#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, November 29, 2009

Korban sayang suami tidak bertempat

KUALA LUMPUR: Sikap sayang melampau dan tidak bertempat menjadi punca segelintir isteri sanggup terjebak sama dengan ‘hobi’ pasangan mereka yang menagih dadah.

Yang Dipertua Persatuan Pengasih Malaysia (Pengasih), Mohd Yunus Pathi, ketika mengakui perkara itu berkata, isteri sepatutnya melarang suami, namun sebaliknya berlaku apabila menyokong mereka dengan ikut sekali ‘melayan’ barang terlarang itu.

“Ini memang kita akui berlaku kerana sikap isteri yang menyayangi suami tidak bertempat bukan saja menjahanamkan lagi suaminya, sebaliknya turut menghancurkan kehidupan mereka.

“Sebagai contoh di Pengasih, sebanyak lima peratus wanita yang mengikuti program pemulihan mengakui terjebak apabila suami atau pasangan mereka mengajak mencubanya (dadah) selain keinginan isteri yang mahu merasai selepas tahu suami mengambil dadah,” katanya.

Mohd Yunus berkata, jika seseorang isteri mengetahui suami mengambil dadah bagi melayan rasa ketagihan, mereka perlu merujuk atau mendapatkan nasihat daripada agensi kerajaan atau badan bukan kerajaan yang bertauliah.

Katanya, langkah isteri yang ikut serta ‘hobi’ suami dengan alasan tidak mahu suami keluar bercampur dengan penagih lain dan mahu menjadi teman supaya boleh memantau pergerakan suami sememangnya tidak masuk akal.

“Kalau sayangkan suami sekalipun, mereka tidak harus perlu berkorban sebegitu. Itu bukan berkorban demi orang tersayang, sebaliknya mengorbankan diri sendiri dan menjahanamkan lagi pasangan mereka yang ketagihan benda itu.

“Mereka sepatutnya merujuk perkara ini dengan pihak berkuasa atau badan bertauliah dan tidak perlu takut atau malu mengenainya.

“Tujuannya bukan untuk menganiaya suami, sebaliknya membantu memulihkan rasa ketagihan. Ini langkah terbaik bagi menolong mereka,” katanya.

Menurutnya, semua jenis dadah yang mengkhayalkan mempunyai kesan sampingan kepada mereka yang mengambilnya.

“Sebab itu kita cakap semua benda yang boleh mengkhayalkan itu bahaya. Ini kerana sekali kita mengambilnya, pasti kita ingin mencuba lagi pada masa akan datang dengan alasan hendak melayan perasaan sedikit, sedangkan itu sebenarnya tanda ketagihan.

“Seperti pengambilan syabu ini, ia memang tidak menyebabkan tubuh mereka yang mengambilnya menggeletar tetapi bila kita kerap mengambilnya, badan seseorang itu pasti rasa tidak selesa dan teringin untuk melayan nikmat,” katanya.

Beliau berkata, semua penagih mulanya akan memberi alasan sama iaitu ingin cuba sekali saja, tetapi apabila merasai nikmatnya, mereka akan cuba merasainya lagi selang beberapa hari kemudian.

Kesan ketagihan itu pula akan meningkat dari semasa ke semasa sehingga mereka akan ingin sentiasa ‘melayan’ perasaan hingga tiga atau empat kali sehari.

Selain itu, Mohd Yunus berkata, dadah juga menjadi punca hampir semua penagih sanggup melakukan jenayah iaitu biasanya mencuri bagi membolehkan mereka membeli bekalan itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan