#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Talak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Talak. Papar semua catatan

Jumaat, Disember 11, 2009

Nikah kedua tidak sah jika niat berkahwin sebagai 'pak sanggup'

Oleh Zamanudin Jusoh
Soal Jawab / Berita Harian

BAGAIMANAKAH kedudukan seorang isteri jika diceraikan talak tiga oleh suaminya. Adakah cara untuk mereka kembali bersatu dan apakah boleh digunakan khidmat 'pak sanggup' atau 'Cina buta' bagi menyelesaikan kemelut ini?

Lelaki misteri,
Kuala Lumpur

PASANGAN yang sudah bercerai talak tiga tidak boleh bersatu sehingga isteri berkahwin dengan suami baru, kemudian bercerai dengan suaminya itu. Selepas itu, barulah bekas suami pertama tadi boleh bernikah semula dengan bekas isterinya.

Firman Allah yang bermaksud: "Jika perempuan sudah ditalak tiga, maka tidak halal bagi suaminya sehingga isteri berkahwin dengan suami lain."

'Pak sanggup' disebut sebagai 'Muhallil' dalam istilah agama dan bekas suami pertama dinamakan 'Muhallah lah'. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Telah dilaknat oleh Rasul SAW si 'Muhallil' dan Muhalla lah." (Hadis riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud, Nasai', Ibnu Majah dan Darimi)

Imam Ibnu Kathir berkata, apa yang dimaksudkan dengan perkahwinan kedua ialah ada perasaan cinta antara isteri dan suami kedua dengan tujuan untuk kekal berumahtangga. Jika berlaku persetujuan antara bakal suami dengan suami pertama, itulah dinamakan 'pak sanggup' atau 'Cina buta'.

Ia bertujuan menghalalkan isteri kembali kepada suami pertama setelah diceraikan suami kedua dan itu diharamkan oleh Islam. Mengikut pandangan jumhur ulama, jika dilafazkan dalam akad dia akan menceraikan isterinya, maka terbatal pernikahan.

Imam Razi dalam tafsirnya menyebut, apabila seorang lelaki menikahi seorang perempuan yang sudah ditalak tiga dengan tujuan menghalalkan bagi suami pertama setelah menidurinya, maka tidak sah pernikahan itu dan dikira mutaah dan ia batil. (Ibnu Kathir dan Ar Razi adalah dari Mazhab Syafie).

Pernah berlaku pada zaman Saidina Omar dan khalifah itu berkata: "Jika datang kedua Muhallil dan Muhalla lah kepadaku, nescaya akan perintah supaya mereka direjam."

Riwayat daripada Ali bin Abu Talib dan Ibnu Abbas bahawa Saidina Uthman Bin Affan juga pernah memisahkan antara suami pertama dengan isterinya setelah mendapati ada kesepakatan antara suami pertama dan kedua.

Malangnya ada sesetengah tempat menyediakan pakej perkhidmatan itu dengan menyediakan seorang lelaki sebagai Pak Sanggup dengan bayaran tertentu. Diharap pihak berkuasa dapat memantau perkara ini supaya dapat dibendung.

Sebenarnya istilah Cina buta tidak sesuai lagi digunakan dalam hal ini kerana menyinggung perasaan saudara baru kita daripada kaum Cina.

Rabu, November 25, 2009

Memahami perbezaan lafaz cerai baiah, taklik

Oleh Musa Awang

Kedua-dua talak bergantung sejauh mana janji dan syarat ke atas suami dipatuhi

SEBELUM ini timbul polemik mengenai parti politik yang mengadakan baiah secara taklik talak tiga bagi menghalang wakil rakyat melompat parti selepas pilihan raya. Saya tidak mahu mengupas isu ini dari sudut politik namun menilainya melalui perspektif perundangan.

Baiah adalah suatu sumpah atau janji yang dibuat seseorang untuk memberi sepenuh ketaatan dan kesetiaan, kepada amir atau ketuanya. Berbaiah sifatnya harus selama sumpah dan janji didalamnya tidak melanggar hukum syarak. Sejarah baiah pertama berlaku sebelum hijrah Nabi SAW iaitu pada tahun ke-12 selepas kerasulan Nabi (621M).

