#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Rahsia Hidup. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Rahsia Hidup. Papar semua catatan

Selasa, Jun 28, 2011

'Teman baharu rupanya madu saya'

Membuka tirai sembang minggu ini, saya paparkan keluhan hati seorang isteri nun jauh di luar negara yang ingin berkongsi cerita kehidupannya yang sudah tiada ertinya lagi di sisi suami.

Melalui sepucuk surat dan kemudian panggilan telefon kepada saya dalam jarak beratus-ratus ribu batu jauhnya, wanita ini ternyata benar-benar sudah kecewa dan membawa diri untuk mengubat hatinya bersama anak-anak.

Biarlah saya namakan dia sebagai Samiha, berusia awal 50-an dan mempunyai dua orang anak lelaki. Kita ikuti cerita seterusnya mengenai rumah tangga Samiha.

"Kadang-kadang sungguh pun kita berusaha menjaga hati dan perasaan suami, tetapi suami masih mencari lain atau kahwin diam-diam tanpa pengetahuan kita.

"Namun sepandai-pandai tupai melompat akan jatuh ke tanah juga akhirnya. Rahsia saya dimadukan akhirnya terbongkar setelah 10 tahun saya ditipu suami.

"Saya berkahwin selama 20 tahun dengan seorang pegawai kanan di sebuah jabatan kerajaan. Disebabkan anak belajar di luar negara, saya menyertai sebuah kelab wanita untuk menghilangkan rasa bosan. Tidak pula saya sangka, kehadiran saya di kelab itu telah menjadi tamparan hebat buat saya untuk terus hidup.

"Melalui kelab inilah, saya mengetahui suami telah menduakan saya tanpa pengetahuan saya.

"Semuanya bermula apabila ketua kelab ini menjemput seorang tetamu khas untuk mengajar kami membuat masakan Arab.

"Perempuan ini seorang yang bergaya, cantik dan bijak berbicara. Saya juga terpegun dengan penampilannya.

"Entah macam mana di antara ramai ahli, dia memilih saya sebagai teman rapatnya. Bukan sahaja di kelab, setiap kali bermain boling, dia akan dimasukkan di dalam pasukan saya.

"Hubungan kami tambah mesra dan setiap dua minggu sekali kami keluar bersama membeli-belah atau minum. Bagaimanapun, kami tidak pernah berkunjung ke rumah antara satu sama lain kerana dia tinggal di kawasan M dan saya pula di kawasan K.

"Satu hari kami ke sebuah restoran kuih muih tradisional di sebuah kompleks membeli-belah dan dia memesan beberapa jenis kuih tradisional untuk satu majlis katanya. Peliknya kuih tersebut sama seperti yang saya selalu beli untuk suami, kedai juga sama.

"Dia juga memberitahu, tidak menjemput ramai tetamu hanya lapan orang sahaja termasuk saya. Mujur pada hari dia menjemput ke rumahnya untuk majlis tersebut, saya ada urusan lain yang penting.

"Hendak dijadikan cerita pada petang yang sama, saya ke kediamannya untuk mengambil biskut Arab yang saya tempah. Itulah kali pertama saya ke rumahnya. Memang kondo itu sangat cantik dengan dekorasi yang kreatif. Secara kebetulan, petang itu hujan lebat. Semasa dia menyediakan kopi, saya ke beranda untuk melihat pemandangan Lembah Klang.

"Tiba-tiba saya ternampak tiga helai baju berjenama dan baju Melayu warna mustard tersidai di situ, semuanya warna yang terang.

"Saya membelek saiznya, di dalam hati berdetik, ini baju yang saya beli untuk suami. Saya cam sangat baju Melayu ini kerana ia memang baju kegemaran suami saya setiap kali dia hendak bersolat Jumaat.

"Saya yakin 100 peratus ia baju kepunyaan suami, kerana saya yang membelinya. Memandangkan saya masih di rumah orang, saya mengawal perasaan seperti tidak ada apa yang berlaku.

"Di dalam perbualan kami, dia memberitahu telah berkahwin 10 tahun dan merahsiakan perkahwinannya kerana tidak mahu popularitinya terjejas.

"Menurut cerita, suaminya seorang ahli perniagaan yang berjaya di utara dan hanya balik setiap dua minggu sekali, itu pun tidak tentu masa.

"Katanya lagi, tidak lama lagi genap usia suaminya 50 tahun. Itu sebab, dia hendak mengadakan majlis kecil-kecilan untuk suaminya.

"Saya pulang ke rumah dengan perasaan yang kecewa. Hati saya kosong mengenangkan apa yang berlaku. Mungkinkah dia madu saya? Hati saya tertanya-tanya.

"Apabila suami balik, saya buat seperti biasa dan bertanya di mana baju-bajunya. Jawab dia, tertinggal di rumah kakaknya dengan alasan senang apabila hendak solat Jumaat.

"Dia masih berlakon di hadapan saya setiap kali saya ajukan soalan. Bila dikenang kembali katanya yang tiap-tiap minggu dia berada di utara, hati saya menjadi hancur sebab selama ini rupanya dia berada di rumah teman saya yang kini telah sah menjadi madu saya.

"Lalu teringat saya kenapa dia minat sangat dengan drama TV sebab isterinya berlakon, begitu juga majalah, rupanya gambar isterinya ada terpampang di dalamnya.

"Memang orangnya cantik tidak dinafikan berbanding dengan saya, macam langit dengan bumi jauh berbeza.

"Bagi mengubat hati yang lara, saya bercuti ke luar negara. Saya amat sedih dan kecewa kerana telah ditipu suami selama 10 tahun. Saya tidak salahkan madu saya. Sungguhpun dia seorang selebriti, dia tidak tahu suaminya ada isteri dan anak.

"Buat sementara, perkara ini saya diamkan saja, tetapi apabila ke Malaysia nanti, saya akan membuat keputusan. Tuhan saja yang tahu bagaimana pedihnya hati saya dengan sikap suami. Walaupun pedih, hidup mesti diteruskan. Saya tidak akan membiarkan kelukaan ini menghancurkan hidup dan masa depan saya. Doakan agar saya sentiasa tenang dan damai," Begitu Samiha menamatkan ceritanya.

Ketika membaca surat kiriman Samiha saya amat terkejut dan terkedu seketika. Tidak saya duga akan menerima cerita benar ini yang biasanya hanya ditonton menerusi televisyen.

Akan tetapi, itulah realiti hidup. Segala yang berlaku tidak pernah dirancang manusia. Dunia ini sebenarnya amat kecil dan Tuhan telah menemukan Samiha dengan wanita yang menjadi madunya untuk menunjukkan sikap sebenar suaminya itu.

Selasa, Ogos 17, 2010

Bila orang tua bercinta

TUJUAN saya menulis di ruangan ini bukan nak buka pekung di dada, tetapi ingin mendinginkan dada ini yang sudah lama mendidih macam gunung berapi. Jadi daripada merosakkan jiwa lebih baik saya hamburkan keluar, paling tidak tenang sedikit hati yang bergelora.

''Saya berkahwin lebih 25 tahun, anak-anak semua sudah besar, yang sulung sudah setahun bekerja dan kalau diizinkan Allah kami bakal menerima menantu tahun depan. Tetapi kelakuan suami saya amat memalukan, umur saja tua, rambut putih, tetapi berlagak macam orang muda. Demikian cerita Nilawati dalam e-melnya.

''Suami saya bukanlah berpangkat besar, tetapi dia jadi ketua di jabatannya. Di pejabat, baik kakitangan biasa mahupun pegawai atasan semua panggil dia tuan haji, tetapi kelakuannya tidak seperti yang digambarkan, semakin tua semakin miang.

''Sebelum ini pun pernah dia buat perangai, tapi hilang selepas itu, namun sejak usia masuk peringkat emas perubahan kelakuannya nampak sangat jadi tak senonoh terutama sejak dia pandai terima dan hantar pesanan ringkas (SMS).

''Lama kelamaan dia jadi syok sendiri, ketawa sendiri dan senyum sendiri. Jadi kita fikir tentulah cerita-cerita kelakar dalam SMS tu, kita tak kisahlah.

''Tetapi pepatah Melayu ada mengatakan ''sepandai-pandai tupai melompak, satu hari jatuh juga ke tanah'. Entah macam mana satu hari suami saya tertinggal telefon bimbitnya di rumah. Kebetulan anak sulung saya, Along ada dia pun buka dan baca.

''Dia terkejut bila membacanya, mula-mula baca satu, kemudian dia baca semua yang tersimpan dalam peti simpanan.

''Beberapa hari dia simpan rahsia tak bagi tahu saya, dia tak mahu lukakan hati saya. Dan sejak itu kelakuannya berubah. Dia jadi pendiam, hinggakan nak bercakap dengan teman lelakinya pun dia jadi hilang mood.

Rahsia

''Satu hari Along bercerita, katanya mungkin ayah ada teman wanita. Terkedu saya. Tapi Along suruh saya bersabar, perhatikan kelakuan ayah katanya. Memang kelakuan orang tua bercinta lain sungguh. Jadi tak tentu arah. Hinggakan dia berhenti solat nak jawab SMS. Lepas berjawab-jawab baru dia nak solat semula.

''Satu hari saya tanya suami saya, dia nafikan, dia mengamuk bila dapat tahu saya pandai buka SMS.

''Katanya wanita tersebut bekerja di pejabatnya. Mereka berbincang pasal kerja. Sebenarnya wanita itu bukan kawan sepejabat, tapi kenalan yang berpakat nak buat bisnes, tetapi lama-kelamaan mereka pakat-pakat main cinta. Sedihnya wanita tersebut isteri orang, kerana cinta mereka lupa siapa diri mereka sebenar.

''Bila rahsia sudah terbuka, saya pun jalankan siasatan. Bila dia balik saya minta jawapan dan kepastian dari suami saya, apa lagi tentulah dia berang, mengamuk. Tapi saya tak peduli, sebab tujuan saya nak selamatkan rumahtangga. Tapi lain pula dengan suami saya, dia tuduh saya sengaja nak memalukan dia di pejabat.

''Bila rahsia terbongkar, aman sebulan dia tak hantar SMS lagi. Tapi masuk bulan kedua dia buat hal semula, kali ini lebih teruk lagi, dia hantar SMS tak kira siang mahupun tengah malam. Dia sengaja nak sakitkan hati saya bila dengar bunyi SMS masuk.

''Tambah teruk lagi, kali ini dia bukan setakat hantar SMS, malah bercakap dengan wanita tersebut, siap dengan senyum dan lentuknya. Dia langsung tak ada perasaan malu bila bercakap depan anak-anak yang sudah dewasa. Bila bercakap dia seolah-olah ada dalam pejabatnya sendiri. Macam tak ada orang langsung.

''Kerana dah tak tahan selalu bertengkar dan bergaduh, saya suruh dia kahwin lagi, saya sanggup dimadukan. Tapi dia menolak, katanya berkahwin dua bukan amalan adik beradiknya, jadi sibuk bercinta nak buat apa?

''Akhirnya barulah saya faham dia nak kahwin lagi, tapi bukan berpoligami. Dia cari jalan nak ceraikan saya, dan keluar dari rumah ini. Tapi anak-anak suruh saya bersabar. Kata mereka ayah tengah gila bercinta jadi saya kena sabar.

''Along lagi sedih, sebab dia merancang nak kahwin tahun depan, sekarang ayah pula nak ceraikan saya. Inilah yang menyusahkan fikiran Along.

''Sejak akhir-akhir ini bab pukul memukul dah jadi lumrah dalam hidup saya. Pantang saya minta duit lebih untuk makan minum anak-anak dia mengamuk.

''Peristiwa terbaru dia halau saya keluar rumah semata-mata kerana saya tegur dia pasal membaca dan menghantar SMS ketika sedang makan. Katanya kalau tak suka dengar bunyi SMS, pintu terbuka luas untuk saya keluar. Dia pukul saya sampai terkencing dalam kain dan heret saya keluar rumah.

''Bila anak-anak masuk campur mereka pun dihalau keluar. Riuh rendah rumah dengan tangisan dan jerit pekik. Hilang rasa malu pada jiran. Tapi kami tetap tak keluar rumah. Saya kasihan anak yang tak berdosa pun jadi mangsa. Saya izinkan dia kahwin, tapi jangan seksa saya begini.

