman saya, malangnya suami tetap mahu keluar meninggalkan saya untuk berjumpa buah hati. Pelbagai alasan diberi membohongi saya.

''Walaupun deman, naluri seorang isteri memang kuat entah macam mana tergerak hati saya untuk melihat bil telefon. Saya nampak nombor yang amat popular sentiasa didail oleh suami saya ada antaranya berjumlah lebihi RM60 untuk satu panggilan. Pembaca bayangkan berapa jam mereka berbual.

''Saya memberanikan diri mendail nombor tersebut. Dan tembelang suami saya pecah. Rasa kecewa dan hampa menyelubungi hati saya. Saya tanya suami apa silap dan salah saya, katanya saya tak buat silap apa pun. Habis mengapa main-main cinta dengan wanita lain?

''Selepas peristiwa itu sudah amat sukar untuk saya percayakannya lagi. Jiwa rasa terseksa. Namun demi anak-anak, saya teruskan juga perkahwinan ini walau hati terluka.

''Suami selepas mohon maaf dan berjanji dengan nama Allah dia tidak akan mengulanginya lagi. Selepas itu, dia meneruskan hidup seperti biasa, tanpa sedikit rasa bersalah.

Kenangan

''Selepas itu dunia saya aman seketika. Awal 2010, kami menerima berita gembira akan kehadiran seorang lagi cahayamata. Saat itu, saya mula melupakan apa yang telah suami saya lakukan sebelumnya. Di samping saya sentiasa berdoa moga saya mampu melupakan terus kenangan buruk itu. Dan amat penting suami insaf atas kecurangan yang dilakukannya.

''Tetapi entah mengapa ketika hamil itulah hati saya kembali merasa sangsi. Naluri seorang isteri memang tepat, walaupun saya cuba buang rasa sangsi itu jauh-jauh dari lubuk hati saya. Dan saya sentiasa ingatkan suami agar jangan ulangi perbuatan melukakan hati saya lagi.

''Rupa-rupanya saya diuji lagi. Saya jumpa beberapa gambar suami bersama rakan sekerja yang mencurigakan dalam facebooknya. Bila ditanya, suami menafikan.

''Ketika kandungan sarat tujuh bulan saya temui nota suami kepada rakan pejabatnya. Mereka berbalas- balas mencurahkan rasa cinta yang cukup mengguris hati saya.

''Saya mohon penjelasan, suami nafikan. Lihatlah, betapa butanya lelaki bila berdepan dengan cinta sedikit pun tiada rasa belas melihat isteri sedang sarat mengandungkan zuriatnya. Tapi akhirnya dia mengaku, hubungan mereka sudah lama akrab. Suami mengaku bila saya minta dia hubungi wanita tersebut. Perkataan 'sayang' lahir dari mulut suami memanggil kekasihnya. Pembaca bayangkan perasaan saya ketika itu!

Saya mohon suami ke syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan perincian bil.

''Saya terkejut bila lihat dalam sebulan suami menghantar 840 sms seawal 6.40 pagi hingga 2 pagi keesokkan harinya kepada kekasihnya, berbanding 18 sms kepada saya sebulan.

Hati saya hancur berkecai. Saya rasa amat teraniaya. Kami mendapatkan nasihat Pejabat Agama dan ibu bapa, tetapi belum mampu menyakinkan saya bahawa suami benar-benar akan berubah .

''Secara jujur saya tidak takut untuk berpisah jika itu jalan terbaik buat kami. Namun dia tidak rela melepaskan saya dan mohon diberi peluang kerana selama hidup bersama, saya secara ikhlas menampung sebahagian besar perbelanjaan keluarga tanpa ungkitan.

''Saya rasa terlalu penat. Tapi demi anak-anak dan bayi yang bakal lahir, saya perlu kuat. Apa yang saya lakukan kini, berserah sepenuhnya kepada Allah S.W.T untuk perjalanan rumah tangga kami seterusnya kerana Dia-lah yang Maha Tahu apa yang telah, sedang dan akan berlaku. Apa yang jelas, saya hanya mahu bersama anak-anak yang menjadi sumber kekuatan saya. Untuk suami, saya hanya berserah kepadaNya moga dia bertaubat dan insaf.

''Kepada gadis-gadis yang asyik mengulit cinta dengan suami orang, satu sahaja pesanan saya apa yang anda lakukan hari ini mungkin akan anda lalui suatu hari nanti kerana anda akan berkahwin, jadi seorang isteri dan ibu. Allah itu Maha Adil.

'Bermadu' anak sendiri

Oleh Hadzlihady Hassan dan Noozleyantie ‘Alia Adnan
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hati wanita mana tidak terguris apabila melihat suami sedang berasmara dengan anak kandungnya di dapur rumah ketika dia baru pulang dari hospital selepas menjalani rawatan pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

Biarpun kejadian itu dua tahun berlalu, situasi ibarat ‘bermadu dengan anak sendiri’ menyebabkan dia yang mahu dikenali sebagai Azie amat kecewa kerana hatinya disakiti dua insan paling disayangi.

Azie, 30-an berkata, hidupnya tidak menentu selepas melihat perbuatan bekas suaminya yang mengambil kesempatan terhadap anak tiri.

Menurutnya, anak gadisnya yang ketika itu berusia 15 tahun anak sulung hasil perkongsian hidup dengan suami pertama yang dikahwini pada 1994 sebelum bercerai lima tahun kemudian.

“Hasil perkahwinan itu, saya dikurniakan dua anak. Seorang lagi anak lelaki yang kini berusia 13 tahun. Selepas bercerai, kedua-dua anak itu dijaga nenek mereka di pantai timur,” katanya.

Menurutnya, selepas tiga tahun menjanda, hatinya ditambat seorang lelaki berusia 40-an dan mereka melangsungkan perkahwinan pada 2002.

“Perkahwinan kali kedua ini pada awalnya bahagia dan kami mendapat dua anak masing-masing seorang lelaki yang kini berusia lapan tahun dan perempuan berusia lima tahun.

“Namun, kebahagiaan itu mula tergugat sedikit demi sedikit selepas saya mengambil dua anak dengan suami dulu tinggal dengan kami di ibu kota,” katanya.

Menurutnya, ketika anak gadisnya berusia 13 tahun, dia sudah mula mencurigai sikap suami yang seolah-olah cuba mengambil kesempatan terhadap anaknya itu.

“Saya pernah terserempak suami yang berada dalam bilik anak dan dia cuba meraba anak saya yang ketika itu tidur.

“Bagaimanapun, ketika ditanya dia membuat alasan mahu menghalau nyamuk dan saya mendiamkan diri kerana enggan bergaduh selain tidak mahu anak lain tahu,” katanya.

Menurutnya, kejadian itu makin menjadi-jadi apabila anak gadisnya berusia 15 tahun dan pernah anaknya itu demam teruk dan meminta dibawa ke klinik.

“Ketika dalam perjalanan ke klinik, baru anak saya menceritakan kejadian sebenar yang dia sudah beberapa kali menjadi pemuas nafsu suami, namun tidak berani menceritakannya kepada sesiapa kerana diugut bapa tirinya itu.

“Saya membawa anak saya ke balai polis untuk membuat laporan rogol kerana anak masih di bawah umur,” katanya.

Azie berkata, suami keduanya itu juga seorang yang panas baran dan suka memukulnya dan anak-anak, namun hanya anak sulung yang dijadikan hamba seks itu tidak dipukul.

“Lebih mengecewakan apabila suami memukul dan memijak perut saya walaupun ketika itu saya baru tiga hari selesai menjalani pembedahan kerana mengandung di luar rahim.

“Mungkin dia bertindak begitu kerana marah selepas saya ternampak dia berasmara dengan anak ketika mereka di dapur,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian itu, anak lelaki keduanya turut menceritakan yang dia pernah terserempak kakaknya beberapa kali masuk ke bilik bapa tiri sebelum keluar dua hingga tiga jam kemudian.

“Bagaimanapun, anak saya itu tidak berani menceritakannya sebelum ini kerana takut dipukul suami yang panas baran, malah dia pernah diseksa dengan diterbalikkan kepala ke bawah kerana mengetahui hubungan bapa tiri dengan kakaknya itu.

“Selepas mendengar semua cerita dan mengetahui apa yang berlaku ditambah dengan apa yang saya lihat, saya meminta cerai dan kami berpisah Ogos tahun lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Azie kini buntu apabila anak gadisnya itu yang kini berusia 17 tahun menghilangkan diri sejak enam bulan lalu dan dia syak kemungkinan bekas suaminya mengambil anaknya itu.

“Saya sudah membuat laporan polis berhubung kehilangan anak dan syak bekas suami melarikannya kerana saya tahu dia bijak memujuk.

“Tidak mustahil anak gadis saya mengikutnya kerana dia masih mentah dan mudah termakan pujuk rayu bapa tirinya,” katanya.

Jumaat, Mac 04, 2011

Anda kategori mana?

Oleh Siti Nur Almizan Aripin
snur@bharian.com.my
2011/03/04


Lelaki bimbit tas tangan wanita : Tak macho tapi nampak seperti budiman

RAMAI lelaki cuba menonjolkan sifat budiman sama ada melalui tingkah laku, pertuturan, penampilan atau etika diri dengan pelbagai sebab dan alasan paling kerap dilakukan tentunya untuk kelihatan menarik di mata wanita. Gelagat golongan Adam berlagak ‘gentleman’ yang biasa dilihat terutama di dalam kelompok lelaki Asia adalah aksi mereka menjinjit tas tangan milik isteri atau teman wanita ketika membeli-belah.

Pertolongan dihulurkan itu kelihatan tulus ikhlas tapi kadangkala boleh mengundang rasa jelak daripada khalayak mungkin kerana pelakunya banyak terdiri daripada golongan di bawah umur.
Namun, tidak ada hukum mengatakan ia dosa atau salah tapi tetap ada yang mencemuh mungkin kerana nampak seperti tidak kena gaya.

RATU cuba merungkai isu itu dengan mendapatkan pandangan daripada wanita sendiri, mungkin boleh dijadikan panduan bagi golongan lelaki.

Sokong
Pelajar, Hafieza Ariffin, 22.

“TINDAKAN itu nampak seperti tidak ada salahnya. Kalau lelaki boleh tolong bawakan beg plastik untuk isteri atau kekasihnya sama saja jika dia tolong bawakan beg tangan.

“Konsepnya adalah tolong-menolong. Mana tahu, jikalau beg itu berat sangat dan wanita itu perlukan pertolongan untuk ringankan beban menyandang beg,” katanya.

Suri Rumah, Nor Fazuliana Johari, 22.

“APABILA ada anak kecil, dia memerlukan pertolongan suami untuk membawa tas tangannya tatkala keluar ke mana-mana. Saya suka bila suami tawarkan diri untuk memegang beg kerana dia malas mendukung anak. Jadi, ringan sikit beban lagipun mengendong anak dan beg sekali gus tentunya boleh mengundang masalah lain seperti diragut,” katanya.

Tak sokong

Usahawan, Roslawati Ramly, 39.

“MENGAKUI tidak akan sesekali membenarkan lelaki menyandang tas tangannya kerana aksi lelaki sebegitu nampak pelik. Tak macho lelaki begitu malah secara peribadi, saya sendiri tak suka lihat lelaki bimbit tas tangan teman wanita atau isteri kecuali pegang sebentar sementara ingin ke tandas.

“Selalunya anak muda sering bersikap begini mungkin kerana ingin menunjukkan sikap mengambil berat demi untuk memenangi hati teman wanitanya. Tapi bagi saya, untuk kelihatan budiman dan penyayang, lelaki juga perlu kelihatan macho. Jadi, dalam apa juga tindakan, biarlah kena pada tempat,” katanya.

Usahawan, Aff Fridawati Dahlan, 29.

