Ahad, Ogos 28, 2011
Wanita kaya jadi pilihan
Tetapi kerana saya bukan janda berharta saya dibuang sesuka hati kerana tidak memenuhi cita rasanya.
''Saya sungguh tak menduga lelaki sekarang kalau berkahwin hendak cari wanita berharta, bukan bertujuan membantu ibu tunggal seperti saya, tetapi mengharapkan apa yang dia boleh dapat untuk kesenangan hidupnya.'' Demikian cerita Maizarulfida dalam emelnya dan ketika kami berbual Selasa lalu.
''Masalah saya mungkin tidak berat pada pandangan pembaca, tetapi amat menekan jiwa dan perasaan terutama bila berhadapan dengan kaum keluarga serta teman-teman sekeliling. Malu yang teramat hingga terasa lebih baik mati daripada hidup.
''Dulu saya ibu tunggal dengan empat anak, seorang kakitangan kerajaan, saya bercerai setelah berkahwin selama lebih 20 tahun. Perceraian kerana saya tidak tertahan dengan penderaan mental dan fizikal yang saya hadapi sejak berkahwin. Puas saya bersabar, tetapi akhirnya saya terpaksa menarik diri. Dalam tempoh berkahwin cuma selama 2 tahun sahaja saya bahagia, selepas dapat anak hidup saya berubah sentiasa dalam ketakutan.
''Akhirnya enam tahun lalu kami bercerai. Kini anak sulung saya sudah bekerja, ada yang masih menuntut di universiti sementara yang bongsu belajar di peringkat menengah.
''Pada awalnya memang saya tak mahu berkahwin lagi, malah saya rasa bahagia hidup bersama anak-anak terlepas dari penyeksaan suami. Namun kerana jodoh pertemuan adalah ketentuan Allah jua, maka saya berkahwin dengan duda kematian isteri berusia 55 tahun dengan lima anak dan lima cucu yang diperkenalkan oleh seorang kawan.
''Baru tiga bulan berkenalan melalui telefon dengan Hazrei, kerana kami berjauhan dia di KL dan saya dari utara, dia terus melamar saya untuk berkahwin. Walaupun saya bersetuju, tetapi saya minta pernikahan akhir tahun ini, tetapi dia mendesak sebelum Ramadan.
''Atas persetujuan anak-anak dan ibu bapa saya, kami pun bernikah Jun lalu. Sebelum berkahwin dia tak kisah sekiranya saya tidak bertukar tempat kerja asalkan setiap hujung minggu atau cuti kami akan bergilir-gilir ke KL atau ke utara.
''Lepas kahwin saya bercuti ke KL hajat nak tinggal sementara di rumahnya, tetapi tak jadi, sebab rumahnya penuh dengan anak cucu, sedangkan dia yang masih bekerja secara kontrak terpaksa menyewa bilik lain dekat tempat kerjanya. Namun saya tak keberatan tinggal bersamanya di bilik tersebut kerana saya menerima dia seadanya.
''Daripada situ baru saya tahu dia tidak ada rumah masih menyewa apartmen. Dan dia terpaksa menanggung semua anaknya kecuali seorang yang sudah berkahwin tapi tidak tinggal bersamanya.
''Selang tiga minggu saya bertemu dengannya dia menghantar SMS menyatakan hasratnya untuk berkahwin dengan seorang ibu tunggal yang amat disayanginya dan mendakwa mereka telah bertunang sebelum kami berkahwin. Terkejut beruk saya. Kenapa tak beritahu lebih awal, pasti saya tidak berkahwin dengannya.
''Dia juga beritahu amat kesal berkahwin dengan saya yang tidak ada apa-apa. Rupa-rupanya dia kawin dengan saya kerana hendak menumpang bila dia berhenti kerja nanti. Maklumlah dia bekerja swasta tak ada pencen, bimbangkan rawatan perubatannya dan dia tidak ada rumah sendiri kecuali rumah sewa.
''Selepas saya selidik baru saya tahu selepas kematian isterinya, dia pernah berkahwin lagi tapi bercerai kemudiannya, dia seorang yang telah disenarai hitam oleh bank, sebab tu dia tidak boleh beli kereta kecuali jika bayar secara tunai.
''Saya tak kisah sangat semua itu asalkan dia jujur dan ubah perangai. Rupanya dia mengharapkan kekayaan saya, walaupun saya berpencen tapi saya mungkin bukan kaya seperti kekasihnya di KL.
''Bayangkan sebagai isteri setelah dia kembali ke KL dia tidak pernah telefon bertanya khabar sakit demam saya kecuali memberitahu dia akan beraya di rumah tunangnya yang seusia saya dekat 50 tahun.
''Pedihnya hati saya hanya Allah sahaja yang tahu, saya ingin turun ke KL berjumpa dan bertanya apa sebenarnya berlaku, tetapi Hazrie tak izinkan sebaliknya dengan bangganya dia membertahu bahawa dia akan berkahwin selepas hari raya nanti. Dan dalam waktu yang sama dia akan menceraikan saya.
''Kata Hazrie, tunangnya adalah seorang wanita serba ada dan dia rela dan bersedia menjaga dirinya serta makan minumnya hingga ke akhir hayat.
''Saya rasa benar-benar tertekan dengan kata-katanya. Kerana saya rasa benar-benar tertipu, jika dia sudah bertunang mengapa bercinta dan melamar untuk berkahwin dengan saya. Jika dia mencari kekayaan saya sudah jelaskan latar belakang saya sebelum berkahwin.
''Pada awalnya dulu memang saya rasa macam nak bunuh diri, sebab saya malu sangat dengan keluarga dan sahabat handai, maklum tak sampai sebulan kahwin dah nak diceraikan. Tetapi atas nasihat keluarga, kini saya ada kekuatan dan boleh menerima kenyataan, dan saya sedia diceraikan.
''Apalah nak dikisahkan lelaki yang ingin menumpang kekayaan isteri. Mungkin kehadirannya nanti lebih menyusahkan hidup saya siapa tahu. Allah memberi saya kekuatan terima keadaan ini dengan redha. Demikian cerita Maizartulfida. Sempena hari raya yang bakal tiba saya ingin mengambil kesempatan mengucapkan selamat Hari Raya Aidilfitri dan maaf zahir batin.
Khamis, Mac 10, 2011
Tujuh kali gugur bayi
mhusni@hmetro.com.my
IPOH: Akibat begitu mudah termakan pujuk rayu teman lelaki, seorang janda muda membuat pengakuan mengejutkan apabila memberitahu pernah menggugurkan bayi dalam kandungannya sebanyak tujuh kali dalam tempoh empat tahun.
Wanita itu yang mahu dikenali sebagai Balqis, 32, berkata perkara tidak masuk akal dilakukannya itu bermula selepas dia bercerai dan berkenalan dengan seorang lelaki yang sudah berkahwin pada 2007.
Menurutnya, lelaki itu berjaya memikat hatinya dengan pelbagai janji manis untuk mengahwininya dalam tempoh terdekat.
“Saya meletakkan harapan tinggi kepadanya apatah lagi dengan hidup saya yang terumbang-ambing selain perlu membesarkan tiga anak hasil perkahwinan pertama sebelum ini.
“Malangnya rasa cinta keterlaluan itu menyebabkan saya terlanjur melakukan hubungan seks berulang kali sehingga mengandung sebanyak enam kali.
“Saya membuat proses pengguguran haram di klinik swasta dengan bayaran RM300 bagi sekali ‘cuci’. Pada mulanya doktor di klinik itu tidak begitu kisah dengan permintaan saya, namun dia mula bimbang apabila saya mahu membuat pengguguran kali kelima.
“Doktor terbabit menasihatkan saya tidak lagi membuat pengguguran janin kerana bimbang ia boleh merosakkan peranakan selain boleh mendapat kanser rahim,” katanya.
Menurutnya, walaupun pernah terlintas rasa berdosa namun dia tetap melakukan perkara terkutuk itu kerana termakan dengan janji kekasihnya untuk berkahwin.
“Pernah sekali saya menanggung kesakitan amat sangat selepas menggugurkan kandungan berusia tiga bulan yang ketika itu sudah mempunyai bentuk bayi. Malah pernah juga saya ‘lekat’ mengandung semula hanya selepas dua bulan menggugurkan janin.
“Sepatutnya saya menjalani tempoh pantang seperti wanita bersalin, namun semua itu saya abaikan kerana faktor kerja selain bimbang diketahui rakan sekerja,” katanya.
Menurutnya, dia hanya mengambil cuti rehat antara empat hari hingga seminggu.
“Akibat terlalu kerap menggugurkan janin, saya mengalami tekanan hidup, murung selain kerap dihantui rasa berdosa. Lebih teruk apabila saya sering bermimpi kanak-kanak menangis ketika tidur.
“Sepanjang empat tahun itu, saya disahkan mengandung enam kali sebelum menggugurkan kandungan itu menyebabkan berat badan saya susut kepada 47 kilogram,” katanya.
Isnin, Julai 05, 2010
Suami bercinta tanda benci isteri
04/07/2010
KEBANYAKAN wanita yang menghadapi masalah rumah tangga memang tak makan nasihat. Itu pandangan saya, namun jangan pula pembaca anggap saya sombong dan takbur. Tapi itulah kenyataan dan pandangan saya terhadap beberapa wanita keliling saya yang sanggup menganiaya diri sendiri, semata-mata kerana terlalu sayang suami, dan takut bergelar ibu tunggal.
''Mereka rela hidup menderita, sanggup biarkan anak-anak dalam ketakutan daripada diceraikan. Lebih teruk mereka sanggup korbankan masa depan sendiri kerana takut diri jadi umpatan masyarakat.'' Demikian cerita Salina dalam emelnya.
''Di pejabat saya jadi tempat teman-teman meluahkan isi hati begitu juga kalau di rumah tak kira saudara mara mahupun jiran tetangga. Ramai yang suka bercerita pada saya. Bukan seorang, tetapi lebih dari dua belah tangan.
''Pernah saya dapat panggilan ugutan suami tiga kawan baik saya. Mereka maki hamun dan doakan rumahtangga saya hancur. Saya tak marah, sebab memang saya dah bercerai kerana mahu mengubah hidup.
''Kawan saya ada yang menderita, suami kaki judi, kaki pukul dan kaki perempuan. Bila saya nasihatkan supaya bertindak, mereka takut. Takut bergelar janda.
Tanggung
''Saya tak takut bergelar ibu tunggal daripada tanggung dosa mengumpat keji dan memburukkan suami pada orang. Memaki hamun suami di belakang, bila berdepan menikus. Apa guna ikut cakap suami, tapi dalam hati membenci. Hidup berpura-pura tak ada gunanya. Muka tak ceria hidup selalu menderita.
''Saya bercerai ketika kami sama-sama berusia 40an tahun. Memang awalnya menderita, tetapi sekarang saya rasa lega. Hidup saya semakin tenang, anak-anak ceria, mereka dapat belajar dengan aman, kini dua anak dah masuk universiti, tinggal seorang sekolah menengah. Saya rasa mereka suka saya bercerai daripada tengok kami sering bergaduh.
''Teman baik saya Su terpaksa berhenti kerja kerana ikut cakap suami yang asyik gila bercinta. Kata suaminya dia bercinta lagi kerana tak dapat layanan isteri, jadi kalau nak rumahtangga harmoni Su kena berhenti kerja.
''Sekarang apa dah jadi, suami ceraikan juga kerana nak kahwin lagi. Suami kahwin dengan wanita yang berkerja dan berpendapatan tinggi. Bekas suaminya nak cari lubuk emas nak hidup senang. Jadi betul tak saya cakap perempuan memang bodoh?
''Sekarang Su terpaksa cari kerja lain dengan pendapatan lebih kecil. Anak-anak pula sudah biasa hidup senang. Mereka tak faham pengorbanan ibunya. Mereka mahu hidup selesa bukan derita.
''Pendek kata, siapa rugi? Sudahlah tak berduit kerana dah berhenti kerja, suami ceraikan pula. Suami kita kalau dia bercinta lagi itu tandanya dia tak sukakan isterinya lagi, jadi biarkan dia bina hidup baru mengikut coraknya sendiri.
''Rakan saya Zan pula sanggup berhutang bank kerana nak tolong suami bisnes, bila suami dah senang bisnes berjaya, dia kena cerai, sebab ada kekasih yang menunggu. Waktu itu suami kata: ''Sampai di sini sahaja jodoh kita, awak jangan takut saya akan tanggung anak-anak, saya akan bagi nafkah anak, saya akan bayar balik hutang awak di bank.'' Tapi bila dah nikah baru, nafkah anak entah mana, hutang tanggung sendiri. Waktu itu menangis air mata darah pun tak guna lagi.
''Saya pernah nasihatkan Zan jangan pinjam bank nanti susah, biarlah suami berusaha cari duit. Tapi Zan tak sampai hati, bila suami mendesak, akhirnya tak pasal-pasal bayar hutang bank, bekas suami enjoy dengan isteri baru.
''Dua kes cerai kawan baik saya menjadi igauan dan mimpi ngeri saya. Saya amat kesal kerana mereka tak ikut nasihat saya, bila dah susah barulah mereka kesal, tapi untuk apa nasi dah jadi bubur. Tanggunglah sendiri.
''Sebab itulah saya nasihatkan anak perempuan sulung saya belajar rajin-rajin, bila dah bekerja nanti jangan lupa simpan duit. Jangan bagi tahu suami bila kahwin nanti jumlah simpanan, sebab suami tak akan tahu menabung, sebaliknya dia akan tumpang sekaki menghabiskan duit simpanan anda.
''Saya tak kesal jadi ibu tunggal setelah 20 tahun berkahwin, sebaliknya ia membawa rahmat. Saya dapat beli rumah sendiri yang selesa, anak-anak saya berjaya dalam pelajaran dan saya ada simpanan hari tua, berbanding semasa berkahwin dahulu sentiasa korek lubang, tutup lubang dan berhutang keliling pinggang.
''Kini hidup bapa mereka taklah sebaik mana, biarpun berpangkat, tetapi tak berharta, masih menyewa rumah, isteri pula VSS terpaksa diberhentikan kerja, lebih malang anak-anak masih bersekolah rendah dan di tadika.
''Takkan kerana suami buat maksiat kita nak ikut sama, nasihat dan ingatkan dia. Kalau dia dah ada kekasih lain, biarkan. Jangan sesekali paksa suami sayangkan kita, kalau dia tak suka. Ingat, bila suami dah ada cinta lain, bermakna dia tak sayangkan anda lagi, jadi biarkan dia kahwin lagi.'' Demikian cerita Salina yang keciwa dengan kawan-kawan yang tak mendengar nasihatnya.
Khamis, Mei 27, 2010
Padah cinta suami orang
hadzlihady@hmetro.com.my
2010/05/27
KUALA LUMPUR: Akibat menjalin cinta dengan suami orang, seorang penyampai berita sebuah stesen televisyen menerima padah apabila dia diserang isteri dan ibu mentua teman lelakinya di pusat beli-belah 1 Utama, Petaling Jaya, Sabtu lalu.
Akibatnya, wanita berusia 34 tahun itu cedera di muka serta kepala dan kini terpaksa mengambil cuti berikutan tidak mahu kejadian memalukan itu dihidu rakan sekerja. Teman lelakinya turut cedera selepas diserang isterinya yang juga seorang warga Uzbekistan.
Difahamkan, serangan terbabit berlaku di hadapan dua anak lelaki penyampai berita terbabit ketika dia yang berusia 34 tahun berada di sebuah gimnasium kanak-kanak di pusat beli-belah berkenaan.
Malah, penyampai berita berkenaan turut dihamburkan pelbagai kata kesat oleh dua beranak warga asing terbabit yang tidak puas hati kerana mendakwa dia cuba merampas suami.
Menurut sumber polis, sebelum tercetusnya serangan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian keretanya dicalar dan dipecahkan cermin yang dipercayai dilakukan individu sama.
“Mangsa ketika itu meletakkan kereta di parkir kondominium sewanya di Jalan Duta di sini dan terkejut apabila mendapati kenderaannya calar dan cerminnya pecah.
“Kejadian itu dipercayai turut dilakukan dan didalangi dua beranak terbabit yang tidak puas hati dengan penyampai berita berkenaan,” katanya.
Berikutan itu, mangsa membuat laporan berhubung kejadian keretanya dirosakkan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields sebelum kes berkenaan dipindahkan ke IPD Sentul.
Sumber itu berkata, belum selesai kes keretanya dirosakkan disiasat, keesokannya kira-kira jam 5 petang mangsa yang ketika itu bersama pembantu rumah menghantar dua anaknya ke sebuah gimnasium kanak-kanak ‘diserang’.
“Mangsa yang juga seorang ibu tunggal didatangi dua wanita warga asing terbabit yang menyerbu sebelum menghamburkan pelbagai kata kesat.
“Malu dengan kejadian tidak disangka itu, mangsa cuba menjauhkan diri daripada mereka, namun dia dikejar dua beranak terbabit sebelum mereka membelasahnya,” katanya.
Akibatnya, mangsa yang baru bercerai dengan suaminya dibelasah teruk di kepala dan beberapa anggota badan termasuk kesan cakar di muka sehingga terpaksa mendapatkan rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Penyampai berita terbabit yang masih trauma dengan kejadian berkenaan membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Damansara untuk tindakan susulan dan meminta dirinya dilindungi.
Difahamkan, teman lelakinya seorang warga tempatan dan wanita berkenaan kini mengambil cuti panjang bagi menenangkan fikiran selain menyelesaikan kes terbabit.
Sementara itu, Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Arjunaidi Mohamed ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.
Menurutnya kes disiasat mengikut Seksyen 506 kerana ugutan dan 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.
Rabu, Mei 26, 2010
Poligami ikut syarak, adil jamin bahagia
Oleh Asyraf Ismail
2010/05/25
Tidak patuhi syarat ditetapkan Islam punca pandangan negatif masyarakat
POLIGAMI, adalah satu perkataan yang bila disebut akan membuatkan sesetengah manusia tersenyum manakala sesetengah yang lain berkerut dahi. Poligami adalah antara perkara yang disyariatkan harus dalam Islam. Poligami juga adalah larangan keras dalam ajaran agama lain. Poligami sudah menjadi amalan umat manusia sebelum kedatangan Islam lagi.
Allah SWT berfirman: “Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan-perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwinlah dengan sesiapa yang kamu berkenan dari perempuan-perempuan (lain): dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak akan berlaku adil (di antara isteri-isteri kamu), maka (berkahwinlah dengan) seorang saja, atau (pakailah) hamba-hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu adalah lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman”. (Surah An-Nisa’, ayat 2)
Penulis tidak ingin membincangkan lebih lanjut syarat itu secara khusus, namun ingin membawa pembaca melihat kepada realiti semasa atau permasalahan semasa berkaitan poligami.
Poligami sering dilihat jijik, dipersalahkan dan dihina berdasarkan keadaan sekeliling yang memaksa masyarakat memandangnya begitu. Masyarakat sering dihidangkan dengan pelbagai adegan dan pemasalahan konflik poligami sama ada secara realiti atau lakonan di kaca televisyen.
Realitinya, masyarakat sering dihidangkan dengan keluarga poligami yang berpecah belah, tidak adil, isteri ditinggalkan, anak-anak terbiar dan sebagainya. Lakonan filem dan drama tidak kurang membuat paparan serupa malah lebih hina lagi apabila ia dijadikan bahan jenaka. Salahkah masyarakat berfikiran begitu? Mungkinkah jika mereka diberi hidangan yang lain mengenai poligami, maka mereka akan berubah fikiran?.
Pengamal poligami kebanyakannya bukanlah mereka yang layak seperti disyaratkan oleh Allah SWT di dalam Surah An-Nisa’ ayat 3 itu. Mereka mungkin bersedia dari sudut fizikal tetapi bagaimana pula dengan mentalnya (rohani)? Bersediakah mereka dengan ilmu? Bersediakah mereka dengan kesedaran bahawa Allah akan menyoal setiap amanah yang mereka pikul?
Sunnah Nabi SAW sering dijadikan alasan dan sandaran rapuh bagi golongan ini yang kononnya ingin mengamalkan sunnahnya. Kebanyakan mereka tidak menyedari sunnah ini disandarkan kepada hukum keharusan bersyarat yang Allah SWT nyatakan. Syarat-syarat ini sering dikesampingkan demi mencapai cita-cita berpoligami yang menjadi idaman sejak sekian lama.
Nafsu dan syahwat berlegar menguasai hati dan minda supaya terus menempuhnya tanpa perlu direnung lagi. Akibatnya, terjadilah poligami yang hina dan dihina. Wanita yang mengharapkan poligami dapat menyelamatkan mereka, terus hampa.
Namun, di sana ada begitu ramai kalangan wanita yang perlukan kasih sayang, perlukan suami, perlukan perlindungan daripada seorang lelaki. Bilangan wanita yang terus melebihi lelaki semakin bertambah saban tahun. Nisbah ini semakin ketara apabila dilihat secara lebih dekat di menara gading atau pusat pengajian lain.
Kebanyakan wanita yang berjaya sukar mendapatkan pasangan sesuai bagi mendirikan rumah tangga apatah lagi menginginkan pasangan yang baik. Lebih ketara lagi kepada janda (ibu tunggal) yang bercerai sama ada cerai hidup atau mati. Ramai di kalangan mereka muda serta masih mengimpikan sebuah keluarga.
Namun hakikatnya, mendapat pasangan yang masih bujang ketika mereka sudah bergelar janda dengan sejumlah anak, impian ini semakin sukar. Apakah jawapannya? Tentulah poligami. Dilema ini semakin menjadi rumit apabila memikirkan hakikat poligami semasa serta pandangan serong masyarakat terutama kalangan wanita sendiri terhadap amalan ini.
Kemungkinan besar, derita ibu tunggal ini akan berterusan terpaksa dipendam tanpa sempat menikmati hidup berkeluarga atas halangan terbabit. Wanita ini terus hampa. Ke mana perginya lelaki yang baik? Ke mana perginya ustaz yang begitu lantang menyampaikan dakwah? Mengapa mereka tidak tampil dan mengamalkan poligami sebenar sebagai contoh seumpama sunnah Nabi SAW?
Persoalan ini kerap timbul dan dibahaskan, ditambah ingatan bahawa sesungguhnya dakwah Nabi SAW berjalan serentak antara bil hal dan bil lisan (dengan perbuatan dan dengan perkataan). Nabi SAW tidak hanya mengajak umatnya ke masjid berjemaah tanpa Baginda terlebih dulu menunjukkan contoh. Begitulah dalam hal poligami yang diharuskan Allah SWT, Rasulullah adalah contoh teladan yang patut diikuti sepanjang zaman.
Mungkin kebanyakan lelaki baik ini mempunyai seribu satu alasan yang munasabah mahupun yang direka-reka. Antara alasan munasabah yang paling kerap diutarakan ialah berkaitan dengan undang-undang mengenai poligami. Undang-undang dilihat terlalu sulit lagi menyulitkan bagi mereka yang ingin berpoligami.
Pemohon perlu membuat permohonan melalui Mahkamah Tinggi Syariah yang namanya sudah menimbulkan gerun. Mahkamah Tinggi Syariah di Malaysia pula mempunyai bilangan hakim yang terhad sehinggakan kadangkala menunggu giliran perbicaraan, rumah tangga yang dibina sedia kala menjadi retak menunggu belah mahupun terus berderai.
Mahkamah pula akan memanggil isteri pemohon, di samping bakal isteri serta walinya. Perbicaraan biasanya dibuat dalam mahkamah terbuka yang sedikit sebanyak menyebabkan ramai yang terbantut memikirkan kemungkinan aib yang bakal didengari orang lain. Perbicaraan biasanya akan membabitkan keterangan isteri yang peratus menolaknya sangat tinggi.
Maka keterangan ini kebiasaannya akan membabitkan kelemahan atau kekurangan suami sebagai menguatkan hujah menolak permohonan itu, sama ada ia benar atau mungkin ditambah-tambah. Mana mungkin orang baik lagi terhormat sanggup menghadapi keadaan ini sedangkan mereka dihormati dan disanjung masyarakat.
Akhirnya, mereka hanya memendamkan hasrat poligami demi kerana baiknya mereka dan tidak sanggup menanggung malu. Wanita yang memerlukan pembelaan atau perlindungan lelaki yang layak dan baik, sekali lagi hampa.
Kesimpulannya, poligami adalah jalan penyelesaian yang disediakan Allah untuk hamba-Nya. Hamba-Nya sebagai khalifah, haruslah mengatur jalan ini supaya cantik dan sesuai. Semua syaratnya harus dipenuhi dan dipelihara tanpa dihujani tambahan perkara yang menyulitkan. Kekeluargaan adalah permulaan sebuah ketamadunan. Sistem Islam adalah penyelamat.
Ibu tunggal trauma terima panggilan khidmat seks
Oleh Suhana Roslan Berita Harian
2010/05/26
Maklumat eksekutif jualan dimuat dalam laman web lesbian
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal trauma menerima lebih 50 panggilan telefon berunsur seks sehari sejak Februari lalu, daripada wanita tidak dikenali apabila maklumat dirinya sebagai pelayan wanita tertera di internet, walaupun tidak pernah berurusan dengan pengendali laman web itu. Ibu tunggal dikenali sebagai Goh, 36, yang juga eksekutif jualan berkata pemanggil di kalangan wanita itu menetapkan tarikh dan tempat untuk bertemu.
Goh berkata, pada awalnya beliau menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada individu tidak dikenali yang memarahinya kerana sanggup menjual diri di dalam sebuah laman web dengan menyatakan nama, nombor telefon dan harga bagi setiap perkhidmatan.
“Pada mulanya saya ingat SMS main-main daripada budak nakal, tetapi apabila menerima panggilan telefon daripada wanita yang inginkan perkhidmatan seks, saya mula curiga dan menghubungi nombor penghantar SMS berkenaan.
“Pemanggil memberitahu mendapat nama dan nombor telefon di sebuah laman web lesbian yang bertindak memaparkan maklumat diri saya tanpa disedari,” katanya pada sidang media di Biro Pengaduan Awam MCA di sini, semalam. Hadir sama, ketua bironya, Datuk Michael Chong.
Katanya, selepas meneliti laman web yang dinyatakan pemanggil, beliau sangat terkejut apabila melihat semua profil diri lengkap dengan wajahnya yang terbaru.
Berikutan itu, Goh membuat dua laporan di Balai Polis Damansara pada 1 Mac dan 29 April lalu, kerana bimbang dengan keselamatan dirinya yang semakin terancam. Sementara itu, Chong berkata, pihaknya menerima lebih 40 kes membabitkan penipuan di internet pada 2008.
Kahwin muda tak bahagia
ARKIB : 23/05/2010
Utusan Malaysia
KIRA-kira 10 tahun dahulu ketika saya ingin mendirikan rumahtangga dengan kekasih hati, kawan-kawan menasihatkan supaya saya fahami dahulu isi hati bakal suami supaya perjalanan rumahtangga teratur dan lebih harmoni. Saya cuma tertawa sahaja.''Ketika itu usia saya dan bakal suami baru 22 tahun. Masih muda. Kami menuntut di universiti tahun akhir. Emak suruh tamatkan pengajian dulu baru kahwin, begitu juga bakal mertua. Tetapi kami rasakan perkenalan sudah terlalu lama. Kami mula kenal ketika menuntut di sekolah menengah berasrama penuh. Kemudian sama-sama masuk universiti jadi kami sudah saling faham memahami. Bukan cinta monyet.'' Demikian cerita Rosadila dalam e-melnya.
''Kerana hubungan terlalu erat kami bimbang terlanjur. Jadi demi menjaga maruah keluarga lebih baik cepat kahwin. Lagi pun tak lama lagi kami akan keluar dan bekerja. Tentu tak ada masalah.
''Namun disebabkan keluarga kami bukanlah kaya sangat, maka majlis perkahwinan kami dibuat biasa-biasa sahaja. Hantaran cukup RM2,000, itupun Hazri terpaksa pinjam duit emaknya dahulu, kecuali duit upah nikah dan mas kahwin. Lebih daripada itu semuanya tanggungan mertua saya.
''Begitu juga saya, saya cuma siapkan badan, hinggakan andaman, pakaian pengantin, pelamin, bunga telur dan kenduri semua emak siapkan. Memang emak tak berduit, tetapi demi anak supaya tidak mencontengkan arang ke muka, emak berkorban sanggup berhutang berbaris demi kebahagian saya.
''Lepas kahwin kami masih tidak dapat tinggal serumah, sebab segalanya memerlukan wang. Dan kami tak cukup wang. Sekali sekala balik bercuti barulah kami dapat bersama. Masa nak kahwin bukan saja kawan-kawan emak pun bagi nasihat supaya bersabar sebab masalah kekengan kewangan. Tapi kami tak boleh sabar.
''Nak jadikan cerita habis belajar saya dapat kerja dulu dapatlah saya sewa rumah di bandar. Itupun pinjam duit emak sebagai permulaan. Pergi dan balik kerja naik motor dengan Hazri. Dah enam bulan bekerja saya masih tak dapat ganti duit emak, sebab Hazri masih menganggur. Dua bulan lepas itu baru dia dapat kerja. Itupun bukan kerja pilihannya. Tapi saya nasihatkan jangan pilih kerja kerana saya dah mengandung.
''Dipendekkan cerita lepas bersalin baru kami dapat beli kereta kecil, sebab masalah nak hantar ke rumah pengasuh. Awal perkahwinan baru kami faham masalah perkahwinan. Kami tak boleh salahkan sesiapa, ini pilihan kami. Susah senang tanggunglah sendiri.
Hutang
''Dah dapat dua anak hutang emak masih tak dapat saya bayar lagi, saya cuma dapat beri emak RM50 sebulan, memang tak padan, tetapi itulah yang saya mampu. Hazri pula sering bertukar kerja kerana katanya tak sesuai. Dan masalah lain yang dia sendiri sahaja boleh menjawabnya.
''Oleh kerana saya kekal bekerja, dan rezeki anak-anak, pendapatan saya bertambah. Dapatlah saya tambah duit saguhati dan ganti duit emak secara beransur-ansur. Lebih istimewa akhirnya Hazri dapat juga kerja yang dia minat. Legalah sikit hidup kami. Dan saya tak susah hati lagi kerana Hazri tidak lagi bertukar-tukar kerja.
''Saya bersyukur setelah lima tahun berkahwin, hidup kami bertambah baik dan saya lebih gembira dalam umur belum pun 30 tahun saya mendapat segala-galanya, ada sepasang anak, dapat pekerjaan yang baik dan sudah bersuami. Sedangkan ada kawan saya yang masih terkial-kial belum ada jodoh lagi, apa lagi anak.
''Tetapi sebagai manusia, kita boleh berusaha dan memohon, tetapi hanya Allah yang menentukan segala-galanya. Saya fikirkan langit sentiasa cerah rupanya mendung mula menjelma. Mula-mula saya melihat perubahan dalam gaya hidup Hazri.
''Ketika saya sibuk uruskan anak yang bertambah jadi tiga orang, dia sibuk dengan aktiviti luar. Sentiasa ada saja kawan yang dia nak jumpa. Keluar selepas waktu maghrib jam 11 baru pulang. Waktu itu makanan di rumah sudah tidak membuka seleranya lagi. Tak payah masak katanya dia makan dengan kawan di luar.
''Kalau seminggu sekali masuk akal juga, tapi kalau sepanjang minggu, siapa tak sakit hati. Rumah bukan lagi syurganya. Kita tegah dia melenting. Suasana dalam rumah waktu itu memang sentiasa panas. Bila tidur lewat bangun pagi pun lewatlah. Solat subuh selalu cicir. Lebih teruk kelewatannya mengganggu jadual saya menghantar anak ke rumah pengasuh dan ke tempat kerja.
''Kerana selalu bertengkar dia suruh saya beli kereta lain supaya tidak mengganggunya. Bila segalanya berasingan, maka hubungan kami pun semakin renggang. Dia sibuk dengan urusannya, saya pula dengan urusan anak-anak dan rumah.
''Pada kesempatan inilah dia mengambil peluang mempunyai kekasih baru. Setahun lamanya saya tak tahu akhirnya rahsianya terbongkar apabila saya terjumpa bil hotel di Melaka. Bila saya tanya dia kata milik kawannya. Tapi kenapa dia yang tandatangan dan ada dalam poketnya. Bila saya selidik waktu itu hari dia bekerja.
''Bila perasaan ragu-ragu bertakhta di jiwa, selidik dan siasatan mula saya jalankan. Kerana kita ada ramai kawan. Masalah ini segera terbongkar. Rupa-rupanya bukan itu kali pertama dia berjalan ke Melaka. Dah banyak kali dia kata bekerja sedangkan kawan pejabatnya beritahu waktu itu dia bercuti.
''Hubungan kami yang sejak dua tiga tahun semakin tegang menjadi bertambah parah. Saya sudah hilang kepercayaan padanya. Kalau dulu dia kata jumpa kawan lelaki sekarang saya syak tentulah kawan perempuan.
''Apa yang amat saya kesalkan. Ketika kami susah dahulu, hubungan kami begitu erat, saling kasih mengasihi, percaya mempercayai dan sayang menyayangi antara satu sama lain, kini segala-galanya sudah berubah. Hidup sudah tidak aman. Walaupun dia mati-matian mendakwa apa yang diperkatanya semuanya benar. Tetapi semuanya terbukti tidak benar. Hazri pandai berbohong. Pengorbanan saya selama ini sia-sia saja.
''Apa yang menyedihkan, ketika saya bahagia dengan tiga orang anak sedangkan ada kawan-kawan saya masih belum kahwin, tiba-tiba rumahtangga saya dilanda ribut taufan. Binasa semua rancangan yang selama ini kami susun bersama. Hazri lari daripada tanggung jawabnya. Malah semua urusan rumahtangga dia lepaskan pada saya.
''Apabila saya minta duit untuk belanja bulanan makan minum kami anak-beranak terutama susu dan duit pengasuh, katanya dia tak makan di rumah dan duitnya habis kerana bayar sewa rumah dan ansuran kereta. Sedangkan saya juga bayar ansuran kereta. Ini tak adil.
''Bila keadaan begini, saya ingat semula nasihat kawan-kawan, bahawa berkahwin di awal usia amat rapuh, tidak dapat bertahan lama.
''Kini pada usia 32 saya sudah bergelar ibu tunggal anak tiga. Memang saya boleh berdikari dan hidup bersendirian, tetapi saya takut bila iman tercabar dalam keadaan usia muda seperti ini. Lagi pun fitnah terlalu banyak. Namun saya Berjaya mengatasinya, selama hampir setahun ini. Demikian cerita Rosadilah panjang lebar tentang perjalanan hidupnya.
Khamis, Januari 14, 2010
Cerai isteri, kenapa mesti abaikan anak?
Utusan Malaysia
ARKIB : 11/01/2010
MUSIM persekolahan 2010 baru bermula. Tentu ibu bapa merasa lega kerana anak-anak telah kembali ke sekolah setelah hampir dua bulan bercuti. Rungutan sebahagian daripada anak-anak disebabkan tidak cukup kelengkapan untuk ke sekolah, tentunya merunsingkan ibu bapa.
Namun apa daya, itulah yang termampu.
Demikian keluhan seorang ibu tunggal, Azita (bukan nama sebenar), berusia awal 30-an dalam e-melnya kepada saya.
Sedih juga membaca kisah Azita yang ditinggal suami kerana kehadiran orang ketiga yang menyebabkan Azita dan anak-anaknya seramai empat orang tersingkir daripada hidup bekas suami.
Azita mempunyai empat orang anak berusia antara 10 tahun hingga 15 tahun. Salah seorang daripada empat anaknya terpaksa diserahkan kepada abang bekas suaminya.
"Siapa yang hendak berpisah dengan anak kandungnya, tetapi itulah yang terbaik saya lakukan untuk masa depan anak itu kerana dia dipelihara oleh bapa saudaranya sendiri. Saya reda dengan takdir Allah dan berharap dia akan menjadi manusia berguna apabila dewasa nanti," kata Azita memulakan cerita.
Kini yang tinggal bersamanya hanya tiga orang itu pun seorang di utara, seorang di barat, seorang di timur sebab tinggal di asrama.
"Kerana tidak mahu pelajaran mereka tercicir, saya sanggup berpisah daripada mereka, sebab ilmu itu penting untuk masa depan mereka.
"Biarpun berjauhan segala perbelanjaan mereka saya tanggung dengan wang gaji saya setiap bulan. Nama sahaja ada bapa tetapi tidak bertanggungjawab langsung terhadap anak-anak.
"Bukan dia tidak tahu setiap awal tahun anak-anak perlukan wang ringgit untuk naik sekolah, ini tidak, buat macam orang bujang.
"Pernah anak-anak telefon minta duit, jawapannya, mana abah ada duit? Ini kah jawapan yang diberikan oleh seorang bapa? Apa dia lupa akan tanggungjawabnya? Apa dia ingat yang menelefon minta duit itu anak patung atau robot?
"Memang saya tahu dia tidak ada duit sebab dia tidak bekerja. Semua orang ada masalah dengan duit. Tetapi sebagai bapa tidak bolehkah dia berusaha untuk mencari duit bagi perbelanjaan anak-anaknya itu? Sekurang-kurangnya cari kerja untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak yang saya pelihara.
"Ini tidak, ceraikan isteri, buang dengan anak-anak sekali….makan ke anak, sekolah ke tidak, ada mereka peduli?
"Memang lelaki sekarang tidak ada perasaan kasih sayang kepada anak-anak mereka yang di pelihara oleh bekas isteri. Yang dia orang tahu, nikah, lepas dapat anak tinggal begitu sahaja, yang kena pikul isteri juga.
"Bukan setakat persekolahan, apabila musim hari raya begitu juga, tidak pernah hendak ambil tahu satu perkara pun tentang anak-anak.
"Pernah satu ketika apabila fikiran runsing, saya seperti mahu tinggalkan sahaja anak-anak dan buat haluan sendiri, tapi hati ibu, mana tergamak, mulut saja cakap, hati berkata tidak.
"Susah macam mana sekalipun anak tetap anak… kena jaga dan bagi pendidikan. Masa depan mereka yang penting.
"Saya juga sudah bosan hendak lalui semua ini, hendak menuntut di Mahkamah Syariah apa yang dapat? Naik turun beratus kali pun, bekas suami tetapi macam itu, mahkamah juga tidak dapat berbuat apa-apa apa lagi jika bekas suami tidak bertanggungjawab ini tidak bekerja.
"Yang rugi kita, bekas isteri, yang penat pun kita. Sudah duit ringgit habis buat tambang, masa juga terbuang, kes macam itu juga tidak ada kesan apa pun kepada bekas suami, sebab yang merana adalah bekas isteri dan anak-anak.
"Mereka tetap bahagia bersama isteri baru. Tambahan pula jika dapat kereta… hidup senang sebab isteri baru boleh tanggung. Ke hulu ke hilir dengan isteri baru macam baru pertama kali kahwin, tidak ada tanggungjawab.
"Saya hairan macam mana bekas suami tidak boleh berfikir dan tidak ada perasaan kasihan kepada anak-anak yang ditinggalkan. Lelaki dan bapa jenis apa mereka itu?
"Saya berdoa agar satu hari bekas suami yang perangai macam ini akan sedar akan kesilapan mereka dan insaf dengan perbuatan itu. Doa saya juga semoga anak-anak berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan soleh dan solehah.
"Saya berharap saya diberi kesihatan yang baik, kekuatan dan kesabaran untuk menangani kesempitan hidup ini selagi hayat di kandung badan. Insya-Allah," demikian Azita menamatkan ceritanya.
Kisah Azita bukan cerita baru yang pernah saya siarkan, ia kini menjadi satu virus yang semakin merebak di dalam kehidupan masyarakat kita.
Begitu juga kisah bekas isteri naik turun mahkamah kerana masalah nafkah anak semakin berleluasa. Setakat ini belum ada satu cara konkrit untuk menanganinya dan 'memaksa' bekas suami bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka yang dipelihara bekas isteri.
Saya puji sikap Anita yang tidak mahu bersandarkan kesempitan hidupnya dengan hanya naik turun mahkamah tetapi tidak ada jalan penyelesaian.
Hidup perlu diteruskan, masa depan anak-anak perlu dijana, itulah tindakan bijak Azita. Semoga apa yang diharapnya akan menjadi kenyataan. Anda patut menjadi ibu contoh.
Menutup kata, pesanan saya buat Azita, kita harus menjadi wanita yang hebat, perkasa, tabah dan bijaksana dalam menangani masalah. Ibaratnya seperti pokok mawar yang baru ditanam, jika tidak berbunga ia pasti akan terus tumbuh dan segar.
Salam
Sabtu, November 28, 2009
25 tahun bergelar ibu tunggal
rosmaliana@hmetro.com.my
"SAYA pernah makan lebihan nasi anak disebabkan kesempitan duit untuk membeli makanan satu masa dulu.
"Nasi itu hanya sebungkus tapi dikongsi bertiga," kata Fatimah Kunyah, 50, ketika mengimbau kembali pengalaman hidupnya selama 25 tahun menjadi ibu tunggal.
Namun, kesempitan hidup ketika itu tidak sesekali mematahkan semangat Fatimah untuk berusaha mencari sesuap nasi demi menyara dua anaknya yang masih kecil.
Dia pernah berkahwin dua kali, tetapi kedua-dua perkahwinan itu dianggap amat membebankan kehidupannya.
Perkahwinan pertama bertahan enam tahun dan dikurniakan dua anak, manakala perkahwinan kedua hanya mampu bertahan setahun sebelum diceraikan melalui borang cerai yang diposkan kepadanya.
Disebabkan kegagalan dua perkahwinannya sebelum ini, hatinya tertutup untuk terus bergantung hidup bersama seorang lelaki.
"Saya serik dan takut sekiranya berkahwin lain, nasib akan menjadi lebih buruk dan menyebabkan kebajikan anak terabai.
"Biarlah saya sendiri membesarkan anak, sekiranya itu yang boleh membahagiakan kami sekeluarga," katanya ketika ditemui di rumahnya di Pangsapuri Angsana, USJ1, Subang Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Fatimah yang berasal dari Rantau Panjang, Kelantan berhijrah ke Subang Jaya pada 1991 itu berkata, sebagai mata pencarian utama dia memulakan perniagaan kecil-kecilan dengan menjual nasi di tepi jalan dan menghantar kanak-kanak ke sekolah.
Melalui pendapatan diperoleh itu, dia membesarkan anak, membayar segala perbelanjaan seperti sewa rumah, elektrik dan air.
Bagaimanapun, katanya, tujuh tahun selepas itu dia diberi peluang untuk menyediakan makanan kepada kakitangan sebuah kilang yang bermurah hati untuk membantunya.
"Sepanjang 14 tahun ini kilang berkenaan banyak membantu dan hingga kini saya masih menyediakan makanan kepada kakitangannya.
"Sungguhpun saya tidak hidup senang, saya tetap bersyukur kerana masih mampu untuk menyara diri dan menyekolahkan anak. Itu perkara paling penting bagi saya," katanya.
Selain itu, katanya, setiap wanita perlu memahami bahawa penting untuk belajar berdikari kerana kita tidak mengetahui apa yang akan berlaku di kemudian hari nanti.
"Jangan hanya disebabkan ujian kecil, wanita mudah untuk mengaku kalah dan berserah pada takdir saja.
"Bagi saya, walaupun pendapatan diperoleh dengan melakukan jualan secara kecil-kecilan itu setakat cukup makan saja, saya tetap berbangga kerana anak berjaya dalam pelajaran dan sudah mula bekerja.
"Malah, melalui duit hasil jualan itu jugalah saya dapat mengerjakan fardu haji," katanya.
Fatimah menegaskan setiap dugaan boleh dihadapi sekiranya kita yakin dan sabar dalam menempuhnya serta berusaha untuk meningkatkan taraf kehidupan.
"Usah mudah mengalah dan menganggap segala ujian sebagai penamat segala-galanya kerana ia mungkin satu perjalanan ke arah satu kehidupan baru yang lebih bermakna.
"Jadi tabah untuk anak-anak kerana mereka amat memerlukan kita di saat-saat kepayahan seperti ini," katanya.
Isnin, Ogos 03, 2009
Ibu dan ayah bercerai, anak jadi mangsa
Sumber : Utusan Malaysia
RUMAH TANGGA apabila menghadapi keruntuhan pasti memberi kesan kepada anak-anak terutama mereka yang masih kecil.
Namun ini tidak bermakna anak-anak remaja juga terlepas daripada tekanan tersebut, malah mereka adalah golongan yang bimbang akan tersasar hala tuju jika tidak dibimbing ke jalan yang sempurna demi masa depan mereka.
Tidak dinafikan ada anak mangsa perceraian berjaya dalam pendidikan mereka sehingga mendapat jawatan tinggi dan ada pula yang tercicir dan hidup terbiar.
Dalam hubungan ini ibu bapa memainkan peranan menentukan masa depan anak-anak apabila perceraian berlaku agar anak-anak tidak merasa diketepikan seperti mana yang dilalui oleh Murni (bukan nama sebenar).
Murni, 23, anak kedua daripada tiga adik beradik mempunyai seorang kakak, 25, dan adik perempuan, 14 tahun mengirim e-mel kepada saya untuk berkongsi kisah menjadi anak terbiar setelah ibu bapanya terpisah.
Membaca kisah Murni saya mengeluh panjang. Maklumlah, selama ini banyak kisah memaparkan tentang pengorbanan ibu tunggal membesar dan mendidik anak mereka tanpa suami.
Sayangnya kisah yang diluahkan Murni terbalik pula. Ibunya pula yang yang mengabaikan mereka setelah bergelar ibu tunggal lebih kurang lima tahun lalu. Sebabnya, dia ligat buat bisnes jualan langsung.
Ibu dengan cara ibu, ayah pula lebih pentingkan isteri baru dan anak tirinya, membiarkan mereka tiga beradik terkapai-kapai sendiri.
Sebagai anak Murni tidak tahu punca perpisahan ayah dan ibunya, sekadar dimaklumkan bahawa mereka tidak sehaluan lagi. Ikuti kisah Murni seperti diceritakan dalam e-melnya kepada saya untuk dijadikan iktibar oleh pembaca.
"Kami tiga beradik memilih untuk tinggal bersama ibu sebab ayah mengambil keputusan berkahwin lain dengan seorang janda beranak tiga setelah mereka bercerai.
"Ibu tidak membantah hasrat kami, walaupun dia berkata akan keluar mencari kerja bagi menampung hidup kami. Di peringkat awal kami merasa bahagia bersama ibu. Sayangnya keadaan berubah apabila ibu mula mencebur diri di dalam satu perniagaan.
"Pada mulanya saya, kakak dan adik tidak perasan perubahan ibu. Lama kelamaan saya merasakan ada kelainan pada perangai ibu. Pakaiannya sudah berubah, dulu jika dia suka berbaju kurung sekarang tidak lagi.
"Ke mana sahaja mesti pakai seluar siap dengan jaket lagi. Memang dah jadi orang bisnes sekarang, gaya dan lagak juga berubah. Tapi saya dan kakak tidak pernah tegur sebab dia ibu kami.
"Malangnya keadaan semakin teruk apabila ibu sering tidak pulang ke rumah. Alasannya ke luar daerah urusan bisnes.
"Sekali dua mungkin kami boleh percaya, tetapi apabila telah menjadi kebiasaan pelik juga rasanya.
"Sebagai anak kami juga tertanya-tanya, kenapa ibu berubah laku macam anak dara, tidak ingat tanggungjawab kepada kami anak-anaknya. Memang betul kami telah dewasa dan boleh jaga diri sendiri, sekurang-kurangnya ibu perlu fikir tentang keselamatan kami, juga kebajikan adik yang masih bersekolah.
"Mujur kakak ada, dia banyak memberi saya dan adik semangat untuk menghadapi situasi ini supaya kami tidak tertekan dan dapat meneruskan hidup seperti biasa.
"Saya sendiri tidak tahu produk apa yang ibu buat tetapi saya tahu dia bekerja keras untuk berjaya kerana dia nak buktikan kepada ayah yang dia boleh berjaya tanpa ayah.
"Ibu berjaya dalam usahanya tetapi gagal menjalankan tanggungjawab kepada kami, begitu juga dengan ayah. Anak tiri ditatang dan dilayan dengan baik, tapi kami pandang sebelah mata pun tidak.
"Duit belanja ayah bagi cukup-cukup untuk kami tiga beradik. Mujur kakak sudah kerja, ada juga belanja lebih kalau terdesak. Ibu walaupun bisnes, kedekut nak keluar duit.
"Saya juga kecewa dan malu dengan ibu yang tidak tahu jaga maruahnya sebagai ibu tunggal, ke hulu ke hilir bersama lelaki. Malu juga saya apabila kawan-kawan sekolah terserempak dengan ibu lepak-lepak di kopitiam dan kafe dengan lelaki.
"Saya tidak tahu sama ada ibu ada teman lelaki lain selepas bercerai dengan ayah. Kalau tanya dia akan jawab semua lelaki itu rakan bisnes… apa lagi yang kami nak kata. Mahu tak mahu, suka ke tidak, kena tutup mulut, kalau tidak teruk kena marah dengan ibu.
"Saya bercerita ini sebab tidak tahan lagi dengan perangai ibu. Pernah saya dan kakak berbincang untuk balik kampung tinggal bersama nenek sebelah ibu yang rapat dengan kami. Di sana kami ada bapa saudara dan ibu saudara yang faham masalah kami.
"Bila difikir balik kata kakak, biarlah kami susah sendiri di sini. Lagipun kata kakak dia sudah dewasa dan boleh menjaga saya dan adik. Kalau di kampung, belum tentu kami akan gembira.
"Kami beruntung sebab rumah itu ayah berikan kepada kami, jadi tempat tinggal tidak ada masalah. Saya berharap sangat-sangat agar ibu berubah. Siang malam saya, kakak dan adik berdoa mudah-mudahan Allah akan membuka pintu hati ibu untuk sedar akan keterlanjuran sikapnya kepada kami.
"Saya mendoakan agar hidup kami tiga beradik akan pulih seperti sedia kala. Saya ingin mengingatkan pasangan suami isteri yang menghadapi masalah rumah tangga supaya memikirkan kebajikan dan masa depan anak-anak selepas bercerai.
"Jangan syok sendiri nak kejar glamor. Jaga anak-anak, beri kasih sayang dan tunaikan tanggungjawab memberi nafkah kepada mereka. Kepada kaum bapa, jangan abaikan anak-anak selepas berkahwin lain. Jangan pilih kasih dan bezakan anak tiri dan anak kandung.
"Kami bukan nak kan harta tapi kasih sayang. Itu sudah mencukupi. Jangan kerana ibu dan ayah berdendam antara satu sama lain kami jadi mangsa. Apapun keadaan kami doakan yang terbaik untuk ayah dan ibu.
"Jika ayah dan ibu terbaca catatan ini, saya minta maaf jika ibu dan ayah terasa," demikian Murni menutup cerita.
Saya juga hilang kata-kata untuk memberi komen terhadap kisah yang Murni luahkan. Namun saya yakin ia menjadi iktibar paling bermakna kepada pasangan suami isteri sebelum membuat keputusan bercerai.
Anak-anak sekarang boleh melihat, mendengar dan menilai apa yang berlaku dalam kehidupan mereka. Seperti kata Murni, dia, kakak dan adiknya amat berharap ibu mereka akan berubah, begitu juga saya.
Pada masa sama, pesanan saya kepada Murni, kakak dan adiknya supaya terus melayan ibu mereka dengan sebaik-baiknya. Buruk baik, dia tetap ibu. Hormati, sayangilah dia.
Nasihat saya, ajak ibu berbincang, luahkan apa yang anda bertiga rasakan. Ingatkan dia tentang saat manis semasa anda semua tinggal sebumbung. Saya pasti naluri seorang ibu akan merasainya. Mungkin dia tersasar tetapi masih ada jalan untuk membawa ibu kembali ke pangkal jalan.
Mungkin sebagai anak, anda boleh melakukannya. Menutup catatan, sepatah kata buat renungan, kebahagiaan bukan di tangan orang lain tetapi di tangan sendiri kerana di dalam dirimu itu, ada pelita yang harus engkau nyalakan untuk menyinari alam di sekelilingmu!
Salam
Selasa, Julai 28, 2009
‘Saya beri apa termampu’
KUALA LUMPUR: Seorang ibu tunggal penghidap penyakit kencing manis sejak 18 tahun lalu terpaksa menanggung lima cucu yang ditinggalkan ibu bapa mereka dalam keadaan serba kekurangan terutama selepas kematian suami lapan bulan lalu.
Shalmiah Nasir, 56, berkata dia reda dengan apa yang berlaku berikutan kelima-lima cucunya masih kecil dan memerlukan perhatian walaupun terpaksa dibesarkan dengan penuh kepayahan dan kekurangan.
Ibu tunggal yang kini mengalami rabun mata kesan daripada penyakit kencing manis dihidapi berkata, dia tidak akan sesekali meninggalkan cucunya walau bagaimana susah sekali pun kehidupan kerana mereka tetap darah dagingnya.
“Saya akan pastikan mereka berjaya dalam pelajaran dan berikan apa termampu selagi berdaya. Tapi rasa sebak dan sedih mengenangkan nasib mereka tidak dapat disembunyikan.
“Dengan keadaan saya kini yang sukar bergerak kerana tidak nampak, kebanyakan tugas harian di rumah dipikul cucu dan jiran tetangga yang bersimpati,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Perumahan Awam Sri Kota, Bandar Tun Razak di sini, semalam.
Katanya, dia tidak akan sesekali meminta simpati sesiapa jika mampu melakukannya sendiri tetapi ekoran kudrat yang ada tidak sekuat mana, hanya bantuan daripada pihak sudi membantu amat diharapkan kini.
Memburukkan lagi keadaan apabila seorang cucu perempuannya, Nurul Atikah Abdullah, 7, mengalami penyakit kulit menyebabkan kakinya berkudis (kudis buta) dan dijangkiti semua cucunya kini yang mengalami sakit berkenaan.
“Sudah dua bulan Atikah dikesan mengalami kudis buta, tetapi akhir-akhir ini ia makin teruk. Malah gurunya juga tidak mengizinkannya ke sekolah bimbang berjangkit kepada pelajar lain.
“Namun disebabkan minatnya dalam pelajaran, dia tetap berkeras untuk ke sekolah walaupun sudah dilarang berulang kali,” katanya.
Tampil menyampaikan sumbangan makanan kepada Shalmiah sekeluarga, semalam ialah Presiden Yayasan Bakti Khidmat Masyarakat Malaysia (YBKMM), Datuk Sri Dr Saharuddin Awang Yahya.Turut hadir, Pengurus Besar YBKMM, Datuk Sheeda Ramli dan Pengerusi Perkhidmatan Pengurusan dan Perkhidmatan Juru Perunding, Datuk Wan Daud Saud.
Saharuddin berkata, YBKMM akan membantu golongan memerlukan seperti keluarga Shalmiah dan antara langkah penyelesaian ialah mereka akan dibawa ke Rumah Penyayang di Taman Koperasi Cuepacs, Batu 13, Kajang, selewat-lewatnya awal Ogos depan.
“Di sana mereka akan mendapat jagaan sewajarnya. Malah segala perbelanjaan harian, rawatan kesihatan serta perbelanjaan persekolahan lima kanak-kanak berkenaan akan ditanggung sepenuhnya yayasan,” katanya.
Mereka yang ingin mendapatkan maklumat dan menghulurkan bantuan boleh menghubungi YBKMM di talian 03-42962071.
Isnin, Julai 27, 2009
Demam selagi tak bayar zakat
Keresahan itu menyebabkan Sopiah Hashim (gambar), 59, yang tinggal di Kampung Kubang Semang, dekat sini, bergegas ke Pejabat PUZ Maipp cawangan Bukit Mertajam di Kompleks Bukit Mertajam dengan ditemani keempat-empat anaknya itu.
Sopiah berkata, dia menunaikan tanggungjawab membayar zakat tahunan berjumlah RM46,230 sejak 15 tahun lalu, hasil jualan langsung pinggan mangkok Akojaya termasuk kain cadar dan beg tangan secara kecil-kecilan sekitar Bukit Mertajam dan jiran terdekat, untuk menyara keluarga.
“Mak cik berasa lega selepas membayar zakat simpanan dan ia diibaratkan seperti selesai menunaikan solat lima waktu,” katanya selepas Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas menyampaikan Anugerah Pembayar Zakat Prihatin (kategori perseorangan) kepadanya, di Hotel Sunway, di sini semalam.
Katanya, selepas dia membayar zakat, rezekinya bertambah dan meningkat tanpa menimbulkan masalah keluarga dan perniagaannya itu hingga menyebabkan dia mengamalkan membayar zakat.