''Saya sedar dia jadi sombong kerana dah berpangkat dan berduit, perempuan itu tak mahu berpoligami, dan syaratnya mesti kahwin sebelum dia bersara. Sebabnya tentu anda faham kan? Namun saya tetap tidak akan keluar dari rumah walaupun diceraikan.'' Demikian cerita Nilawati panjang lebar.

Selasa, Julai 27, 2010

Isteri curang bijak simpan rahsia

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM
KOSMO - Rencana Utama


KISAH isteri curang atau suami menangkap isteri berkhalwat dengan lelaki lain semakin kerap dilaporkan media kebelakangan ini.

Kes terbaru berlaku di Kuantan, Pahang, 5 Julai lalu. Seorang suami, dikenali sebagai Muhammad yang mengesyaki isterinya bermain kayu tiga bertindak memasang perangkap dengan pihak penguat kuasa Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menurut Muhammad, pada mulanya beliau tidak mengesyaki apa-apa kerana wanita itu sibuk dengan perniagaan butiknya.

“Namun, saya sendiri yang menangkapnya ketika dia berdua-duaan dengan seorang lelaki lain di sebuah bilik sewa yang terletak di atas sebuah restoran,” cerita beliau.

Bagi Halim (bukan nama sebenar) pula, dia tidak menyangka isterinya Halimah (nama samaran) yang berperwatakan baik sanggup menjalin hubungan sulit dengan suami orang.

“Sepanjang hidup bersamanya, tidak sedikit pun saya meragui kesetiaannya memandangkan perkahwinan kami atas dasar suka sama suka,” katanya dalam ruangan forum Internet.

Halim memberitahu, ketika dia bersusah payah membangunkan perniagaan, Halimah merupakan menjadi sumber inspirasinya.

Isterinya juga melayannya dengan penuh kasih sayang dan rumah tangga mereka bertambah bahagia selepas dikurniakan seorang anak lelaki yang kini berusia sembilan tahun.

Namun, ada juga rakan memberitahu Halim mereka pernah melihat Halimah bersama lelaki lain dalam keadaan mencurigakan tetapi tidak diendahkan Halim.

Pada suatu hari, kereta yang dipandu Halim rosak dan beliau terpaksa pulang ke rumah untuk mengambil sebuah lagi keretanya.

Di rumah, Halim terkejut besar melihat kelibat seorang lelaki keluar dari pintu belakang. Dengan segala kudrat, Halim mengejar lelaki itu dan berjaya menangkapnya.

Meningkat

Tetapi apa yang menyedihkan, Halim mendapati isterinya berada dalam keadaan kusut dan memakai baju tidur tanpa coli di ruang tamu. Mereka berdua akhirnya bercerai.

Menurut seorang peguam syarie, Musa Awang, kes perceraian akibat isteri curang seperti yang dilalui Muhammad dan Halim itu meningkat 20 peratus setiap tahun.

“Perkara ini cukup serius terutama bagi pasangan suami isteri yang menetap di bandar besar. Saya berpendapat antara puncanya ialah isteri banyak menghabiskan masa di tempat kerja.

“Mereka kurang bersama suami dan jika ada masalah rumah tangga, mereka akan berkongsi dengan orang ketiga yang suka mengambil kesempatan,” katanya yang berpengalaman lebih 10 tahun mengendalikan kes cerai di mahkamah syariah.

Beliau berpendapat, perkara-perkara itu boleh menyebabkan hubungan suami dan isteri renggang, bergaduh dan akhirnya memilih cerai sebagai jalan untuk keluar daripada konflik rumah tangga.

Musa tidak menyalahkan isteri seratus peratus. Suami juga, katanya, mungkin menjadi punca isteri curang, misalnya suami tidak menunaikan tanggungjawab zahir dan batin.

“Selain itu, suami sendiri mungkin curang terlebih dahulu hingga menyebabkan isteri beralih cinta kepada orang lain. Begitu juga jika suami berpoligami tanpa kebenaran, berperwatakan kasar dan suka memukul isteri,” terang beliau.

Musa memberitahu, dalam keadaan itu, perceraian dianggap penyelesaian terbaik.

Bagi Pengarah Bahagian Bimbingan dan Kaunseling, Jabatan Pembangunan Wanita, Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat (KPWM), Linda Jamaluddin, masalah bermula apabila si isteri mengadu kepada orang lain yang tidak berkaitan.

Katanya, wanita lebih terdorong untuk berjumpa teman sepejabat atau jiran-jiran untuk meluahkan perasaan.

Cinta sepejabat

“Daripada situlah timbul perasaan kasihan lebih-lebih lagi kawan lelaki hingga membibitkan cinta terlarang,” katanya.

Linda berpendapat kecurangan berlaku disebabkan masalah komunikasi dalam rumah tangga. Suami tidak memahami isteri dan begitulah sebaliknya. Faktor lain ialah suami tidak mahu berkongsi kerja dan tugas menguruskan rumah tangga.

“Kesilapan paling utama adalah apabila suami atau isteri berkongsi masalah rumah tangga dengan orang lain hingga menimbulkan masalah lain khususnya curang,” hujah beliau.

Pengarah Jabatan Agama Wilayah Persekutuan (Jawi), Datuk Che Mat Che Ali memberitahu, kecurangan merupakan salah satu punca perceraian di Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan angka yang tepat berhubung kes cerai yang melibatkan isteri curang.

“Kes cerai Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan ialah sebanyak 15 hingga 18 peratus berbanding jumlah perkahwinan yang didaftarkan setiap tahun,” katanya.

Che Mat memberitahu, faktor kewangan suami yang tidak stabil selain cabaran kehidupan di bandar besar juga boleh mengakibatkan isteri curang.

“Dahulu, rata-rata isteri menjadi suri rumah tetapi kini kebanyakan mereka bekerja. Pergaulan di pejabat juga menjadi sebab isteri bermain kayu tiga selain waktu yang singkat bersama suami sendiri.

“Lagipun tempoh perkahwinan selama satu hingga lima tahun merupakan tempoh yang kritikal dan pasangan suami isteri yang dapat menghadapinya dengan baik mungkin perkahwinan mereka akan berkekalan hingga ke akhir hayat,” katanya.

Pakar psikologi, Dr. Suradi Salim pula berpandangan manusia sebenarnya tidak dapat lari daripada melakukan kesilapan.

“Manusia bukan malaikat. Seperti curang seorang lelaki, wanita juga boleh melakukannya,” katanya. Namun, menurut Suradi lelaki lebih cenderung bersikap curang kerana sikap ego mereka.

“Wanita dikenali dengan kesetiaan tetapi lebih berbahaya kerana mereka bijak menyimpan kecurangan mereka,” terang beliau.

Isnin, Mei 31, 2010

Sembunyi dosa

SUDAH 10 tahun saya hidup berjauhan daripada suami. Suami di Kuala Lumpur dan saya pula di Utara. Suami akan pulang setiap dua minggu.

Saya mempunyai anak perempuan hasil perkahwinan pertama. Suami saya seorang yang berharta tetapi kaki perempuan dan malangnya perangainya masih tak berubah walaupun usia sudah senja.

Pada awal perkahwinan saya tinggal bersama suami dan amat bahagia. Dia sering pulang ke kampung saya untuk menjenguk anak perempuan saya yang ketika itu berusia 16 tahun yang saya tinggalkan bersama arwah emak saya.

Akibat daripada tekanan tabiat buruk suami saya mengambil keputusan untuk pulang ke kampung dan hidup berjauhan. Tekanan perasaan bertambah apabila anak saya mengadu dia dirogol tiap kali suami saya pulang ketika saya di Kuala Lumpur.

Saya bertanya suami mengenai perkara ini dan dia mengakuinya. Demi menjaga maruah keluarga saya mendiamkan perkara ini. Selepas tamat penggajian anak saya berkahwin tetapi dia sering mengalami trauma. Menantu saya pula berkali-kali menyatakan hasrat ingin membuat laporan polis.

Perasaan saya amat tertekan tiap kali teringatkan perkara ini dan memikirkan tabiat kaki perempuan dia yang sering diceritakan dengan bangga pada saya.

Saya sering mengingatkan dia hal dosa pahala, seksaan api neraka dan apa saja berkaitan agama dengan harapan dia mahu berubah. Namun dia semakin galak.

Soalan saya ialah daripada segi undang-undang adakah salah saya merahsiakan perkara ini dan adakah saya akan dipersoalkan di akhirat kerana merahsiakannya serta membiarkan anak saya menderita akibat tekanan perasaan, selain menghalang dia mengambil tindakan undang-undang?

