#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, Januari 14, 2010

Bergaya kemas dan anggun ke pejabat

ARKIB : 13/01/2010


RAMBUT basah, solekan comot, kuku sumbing. Ini merupakan antara kesalahan-kesalahan penting yang perlu dielakkan apabila hendak pergi ke pejabat.

Semua orang sedar yang kita perlu kelihatan kemas ke pejabat. Namun begitu, ramaikah di antara kita yang faham apa maksud penampilan kemas itu?

Cara anda bergaya di pejabat mempunyai banyak kaitan dengan budaya korporat syarikat tempat anda bekerja.

Sama seperti kod berpakaian, bidang kerja yang lebih kreatif dan relaks memberi ruang kepada rutin kecantikan yang tidak terlalu ketat. Bagaimanapun, terdapat beberapa 'peraturan' yang melibatkan hampir kesemua wanita.

Pertama sekali, jangan malu-malu menggunakan warna terutama apabila memilih gincu. Warna merah selalunya kelihatan cantik walaupun di bilik mesyuarat.

"Bibir merah sempurna, dengan sedikit pemerah pipi dan pembayang mata neutral selalu kelihatan sesuai," menurut jurusolek, Napoleon Perdis yang sering digandingkan dengan pelakon Debra Messing.

Cuba elak gunakan pelembap bibir sebaliknya cuba jenis 'matte' dan berkrim seperti Brick Red - rona neutral, perang dan merah dari Bobbi Brown.

Yang penting, pastikan sapuan kemas. Untuk memastikan gincu tidak meleleh sekitar bibir, gunakan pensel bibir 'nude' sebelum menyapu gincu.

Katanya, solekan tebal boleh digayakan ke pejabat. Tetapi jika rutin kecantikan anda ketika ini hanya melibatkan pelembap muka dan senyuman, mula perlahan-lahan untuk belajar bersolek dengan betul.

Solekan ringkas selalunya membantu terutama apabila anda perlu menghadiri mesyuarat tergempar atau makan tengah hari penting. Trio sapuran maskara, 'concealer' dan pemerah pipi sudah mencukupi untuk memperkemaskan penampilan.

Rambut

Rambut, bagaimanapun, tidak selalunya mudah. Ramai wanita menghabiskan masa berjam-jam setiap pagi untuk mengeringkan rambut, mengerinting, meluruskan dan berdandan.

Untuk mendapatkan gaya terbaik, dandanan profesional selalunya berbaloi dengan bayaran dikenakan.

Mana-mana salon boleh mendandan rambut anda dengan harga yang tidak terlalu mahal. Beli syampu kering berasaskan bedak yang menyerap minyak dari akar rambut dan menghilangkan kekusutan selama beberapa hari.

"Untuk interbiu penting, laburkan wang anda untuk mendandan rambut. Gaya ringkas dan klasik boleh membantu anda mendapatkan kerja itu," kata jurugaya rambut, Patrick Melville yang mempunyai klien seperti Jennifer Connelly dan Eva Longoria Parker.

Jika anda masih bimbang untuk membelanjakan wang yang banyak, terdapat pelbagai jenis produk menghilangkan kekusutan rambut di pasaran.

Bagi melembutkan rambut seeloknya menggunakan ester polifluoro, sejenis molekul yang mengurangkan kekusutan

Mimpi buruk menghantui tidur



Jadikan tempat tidur anak selesa dan wujudkan suasana yang tenang untuk mengelak gangguan mimpi buruk. - Gambar hiasan


DI tengah-tengah kedamaian malam, tiba-tiba terdengar anak menangis atau terjerit-jerit dari bilik mereka. Wajahnya pucat dan menggigil ketakutan sambil segera memeluk anda. Pautan yang kuat itu sedikit sebanyak menceritakan ketakutan yang mereka alami semasa tidur.

Ini semua angkara mimpi buruk yang sering dialami oleh kanak-kanak. Sekurang-kurangnya 25 peratus kanak-kanak akan mengalaminya sekali dalam seminggu.

Kanak-kanak yang sering mengalami mimpi buruk boleh menyebabkan ketakutan untuk tidur di waktu malam dan sering terjaga dalam suasana kebimbangan.

Sebagai ibu bapa penting untuk tahu mengendalikan masalah mimpi buruk ini supaya anda boleh membantu mereka menghindarkan pengalaman yang menakutkan pada waktu malam.

