#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, Jun 30, 2009

Anak tak sah taraf dibintikan Abdullah ketika akad nikah

SAYA bakal mendirikan rumah tangga akhir tahun ini, Insya-Allah. Saya ingin tahu dengan jelas kedudukan atau prosedur yang bakal saya hadapi berikutan status saya sebagai anak tidak sah taraf. Apakah akad nikah yang dilafazkan wali hakim dan benarkah ada perbezaan akad yang bakal dilafazkan terhadap anak yang tidak sah taraf? Saya perlu dibintikan dengan siapa? Saya perlu jawapan ustaz demi persiapan yang perlu dibuat dan pada masa sama, menjaga maruah ibu dan keluarga bakal suami.

Gadis Keliru,Perak.

KES yang menimpa saudari ini amat dikesali. Inilah akibat apabila manusia melakukan sesuatu perkara berdasarkan kepentingan syahwat. Allah SWT berfirman dalam surah al-Nisak ayat 176, maksudnya: "Allah menerangkan (hukum ini) kepada kamu supaya kamu tidak sesat. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Apabila manusia melakukan tindakan tanpa mengikuti batasan syariat, berlaku fitnah dan keburukan. Firman Allah SWT lagi dalam ayat surah al-Rum ayat 41:
"Sudah timbul pelbagai kerosakan dan bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak berasakan mereka sebahagian daripada balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)."

Antara kemusnahan itu ialah kelahiran anak tanpa bapa yang sah akibat perbuatan aniaya membabitkan rogol dan zina.

Bagaimanapun dalam kes saudari, saudari ialah mangsa salah laku dan tidak wajar dipersalahkan kerana Allah SWT berfirman dalam ayat ke-164, surah al-An'am, maksudnya : "Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh seseorang melainkan orang itu saja yang menanggung dosanya; dan seseorang yang boleh memikul tidak akan memikul dosa perbuatan orang lain (bahkan dosa usahanya saja); kemudian kepada Tuhan kamulah tempat kamu kembali, lalu ia menerangkan kepada kamu akan apa yang kamu berselisih padanya."

Benar apa yang dikatakan saudari iaitu wali yang akan menikahkan saudari adalah wali hakim.

Tiada sebarang perbezaan antara lafaz nikah itu. Cuma pihak wali akan meletakkan binti saudari kepada Abdullah kerana saudari tidak memiliki bapa sah. Saudari perlu menjelaskan keadaan ini kepada wali berkenaan bagi mengelakkan kerumitan berlaku pada hari akad nikah.

Sumber : Berita Harian

Poligami bukan sekadar mampu kewangan

Islam menetap lima hukum perkahwinan untuk menjaga hak isteri, institusi keluarga

SEJAK akhir ini, pelbagai kisah mengenai poligami membabitkan artis serta tuntutan fasakh dilaporkan media. Untuk pengetahuan ustaz, saya sudah berkahwin dan buat masa ini tidak terlintas untuk berpoligami kerana menyedari tanggungjawab serta kemampuan diri terbatas. Namun, ramai rakan di pejabat, sebaliknya memperlekeh isu poligami ini. Persoalannya, apakah hukum poligami? Siapa yang layak berpoligami? Bagaimana adab untuk si suami memaklumkan isterinya dan apakah yang harus dilakukan isteri jika suami mahu berkahwin lagi.

Zulkifli S,
Klang.

MENJAWAB soalan yang pertama mengenai hukum, ada baiknya jika dikemukakan sejarah poligami dalam Islam. Allah SWT berfirman dalam ayat ketiga surah al-Nisak, maksudnya: "Dan jika kamu takut tidak berlaku adil terhadap perempuan yatim (apabila kamu berkahwin dengan mereka), maka berkahwin dengan sesiapa yang kamu berkenan daripada perempuan (lain); dua, tiga atau empat. Kemudian jika kamu bimbang tidak berlaku adil (antara isteri kamu) maka (berkahwin) seorang saja, atau (pakai) hamba perempuan yang kamu miliki. Yang demikian itu lebih dekat (untuk mencegah) supaya kamu tidak melakukan kezaliman."

Menurut pentafsir, contohnya dalam kitab al-Tafsir al-Muyassar, ayat ini diturunkan bagi memberikan kelonggaran kepada penjaga (wali) anak yatim untuk mengahwini gadis lain jika dibimbangi timbul masalah kerana mengahwini gadis yang juga anak yatim di bawah jagaan mereka. Ia termasuk masalah mahar yang sepatutnya diberikan kepada anak yatim itu.

Menurut Ibn Kasir dalam tafsirnya, menyatakan tradisi masyarakat Arab pada zaman dulu untuk menikahi gadis yang kematian ayah yang kaya bertujuan membolot harta yang ditinggalkan. Tambahan pula jika gadis itu cantik memikat. Ia antara riwayat daripada Aisyah RA seperti yang diriwayatkan al-Bukhari dalam sahihnya.

Poligami ini pada dasarnya dibenarkan Islam mengambil kira perkara tertentu, contohnya isteri mengalami penyakit menyebabkan dia tidak dapat memenuhi tuntutan seksual suami.

Apabila perkahwinan yang tujuannya memberikan keseronokan syahwat secara halal tidak lagi berperanan, Islam membenarkan perkahwinan dengan isteri kedua untuk menyelamatkan keadaan itu.

Apabila kita mengkaji sirah Nabi, perkahwinan Baginda secara poligami dengan sembilan isteri pada suatu masa sebenarnya mempunyai pelbagai hikmah antaranya, ia pembelaan kepada mereka termasuk isteri bernama Saudah, Ummu Habibah dan Ummu Salamah.

Isteri lain pula dikahwini untuk menjadi hukum yang akan dipegang umat Islam berkaitan perkahwinan dengan isteri anak angkat seperti berlaku pada Zainab.

Ada juga perkahwinan Baginda dengan golongan Yahudi seperti Safiyyah bertujuan sebagai dakwah. Amalan Nabi ini akhirnya menjadi ikutan sahabat yang datang selepas itu, hampir semua mengamalkan poligami seperti Nabi SAW.

Namun, harus diingat poligami yang dibenarkan menuruti ketetapan syarat. Syarat ini diletakkan sebagai dasar bagi mengelakkan kezaliman kepada wanita, khasnya pada zaman mutakhir ini apabila poligami menjadi faktor utama pengabaian tanggungjawab kepada isteri dan anak.

Antara syarat diletakkan fuqaha terhadap suami yang ingin mengamalkan poligami ialah:
* Mampu adil dengan isteri seperti firman Allah SWT dalam ayat ketiga surah al-Nisak.
* Mampu menghadapi ujian kehidupan poligami kerana suami harus bijak mengendalikan permasalahan semua isteri tanpa mengabaikan hak Allah ke atas mereka.
* Mampu memenuhi keperluan isteri. Jika lelaki beristeri lebih gagal memenuhi tuntutan seksual isteri, dibimbangi isteri terbabit maksiat.
* Mampu memberi nafkah kepada isteri tanpa berlaku zalim dalam pembahagian itu.

(Untuk maklumat lanjut rujuk Kitab Ensiklopedia Fiqh karangan Ab Malik Kamal Sayyid Ibrahim cetakan Pustaka Ibn Kasir, Jakarta).

Berdasarkan huraian di atas, dapat kita fahami sekalipun hukum poligami pada asalnya harus, ia bertukar kepada hukum lain seperti berikut :
Wajib ~ Jika dibimbangi seseorang lelaki terjerumus melakukan maksiat.
Sunat ~ Sekiranya dengan perkahwinan dapat memberikan perlindungan kepada wanita yang memerlukan perlindungan.
Harus ~ Dalam keadaan umum, apabila yakin dapat menjaga kepentingan semua isterinya.
Makruh ~ Apabila perkahwinan disebabkan memenuhi tuntutan syahwat semata-mata tanpa mengadakan kajian dan mesyuarat dengan orang berilmu dan salih.
Haram ~ Sekiranya perkahwinan dilakukan untuk menganiaya sesuatu pihak sama ada isteri yang sudah sedia dinikahi atau bakal isteri.


Indahnya Islam seperti dikatakan ulama seperti al-Ghazali dalam al-Mustasfa dan Ibnul Qayyim dalam I'lam al-Muwaqqa'in yang mana objektif utama membawa keselamatan kepada umat.

Apa yang menjadi masalah hari ini ialah poligami berlaku dengan sewenang-wenangnya tanpa kajian mendalam terhadap kemampuan diri.

Tidak dinafikan lelaki mampu dari sudut kewangan, tapi dia juga harus mampu memberi keutamaan pendidikan dan kefahaman Islam terhadap isteri.

Saya mencadangkan lelaki yang ingin berpoligami mengikuti saranan Nabi iaitu mengutamakan aspek agama di samping kecantikan. Berapa ramai lelaki tertipu dalam perkahwinan kedua dengan memilih isteri jelita, malah ada yang sebaya anak sendiri. Akhirnya perkahwinan itu berakhir dengan cepat kerana isteri mudanya tidak mempunyai kefahaman agama.

Ambil pengajaran daripada amaran Nabi SAW dalam hadis: "Janganlah kamu mengahwini seseorang wanita kerana kecantikannya kerana kecantikannya akan menghancurkannya. Jangan kamu kahwini kerana hartanya kerana harta itu akan menjadikan mereka melampaui batas, tetapi kahwinilah dia kerana agamanya... (Riwayat Ibn Majah).

Menjawab soalan kedua, saya mencadangkan isteri yang menghadapi perkara ini muhasabah diri. Kemungkinan ada sikap kita yang kurang disenangi suami seperti tidak menjaga penampilan diri yang turut membabitkan sikap, kata-kata dan penjagaan rupa. Suami hakikatnya kerap mengadu masalah isteri selekeh dan tidak menggoda.

Perkara kedua yang perlu dilakukan ialah kembali kepada Allah SWT dengan melakukan solat sunat hajat, tahajud dan dhuha. Sebagai contoh, Nabi bersabda dalam hadis sahih: "Wahai anak Adam, kerjakanlah olehmu dua rakaat Dhuha, nescaya akan kupenuhi segenap hajatmu pada hari itu.

"Wanita juga digalak berpuasa sunat kerana doa orang yang berpuasa diterima Allah SWT. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 153: "Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang yang sabar."

Ramai ulama contohnya al-Baidhawi mentafsirkan maksud sabar ialah puasa. Terakhir, bermesyuarat dengan suami menerusi pendekatan paling disenangi dengan mempamerkan rasa hormat tanpa memperkecilkan dirinya sehingga menyebabkan dia hilang pertimbangan. Kehadiran orang salih yang dikenali juga mungkin berperanan besar terhadap suami agar memikirkan semula kewajaran tindakannya itu.

Sumber : Berita Harian

Isnin, Jun 29, 2009

Menghangatkan kembali hubungan suami isteri

Susunan Noor Fazrina Kamal
Utusan Malaysia

PERKAHWINAN bukan sekadar seks dan percintaan sahaja. Ia membawa maksud yang sangat meluas. Bila anda mengucap janji untuk setia sehidup semati mengharungi susah senang bersama bukanlah sekadar ungkapan di bibir sahaja, seluruh jiwa raga akan turut memikul amanah yang bukan calang-calang saiznya.

Tahun pertama perkahwinan memang indah apabila anda dan pasangan masih mempunyai banyak masa romantis bersama. Sesekali berpelukan menghadiahkan ciuman pada waktu yang tidak disangka-sangka memang satu perkara yang amat indah terutama bagi si isteri.

Tetapi apabila usia perkahwinan mencecah lima tahun ke atas, suami mungkin tidak lagi melakukan perkara yang biasa dilakukan terhadap anda dahulu.

Dalam erti kata yang lebih mudah, suasana hangat di awal perkahwinan bertukar menjadi suam seiring pertambahan usia rumah tangga yang dibina.

Lebih teruk apabila anda dan pasangan kini seakan orang asing dan hanya berbual apabila ada perkara penting sahaja.

Rumah tangga yang suram, anak-anak semakin membesar dan terikat dengan kerja yang semakin membebankan pasti membuatkan anda tidak lagi memberi keutamaan kepada pasangan.

Jika perkara tersebut berlarutan lama kelamaan perasaan cinta semakin hilang dan yang tinggal hanyalah rasa tanggung jawab dan hormat antara satu sama lain.

Antara formula yang ditemukan oleh para pakar psikologi perkahwinan bagi 'merawat' perhubungan yang mula hambar ialah dengan dating.

Temu janji atau dating ini tidak bermakna anda dan pasangan pergi ke tempat atau restoran sama yang pernah anda berdua kunjungi. Kunjungan ke tempat lama hanya akan memberikan impak kurang baik kepada hubungan yang telah sedia goyah.

Sebaiknya pasangan disarankan mencuba ke tempat baru serta aktiviti baru yang boleh membangkitkan satu perasaan teruja terhadap kedua-duanya.

Bila satu aktiviti baru dilakukan bersama, kegembiraan tersebut secara tidak langsung memberikan nilai positif terhadap perhubungan.

Situasi sebenar seorang isteri...
Contohnya, pernahkah anda sebagai isteri sesekali terfikir akan perkara seperti di bawah:
"....Memang saya masih sayangkan dia, sesekali kami makan berdua di restoran, menonton wayang dan jika bersembang, topik yang menjadi perbincangan ialah tentang anak-anak. Tetapi selepas usia perkahwinan kami mencecah 10 tahun perbualan kami semakin terhad, kami hanya bercakap tentang perkara yang penting dan tiada lagi gurau senda atau gelak ketawa.


Adakalanya saya terfikir, bila kami semakin tua mungkinkah kami akan semakin senyap"...

Situasi di atas memang banyak dialami oleh kebanyakan pasangan suami isteri.

Memang sampai satu peringkat dalam perkahwinan, suami isteri tidak lagi banyak berkomunikasi seperti dahulu. Tetapi dengan merancang satu pertemuan istimewa pasti akan ada perkara baru yang anda berdua bicarakan.

Biarkan kimia dopamin terhasil sekali lagi

Jadi apa salahnya mencuba. Antara cadangan yang diberikan ialah seperti di bawah;
* Selalu sangat anda menonton wayang dengan dia terutama ketika berpacaran dahulu, kali ini apa kata berubah dengan mengajak pasangan ke persembahan teater, tentu banyak perkara yang baru yang boleh disembangkan. Jika teater yang ditonton begitu romantis dan sentimental, tidak salah jika anda berpegangan tangan, tetapi jika sekali pun persembahan teater itu tidak menarik anda dan pasangan boleh sama-sama mengutuk persembahan tersebut, tentu suasana hambar mula berubah.


* Cuba ajak pasangan anda berjalan ke satu kawasan perumahan yang anda idamkan. Cuba bayangkan bahawa anda dan keluarga akan mendiami kawasan tersebut dan menghadapi kehidupan yang sempurna dan tenang. Walaupun ia belum berlaku, pasti mood anda dan pasangan akan terangsang kerana membayangkan sesuatu yang seronok dan sempurna untuk kehidupan anda sekeluarga terutama selepas bersara kelak.

* Jangan kata usia kita menjadi penghalang untuk kita berhibur di taman tema. Apabila mula bercinta, otak mengeluarkan sejenis kimia yang dipanggil dopamin, hormon tersebut membuatkan manusia berasa gembira.

Apabila melakukan sesuatu yang mencabar dan tambahan pula ia satu perkara yang baru bagi anda dan pasangan dopamin akan terhasil sekali lagi sekali gus membuatkan kamu berdua merasai perasan gembira tersebut bersama-sama.

Justeru apa salahnya jika anda dan pasangan mencuba menaiki roller coaster yang mencabar di mana-mana taman tema yang terdapat di negara ini. Walaupun anda atau suami jenis yang kecut perut dengan roller coaster, tidak salah mencuba bukan? Bila sama-sama menjerit, tangan anda akan berpaut pada satu sama lain pasti cinta akan bersemarak semula.

Tiga idea yang dicadangkan di atas mungkin menjadi 'pemecah tembok' bagi anda untuk merancang sesuatu yang baru dalam perhubungan anda suami isteri.

Banyak lagi yang boleh dilakukan semuanya bergantung kepada diri anda untuk berubah atau tidak.

Namun dalam usaha anda untuk melakukan sesuatu jangan pula dijadikan alasan untuk anda berdua bergaduh, sebaiknya pastikan juga keperluan lain seperti kewangan yang stabil, anak-anak semuanya berada dalam tahap yang memuaskan. Ingat tepuk dada tanya selera.

Tersilap kahwin penagih

ADA mulanya amat berat hati saya hendak menulis tentang masalah besar yang saya hadapi kini yang bermula sejak lebih 5 tahun lalu. Tetapi setelah saya membaca kisah Norshahira yang suaminya juga penagih dadah kira-kira dua bulan lalu, terbuka pintu hati saya untuk meluahkan isi hati, biarlah wanita yang senasib saya boleh berfikir, dan janganlah jadi bodoh macam saya.'' Demikian cerita Sharika dala e-melnya kepada penulis.

''Saya ingin berkongsi masalah dengan pembaca bukan bertujuan untuk memburuk-burukan suami dan keluarganya, tetapi mengharapkan keluarga mertua saya faham masalah yang saya hadapi sejak sekian lama yang mungkin mereka tidak mengetahuinya ataupun memang sengaja mahu saya menanggung biawak hidup ini.


''Namun saya tak nafikan semuanya bermula dari kesilapan diri saya sendiri, yang mudah sangat jatuh hati, cepat bersimpati dan menaruh perasan kasihan yang keterlaluan, yang akhirnya membinasakan diri sendiri.


''Saya mengenali Shazman ketika kami sama-sama menghadiri satu kursus yang dihantar oleh jabatan tempat kami bekerja, tetapi kami datang dari berlainan negeri. Sejak perkenalan hari itu, hubungan kami menjadi begitu akrab, dan telefonlah menjadi sahabat baik yang sentiasa menghubung kami bila ada kesempatan.


''Perkenalan tak sampai setahun berakhir dengan lamaran dari keluarga Shazman. Waktu itu umur saya dekat 30an tahun, dia pun dah lebih 30 tahun nak tunggu apa lagi, dengan sedikit rundingan keluarga, mereka bersetuju supaya kami segera disatukan.

''Bertunang tak sampai enam bulan kami pun berkahwin, memang waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu betapa gembiranya hati saya untuk menjadi seorang isteri, kerana saya sudah lama bersedia, lagi pun Shazman memang ciri-ciri lelaki yang saya idamkan, tinggi, baik hati, tak banyak kerenah dan sentiasa bersetuju denga apa sahaja yang saya perkatakan.


''Bukan tujuan saya nak queen control tetapi dia memang baik, tak membantah, dan biasanya dia menerima sahaja cadangan saya terutama apabila saya mencadangkan dia memohon bertukar ke KL kerana kebetulan saya sudah sudah pun membeli rumah, cuma belum siap sepenuhnya lagi. Cadangan saya hendak berpindah ke rumah tersebut bila siap nanti.

''Tak sampai setahun kami berjauhan akhirnya Shazman dapat bertukar ke KL. Walaupun tempat kerja dan pejabat kami berjauhan, tetapi saya bersyukur kerana akhirnya kami dapat tinggal serumah, walaupun menumpang di rumah emak kerana rumah saya belum siap.

''Nak jadikan cerita bila kerja berjauhan tentulah Shazman selalu balik lewat tambah-tambah bila hari hujan, kerana kami sama-sama menggunakan pengangkutan awam. Kerana simpati setelah lebih 4 bulan akhirnya adik beradik saya mencadangkan supaya Shazman membeli sebuah motorsikal untuk memudahkan dia berulang alik ke tempat kerja.

''Walaupun cadangan itu baik, tetapi kata Shazman dia ada motor kecil di kampungnya, tetapi tak sesuai untuk digunakan di KL sebab pertama pejabatnya jauh kedua akan menyakitkan badan sahaja, jadi dia mencadangkan untuk membeli kereta sahaja kalau pun motorsikal biarlah yang lebih besar kuasanya.

''Selepas berunding dengan adik beradik dan ayah dua bulan kemudian kami dapat membeli sebuah kereta kecil untuk kegunaan saya dan sebuah motor untuk Shazman. Kami tak perlu bayar duit muka kerana dibantu oleh saudara mara, cuma kami bayar ansuran bulanannya sahaja. Namun saya lebih teruk lagi kerana perlu menyediakan duit untuk ansuran rumah bila siap dan kami berpindah nanti.


''Mempunyai kenderaan sendiri ke pejabat memang memudahkan, tetapi memerlukan perbelanjaan yang tinggi juga. Tak ada minyak tak jalan.


''Di sinilah bermula masalah yang tidak saya ketahui. Mulanya saya terperasan duit saya dalam beg duit saya selalu hilang. Perkara ini tidak pernah berlaku sebelumnya.


''Yang peliknya duit saya hilang selang tiga atau empat hari, paling sikit RM20, pernah juga hilang hingga RM100. Tapi saya tak pernah tuduh adik beradik saya, kerana kejadian ini tidak pernah terjadi sebelumnya.


''Satu hari saya bertanya kepada emak dan menceritakan masalah saya, emak tersenyum, kerana katanya dia juga pernah menghadapi masalah yang sama, bukan emak saja, ayah pun mengadu perkara yang sama. Lagi pelik, siapa yang punya angkara. Tetapi waktu itu saya tak terfikir langsung perbuatan suami saya Shazman, kerana saya perrcayakan dia seratus peraus. Saya mula mereka ini mungkin perbuatan toyol. Sekali lagi emak ketawa.

''Bila rumah siap kami pindah ke rumah baru, saya kena keluar duit lebih banyak sebab nak beli perabut dan barangan keperluan yang lain. Maklum bila dah berumah sendiri kita memerlukan banyak benda untuk memudahkan urusan di dapur.

''Setelah duduk sendiri baru saya sedar memang duit saya selalu hilang terutama bila dah hujung bulan. Nak kata toyol tak mungkin kerana di rumah baru itu belum ramai penghuninya lagi.

''Akhirnya kerana terdesak baru saya tanyakan Shazman, terkejut saya bila dia menengking menafikan dia nampak apalagi ambil duit saya. Saya tak tuduh, tetapi mengapa dia harus marah. Sejak itu saya lebih berhati-hati bila menyimpan duit. Rumah bukan lagi tempat yang selamat. Perubahan dan sikapnya membuatkan saya terus meneka bahawa Shazman yang mengambil duit saya. Lebih tepat dialah pencuri dalam rumah.


''Satu hari saya tanya emak tentang kehilangan duitnya, Lagi besar emak tersenyum, katanya ayah saya juga menghadapi masalah yang sama, sering kehilangan duit setiap kali kami suami isteri datang bertandang. Kata emak dia dah lama syak orang yang bertanggung jawab, tetapi dia tak berani nak bersuara takut saya kecil hati. Dan emak takut nak tuduh suami saya yang mencuri duitnya. Sebab tak ada bukti.


''Cuma emak kata dia dah lama sedar perubahan itu dan kehilangan duit dalam rumah emak berlaku sejak saya mula berkahwin lagi. Sejak saya menumpang di rumah emak. Bukan emak dan ayah sahaja yang kecurian, malah adik lelaki saya juga menghadapi masalah yang sama.


''Malah adik lelaki saya dah lama nak beritahu saya sebab dia dah tak tahan duitnya selalu hilang, tetapi emak yang larang adik daripada memberitahu saya sebab takut saya kecewa. Lagi pun saya baru saja berkahwin dan belum pun dapat anak.


''Kata emak dia terpaksa simpan rahsia ini kerana emak tak mahu saya sedih dan takut saya tidak percaya dan berkemungkinan hubungan kami sekeluarga akan berpecah belah.


''Bila emak berkata demikian baru saya teringat satu hari emak menelefon saya bertanya adakah saya nampak duit RM800 atas meja kecil di dalam biliknya. Kerana duit itu telah hilang. Duit milik ayah yang diperlukan untuk membayar insuran kereta.


''Sedihnya saya cuma kata pada emak saya tak tau dan tak nampak, sekarang baru saya teringat mungkin duit itu Shazman yang ambil, habis tu sapa lagi. Kerana sejak kami berkahwin masalah kehilangan duit ini sering berlaku.


''Lepas dapat anak keadaan hidup saya semakin tertekan, saya sering tak berduit sebab terpaksa berbelanja banyak untuk ansuran rumah, kereta dan segala bil rumah selain makan minum kami dan bayi yang baru lahir. Saya cuba memujuk Shazman membantu, tetapi dia sering memberi alasan tak cukup duit kerana terpaksa membantu emaknya menyelesaikan hutang semasa menguruskan perkahwinan kami dahulu.


''Saya terfikir juga takkan setelah empat tahun berkahwin, emaknya masih belum habis bayar hutang sedangkan semasa perkahwinan kami dahulu, mereka cuma buat kenduri kecil saja, dan hantaran saya tak pun sampai RM6,000. Jadi macam mana dia boleh mendakwa terpaksa bayar hutang sepanjang hayat. Untuk memuaskan hati saya jalankan siasatan secara senyap-senyap bila balik ke rumah emaknya.


''Setelah saya teliti pergerakan adik-beradiknya setiap kali kami balik, begitu juga emaknya baru saya perasan mereka tidak sukakan suami saya. Bila kami balik mereka akan buat pelbagai alasan untuk keluar dari rumah emaknya. Begitu juga bila Hari Raya, mereka cuma datang tak tidur pun rumah emak. Masing-masing kata tidur di rumah saudara dan sebagainya, bila kami balik ke KL baru mereka tidur rumah emaknya. Hubungan mereka memang tak mesra.


''Lama-lama baru saya tahu bahawa Shazman adalah seorang penagih dadah. Dia juga mencuri duit adik beradiknya untuk mencukupkan perbelanjaan dadahnya. Adik beradiknya memang suka sangat Shazman berkahwin dan pindah KL sebab mereka dah tak sanggup tanggung masalah Shazman lagi,".


Demikian cerita Shakirah, sebenarnya dalam masalah rumah tangga hanya suami isteri terlibat sahaja yang boleh menyelesaikan masalah mereka. Mereka yang layak membuat penentuan, orang lain cuma boleh mendengar. Janganlah jadi penasihat yang boleh menghancurkan hidup orang lain.

Arkib 28/06/2009
Utusan Malaysia

Khamis, Jun 25, 2009

Taska kaut untung?

Oleh Halina Mohd Noor

Pengusaha perlu sedia pengasuh terlatih untuk didik kanak-kanak

Hari ini terdapat jurang besar antara taska di kalangan masyarakat berpendapatan rendah, sederhana dan mewah. Taska golongan rendah dan sederhana lazimnya lebih murah dengan yuran serendah RM150 untuk seorang bayi, manakala yuran bagi taska mewah pula boleh mencecah RM300 ke atas, malah ada yang sehingga ribuan ringgit. P

ersoalannya, adakah taska dengan yuran lebih rendah kurang berkualiti berbanding taska yang yurannya lebih tinggi? Apa pula jaminan yang mengatakan taska dengan yuran lebih mahal itu sememangnya berkualiti untuk bayi dan anak-anak bagi menjadikan mereka lebih berkeupayaan dan cerdas?

Kriteria taska bermutu

SEJAK dulu, kualiti sesuatu barangan mahupun perkhidmatan yang diberikan sering kali diukur dengan nilai mata wang. Lebih mahal sesuatu produk kononnya ia lebih berkualiti. Taman asuhan kanak-kanak (taska) juga tidak terkecuali dalam pandangan ini apabila ada pihak, khususnya pengusaha yang mencanangkan perkhidmatan berkualiti dan pada masa sama mengenakan yuran tinggi sehingga sesetengahnya tidak masuk akal.

Pengusaha sebegini seakan menangguk di air keruh dengan keadaan ibu bapa hari ini yang terpaksa bergantung kepada taska bagi menjaga anak mereka sementara kedua-duanya keluar bekerja. Ini menimbulkan persoalan sama ada perkhidmatan diberikan pengusaha benar-benar untuk mendidik, mengasuh atau sekadar mengaut keuntungan?

Kemudahan moden dan canggih dijadikan alasan utama untuk mengenakan yuran tinggi. Ini termasuk perabot, peralatan permainan dan alat bantu mengajar serta makanan berkhasiat disediakan. Memang tidak dapat dinafikan semua kemudahan itu penting untuk menjana minda si kecil, tetapi apa yang lebih penting dan perlu ditekankan adalah kualiti pada diri pengasuh itu sendiri.

Pengusaha Taska Komuniti Penyayang Pantai Permai, Fauziah Abu Bakar, berkata kualiti seorang pengasuh lebih penting berbanding peralatan mahupun kemudahan disediakan di taska kerana pengasuh memainkan peranan dan pengaruh dalam membimbing kanak-kanak.

“Apa gunanya jika taska dilengkapi kemudahan canggih, tetapi pengasuh sendiri tidak berminat untuk menjaga apatah lagi mendidik kanak-kanak di situ? Gaji yang rendah dengan manfaat yang begitu minimum, tidak semua pengasuh memiliki naluri tulus untuk mengasuh dengan sebaiknya. Setiap pengasuh perlu menjalani kursus asas asuhan kanak-kanak dan menunjukkan minat dengan kanak-kanak. Mereka mesti ada perasaan kasih terhadap insan kecil ini dengan menganggap kanak-kanak ini sebagai anak sendiri yang dijaga dengan penuh kasih sayang. Sesebuah taska itu tidak berkualiti jika tidak mempunyai pengasuh dengan ciri-ciri ini,” katanya.

Fauziah berkata, secara umumnya keperluan menghantar anak ke sekolah adalah sama saja iaitu untuk memberikan asuhan dan pendidikan kepada generasi akan datang. Justeru, ia tidak seharusnya dijadikan perniagaan berbentuk komersial iaitu untuk meraih keuntungan semata-mata seperti yang berlaku pada kebanyakan taska hari ini.

“Memang tidak dinafikan kebanyakan taska yang mahal adalah bersifat perniagaan. Fokus utama mereka meraih keuntungan dengan menyediakan kemudahan yang secara luarannya dilihat canggih. Kurikulum dan aktiviti juga terlalu padat sehingga membebankan kanak-kanak dan tidak sesuai dengan peringkat usianya. Ia seakan menyumbat belon dengan padat dan akhirnya akan meletup pada bila-bila masa,” katanya.

Biarpun taska dengan yuran rendah seperti Komuniti Penyayang ini dilihat kurang canggih berbanding taska lebih mahal, ini tidak bermakna ia tidak memberikan pendidikan berkualiti. Selain menekankan pembelajaran berbentuk permainan untuk merangsang minda, Fauziah berkata, ia juga mementingkan didikan kesihatan dan pemakanan.

“Aktiviti bermula seawal pagi dengan senaman ringan di dalam kelas. Kanak-kanak dibahagikan kepada kumpulan usia masing-masing untuk melakukan aktiviti disediakan seperti bernyanyi, bercerita, membuat lukisan dan kraf tangan untuk merangsang minda. Berdasarkan permintaan ibu bapa, kami juga menerapkan kanak-kanak dengan pendidikan agama seperti cara sembahyang atau belajar bahasa Arab seminggu dua kali,” katanya.

Pengarah Pusat Penyelidikan Perkembangan kanak-Kanak Negara, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Madya Dr Sali Zaliha Mustapha, berkata pendidikan awal yang berkualiti amat penting khususnya bagi kanak-kanak berusia dari lahir hingga lima tahun. Justeru, amat penting ibu bapa memilih taska yang tepat untuk memastikan anak mendapat pendidikan diperlukan.

“Pada masa bayi dilahirkan, mereka mempunyai 100 hingga 200 bilion neurons di dalam otak, tetapi hanya beberapa saja berhubungan antaranya. Bagi merangsang neurons berhubung, ia perlu dirangsang dengan pelbagai aktiviti. Taska yang berkualiti dapat memenuhi keperluan ini. Tambahan pula dalam usia ini, 85 peratus daya intelek, personaliti dan perkembangan sosial terbentuk. Jadi, tidak salah jika ibu bapa memilih taska yang mahal untuk memastikan semua matlamat ini tercapai,” katanya.

Beliau berkata, sejak bertahun lamanya, taman asuhan kanak-kanak (taska) dianggap tidak lebih sebagai tempat untuk anak kecil berlindung sementara ibu bapa keluar bekerja. Amat jarang ia dilihat dari sudut penjanaan ekonomi iaitu sebagai pusat membangunkan modal insan demi kemakmuran negara di masa depan. Oleh itu, ia sering kali tidak boleh dianggap sebagai ‘perniagaan’ bagi pengusaha.

“Kos untuk membina pusat asuhan mungkin lebih tinggi berbanding sekolah untuk darjah satu. Ini bergantung kepada jumlah pelajar dan kos mengendalikannya yang akan mempengaruhi yuran taksa berkenaan. Ibu bapa perlu menyoal diri dan melakukan sedikit penyelidikan mengenai keupayaan taska. Adakah ia sekadar mengaut keuntungan atau turut berminat dengan penjagaan dan pendidikan kanak-kanak di bawahnya?

Kita boleh mengagak jawapannya bergantung kepada ibu bapa sendiri. Berapa banyak yang mampu di bayar? Pepatah Inggeris mengatakan, If you give peanuts, you’ll get monkeys, bermakna anda dapat apa yang anda sanggup bayar. Bagaimanapun, jika anak diberikan motivasi betul, penjagaan baik, makanan berkhasiat, selamat dan tempat yang bersih serta suasana persekitaran yang merangsang mereka untuk belajar, tidakkah ia memberikan insentif kepada ibu bapa untuk membayar kosnya?” katanya.

Namun Dr Sali tidak menafikan kepentingan mempunyai pengasuh terlatih selain aktiviti merangsang minda adalah antara faktor menentukan kualiti sesebuah taska. Bagi memastikan kualiti terjamin, ibu bapa perlu lihat sendiri taska yang dipilih dan menyertai serta memahami aktiviti dijalankan di situ. Ini memberikan situasi menang-menang kepada kedua belah pihak iaitu ibu bapa dan pengusaha.

Jangan diskriminasi wanita

Oleh Fadzlena Jafar fadzlena@bharian.com.my


Kaji mengapa ramai remaja lelaki gagal masuk ke IPT boleh bantu selesai masalah kekurangan guru

CADANGAN untuk melonggarkan syarat kemasukan bagi membolehkan lebih ramai lelaki menyertai bidang perguruan menimbulkan 'kemarahan' di kalangan wanita di negara ini. Ramai yang melihat cadangan itu tidak wajar kerana jika wanita hendak memasuki institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk kursus perguruan mereka perlu belajar bersungguh-sungguh, tetapi lelaki pula tidak perlu bersusah payah bagi merebut tempat ke menara gading.

Begitu pun, bagi mengelakkan kelayakan dimiliki guru lelaki dipersoalkan, cadangan itu turut memperhalusi kaedah dicadangkan termasuk mengusulkan tempoh kursus yang perlu dihadiri mungkin akan dilanjutkan atau ditambah dengan harapan apabila keluar kelak, guru berkenaan benar-benar memiliki ilmu bersesuaian.

Sekurang-kurangnya, cadangan itu menyejukkan amarah wanita kerana sama ada suka atau tidak kita akui kehadiran guru lelaki amat penting dalam memastikan sistem persekolahan hari ini dapat dilaksanakan dengan jaya. Pelbagai gejala sosial membabitkan remaja hari ini khususnya di sekolah dikatakan berpunca daripada ‘kelemahan’ pengurusan sekolah.