Saya ada terfikir untuk meminta cerai tapi saya perlukan suami untuk menanggung keperluan hidup saya. Saya dalam dilema.

ELIA
Pulau Pinang


Jawapan :

Perkara maksiat dan kejahatan tidak wajar dilindungi sebaliknya wajib dibanteras. Dalam hal ini jika anak menjadi mangsa sumbang mahram sehingga rumah tangganya sekarang tergugat, wajib bagi ibu untuk memaklumkan pada pihak berkuasa yang dapat membantu menyelesaikannya.

Mereka yang berdosa tapi kemudiannya insaf dan mahu berubah wajar diberi peluang. Namun tabiat suami puan mempamerkan bahawa dia tidak insaf bahkan berbangga menceritakan pada puan dosa yang dilakukannya.

Perasaan yang menghalang puan membawa dia ke muka keadilan ialah kerana kebimbangan sara hidup puan. Pernahkah puan terfikir bahawa menyembunyikan dosa membiarkan terus hanyut dibuai dosa lebih dahsyat daripada menagih rezeki orang begini.

Pihak kerajaan ada menyediakan bantuan secukupnya pada mereka yang bermasalah seperti puan dari kementerian wanita mahupun bantuan zakat.

Usah ragu-ragu lagi, insya-Allah atas nama amar makruf dan nahi mungkar, bantulah suami dan anak untuk berubah dan bukannya membiarkan mereka terus hanyut.

Rabu, Jun 03, 2009

Derita rahsia berbelas tahun

ARKIB : 31/05/2009

Saya seorang isteri berumur 28 tahun. Saya sudah berkahwin selama tiga tahun dan masih belum mempunyai anak.

Selama lebih 10 tahun saya menyimpan satu rahsia atas kejahilan diri saya sendiri dan sering takut dengan akibat sekiranya rahsia saya diketahui umum. Semasa berusia lapan tahun, saya dicabul kehormatan berkali-kali oleh seorang sepupu sebelah ibu.

Saya bertanya tentang perkara tersebut kepadanya kerana jahil dan tidak tahu apa yang sedang berlaku.

Dia beralasan, ini hanya cara dia menunjukkan sayang pada saya.

Saya pernah ditolak atas katil dan nyaris dirogol tetapi belum sempat apa-apa berlaku, pintu bilik diketuk oleh kakak.

Selepas berpindah dan saya pun semakin matang, saya baru mengetahui tentang erti dan maksud mencabul kehormatan.

Namun, saya masih terus jahil kerana menyangka mencabul kehormatan itu boleh menyebabkan mengandung.

Lalu, selama bertahun-tahun saya derita dengan perasaan sendiri dan selalu menangis di tikar sembahyang kerana takut diri mengandung.

Saya berdoa supaya tidak mengandung sehinggalah saya berusia 17 tahun. Saya belajar tentang seks di sekolah dalam subjek Biologi dan tahu hanya seks sahaja yang boleh menyebabkan wanita hamil.

Lega

Bertapa leganya hati kerana akhirnya saya menemui jawapan akan derita hati saya menanggung takut, bersalah pada ibu bapa dan sering berasa diri dilaknat Tuhan. Sehingga sekarang, saya berasa doa saya yang bertahun itu dimakbul Tuhan kerana saya masih belum ada anak walau puas berdoa dan berubat.

Saya masih terus berahsia dari pengetahuan suami, ibu bapa dan semua orang sehingga tertulisnya surat ini.

Apakah yang perlu saya buat? Saya berasa seperti terhimpit dengan balasan Tuhan dan doa-doa saya.

n Norish, Simpang Ampat, Pulau Pinang.

Norish,

Puan tidak perlu menyalahkan diri sendiri dan mengenangkan rahsia lama tersebut. Sebaliknya puan perlu berjumpa doktor untuk memastikan punca sebenar kenapa puan dan suami belum dianugerahkan anak. Masalah puan ini tidak ada kaitan dengan kisah silam tersebut dan puan perlu reda atas apa yang berlaku. Namun, untuk memastikan puan memperolehi anak, lakukan pemeriksaan kesihatan dan kesuburan. Dengan itu, puan dapat mengenal pasti punca sebenar dan tidak terhimpit dengan kisah silam.