“LELAKI tidak sesuai mengendong tas tangan wanita walau berada dalam apa juga situasi dan tempat. Saya akui, rimas apabila melihat atau berdepan lelaki yang sering menawar diri untuk membawa tas tangan saya apabila keluar bersama.

“Mungkin wanita yang berada di dalam situasi itu terpaksa akur dengan sikap lelaki terutama budak muda yang kononnya mahu tunjukkan sifat budiman. Jika menolak, bimbang dikata tidak menghargai tapi jujur dikatakan, lelaki memang tidak sesuai membawa tas tangan wanita,” katanya.

Khamis, Mac 03, 2011

Ibu jual anak usia 3 tahun

Oleh Mohd Firdaus Ibrahim
mfirdaus@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Ke mana hilangnya naluri keibuan seorang wanita apabila tergamak menjual anak kandungnya yang berusia tiga tahun kepada individu baru dikenali semata-mata kerana wang.

Lebih tragis, wanita terbabit yang berusia 30-an turut bekerjasama dengan anak angkat lelakinya yang berusia 17 tahun membelasah bekas suaminya sehingga cedera selepas lelaki itu marah dengan tindakannya.

Kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang di tempat kerja lelaki berusia 43 tahun itu di Taman Wilayah di Kepong, di sini, Isnin lalu. Difahamkan, kanak-kanak lelaki itu dijual kepada seorang lelaki dengan harga belasan ribu ringgit dan kanak-kanak itu dilaporkan kini berada dalam jagaan keluarga pembelinya di Pahang.

Timbalan Ketua Polis Sentul, Superintendan Zainuddin Ahmad, berkata lelaki itu dalam laporannya memberitahu dia beberapa kali menghubungi bekas isterinya selepas mendapat maklumat wanita terbabit menjual anak mereka.

“Dalam perbualan telefon, bekas isteri mangsa mengaku sudah menjual anak mereka menyebabkan berlaku pertengkaran.

“Pertengkaran itu tidak berakhir di situ apabila bekas isteri mangsa bersama anak angkatnya datang menyerang mangsa di tempat kerjanya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, remaja berusia 17 tahun itu menumbuk muka mangsa beberapa kali sebelum mendakwa tidak takut kepada bapa angkatnya itu selain berani berdepan pihak berkuasa.

“Selepas itu, remaja terbabit memberikan amaran kepada mangsa supaya tidak campur tangan dalam urusan mereka. Bekas isteri dan anak angkat itu kemudian meninggalkan mangsa,” katanya.

Zainuddin berkata, mangsa membuat laporan polis.

“Kepantasan pihak berkuasa bertindak membuahkan hasil apabila bekas isteri mangsa dan anak angkatnya itu ditahan kurang sejam selepas laporan polis diterima berhampiran rumah mereka.

“Berdasarkan maklumat awal, kanak-kanak terbabit kini dilaporkan berada di Pahang dalam jagaan satu keluarga yang didakwa membelinya,” katanya sambil memaklumkan kes itu disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Pemerdagangan Orang 2007.

Menurutnya, wanita terbabit dan anak angkatnya kini direman tiga hari bagi membantu siasatan.

Difahamkan, pasangan suami isteri terbabit bercerai kira-kira setahun lalu dan tindakan wanita itu menjual anak kandungnya untuk mendapatkan wang dipengaruhi anak angkatnya berikutan dia tiada pekerjaan tetap.

Sementara itu, Zainudin menasihatkan orang ramai yang tidak mampu menjaga anak mereka supaya menggunakan saluran betul untuk menyerahkan zuriat itu untuk jagaan pihak lain dan bukan menjual anak mereka seperti barang dagangan.

Rabu, Mac 02, 2011

Cari kerja dalam pantang

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


MENCARI kerja semasa masih dalam pantang memang jarang dilakukan wanita namun itu antara pengalaman wanita cekal ini bagi memastikan seisi keluarganya tidak terabai.

Walaupun baru tiga minggu melahirkan anak kelapan, Aslina Ambong, 39, sanggup meninggalkan bayi perempuan comelnya semata-mata untuk mencari kerja.

