#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, November 10, 2009

Tingkatkan Pendidikan Seks

ARKIB : 08/11/2009
Utusan Malaysia
Kesihatan

Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
bintu.rahman@utusan.com.my

MASYARAKAT Malaysia inginkan lebih maklumat mengenai hubungan intim demi kesejahteraan seksual mereka.

Menurut Kajian Kesejahteraan Seksual Global Durex 2007/2008, tidak sampai 50 peratus (hanya 42 peratus) rakyat negara ini menyatakan bahawa mereka mendapat maklumat yang mencukupi bagi menikmati kebahagiaan seksual secara menyeluruh.

Angka itu menunjukkan negara kita berada jauh di belakang Mexico iaitu yang tertinggi sebanyak 80 peratus, Brazil (71 peratus) dan Amerika Syarikat (62 peratus).

Walaubagaimanapun kedudukan kita lebih baik daripada negara Asia yang lain seperti Hong Kong (38 peratus), Thailand (35 peratus) dan Jepun (19 peratus).

Kebanyakannya setuju pengetahuan yang luas mengenai seks dapat meningkatkan lagi kesejahteraan seksual sekali gus memperbaiki tahap kesihatan secara menyeluruh.

Oleh itu, mereka inginkan lebih banyak lagi maklumat mengenai hubungan intim melalui pendidikan seks sama ada yang dipelajari di sekolah mahu pun melalui perantara media cetak dan elektronik.

Malaysia bagaimanapun menerajui senarai di mana 73 peratus daripada mereka yang mempunyai pendidikan seks formal berpendapat berpuas hati dengan kesejahteraan seksual mereka, berbanding purata global (59 peratus) dan Thailand (48 peratus).

Manakala di kalangan rakyat yang tidak mempunyai pendidikan seks formal pula, hanya 58 peratus berpuas hati dengan kesejahteraan seksual mereka.

Kajian ini disertai oleh 1,026 rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas dengan jumlah bilangan lelaki dan wanita adalah sama.

Dalam kajian ini, kebanyakan yang terlibat mengharapkan agar pendidikan seks disampaikan dengan lebih bersifat emosi untuk mudah difahami. Mereka mahukan lebih tumpuan diberikan kepada aspek emosi melibatkan semua peringkat umur terutama kalangan generasi usia emas.

Lebih kurang 44 peratus daripada mereka yang berumur antara 16 hingga 24 tahun mengatakan mahu mendapat lebih banyak maklumat mengenai perkara ini, menurut kajian tersebut.

Manakala di kalangan mereka yang berusia antara 35 hingga 44 tahun pula, peratusannya meningkat kepada 62 peratus.

Responden turut menyatakan bahawa pendidikan seks hanya bersifat fizikal dan kerap kali tidak memasukkan aspek lain termasuk kasih sayang, hormat serta keseronokan yang dikongsi bersama dalam memberi kenikmatan kepada pasangan.

Kajian tersebut mendedahkan separuh daripada mereka yang mendapat pendidikan seks di sekolah tidak belajar mengenai kehamilan manakala 71 peratus lagi tidak diajar mengenai penyakit berjangkit melalui hubungan seks.

Hanya 36 peratus menganggap pendidikan seks yang diterima di sekolah sebagai sumber utama bagi mendapat maklumat mengenai seks (berbanding Singapura 54 peratus). Negara kita berada di kedudukan kedua terendah selepas Rusia (23 peratus) daripada 26 buah negara yang terlibat dalam kajian ini.

Seramai 75 peratus bergantung kepada Internet untuk mendapatkan maklumat mengenai pendidikan seks, diikuti majalah (73 peratus), buku (65 peratus), rakan sebaya (56 peratus) dan pasangan (43 peratus).

Wanita Malaysia didapati lebih cenderung memilih majalah untuk mendapatkan maklumat mengenai seks (73 peratus), berbanding lelaki yang lebih suka melayari Internet (75 peratus).

Menurut Pakar Kesihatan Seksual dari United Kingdom, Dr Kevan Wylie, keputusan ujian ini menunjukkan responden tidak kira muda atau tua mahukan kesejahteraan seksual yang sempurna meliputi aspek fizikal dan emosi semasa mengadakan hubungan seks.

"Kajian menunjukkan responden mahukan lebih maklumat mengenai hubungan intim. Kesimpulannya, lebih banyak anda ketahui dan fahami, maka anda akan berasa lebih yakin, berkeupayaan dan kemungkinan untuk menikmati kehidupan seks yang lebih memuaskan," katanya yang juga merupakan Pengerusi British Society of Psychosomatic Obstetrics, Gynaecology & Andrology.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan