#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Kisah IPT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Kisah IPT. Papar semua catatan

Jumaat, Februari 18, 2011

Dibuai alam fantasi

KUALA LUMPUR: Kurangnya pengisian emosi dan kerapuhan spiritual menjadi faktor penyebab wanita terutama pelajar semakin mudah terpedaya janji manis dan godaan ‘lelaki hidung belang’ hingga sanggup menghabiskan wang ringgit dan menjadi hamba cinta.

Presiden Pertubuhan Wanita Muslim Antarabangsa Malaysia, Dr Robiah Kulop Hamzah, berkata kebanyakan wanita berjaya menguruskan daya pemikiran dengan baik, namun gagal mengawal godaan emosi yang membuatkan mereka hanyut di alam fantasi.

“Tidak dinafikan wanita kini semakin cemerlang dalam pelajaran, tetapi dalam masa sama jumlah siswi yang menjadi mangsa cinta semakin meningkat,” katanya ketika mengulas laporan muka depan Harian Metro, semalam.

Laporan itu menyebut seorang siswi institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sekitar ibu kota yang sanggup menghabiskan wang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) hanya untuk berseronok bersama teman lelakinya berusia 40-an dan beristeri dua.

Siswi itu yang kini menyesal atas kesalahannya mengakui pernah berhutang keliling pinggang dengan rakan selain menipu kedua ibu bapanya dengan alasan perlu membeli buku dan barangan keperluan lain semata-mata untuk mendapatkan wang.

Selepas hampir setahun menjalinkan hubungan dan mengikis wang siswi itu, lelaki terbabit menghilangkan diri.

Isnin, Julai 26, 2010

Peluang hidup bebas

Harian Metro
2010/07/25

KUALA LUMPUR: “Gejala sosial membabitkan penuntut pengajian tinggi bukan perkara baru, malah menular sejak 1970-an,” kata Pakar Psikologi Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Dr Hussain Habil.

“Tidak kurang juga yang ambil kesempatan atas tiket belajar dan bebas daripada perhatian keluarga. Kesempatan itu membuatkan mereka leka menjelajah dunia luar yang sebelum ini sukar dijejaki,” katanya.

Dr Hussain berkata, meskipun gejala sosial membabitkan pelajar universiti semakin menjadi-jadi, ia belum mencapai tahap membimbangkan.

Namun, katanya, ia harus dibendung melalui pendekatan sesuai untuk pelajar iaitu sesi kaunseling dan kuliah agama.

“Biasanya, pelajar yang ditangkap melakukan pelbagai kesalahan sosial akan dibuang. Namun, pada pendapat saya, cara itu tidak menyelesaikan masalah.

“Mungkin dengan cara berkenaan, pelajar itu tetap meneruskan perbuatan mereka, lebih-lebih lagi apabila menerima pelbagai tekanan dan kecewa kerana dibuang universiti.

“Sebaik-baiknya mereka mendapatkan khidmat pakar kaunseling, diikuti sesi pemulihan secara spiritual. Namun, mereka masih harus dihukum atas kesalahan itu tetapi bukan dengan pembuangan,” katanya.

Sementara itu, penceramah bebas, Hassan Mahmud Al Hafiz berkata, punca berlakunya masalah itu disebabkan pengaruh hiburan yang melampau-lampau.

Katanya, masalah itu bagai satu fenomena iaitu semakin menjadi-jadi dan menunjukkan peningkatan.

“Cara terbaik menanganinya ialah memperketatkan sistem kawalan pelajar dan tenaga pengajar di IPT harus membentuk keperibadian akhlak baik kepada pelajar,” katanya.

Penuntut liar

Oleh FIRDAUS SAHAT dan MOHD HELMI IRWADI MOHD NOR
am@hmetro.com.my
2010/07/25


KUALA LUMPUR: Umpama penari bogel yang sinonim dengan ‘joget tiang’, segelintir penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) masa kini dikesan rela menggadai maruah melakukan perbuatan keji itu di pusat hiburan.

Perkara itu didedahkan seorang penuntut IPT yang aktif berfoya-foya di disko, termasuk menari tiang, sehingga membiarkan tubuh dibaluti pakaian ketat dan singkat dijadikan ‘santapan mata’ lelaki hidung belang.

Mahu dikenali sebagai Rozita, 23, tiada siapa sangka dia yang sopan pada siang bertukar liar apabila tiba malam.

“Siang saya rasakan diri ini mulia, terutama ketika menuntut ilmu, tetapi apabila malam menjelma saya akui diri ibarat syaitan. Kehidupan di disko bagaikan syurga kerana itu tempat paling sesuai untuk melepaskan tekanan.

“Apabila mabuk, setakat melakukan tarian tiang untuk tontonan pengunjung disko bukan masalah untuk saya. Ketika itu saya hanya mahu seronok, tetapi berasa ‘glamor’ juga sebab jadi perhatian,” katanya.

Menurut Rozita, tujuan ke disko pada mulanya sekadar berseronok, termasuk mabuk, kemudian buat tarian tiang, tetapi lama-kelamaan mengambil pula pil khayal.


“Kesudahannya apabila mabuk dan khayal, pulang beriringan bersama pasangan ke hotel atau rumah sewa,” katanya.

Lebih mengejutkan, Rozita mengakui dia dan beberapa rakan yang ‘satu kepala’ dengannya sanggup menggadai tubuh demi mendapatkan wang untuk menampung perbelanjaan berhibur dan pengajian di IPT.

“Apabila habis wang, saya sanggup meminta ‘perkhidmatan’ yang diberi dibalas dengan wang. Dengan wang itu dapatlah saya tampung perbelanjaan untuk berhibur dan belajar.

“Apapun, bukan bermakna saya selalu buat begitu, sebaliknya kalau dah ‘sesak’ saja,” katanya.

Jika ada bajet lebih, dia dan rakan menganjurkan parti bebas yang dihadkan kepada tetamu tertentu saja.

Parti itu dipenuhi aktiviti menghisap ganja, minum arak dan seks bebas.
“Akibatnya, pelajaran saya hampir musnah dan terpaksa mengulang subjek yang gagal kerana sering ponteng kelas.

“Akibat terlalu memikirkan keseronokan, ada rakan saya mempunyai ‘sugar daddy’ yang membelikan mereka telefon bimbit canggih, pinjamkan kereta mewah dan kadangkala tidur di rumah besar,” katanya.

Seorang lagi pelajar IPT yang mahu dikenali Zura, 23, berkata, dia ke disko kerana terpengaruh dengan rakan daripada golongan berada.

“Saya masuk ke kelab malam sebab mahu menari, tidak kira menari biasa atau menari tiang, dan saya tidak perlu bayar sebab rakan belanja.

“Inilah untungnya bila berkawan dengan orang kaya, semuanya dibelanja, termasuk bayaran masuk ke disko dan arak, “katanya.

Zura mengakui bukan aneh jika melihat ramai penuntut IPT menjadi pengunjung tetap disko, dengan ada antara mereka pandai melakukan tarian tiang dalam keadaan mabuk.

Selasa, Julai 20, 2010

Ibu bapa tidak boleh lepas tangan pantau akhlak anak di IPT

Oleh Mohamad A'sim Ismail

2010/07/20

MAHASISWA baru sibuk memunggah barang, membawa timba air dengan ditemani waris keluarga khasnya ibu bapa menjadi pemandangan lumrah sesi kemasukan pelajar baru ke institut pengajian tinggi (IPT) baru-baru ini.

Terlihat juga ibu bapa yang sedih melepaskan anak tinggal di asrama. Sekitar 70-an dan 80-an, kesedihan ibu bapa mungkin disebabkan beberapa faktor antaranya jarak jauh di antara kampung dan tempat pengajian anak. Keadaan sebaliknya berlaku pada zaman globalisasi ini.


Kecanggihan teknologi seperti internet mengandungi lambakan nilai buruk, pergaulan sosial lebih luas serta bebas pula akan membuka jalan kepada pelajar IPT terbabit dalam perlakuan dan eksperimen diperoleh di internet. Ibu bapa tidak boleh lagi ‘lepas tangan’ secara mutlak kepada pihak kedua memantau keselamatan akhlak anak mereka. Kelayakan memasuki IPT bukan penanda aras anak mereka benar-benar matang dan bersedia menghadapi cabaran.

Ini terbukti apabila ada kes pelajar IPT yang terbabit dalam salah laku akhlak khasnya hubungan seks luar nikah atau zina yang akhirnya boleh membawa kepada gejala kelahiran anak tidak sah taraf dan pembuangan bayi.

Soal selidik dilakukan Mazlin Mohamad Mokhtar dalam kajian mengenai pengetahuan, sikap serta amalan berkaitan kesihatan seksual dan reproduksi di kalangan pelajar kolej dan universiti pada 2005 mendapati daripada 727 responden pelajar dua Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan dua Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), seramai 50 peratus mengaku pernah melakukan hubungan seks, 80 peratus pula tidak menggunakan bahan pencegah kehamilan.

Laporan akhbar Berita Harian pada 21 Mac 2010 menyatakan, berdasarkan statistik dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bilangan anak tidak sah taraf dalam tempoh 2005 hingga 2009 ialah 214,033 orang. Daripada jumlah itu, 35 peratus adalah anak Melayu.
Jika dilihat statistik, berlaku peningkatan bilangan anak luar nikah bangsa Melayu iaitu daripada 16,100 pada 2007 meningkat kepada 16,541 pada 2008 dan 17,303 (2009). Situasi itu sepatutnya membimbangkan masyarakat khasnya ibu bapa remaja kalangan pelajar IPT.

Ibu bapa kekal menjadi ketua keluarga bertanggungjawab memimpin anak bertepatan kehendak syariah sesuai sabda Nabi SAW bermaksud: “Setiap kamu adalah pemimpin dan kamu akan dipersoalkan setiap apa-apa yang kamu pimpin.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Walaupun anak di IPT tidak lagi tinggal sebumbung, ibu bapa sebenarnya boleh terus melaksanakan tanggungjawab didikan akhlak kepada mereka. Selain menyalurkan dana kewangan dan keperluan pengajian mencukupi, ibu bapa perlu sentiasa mengikuti perkembangan hidup mereka.

Ini boleh dilakukan dengan sentiasa berhubungan dan bertanya khabar. Sekarang ini pelbagai kemudahan teknologi boleh digunakan untuk menghubungkan yang jauh termasuk sistem pengangkutan dengan kadar harga berpatutan.

Manusia secara tabiatnya akan mudah terpengaruh jika terdedah kepada sesuatu perkara dan ketiadaan pembimbing memudahkan pelajar tertarik dengan pergaulan bebas, gaya hidup materialistik dan budaya hedonisme.

Jika tidak ada pihak yang prihatin dalam soal akhlak dan moral, golongan belia yang asalnya terpilih untuk mengejar kecemerlangan akademik akhirnya boleh tersasar lalu terjebak mengejar keseronokan hawa nafsu.

Ini termasuk terbabit dengan pergaulan tiada batasan, seks rambang, seks luar nikah, salah guna dadah, alkohol, kehamilan remaja, pengguguran, jangkitan kelamin, HIV dan AIDS, keganasan seksual, menjual maruah diri demi duit.

Ibu bapa yang sentiasa mengambil tahu hal anak di IPT dan pada masa yang sama menghormati kebebasan mereka sebenarnya akan menimbulkan keinsafan dalam diri anak kerana terus dihargai, dibelai dengan pimpinan, teladan serta kasih sayang.

Rabu, Mei 26, 2010

Pelajar terdesak mengaku dirogol

Sinar Harian

AMPANG JAYA – Seorang pelajar berumur 18 tahun yang berhadapan kemungkinan dibuang kolej terpaksa membocorkan rahsia dia dirogol seorang lelaki hampir sebulan lalu.

Pendedahan itu dilakukannya apabila didesak pihak pengurusan kolej supaya menunjukkan surat tunjuk berikutan kerap ponteng kelas.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan berkata, pelajar itu nekad membuat laporan polis, kelmarin, mendakwa dirinya dirogol lelaki itu di Taman Melawati, dekat sini, kira-kira sebulan lalu.

"Selepas kejadian rogol itu, mangsa yang terlalu trauma difahamkan bertindak mengasingkan diri dan kerap ponteng kelas sehingga pihak kolej bercadang mengeluarkan notis menamatkan pengajiannya, " katanya di sini, semalam.

Abdul Jalil berkata, mangsa tampil membuat laporan polis dengan harapan kolej berkenaan tidak membuangnya.

“Berdasarkan kandungan laporan polis dibuat mangsa, dia mendakwa dirogol seorang lelaki berumur 20-an di rumah lelaki itu, kira-kira sebulan lalu.

“Siasatan awal mendapati mangsa berkenalan dengan lelaki itu hampir sebulan lalu di sebuah kedai berhampiran kolej tempat dia belajar,” katanya.

Abdul Jalil berkata, pelajar berkenaan menarik balik laporan polis yang dibuat selepas dia memaklumkan pihak kolej mengenai kejadian rogol itu.

“Walaupun mangsa mahu menarik balik laporan itu, siasatan tetap akan dijalankan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kertas siasatan kes sudah dibuka sebaik laporan diterima,” katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan dan polis sedang mengumpul maklumat serta bukti kukuh berhubung kes, termasuk menahan lelaki yang dituduh merogol itu.

Sabtu, Disember 12, 2009

Sorok cinta daripada keluarga

SAYA seorang pemuda berumur 21 tahun dan masih belajar di Institut Pengajian Tinggi. Saya bukan jenis yang suka bersosial seperti orang lain. Tetapi saya pernah bercinta seawal berumur 19 tahun dan perhubungan kami tidak lama.

Selepas enam bulan kami putus saya berkenalan dengan seseorang yang bernama Fatin. Setelah kami berkawan hampir tiga bulan dan saya pun berterus terang dengan dia bahawa saya menyintainya.

Reaksi yang diberi positif. Maka, hidup saya sangat gembira kerana cinta saya diterima. Kami pernah keluar dan makan bersama. Sepanjang saya bercinta dengan dia saya tidak pernah beritahu keluarga terutama ibu dan bapa saya. Saya takut nanti mereka tidak bersetuju saya bercinta. Saya takut ibu menghalang cinta ini.

Dulu, saya pernah memberitahu saya ada teman wanita, dia terkejut seolah-olah sukar menerimanya. Sehingga hari ini, keluarga saya tidak tahu perhubungan ini.

Putri adakah salah tindakan saya ini kerana tidak berterus terang? Saya harap Putri boleh tolong masalah saya ini.

* Izwan, Kulim, Kedah.

Izwan,

SIAPA saja bakal isteri anda, semuanya sudah ditetapkan Allah. Namun, seseorang itu harus berusaha untuk mendapatkan calon terbaik. Seorang ibu memang menginginkan anak hidup bahagia bersama teman hidupnya.

Sebenarnya, tiada ibu yang akan merosakkan masa depan anaknya, malah ibu anda belum mengenali hati budi kekasih anda. Sebaiknya, perkenalkan dia dengan keluarga anda. Begitu juga dengan anda, perlu berkenalan dengan keluarganya. Inilah dugaan orang berkasih. Semuanya, perlukan masa dan kesabaran.

Mungkin jika sudah saling berkenalan, keluarga masing-masing dapat menerima hubungan anda. Adalah lebih baik berterus-terang daripada kecewa di kemudian hari. Perbanyakkan solat hajat semoga Allah SWT mengizinkan ikatan perhubungan itu nanti hingga ke alam perkahwinan. Perkahwinan yang dibina dengan restu ibu bapa bermakna mendapat keredaan Allah.

Isnin, Oktober 05, 2009

Siswi dua alam

Oleh ASMIZAN MOHD SAMIRAN dan FUAD HADINATA YAACOB

KUALA LUMPUR: Di siang hari, penampilan mereka bak muslimah sejati tetapi apabila tirai malam dibuka, hilang segala tudung, baju kurung atau jubah yang dipakai dan perwatakan mereka juga bertukar 100 peratus.

Ada yang ‘kemaruk’ berhibur di disko atau karaoke dan lebih mengejutkan, ada juga yang ‘lemas’ di pangkuan lelaki yang jauh lebih berusia tetapi berpoket tebal.

Itu tembelang segelintir ‘siswi alim kucing’ yang hanyut dengan gaya hidup kota metropolitan selepas bebas daripada pemantauan ibu bapa berikutan berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Pendedahan itu dibuat seorang kontraktor berusia pertengahan 40-an yang hampir dua tahun mengadakan hubungan sulit dengan seorang siswi.

Kontraktor itu mendakwa siswi ‘belaannya’ bukan saja kemaruk berhibur tetapi benar-benar mata duitan kerana sentiasa meminta wang setiap kali berjumpa.

“Jika keluar dengan mereka, asyik minta wang saja, kononnya nak bayar sewa rumahlah, beli bukulah, walhal pergi joli dengan kawan.

“Jika diajak menginap di hotel, lagi banyak jumlah diminta,” kata kontraktor itu yang hanya mahu dikenali sebagai Abidin.

Abidin menamakan siswi yang menjadi temannya sebagai Gina, berusia 20 tahun dan berasal dari selatan Semenanjung.

“Saya mengenalinya (Gina) menerusi seorang rakan yang menuntut di IPT sama dengan Gina. Ketika mula berkenalan, saya sangka dia budak baik sebab bertudung dan berbaju kurung, tetapi apabila berjumpanya pada waktu malam, saya terkejut lihat penampilannya.

“Habis hilang semua tudung dan baju kurung. Wajahnya penuh solekan, kuku dicat dan pakaian ketat habis!” katanya.

Abidin berkata, siswi itu kemudian meminta supaya dibawa jauh dari kawasan kediaman dan tempat pengajiannya kerana bimbang dilihat rakan atau pensyarah.

“Gina beritahu, hanya rakan terdekat tahu siapa dirinya yang sebenar. Di tempat pengajian, dia menyembunyikan tembelangnya dengan penampilan bak muslimah sejati. Malah, Gina beritahu dia mengehadkan pergaulan dengan rakan lelaki kerana bimbang disalah tafsir oleh rakan,” katanya.

Kali pertama Abdin berjumpa Gina ketika pergi makan, tetapi untuk kali kedua Gina tidak mahu pulang awal, sebaliknya mahu ke pusat karaoke.

“Rupa-rupanya ‘ligat’ siswi itu. Bukan saja berkaraoke, disko pun dia layan juga. Pada mulanya saya sekadar membelanja, tetapi lama kelamaan dia asyik minta wang dan kerap ajak saya membeli-belah,” katanya.

Abidin berkata, apabila asyik mengeluarkan wang, dia mahu mempergunakan ‘sepenuhnya’ siswa itu dan mempelawanya bermalam di hotel bersamanya.

“Tak susah rupanya (bawa Gina ke bilik hotel). Asalkan saya beri jumlah wang diminta, dia rela. Rupa-rupanya Gina bukan budak baik, ‘alim kucing’ saja,” katanya.

Sepanjang hubungan mereka, kata kontraktor berkenaan, Gina turut menjalin hubungan sulit dengan rakannya.

“Apabila saya tanya dia tidak mengaku, tetapi dia tidak tahu rakan saya sudah cerita semuanya kepada saya. Rakan saya juga kontraktor. Asalkan boleh berhibur dan dapat wang, Gina terima saja,” katanya.

Abidin berkata, dia turut berkenalan dengan rakan Gina yang juga berperwatakan ‘alim kucing’.

Rakan Gina itu pun saya ‘pakai’ (tiduri) juga, tetapi tak mampu mengawalnya. Asyik ajak saya ke disko saja.

“Rakan Gina memang lebih ‘ligat’. Hisap rokok, minum arak dan layan pil khayal,” katanya.

Bagi membuktikan dakwaannya, Abidin mempelawa wartawan Metro Ahad menemui Gina dan sepanjang pertemuan, perwatakan Gina sememangnya seperti didakwa Abidin.

Gina yang bermekap tebal dan berpakaian ketat mengakui bertudung untuk ke kelas dan bijak menyembunyikan tembelangnya. Malah ketika dibawa keluar, dia mahu bertemu di lokasi yang jauh dari tempat pengajiannya.

“Bukan apa bang, nanti kawan nampak, kecoh! Penampilan saya di kelas bukan begini. Mereka (rakan) tak tahu saya ligat,” kata Gina.

Seperti didakwa Abidin, siswi itu memang mata duitan. Dia asyik meminta wang daripada Abidin, minta dicarikan rumah sewa, malah turut meminta dibelikan kereta.

Ketika berbual, Gina menyatakan ramai ‘siswi alim kucing’ sepertinya, malah lebih ligat daripadanya.

“Abang jangan ingat siang hari mereka pakai tudung, mereka memang berpenampilan begitu. Siang pakai baju kurung dan jubah, tetapi malam hari pakai seksi dan ketat, malah ada yang pakai skirt pendek.

“Ada yang hisap rokok, minum arak, makan pil khayal. Saya ini oklah lagi sebab saya tak hisap rokok, tak minum arak dan ambil pil,” katanya yang mengaku apa yang berlaku disebabkan pengaruh kawan.

“Bila dah berkawan dan jauh daripada ibu bapa, kita bebas buat apa saja. Kawan keluar malam, kita ikut. Kawan cari teman, kita buat juga,” katanya.

Malam itu, selepas menghantar Gina pulang, terbukti dia belum puas. Gina rupa-rupanya tidak mahu pulang awal, tetapi mahu keluar lebih lama bersama Abidin.

Apabila Abidin mempelawa Gina bermalam di hotel, Gina tidak kisah asalkan diberi wang. Satu lagi syarat, pulang sebelum jam 11 pagi esok kerana dia ada kuliah.

Isnin, Ogos 10, 2009

Bertudung sebab kekasih

ARKIB : 09/08/2009
Sumber : Utusan Malaysia

ASSALAMUALAIKUM kak putri dan pembaca ruangan ini..
Hati saya terdetik untuk meluahkan apa yang terpendam di hati ini. Sebelum itu, biarlah saya mengenalkan diri terlebih dahulu. Nama saya Miza, saya berumur 20 tahun dan baru menamatkan pengajian di salah sebuah IPTA. Saya mempunyai seorang teman lelaki yang berumur 20 tahun juga dan dia masih menuntut di salah sebuah IPTA lain di Malaysia. Saya telah mengenalinya sejak setahun lalu. Yang menjadi masalah kami ini adalah dia tidak boleh menerima cara pemakaian saya dan juga pergaulan saya.

Saya bukanlah dikategorikan sebagai seorang perempuan yang sosial dan juga seorang seksi. Pernah dulu saya mengikut caranya dengan mengubah imej dengan bertudung, tapi setelah saya mengikut caranya masih ada lagi yang tak kena sehinggakan saya dah tak tahu untuk berbuat apa lagi. Dalam perhubungan kami yang telah hampir setahun ini, berbagai bagai dugaan yang telah kami tempuhi yang kadangkala membingungkan hati dan perasaan saya.

Kami pernah berpisah ke seminggu, sebulan lamanya. Tetapi dia tak dapat melupakan saya, dan kami pun menyambungkan hubungan kami semula. Saya tak tahu apa lagi yang perlu saya lakukan untuk dia supaya dia boleh menerima saya seadanya dengan menerima kebaikan dan keburukan diri saya ini.

n Yang Bingung, Perak

Yang Bingung,

BERCINTA itu memang indah namun pelbagai cabaran yang perlu kita lalui untuk merasai nikmatnya. Tidak perlu gusar jika anda benar-benar yakin cinta tersebut. Perselisihan sering terjadi hingga mengundang salah faham. Putri yakin adik cuba memuaskan hati kekasih.

Namun, jangan sampai ia membuatkan adik berasa runsing. Menurut cerita adik, dia tidak boleh menerima cara pemakaian dan pergaulan adik. Namun, adik bukanlah seorang yang sosial. Apa yang membuatkan adik risau ialah setiap perubahan yang adik lakukan menjadi serba tidak kena di depan kekasih adik. Cinta bukanlah berdasarkan penampilan semata-mata. Jika benar kekasih adik menyintai adik, dia akan menerima diri adik seadanya.

Mungkin juga dia inginkan adik berpakaian lebih sopan. Jika bertudung, mungkin pakai baju yang longgar. Bagi menjernihkan hubungan tersebut, adik perlu berbincang dengannya. Tanya apa yang dia inginkan. Tetapi lakukannya dengan ikhlas.

Pesan Putri, jangan mengubah penampilan semata-mata kerana kekasih. Perubahan perlu dilakukan dari hati tanpa paksaan. Semoga adik dan kekasih peroleh jalan penyelesaian dan bahagia.


Isnin, Julai 27, 2009

Dilema cinta internet

Saya benar-benar perlukan pertolongan Putri. Saya seorang penuntut IPT yang bakal menamatkan pengajian tidak lama lagi. Teman lelaki saya pula sudah bekerja dan jarak umur kami agak jauh.

Saya namakan dia I. saya tinggal di utara tanah air manakala I pula di selatan. Kami berkenalan melalui Internet.

Saya sendiri mengakui bercinta melalui Internet memang tidak boleh dipercayai. Pada saya, manusia dalam Internet merupakan manusia yang tidak boleh dipercayai dalam dunia. Bak kata pepatah barat, what goes around… comes around…

Saya juga terjebak dalam cinta Internet. walaupun pada mulanya saya sekadar hendak berseronok, mengisi masa lapang yang ada, sambil merawat hati yang luka.

Saya pernah dikecewakan oleh lelaki sebelum ini, sebab itu saya mengambil keputusan untuk bersembang-sembang dengan kenalan baru di Internet. Itu pun atas nasihat kawan-kawan.
Pada awal perkenalan, memang saya tidak menaruh kepercayaan yang banyak terhadap I.

Tetapi setelah mengenalinya dengan lebih jauh, saya mula yakin yang dia memang bertul ikhlas dengan saya. Terbukti, sangkaan saya salah. Tidak semua orang di internet itu seperti yang saya fikirkan.

Kini, sudah hampir setahun perhubungan kami, saya sayangkan dia sepenuh hati dan saya boleh nampak sayang dia kepada saya melebihi sayang saya kepadanya.

Pendirian ibu dan bapa saya sama sahaja. Mereka berdua tidak menyokong perhubungan itu. Ketika itu, luluh hati saya berbaur rasa kecewa.

Apa salahnya bercinta dengan orang bukan Melayu? kalau nak kata I akan jadi jahat dengan memukul atau curang kepada saya selepas berkahwin nanti, kita selidiki siapa yang selalu keluar masuk mahkamah kerana kesalahan memukul isteri.

berkahwin

Bagi saya. jahat atau buruk seseorang itu bergantung kepada diri sendiri.

Untuk pengetahuan putri, kami sudah merancang untuk berkahwin. Namun perhubungan kami dihalang oleh keluarga. Sebabnya hanya satu, dia bukan orang Melayu

Salahkah saya menyintainya? Saya benar-benar keliru. Saya tidak mahu cinta tanpa restu keluarga. saya tidak mahu mengecewakan keluarga saya dan juga kekasih saya.

Cinta,
Ipoh, Perak.

Cinta,
Selepas membuat penilaian hampir setahun, Cinta akhirnya yakin dengan cinta internet.


Namun, jangan terlalu mudah mempercayainya. Tidak dinafikan ramai juga yang berjaya dengan cinta internet. Dalam hal ini, adakah Cinta sudah menemuinya. memastikan tempat kerjanya? Status sama ada sudah berkahwin atau belum? Rakan-rakannya? Perkara ini perlu dipastikan kebenarannya terlebih dahulu agar Cinta tidak tertipu kelak.

Sebaiknya ajak ahli keluarga untuk menyiasat kebenaran latar belakang I. Perkahwinan bukan suatu perkara remeh-temeh. Ia merupakan ikatan dua jiwa membentuk kebahagiaan yang berpanjangan.

Berkahwin juga bermakna mengikat hubungan antara dua buah keluarga suami dan isteri.

Mungkin lelaki tersebut tidak mendapat kepercayaan daripada keluarga Cinta. Keluarga Cinta tidak mahu Cinta kecewa.

Sebaiknya, perkenalkan I kepada keluarga Cinta. Biar mereka selidiki dan kenal hati budi I. Persetujuan itu mungkin mengambil masa. Tidak perlu rasa terdesak, bak kata pepatah, biar lambat asal selamat.

Semua kejadian itu pasti ada hikmahnya. Cinta perlu bersabar, jika jodoh antara I dan Cinta kuat, Insya-Allah pasti bersatu jua. Yang penting, jangan ada pihak yang terluka demi membina kebahagiaan sendiri.