#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, November 29, 2009

Polis palsu culik penuntut

KUANTAN: Seorang penuntut kolej yang menunggu bas di Terminal Makmur untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha menempuh pengalaman menakutkan apabila diculik sepasang kekasih yang menyamar sebagai anggota polis, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi, siswa berusia 18 tahun itu bersendirian sementara menunggu basnya tiba sebelum dihampiri pasangan berkenaan yang menunggang motosikal masing-masing.

Difahamkan, pasangan terbabit memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan selepas melakukan pemeriksaan, mereka mendakwa mangsa perlu hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan untuk membantu siasatan.

Mangsa yang kebingungan akur dengan arahan polis palsu terbabit kerana takut sebelum diarah membonceng satu daripada motosikal suspek.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah daerah, Deputi Superintendan Kamaruzzaman Jaafar, berkata bagaimanapun mangsa tidak dibawa ke IPD Kuantan, sebaliknya ke sebuah kedai serbaneka di Permatang Badak, di sini.

Menurutnya, sebaik tiba di premis berkenaan, seorang daripada suspek mengugut mangsa menyerahkan wang dan barangan berharga.

“Mangsa yang ketakutan menyerahkan wang RM1,100 dan dua jam tangan sebelum ditinggalkan pasangan terbabit di premis itu. Dia juga diarah membeli minuman dan sekotak rokok,” katanya.

Mangsa yang terkejut selepas ditinggalkan meminta bantuan orang awam sebelum dibawa ke IPD Kuantan untuk membuat laporan polis.

“Polis tidak menolak kemungkinan pasangan terbabit memerhatikan mangsa dari jauh sebelum memulakan penyamaran mereka. Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam,” katanya.

Justeru, Kamaruzzaman menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati jika didatangi individu yang mencurigakan bagi mengelak kejadian berulang.



Tiada ulasan:

Catat Ulasan