Satu rombongan dari Yathrib (Madinah) yang terdiri dari 12 penduduk, 10 orang dari kabilah Aus dan dua dari kabilah Khazraj bertemu Rasulullah di lembah Aqabah, Mina. Mereka berbaiah dengan Rasulullah yang dikenali Bai'ah al-Aqabah.

Imam al-Bukhari, dari Ubadah bin al-Samit bahawa Rasulullah bersabda kepada kami ketika ia dikelilingi oleh beberapa sahabatnya, "Berbaiahlah (berjanji setia) kepadaku bahawa kamu tidak sekutu Allah dengan sesuatu yang lain, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak kamu, tidak berbohong yang sengaja diadakan sama ada pada dirimu atau orang lain dan jangan kamu derhaka dalam perkara baik. Maka sesiapa yang setia di kalangan kamu maka ganjarannya di sisi Allah, dan sesiapa yang terkena kepadanya amalan buruk lalu ia menerima tindakan hukuman di dunia maka menjadi kifarah baginya. Sesiapa yang terkena kepadanya dengan mengerjakan perkara itu kemudian Allah melindunginya dari diketahui orang di dunia ini maka terserahlah kepada Allah. Jika Ia kehendaki nescaya diampun-Nya dan jika Ia kehendaki nescaya dihukum-Nya lalu kamu pun berbaiah di atas perkara ini."

Rombongan berkenaan bukan saja melafazkan ikrar dua kalimah syahadah, malah beraku janji menerima segala hukum Islam yang menjadi asas penting bagi pembinaan individu dan masyarakat Islam, dari aspek aqidah, akhlak dan pelaksanaan Islam di dalam semua bidang, menolak segala perlakuan di zaman Jahiliah.

Taklik bermaksud 'gantung' atau 'sangkut'. Dalam konteks hukum fiqh, taklik ialah 'mengaitkan berlakunya sesuatu hal dengan sesuatu syarat yang ditetapkan'. Taklik talak pula ialah 'mengaitkan berlakunya talak atau perceraian apabila terjadi atau berlaku sesuatu syarat yang dilafazkan. Hukum membuat lafaz taklik talak adalah harus.

Asas bagi talak taklik yang menjadi amalan di negara ini ialah janji yang dibuat suami selepas majlis akad nikah, yang mana suami membuat janji tidak akan melanggar syarat yang dipersetujui pihak dalam perjanjian selepas perkahwinan itu. Berdasarkan Seksyen 50, Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor 2003, Mahkamah Syariah berkuasa mengesahkan suatu lafaz taklik yang dibuat suami selepas majlis akad nikah.

Isteri perlu memulakan prosiding dengan membuat aduan kepada mahkamah, selepas mahkamah mensabitkan aduan itu, maka gugurlah talak seperti dalam perjanjian mereka itu. Namun terdapat juga keadaan, lafaz taklik talak dibuat selain dari sighah (formula kontrak perkahwinan) yang dilafazkan selepas akad nikah itu. Ia diklasifikasikan sebagai cerai luar mahkamah, menurut peruntukan Seksyen 57 Enakmen yang sama.

Lafaz baiah secara taklik talak ini adalah termasuk dalam kategori ini. Mahkamah syariah yang berbidang kuasa mengesahkan sama ada berlaku perlanggaran terhadap syarat dalam lafaz taklik itu atau tidak. Prosiding cerai luar mahkamah ini boleh dimulakan sama ada oleh isteri atau suami. Namun beban pembuktian cerai luar mahkamah secara taklik talak terletak ke atas bahu isteri, yang perlu membuktikan dua elemen berikut:

  • Kewujudan lafaz talak secara bertaklik oleh suami.
  • Bahawa suaminya sudah melanggar syarat dalam lafaz taklik itu dengan mengemukakan saksi atau dokumen atau dengan pengakuan suami itu sendiri.

Sama ada sesuatu talak itu gugur atau tidak tertakluk kepada penyempurnaan rukun talak dan syarat setiap rukun berkenaan. Dalam mazhab Shafie, rukun talak ada lima iaitu pentalak; sighah; mahl (isteri); wilayah (ada kekuasaan) dan qasad.

  • Pentalak disyaratkan seorang yang mukallaf (baligh dan berakal) serta tidak dipaksa. Syarat sighah ialah kehendak melafazkan dengan talak walaupun tanpa niat.
  • Mahl (isteri) disyaratkan isteri yang sah kepada suami yang mana sekali gus suami mempunyai wilayah (kekuasaan) untuk menjatuhkan talak ke atasnya.
  • Qasad iaitu niat, bagi lafaz soreh (jelas) tidak berkehendakkan kepada niat. Menurut kitab Kifayah al-Akhyar, mengenai talak menyebutkan bahawa, "talak itu ada dua jenis iaitu, talak soreh (jelas) dan talak kinayah (sindiran). Talak soreh itu ada tiga lafaz iaitu talak, firaaq (cerai) dan saraah (lepas). Talak dengan lafaz soreh tidak memerlukan niat (untuk menjadikannya gugur)."

Perkataan talak atau cerai adalah perkataan yang tidak boleh diperlakukan sesuka hati. Jika dilakukan dalam keadaan bergurau sekalipun jatuh talak, apatah lagi dalam keadaan sedar dan waras. Rasulullah bersabda: "Tiga perkara yang sungguh-sungguh jadi sungguh-sungguh dan main-main dikira sungguh-sungguh iaitu nikah, talak dan rujuk."

Dalam bab berhubungan lafaz talak tiga sekali gus, menurut pendapat Syiah dan Zaidiyah, sesetengah ulama Zahiriyah dan Ibn Ishak, Ibn Taimiyyah dan Ibn Qayyim, jatuh satu talak saja dan lafaz tidak memberi kesan. Menurut majalah al Buhuth al Islamiyyah, Jilid 1 Bilangan 3 Tahun 1397H, pada asalnya undang-undang Mesir dan Syria mengambil pendapat ini.

Kemudian Lujnah Fatwa yang bersidang di Riyadh mengubah pendapat ini dan memilih majoriti pendapat yang mengatakan jatuh tiga talak dengan lafaz talak tiga sekali gus. Pendapat ketiga menurut Syiah Imamiyyah, menceraikan isteri dengan tiga talak sekali gus sama sekali tidak menjatuhkan talak. Pendapat jumhur imam mazhab yang empat dan al-Zahiriyah, menyatakan jatuh tiga talak. Pendapat jumhur berdalilkan al-Quran, al-Sunnah, al-ijma' perkataan sahabat dan qias.

Jelaslah bahawa baiah dan talak taklik adalah dua perkara berbeza. Menggabungkan kedua-dua elemen ini adalah harus selagi mana ia tidak berlawanan dengan hukum syarak. Namun sekiranya berlaku perlanggaran terhadap sumpah baiah, maka pembuat baiah akan menghadapi dua risiko. Pertama ia perlu membayar kaffarah terhadap sumpah yang dimungkiri. Kedua dia akan menghadapi risiko perceraian dengan isteri tercinta, berdasarkan jumlah talak yang dilafazkan. Jika sekiranya suami berbaiah dengan talak tiga, maka akan jatuhlah talak tiga sekali gus seperti pandangan ulama jumhur.

Dari satu segi, sumpah bai'ah talak tiga ini dilihat akan menganiayai isteri kerana isteri tiada pilihan untuk mengatakan tidak kepada lafaz talak bertaklik yang sudah dilafazkan itu kerana talak adalah hak suami. Ia juga dilihat seolah-olah politik lebih diutamakan daripada institusi kekeluargaan. Namun jika dilihat satu perspektif lain, lafaz baiah sedemikian meletakkan kedudukan isteri setaraf dengan ketua atau pemimpin kepada si pembuat baiah. Natijahnya, suami akan berada dalam keadaan terpaksa membuat pilihan yang sukar, sama ada memilih mengkhianati pemimpinnya dan kehilangan isteri tercinta, atau terus istiqamah dalam meneruskan perjuangan kepemimpinannya.

Penulis ialah Timbalan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia, boleh dihubungi melalui emel :sekretariatpgsm@yahoo.com atau layari http: //www.peguamsyarie.org

Ahad, Ogos 23, 2009

Apabila talak jadi mainan

SETELAH bertahun-tahun mengikuti ruangan DCCK ini saya rasa terpanggil untuk berkongsi kisah hidup saya untuk pembaca jadikan panduan. Pertama supaya jangan jadi bodoh macam saya, terlalu mudah memaafkan dan ketiga terlalu sayang hingga jadi penakut hingga sanggup bergelumang sama dengan dosa.

"Kadangkala saya rasa tidak ada keadilan dalam hidup ini, kerana lelaki baik dipasangkan dengan perempuan kurang baik, sementara wanita baik dipasangkan dengan lelaki tidak baik kelakuan dan perangainya, macam suami saya," demikian cerita Norhaniah dari Johor dalam e-mel yang dihantarkan kepada penulis.

''Untuk mengetahuan kehidupan saya rasanya baiklah ikuti susur-galur hidup saya dari awal lagi. Saya anak yang tua dari 5 orang adik beradik. Sejak kecil kami dilatih mengikut budaya timur dan mendapat didikan agama yang cukup hinggakan saya boleh berzanji, marhaban dan bernasyid, dan saya sering mengikut ibu menyertai kumpulan marhabannya. Anak pak iman katakan!

"Kerana didikan jugalah pergaulan saya tak bebas, walaupun saya boleh bersukan di sekolah, tetapi ada hadnya dan saya sentiasa diawasi. Kawan-kawan tidak dibenarkan ke rumah kecuali belajar. Begitulah hidup saya hingga berhenti sekolah.

''Lepas sekolah saya dikenalkan dengan Zek oleh kawan saya kebetulan emaknya kawan marhaban ibu saya. Kerana kawan, ibu benarkan. Tetapi sebelum itu saya kenal dengan Shah, tetapi ibu tak suka, hubungan kami putus. Dua tahun lamanya saya berkenalan dengan Zek akhirnya kami bertunang.

''Tapi sedihnya, perangai Zek di luar nampak baik, lemah lembut, tetapi sebenarnya dia kaki perempuan. Rahsianya terbongkar ketika saya dapat peluang bekerja di KL, saya nampak sendiri bila dia berdating dengan kekasihnya. Malangnya peristiwa itu membawa kepada pergaduhan besar kami. Zek mengugut memutuskan pertunangan kalau saya mengadu ke kampung. Tetapi saya tak boleh berdiam diri, akhirnya kami putus.

''Walaupun peristiwa itu melukakan hati, tetapi kesibukan tugas menenangkan semula hati saya. Hingga akhirnya saya berkenalan dengan Yus. Kenal tak sampai setahun Yus hendak meminang saya. Tak sampai setahun bertunang kami berkahwin. Ibu nampak sesuai melihat perangai Yus tetapi Yus pandai berdrama dia boleh menggambarkan dirinya seorang lelaki gentlemen.

''Selepas berkahwin barulah saya tahu siapa Yus sebenarnya, rupanya dia suka balik lewat dari pejabat kerana dia suka berjudi. Dia memang kaki judi. Malangnya perangai buruknya tak boleh ditegur.

''Kerana subur setahun kemudian saya melahirkan anak sulung, kerana ingin membaiki taraf hidup saya menyambung pelajaran untuk mendapatkan diploma. Kerana itu saya minta bantuan ipar saya menjaga anak semasa saya bekerja dan belajar. Lagi pun balik awal tak ada gunanya, kerana Yus lebih suka duduk di meja judi.

''Dua tahun kemudian tambah seorang lagi anak. Yus tetap senang di meja judi. Kerana marah pernah saya hantarkan nasi bungkus dan air untuk dia makan sambil berjudi, tetapi Yus mengamuk kerana kehadiran saya ke 'reban' judinya.

mengelak

''Suatu hari saya ajak Yus pulang bersama lepas pejabat, dia mengelak, dalam bas saya nampak dia berjalan berpimpin tangan dengan seorang wanita. Saya segera turun bas dan saya ikut dia dari belakang. Terkejut besar Yus bila saya tegur gadis tersebut, rupanya pada gadis itu Yus mengaku masih bujang. Bila sampai rumah, Yus mohon maaf tak buat lagi, macam dia mengaku tak mahu berjudi lagi, tetapi dia masih buat.

''Saya fikirkan lepas itu tentu dia berubah baik, tetapi dalam diam dia balas dendam tuduh saya buat hubungan dengan pensyarah. Kerana nak tunjuk benar dia tumbuk pensyarah tu. Balik rumah dia kami bertengkar dan Yus lepaskan saya talak satu.

''Selepas beberapa hari bercerai dia ajak rujuk semula. Kerana sabar saya ikut saja. Tak lama kemudian saya mengandung anak ketiga, lepas bersalin ketika saya masih atas katil hospital, Yus tanya ini anak siapa, sebab tak ada rupa dia langsung atau ikut anak-anak yang lain. Ya Allah sakitnya hati, sakit belum pulih saya dituduh berzina.

''Tak lama kemudian Yus bertukar kerja, rezekinya berlimpah luah, kehidupan yang sederhana berubah menjadi lebih baik. Saya pun naik pangkat. Tapi Yus ditukarkan ke utara. Saya tak membantah kerana itu pilihannya. Dia akan pulang hujung minggu sahaja itupun katanya kalau tak ada kerja tambahan.

''Kerana berjauhan, ekonomi pun dah stabil, saya berhenti kerja, senang untuk saya berulang alik, tapi dalam hati Yus dia tak suka, dia tak mahu pergerakannya saya tahu, kerana dia dah ada kekasih. Satu malam kami bertengkar dan Yus lafazkan talak kali kedua. Macam biasa bila dah tenang dia ajak rujuk semula.

''Bila menung saya terfikir hidup saya macam telur hujung tanduk, sesuka hati bila nak diceraikan. Tetapi kerana anak saya sabar juga, walaupun saya tahu dia memang ada wanita lain. Maklum dia sudah selesa hidup sendirian di utara.

''Kerana anak saya kerap turun naik. Satu hari saya terima SMS dari seorang wanita mengaku buat hubungan dengan Yus. Sekali lagi saya ke utara, malam itu kami bergaduh lagi, macam biasa saya diceraikan kali ketiga.

''Esoknya saya balik KL, sebulan saya tak boleh tidur lena, bila hujung minggu saya jadi takut. Bila Yus balik saya elakkan diri tidur bersama, tapi Yus tak mengaku dia dah jatuhkan talak, bila ajak ke pejabat agama dia mengelak. Katanya saya sengaja buat isu sengaja nak bercerai. Saya pergi ke pejabat agama sendirian, saya disuruh membuat laporan bersama suami. Malangnya Yus tak mahu pergi.

''Sekarang, 2 tahun telah berlalu, Yus masih tidak mahu membuat pengakuan ke pejabat agama. Saya rasa sukar hidup begini, hidup bergelumang dosa, bukan itu saja Yus juga seorang kaki judi, dan kaki perempuan. Dia juga tak pernah sembahyang apa lagi sembahyang berjemaah bersama keluarga.

''Namun pada pandangan masyarakat, keluarga dan saudara mara, kami masih suami isteri, pasangan ideal, tak pernah bergaduh, paling bahagia, kami jadi tempat orang mengadu bila ada masalah, atau kekurangan wang ringgit. Bila ada kenduri kendara, kedatangan kami dinantikan, kalau raya, ketibaan kami diharapkan.

''Tetapi sebenarnya jiwa saya menderita selagi tidak ada pengesahan talak yang Yus dah lafazkan, dia takut kerana sudah tiga kali dia lafazkan talak. Saya tak mahu lagi berdepan dengan perasaan yang serba salah ini, kalau saya pergi ke pejabat agama lagi Yus kata saya nak bercerai sangat, sebab ada kekasih yang menunggu. Sampai bila saya mesti menanggu penderitaan ini, dan sampai bila saya mesti bergelumang dengan dosa.''

Demikian deritanya hati Norhaniah, yang hanya boleh dijawab oleh suaminya, tetapi kalau tidak ada ketegasan dari diri Norhaniah sendiri, segalanya memang sukar dilaksanakan. Talak memang senang dilafazkan, tetapi sukar dilaksanakan. Takut jadi orang gila talak.