#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Memaparkan catatan dengan label Minda. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Minda. Papar semua catatan

Isnin, Jun 06, 2011

Kelebihan kahwin awal

Oleh Fuad Hadinata Yaacob
Harian Metro
Minda


“BILA nak berkahwin?”, “sampai bila mahu terus membujang?”, “bila lagi emak nak terima menantu?” dan pelbagai lagi persoalan serta sindiran yang kerap didengar lelaki mahupun wanita yang belum kahwin ketika usia agak lewat.

Selain itu, bujang terlajak, lelaki lanjut usia, anak dara tua atau andartu atau lebih nakal lagi andalusia iaitu singkatan bagi anak dara lanjut usia, antara gelaran yang diberikan.

Mungkin isu ini dianggap lapuk, namun gejala kahwin lewat usia dalam kalangan lelaki dan perempuan ketika ini bukan masalah individu, tetapi ia membabitkan masyarakat.

Tidak hairanlah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Dr Anjil Doshi Gandhi dalam satu program di Sarawak baru-baru ini menyifatkan trend berkahwin lewat terutama dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi sebagai isu serius dan boleh membawa implikasi kepada institusi kekeluargaan.

Menurutnya, data terkini menunjukkan 30 peratus wanita antara usia 25 hingga 29 tahun belum mendirikan rumah tangga manakala 25 peratus bagi lelaki antara usia 30 hingga 34 tahun.

“Kami memberi perhatian serius trend kahwin lewat khususnya wanita yang memberi alasan tiada calon sesuai.

“Sementara lelaki pula menyatakan keadaan kewangan yang belum stabil antara faktor mereka yang berusia awal 30-an belum berkahwin,” katanya pada taklimat Dasar Keluarga Negara (DKN) di Kuching, baru-baru ini.

Pelbagai faktor atau persoalan melingkari isu ini sama ada membabitkan lelaki atau wanita itu sendiri.

Di pihak lelaki, pelbagai sebab diberikan sekali gus mempengaruhi diri seseorang itu untuk terus membujang atau lewat berkahwin iaitu terlalu sibuk dengan pekerjaan atau pelajaran, menganggap diri tidak bersedia dari segi mental atau fizikal, takut atau bimbang rumah tangga tidak bahagia dan meragui kemampuan seksual sendiri.

Selain itu, tiada nafsu terhadap wanita, melalui pengalaman pahit ketika bercinta, mahu bebas dan suka hidup sendiri, tidak mahu mengecewakan pasangan serta hantaran kahwin tinggi.

Di pihak perempuan pula, antara faktor berlaku keadaan itu seperti kesukaran mendapat pasangan sepadan atau terlalu memilih, mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, mahu membantu keluarga, berjawatan profesional atau mementingkan kerjaya dan masalah peribadi.

Merujuk Laporan Perangkaan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 2008 serta Kajian Penduduk dan Kekeluargaan 2004 yang dikeluarkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat pada 2009 mendapati peratusan lelaki bujang pada usia 25 hingga 49 tahun lebih tinggi iaitu 59.6 peratus berbanding wanita 40.4 peratus.

Manakala peratusan penduduk bujang berusia 40 hingga 49 tahun pula menunjukkan jumlah wanita lebih tinggi berbanding lelaki sekali gus menggambarkan wanita berusia sukar mendapat pasangan.

Data Bancian Penduduk dan Perumahan 2000 yang dikeluarkan Jabatan Statistik Negara bagi tempoh 1981 hingga 1990 menunjukkan peratusan lelaki dan wanita belum berkahwin adalah 43.2 peratus dan 60.2 peratus.

Peratusan itu meningkat bagi jangka masa 1990 hingga 2000 iaitu lelaki 48.1 peratus dan wanita 68.5 peratus.

LPPKN yang membuat bancian pada 2002 mendapati perangkaan lelaki dan wanita bujang adalah 3.1 juta dan 2.4 juta sementara pada 2004, peratusan lelaki bujang 59.6 peratus dan wanita bujang 40.4 peratus.

Walau apa pun pandangan mengenai isu kahwin lewat, ia perlu bersandarkan nilai agama dan budaya masyarakat negara ini.

Alasan tiada jodoh tidak boleh dijadikan sebab utama lewat berkahwin kerana sebagai umat Islam, perlu ada usaha untuk mencari pasangan hidup.

Penceramah bebas yang juga Pengetua Program Imam Muda, Datuk Hassan Mahmud Al Hafiz berkata, setiap manusia sudah ditetapkan jodoh dan kita perlu berusaha mencarinya.

Katanya, faktor kesibukan bekerja, sukar mencari pasangan atau berpendidikan tinggi tidak boleh dijadikan alasan.

“Dalam satu hadis ada menyebut, ibu bapa hendaklah mengahwinkan anak mereka apabila sudah layak mendirikan rumah tangga.

“Jadi, dalam hal ini setiap orang perlu berusaha mencari jodoh malah orang yang berkahwin awal boleh diibaratkan seperti menunaikan separuh daripada iman.

“Jika tidak menemui jodoh, pergi berjumpa orang alim seperti tok guru, imam atau ulama untuk meminta panduan dan nasihat,” katanya.

Menurutnya, seseorang itu tidak boleh menunggu atau mencari pasangan mereka di sekeliling saja kerana soal mencari jodoh tidak terhad kepada orang Melayu sebaliknya boleh mencari warga asing asalkan Islam.

Penceramah bebas, Profesor Madya Dr Maznah Daud dalam satu laporan akhbar berkata, mengutamakan hal lain sehingga mengetepikan perkahwinan sangat tidak digalakkan dalam Islam.

Katanya, Nabi Muhammad pernah bersabda: ‘Wahai pemuda, siapa di antara kamu yang mempunyai kemampuan, hendaklah berkahwin’.

“Itu menunjukkan perkahwinan amat ditekankan Islam malah ada ayat al-Quran meminta wali atau sesiapa yang bertanggungjawab terhadap seseorang wanita mengahwinkan jagaannya,” katanya.

Menurutnya, peranan wali tetap sama meskipun zaman sudah berubah dan mereka tidak boleh lepas tangan apabila anak sudah sesuai untuk mendirikan rumah tangga.

“Islam melihat perkahwinan sebagai keperluan dan ibadat. Ia penting untuk melahirkan generasi baru,” katanya.

Sementara itu, Pakar Motivasi, Profesor Izzudin Ali meminta wanita tidak perlu takut dengan kes yang berlaku di sekeliling mereka seperti perceraian, pergaduhan atau apa saja yang menyebabkan mereka bimbang untuk berkahwin.

Katanya, kaum adam dan hawa yang diciptakan Allah mempunyai sifat tertentu dan saling melengkapi antara satu sama lain.

“Laut mana yang tidak bergelora, namun ia boleh dihadapi jika ada persefahaman. Wanita tidak perlu takut berkahwin begitu juga lelaki kerana mereka saling memerlukan dan melengkapi,” katanya.

Menurutnya, tidak salah sama ada lelaki atau perempuan memberi perhatian kepada pendidikan dan pekerjaan, tetapi pada masa sama perlu memikirkan diri sendiri serta tuntutan agama.

Kenyataan Dr Anjil yang menyifatkan trend kahwin lewat dalam kalangan wanita berpendidikan tinggi ada kebenarannya.

Statistik pada 2009 menunjukkan wanita bujang berpendidikan tinggi lebih ramai iaitu 34.7 peratus berbanding lelaki, 25.7 peratus.

Lihat saja nisbah penuntut di institusi pengajian tinggi awam dan swasta yang menyaksikan lebih ramai penuntut perempuan berbanding lelaki dan fenomena sama juga boleh dilihat di tempat kerja.

Peratusan wanita bujang melebihi lelaki dalam kumpulan pekerjaan berkemahiran tinggi seperti profesional dan penggubal undang-undang sebaliknya peratusan lelaki bujang lebih tinggi dalam kumpulan pekerjaan seperti pertanian, perikanan, pertukangan, tentera dan operator mesin serta loji.

Apabila mempunyai latar belakang pendidikan tinggi, ia menyukarkan seseorang wanita untuk menemui calon suami yang setaraf.

Dalam aspek kesihatan, berkahwin lewat mempunyai pelbagai risiko terutama kepada wanita contohnya apabila mengandung pada usia hampir 40 tahun terdedah kepada penyakit darah tinggi, kencing manis serta kelahiran tidak normal.

Selain itu, kadar kesuburan juga antara faktor yang dikaitkan dengan fenomena kahwin lewat ini. Dengan tahap pendidikan tinggi, berkahwin lewat menyumbang kepada kelewatan jangka masa untuk memperoleh zuriat sekali gus menyebabkan penurunan kadar kesuburan.

Kajian LPPKN menunjukkan kadar kesuburan di negara ini menurun daripada 3.4 peratus pada 1994 kepada 2.8 peratus pada 2004.

Jika angka itu terus menurun, krisis kesuburan boleh berlaku sedangkan negara kini menuju negara maju menjelang 2020.

Bagi lelaki pula, ada laporan menyatakan lelaki yang menunggu sehingga usia pertengahan 30-an untuk memulakan keluarga berkemungkinan menyebabkan keguguran kandungan pasangan mereka.

Selain itu, peluang untuk isteri hamil turut menurun seiring peningkatan usia lelaki berkenaan.

Jumaat, Julai 30, 2010

Judi cetus sifat tercela

Harian Metro - Minda
2010/07/30

ISLAM sudah memberikan panduan lengkap kepada umatnya bagaimana mencari sumber rezeki. Yang nyata ialah Islam memandu manusia bagaimana berusaha mencari kehidupan dunia melalui lunas-lunas yang bersih, halal dan suci. Amat malang jika segala panduan yang diberikan Allah dan ditunjukkan Rasulullah s.a.w diingkari begitu saja.

Kegawatan sosial dan kerosakan akhlak yang berlaku sebenarnya banyak berpunca daripada tidak patuh manusia kepada suruhan dan perintah Allah dan melanggar sunnah Nabi.

Antara akhlak perbuatan yang jelas bertentangan dengan kehendak agama ialah kegiatan perjudian. Allah melalui surah Al-Mai’dah ayat 90 mengatakan, ‘Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah adalah (semuanya) kotor (keji) daripada perbuatan syaitan. Oleh itu, hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya.’ Mengapakah Allah melarang umat Islam menghindari kegiatan berjudi? Kita boleh melihat keburukan judi dari pelbagai sudut seperti psikologi, sosial dan ekonomi.

Pertama: Keburukan dari aspek psikologi manusia. Akibat buruk kegiatan berjudi membawa kepada sikap mengambil jalan mudah untuk mengaut kekayaan tanpa memerlukan usaha keras. Sedangkan dalam Islam usaha dan kegigihan mencari rezeki yang baik, suci dan halal menjadi elemen utama kepada mendapat keberkatan.

Sikap malas berusaha tiada langsung dalam kamus kehidupan yang dianjurkan Islam. Allah berfirman, ‘Dan gegarlah ke arahmu batang pohon tamar itu, supaya gugur kepadamu buah tamar yang masak.’ (Maksud surah Maryam ayat 25). Ini satu suruhan Allah supaya melakukan usaha terlebih dulu untuk mendapatkan rezeki. Ingatlah pepatah Melayu ‘Yang pipih tak datang melayang, yang bulat tak datang bergolek.’ Ertinya rezeki datang bersama dengan usaha gigih yang dilakukan seseorang. Berlainan dengan berjudi kerana amalan tersebut mengundang sikap malas berusaha, sebaliknya hanya mengharapkan untung nasib semata-mata. Orang yang berjudi sudah pasti akan memasang angan-angan besar agar mendapat hadiah atau ganjaran besar.

Selain itu, kegiatan berjudi juga akan menyebabkan seseorang itu bersikap rakus, tamak haloba dan cintakan dunia. Semua sifat itu sangat keji dan dimurkai Allah. Apa tidak rakusnya, apabila seseorang itu memenangi sesuatu aktiviti judi, maka perasaan ingin kemenangan atau keuntungan akan membuak-buak dalam jiwa sekali gus lupa diri yang berkemungkinan membawa kepada kemuflisan. Inilah kesan psikologi negatif yang akan melanda seseorang yang gemar berjudi. Sebab itulah Allah melarang umat-Nya berjudi.

Kedua: Keburukan dari sudut sosial.

Aktiviti judi juga boleh menyebabkan permusuhan sesama manusia. Akibat kekalahan berjudi akan mencetuskan persengketaan dan pergaduhan. Ini kerana emosi kesan kekalahan berjudi sukar dikawal lantas membawa kepada saling bermusuhan dan mungkin juga sampai kepada tahap pembunuhan. Jika keadaan itu terjadi, sudah tentu hubungan dalam masyarakat menjadi tidak harmoni. Begitu juga perjudian boleh membawa kepada keruntuhan rumah tangga. Misalnya, jika suami seorang kaki judi dia akan bertindak mengabaikan rumah tangga. Keadaan anak isteri terabai dan situasi tersebut tidak mustahil menyebabkan perceraian. Bayangkan bagaimana rumah tangga yang selama ini bahagia, tiba-tiba runtuh lantaran judi. Anak-anak dan isteri juga menjadi mangsa.

Ketiga: Keburukan kepada ekonomi.

Memang judi memberikan impak negatif kepada sikap si pelakunya. Duit akan dihabiskan dengan kegunaan berjudi tanpa memikirkan hal lain. Hal itu mengakibatkan seseorang menuju kepada kepapaan.

Sepatutnya umat Islam terus memperkasakan diri dengan menjana sumber ekonomi secara halal dan memberikan manfaat kepada ummah dan bukan mencari harta kekayaan melalui cara haram. Allah melarang sama sekali umat-Nya mendapat kekayaan daripada sumber dan kaedah haram.

Sabda Rasulullah, ‘Sesungguhnya perkara halal itu nyata dan haram pun nyata, di antara kedua-duanya pula terdapat perkara syubhat yang tidak dapat dikesan kebanyakan manusia.’ (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Seseorang yang memperoleh kekayaan daripada sumber perjudian dianggap mendapat sesuatu yang haram dan memakan hasil tersebut akan membawa kepada seksaan Allah di akhirat kelak.

Rasulullah sebagaimana diriwayatkan at-Tirmidzi, ‘Setiap daging yang tumbuh (dibina) daripada hasil haram, maka neraka adalah lebih utama baginya.’

Selain itu, berjudi juga menyebabkan jiwa dan fikiran si pelaku menjadi pasif dan lemah semangat untuk berusaha. Mereka tidak mempunyai semangat berdikari untuk mencari rezeki.

‘Sesungguhnya Allah mencela sikap lemah (pasif). Oleh itu, hendaklah kamu tangkas dan pantang menyerah kalah (sebelum berusaha dan mendapat kejayaan).’ (Hadis riwayat Abu Daud). Ini adalah kata-kata motivasi terbaik buat seluruh mukmin agar terus menjana semangat tinggi dalam mencari sumber pendapatan halal dengan sikap yang gigih.

Jumaat, April 23, 2010

Jiwa beriman tabah hadapi dugaan

Sabar, jujur dalam urusan seharian akhlak Muslim dipelopori Rasulullah

KESABARAN merujuk kepada kemampuan untuk menanggung kesukaran tanpa gelisah dan menunggu hasilnya, biar berapa lambat sekalipun di samping sanggup menghadapi bebanan biar betapa berat dengan hati tenang dan pemikiran jitu.

Ini adalah berasaskan prinsip dalam al-Quran yang menekankan manusia pasti diuji sehingga mereka mengaturkan persediaan untuk menghadapi bencana yang akan menimpa supaya tidak kehilangan punca apabila bencana menimpa secara mendadak.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan demi sesungguhnya kami tetap menguji kamu sehingga ternyata pengetahuan kami ternyata adanya orang yang berjuang daripada kalangan kamu dan orang yang sabar. Kami dapat mengesahkan berita mengenai keadaan kamu." (Surah Muhammad, ayat 3)

Konsep sabar diasaskan kepada dua hakikat penting iaitu pertama, tabiat kehidupan di dunia ini, Allah tidak menjadikan dunia sebagai tempat balasan dan persemadian. Dunia dijadikan tempat ujian dan percubaan.

Kedua, ia dikaitkan dengan hakikat 'iman' iaitu ikatan antara manusia dengan Allah. Manusia harus tunduk kepada ujian Allah untuk membuktikan mana yang tulen dan palsu.

Firman Allah yang bermaksud: "Jenis manusia dijadikan bertabiat terburu-buru pada serba-serbinya; Allah akan memperlihatkan kepada kamu tanda kekuasaannya; maka janganlah kamu meminta disegerakan kedatangannya." (Surah al-Anbiya', ayat 37)

Sifat sabar adalah ciri keagungan dan lambang kesempurnaan serta petanda penguasaan diri terhadap segala sesuatu di sekelilingnya. Dalam tamadun Barat pun, sifat ini diterima dengan baik.

Seorang tokoh terkenal Amerika Syarikat pernah berkata: "Jangan memohon untuk meringankan bebanmu tetapi mohonlah supaya ditegapkan badanmu." Pokoknya, sabar akan memupuk sikap keagungan dan percaya kepada diri sendiri.

Sabar boleh dibahagikan kepada tiga kelas. Pertama, sabar atas ketaatan. Ini adalah berasaskan kewajipan untuk melakukan sesuatu secara berterusan atau istiqamah. Contohnya, sabar dalam melaksanakan ibadah dan tuntutan agama.

Kedua, sabar daripada maksiat yang menjadi unsur penentangan terhadap godaan tersebar terhadap manusia yang menggerakkan mereka melakukan dosa dilarang.

Sabar adalah cetusan daripada keyakinan yang kuat dan tumpuan tegas terhadap apa yang diredai Allah SWT. Ini adalah semangat yang melindungi diri daripada melakukan perkara keji serta keburukan.

Ketiga, kesabaran menghadapi bencana yang menimpa seorang Muslim sama ada diri, keluarga, harta atau kedudukannya.

Konsep kesabaran bertambah kompleks apabila ia dipikul kumpulan kepemimpinan mewakili sekelompok pengikut, lebih-lebih lagi pemimpin yang mewakili kumpulan lebih besar, meliputi pelbagai bangsa, agama dan budaya.

Pemimpin akan sentiasa diuji dengan pelbagai isu dan akan dirakamkan dalam sejarah kepemimpinannya, sama ada dia lulus atau gagal menangani pelbagai perkara yang mewarnai eranya.

Pokoknya, pemimpin sejati bukan sekadar popular pada eranya sebaliknya dikenang sepanjang masa. Begitu juga dalam perniagaan, sikap sabar menghadapi kerenah pelanggan dan pekerja adalah sifat terpuji kerana ia menjadi asas kepada kejayaan perniagaan jangka panjang.

Kesabaran menghadapi dugaan ekonomi dan perniagaan yang meleset dan kesabaran menghadapi peraturan, tekanan serta pesaing di pasaran juga penting untuk memastikan perniagaan terus hidup pada jangka masa panjang.

Kesabaran juga akan memberikan kesan besar kepada pertimbangan terhadap kesaksamaan dan keadilan. Bersikap adil bermakna meletakkan sesuatu pada tempatnya berdasarkan ketentuan akidah, syariah dan akhlak serta bersumberkan al-Quran dan al-Sunnah.

Adil meliputi keadilan kepada orang lain dan diri sendiri. Banyak contoh bagaimana Rasulullah SAW menunjukkan sikap adilnya. Dalam sebuah hadis, dikatakan: "Kaum Bani Israel sudah menemui kehancuran disebabkan mereka mengadakan undang-undang (hukuman) ke atas orang miskin dan memaafkan orang kaya."

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, berdiri tegaklah untuk Allah sebagai saksi kepada keadilan dan jangan biarkan permusuhan orang lain menghasut kamu supaya bertindak berlawanan daripada keadilan, sentiasa berlaku adil kerana ia sangat dekat dengan ketaatan. Bertanggungjawablah terhadap tugas kamu kepada Allah."

Dalam al-Quran juga seruan begini jelas seperti firman Allah yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa atau kaum kerabatmu sama ada mereka kaya atau miskin." (Surah an-Nisa', ayat 135)

Bagaimanakah sifat adil diamalkan dalam perniagaan? Adil penting dalam urusan jual beli. Timbangan yang tepat adalah satu aspek keadilan yang penting.

Memberikan maklumat sepenuhnya kepada pelanggan bagi membolehkan mereka membuat keputusan rasional adalah satu lagi sikap keadilan dalam perniagaan.

Bersikap adil ketika tawar-menawar bagi mengelakkan elemen eksploitasi disebabkan tekanan atau maklumat tidak sempurna dimiliki rakan kongsi adalah perlu.

Pengiklanan dan promosi serta bentuk pembungkusan yang boleh mengaburi mata bertentangan sikap keadilan dalam perniagaan.

Syarat perniagaan dan urusan jual beli yang memberikan faedah kepada kedua belah pihak secara seimbang juga satu contoh amalan perniagaan adil.

Perkongsian keuntungan dengan pekerja atau pemodal berasaskan pada kadar sesuai adalah satu lagi sikap adil yang perlu diamalkan. Ada banyak lagi elemen peribadi Muslim boleh diambil sebagai akhlak yang menjadi asas etika kehidupan sejagat. Ini termasuk baik hati, rahmat dan kasih sayang, kemaafan, murah hati, layanan baik, pengorbanan, rendah hati, kesopanan, tabah, tekun, gagah, dedikasi, bertanggungjawab, berdisiplin, bekerjasama, ketepatan masa, berjimat cermat dan bersyukur.

Jika diperhatikan, sifat dan sikap berkenaan hampir semua boleh dikaitkan atau berpunca daripada prinsip akhlak Islam yang dipelopori Rasulullah SAW. Ia adalah ciri pecahan kepada prinsip asas akhlak Islam.

Prinsip kehidupan seorang Muslim berteraskan kepada konsep mengamalkan Islam sebagai cara hidup.

Ia berteraskan kepada nilai hidup setiap individu Muslim di alam semesta yang menekankan konsep pengabdian kepada Allah.

Cabaran yang yang tidak boleh diketepikan juga ialah mengukuhkan nilai murni individu supaya sentiasa menonjolkan kepentingan masyarakat umum dalam keputusan yang dibuat. Ini memerlukan nilai diasaskan pada akhlak berasaskan ajaran Islam yang murni.

Prinsip mengutamakan kepentingan ummah dengan matlamat mendapat keredaan Allah berbanding diri sendiri dan segelintir kecil kumpulan akan menjadi tonggak utama penyelesaian isu dalam apa bidang sekalipun.

Tawakal, keimanan teguh elak penyakit jiwa

Oleh Penulis Khas YaPEIM

PENYAKIT psikologi seperti tekanan perasaan, bimbang, sedih, hasad dengki serta putus asa sebenarnya berpunca daripada fikiran tidak rasional yang ada dalam minda seseorang. Ia berlegar di sekitar salah faham terhadap empat perkara pokok iaitu :
1 - Allah

2 - Hakikat diri insan
3 - Hakikat dunia
4 - Hari akhirat.

Beberapa contoh salah faham terhadap Allah ialah seseorang yang berusaha keras dan berasakan dengan pasti bahawa dia akan mendapat apa yang diusahakannya. Namun apabila gagal, dia akan berasa sedih dan tertekan.

Begitu juga keadaan seseorang yang putus kasih, akhirnya menyebabkan dia berada dalam kesedihan yang melampau serta putus harap. Sama juga yang sedih dan terkilan kerana segala pengorbanannya tidak diiktiraf oleh majikan hingga melemahkan semangat untuk terus cemerlang.

Banyak lagi contoh yang dapat diketengahkan, namun apa yang pasti semua permasalahan psikologi tadi disebabkan jahilnya kita dengan hakikat Allah atau jauhnya Allah daripada kehidupan kita. Harus diingat bahawa Allah yang menentukan segala keputusan. Kita hanya sekadar merancang dan melakukan yang terbaik. Selebihnya serahkan kepada Allah. Dengan berpendapat bahawa kita mesti dapat apa saja diusahakan adalah sesuatu yang tidak rasional dan akhirnya menyebabkan kita tertekan serta merana.


Di sinilah konsep tawakal dan kepercayaan kepada qada dan qadar perlu diingatkan. Bagi individu yang putus kasih, seharusnya beliau memahami jodoh pertemuan di tangan Tuhan dan di sebalik apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.

Allah berfirman yang bermaksud:
“Boleh jadi kamu membenci sesuatu padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi pula kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.” (Surah al-Baqarah, ayat 216)

Dalam hal seseorang yang terkilan kerana tidak mendapat perhatian sewajarnya, beliau harus ingat bahawa Allah Maha Mengetahui dan segala sesuatu pastinya tidak terlepas daripada pandangan-NYA.

Sebab itulah kita sewajarnya bersikap ikhlas dalam pekerjaan kerana mungkin kita tidak mendapat perhatian dan pengiktirafan duniawi, namun kita akan mendapat ganjaran lebih besar dan bermakna di akhirat nanti. Contoh di atas, jelas menunjukkan kejahilan terhadap Tuhan punca penyakit psikologi yang kita alami.

Salah faham terhadap hakikat diri, contohnya seseorang yang berfikiran bahawa harta dapat menjamin kabahagiaan, tetapi apabila harta sudah banyak, bukannya hati bertambah senang, malah semakin tertekan.

Anak beranak berpecah belah kerana harta dan ada yang sanggup berbunuhan kerana tamakkan harta. Tidur malam tidak sempurna sama ada asyik memikirkan bagaimana mahu menambah harta atau takut harta dilarikan orang.

Jika kita mengenali siapa kita sebenarnya, iaitu hakikat ruh dan jasad, kita akan mengetahui hakikat diri yang sebenar adalah ruh bukannya jasad. Jasad hanya kenderaan bagi ruh dan harta pula hanya sekadar memenuhi kehendak jasad. Apabila mati, jasad kita tinggalkan akan hancur musnah, tetapi roh (yang kita rujuk sebagai ‘aku’) akan meneruskan perjalanan ke alam berikutnya.

Faktor utama yang membahagiakan roh adalah kenal dan dekatnya ia dengan Tuhannya. Sebab itu, lagi dekat kita dengan Allah, lagi bahagia kita rasakan, tetapi lagi jauh kita dengan Tuhan, bertambah sengsara kita rasakan.

Orang kaya-raya dan berkedudukan, tetapi tidak mengamalkan ajaran Allah dan Rasul, rohnya sakit dan tidak akan bahagia. Hatinya penuh dengan tamak haloba, hasad dengki dan segala macam penyakit psikologi lain. Namun jika rohnya sihat, tetapi berkurangan sedikit daripada aspek keperluan jasadiah, dia masih tersenyum bahagia.

Salah faham terhadap dunia berlaku apabila kita mengharapkan sesuatu bersifat duniawi akan kekal. Kasih suami pada isteri, ibu pada anak, biar seutuh mana sekalipun, pastinya akan berkesudahan dengan perpisahan. Tiada yang kekal kecuali Allah.

Oleh itu, mengharapkan sesuatu yang tidak kekal supaya kekal adalah tidak rasional. Kita yang akan merana jika fahaman sebegini berada dalam kotak fikiran.

Disebabkan itu, dalam hadis Rasulullah SAW berkaitan pemilihan pasangan, Rasulullah SAW menyuruh kita memilih pasangan yang beragama, kerana agama adalah sesuatu yang kekal. Rumah tangga yang dibina atas asas agama pasti lebih utuh daripada yang dibina atas asas kecantikan dan harta yang sifatnya sementara.

Salah faham terhadap hari kemudian berlaku apabila kita menganggapnya tidak penting kerana ia jauh dan tidak nampak. Namun sebaliknya, hari akhirat adalah penting kerana ia adalah destinasi terakhir dan abadi.

Memahami hakikat ini, kita sewajarnya tidak mudah menangis dan berasa sedih apabila berhadapan dengan permasalahan duniawi. Kita sepatutnya tahu menyusun keutamaan dengan mendahulukan apa yang dapat menjamin kebahagiaan kita di sana.

Ada tiga perkara yang perlu kita usahakan sebagai bekalan di akhirat nanti seperti yang disaran Rasulullah SAW iaitu anak salih yang mendoakan kedua ibu bapanya, ilmu yang bermanfaat dan sedekah jariah.

Bersesuaian dengan pentingnya amal jariah, penubuhan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sebagai institusi amal jariah haruslah dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Banyak penyakit psikologi dialami masyarakat hari ini berpunca daripada kejahilan atau kurangnya ilmu khususnya berkaitan empat perkara. Sumber ilmu yang benar seharusnya daripada agama. Agama memberikan mekanisme pertahanan yang kuat untuk kita berdepan segala cabaran di dunia.


Isnin, Mac 08, 2010

Musibah krisis rumah tangga

Oleh Hariyati Ariffin
Harian Metro
2010/03/08

“SEDANGKAN lidah lagikan tergigit inikan pula suami isteri”. Peribahasa ini cukup sinonim dengan kemelut yang melanda pasangan yang berkahwin. Konflik rumah tangga adalah asam garam kehidupan.

Mengharungi kehidupan perkahwinan dan menjalankan kewajipan sebagai ibu bapa, suami dan isteri bukan mudah untuk dilaksanakan. Institusi perkahwinan adalah sesuatu yang amat suci dan harus dijaga dengan baik demi masa depan keluarga serta keturunan kerana dengan kebahagiaan keluarga akan terbentuk satu sistem sosial yang sejahtera.

Sejak kebelakangan ini kes perceraian membabitkan pasangan baru berkahwin mahupun yang sudah berpuluh tahun hidup bersama amat membimbangkan. Kes perceraian dalam tempoh perkahwinan yang amat singkat iaitu antara seminggu dan setahun, serta kes perceraian pasangan yang telah lama berkahwin dan mempunyai cucu jelas memperlihatkan kepincangan institusi kekeluargaan dalam masyarakat kita yang perlu diberikan perhatian serius.

Konflik rumah tangga dan perceraian memberi impak besar pada struktur institusi kekeluargaan, masyarakat dan negara. Keluarga adalah unit asas yang dapat memperkukuhkan sistem sosial dan sekali gus membina kesejahteraan negara.

Kepincangan institusi kekeluargaan ini secara tidak langsung menambah masalah kepada negara apabila mereka yang menjadi mangsa perpecahan rumah tangga terbabit dengan masalah seperti gejala sosial, dadah, pelacuran, ketidakstabilan mental dan jenayah.

Kesan jangka panjangnya ialah masyarakat dan negara akan berhadapan dengan keruntuhan sistem sosial yang membawa kepada keruntuhan nilai murni dan pembinaan negara bangsa. Dalam hal ini individu yang paling terkesan apabila berlakunya konflik rumah tangga ialah anak-anak.

Orang-orang tua pernah berpesan jika mahu bercerai lihatlah pada wajah anak-anak. Kerana di mata mereka ada seribu penderitaan dan kesengsaraan jika ikatan perkahwinan itu terputus. Allah amat membenci perceraian walaupun ia dihalalkan.

Dalam hal yang berkaitan, anak-anak inilah yang menjadi mangsa jika perceraian berlaku. Banyak kajian membuktikan bahawa kesan perceraian akan meninggalkan stigma yang sangat mendalam di jiwa anak-anak serta pasangan berkenaan. Malah, bukan saja hidup mereka menjadi kucar-kacir tetapi kesannya menjalar ke beberapa keturunan.

Statistik perceraian yang diambil daripada lama web Jakim menunjukkan secara keseluruhannya kadar perceraian semakin meningkat dari tahun ke tahun.

Keseluruhan kes perceraian di seluruh negara pada 2008 ialah 22,289. Selangor mendahului senarai teratas kes perceraian dengan 3,558 kes, dikuti Kedah 2,407 kes dan Johor 2,329 kes.

Menurut Kaunselor Perkahwinan dan Perceraian, Hushim Salleh peningkatan dalam kadar perceraian ialah satu amaran kepada masyarakat bahawa sesuatu perlu dibuat segera dalam sistem kekeluargaan kita bagi menangani isu yang nampak kecil tetapi sebenarnya ibarat barah yang akan memusnahkan bangsa dan negara.

Beliau berkata, perkahwinan bukanlah sesuatu yang sentiasa sempurna. Hidup dalam rumah tangga memang banyak cabarannya, oleh itu pasangan perlu banyak bersabar, bertolak ansur dan memahami pasangan masing-masing dalam mengekalkan keharmonian rumah tangga.

“Setiap pasangan mempunyai kekuatan dan kelemahan masing-masing justeru titik persefahaman dan keserasian perlu dicari agar rumah tangga dapat dibina dengan rasa hormat menghormati dan sentiasa aman dan damai,” kata Hushim yang mengesyorkan pasangan yang mahu bercerai berjumpa kaunselor untuk berbincang.

Beliau berkata, untuk menangani masalah perceraian, konsep mencegah adalah lebih baik daripada mengubati.

“Dalam menangani masalah ini, komunikasi amat penting dalam menyelesaikan kemelut yang melanda jiwa dan perasaan mereka. Mereka mestilah meluahkan segala yang tidak berkenan dari hati ke hati, jangan memendam rasa kerana itu bahaya, ” kata Hushim lagi.

Beliau juga berkata, setiap masalah ada penyelesaiannya jika kedua-dua pihak boleh berunding. Pasangan yang bermasalah jangan berdendam dan jangan mengungkit perkara lama.

“Dendam dan mengungkit perkara lama perkara yang menyemarakkan lagi api kemarahan,” jelasnya.

Hushim menjelaskan kesan perceraian pada keluarga dan masyarakat amat banyak dan daripada segi jangka panjangnya amat buruk. Jika institusi kekeluargaan sudah pincang akan berlakulah gejala kurang sihat seperti penyalahgunaan dadah, lari dari rumah, mengandung anak luar nikah dan jenayah. Semuanya ini berkait antara satu sama lain.

Hushim juga menegaskan perceraian dan konflik rumah tangga menyebabkan emosi anak-anak terganggu, mereka selalu murung dan berasa kurang disayangi. Ini kerana apabila rumah tangga pincang dan hidup anak-anak tidak tenteram disebabkan ibu dan ayah sering bergaduh mereka mencari pelarian kepada masalah itu.

Kesan lain termasuk masalah mental anak-anak yang menyebabkan penurunan prestasi belajar mereka akibat runsing kerana melihat kemelut perkahwinan ibu dan ayah mereka.

“Mereka juga rasa rendah diri bila diejek kerana masalah perceraian ibu bapa. Tekanan pada psikologi kanak-kanak ini juga amat hebat. Perceraian membentuk pembinaan karakter yang kurang sihat umpamanya bersikap agresif, pendendam, pentingkan diri sendiri dan menjadi pembuli.

“Malah anak-anak yang begitu terkesan dengan situasi perceraian akan melahirkan perasaan tidak normal seperti lelaki membenci perempuan dan perempuan membenci lelaki.

“Selain itu perceraian juga membuatkan anak-anak bersikap fobia memasuki alam perkahwinan kerana melihat masalah yang dialami ibu bapa mereka,” katanya.

Perkara ini berlaku kerana sejak agama sudah tidak menjadi pegangan mereka dan semua hukum agama ditolak begitu saja. Akibatnya isteri tidak menghormati suami dan suami tidak bertanggungjawab terhadap keluarga, kata Hushim.

Sementara itu, Dr Mohd Nizam Sahad, dari Bahagian Pengajian Islam, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang pula berkata, musibah seperti krisis rumah tangga yang menimpa manusia adalah sebagai penebus dosa dan ujian dari pada Allah akibat kelalaian dan kealpaan manusia dalam hubungan menegak dengan Pencipta.

Menurut beliau, Allah timpakan musibah konflik rumah tangga semoga kita kembali kepada-Nya dan merenung tanggungjawab kita sebagai suami mahupun isteri untuk sama-sama berusaha beroleh syurga Allah melalui pelaksanaan sebaik mungkin fungsi kita sebagai suami yang memimpin dan isteri yang berkhidmat.

Katanya, seandainya krisis rumah tangga sampai ke kemuncak dengan terjadinya perceraian, anggaplah ia ketentuan Allah yang pada perceraian itu sebagai jalan keluar daripada krisis berpanjangan yang mengganggu gugat hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia.

Penulis ialah pensyarah UiTM, Shah Alam

Jumaat, Februari 19, 2010

Tangani secara sepadu

PEMBUANGAN atau pembunuhan bayi berlaku di mana-mana dulu dan sekarang. Pada zaman Arab jahiliyah, ia berlaku secara berleluasa ke atas bayi perempuan. Di India, ramai bayi dibunuh kerana masalah kemiskinan. Untuk satu ketika, pembunuhan bayi menjadi kebiasaan di China kerana dasar satu keluarga satu anak.

Tetapi apa yang berlaku di Malaysia bukan kerana kemiskinan, dasar kerajaan atau amalan budaya.

Beberapa kes yang mendapat liputan meluas di media membabitkan remaja perempuan yang bertindak kejam membuang atau membunuh bayi kerana buntu fikiran, tidak tahu apa yang mahu dibuat atau kepada siapa masalah mereka hendak diaju apabila terdesak.

Pengalaman saya di Rumah Perlindungan Baitul Fiqh di USJ Subang Jaya sejak 2005 mendapati majoriti yang mengambil tindakan sedemikian adalah remaja berusia di antara 14 tahun hingga lewat 20-an.

Malu dan takut adalah dua faktor mendorong mereka membuang atau membunuh bayi.Malu diketahui kawan atau guru serta aib yang bakal menimpa keluarga dan nama baik ibu bapa.

Perasaan takut timbul apabila memikirkan kemungkinan menghadapi keadaan tidak menentu atau terpaksa berdepan pihak berkuasa seperti di hospital, klinik, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau polis.

Dalam menghadapi keadaan panik yang terlintas hanya buang bayi.

Bagi yang mampu, mereka mungkin ke klinik swasta atau mencari bidan kampung untuk menggugurkan kandungan.

Bagi yang tidak mampu, alternatifnya ialah buang bayi dalam longkang, sungai, tempat pelupusan sampah, letak di tepi jalan, depan masjid atau rumah.

Paling ngeri apabila tindakan kejam membunuh, melemas dan melupuskan bayi dalam mangkuk tandas atau membakar. Tiada statistik tepat berapa ramai bayi dibuang atau dibunuh di negara kita.

Dalam Persidangan Kependudukan Kebangsaan 2007, laporan kajian di Lembah Klang mendapati seorang bayi dibuang setiap 10 hari.

Dewan Negara dimaklumkan pada 2007 bahawa 304 bayi dibuang antara 2004 hingga 2006.

Statistik polis pula menunjukkan kira-kira 100 bayi dilaporkan terbuang setiap tahun.Tetapi hakikatnya bilangan sebenar mungkin jauh lebih tinggi.

Satu kajian penyelidik sebuah IPTA mendapati bilangan remaja bawah 20 tahun yang mengandung pada 2004 sekitar satu juta.

Ia sungguh mengejutkan.Pastinya bukan semua yang mengandung hasil perkahwinan sah.

Justeru, kita boleh bayangkan berapa ramai bayi lahir hasil hubungan seks praperkahwinan dan tentunya daripada bilangan ini, ramai yang diserahkan kepada orang lain sebagai anak angkat atau dibuang saja. Ketika sambutan Tahun Baru Cina kita digemparkan dengan beberapa kes pembuangan dan pembunuhan bayi di Pulau Pinang, Melaka dan Kelantan.

Reaksi terkejut, marah, sedih dan terkilan pelbagai pihak sudah dijangka.Namun, tidak ada jaminan perkara ini tidak berlaku lagi.

Berdasarkan pengalaman, saya rasa langkah berikut perlu diambil sekurang-kurangnya untuk mengurangkan kejadian. Pendekatan baru: Saya bimbang apabila ada pihak yang terus menerus menyarankan pendekatan bersifat hukuman.

Saya memahami sebab mereka mengambil sikap begitu namun percayalah, pendekatan begini akan menyumbang kepada lebih banyak kes pembuangan bayi.

Janganlah mereka yang sedang menghadapi masalah dibebani lagi dengan hukuman.Sebaliknya, mereka perlu digalakkan membuat keputusan lebih berperikemanusiaan, iaitu menyerahkan bayi kepada pihak yang sedia menerima.

Satu keputusan bijak bermakna satu nyawa terselamat. Justeru, kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bahawa semua 104 pejabat kebajikan masyarakat daerah dan 60 pusat perlindungan seluruh negara bersedia menerima bayi terbuang tanpa apa-apa tindakan diambil ke atas ibu sangat dialu-alukan.

Mengikut Akta Kanak-Kanak 2001, pegawai dan kakitangan JKM boleh bertindak sebagai ‘pelindung’ dan memberi bantuan kepada sesiapa yang mengandung dan ingin melahirkan anak luar nikah bagi mengelak bayi dibuang.

Kemudahan untuk orang awam melaporkan kes ke Talian Nur 24 jam juga dapat membantu mengurangkan insiden pembuangan dan pembunuhan bayi. Saya memuji pendirian pihak yang lebih menekankan aspek kemanusiaan dalam menangani gejala ini.

Mereka termasuk Mufti Perlis, Dr Juanda Jaya; Timbalan Presiden MIC, Datuk G Palanivel dan Jamaah Islah Malaysia (JIM).

Mereka mengajak masyarakat agar lebih penyayang, tidak mudah menghukum malah membuka pintu taubat kepada perempuan berzina.

Mungkin ada pihak yang tidak bersetuju beranggapan pendekatan seperti ini akan menggalakkan gejala itu berleluasa.

Tetapi bagi saya, pendekatan yang ada sekarang gagal membendung, justeru kes masih berlaku walaupun isu ini berbangkit tahun demi tahun.

Saya percaya jika pendekatan lebih kemanusiaan diambil, ada harapan kejadian buang dan bunuh bayi berkurangan secara drastik. Tindakan bersepadu: Setakat ini, pendekatan yang diambil pihak berkuasa bersifat ‘piecemeal’.

Banyak pihak lepas tangan.Tukang komen memang ramai, terutama setiap kali kes pembuangan atau pembunuhan bayi dipaparkan, tetapi tidak ramai sanggup meluangkan masa, tenaga atau menyediakan peruntukan bagi membendung gejala itu. Saya harap tidak lagi begitu.

Masalah pembuangan bayi perlu dilihat dan ditangani secara menyeluruh dan holistik seperti gejala dadah, Aids dan Mat Rempit.

Tumpuan dan usaha perlu berterusan, meluas dan membabitkan semua pihak seperti keluarga, PIBG, guru, golongan agama, badan bukan kerajaan (NGO), agensi dan pegawai kerajaan, ahli akademik dan penyelidik, penggubal undang-undang dan polis.

Persatuan belia, pertubuhan sukarela dan kumpulan tertentu seperti Puteri Umno dan pelajar universiti melalui program khidmat masyarakat (Opkim) boleh membantu menangani gejala ini.Pihak swasta, syarikat korporat, media, penulis blog dan orang awam semua mempunyai peranan.

Ini selaras saranan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menyeru semua pihak terbabit mencari jalan penyelesaian.Sehubungan itu, saya mencadangkan penubuhan sebuah pasukan bertindak atau Yayasan Perlindungan Ibu dan Bayi di peringkat nasional.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat atau Bakti adalah antara entiti yang boleh memulakan inisiatif ini.

Sebuah pasukan bertindak boleh menggembleng pakar dan tokoh dalam bidang berkaitan.Ia boleh merencana program dan mengambil langkah sesuai menggunakan kemudahan dan infrastruktur yang ada di pelbagai kementerian, agensi dan jabatan kerajaan termasuk universiti.

Pasukan ini perlu diberi kuasa bagi melicinkan tugas dan mencapai matlamatnya. Yayasan pula mempunyai ruang mengumpul dana yang diperlukan untuk menjalankan aktiviti berkaitan, termasuk kempen di seluruh negara untuk meningkatkan kefahaman dan kesedaran masyarakat berhubung gejala ini.

Saya rasa banyak syarikat dan korporat besar termasuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang dapat menghulurkan bantuan bagi menunaikan tanggungjawab sosial. Yayasan ini boleh diterajui individu berwibawa yang mampu menarik kepakaran tokoh agama, undang-undang, kesihatan, akademik serta penyelidik dalam dan luar negara untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman bagi mencari kaedah terbaik membendung gejala ini.

Penulis ialah Yang Dipertua Rumah Perlindungan Baitul Fiqh, Subang Jaya, Selangor

Sabtu, November 21, 2009

Cuti sekolah ‘cuci’ anak

PELBAGAI gejala tidak sihat melanda remaja masa kini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memantau secara optimum pergerakan dan tingkah laku anak mereka sepanjang cuti sekolah ini.

Anak seharusnya dididik agar menggunakan masa cuti dengan perkara mendatangkan manfaat kepada mereka. Membiarkan mereka berbuat sesuka hati tanpa diberikan panduan dan teguran membina boleh membawa kepada unsur negatif. Ingatlah kepada pesanan Nabi s.a.w yang bermaksud: “Dua nikmat daripada nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah sihat dan masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Cuti sekolah boleh dikategorikan sebagai masa lapang buat anak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mesti mempergunakan masa ini sebagai detik berkesan untuk mengasuh minda anak dengan asuhan pendidikan keagamaan dan sosial yang berguna.

Dalam usaha memberikan asuhan dan pendidikan kepada anak, ibu bapa seharusnya melakukan melalui teladan. Ini kerana anak khususnya pada peringkat sekolah rendah sangat mudah dibentuk dan mereka sering mencontohi golongan dewasa. Misalnya, jika kita hendak membudayakan amalan membaca, maka ibu bapa perlu menunjukkan lebih dulu bahawa mereka berbudaya sedemikian.

Jangan hanya kita pandai menyuruh anak, tetapi diri kita sebagai ibu bapa tidak pun berbuat demikian. Demikianlah juga dalam aspek larangan. Misalnya, kita bimbang anak akan terjebak dengan amalan kurang sihat seperti merokok. Dalam hal ini ibu bapa, khasnya si ayah tidak boleh sekali-kali merokok. Ini tidak, kita larang anak merokok, tetapi diri kita sebaliknya.

Jangan sampai dikatakan bagai ketam mengajar anak berjalan betul. Ingatlah, memberi teladan baik itu lebih berkesan dalam mendidik anak berbanding memerintah atau larangan. Kata Thomas Fuller: “Teladan yang baik adalah nasihat yang terbaik.”

Manakala seorang ahli falsafah Barat, Joseph Joulbert menyatakan: “Anak lebih banyak memerlukan teladan daripada kritikan.” Jadi pada cuti sekolah kali ini, ibu bapa perlu memainkan peranan berkesan dalam menjuruskan hala tuju pembinaan sahsiah anak. Dengan kata lain jangan ambil mudah dan bersikap acuh tak acuh dalam memantau landskap ekologi pencernaan anak.

Ketahuilah gejala sosial yang tidak pernah surut graf perkembangannya di negara kita kerana ibu bapa mudah melepaskan tanggung jawab mendidik anak kepada pihak lain seperti guru. Berilah kasih sayang tetapi jangan sampai melampaui batas.

Kita perlu bersikap tegas, tetapi bukan keras. Inilah elemen pemangkin kepada keutuhan penyaluran pendidikan kepada anak. Dalam keluarga yang harmoni, damai, tenteram dan ceria sudah pasti akan membibitkan nilai kasih mengasihi antara ibu bapa dan anak. Anak yang berkembang dan membesar dalam ruang lingkup sedemikian lebih aktif, bermotivasi belajar serta berperibadi unggul.

Ibu bapa mesti memberikan bimbingan berkesan mendidik anak mengenai akhlak mulia yang sejajar kehendak dan tuntutan agama. Kata orang ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.’ Demikianlah juga dalam membina akhlak murni anak kita. Gerakan pendidikan akhlak itu seawal usia lagi. Insya-Allah berkat kesungguhan kita sebagai ibu bapa dan dengan niat yang ikhlas kerana Allah, pasti anak kita akan menjadi seorang insan soleh dan cemerlang.

Memetik kata-kata Hassan Al-Bana yang menyentuh peranan wanita atau ibu dalam membangunkan kecemerlangan ummah: “Perempuan (ibu) adalah madrasah pertama yang membentuk dan memformatkan model generasi, bagaimana cara pengarahan yang diterima seorang anak itulah yang menentukan perjalanan bangsa dan umat. Lebih daripada itu, perempuan (ibu) adalah orang pertama yang memberikan sumbangan dalam kehidupan seorang pemuda dan bangsa.”

Marilah kita renungi betul-betul maksud kata-kata itu agar kesempurnaan anak dapat dijana. Ingatlah selalu peringatan Allah mengenai tanggungjawab kita sebagai ibu bapa supaya anak tidak menjadi beban kepada kita di akhirat nanti.

Firman Allah dalam Surah At-Tahrin ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang- orang yang beriman, jagalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.” Jelas di sini Allah memerintahkan bukan saja memelihara diri kita sendiri daripada kemurkaan Allah, tetapi peringatan Allah itu merangkumi ahli keluarga kita.

Justeru, wahai ibu bapa, jangan abaikan tanggungjawab mendidik anak dengan asuhan agama dan adab budaya yang murni. Sinarilah anak kita dengan siraman iman yang kukuh, bajailah mereka dengan takwa yang padu dan warnailah mereka dengan nilai akal budi yang luhur. Insya-Allah anak kita akan cemerlang di dunia dan mendapat kebahagiaan di akhirat. Semuanya bergantung kepada peranan kita sebagai ibu bapa yang mencorakkannya.

Dengan didikan sempurna daripada ibu bapa terhadap anak dapatlah diibaratkan ‘keluarga itu sebagai inti peradaban bangsa’. Akhirnya, mari kita hayati pesanan Imam Al-Ghazali: “Kuat dan jayanya sesuatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka akan binasalah umat itu.” Oleh itu, pembinaan umat berakhlak tinggi seharusnya bermula di rumah dan ibu bapalah pembinanya.

Penulis ialah seorang guru
Sumber : Harian Metro/Minda

Rabu, Julai 01, 2009

Manfaat, bahaya laman web sosial

Oleh Badrila Jamlus
am@hmetro.com.my


“Tolong sahkan kehadiran anda (please confirm your attendence). Jangan lupa add aku dalam Facebook kau Man! Nanti aku update tru BlackBerry,” itu antara dialog yang biasa kita dengar atau baca setiap kali pembaca melayari laman web sosial yang semakin mendapat tempat pada zaman serba canggih ini.

Berjumpa secara online kini sudah menjadi kegilaan baru kepada pengguna Internet tidak kira tempat, malah senario itu dapat dilihat di merata tempat yang menyediakan sambungan Internet tanpa wayar (WiFi) secara percuma khususnya di kafe atau restoran, termasuk restoran makanan segera.

Ia berbeza berbanding 10 atau lima tahun dahulu membabitkan pertemuan lebih khusus di telefon, menghantar SMS atau bersembang maya.

Sekarang, pertemuan hanya di depan komputer atau di hujung jari menerusi telefon bimbit.
Tidak hairanlah di kafe atau restoran menjadi ‘port’ kegilaan baru kepada segelintir remaja mahupun pemilik komputer riba menghabiskan masa berjam-jam setiap hari sama ada melayari laman web atau laman web sosial.


Bagi mereka yang lebih gemar ‘lepak’ di rumah, untuk mendapat capaian Internet sungguh mudah dengan hanya membeli broadband (Internet jalur lebar) yang kini berlambak ditawarkan syarikat telekomunikasi menerusi pelbagai pakej menarik.

Sungguh mudah, namun persoalannya, sejauh manakah kewujudan laman web sosial ini memberi kesan kepada kehidupan seharian kita?

Jika bijak digunakan, ia mampu memberi manfaat dari segi menambah rakan mahupun mencari kenalan lama yang sudah terpisah dan bertukar pandangan mengenai sesuatu topik untuk menghilangkan kebosanan.

Ada yang beranggapan, menghadap komputer terlalu lama menyebabkan seseorang itu tidak mengeluarkan peluh atau melakukan aktiviti bersenam seperti kebiasaan dilakukan setiap petang atau hujung minggu akibat terlalu asyik melayari Internet.

Bagaimanapun, ia bergantung kepada persepsi atau niat seseorang itu kerana jika dilihat sejak kebelakangan ini, ada yang mahu menggunakan laman web sosial sebagai tempat mencari jodoh, membuat jemputan perkahwinan menerusi rakan kenalan dengan beranggapan lebih menjimatkan belanja daripada menghantar kad perkahwinan mahupun jemputan sesuatu majlis atau acara.

Pertemuan demi pertemuan di laman sembang mampu diatur tidak kira seseorang kenalan itu berada jauh beribu batu.

Ada yang menggunakan platform itu untuk mengawasi anak mereka yang sedang belajar di perantauan.

Pada zaman serba canggih ini, pelbagai laman web sosial dibina seperti Facebook, Friendster, MySpace, Bebo atau Hi5.

Jika diimbas sejarah kewujudan beberapa laman web sosial misalnya Facebook diasaskan pada 4 Februari 2004 oleh bekas pelajar Sekolah Tinggi Ardsley dan Universiti Harvard pada 2006, Mark Zuckerberg.

Pada asalnya, keahlian hanya dibuka kepada mahasiswa Kolej Harvard, namun ia diperluaskan ke sekolah sekitar kawasan Boston termasuk Kolej Boston, Universiti Boston, Universiti Harvard, Universiti Northeastern, Universiti Tufts, Rochester, Stanford, NYU, Northwestern dan banyak lagi dalam masa dua bulan.

Akhirnya, pengguna yang memiliki alamat e-mel universiti (misalnya ‘.edu’ di bahagian belakang) seluruh dunia layak menyertai Facebook ini.

Friendster pula ditubuhkan di Mountain View, California oleh Jonathan Abrams pada 2002 yang menjadikan laman web sosial itu kini memiliki lebih 70 juta ahli seluruh dunia dengan memberi tumpuan membantu pengguna terus berhubung bersama rakan.

Sementara itu, MySpace yang beribu pejabat di Beverly Hill, California, Amerika Syarikat adalah lanjutan sebahagian kisah Friendster tetapi mempunyai tujuan sama.

Satu lagi laman web sosial kian meningkat ialah Hi5 dihasilkan Ramu Yalamanchi pada 2003, masih cuba menembusi penguasaan Facebook, Friendster atau MySpace dengan pendaftaran lebih satu juta ahli sehingga April 2008.

Perkhidmatan laman web sosial boleh dianggap menumpukan rangkaian sosial untuk satu komuniti yang berkongsi hobi, aktiviti atau kisah peribadi orang lain.

Kebanyakan laman web sosial berasaskan Web 2.0 menawarkan pelbagai cara interaksi antara pengguna seperti perbualan dalam talian, bertukar pesanan, e-mel, video, perbualan suara, perkongsian fail, blog dan kumpulan perbincangan.

Laman web sosial memiliki pelbagai aplikasi yang bukan saja berfungsi sebagai hiburan semata-mata tetapi jika digunakan secara bijak dapat membantu dari segi meningkatkan prestasi pelajaran, amat berguna kepada pelajar yang tinggal jauh dari bandar untuk berkomunikasi dengan rakan mahupun guru.

Berdasarkan maklumat yang dikumpul daripada data Google, kira-kira 12 rangkaian sosial mendapat tempat di kalangan pengguna seluruh dunia.

Pengarah Hubungan Korporat dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Mohammed Zain Nordin, berkata Facebook misalnya satu bentuk medium sosial media kerana lebih menghubungkan seseorang secara santai yang mungkin bertebaran jauh, merentas benua menerusi platform Internet.

Beliau berkata, menerusi laman sembang itu, seseorang pengguna boleh meluahkan perasaan atau pandangan menerusinya dan pada masa sama sebagai platform untuk memperkenalkan diri dan menggambarkan identitinya yang sebenar.

“Namun, kita perlu berhati-hati ketika mendedahkan maklumat di laman sembang kerana Facebook dan laman sembang lain juga pernah dikaitkan dengan Agensi Perisikan Pusat (CIA) milik Amerika Syarikat satu ketika dahulu.

“Kita bimbang jika ada pengguna Facebook yang menyalahgunakan maklumat atau profil seseorang untuk tujuan tertentu dengan menjual maklumat itu kepada syarikat tertentu kerana dalam banyak keadaan, tidak ada mana-mana sistem yang dijamin selamat,” katanya.

Beliau berpendapat, maklumat atau profil peribadi yang disimpan dalam laman sembang itu boleh digunakan sesiapa saja termasuk menghantar virus atau spam menerusi e-mel kerana menerusi Internet, seseorang itu boleh menjadi sesiapa saja tanpa perlu menyalurkan maklumat sebenar.

“Jika di akhbar, editor memainkan peranan sebagai ‘gatekeeper’ dengan menapis setiap berita yang akan disiarkan tetapi sebagai pengguna Facebook, kita sendiri perlu menjadi penapis kepada semua maklumat yang mahu disiarkan.

“Tidak semua pengguna laman sembang yang mahu mendedahkan identiti sebenar dan mereka dilihat lebih selesa menggunakan nama samaran bagi tujuan keseronokan semata-mata,” katanya sambil mengakui perkembangan era digital atau Internet kini semakin berkembang dengan pantas dan sentiasa berubah setiap masa.

Di sebalik kewujudan laman web sosial ini, di Indonesia misalnya, ulamanya membenarkan umat Islam memanfaatkan Facebook untuk menambah kenalan atau bekerja tetapi mengharamkannya bagi tujuan menggatal dan bergosip.

Walau apapun tanggapan masyarakat mengenai perkara ini, syarikat telekomunikasi di negara ini terus berlumba-lumba memperkenalkan telefon bimbit serba canggih kepada pengguna yang sanggup berbelanja lebih untuk mendapat capaian Internet lebih mudah.

Kewujudan telefon pintar BlackBerry misalnya mendapat permintaan tinggi berikutan aplikasi multimedia dan capaian Internet lebih pantas, malah boleh melayari laman web sosial popular Facebook, Myspace dan Flickr hanya di tapak tangan.