#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 21, 2009

Cuti sekolah ‘cuci’ anak

PELBAGAI gejala tidak sihat melanda remaja masa kini. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa memantau secara optimum pergerakan dan tingkah laku anak mereka sepanjang cuti sekolah ini.

Anak seharusnya dididik agar menggunakan masa cuti dengan perkara mendatangkan manfaat kepada mereka. Membiarkan mereka berbuat sesuka hati tanpa diberikan panduan dan teguran membina boleh membawa kepada unsur negatif. Ingatlah kepada pesanan Nabi s.a.w yang bermaksud: “Dua nikmat daripada nikmat-nikmat Allah yang kebanyakan manusia tertipu padanya ialah sihat dan masa lapang.” (Hadis riwayat Bukhari)

Cuti sekolah boleh dikategorikan sebagai masa lapang buat anak. Sebagai ibu bapa yang bertanggungjawab mesti mempergunakan masa ini sebagai detik berkesan untuk mengasuh minda anak dengan asuhan pendidikan keagamaan dan sosial yang berguna.

Dalam usaha memberikan asuhan dan pendidikan kepada anak, ibu bapa seharusnya melakukan melalui teladan. Ini kerana anak khususnya pada peringkat sekolah rendah sangat mudah dibentuk dan mereka sering mencontohi golongan dewasa. Misalnya, jika kita hendak membudayakan amalan membaca, maka ibu bapa perlu menunjukkan lebih dulu bahawa mereka berbudaya sedemikian.

Jangan hanya kita pandai menyuruh anak, tetapi diri kita sebagai ibu bapa tidak pun berbuat demikian. Demikianlah juga dalam aspek larangan. Misalnya, kita bimbang anak akan terjebak dengan amalan kurang sihat seperti merokok. Dalam hal ini ibu bapa, khasnya si ayah tidak boleh sekali-kali merokok. Ini tidak, kita larang anak merokok, tetapi diri kita sebaliknya.

Jangan sampai dikatakan bagai ketam mengajar anak berjalan betul. Ingatlah, memberi teladan baik itu lebih berkesan dalam mendidik anak berbanding memerintah atau larangan. Kata Thomas Fuller: “Teladan yang baik adalah nasihat yang terbaik.”

Manakala seorang ahli falsafah Barat, Joseph Joulbert menyatakan: “Anak lebih banyak memerlukan teladan daripada kritikan.” Jadi pada cuti sekolah kali ini, ibu bapa perlu memainkan peranan berkesan dalam menjuruskan hala tuju pembinaan sahsiah anak. Dengan kata lain jangan ambil mudah dan bersikap acuh tak acuh dalam memantau landskap ekologi pencernaan anak.

Ketahuilah gejala sosial yang tidak pernah surut graf perkembangannya di negara kita kerana ibu bapa mudah melepaskan tanggung jawab mendidik anak kepada pihak lain seperti guru. Berilah kasih sayang tetapi jangan sampai melampaui batas.

Kita perlu bersikap tegas, tetapi bukan keras. Inilah elemen pemangkin kepada keutuhan penyaluran pendidikan kepada anak. Dalam keluarga yang harmoni, damai, tenteram dan ceria sudah pasti akan membibitkan nilai kasih mengasihi antara ibu bapa dan anak. Anak yang berkembang dan membesar dalam ruang lingkup sedemikian lebih aktif, bermotivasi belajar serta berperibadi unggul.

Ibu bapa mesti memberikan bimbingan berkesan mendidik anak mengenai akhlak mulia yang sejajar kehendak dan tuntutan agama. Kata orang ‘Melentur buluh biarlah daripada rebungnya.’ Demikianlah juga dalam membina akhlak murni anak kita. Gerakan pendidikan akhlak itu seawal usia lagi. Insya-Allah berkat kesungguhan kita sebagai ibu bapa dan dengan niat yang ikhlas kerana Allah, pasti anak kita akan menjadi seorang insan soleh dan cemerlang.

Memetik kata-kata Hassan Al-Bana yang menyentuh peranan wanita atau ibu dalam membangunkan kecemerlangan ummah: “Perempuan (ibu) adalah madrasah pertama yang membentuk dan memformatkan model generasi, bagaimana cara pengarahan yang diterima seorang anak itulah yang menentukan perjalanan bangsa dan umat. Lebih daripada itu, perempuan (ibu) adalah orang pertama yang memberikan sumbangan dalam kehidupan seorang pemuda dan bangsa.”

Marilah kita renungi betul-betul maksud kata-kata itu agar kesempurnaan anak dapat dijana. Ingatlah selalu peringatan Allah mengenai tanggungjawab kita sebagai ibu bapa supaya anak tidak menjadi beban kepada kita di akhirat nanti.

Firman Allah dalam Surah At-Tahrin ayat 6 yang bermaksud: “Wahai orang- orang yang beriman, jagalah diri kamu dan keluargamu daripada api neraka.” Jelas di sini Allah memerintahkan bukan saja memelihara diri kita sendiri daripada kemurkaan Allah, tetapi peringatan Allah itu merangkumi ahli keluarga kita.

Justeru, wahai ibu bapa, jangan abaikan tanggungjawab mendidik anak dengan asuhan agama dan adab budaya yang murni. Sinarilah anak kita dengan siraman iman yang kukuh, bajailah mereka dengan takwa yang padu dan warnailah mereka dengan nilai akal budi yang luhur. Insya-Allah anak kita akan cemerlang di dunia dan mendapat kebahagiaan di akhirat. Semuanya bergantung kepada peranan kita sebagai ibu bapa yang mencorakkannya.

Dengan didikan sempurna daripada ibu bapa terhadap anak dapatlah diibaratkan ‘keluarga itu sebagai inti peradaban bangsa’. Akhirnya, mari kita hayati pesanan Imam Al-Ghazali: “Kuat dan jayanya sesuatu umat adalah kerana akhlaknya, apabila akhlaknya rosak maka akan binasalah umat itu.” Oleh itu, pembinaan umat berakhlak tinggi seharusnya bermula di rumah dan ibu bapalah pembinanya.

Penulis ialah seorang guru
Sumber : Harian Metro/Minda

Tiada ulasan:

Catat Ulasan