Justeru itu, di bawah beberapa cadangan untuk mengendalikan mimpi buruk.

lSelesakan tempat tidur anak andaJika anak anda takut untuk tidur di waktu malam oleh kerana takut akan mengalami mimpi buruk, maka jadikan tempat tidur mereka selesa dan wujudkan suasana yang tenang. Contohnya, seperti menyediakan lampu tidur atau membiarkan pintu bilik terbuka supaya anda boleh masuk segera apabila terdengar anak menangis atau meracau-racau ketika bermimpi.Anda juga boleh memainkan muzik yang lembut semasa anak ingin tidur bagi membantunya tenang sebelum tidur.

lBerbincang dengan anak perkara yang mungkin merungsingkan mereka Kadangkala mimpi buruk kanak-kanak boleh disebabkan oleh kerisauan dan tekanan. Sehubungan itu, habiskan masa bercakap dengan mereka dan tentukan masalah yang mereka hadapi. Mungkin ada perubahan yang berlaku pada mereka baru-baru ini, sama ada baru menjejakkan kaki ke sekolah rendah atau tadika. Atau mereka menghadapi masalah untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru. Atau mungkin ada antara keluarga yang menghadapi tekanan yang turut mempengaruhi anak. Jika ya, isu ini perlu dibincangkan dengan anak.

lAmbil kira mengenai ubat-ubatan Adakah anak anda telah diberi ubatan yang baru? Ada pelbagai ubatan yang boleh menyebabkan mimpi dan igauan buruk. Jika anak anda mengalami mimpi buruk, ini adalah masa yang tepat untuk melihat semula ubatan yang diberikan oleh doktor kepada anak. Juga kafein adalah dadah rangsangan yang boleh menyumbang kepada mimpi yang menakutkan. Oleh itu atur dan tentukan semula berapa banyak anak anda mengambil minuman ringan sehari atau pengambilan coklat. Kadangkala menghentikan pengambilan kafein boleh mengurangkan berlakunya mimpi buruk.

lAmbil kira diet anakDiet yang tinggi gula dan karbohidrat ringkas apabila diambil sebelum waktu tidur boleh menyebabkan mimpi buruk. Snek yang terbaik diambil sebelum tidur ialah segelas susu yang dicampur dengan gula atau coklat. Hadkan pengambilan makanan yang kaya dengan karbohidrat terutama dalam beberapa jam sebelum tidur.

lBenarkan anak meluahkan ketakutan mereka Jika anak anda terjaga dari tidur kerana mimpi buruk, benarkan mereka meluahkan apa yang menakutkan. Perlakuan meluahkan ketakutan itu boleh menghilangkan tekanan menyimpan mimpi buruk dalam dirinya. Justeru, tekankan pengalaman yang dialami itu adalah hanya mimpi dan karakter buruk itu tidak boleh mencederakan mereka. Mimpi buruk itu selalunya akan hilang sedikit demi sedikit apabila kanak-kanak semakin berusia.

Sukar tolak cinta baru

ARKIB : 10/01/2010

MEMBACA kisah orang, pastinya tidak sama dengan empunya badan yang mengalaminya. Walaupun kisahnya mungkin hampir sama, tetapi situasinya pasti berlainan.

Kisah DCCK minggu lalu mengenai “Diserang ibu kekasih suami” membuatkan saya terpanggil untuk mencoretkan sesuatu.

Saya mungkin seorang suami, mungkin juga seorang isteri, seorang anak, seorang ibu atau mungkin wanita luar yang sedang memburu cinta seperti watak-watak yang terdapat di dalam kisah tersebut.

Coretan ini hanya sekadar pendapat atau pandangan peribadi saya dan bukan menuding jari meletakkan kesalahan pada orang tertentu. Seandainya ada yang terguris, ampun maaf dipinta.

Kisah Mariaelena dan suami adalah secebis daripada asam garam berumah tangga. Sentiasa ada pasang dan surutnya. Dan sebagai pengemudi (suami dan isteri), kitalah yang menentukan hala tujunya.

Sebagai isteri, saya harap beliau tabah melalui detik yang sukar ini. Jika anda mampu bertahan hingga kini (mempunyai tiga anak) bermakna anda sememangnya seorang yang kuat. Jangan cepat melatah dan menghukum diri hanya kerana perbuatan suami yang curang.

Sentiasa positif dengan hidup. Perlu diingat, kehidupan wanita hari ini bukan sahaja tertumpu kepada rumah tangga. Banyak lagi perkara yang boleh membahagiakan kita (berlandaskan syariat Allah) di luar sana. Anak-anak adalah keutamaan. Jangan sampai anak menjadi mangsa masalah kita dengan suami. Dan jangan lupa, muhasabah juga diri sendiri manalah tahu ada kekurangan yang menyebabkan suami mula bermain kayu tiga.

Sebagai suami pula, sememangnya berada di alam percintaan itu indah. Kerana itu apabila ada cinta baru yang datang, kita sukar menolak. Namun alangkah baiknya jika kita menyuburkan kembali cinta kepada isteri. Dan yang paling utama, cinta kepada Allah SWT.

Kenangkan kembali pengorbanan seorang isteri yang telah mempertaruhkan nyawa memberi zuriat kepada kita.

Memang poligami itu tidak salah, jika mampu dengan cara yang elok pasti tiada halangan. Saya pernah melihat kehidupan lelaki yang mengamalkan poligami dan hidup bahagia. Dan saya juga pernah melihat lelaki berpoligami yang kecundang dalam mengemudikan dua (atau lebih keluarga). Akhirnya bukan sahaja isteri dan anak-anak menderita, malah diri sendiri juga huru-hara!

Sebagai wanita yang sedang memburu cinta, tidak salah menjadi isteri kedua jika kena caranya (tetapi, bukankah ramai lelaki bujang di luar sana?). Namun pastikan kita bersedia dari semua segi terlebih dahulu. Dan jangan lupa, kita sendiri yang mahu berkongsi dengan orang lain. Maka, keutamaan bukanlah pada kita.

Sebagai ibu pula, tentunya kita mahukan yang terbaik untuk anak-anak. Didik dan bimbinglah mereka sewajarnya. Walaupun kita inginkan mereka bahagia, jangan sampai menjejaskan kebahagiaan orang.

Ingatlah, hidup ini ibarat roda. Atas dan bawah, semuanya pasti akan dirasa. Jika hari ini kita bahagia, esok lusa belum tentu kesudahannya.

* AHSU

Suami suka isteri orang

ARKIB : 10/01/2010

BERUMAH tangga tak semuanya membawa kebahagiaan, tak tidak semestinya menderita, semuanya terpulang kepada nasib seseorang itu, ada kalanya macam sabut, timbul, ada juga macam batu, tenggelam. Demikianlah dengan kehidupan yang saya lalui.

‘‘Pelbagai usaha saya lakukan demi mempertahankan perkahwinan saya, malangnya semuanya tidak menjadi. Nak kata saya ego rasanya tidak, lebih banyak mengalah, tetapi itulah nasib. Setelah puas menderita talak juga yang saya dapat,’’ demikian cerita Norshahreen dalam e-melnya.

‘‘Benar apa yang berlalu tidak boleh dikesalkan kerana kita sudah ditakdirkan, namun hati ini semakin dipendam semakin parah, nak cerita dengan kawan mereka tak faham, mencurah perasaan pada keluarga kita disalahkan, akhirnya untuk mententeramkan hati yang terguris ini saya lepaskan kepada pembaca DCCK paling tidak jiwa saya tenteram.

‘‘Kalau diingat memang pedih untuk bercerita, tetapi saya mencari kelegaan di hati, biarlah luka lama berdarah kembali, asalkan hati saya boleh tenang walaupun dengan menulis dalam e-mel ini. Ketenangan inilah yang saya cari.

‘‘Kami berkenalan ketika sama-sama menuntut di U, melalui saya Hafiq mengenali ramai kawan-kawan perempuan saya, tetapi semuanya tak sangkut, tak berkenan dihatinya katanya tak sesuai. Akhirnya dia pilih saya. Ketika itu kami sama-sama berusia 23 tahun, tak sampai setahun berkawan secara serius kami berkahwin.

‘‘Kerana baru bekerja kami memang tak berduit, Alhamdulillah kerana keluarga saya pun berduit, maka urusan kenduri kahwin tak jadi masalah. Boleh dikatakan saya mendapat banyak bantuan emak. Mak juga bagi kami sebuah kereta untuk kemudahan kami berulang alik ke tempat kerja. Begitu sayangnya emak kepada kami.

‘‘Lepas kahwin baru saya tahu siapa Hafiq sebenarnya, dia bukan setakat pemarah, panas baran, malah kakitangan pun cepat. Untuk mengelakkan aksi pukul memukul, saya bersikap mendiam diri setiap kali dia hangin, tapi dia marah juga sebab saya diam, dia kata saya melawan dia dalam diam.

‘‘Sifat buruknya yang paling jelas apa juga katanya tak boleh dibantah, dia mahu saya ikut saja, bila keputusan yang dibuatnya salah, kita juga kena marah, kerana tak ikut betul-betul apa kehendaknya. Sedangkan saya tahu perbuatannya salah, nak tegur tak boleh takut kena tangan.

membimbing

‘‘Dulu katanya dia pilih saya sebagai isteri kerana saya rajin solat, dia kurang jadi dia harap saya boleh membimbing dia dunia dan akhirat, dia mahu belajar mengaji dan mahu tahu cara soal berjemaah. Tapi sayangnya minatnya untuk beberapa bulan aja. Dia juga kata sukakan saya kerana berpakaian sopan berbaju kurung dan bertudung. Tetapi yang sebenarnya dia lebih minat dengan wanita berpakaian terdedah. Suka pulang lewat malam dengan pelbagai alasan.

‘‘Bila selalu balik lewat hubungan kami semakin dingin, dan lepas dapat anak lebih renggang lagi, ditambah dengan perangainya yang panas baran. Apa yang menyakitkan hati seks menjadi alasannya. Sebabnya video lucah menjadi kegemarannya di samping menonton dari internet. Lepas itu dia mula bandingkan saya dengan aksi wanita dalam video itu. Dan jadilah saya serba tak kena. Serba tak sedap, serba tak best dan serba tak cantik. Pendek kata macam-macamlah keburukan saya di matanya.

‘‘Kalau dulu dia suka saya berpakaian sopan, lepas kahwin mula suruh saya tukar penampilan, suruh bersolek, suruh ikut gaya wanita dalam video dan mula bandingkan saya dengan isteri kawan-kawannya lebih bergaya dan seksi. Lebih menyakitkan hati bila dia kata dia lebih senang tidur dengan wanita lain daripada saya. Terkejut saya, ketika itu saya mula melihat handphonenya, barulah saya nampak gambar wanita seksi dan mesej-mesej lucah menjadi simpanannya.

‘‘Lebih terkejut wanita itu antaranya kawan pejabatnya dan isteri orang bernama Kas. Bila tanya Hafiq dia kata apa masalah saya, tanya Kas katanya gambar itu Hafiq curi. Kerana fikirkan kawan saya ceritakan masalah saya dengan Hafiq pada Kas. Kas menunjukkan simpati. Lepas itu saya fikir saya boleh tidur lena. Tetapi tidak.

‘‘Saya mengadu pada ibu mertua, dia bersimpati, sayangnya dia takut dengan Hafiq, dan Hafiq tak hormatkan ibunya. Jadi masalah saya terus berkubur. Saya cuba tawan hati Hafiq dengan fantasi seksnya tetapi dia tak suka, katanya pelacur lebih baik daripada saya. Malah dia pandang saya dengan penuh kebencian.

‘‘Beberapa bulan kemudian Kas telefon saya beritahu dia hamil, jiwa saya kembali pulih, pasti dia tidak berhubung dengan Hafiq lagi.

‘‘Nak jadikan cerita satu hari saya ke bank, saya ditegur oleh isteri kawan Hafiq dia ucap tahniah kepada saya kerana Hafiq naik pangkat dan bertanya bila nak pindah. Saya terkejut kerana Hafiq tak beritahu. Bergenang air mata saya tak sangka sungguh sanggup Hafiq tinggalkan saya.

‘‘Bila saya tanya Hafiq dia mengaku nak pindah sebab nak ceraikan saya, sebenarnya perkataan cerai dah lama menjadi nyanyian Hafiq. Sebulan kemudian dia pindah ke negeri di bawah bayu. Tinggallah saya sendirian dengan anak. Lepas 3 bulan saya tanya keadaan saya. Dia kata saya bodoh kerana dia dah ceraikan saya melalui telefon.

‘‘Atas nasihat kawan saya pun daftarkan percerian dan dia pulang menguruskan kemudian. Kerana saya sering merayu tak mahu bercerai, Hafiq memberitahu saya hubungannya dengan isteri orang dalam 10 muka surat dari awal hingga akhir.

‘‘Katanya hubungannya dengan Kas lebih daripada kawan. Mereka selalu keluar dating walaupun pada waktu bertugas dengan pelbagai alasan. Malah mereka pernah sampai ke KL atas alasan tugas asalkan dapat tidur bersama. Buat hubungan dalam kereta jadi perkara biasa. Apa lagi habis waktu pejabat.

‘‘Hafiq juga mengaku bilik tidur kami menjadi tempat paling selesa untuk mereka berdua ketika saya keluar bekerja. Tak kira waktu walaupun pada bulan Ramadhan, maklum rumah kami kawasan baru belum ramai penghuninya. Ketika itu dia ambil peluang.

‘‘Paling mengeciwakan saya mengapa Kas sanggup menduakan suaminya, patutlah hubungan mereka menjadi-jadi ketika dia hamil. Agaknya supaya orang tak syak tentang hubungannya dengan suami orang, kerana dia hamil.

teringat

‘‘Pengakuan Hafiq membuatkan saya teringat kembali kepada suami Kas yang pendiam. Kini fahamlah saya bahawa suami Kas bukan baik tetapi telah diperbodohkan. Patutlah Kas berani keluar bila-bila suka tak kira siang atau malam.

‘‘Kini setelah bercerai saya dapat tukar kerja ke negeri sendiri, hidup saya lebih aman walaupun jiwa tak tenang. Kepada Hafiq dia boleh bergembira di dunia sekarang kerana di akhirat tak Nampak. Namun anda perlu ingat pembalasan Allah bukan sahaja di akhirat, malah kita boleh lihat semasa di dunia lagi. Itulah yang saya mahu lihat.

‘‘Dulu saya dengar cerita suami orang berkasihan dengan isteri orang. Tak sangka pulak benda itu terjadi dalam hidup saya. Pengajaran yang saya dapat, sayang suami biarlah berpada-pada, dan yang paling penting jangan terlalu percaya dan bergantung padanya. Kini, doa saya kalau ada jodoh biarlah yang baik, sebab saya percaya, orang baik akan mendapat jodoh yang baik, insya-Allah.’’ Demikian cerita Norshahreen tentang penderitaan yang ditanggungnya selama empat tahun.

Kepada pembaca DCCK tentu tahu slogan saya ‘‘sayangkan diri anda sendiri lebih banyak daripada sayang orang lain, jika anda mahu hidup lebih bahagia di dunia dan di akhirat kelak.

Cerai isteri, kenapa mesti abaikan anak?

Utusan Malaysia

ARKIB : 11/01/2010


MUSIM persekolahan 2010 baru bermula. Tentu ibu bapa merasa lega kerana anak-anak telah kembali ke sekolah setelah hampir dua bulan bercuti. Rungutan sebahagian daripada anak-anak disebabkan tidak cukup kelengkapan untuk ke sekolah, tentunya merunsingkan ibu bapa.

Namun apa daya, itulah yang termampu.

Demikian keluhan seorang ibu tunggal, Azita (bukan nama sebenar), berusia awal 30-an dalam e-melnya kepada saya.

Sedih juga membaca kisah Azita yang ditinggal suami kerana kehadiran orang ketiga yang menyebabkan Azita dan anak-anaknya seramai empat orang tersingkir daripada hidup bekas suami.

Azita mempunyai empat orang anak berusia antara 10 tahun hingga 15 tahun. Salah seorang daripada empat anaknya terpaksa diserahkan kepada abang bekas suaminya.

"Siapa yang hendak berpisah dengan anak kandungnya, tetapi itulah yang terbaik saya lakukan untuk masa depan anak itu kerana dia dipelihara oleh bapa saudaranya sendiri. Saya reda dengan takdir Allah dan berharap dia akan menjadi manusia berguna apabila dewasa nanti," kata Azita memulakan cerita.

Kini yang tinggal bersamanya hanya tiga orang itu pun seorang di utara, seorang di barat, seorang di timur sebab tinggal di asrama.

"Kerana tidak mahu pelajaran mereka tercicir, saya sanggup berpisah daripada mereka, sebab ilmu itu penting untuk masa depan mereka.

"Biarpun berjauhan segala perbelanjaan mereka saya tanggung dengan wang gaji saya setiap bulan. Nama sahaja ada bapa tetapi tidak bertanggungjawab langsung terhadap anak-anak.

"Bukan dia tidak tahu setiap awal tahun anak-anak perlukan wang ringgit untuk naik sekolah, ini tidak, buat macam orang bujang.

"Pernah anak-anak telefon minta duit, jawapannya, mana abah ada duit? Ini kah jawapan yang diberikan oleh seorang bapa? Apa dia lupa akan tanggungjawabnya? Apa dia ingat yang menelefon minta duit itu anak patung atau robot?

"Memang saya tahu dia tidak ada duit sebab dia tidak bekerja. Semua orang ada masalah dengan duit. Tetapi sebagai bapa tidak bolehkah dia berusaha untuk mencari duit bagi perbelanjaan anak-anaknya itu? Sekurang-kurangnya cari kerja untuk menampung perbelanjaan sekolah anak-anak yang saya pelihara.

"Ini tidak, ceraikan isteri, buang dengan anak-anak sekali….makan ke anak, sekolah ke tidak, ada mereka peduli?

"Memang lelaki sekarang tidak ada perasaan kasih sayang kepada anak-anak mereka yang di pelihara oleh bekas isteri. Yang dia orang tahu, nikah, lepas dapat anak tinggal begitu sahaja, yang kena pikul isteri juga.

"Bukan setakat persekolahan, apabila musim hari raya begitu juga, tidak pernah hendak ambil tahu satu perkara pun tentang anak-anak.

"Pernah satu ketika apabila fikiran runsing, saya seperti mahu tinggalkan sahaja anak-anak dan buat haluan sendiri, tapi hati ibu, mana tergamak, mulut saja cakap, hati berkata tidak.

"Susah macam mana sekalipun anak tetap anak… kena jaga dan bagi pendidikan. Masa depan mereka yang penting.

"Saya juga sudah bosan hendak lalui semua ini, hendak menuntut di Mahkamah Syariah apa yang dapat? Naik turun beratus kali pun, bekas suami tetapi macam itu, mahkamah juga tidak dapat berbuat apa-apa apa lagi jika bekas suami tidak bertanggungjawab ini tidak bekerja.

"Yang rugi kita, bekas isteri, yang penat pun kita. Sudah duit ringgit habis buat tambang, masa juga terbuang, kes macam itu juga tidak ada kesan apa pun kepada bekas suami, sebab yang merana adalah bekas isteri dan anak-anak.

"Mereka tetap bahagia bersama isteri baru. Tambahan pula jika dapat kereta… hidup senang sebab isteri baru boleh tanggung. Ke hulu ke hilir dengan isteri baru macam baru pertama kali kahwin, tidak ada tanggungjawab.

"Saya hairan macam mana bekas suami tidak boleh berfikir dan tidak ada perasaan kasihan kepada anak-anak yang ditinggalkan. Lelaki dan bapa jenis apa mereka itu?

"Saya berdoa agar satu hari bekas suami yang perangai macam ini akan sedar akan kesilapan mereka dan insaf dengan perbuatan itu. Doa saya juga semoga anak-anak berjaya dalam pelajaran dan menjadi insan soleh dan solehah.

"Saya berharap saya diberi kesihatan yang baik, kekuatan dan kesabaran untuk menangani kesempitan hidup ini selagi hayat di kandung badan. Insya-Allah," demikian Azita menamatkan ceritanya.

Kisah Azita bukan cerita baru yang pernah saya siarkan, ia kini menjadi satu virus yang semakin merebak di dalam kehidupan masyarakat kita.

Begitu juga kisah bekas isteri naik turun mahkamah kerana masalah nafkah anak semakin berleluasa. Setakat ini belum ada satu cara konkrit untuk menanganinya dan 'memaksa' bekas suami bertanggungjawab terhadap anak-anak mereka yang dipelihara bekas isteri.

Saya puji sikap Anita yang tidak mahu bersandarkan kesempitan hidupnya dengan hanya naik turun mahkamah tetapi tidak ada jalan penyelesaian.

Hidup perlu diteruskan, masa depan anak-anak perlu dijana, itulah tindakan bijak Azita. Semoga apa yang diharapnya akan menjadi kenyataan. Anda patut menjadi ibu contoh.

Menutup kata, pesanan saya buat Azita, kita harus menjadi wanita yang hebat, perkasa, tabah dan bijaksana dalam menangani masalah. Ibaratnya seperti pokok mawar yang baru ditanam, jika tidak berbunga ia pasti akan terus tumbuh dan segar.

Salam

Selasa, Januari 12, 2010

Ciri-ciri isteri solehah

SOALAN:

KITA biasa dengan ungkapan yang berbunyi, "syurga di bawah tapak kaki ibu". Tetapi benarkah syurga isteri pula di bawah tapak kaki suami? Adakah ungkapan ini disokong oleh mana-mana hadis?

Jawapan:

Mentaati ibu bapa balasannya syurga. Dalam hadis-hadis, Rasulullah SAW menjanjikan syurga bagi mereka yang taat kepada kedua ibunya.

Adapun janji syurga di bawah telapak kaki suami belum saya temui, namun cukuplah menjadi seorang isteri itu ahli syurga dengan mentaati suaminya, yang demikian cukup banyak ayat al-Quran dan hadis baginda.

Sifat-sifat isteri yang dijanjikan syurga.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Wanita (isteri) solehah adalah yang taat lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada dikeranakan Allah telah memelihara mereka. (al-Nisa': 34)

Dalam ayat ini Allah menghimpun beberapa sifat yang wajib ada pada seorang wanita solehah, antaranya adalah taat kepada Allah swt dan kepada suaminya dalam perkara yang makruf (perkara baik) lagi memelihara dirinya ketika suaminya tidak berada di sampingnya.

Al-Sheikh Abdul Rahman bin Nashir As-Sa'di r.h. berkata: "Tugas seorang isteri adalah menunaikan ketaatan kepada Allah dan taat kepada suaminya, kerana itulah Allah berfirman: Wanita solehah adalah yang taat, iaitu taat kepada Allah SWT, lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada di rumah atau di sampingnya". Iaitu taat kepada suami mereka bahkan ketika suaminya tidak ada, dia menjaga suaminya dengan menjaga dirinya dan harta suaminya. (Taisir, hal. 177)

Ketika Rasulullah menghadapi permasalahan dengan isteri-isterinya sampai beliau bersumpah tidak akan mencampuri mereka selama sebulan, Allah SWT menyatakan kepada baginda SAW dengan firman yang bermaksud: Jika sampai Nabi menceraikan kalian, mudah-mudahan Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kalian, muslimat, mukminat, qanitat (taat kepada Allah), taibat (sentiasa bertaubat), 'abidat (sering beribadat), saihat (kerap berpuasa) dari kalangan janda ataupun gadis. (at-Tahrim: 5) [Al-Jami' li Ahkamil Quran, 18/126-127, Tafsir Ibnu Katsir, 8/132]

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita menjaga solat lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadan), menjaga kemaluannya dan taat kepada suaminya, maka ketika berada di akhirat dikatakan kepadanya: Masuklah engkau ke dalam syurga dari pintu mana saja yang engkau sukai". (riwayat Ahmad 1/191, Shahihul Jami' no. 660, 661)

Berdasarkan dalil-dalil tersebut, dapat kita simpulkan bahawa sifat isteri yang solehah adalah sebagai berikut:

1. Mentauhidkan Allah dengan mengabdikan diri hanya kepada-Nya tanpa menyekutukan-Nya dengan sesuatupun.
2. Tunduk kepada perintah Allah, terus menerus dalam ketaatan kepada-Nya dengan banyak melakukan ibadah seperti solat, puasa, bersedekah dan selainnya.
3. Menjauhi segala perkara yang dilarang dan menjauhi sifat-sifat yang rendah yang boleh menghakis sifat-sifat mulia.
4. Selalu bertaubat kepada Allah hingga lisannya sentiasa dipenuhi istighfar dan zikir kepada-Nya. Sebaliknya ia jauh dari perkataan yang sia-sia, tidak bermanfaat dan membawa dosa seperti dusta dan lainnya.
5. Menaati suami dalam perkara kebaikan bukan dalam bermaksiat kepada Allah dan melaksanakan hak-hak suami sebaik-baiknya.
6. Menjaga dirinya ketika suami tidak berada di sisinya. Ia menjaga kehormatannya dari tangan yang hendak menyentuh, dari mata yang hendak melihat, atau dari telinga yang hendak mendengar.

Demikian juga menjaga anak-anak, rumah, dan harta suaminya.

Sifat isteri solehah lainnya boleh diperincikan berikut:
1. Penuh kasih sayang, selalu kembali kepada suaminya dan mencari maafnya.
Rasulullah SAW bersabda: "Mahukah aku beritahukan kepada kalian, isteri-isteri kamu yang menjadi penghuni syurga ialah isteri yang penuh kasih sayang, banyak anak, selalu kembali kepada suaminya. Di mana jika suaminya marah, dia mendatangi suaminya dan meletakkan tangannya pada tangan suaminya seraya berkata: "Aku tak dapat tidur sebelum engkau reda". (riwayat al-Nasai dalam Isyratun Nisa no. 257.)

2. Melayani suaminya (berkhidmat kepada suami) seperti menyiapkan makan minumnya, tempat tidur, pakaian dan seumpamanya.

3. Menjaga rahsia-rahsia suami, lebih-lebih yang berkenaan dengan hubungan intim antara dia dan suaminya.
Asma' bintu Yazid r.ha menceritakan dia pernah berada di sisi Rasulullah. Ketika itu kaum lelaki dan wanita sedang duduk. Baginda bertanya: "Barangkali antara kalian ada suami yang menceritakan apa yang diperbuatnya dengan isterinya (hubungan suami isteri), dan barangkali ada isteri yang memberitahu apa yang diperbuatnya bersama suaminya?" Maka mereka semua diam tidak ada yang menjawab. Aku (Asma) pun menjawab: "Demi Allah! Wahai Rasulullah, sesungguhnya mereka (para isteri) benar-benar melakukannya, demikian pula mereka (para suami)".
Baginda bersabda bermaksud: "Jangan lagi kalian lakukan, kerana yang demikian itu seperti syaitan jantan yang bertemu dengan syaitan betina di jalan, kemudian digaulinya sementara manusia menontonnya". (riwayat Ahmad 6/456)

4. Selalu berpenampilan yang bagus dan menarik di hadapan suaminya sehingga bila suaminya memandang akan menyenangkannya.

5. Ketika suaminya sedang berada di rumah, ia tidak menyibukkan dirinya dengan melakukan ibadah sunnah yang dapat menghalangi suaminya untuk istimta' (bernikmat-nikmat) dengannya seperti puasa, terkecuali bila suaminya mengizinkan.

6. Pandai mensyukuri pemberian dan kebaikan suami, tidak melupakan kebaikannya.

7. Bersegera memenuhi ajakan suami memenuhi hasratnya, tidak menolaknya tanpa alasan yang syarie, dan tidak menjauhi tempat tidur suaminya, kerana ia tahu dan takut terhadap berita Rasulullah SAW yang bermaksud: Demi zat yang jiwaku berada di tangan-Nya, tidaklah seorang suami memanggil isterinya ke tempat tidurnya lalu si isteri menolak ajakan suaminya (enggan) melainkan Allah SWT murka terhadapnya hingga si suami reda padanya. (riwayat Muslim no. 1436)


Utusan Malaysia
ARKIB : 08/01/2010

Selasa, Januari 05, 2010

Belanja apa yang perlu


Sistem sampul surat sesuai bagi mengenal pasti ke mana wang anda pergi setiap bulan.


SOAL kewangan memang menjadi topik hangat setiap kali menjelang tahun baru. Boleh dikatakan setiap individu yang bekerja mempunyai azam baru dan semangat untuk memastikan perjalanan kewangan mereka berjalan dengan lancar sepanjang tahun itu.

Tiada istilah terlambat bagi setiap individu untuk memulakan sesuatu perancangan kewangan yang baik.

Pengerusi Eksekutif dan juga Ketua Perunding Kewangan Hijrah Wealth Management Sdn. Bhd., Rohani Datuk Mohd. Shahir mempunyai panduan untuk resolusi kewangan 2010.

Menurut Rohani, sebelum memulakan resolusi setiap individu perlu terlebih dahulu mengetahui kedudukan kewangan sekarang.

Caranya ialah dengan menyenaraikan semua hutang dan harta serta kemaskini semua perbelanjaan bulanan.

"Untuk berjimat apa yang penting kita perlu simpan wang sebelum dibelanja. Pastikan tabungan sekitar enam hingga lapan bulan kos saraan hidup.

"Prinsip asasnya ialah belanja apa yang perlu bukan apa yang kita mahu. Selain itu kita perlu tetapkan matlamat untuk kurangkan hutang dan jangan tambah hutang baru pada tahun 2010 ini," ujar Rohani yang mempunyai lebih 25 tahun pengalaman dalam bidang pengurusan kewangan.

Rohani tidak menafikan ramai antara rakyat Malaysia yang terikat dengan komitmen pembiayaan bulanan, hutang peribadi, kad kredit dan sebagainya.

Antara persoalan yang harus ditanya pada diri si penghutang ialah adakah mereka mempunyai tabung kecemasan dan adakah pekerjaan mereka kukuh? Dan jika jawapannya 'ya' maka perkara pertama yang perlu dilakukan ialah menjelaskan hutang-hutan peribadi terutama kad kredit.

"Caranya ialah dengan menyenaraikan baki yang paling rendah hingga yang tinggi, cuba bayar lebih setiap bulan bagi melangsaikan hutan yang baki terendah secepat mungkin baki terendah dan ulang tindakan ini kepada hutang kad kredit seterusnya dengan efek snow ball.

"Kemudian boleh mulakan pelan perbelanjaan dengan cara menyediakan bajet perbelanjaan. Pastikan sentiasa fokus terhadap apa yang 'diperlukan' dan bukan apa yang 'dimahukan'.

"Mulakan pelan tabungan dan sasarkan untuk capai cukup untuk lapan bulan kos saraan hidup (perbelanjaan bulanan). Periksa berapa yang mampu disimpan dan tambah 20 peratus daripada jumlah simpanan tersebut," jelas beliau.

Rohani juga berpesan, untuk mengelakkan perbelanjaan di luar dugaan seperti perubatan dan sebagainya, sebaiknya individu mempunyai pelan perlindungan, bukan sahaja untuk diri sendiri malah ahli keluarga juga.

"Ini penting dan jika memilih polisi pastikan anda ambil polisi hospital dan pembedahan untuk menampung kos hospital supaya tidak timbul masalah kewangan kelak," tambahnya.

Penuhi kehendak

Kereta dan rumah memang merupakan impian bagi semua yang bekerja.

"Ansuran kereta dan rumah merupakan 50-60 peratus daripada gaji individu, jadi seeloknya jangan membuat hutang atau membeli kereta yang mana ansurannya melebihi 30 peratus daripada gaji anda.

" Sebaiknya, letakkan deposit di antara 10-20 peratus dan berhutang jangan melebihi lima tahun. Jangan terpedaya dengan skim bayaran pendahuluan '0' dan berhutang sehingga sembilan tahun.

"Beli kereta atas dasar keperluan bukan kerana ingin bergaya, jika perlu kereta sedan jangan pula pilih kenderaan pelbagai guna (MPV)," kata Rohani lagi.

Lazimnya keperluan untuk menyediakan tabung kecemasan adalah antara tiga hingga enam perbelanjaan bulanan. Jadi jika terjadi perbelanjaan di luar jangkaan, ini boleh digunakan dan sediakan ini dulu sebelum melabur.

"Sistem sampul surat sesuai bagi mengenal pasti ke mana wang pergi setiap bulan. Amalkan ini supaya perbelanjaan terkawal walaupun mempunyai anak ramai kerana ia sudah terbukti berkesan.

"Ada pasangan suami isteri yang mengamalkan sistem ini selama 20 tahun dan mereka telah berjaya mengumpul tabungan mencecah RM400,000.

"Bayar untuk perbelanjaan diri dulu. Kemudian asingkan wang pada awal bulan mungkin dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus daripada gaji dan letakkan dalam akaun yang tidak ada kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

" Bila mencukupi mulalah melabur dan teruskan setiap bulan. Jika disimpan RM100 sebulan dengan pulangan 10 peratus setahun dalam tempoh 30 tahun akan menghasilkan RM226,048 pada akhir tempoh," ujarnya.

Jangan Terpedaya

Rohani turut berpesan agar berhati-hati dengan sebarang bentuk pelaburan yang menjanjikan pulangan segera.

Jika seseorang itu dijanjikan pulangan setiap bulan dengan kadar yang tidak munasabah, sebagai contoh melebihi dua peratus sebulan, dikatakan tiada risiko, tiada barangan dan hanya perlu 'cari orang', besar kemungkinan ia skim cepat kaya.

Jika berlaku keadaan itu langkah paling bijak ialah buat semakan di Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC) tentang kesahihan skim tersebut kerana setiap syarikat penerima wang mestilah berlesen dari dua agensi tersebut.

Bagi individu yang memasang niat untuk membuat pinjaman peribadi, janganlah ambil hanya kerana ia mudah nak dapat. Pastikan anda benar-benar perlu baru ambil. Sebagai contoh untuk perubatan, tetapi sebaiknya sediakan polisi perubatan untuk ini.

"Jangan juga melabur dengan menggunakan pinjaman peribadi sebab anda kena tolak kos pinjaman sebelum mendapat keuntungan bersih di atas pelaburan," pesan Rohani.

Add to Google