Namun, dia sangat bernasib baik kerana di kawasan perumahan yang didiaminya terdapat kilang pembuatan roti yang memerlukan kakitangan baru. Lantas, lega sedikit hatinya meninggalkan bayi yang masih kecil itu.

Sebelum ini, Aslina menyara keluarga dengan mengambil upah menjahit baju secara kecil-kecilan walaupun hasil yang diperoleh hanya sekadar cukup makan.

“Hasil pendapatan menjahit baju itu saya gunakan untuk menyekolahkan anak dan membeli keperluan harian bagi kegunaan kami sekeluarga.

“Selagi kudrat masih ada saya akan pastikan anak mendapat segala keperluan tumbesaran sewajarnya walaupun tidak semewah orang lain,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Bukit Angsana, Cheras, baru-baru ini.

Bagaimanapun katanya, dia bernasib baik kerana anak-anaknya tidak pernah bersungut ataupun meminta lebih daripada apa yang mampu diberikan kerana mereka memahami kesusahan dan kepayahan yang dialami ibunya.

Walaupun kini hanya tujuh anak yang tinggal bersamanya manakala anak kedua dipelihara neneknya sejak kecil, ia tidak pernah membebankan Aslina.

“Ketika saya bekerja anak-anak akan menjaga diri mereka sesama sendiri selepas balik sekolah. Ayah mereka juga mengawasi pergerakan mereka.

“Saya bernasib baik kerana memiliki anak yang memahami keperitan ditanggung ibu mereka demi mencari sesuap nasi. Saya berharap mereka akan berjaya dalam pelajaran kerana hanya itu yang boleh diberikan untuk kesenangan di kemudian hari nanti,” katanya.

Selain itu, dugaan dihadapi Aslina tidak hanya membabitkan sumber kewangan kerana anak ketujuhnya pula hingga kini masih belum memiliki surat beranak.

“Ia berlaku kerana ketika melahirkan anak, suami saya tidak memiliki wang untuk menjelaskan bil perubatan hospital hingga menyebabkan proses pendaftaran anak mengalami sedikit masalah.

“Hingga kini selepas lima tahun berlalu, ia masih dalam proses pendaftaran dan saya tidak pasti bila anak saya akan memiliki surat beranak,” katanya.

Sementara itu, suaminya, Azhar Abdul Aziz, 42, pula tidak mampu untuk melakukan kerja berat dan mengambil alih tugas menguruskan rumah tangga sekiranya isterinya keluar bekerja.

Dia yang mengalami masalah tidak memiliki lubang najis sejak kecil tidak mampu melakukan kerja berat kerana kudratnya membataskan pergerakannya.

Menurutnya, dia perlu mengawal diet pemakanan yang diambilnya dan menjauhi hidangan yang keras seperti daging dan hanya boleh menjamah makanan lembut.

“Jika tidak, makanan yang dimakan itu tidak boleh dihadam dan akan tersekat di usus. Ini menyebabkan saya termuntah hingga mengeluarkan ‘bahan perkumuhan’ melalui mulut.

“Malah, saya juga tidak boleh tersedu kerana ia boleh menyebabkan saya memuntahkan bahan perkumuhan juga melalui mulut.

“Bagaimanapun, saya cukup bersyukur kerana semua anak saya normal dan tidak mengalami masalah kesihatan sama seperti saya,” katanya.

Selain itu, Aslina berkata, tidak salah bersusah sekiranya apa yang diperoleh adalah daripada kerja yang halal kerana dia tidak mahu meminta-minta mengharapkan simpati orang lain tanpa berusaha sendiri.

“Saya sentiasa berfikir, jika saya susah ada orang lain yang lebih susah daripada saya. Sekurang-kurangnya saya tetap boleh makan dan membeli pakaian walaupun tidak sekerap orang yang lebih berada.

“Semua itu tidak menjadi masalah kerana bagi saya sekiranya anak gembira dan makan pakai mereka lengkap itupun sudah memadai,” katanya.