#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 21, 2009

Derita talasemia

Oleh Ridzuan Ahmad
am@hmetro.com.my


POKOK SENA: “Anak saya bukan saja memerlukan bantuan bekalan darah sepanjang hayat, malah perlu memakai sebuah mesin di perutnya untuk memasukkan ubat bagi membuang zat besi di dalam badannya,” kata Maizura Mat Rozi, 30, ibu kepada Nurul Izzati Abdul Rahim, 4, yang menderita penyakit talasemia sejak berusia setahun.

Menurutnya, anak bongsu daripada empat adik beradik itu mula dikesan menghidap penyakit itu selepas pembesarannya terbantut ketika berusia enam bulan selain badannya kekuningan dan tekanan darahnya rendah.

Katanya, selepas itu dia perlu membawa anaknya berulang alik ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) setiap minggu bagi menjalani rawatan intensif termasuk menerima darah untuk merawat penyakitnya.

“Hospital dah menjadi seperti rumah kedua kami kerana anak saya perlu menjalani rawatan daripada pakar. Sekiranya bekalan darah tidak mencukupi, kami terpaksa membawa penderma darah sendiri bagi menampung keperluan darah anak saya.

“Anak saya memiliki darah jenis A+ dan kadang-kadang darah penderma itu tidak sesuai dengan darahnya,” katanya.

Maizura berkata, setiap tiga kali seminggu, anaknya perlu memakai mesin di bahagian perut selama sembilan jam sehari untuk merawat penyakit berkenaan bagi mengelakkan kesan lebih teruk termasuk hati dan limpa bengkak sehingga boleh memudaratkan kesihatannya

Katanya, walaupun mengalami pelbagai simptom penyakit, Nurul Izati tetap aktif seperti kanak-kanak lain seolah-olah dia tidak menghidap sebarang
penyakit.

“Anak sulung dan kedua saya dikesan sebagai pembawa penyakit ini. Kami sekeluarga reda dengan apa yang berlaku dan kami akan terus berusaha untuk merawat penyakit ini.

“Setiap bulan kami membelanjakan hampir RM500 untuk membiayai kos rawatan termasuk kos untuk berulang alik ke HSB,” katanya yang turut menjadi ahli Persatuan Talasemia Kedah.

katanya, dia terpaksa berhenti kerja sebagai pembantu perangkaan (sementara) semata-mata untuk menjaga anaknya yang memerlukan penjagaan rapi setiap hari.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan