#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 28, 2009

Dihantui dendam isteri

SAYA berkahwin 11 tahun dan ada lima anak. Selama perkahwinan ini tiada apa masalah yang sangat berat dilalui. Bertengkar memang lumrah kehidupan suami isteri, tapi setahun lalu saya membuat kesilapan dengan berkahwin lain tanpa pengetahuan isteri.

Memang saya akui perhatian saya kurang dengan isteri pertama. Ditakdirkan dia tahu mengenai perkahwinan kedua selepas terjumpa telefon saya yang disorok di bawah kerusi kereta. Tanpa dipaksa, saya mengaku bernikah lain.

Seperti dijangka pertengkaran pun berlaku namun masih dalam kawalan kerana ketika kejadian itu kami di kampung kerana ayah saya sakit.

Saya ingin menyelesaikannya bila balik ke Kuala Lumpur (KL) dan bagi saya itu berjaya dilakukan.

Bagaimanapun, sangkaan saya meleset kerana muncul masalah lain apabila isteri tua saya ada teman lelaki iaitu pemandu teksi yang lebih muda daripadanya. Saya mulai syak kerana dia menyorokkan telefonnya setiap kali balik ke rumah.

Selain itu saya pernah terserempak dia bermain mesej tengah-tengah malam. Apabila ditanya, dia kata kawan sepejabat.

Namun dengan izin Allah tergerak hati saya untuk mengambil telefonnya tanpa dia sedari dan selang beberapa minit telefonnya berdering.

Apabila dijawab, kedengaran suara seorang lelaki. Apabila saya tanya isteri pertama, berlaku pergaduhan dan dia mendakwa lelaki itu kawan yang bekerja di bank kerana nama yang tersimpan di telefonnya adalah nama bank.

Saya berusaha menjejak lelaki itu tapi tidak berjaya. Tujuan saya untuk menyelesaikan dengan cara baik. Yang menjadi masalah saya sekarang, isteri saya tidak dapat melupakan lelaki itu dan dia selalu mengatakan punca dia jadi begitu adalah kerana perkahwinan saya. Katanya, semua yang terjadi adalah balasan kepada saya.

Sekarang dia selalu mengatakan rasa bersalah pada lelaki itu tapi bukan kepada saya sebagaimana sepatutnya. Dia juga pernah memberitahu saya, dia mula menyayangi lelaki itu.

Sebenarnya dia mengenali lelaki itu sebelum perkahwinan kedua saya dan selalu menemani lelaki itu ke mana saja tanpa saya ketahui.

Boleh dikatakan setiap hari dia makan tengah hari, balik kerja dan makan malam dengan lelaki itu sehingga sampai rumah kira-kira jam 10.30 malam. Dia sanggup mengambil MC semata-mata untuk bersama lelaki itu.

Saya terguris dengan apa yang berlaku, namun saya kuatkan semangat untuk melupakannya demi kasih sayang saya padanya dan anak.

Sebenarnya saya memerlukan nasihat bagaimana untuk menangani masalah ini dan menempuhi hari-hari mendatang.

Saya pernah memberitahunya saya sanggup menceraikan isteri muda saya asalkan dapat menyelamatkan perkahwinan ini, tetapi jawapan daripadanya sungguh mendukacitakan. Kata isteri saya, dia tak pasti sama ada mampu meninggalkan teman lelakinya.

Kini, saban hari dia asyik melayan lagu orang kecewa bercinta dan dia ada memberitahu, setiap kali melihat teksi, fikirannya akan mengingati teman lelakinya. Tolonglah saya yang kebuntuan ini.

SUAMI BUNTU

Saudara pernah melakukan kesalahan apabila merahsiakan perkahwinan kedua daripada pengetahuan isteri pertama dan gagal melayani mereka dengan adil apabila melebihkan isteri kedua.

Namun apabila perkara itu terbongkar, saudara menangani konflik yang wujud dengan cara betul iaitu berterus terang, mengakui kesalahan dilakukan dan berusaha berlaku adil kepada kedua-dua isteri.

Malangnya, di pihak isteri pertama saudara, dia gagal menangani konflik yang wujud dengan pendekatan betul. Disebabkan tidak boleh menerima hakikat dia dimadukan secara diam-diam, dia mengambil pendekatan seperti ingin membalas dendam iaitu menjalin hubungan dengan lelaki lain.

Lebih menyedihkan, ‘siasatan’ saudara mendapati hubungannya dengan lelaki yang bekerja sebagai pemandu teksi itu terjalin sebelum dia dimadukan dan kini isteri pertama saudara bertindak lebih berani apabila secara terang-terangan meneruskan hubungan terlarang itu.

Dalam hal ini cara penyelesaian terbaik ialah dengan kita kembali kepada garis panduan dan peraturan ditetapkan Allah SWT yang mencipta kita serta jangan sekali-kali bertindak mengikut kehendak hati atau nafsu.

Peraturan Islam menetapkan saudara bersalah kerana tidak berlaku adil kepada isteri pertama tapi perkahwinan kedua saudara bukan satu kesalahan atau dosa.

Jadi isteri saudara berhak marah atau menegur saudara apabila tidak berlaku adil, namun dia tidak boleh memberontak atau membalas dendam dengan menjalin hubungan sulit kerana tindakan itu jelas satu kesalahan dan berdosa mengikut hukum Islam.

Justeru, perkara ini perlu saudara tegaskan kepada isteri pertama. Katakan padanya, dia tidak boleh sekadar memikirkan perasaan marahnya atau naluri cintanya kepada teman lelaki baru, tetapi sepatutnya perlu mengutamakan hukum Allah.

Sebenarnya apabila isteri saudara secara terang-terangan menjalin hubungan dengan lelaki lain, sebagai suami tentu hati saudara terluka, namun luka itu sebenarnya tidak memudaratkan saudara di akhirat kelak.

Sebaliknya, individu yang sebenar-benarnya bakal menerima kemudaratan ialah dia (isteri pertama). Mungkin dia gembira di dunia kerana dapat membalas dendam terhadap suaminya yang berkahwin lain dan ada kekasih baru, namun jangan lupa balasan Allah di akhirat kelak disebabkan perbuatan itu sangat pedih.

Sebagai suami, Islam melarang suami bersikap dayus. Apabila isteri melakukan kesalahan, suami wajib menegurnya dan cara membuat teguran itu turut diajar.

Pertama, secara lisan; kedua, beralih tempat tidur dan ketiga, memukul dengan tidak memudaratkan, sebaliknya memadai sebagai pengajaran.

Jika sikap isteri masih tidak berubah selepas ketiga-tiga pendekatan itu dilakukan, seorang suami dibolehkan menceraikan isterinya bagi tujuan menghalang timbul masalah lain yang lebih buruk, seperti kesan kepada anak dan sebagainya.

Dang Setia juga tertarik untuk mengulas cadangan saudara ingin menceraikan isteri kedua dengan harapan tindakan itu mampu menjadikan isteri pertama kembali seperti dulu.

Bukan tidak bersetuju, cuma Dang Setia curiga adakah tindakan itu jalan penyelesaian yang betul. Maksudnya, adakah dengan menceraikan isteri kedua, isteri pertama saudara akan benar-benar kembali ke pangkal jalan?

Lagipun, rasanya tidak adil untuk isteri kedua saudara diceraikan atas kesalahan yang tidak dia lakukan dan bagaimana pula nasibnya selepas itu?

Perkara ini perlu difikirkan dengan lebih mendalam dan Dang Setia berharap saudara tidak terburu-buru mengambil tindakan.

Akhir sekali, terimalah ujian Allah ini dengan reda dan mengambil kira kesilapan saudara sebelum ini, anggaplah ini peringatan daripada Allah untuk menyedarkan saudara betapa sedikit saja kealpaan kita dengan mudah Allah boleh membalasnya.

Pada masa sama, yakinlah betapa setiap ujian Allah itu tentu ada hikmahnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan