#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Jun 21, 2012

Rasulullah SAW suami romantis

Oleh : TUAN ASMAWI TUAN UMAR
Sumber : Utusan Malaysia


KEHIDUPAN berumahtangga atau bersuami isteri pasti akan bertambah seri dan sinar andai setiap pasangan tersebut tidak begitu lokek dan kedekut kudrat dalam melestarikan perasaan cinta dan kasih sayang antara satu sama lain.

Hal sedemikian jika direnungkan sejenak tidak begitu sukar perlaksanaannya akan tetapi disebabkan barangkali usia pembinaan rumah tangga yang agak lama mungkin menjadi penghalangnya.

Ini kerana dikatakan sudah tiada lagi kemanisannya seperti seawal rumah tangga didirikan.

Sudah tentu ini satu persepsi yang salah lagi teramat silap, ini kerana sesebuah rumah tangga yang dibina bukanlah bersifat dalam adegan lakonan drama atau teater yang mempunyai tempoh masa, bahkan ia adalah satu proses pembinaan ummah sepanjang masa.

Sepatutnya semakin mengenal hati budi seseorang, maka semakin bertambah keakraban ditambah pula pernah mengharungi suka duka, jerit perih dalam kehidupan secara bersama.

Sebagai seorang suami yang sentiasa ingin melakukan penambahbaikan terhadap usaha pengislahan dalam rumah tangga, seseorang itu tidak mempunyai pilihan ikon yang paling tepat dan terus relevan untuk diikutinya melainkan Baginda Nabi Muhammad SAW.

Dewasa ini, kita dikejutkan dengan saban hari peningkatan kadar perceraian yang dipelopori oleh pasangan-pasangan muda malah tidak ketinggalan juga pasangan-pasangan suami isteri yang telah lama berkahwin, apakah itu satu berita atau riwayat yang hanya membuatkan kita tersenyum sinis sambil berkata, "Ya, kalau sudah tidak ada jodoh , apa lagi yang mampu dibuat, perpisahan adalah jalannya."

Kita sebenarnya begitu mudah untuk tidak berfikir bagaimana untuk terus menyelamatkan sebuah ikatan suci atas nama pernikahan malah dengan mudah jika sekiranya terdapat pelbagai konflik dan masalah, maka dengan cepat memilih untuk membawa haluan masing-masing.

Oleh itu, dalam mengemudi rumah tangga selain daripada kematangan berfikir ia juga harus dimampatkan dengan ilmu pengetahuan agar setiap tindakan itu bersesuaian dengan norma-norma masyarakat serta mengikut aturan ilmu yang diajarkan oleh Islam.

Benar kata-kata yang kita biasa dipasakkan dalam minda bahawa, 'hidup tidak selalunya indah'. Tetapi pernahkah kita semua berfikir juga bahawa jika kena dan tahu caranya keindahan itu boleh muncul dalam kehidupan, maka ia bergantung kepada individu, sama ada untuk mencarinya atau bagi yang sudah memiliki dengan sengaja menghilangkannya.

Menyoroti amalan Baginda Rasulullah SAW dalam melaksanakan tanggungjawab Baginda SAW sebagai suami, maka akan terfikir di minda kita semua bahawa ia tidaklah begitu sulit dan sukar untuk dijelmakan sebagai amalan dalam kehidupan kita semua bagai umatnya.

Mengambil contoh Baginda SAW, walaupun kecil pada sesetengah pandangan daripada kita seperti Rasulullah SAW tidur dalam satu selimut dengan isterinya, ini dapat kita hayati hadis yang menyatakan bahawa daripada Atha' bin Yasar: "Sesungguhnya Rasulullah SAW dan Aisyah r.a biasa mandi bersama dalam satu bekas. Ketika baginda sedang berada dalam satu selimut dengan Aisyah, tiba-tiba Aisyah bangkit. Baginda kemudian bertanya, "Mengapa engkau bangkit?" Jawab Aisyah, "Kerana saya haid, wahai Rasulullah." Sabda Rasulullah, "Kalau begitu, pergilah, lalu berkainlah dan dekatlah kembali padaku." Aku pun masuk, lalu berselimut bersama beliau." (riwayat Sa'id bin Manshur) .

Selain itu juga , baginda Rasulullah SAW sentiasa mengambil berat soal penampilan diri agar sentiasa kemas di mata isteri, ini pernah diperkata oleh Saidatina Aisyah:

"Sesungguhnya Nabi SAW apabila meminyaki badannya, baginda akan memulai daripada auratnya menggunakan nurah (sejenis serbuk pewangi) dan isteri baginda meminyaki bahagian lain tubuh Rasulullah SAW (riwayat Ibnu Majah).

Kuasa suami bukan satu keistimewaan

Oleh ZAINUL RIJAL ABU BAKAR

Sumber : Utusan Malaysia
Tinta PPMM


SEJAK kebelakangan ini kita sering membaca di dada akhbar dan media massa tentang keruntuhan rumah tangga masyarakat Islam. Keruntuhan rumah tangga ini bukan sahaja berlaku di kalangan golongan bawahan malah golongan berada juga tidak dapat lari daripada permasalahan itu.

Ia juga tidak terhad di kalangan orang yang tidak mempunyai didikan agama malah orang yang mendapat pendidikan agama juga seringkali terjerat dalam polemik keruntuhan rumah tangga ini.


Walaupun umat Islam berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan seperti bersedekah, membuat kebajikan dan mengambil berat kepada orang lain, tetapi sebahagian daripada kita alpa untuk mengerjakan kebaikan kepada orang yang hampir dengan kita.

Sebenarnya Rasulullah SAW lebih mengutamakan melakukan kebaikan kepada orang yang hampir kepada kita seperti keluarga, sanak saudara, jiran tetangga dan mereka yang berada di sekeliling kita.

Perkara ini dapat dilihat daripada beberapa potong hadis Rasulullah yang menerangkan peri pentingnya memperlakukan isteri dengan sebaik-baiknya.

Umpamanya, Rasullullah diriwayatkan bersabda kepada kaum lelaki yang bermaksud, "Ingatlah, terimalah wasiatku, pergaulilah wanita (isteri) dengan baik kerana sesungguhnya mereka adalah tanggungjawab di tangan kamu. Kalian tidak mempunyai apa-apa hak daripada mereka kecuali perkara itu melainkan jika mereka melakukan perbuatan yang menyimpang dan keji. Apabila mereka melakukan perkara tersebut, maka janganlah tidur bersama mereka dan pukullah mereka dengan pukulan yang tidak menyakitkan. Jika mereka patuh kepada kamu maka janganlah kalian mencari jalan menyakiti mereka. Ingatlah, sesungguhnya kamu mempunyai hak atas isteri-isteri kamu dan mereka mempunyai hak ke atas kamu. Adapun hak kalian ke atas isteri-isteri kalian adalah tidak mengajak orang yang kamu benci tidur di atas ranjang kalian dan tidak pula mengajak orang yang kamu benci masuk ke dalam rumah kamu. Dan hak isteri-isteri kamu ke atas kamu adalah memberikan pakaian dan makanan kepada mereka dengan baik."

Sabda Rasulullah di atas, jelas memberi panduan kepada kita tatacara bagaimana pergaulan antara suami isteri harus dilakukan. Ia juga menitikberatkan hak dan tanggungjawab bersama. Malah tanggungjawab mendidik isteri yang terletak di bahu suami juga diperincikan sehingga dalam keadaan isteri melakukan perkara yang menyimpang dan keji pun telah diberikan garis panduan bagaimana menanganinya.

Oleh yang demikian, melayani isteri dengan cara yang terbaik amatlah dituntut dalam Islam. Wanita dijadikan oleh Allah dari tulang rusuk kiri lelaki yang mempunyai signifikan yang amat besar. Tulang rusuk itu sebenar terlalu hampir dengan hati.

Oleh itu, wanita hendaklah sentiasa berada di hati lelaki (suami). Wanita tidak dijadikan dari kepala untuk dijunjung atau dipuja oleh lelaki, mereka juga tidak dijadikan dari kaki untuk dipijak atau dihina oleh lelaki. Inilah kedudukan istimewa wanita yang telah dinobatkan oleh Islam. Tulang rusuk yang bengkok itu pula perlu diluruskan dengan penuh hati-hati dan hikmah agar ia tidak patah semasa diluruskan.


Dalam hadis lain, Rasullullah juga dilaporkan sebagai berkata yang bermaksud, "Seorang mukmin yang imannya paling sempurna adalah yang akhlaknya paling baik. Dan sebaik-baik kamu adalah yang baik terhadap isterinya." Dalam hadis yang lain pula, Rasullullah bersabda maksudnya, "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan adalah isteri yang solehah."

Jelaslah daripada dua hadis di atas, ketinggian kedudukan isteri di samping suami. Hakikat ini perlulah disedari oleh golongan suami. Ini adalah kerana sebahagian suami yang mengambil mudah peranan isteri dan menganggap isteri perlu patuh kepada segala kehendak suami tanpa mengambil kira perasaan dan kehendak isteri itu sendiri.

Memanglah kuasa ketua keluarga itu diberikan kepada para suami namun kuasa tersebut hendaklah ditadbirkan dengan adil dengan mengambil kira kemampuan, kesusahan dan juga kehendak isteri.

Jika kuasa ini tidak dijalankan dengan sempurna sudah tentu ia akan mengundang polemik antara suami isteri tersebut dan suami yang tidak menjalankan kuasa dengan sempurna, sudah tentu akan dipertanggungjawabkan atas kegagalannya itu. Kuasa tersebut sebenarnya bukanlah suatu keistimewaan tetapi lebih kepada tanggungjawab yang hendaklah digalas dengan sempurna.

Akibat campur tangan keluarga

CAMPUR tangan keluarga juga adalah antara sebab ramai pasangan bercerai hari ini. Ini kerana pasangan hari ini telah berkenalan dahulu baru bertanya dan berkenalan dengan keluarga masing-masing.

Dalam keasyikan melayan cinta, pasangan terlupa bahawa perkahwinan memerlukan persetujuan dan restu ibu bapa. Apabila calon isteri atau suami tidak dipersetujui oleh salah satu atau kedua-dua ibu bapa, pasangan akan menghadapi pelbagai rintangan.

Ada yang tidak dapat bertahan lama kerana sikap keluarga yang tidak henti-henti mengganggu sehingga membawa kepada perceraian. Campur tangan keluarga bukan sekadar ibu bapa/ibu bapa mentua tetapi adik-beradik dan ipar-duai.

Ada banyak bentuk campur tangan keluarga, antaranya ibu kepada suami yang sering mengarahkan suami dengan pelbagai arahan dan suami pula mengikut arahan tanpa berbincang dengan isteri.

Apa yang jelas, suami yang sangat rapat dengan ibunya sebelum berkahwin belum dapat mengimbangkan hubungannya dengan ibu dan isterinya. Dia juga tidak dapat memahami tanggungjawabnya pada isteri. Sebagai ketua rumah tangga dia mesti berbincang dengan isteri bagaimana boleh terus membantu keluarganya sendiri dan pada masa sama, tidak membuat isteri merasa terabai atau dihargai.

Pasangan mesti boleh duduk semeja membincangkan kedudukan kewangan kerana jika suami berbuat sesuatu tanpa berbincang, ia kemungkinan besar melibatkan kewangan keluarga.

Misalnya, ibu menghubungi anaknya dan memaklumkan dia akan buat kenduri arwah pada hujung minggu pertama bulan Jun. Isteri pula telah menjemput kawan-kawan ke rumah kerana ingin menyambut hari ulang tahun perkahwinan mereka. Dia juga telah mencadangkan kepada suami untuk menjemput kedua-dua ibu bapa mereka.

Suami apabila mendapat maklum yang ibu bapa bercadang membuat kenduri, terus bersetuju tanpa memberitahu ibu yang dia juga akan mengadakan kenduri pada hari itu.

Bayangkan rasa hati isteri yang terpaksa membatalkan semua jemputan yang telah dibuat beberapa minggu sebelumnya. Nampak seperti tidak munasabah tetapi ia berlaku.

Satu lagi contoh, isteri meminta suami membelikannya dapur baru atau membaik pulih dapur rumah mereka. Suami mengatakan dia tidak ada duit. Namun, apabila ibunya tiba-tiba datang dan meminta bantuan serupa, suami terus bersetuju dan memberi wang kepada ibunya. Semua ini akan menyebabkan isteri merasa kecewa dengan sikap sedemikian suami.

Iri hati

Ada juga pasangan yang terpaksa berhadapan dengan adik-beradik pasangan mereka. Ada adik-beradik berasa iri hati apabila seorang menantu perempuan mendapat perhatian penuh daripada mentuanya. Ini kerana sikap ibu mertua yang suka memuji menantu kesayangan di hadapan menantu lain.

Tidak dapat dinafikan sebagai manusia, ibu juga tidak terlepas daripada kesilapan seperti bersikap pilih kasih sesama anaknya. Setiap anak adalah istimewa dan mempunyai kelebihannya masing-masing. Jadi jika sudah biasa memberi tumpuan hanya pada anak tertentu, ibu juga apabila menjadi mentua kadang-kadang memberi perhatian lebih kepada menantu tertentu dan cuba mencari salah menantu lain.

Ini akan merenggangkan hubungan kekeluargaan kerana menantu yang tidak mendapat tempat di hati mentua akan merasa kecewa dan akan memberi pelbagai alasan untuk tidak pulang ke rumah mentua. Akhirnya, bertengkar bila isu balik kampung dibincangkan.

Menantu juga secara tidak langsung akan menceritakan ketidakselesaannya kepada anak-anaknya yang menyebabkan anak-anak juga tidak menghormati nenek mereka dan akhirnya tidak mahu pulang ke kampung ayahnya. Ada pasangan yang hidup berumahtangga bertahun lama dan tidak bercerai tetapi hubungan dengan keluarga pasangan tidak dapat dijalin dengan baik.

Anak-anak juga akan dapat mengesan masalah kekeluargaan yang dihadapi ibu bapa mereka dan ini akan menimbulkan kesan dalam hidup mereka juga. Sebenarnya campur tangan keluarga dalam rumah tangga boleh dielakan jika semua orang dapat memahami hak dan tanggungjawab masing-masing serta menghormati hubungan ibu-anak, suami-isteri, cucu-nenek dan sebagainya.

Malangnya dalam kursus perkahwinan perkara seperti ini tidak disebutkan atau dibincangkan. Sebagai ibu bapa yang menjadi mentua, mereka perlu tahu tahap dan hak campur tangan mereka terhadap anak mereka dan pasangannya. Ada pasangan yang tinggal sebumbung dengan ibu bapa salah seorang daripada mereka dan tidak pula mereka bercerai-berai. Ini kerana mereka tahu tahap dan had pergaulan dalam sebuah rumah tangga.

Sebab itu ada pepatah Melayu pukul anak sindir menantu menunjukkan sikap orang Melayu yang tidak suka berterus terang tetapi lebih suka menyindir dan ini menyebabkan ketidakselesaan. Sebagai ibu (terutamanya) jangan sekali-kali menceritakan keburukan menantu (isteri/suami) kepada anak. Carilah hanya kebaikan menantu dan bukan kelemahannya.

Bagi menantu pula, baik lelaki atau perempuan, terimalah mentua seadanya tanpa perlu mengadu kepada suami atau isteri tentang layanan yang diberikan. Kita semua dibesarkan dengan cara ibu bapa kita sendiri dan kita mesti reda bahawa Allah SWT telah menjadikan manusia berbeza dan di atas perbezaan itu kita jatuh cinta dan berkahwin.

Perkara remeh temeh seperti pujian atau sindirian tidak perlu difikirkan dan hanya melihat keseronokan suami/isteri berada di samping keluarganya. Begitu juga apabila ada anak. Sentiasa menggalakkan anak menghormati dan menyayangi nenek dan datuk kedua pihak dan memastikan anak-anak tidak dipengaruhi perasaan kita sendiri terhadap ibu bapa atau mertua.

Sebagai isteri, jangan tanya apa yang suami kita bualkan dengan ibu bapanya kerana itu adalah hubungan mereka yang telah terjalin sejak suami anda dilahirkan. Selalu ingatkan suami tanggungjawabnya terhadap ibu bapanya. Suami pula, janganlah melarang isteri melawat ibu bapanya dan menjaga mereka seperti sebelum dia berkahwin. Jika isteri terlepas pandang akan tanggungjawabnya kepada suami dan anak-anak, ingatkan dia.

Jangan bersikap kasar terhadap mentua, kerana mereka seperti ibu bapa anda juga. Pasangan suami isteri mesti selalu menjaga mulut supaya tidak terlepas cakap terutama melibatkan keturunan pasangan masing-masing seperti, "Hah ini memang perangai emak awak." atau "Adik-beradik awak memang kurang ajar." atau "Emak awak macam tulah." Ini kerana akan menyakitkan hati pasangan kerana ia melibatkan keturunan dan cara pasangan kita dibesarkan.

Hidup berumahtangga sangat memerlukan timbang rasa dan tolak ansur serta hormat menghormati.

Sumber : Utusan Malaysia