Ada sekolah yang hanya mempunyai lima guru lelaki daripada 100 kakitangan pendidik, malah khabarnya ada sekolah yang hanya mempunyai seorang guru lelaki. Kehadiran terlalu ramai guru wanita bukan tidak baik untuk pengurusan, tetapi sikap mereka yang lembut menyebabkan kanak-kanak hari ini tidak gentar untuk melanggar disiplin sekolah.

Bayangkan apabila ada pelajar bergaduh, sudah tentu guru wanita tidak berani meleraikan pergaduhan berkenaan, walaupun sekadar membabitkan usia belasan tahun. Kudrat guru wanita belum tentu dapat mengatasi pelajarnya itu, apa yang mereka boleh lakukan mungkin hanya menjerit meminta pergaduhan dihentikan. Tetapi, jika ada guru lelaki, sekali jerit saja mungkin timbul rasa cuak di kalangan pelajar.

Benar, tugas mendidik anak bukan terletak di bahu guru, sebaliknya ibu bapa sewajarnya lebih berperanan dalam memastikan anak mereka membesar dengan tingkah laku terpuji. Tetapi kita juga harus menerima bahawa perkembangan kanak-kanak bukan hanya di rumah, kerana sebahagian besar kehidupan mereka turut membabitkan persekitaran di sekolah yang mana pengaruh rakan turut memainkan peranan penting.

Ada kanak-kanak yang sikapnya di rumah cukup baik, bak kata orang pijak semut pun tidak mati, tetapi apabila di luar khususnya di sekolah, merekalah raja segala raja. Justeru, penerapan disiplin bukan saja perlu dilakukan di rumah, bahkan sekolah juga perlu menyediakan persekitaran yang kondusif dengan tahap disiplin tinggi bagi memastikan si kecil tidak tersasar.

Pada masa sama, kita juga perlu melihat satu lagi aspek yang lebih penting iaitu mengenal pasti masalah kekurangan guru lelaki pada peringkat asas yang bermula dari sekolah lagi. Kita lihat hari ini jumlah kemasukan ke IPT lebih berpihak kepada wanita dengan nisbah 60 peratus pelajar perempuan berbanding 40 lelaki.

Senario ini yang dikesan mula berlaku sejak 1980-an tidak diberi perhatian sewajarnya sehingga hari ini wujud ketidakseimbangan dalam bidang kerjaya. Ada yang menganggap senario itu berlaku kerana jumlah populasi wanita yang lebih tinggi jika dibandingkan dengan lelaki.

Bagaimanapun, sumber daripada Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan jumlah lelaki masih lebih ramai berbanding wanita dengan nisbah 50.1 peratus lelaki dan 49.9 peratus wanita.

Sehubungan itu, ada wajarnya jika pihak tertentu memberi tumpuan kepada peringkat asas lagi terutama di kalangan kanak-kanak dan remaja lelaki untuk mengenal pasti mengapa jumlah kemasukan di IPT hari ini tidak seimbang.

Jika dikaji, pencapaian mengikut jantina di sekolah sama ada di sekolah rendah mahupun menengah adalah seimbang, malah pencapaian keseluruhan pelajar lelaki adalah lebih baik berbanding pelajar perempuan terutama pada peringkat sekolah menengah .

Malangnya, antara tempoh persekolahan dan kemasukan ke IPT berlaku ‘sesuatu’ yang menyebabkan ramai pelajar lelaki keciciran. Beberapa kajian yang dijalankan mendapati anasir luar seperti pembabitan dengan ketagihan dadah, jenayah dan gejala sosial menyebabkan pelajar lelaki terkandas di tengah jalan walaupun kebanyakannya mempunyai kebijaksanaan yang sewajarnya.

Malah, jika kita lihat gejala sosial hari ini banyak membabitkan remaja lelaki seperti rempit, lepak dan khususnya dadah, sehingga ada kata-kata jenaka yang cuba merungkai persoalan mengapa lebih ramai wanita di IPT hari ini, ‘lelaki kurang kerana kebanyakannya berada di pusat sehenti’. Sinis kata-kata berkenaan, tetapi mungkin boleh difikirkan dengan mendalam maksudnya.

Lebih-lebih lagi hari ini pelbagai isu yang mempertikaikan peranan dan tanggungjawab lelaki hangat diperkatakan. Antaranya, fungsi bapa yang semakin lemah sehingga sanggup merosakkan masa depan anak sendiri, sama ada bapa haruan mahupun bapa yang meminggirkan anak daripada perkahwinan pertama selepas mempunyai keluarga baru.

Mungkin juga apa yang berlaku hari ini berpunca daripada kelemahan lelaki yang gagal menjalankan tanggungjawab sebagai ketua keluarga sehingga kitaran kemusnahan itu terus berlaku pada hari ini.

Anak bukan tanggungjawab pembantu rumah

Fellow Kanan, Pusat Ekonomi dan Kajian Sosial IKIM, Siti Fatimah Abdul Rahman yang membentangkan kertas kerja berjudul, 'Pembantu Rumah Asing: Penyelamat atau Penyengat', berkata ibu bapa tidak seharusnya menyerahkan segala tugas kepada pembantu rumah, khususnya dalam mendidik dan membimbing anak-anak.

“Pembantu rumah boleh menguruskan pakaian sekolah anak, tetapi wajarkah jika pembantu rumah yang taraf pendidikannya lebih rendah daripada majikan, membantu anak dengan kerja sekolah mereka? Berilah pembantu rumah tugas yang tidak memerlukan sentuhan peribadi majikan dan gunakan masa serta tenaga itu untuk meluangkan masa dengan ahli keluarga yang lain, di samping sentuhan kasih sayang kepada anak-anak. Jika segala keperluan anak diserah kepada pembantu rumah, anak akan merasakan mereka tidak dipedulikan ibu bapa,” katanya.

Katanya, ibu bapa tetap perlu memainkan peranan mengajar anak melakukan kerja rumah asas untuk kemudahan mereka pada masa depan seperti mengemas katil sendiri, mengangkat pinggan selepas makan, membasuh kasut sekolah dan sebagainya.

Penyelidik Kanan Pasca Doktoral, Institut Pengajian Sains Sosial UPM, Dr Khadijah Alavi, berkata peranan datuk dan nenek amat penting bagi tumbesaran cucu atau cicit serta secara tidak langsung membantu meringankan beban anak dewasa dalam menjaga dan membesarkan anak terutama yang tinggal di bandar dan bekerja sepenuh masa.

“Datuk dan nenek yang sihat dapat mengurangkan beban penjagaan bahkan dapat membantu suami isteri dwi-kerja. Selain menjadi tempat mereka berlindung sementara menghabiskan sisa usia, datuk dan nenek juga menjadi tempat cucu bermanja ketika ibu bapa mereka keluar bekerja. Kehadiran datuk dan nenek penting terutama di dalam menghadapi dilema keruntuhan akhlak remaja yang dikatakan berpunca daripada kurang penumpuan dan pemberian kasih sayang oleh ibu bapa.

“Keadaan hari ini mewujudkan keluarga ‘skip generation’ iaitu datuk dan nenek mengambil peranan keibubapaan di dalam mendidik dan menjaga cucu khususnya apabila keluarga mengalami krisis seperti perceraian dan sebagainya,” katanya.

Menghantar anak ke taska adalah antara pilihan terakhir bagi pasangan dwi-kerja walaupun ada banyak isu negatif yang timbul membabitkan keselamatan dan kualiti pengasuh. Tahap pendidikan pengasuh adalah antara persoalan yang ditimbulkan, tetapi sekali lagi ia membabitkan isu lain seperti gaji dan sebagainya.

Pensyarah Fakulti Pendidikan Universiti Malaysia, Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata realitinya budaya kebanjiran menghantar anak ke pusat asuhan memaksa keadaan untuk mengaji tenaga yang kurang berkualiti tanpa mengira latar belakang mereka.

“Pengasuh yang tidak berkualiti menyebabkan anak terbiar kerana mereka hanya bekerja dengan baik bila ada tuan. Ini boleh menjejaskan pertumbuhan kanak-kanak kerana pertumbuhan ini sepatutnya dijaga oleh pengasuh sama ada dari segi berat, gigi, rambut dan sebagainya. Perkembangan kanak-kanak juga perlu diasuh khususnya dari segi mental. Sosio emosi kanak-kanak akan meningkat dengan baik sekiranya mendapat asuhan yang baik. Justeru, ciri menjaga dan mengasuh perlu ada dalam diri pengasuh.

“Sekiranya ada pengasuh yang tidak tahu mengasuh, dia boleh mewujudkan kanak-kanak pemberontak atau pembuli cilik. Pengasuh perlu tahu tanggungjawab. Perasaan menjadi ibu bapa penting untuk disemai dalam diri pengasuh. Sebaliknya pengasuh adalah remaja yang tidak dapat menghayati kerja kerana tidak mempunyai jiwa keibubapaan. Pengasuh sepatutnya tidak boleh hilang fokus sepanjang melaksanakan tanggung jawab itu,” katanya.

Rabu, Jun 24, 2009

Memahami maksud idah

Oleh Idris Musa

idris@hmetro.com.my

PERSOALAN mengenai idah jarang diperkatakan dengan anggapan ramai tahu mengenainya, tetapi yang nyata masih ada kurang faham sehingga keadaan menjadi keliru.

Menurut kitab fiqah, idah ialah waktu menunggu diwajibkan ke atas wanita yang diceraikan, sama ada cerai hidup atau cerai mati, bagi mengetahui sama ada empunya diri hamil atau tidak.

Bagi wanita hamil, idahnya sehingga lahir anak dikandungnya itu, baik cerai mati atau cerai hidup.

"Dan perempuan mengandung, tempoh idahnya ialah hingga mereka melahirkan anak yang dikandungnya." (Surah at-Talaq: 4)

Wanita tidak hamil, ada ketikanya bercerai mati dan bercerai hidup. Bagi yang bercerai mati, idahnya empat bulan sepuluh hari.

"Dan orang yang meninggal dunia antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri, hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beridah) selama empat bulan sepuluh hari." (Surah al-Baqarah: 234)

Jika diperhatikan, ayat 4 surah at-Talaq umum membabitkan cerai hidup dan cerai mati apabila hamil idahnya sehingga lahir anak dan ayat 234 surah al-Baqarah juga umum membabitkan wanita hamil dan tidak apabila bercerai mati idahnya empat bulan sepuluh hari.

Di sini wujud sedikit perselisihan faham mengenai wanita bercerai mati sedangkan dirinya hamil, manakala anaknya lahir sebelum cukup empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal.

Apakah idahnya tamat dengan melahirkan anak walaupun belum cukup tempoh empat bulan sepuluh hari dari tarikh suaminya meninggal kerana berdasarkan umumnya ayat pertama di atas?

Haruskah idahnya dicukupkan juga empat bulan sepuluh hari kerana berdasarkan ayat yang kedua?

Menurut jumhur ulama salaf (terdahulu), idahnya ialah lahir anaknya walaupun belum cukup empat bulan sepuluh hari.

Tetapi menurut pendapat lain yang diriwayatkan daripada Ali, idahnya mesti mengambil yang lebih panjang. Walaupun anaknya lahir lebih awal, idahnya harus menunggu sehingga empat bulan sepuluh hari.

Menurut pendapat itu, jika sampai tempoh empat bulan sepuluh hari, tetapi anak yang dikandungnya belum lahir, idahnya harus menunggu sehingga bersalin.

Selain itu, ada perbezaan pendapat mengenai idah wanita hamil.

Imam Syafie berpendapat idah wanita terbabit dengan lahirnya anak dikandung apabila anak itu dari suami yang menceraikannya. Tetapi jika anak bukan dari suami yang menceraikannya, wanita terbabit tidak beridah dengan kelahiran anak.

Pendapat Abu Hanifah, perempuan itu harus beridah dengan lahir anaknya, baik anak itu anak daripada suami yang menceraikannya atau bukan, walau anak zina sekalipun.

Idah bagi wanita bercerai hidup dengan suaminya ialah tiga kali suci sekiranya dia mempunyai haid.

"Dan isteri-isteri yang diceraikan itu hendaklah menahan diri mereka (dari berkahwin) selama tiga kali suci (dari haid)." (Surah al-Baqarah: 228)

Mengira tiga kali suci itu tidak dicampuri suaminya, dengan suci sewaktu perceraian dikira satu kali suci. Tetapi jika dalam suci waktu perceraian itu dicampuri, dikira tiga kali suci mulai suci dari haid pertama selepas perceraian. Demikian juga perceraian yang berlaku ketika haid, dikira tiga kali suci dari suci selepas haid yang berlaku sewaktu perceraian.

Keadaan terbabit sekali gus menyebabkan idah bagi seseorang wanita lebih panjang. Oleh kerana itu, adalah dilarang suami menceraikan isteri dalam keadaan haid dan suci yang sudah dicampuri.

Isteri yang diceraikan suaminya sebelum dicampuri tiada idah (tidak perlu beridah).

"Kemudian kamu talak mereka itu sebelum kamu campuri, maka tidaklah mereka beridah." (Surah al-Ahzab: 49)Tetapi bagi wanita yang tiada haid, idahnya tiga bulan.

"Dan perempuan-perempuan dari kalangan kamu yang putus asa dari kedatangan haid, jika kamu menaruh syak (terhadap tempoh iddah mereka) maka idahnya ialah tiga bulan..." (Surah at-Talaq: 4)

Perempuan yang tiada haid ada tiga golongan; iaitu yang masih kecil (belum sampai umur), sudah sampai umur, tetapi belum pernah haid dan orang tua yang sudah keputusan haid.

Wanita beridah tidaklah boleh dibiarkan begitu saja, malah mereka masih mempunyai hak daripada bekas suaminya, seperti tempat tinggal (rumah), pakaian dan segala perbelanjaan.

Mereka ialah wanita yang taat dalam idah rajiyah (boleh dirujuk), kecuali isteri derhaka, tidak berhak menerima apa-apa.

Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud: "Dari Fatimah binti Qais, berkata Rasulullah s.a.w kepadanya: 'Perempuan yang berhak mengambil nafkah dan rumah kediaman daripada bekas suaminya itu apabila bekas suaminya itu berhak rujuk kepadanya.'" (Hadis riwayat Ahmad dan Nasai)

Wanita dalam idah bain (tidak boleh dirujuk) jika hamil juga berhak mendapatkan kediaman, nafkah dan pakaian.

"Jika mereka (janda yang dicerai) mengandung, maka beri nafkahlah olehmu sampai lahir kandungannya." (Surah at-Talaq: 6)

Sementara wanita yang dicerai secara bain, tetapi tidak hamil, sama ada bain dengan tebus talak mahupun dengan talak tiga, mereka hanya berhak mendapatkan tempat tinggal.

"Tinggalkanlah mereka di tempat kediaman yang sepadan dengan keadaan kamu." (Surah at-Talaq: 6)

Bagaimanapun, sesetengah ulama berpendapat, wanita dicerai secara talak bain yang tidak hamil tidaklah berhak mendapatkan nafkah dan tempat tinggal.

Dari Fatimah binti Qais dari Nabi s.a.w mengenai perempuan yang ditalak tiga, kata Rasulullah, dia tidak berhak tempat tinggal dan tidak pula nafkah. (Hadis riwayat Ahmad dan Muslim)

Adapun firman Allah dalam surah at-Talaq ayat 6, kata mereka hanya terhadap wanita dalam idah rajiyah.

Bagi wanita yang beridah disebabkan kematian suami, mereka tidak mempunyai hak sama sekali walaupun hamil kerana diri dan anak yang dikandungnya sudah mendapat hak pusaka daripada suaminya yang meninggal.

"Janda hamil yang kematian suaminya tidak berhak mengambil nafkah." (Riwayat Daruqutni)

Cabaran keluarga dwikerja

Oleh Halina Mohd Noor
halina@bharian.com.my

Suami perlu bantu ringankan beban isteri terutama dalam mendidik anak

IBU bapa hari ini terpaksa berdepan cabaran memainkan peranan lebih efektif bagi memastikan anak terdidik dengan sempurna. Selain kemahiran dan pengetahuan, tidak dinafikan sokongan daripada ahli keluarga lain seperti datuk, nenek dan pihak berwajib diperlukan seperti taska dan pengasuh berkualiti bagi memastikan anak membesar serta berkembang sempurna.

Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Senator Datuk Sri Shahrizat Abdul Jalil, berkata kewujudan keluarga dwi-kerja iaitu suami isteri keluar bekerja menyebabkan tugas dan tanggungjawab mengurus keluarga tidak dilaksanakan dengan sebaiknya.

“Keadaan ini sering kali menimbulkan pelbagai isu seperti ikatan kekeluargaan longgar, kurang komunikasi antara ahli keluarga, pengabaian anak-anak serta kurang kawalan terhadap perkembangan dan perlakuan anak. Ibu bapa yang sibuk dengan kecemerlangan kerjaya dan mencari kekayaan pula menyebabkan anak-anak dilayan dengan hidup manja dan mewah seperti dipaparkan dalam filem Anakku Sazali.

“Kemahiran keibubapaan boleh memastikan anak-anak mendapat penjagaan dan pendidikan selaras dengan keadaan semasa. Justeru, setiap ibu bapa harus dilengkapi pengetahuan dan kemahiran ini untuk membolehkan mereka mendidik anak dengan sebaiknya. Walaupun pengaruh luar tidak dapat dielakkan, dengan pendidikan yang betul dan berhemah, anak-anak dapat dilatih untuk menggunakan akal fikiran dalam berdepan pengaruh ini,” katanya.

Shahrizat berucap merasmikan Seminar Institusi Keluarga Mendepani Cabaran Semasa di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini. Turut hadir, pada majlis berkenaan, Pengerusi IKIM, Tun Datuk Seri Ahmad Sarji Abdul Hamid.

Seminar anjuran IKIM itu membincangkan hakikat sebenar dihadapi keluarga Muslim masa kini khususnya dari segi penjagaan dan pendidikan anak-anak, cabaran disamping mengetengahkan panduan bagi mendepani isu ini. Kertas kerja menyentuh isu ini dibentangkan pakar daripada IKIM, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) dan institusi pengajian tinggi awam seperti Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Beliau berkata, suami juga perlu memainkan peranan membantu mengurangkan beban kerja rumah isteri, malah ia perlu dijadikan amalan dalam setiap keluarga, selain budaya meletakkan tanggungjawab menguruskan rumah tangga dan anak-anak di bahu isteri juga harus diubah demi kesejahteraan keluarga.

“Secara am, walaupun wanita hari ini turut keluar bekerja, kebanyakan mereka masih terpaksa melakukan kerja di rumah. Justeru, golongan suami perlu memainkan peranan lebih aktif dalam rumah tangga dan bukannya sebagai pencari nafkah semata-mata. Perkongsian tanggungjawab keluarga antara suami isteri perlu menjadi amalan dalam setiap keluarga,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Fakulti Ekologi Manusia, UPM, Prof Madya Dr Rumaya Juhari, berkata faktor paling asas yang perlu difahami suami isteri dwi kerja ialah menerima hakikat bahawa jangkaan dan harapan ideal bagi peranan suami isteri perlu disesuaikan dengan keadaan semasa bagi mengelakkan konflik serta tekanan.

“Wanita atau ibu harus menerima hakikat tidak mampu melakukan semua kerja kerana ia hanya menimbulkan tekanan. Tidak semestinya anda perlu menjadi ibu atau isteri ideal dalam satu masa. Misalnya, memastikan setiap hujung minggu memasak untuk suami dan anak-anak. Anda akhirnya akan mendapati tidak mempunyai masa berkualiti bersama mereka selepas kepenatan memasak berjam-jam di dapur.

Bahagikan tugas menguruskan rumah tangga bersama suami atau pembantu rumah bagi membolehkan anda memperuntukkan masa untuk bersama anak-anak. Sokongan daripada pasangan dalam bentuk penyesuaian peranan pada satu-satu masa amat penting bagi mengelakkan konflik kerana hidup dalam konflik sebenarnya tidak sihat,” katanya.

Isnin, Jun 22, 2009

Kanser kolon: Adakah anda berisiko?

ARKIB : 21/06/2009
Utusan Malaysia


KANSER kolon (usus besar) adalah salah satu daripada penyakit penghadaman yang boleh mengancam nyawa.Lebih membimbangkan, kanser kolon adalah antara kanser yang paling kerap dihidapi di seluruh dunia.

Di Malaysia, laporan Pendaftaran Kanser Negara 2003-2005 mendedahkan bahawa kanser kolon adalah kanser yang paling kerap dihidapi oleh lelaki dan yang ketiga di kalangan wanita.
Kanser kolon juga kanser yang paling kerap dihidapi oleh wanita berusia melebihi 70 tahun.

Permulaan kanser
Kanser kolon biasanya bermula sebagai polip, iaitu bonjol kecil pada permukaan dalam kolon. Kebanyakan polip adalah benign atau tidak berbahaya.

Tetapi, jika ia dibiarkan, ia akan membesar dan boleh menjadi malignan (barah). Proses pertukaran dari benign ke malignan juga selalunya mengambil masa yang lama.

Pada peringkat awal, kanser kolon mungkin tidak menunjukkan sebarang tanda. Tetapi apabila sudah berlanjutan, pesakit mungkin mengalami perubahan seperti cirit-birit atau sembelit berdarah, kelesuan, sakit perut yang teruk, muntah, kehilangan berat badan dan juga anemia (kurang darah merah).

Pada tahap lanjut, sel-sel kanser mungkin sudah merebak dari usus besar ke organ lain menerusi proses yang dinamakan metastasis.

Ia biasanya menyerang hati, menyebabkan pesakit mengalami gejala seperti jaundis atau penyakit kuning. Apabila keadaan ini berlaku, ia menunjukkan tahap kanser yang sudah teruk.

Hakikatnya, kanser kolon boleh dicegah dan boleh sembuh jika dikesan dan dirawat pada peringkat awal.

Justeru, adalah penting untuk menjalani pemeriksaan atau ujian secara berkala dengan doktor pakar bagi mengesan kanser kolon di peringkat awal.

Satu-satunya cara untuk mengesan kanser kolon di peringkat awal ialah dengan menjalani pemeriksaan secepat mungkin. Ini sangat penting, lebih-lebih lagi bagi mereka yang berusia 50 tahun ke atas.

Kenali faktor risiko
Kebanyakan kes kanser kolon berlaku secara rambang. Ini bermakna ia boleh berlaku kepada sesiapa sahaja.

Punca sebenar kanser kolon juga masih tidak diketahui, tetapi terdapat beberapa faktor yang dikaitkan dengan kanser ini.

Faktor yang pasti ialah sejarah penyakit ini dalam keluarga. Risiko anda lebih tinggi jika ada antara anggota keluarga anda menghidap kanser kolon.

Malah, 10 hingga 20 peratus daripada pesakit kanser kolon mempunyai sejarah penyakit dalam keluarga.

Jika ibu, bapa atau adik-beradik anda menghidap kanser kolon pada usia 30 tahun, anda mungkin perlu mula menjalani pemeriksaan lima tahun sebelum anda mencapai usia itu, atau mungkin lebih awal lagi.

Keadaan tertentu yang menyebabkan keradangan usus (seperti ulcerative colitis) juga boleh meningkatkan risiko kanser kolon. Faktor risiko lain yang dikaitkan dengan kanser kolon termasuk:

*Diet
Lebih ramai rakyat Malaysia makan terlalu banyak daging merah (lembu atau kambing) dan kurang makan serat (buah dan sayur). Penekanan hendaklah diberikan kepada bijirin, buah-buahan dan sayuran, dan kurangkan pengambilan daging merah.

*Usia
Risiko meningkat selepas usia 50 tahun. Bagaimanapun, perangkaan menunjukkan bahawa risiko penyakit ini boleh bermula seawal umur 20-an hingga 30-an. Peningkatan kes lebih ketara selepas usia 50 tahun.

*Sejarah peribadi
Wanita dengan sejarah kanser ovari, uterus dan payu dara berisiko lebih tinggi.

*Jantina
Wanita lebih berisiko daripada lelaki. Tetapi di Malaysia, risiko kanser kolon di kalangan lelaki lebih tinggi sedikit berbanding wanita (nisbah 11:10).

*Gaya hidup
Pengambilan alkohol secara berlebihan, merokok serta kurang atau langsung tidak melakukan aktiviti fizikal meletakkan anda dalam risiko. Begitu juga berat badan berlebihan.

Pilihan rawatan
Rawatan bergantung pada bila kanser kolon dikesan. Lebih awal ianya dikesan, maka lebih baik prognosisnya.


Pada peringkat awal doktor boleh merawat dan menyembuhkan penyakit ini dengan lebih berkesan.

Terdapat juga banyak kaedah rawatan di peringkat lanjutan, termasuk kemoterapi dan pembedahan. Rawatan di peringkat ini bagaimanapun lebih agresif dan biasanya tidak begitu berkesan untuk menyembuhkan penyakit tersebut.

Kurangkan risiko anda
Meskipun belum ada garis panduan pemeriksaan untuk kanser kolon di Malaysia, banyak pihak, termasuk Kementerian Kesihatan, menyedari bahawa pengesanan awal penting dan garis panduan mengenainya sedang dirangka.


Cara utama untuk mengurangkan risiko pada diri ialah dengan mengamalkan gaya hidup sihat.

Anda mungkin tidak dapat menukar sejarah keluarga atau usia anda, tetapi anda boleh bersenam, menjaga berat badan dan mengamalkan diet rendah lemak dan tinggi serat.

Jadi, segera mulakan gaya hidup sihat hari ini dan jangan lupa bahawa pemeriksaan awal paling penting dalam usaha untuk mengesan dan melawan kanser kolon!

Bayi hilang dalam kandungan

oleh HAMZAH ABDUL HAMID
KOSMO

Betapa terkejut, tidak percaya dan juga luruh emosi seorang bakal ibu apabila mengetahui kandungannya yang berusia lebih lapan bulan tiba-tiba hilang. Dari sudut apakah fenomena ini hendak dihuraikan?

DISEMBER tahun lalu, impian sepasang suami isteri di Kedah untuk menimang cahaya mata sulung selepas dua tahun berkongsi hidup tidak menjadi kenyataan apabila mendapati bayi yang dikandung si isteri tiba-tiba hilang dan tidak dapat dikesan melalui teknik imbasan.

Segalanya umpama sebuah misteri bagi si wanita yang berbunga harapan selama hampir sembilan bulan itu. Dalam kes tersebut, wanita itu telah disahkan mengandung pada Mac 2008 melalui pemeriksaan di sebuah hospital kerajaan di Kuala Lumpur.

Dia dijangka bersalin pada tarikh yang telah dicongak iaitu 29 November. Namun, kelahiran yang ditunggu-tunggu itu tidak menjadi kenyataan.

"Doktor mendakwa rahim saya normal seperti wanita yang tidak mengandung. Bentuknya juga sudah kempis," ujarnya yang mendakwa terasa lenguh-lenguh badan, perut memulas dan kemudian mengalami demam panas pada hari-hari terakhir sebelum kandungannya hilang.

Sudah banyak kes yang dilaporkan media mengenai kejadian seperti ini. Bukan sahaja di Malaysia, kegemparan cerita kandungan yang lesap ini berlaku di seluruh dunia tanpa mengira latar bangsa, status sosial dan kepercayaan agama.

"Kes kehamilan palsu yang menyebabkan kandungan menghilang secara tiba-tiba memang wujud dalam dunia perubatan.

"Ia dikenali sebagai pseudosiesis atau dalam istilah Inggeris - phantom pregnancy," kata Timbalan Pengarah Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Prof. Madya Dr. Jamiyah Hassan.

Pseudosiesis adalah suatu keadaan yang lazimnya bersifat psikosomatik. Ia membabitkan gangguan faktor mental dan fizikal yang menyebabkan perubahan pada badan hinggakan sosok tubuh wanita yang tidak mengandung menyamai ciri-ciri wanita hamil.

Pakar Perunding Obstetrik & Ginekologi (Feto-Maternal) itu menjelaskan, apabila seseorang wanita terlalu percaya atau mengharapkan kehamilan, tubuhnya akan menghasilkan hormon yang menyebabkan perubahan-perubahan tertentu.

Paling jelas adalah pertambahan berat badan (khususnya di bahagian perut) selain simptom-simptom klasik lain seperti rasa mual serta tegang perut.

Hujah medikal dan psikologi
"Apabila minda 'menipu' tubuh, paras estrogen mereka melonjak naik. Apabila dalam keadaan sakit, stres atau tertekan, mana-mana wanita pun boleh mengalami gangguan dalam sistem badannya. Ini termasuklah ketiadaan haid, rasa loya dan muntah," jelas beliau.


Tidak hairan juga kalau ketidakseimbangan hormon itu turut membuatkan payu dara membesar dan mengeluarkan susu.

"Perut yang semakin membesar sebenarnya disebabkan lemak yang terkumpul di bahagian tersebut. Ada juga yang merasakan seperti ada pergerakan bayi dalam kandungan walhal tiada janin di dalamnya," terang Jamiyah.

Beliau merumus, belum ada kajian menyeluruh tentang punca pseudosiesis. Ia tidak boleh sepenuhnya ditangani dari perspektif medikal atau ginekologi tanpa mengambil kira keseriusan permasalahan emosi.

Hakikatynya, sutradara yang mengarahkan sistem tubuh untuk melakukan sesuatu dalam menjalani rutin kehidupan adalah otak.

Apabila otak mencetus isyarat untuk bekerja matlamat tertentu, maka faktor biologi akan menurut dan di situlah bermulanya konsep kepercayaan.

"Sama seperti wanita yang mahu dirinya hamil untuk melepaskan diri daripada desakan sosial, fizikalnya akan terdorong ke arah keinginan tersebut.

"Lebih-lebih lagi jika pasangannya (suami) mengizinkan perkara itu berlaku dengan turut memberi harapan," jelas Pegawai Psikologi Pejabat Kebajikan Masyarakat Johor Bahru, Maizatul Akmam Abu Bakar.

Menurutnya, secara tidak langsung sokongan itu akan meningkatkan keberkesanan emosi isterinya sedangkan akhirnya mereka yang akan kecewa.

Lebih malang, tekanan yang dihadapi lebih menyeksakan apabila cerita 'kehilangan' kandungan itu dilabel sebagai karut oleh doktor dan masyarakat yang melemparkan tuduhan seperti wanita itu sengaja mengada-adakan cerita kehamilannya.

"Selain sokongan keluarga, wanita itu perlu dibimbing secara psikologi melalui sesi pertemuan dengan kaunselor atau pakar psikiatri. Mereka diajar untuk memahami dan menerima kelebihan dan kekurangan diri.

"Ini bermakna minda mereka perlu dilaras semula agar memikirkan perkara-perkara yang lebih positif," terang Maizatul.

"Hanya apabila seseorang ibu itu boleh menunjukkan bukti sahih bahawa pemeriksaan ultra bunyi sebelum itu sudah menunjukkan sifat fizikal bayi atau denyut jantung, tetapi akhirnya bayi itu hilang, maka kita perlukan penjelasan lain," ujar Jamiyah apabila diajukan tentang sisi mistikal bayi yang ghaib dalam kandungan.

Serba-sedikit pertembungan konsep itu dihurai oleh pakar khidmat runding dan nasihat spiritual dari Pusat Rawatan Komplimentari Yashfien, Engku Ansaruddin Agus. Beliau mengakui pernah merawat tidak kurang daripada 10 wanita yang terganggu emosi akibat kehilangan bayi dalam rahim.

Muslihat dari alam lain
"Wanita-wanita itu mendakwa mereka bermimpi didatangi entiti yang mengingatkan bahawa kandungan tersebut bukan milik mereka dan akan diambil semula," ujar Engku yang tidak menolak kemungkinan kehamilan yang disebabkan 'dampingan' atau 'tumpangan' makhluk halus.


Walau bagaimanapun Engku menegaskan, perhubungan antara manusia dan jin sebenarnya tidak akan menghasilkan anak manusia.

"Sebaliknya, anak-anak daripada kaum jin itu yang bertambah bilangannya jika berjaya memperdaya manusia melalui apa cara sekalipun," katanya.

Apabila diperdaya, seseorang mudah taksub kepada sesuatu. Ini termasuklah meyakini paparan imej bayi dalam rahim melalui teknik imbasan di hospital, sedangkan mereka perlu sedar bahawa ralat teknikal dan muslihat jin juga suatu faktor penyebab.

"Oleh itu, kaum ibu perlu kembali kepada apa yang diajar melalui al-Quran dan Sunah.
Adab, petua dan doa perlu sentiasa mengiringi langkah dan setiap perbuatan agar dilindungi Allah daripada fitnah, penipuan dan helah jin serta syaitan. Golongan itu sentiasa mahu menggoyah akidah umat Nabi Muhammad s.a.w.," pesannya.

Benarkah mereka 'hanya kawan?'

Susunan Noor Fazrina Kamal

BENAR...mereka hanya berkawan? Adakah rakan wanitanya itu satu ancaman kepada anda? Dan pernahkah anda terdetik bahawa pasangan anda itu mungkin menipu tentang kawan wanitanya.

Berkawan dengan rakan berbeza jantina bukanlah sesuatu yang pelik pada zaman serba moden ini. Tapi sejauh manakah kemesraan pasangan anda terhadap rakan wanita mereka?

Apa pun sebelum anda menyiasat kebenaran tersebut, pastikan diri anda tidak diselubungi perasaan cemburu kerana perasaan tersebut boleh mengaburi keputusan anda.


Cemburu juga boleh membuatkan anda berfikir tentang perkara yang bukan-bukan tentang pasangan anda serta rakan wanitanya.


Selepas anda berjaya ketepikan perasaan cemburu tersebut, kaji cara persahabatan antara pasangan anda dan rakan wanitanya.


Semasa membuat pemerhatian tersebut, carilah jawapan untuk soalan-soalan di bawah:
* Berapa lama masa yang pasangan anda habiskan untuk rakannya?
* Berapa kerap mereka berhubungan di telefon dalam sehari?
* Adakah pasangan anda amat mementingkan setiap panggilan telefon yang diterimanya?
* Adakah mereka nampak mesra lebih daripada rakan biasa?
* Akhir sekali adakah naluri anda mengatakan bahawa wanita tersebut mahukan pasangan anda lebih dari seorang rakan.

Jika mereka menghabiskan banyak masa bersama dan sering berhubung telefon, awas, perhubungan anda mungkin goyah disebabkan wanita tersebut.

Jika rakan wanita itu berlebih-lebih sebagai contoh bersentuhan kulit secara mesra bila bercakap dengan pasangan anda, bermakna persahabatan mereka telah melampau batas.

Memang antara sahabat boleh bergurau senda tetapi ada batasnya, ditambah pula dengan naluri anda kuat mengatakan yang wanita tersebut mahukan sesuatu yang romantis daripada pasangan anda.

Tetapi sebelum anda bertindak, anda perlu ingat bertepuk sebelah tangan tidak akan berbunyi.

Rakan wanita ini hanya menjadi ancaman sekiranya pasangan anda membuatkan dia betul-betul menjadi ancaman anda.

Mungkin pasangan anda tidak menyedari bahawa rakan wanitanya mempunyai niat serong, tapi tidak bermakna dia tidak boleh menilai dengan cara layanan rakan wanitanya yang berbeza dari sahabat lain.

Jika mereka hanya kawan, pasangan anda juga mesti tahu had waktu yang sepatutnya dihabiskan dengan rakan wanitanya itu dan sejauh mana pentingnya panggilan telefon daripada wanita itu.

Bermakna, jika anda rasa tidak selamat atau rasa terancam dengan sikap wanita tersebut, perlu diingatkan juga bahawa pasangan anda itu juga sepatutnya menjaga perasaan anda dan tidak bersikap sesuka hatinya.

Berbicara untuk elak syak wasangka

Jika persahabatan pasangan anda dengan rakan wanitanya menjadi satu gangguan pada perasaan anda adalah lebih baik jika anda berdua duduk berbincang.

Beritahu dia apa yang anda rasa dan pastikan anda tidak minta sesuatu yang membuatkan dia rasa terikat dengan anda. Ini kerana pasangan anda sebenarnya berhak untuk berkawan dengan sesiapa sahaja sama seperti anda juga berhak memilih sesiapa sahaja sebagai rakan.

Pasangan yang menghormati anda akan menerima dan mengambil berat tentang apa yang merisaukan anda. Dan perhatikan juga adakah pasangan anda berubah sekali gus membuatkan anda berasa lebih selesa dengan situasi baru tersebut.

Jika dia tidak mengendahkan kerisauan anda, maka tibalah masa untuk anda berdua mengkaji dan memastikan adakah kehadiran anda bermakna untuk dia.

Tidak dinafikan sahabat memang perlu tetapi janganlah sampai merosakkan hubungan intim anda dan pasangan.

Memang pasangan anda bebas berkawan namun jika persahabatan tersebut mengganggu perhubungan anda maka persahabatan tersebut perlu dihentikan.

"Tidakkah saya nampak terlalu mengongkong jika meminta dia jangan berkawan dengan perempuan?"

Itu hanya dilakukan apabila anda pasti bahawa 'ada sesuatu' yang luar biasa pada persahabatan mereka.

Tidak salah jika anda berbuat demikian jika anda pasti bahawa wanita itu tidak berniat ikhlas terhadap persahabatannya dengan pasangan anda.

Memang pasangan anda patut menyedari hakikat tersebut dan selesaikan dengan baik, namun perlu diingat anda juga berhak untuk menyuarakannya jika anda mahu.

Anda juga perlu mengawal diri, bersikap tenang dan bertutur dengan jelas untuk melindungi hak anda. Jangan sesekali bergaduh, reaksi si dia boleh memberitahu respons dia terhadap isu tersebut.

Jika dia bersikap negatif terhadap kerisauan anda, mungkin ini memberitahu anda bahawa hubungan anda perlukan 'cuti panjang', mungkin pada tempoh tersebut dia boleh berfikir dan membuat keputusan apa yang dimahukan dalam hidupnya.

Barah pangkal rahim boleh dicegah

Oleh Hafizah Iszahanid

Sikap malu jalani ujian awal antara punca penyakit lewat dikesan selain bebanan kos rawatan RM250j setahun
BARAH pangkal rahim tidak hanya sekadar penyakit wanita, tetapi pada masa sama turut memberi kesan dari segi ekonomi negara. Buktinya, pasti ramai yang terkejut jika dimaklumkan Malaysia terpaksa membelanjakan kira-kira RM250 juta setahun untuk menguruskan barah pangkal rahim - satu penyakit yang boleh dicegah dan dikesan seawal mungkin.
Daripada jumlah itu hanya sembilan peratus digunakan untuk ujian pengesanan awal barah pangkal rahim iaitu ujian Pap smear yang turut dirujuk sebagai lumuran pap.

Fakta ini diperoleh hasil kajian dua tahun mengenai barah pangkal rahim sebagai beban ekonomi negara diketuai Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Prof Datuk Dr Syed Mohd Aljunid dan Pensyarah Jabatan Kesihatan Masyarakat, Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Madya Dr Sharifa Ezat Wan Puteh. Kajian di enam hospital kerajaan itu dilakukan sepanjang tahun 2006 hingga 2008.
Di peringkat global, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan hampir 500,000 wanita diserang barah pangkal rahim setiap tahun. Dengan kadar kejadian yang begitu tinggi, tidak hairanlah kajian ini mendedahkan barah pangkal rahim turut menjadi beban ekonomi yang besar bagi rakyat Malaysia.
“Kos keseluruhan mencegah dan mengurus barah pangkal rahim terbahagi kepada penyaringan lumuran pap, rawatan prabarah dan peringkat seterusnya apabila barah menyerang. Tiada data terkini tentang kes yang sedia ada di Malaysia kerana inilah kali pertama kami menjalankan kajian untuk mengukur beban ekonomi penyakit ini di Malaysia.
“Namun, angka yang kami temui sangat mengejutkan. Kos menguruskan barah pangkal rahim di Malaysia berjumlah RM250 juta setahun sedangkan barah pangkal rahim sebenarnya boleh dikesan dan dicegah dengan ujian lumuran pap. Kebanyakan wanita masih malu, takut dengan doktor selain percaya kononnya ujian lumuran pap akan mendatangkan kesakitan. Sikap sedemikian menyebabkan negara terpaksa mengeluarkan perbelanjaan besar hanya untuk mengurus dan merawat barah pangkal rahim,” katanya.
Dr Syed Aljunid, berkata di seluruh Malaysia, hanya 40 peratus wanita yang tampil menjalani ujian lumuran pap manakala selebihnya tidak mengambil vaksin.
Barah pangkal rahim sememangnya tidak asing bagi wanita tempatan dan daripada keseluruhan kes barah, ia menduduki tempat kedua selepas barah payu dara. Kadar kejadian barah pangkal rahim pula 19.7 bagi setiap 100,000 penduduk, iaitu lebih tinggi daripada negara Asia yang lain dan negara barat.
Statistik daftar barah kebangsaan untuk tahun 2003 merekodkan 56.4 peratus barah pangkal rahim di negara ini membabitkan wanita Cina, 32.8 peratus Melayu dan 10.8 peratus India.
Malah setiap tahun, sejumlah 1,6000 kes baru dikesan dengan 3,000 kes dirawat di hospital kerajaan. Dari segi tahap umur, insiden barah pangkal rahim lebih tinggi di kalangan mereka yang berusia 50 hingga 69 tahun iaitu sebanyak 62.9 kes bagi setiap 100,000 orang manakala 50 peratus kes didiagnos antara usia 35 dan 55 tahun.
Namun, berbanding barah jenis lain, barah pangkal rahim sebaliknya boleh dikesan awal dengan ujian lumuran pap selain suntikan vaksin. Jika seseorang wanita sudah mencukupkan semua dos vaksin mencegah barah pangkal rahim, mereka sebenarnya masih perlu untuk membuat ujian lumuran pap.
Kebanyakan wanita Malaysia tidak mengambil vaksin disebabkan harga yang dianggap mahal. Anehnya, pada masa sama, mereka tidak pula mahu menjalani ujian lumuran pap yang jauh lebih murah dan turut ditawarkan secara percuma jika dilakukan di hospital kerajaan.
“Kaedah paling berkesan untuk mengesan dan mencegah barah pangkal rahim adalah menerusi ujian lumuran pap. Bagaimanapun daripada kajian mendapati hanya sembilan peratus daripada RM250 juta digunakan untuk penyaringan. Manakala 91 peratus adalah untuk mengurus dan merawat penyakit ini,” katanya.
Dr Syed Aljunid berkata kerajaan terlalu banyak memperuntukkan wang untuk rawatan dan pengurusan penyakit sedangkan perkara asas dalam pencegahan penyakit kurang mendapat sambutan.
“Dalam konteks ini, ujian lumuran pap adalah contoh paling jelas. Walaupun boleh melakukan ujian di hospital kerajaan atau mana-mana klinik kerajaan dan swasta, ramai wanita tidak mahu melakukannya atas rasa malu.”
Sebagai perbandingan, United Kingdom (UK) membelanjakan RM561.1 juta bagi penyaringan lumuran pap iaitu 56.2 peratus jumlah kos keseluruhan bagi pengurusan barah pangkal rahim. Bagaimanapun, disebabkan UK membelanjakan begitu banyak untuk penyaringan, mereka hanya membelanjakan RM437.3 juta atau 43.8 peratus untuk rawatan. Secara jelas ia menunjukkan penyaringan yang berkesan pada peringkat awal mengurangkan kelaziman dan beban ekonomi penyakit ini.
Dr Syed Aljunid berkata, kajian menunjukkan gabungan program vaksin dengan penyaringan lumuran pap dapat mempengaruhi keberkesanan kos pencegahan barah pangkal rahim.
“Kunci mengurangkan beban ekonomi barah di Malaysia ialah pencegahan. Kos penyaringan mengesan barah pangkal rahim dan vaksin terhadapnya pada peringkat awal adalah lebih berkesan berbanding rawatan penyakit itu,” katanya.
Rawatan yang disasarkan pada peringkat penyakit barah yang lebih lanjut tidak hanya rendah kadar kejayaannya tetapi lebih tinggi kosnya yang boleh dielakkan jika dikesan awal.
“Di sini, kebanyakan strategi penyaringan lumuran pap bergantung kepada peluang semata-mata. Penyaringan hanya dijalankan apabila wanita datang berjumpa doktor selepas bersalin kerana mendapatkan khidmat merancang keluarga atau semasa program penyaringan. Kami dapati kadar penyaringan lebih tinggi ini dapat menurunkan bilangan kes barah pangkal rahim. Ia juga dapat mengurangkan kos pengurusannya serta komplikasi kesihatan,” katanya.
Mengenal barah pangkal rahim
Barah pangkal rahim disebabkan oleh jangkitan kuman human papillomavirus (HPV). HPV sangat lazim ditemui. Tanpa vaksin lebih 50 peratus orang dewasa yang aktif seks akan dijangkiti HPV dalam hayat mereka.
Pangkal rahim secara saintifiknya bertindak sebagai laluan. Darah mengalir dari uterus melaluinya untuk ke vagina ketika haid. Pangkal rahim juga menghasilkan mukus yang membantu sperma bergerak ke dalam rahim. Ketika hamil, pangkal rahim tertutup rapat bagi melindung janin. Ketika proses kehamilan, pangkal rahim terbuka untuk membenarkan bayi lahir.
Barah pangkal rahim bermula seperti kebanyakan barah di mana-mana bahagian tubuh, ia bermula di dalam sel.
HPV memang dikaitkan sebagai punca utama penyebab barah pangkal rahim. Manakala faktor lain seperti merokok, sistem imun tubuh wanita, komplikasi pengambilan pil cegah hamil hanya sebahagian faktor-faktor lain yang dikaitkan dengan barah pangkal rahim.
Ini kerana HPV adalah virus yang sangat biasa ditemui pada lelaki dan wanita. Terdapat lebih 100 jenis HPV. Kira-kira 40 jenis HPV dikenali sebagai ‘HPV alat kelamin’ kerana ia akan menjejaskan sekurang-kurangnya bahagian itu.
Lebih 50 peratus orang akan mengalami satu daripada jenis HPV itu sekali dalam hidupnya. Manakala jenis HPV yang lebih berisiko tinggi (misalnya jenis 16 dan 18) pula akan menjadi punca barah pangkal rahim.
Jenis lain yang dianggap berisiko rendah adalah jenis 6 dan 11 yang boleh menyebabkan ketua dan keganjilan bukan barah di pangkal rahim. Namun, kesemua jenis HPV ini boleh menyebabkan keputusan ujian lumuran pap tidak normal.
Sesiapa saja yang terlibat dengan aktiviti di bahagian sulit boleh berhadapan dengan ‘HPV alat kelamin’ walaupun tanpa hubungan kelamin. Disebabkan HPV tidak menunjukkan sebarang tanda atau simptom, virus ini boleh dipindahkan tanpa mereka sendiri tahu. Malah seseorang itu boleh dijangkiti lebih daripada satu jenis HPV pada satu-satu masa.
HPV sangat mudah berjangkit. Malah, kebanyakan orang dijangkiti HPV pada tahun-tahun pertama mereka aktif dalam hubungan seksual. Justeru, ujian lumuran pap sangat disarankan.
INFO:
Faktor dijangkiti HPV
1) Tidak melakukan rutin ujian lumuran pap
2) Sistem tubuh yang lemah
3) Usia (barah pangkal rahim lebih banyak terjadi pada wanita berusia 40 tahun ke atas).
4) Ramai pasangan seks atau perempuan yang melakukan hubungan intim dengan lelaki yang banyak pasangan seks.
5) Merokok
6) Komplikasi penggunaan pil perancang dalam masa yang panjang
Pencegahan Barah Pangkal Rahim
Vaksin. Pada masa ini sudah ada vaksin yang ditawarkan kepada wanita bagi mengelak serangan barah pangkal rahim. Ada tiga dos vaksin yang perlu dipenuhi. Ia boleh diambil bagi anak gadis berusia dari usia sembilan tahun hingga 26 tahun.

Walaupun vaksin diambil, ujian lumuran pap masih lagi perlu dibuat setiap tiga tahun. WHO menyarankan ujian lumuran pap dibuat setahun sekali manakala bagi Kementerian Kesihatan, memadai tiga tahun sekali. Ujian lumuran pap perlu dilakukan oleh setiap wanita yang sudah berkahwin, wanita berusia 20 tahun ke atas dan wanita yang sudah putus haid.

Derita selepas rela dimadu

ARKIB : 21/06/2009 Utusan Malaysia

DALAM pertemuan dengan Suhana di sebuah restoran baru-baru ini membuat saya teringat kepada kisah yang pernah dipaparkan di ruangan DCCK ini kira-kira empat tahun lalu menceritakan pengalaman pahit oleh Puan Junainah yang diceraikan oleh suaminya, walaupun beliau rela bermadu dan tidak bersedia diceraikan.

Walaupun cerita Suhana juga bersabit isu bermadu, tetapi suaminya tidaklah sekejam suami Junainah, beliau tetap menyayangi kedua-dua isterinya. Namun bermadu memang ada masalah.

Inilah yang dihadapi oleh Suhana, walaupun beliau berusaha keras bersabar dengan apa juga kerenah madunya, tetapi beliau sentiasa berhadapan pelbagai masalah baik dari suami apa lagi madunya.

''Di awal perkahwinan memang hidup kami bahagia, tetapi suami saya Khamil, hobinya suka kerja balik lewat malam. Banyak kerja atau tidak dia memang suka balik lewat. Bila lewat sampai rumah tentulah dia tak boleh bantu saya menyelesaikan kerja-kerja rumah.

''Sebagai suami isteri sepatutnya kita bekerjasama dalam semua hal lainlah kalau saya suri rumah sepenuh masa, ini kita sama-sama bekerja, tentulah saya perlukan suami membantu dalam apa juga tugas. Lebih teruk lagi saya tak boleh memandu dan saya tidak dihantar atau diambil oleh suami ke tempat kerja alasannya tempat kerjanya jauh dan dia selalu sibuk.

''Keadaan berterusan setelah saya mengandung dan melahirkan anak, setiap benda dalam rumah saya terpaksa uruskan sendiri. Khamil tak boleh bantu alasannya sibuk. Nak jadikan cerita Khamil dapat tawaran kerja baru yang memaksa dia bertukar ke tempat lebih jauh.

''Bila berjauhan kami terpaksa tinggal berasingan kata Khamil saya tak perlu mengikutnya. Walaupun masih dalam satu negeri, tetapi kesesakan lalu lintas di KL, dan kesibukan tugas, memaksa kami berjauhan. Saya terpaksa mengikut kehendak Khamil.

''Khamil pulang seminggu sekali. Itu pun kalau tidak sibuk dan tidak bekerja sampai malam. Tinggal berasingan membuatkan saya terpaksa berdikari menguruskan semua hal sendiri, menghantar bayi ke rumah pembantu hinggalah mengambilnya menjelang senja. Begitu juga kalau sakit. Kalau nak tunggu suami takut pulak anak sakit tenat.

''Malangnya bila dah duduk berasingan tanpa kita sedari suami boleh jatuh cinta lagi.

''Sebagai isteri yang muda ketika itu memang saya rindukan suami, saya mengharapkan suami saya seperti suami orang lain, sentiasa berada di sisi, menghulurkan bantuan ketika diperlukan, tambahan pula kita mempunyai anak yang masih kecil yang memerlukan perhatian ibu dan ayahnya, tetapi ketika itu sayalah ayah dan sayalah ibu.

''Kalau difikirkan memang amat menakutkan, kami tinggal berdua sahaja. Lebih menakutkan bila baca akhbar ada cerita tentang pembunuhan, rompakan dan sebagainya, tetapi saya terpaksa kuatkan semangat dan bersabar demi kasih sayang terhadap suami tercinta.

''Empat tahun hidup bersendirian dengan anak, akhirnya Khamil kembali tinggal bersama kami, perubahan yang amat mengejutkan, tetapi saya gembira. Ketika itu hanya Allah tempat kita mengucapkan syukur dengan harapan ikutan kasih sayang kami terus berpanjangan.

''Nak jadikan cerita bila suami sentiasa bersama kita, barulah kita nampak perubahannya, memang ada kelainan tentang tingkah laku dan kehidupannya. Kerana ingin mendapatkan kebenaran satu hari saya bertanya adakah dia wanita lain dalam hidupnya.

''Tanpa diduga, Khamil mengaku memang dia ada kekasih dan merancang berkahwin tidak lama lagi. Waktu itu, mana-mana wanita tentu dapat ramalkan reaksi saya. Walaupun saya tidak pengsan, menangis dan meraung, tetapi saya jadi kelu tak dapat berkata-kata. Di pejabat saya tak boleh menumpukan sepenuh perhatian kepada tugas, saya jadi kehilangan punca.

''Selepas beberapa hari saya tanya Khamil lagi apakah benar dia hendak kahwin lagi, katanya keputusannya adalah muktamad. Dia tetap akan berkahwin, kerana dia terpaksa menyelamatkan maruah gadis yang telah ternoda oleh lelaki lain dan dia amat kasihan dengan gadis tersebut. Bila saya tanyakan umurnya, saya terkejut, umurnya cuma setahun berbeza dengan saya, bukanlah muda sangat. Kalau dia dah berkahwin tentunya anaknya lebih ramai daripada saya.

''Khamil berjanji dia tidak akan mensia-siakan hidup saya, dia tidak akan ceraikan saya, dia cuma mahu saya benarkan dia bernikah sebab wanita tersebut mahu mengadakan majlis perkahwinan besar-besaran, untuk melepaskan hajatnya. Waktu itu walau dipujuk dan disembah pun Khamil tetap dengan keputusannya, dia tidak akan berganjak walau seinci pun. Akhirnya kerana saya terlalu sayangkan suami, saya terpaksa menandatangani surat izin berpoligami.

''Dengan surat izin tersebut lepaslah hajat wanita tersebut hendak buat majlis perkahwinan yang diidamkan di kampungnya di Pantai Timur. Ketika itu Khamil sudah berhenti kerja dan mengusahakan perniagaannya sendiri.

''Mereka telah memilih tarikh perkahwinan tetapi saya membantah kerana kebetulan sama dengan tarikh ulang tahun perkahwinan saya. Khamil bersetuju mengubahnya, walaupun bakal isterinya membantah. Namun Kamil terpaksa menangguhkan kerana masalah perniagaannya yang memerlukannya memberikan perhatian yang lebih.

''Tambahan pula ketika itu Khamil menghadapi masalah kewangan. Kerana tiada tempat hendak memohon bantuan, Khamil terpaksa meminta bantuan saya. Kerana sayangkan suami, saya bantu Khamil. Dengan harapan bila bisnesnya berjaya hidup kami akan lebih senang lagi.

''Tetapi malangnya duit tersebut digunakan untuk pernikahannya. Waktu itu hanya Allah sahaja yang tahu perasaan saya.

''Saya percayakan Khamil berlaku adil kepada saya, tetapi masalahnya, Khamil merasa terlalu sukar untuk berlaku adil. Sebagai contoh setiap kali sampai gilirannya di rumah saya, si madu akan menghubungi Khamil mengadu pelbagai masalah kerana dia terpaksa tinggal sendirian.

''Dia memang mengganggu hidup kami, seperkara lagi setiap kali Khamil balik ke rumah saya kami sering bertengkar biarpun masalah kecil-kecil aja. Saya tak tahu mengapa kami sering bergaduh. Hinggakan panggilan telefonnya juga boleh buat kami bertengkar, dan itulah yang sebenar yang dicari oleh si madu tu. Dia memang suka kami bergaduh.

''Tetapi saya tidak pernah menganggunya ketika giliran Khamil ke rumahnya. Hinggakan kalau anak saya demam atau sakit yang memerlukan saya membawanya ke doktor, saya tidak akan telefon Khamil. Semuanya saya buat sendiri.

''Begitu juga halnya kalau kami pergi bercuti, Khamil cuba berlaku adil, tetapi si madu tu tak pernah senang hati, dia akan sentiasa menghubungi Khamil mengadu dan merayu dengan pelbagai masalah. Kadang tu waktu kami nak masuk tidur, Khamil terpaksa melayan dia berbual di telefon dahulu beberapa lama sebelum boleh dan dibenarkan masuk tidur.

''Gangguan dari si madu ni bukan sahaja datang semasa dia belum ada anak, semasa dia mengandung lagi hebat. Dia akan sentiasa telefon Khamil. Cara dan perbuatannya seumpama tidak membenarkan Khamil datang ke rumah saya, Tetapi sedarkan dia bahawa dia tu cuma isteri kedua. Nampak gayanya orang yang ambil suami orang lebih kuat mengganggu hidup isteri yang suaminya kena ambil. Adilkah tindakan si madu ini?

''Sekarang setelah ada anak kecil keadaannya lebih teruk lagi, setiap kali Khamil di rumah saya dia tak suka tinggal sendirian dengan anak kecilnya dia akan telefon Khamil suruh balik. Alasannya anak demamlah, sakit perutlah, kembung dan macam-macam lagi.

''Saya perhatikan Khamil memang mengikut kehendak si madu ni, jadi pak turut tetapi dengan saya dia baran, tambah-tambah bila mertuanya datang. Akibatnya hidup saya tidak tenteram, saya tak tahu kenapa Khamil cepat baran dan mengamuk bila balik rumah saya. Kerana isu kecil pun dia akan mengamok, lepas tu dia tinggalkan saya balik ke rumah isteri barunya.

''Saya tak tahu sampai bila hidup saya jadi begini, semakin hari Khamil menjadi begitu dingin dengan saya. Tak mahu sentuh saya, kalau saya sentuh pun tidak akan mendapat balasan darinya. Dan setiap kali saya cuba mendekatinya balik ke rumah dia cepat berubah jadi pemarah dengan isu kecil sekalipun. Masalah inilah memeningkan kepala saya, sampai bila saya mesti bersabar? Sepatutnya suami berlaku adil bila berpoligami, adil memberi nafkah zahir batin, tetapi kalau nafsu suami diikat hingga dingin kepada saya apakah ini adil? Dan bagaimana suami boleh hidup bahagia kalau fikiran suami sentiasa diganggu oleh gangguan oleh ilmu hitam dan kuasa asing?''

Ini masalah besar yang dihadapi oleh Suhana. Masalahnya memang menyulitkan, sukar di atasi, tambahan pula Suhana tidak akan mengaku kalah walau apa pun terjadi.

Poligami memerlukan kefahaman semua pihak, isteri-isteri dan suami. Kalau masing-masing lebih mementingkan diri sendiri, ia tidak akan mencapai matlamatnya. Dan memang jarang-jarang kita dengar isteri-isteri yang berpoligami bahagia hidup mereka.