#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, November 01, 2009

Rapuh atau tegar


KALSIUM bukan sahaja banyak di dalam susu dan produk tenusu,malahan sayur, bijirin dan juga makanan yang diperkaya dengan kalsium tambahan.


ANDA pernah makan ketam? Hidupan laut dengan kulit sekeras batu ini tidak begitu mudah dimakan kerana ‘kulit’ itu sebenarnya adalah tulang yang melindungi keseluruhan badan ketam dan hidupan lain seumpamanya.

Tulang yang membentuk sistem kerangka badan juga wujud dalam bentuk berbeza mengikut keperluan dan spesies hidupan.

Bagi manusia, sistem kerangka tulang berada di dalam badan (endoskeleton). Bagi sesetengah hidupan seperti ketam, udang karang dan kerang, kerangka tulangnya berada di luar (exoskeleton).

Pertahanan dan sokongan

Asas utama struktur tulang di dalam atau luar badan adalah untuk memberikan pertahanan dan bentuk pejal kepada badan. Tulang memberikan sokongan di samping bekerjasama dengan otot bagi memudahkan pergerakan.

Bagi sistem kerangka dalaman seperti pada manusia dan mamalia lain, tulang di dalam badan memudahkan pembesaran badan sambil mengekalkan keutuhan bentuk dan pergerakan badan. Bagi kebanyakan haiwan, termasuk manusia, sistem kerangka dalaman ini turut memberi perlindungan kepada organ-organ dalaman utama tanpa terlalu menjejaskan kemampuan bergerak, terutamanya bagi manusia berjalan dengan stabil di atas dua kaki.

Kerangka dalaman juga membolehkan otot bertumpu kepada kaki, tangan dan bahagian sendi-sendi untuk pergerakan. Sambungan otot pada tulang turut menambah sokongan dan keutuhan bentuk badan khusus mengikut spesies, dan juga keturunan (bagi manusia).

Sistem kerangka luaran pula lebih bertumpu kepada pertahanan, bukan sahaja dari musuh malahan dari persekitaran yang ekstrem seperti kekeringan melampau akibat kehilangan air (musim kemarau). Bagaimanapun, sistem kerangka luaran menyukarkan pertumbuhan dan haiwan seperti ketam terpaksa menyalin kulit setiap kali badannya membesar melebihi saiz kerangka luarannya.

Penyu dan kura-kura merupakan antara spesies yang mempunyai kedua-dua sistem kerangka, luar dan dalam. Secara evolusi, penyu dan kura-kura yang tidak mengalami perubahan besar sejak berjuta tahun lamanya dianggap menggunakan kedua-dua sistem kerangka sebagai pertahanan dari pemangsa. Sistem kerangka dalaman memberikan haiwan tersebut bentuk dan sokongan sementara kerangka luaran menyukarkan pemangsa mencapai bahagian dalaman badan.

Kuat dan lemah

Setiap manusia dewasa mempunyai 206 tulang sementara kanak-kanak mempunyai 270 tulang. Seperti mana-mana struktur dalaman lain, kesihatan dan kekuatan tulang sering kali diabaikan dan diambil mudah berbanding kulit yang jelas kelihatan.

Selain memberi struktur dan perlindungan badan, tulang juga menyimpan sum-sum tulang yang menghasilkan sel darah merah dan sel darah putih (sel imuniti). Selain itu, tulang juga menjadi pusat simpanan mineral (terutamanya kalsium), mengimbangkan pH darah, simpanan lemak, menyahtoksin dan juga amat penting untuk pendengaran (tulang osikel - tulang paling kecil dalam badan dan tulang temporal kepala - tulang paling padat).

Seperti tisu badan yang lain, tulang mengalami hakisan akibat tekanan terhadap fungsinya dan perlu sentiasa diganti dengan tisu baru. Proses hakis dan ganti ini berterusan sejak kita lahir bagi memastikan tulang dapat menampung bentuk dan saiz badan. Namun, proses ini semakin perlahan dengan peningkatan usia dan terjejas teruk jika tidak mendapat bekalan mineral dan nutrien secukupnya.

Osteoporosis merupakan keadaan di mana kepadatan tulang seorang individu telah terjejas teruk sehingga terlalu rapuh untuk menampung keperluan badannya. Akibat tulang yang lemah dan rapuh, bentuk fizikal badan mungkin berubah (bongkok), menyukarkan pergerakan dan pastinya amat mudah retak dan patah, walaupun bagi aktiviti semudah bangun dari katil ataupun menaiki tangga. Jika telah mencapai tahap teruk, amat sukar untuk mengembalikan keutuhan, sokongan dan pertahanan tulang.

Hilang sokongan

Boleh dikatakan hampir keseluruhan sokongan tulang terhadap struktur dan pertahanan badan akan hilang bagi penghidap osteoporosis. Seperti biskut yang rapuh, tulang yang rapuh tidak dapat mengekalkan bentuk badan jika tidak mampu menampung beban graviti dan berat badan. Tulang yang rapuh juga dengan mudahnya retak, patah atau hancur, walaupun cuma dengan tekanan sederhana - sehingga mendedahkan organ-organ dalaman kepada bahaya kecederaan.

Osteoporosis boleh menyerang kebanyakan peringkat usia, tetapi lebih lazim di kalangan warga emas. Ia menyerang lelaki mahupun wanita, tetapi lebih banyak berlaku di kalangan wanita selepas mencapai menopaus (putus haid). Namun ini tidak bermakna lambat-laun semua warga emas dan semua wanita akan menghidap osteoporosis!

Hanya mereka yang tidak peduli atau gagal memantau tahap kesihatan tulang (termasuk lelaki dan golongan muda) akan tewas kepada osteoporosis.

Kesedaran

Anlene di bawah syarikat induknya, Fonterra, antara jenama utama susu untuk bekalan optimum kalsium tulang telah mengambil inisiatif mengumpulkan maklumat tahap kesihatan tulang penduduk rantau Asia sejak 2005. Selain itu, Anlene turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan universiti tempatan dalam usaha memastikan tulang penduduk rantau ini kekal sihat dan kuat.

Malangnya, lebih satu pertiga daripada 1.8 juta individu yang turut serta dalam tinjauan serantau Anlene didapati berisiko tinggi membentuk osteoporosis. Kajian bersama antara Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Otaga, New Zealand pula mendapati kurang 50 peratus wanita negara ini mendapatkan bekalan kalsium secukupnya.

Satu laporan yang dikeluarkan Yayasan Osteoporosis Antarabangsa (IOF) sebelum ini menunjukkan kejadian retak atau patah tulang pinggul akibat osteoporosis di Malaysia paling banyak berlaku di kalangan kaum Cina, diikuti kaum Melayu dan India. Selain kekurangan kalsium, 71 peratus wanita Melayu yang telah putus haid turut didapati gagal mendapatkan bekalan Vitamin D secukupnya.

Vitamin D dihasilkan kulit yang didedahkan kepada cahaya matahari dan diperlukan bagi meningkatkan penyerapan kalsium ke dalam tulang. Masalah kurang pengambilan kalsium dan vitamin D turut dikesan di kesemua 14 negara yang terbabit dalam laporan tersebut.

Pengurus Besar Fonterra Malaysia, John McKay memaklumkan imbasan tulang Anlene menunjukkan peningkatan bilangan mereka yang berisiko menghidap osteoporosis.

“Data ini diperkukuhkan oleh laporan IOF yang menunjukkan peningkatan dua atau tiga kali ganda kejadian retak atau patah tulang pinggul di kebanyakan negara Asia sejak 30 tahun lalu.

“Negara-negara rantau Asia perlu mengambil langkah segera bagi memahami dan bertindak menentang penyakit yang boleh dicegah ini,” katanya.

Tambahnya, laporan IOF turut menyarankan pembentukan segera satu pangkalan data kebangsaan khusus untuk osteoporosis, termasuk kejadian retak atau patah yang berkaitan dengannya.

“Laporan tersebut turut menggesa lebih banyak langkah meningkatkan tahap kesedaran umum terhadap osteoporosis!”

Fonterra telah memainkan peranan aktif dalam kempen pendidikan dan pencegahan osteoporosis di Malaysia, termasuk dengan pelancaran kempen ‘Dengar kepada tulang anda’ yang disokong Kementerian Kesihatan Malaysia. Selain meningkatkan kesedaran, kempen ini juga menawarkan khidmat imbasan tulang percuma di seluruh negara.

“Hasil tinjauan kami berbeza dari satu negara ke satu negara, tetapi sebilangan besar penduduk di setiap negara terbabit didapati berdepan dengan masalah kepadatan tulang yang rendah, dan pastinya turut berdepan dengan ancaman osteoporosis,” tegas McKay.

Apa yang pasti, jika terus diabaikan, osteoporosis bakal menjadi satu lagi penyakit boleh dicegah yang menyelubungi rantau ini seperti mana diabetes, strok, penyakit jantung serta HIV/AIDS yang telah mencengkam hidup sebilangan besar penduduk Asia.

Segala perkembangan teknologi menghasilkan tulang sintetik, sel stem tulang mahupun sistem kerangka luar (exoskeleton) tiruan juga akan menjadi sia-sia kerana kita sebenarnya tiada cara lain bagi menggantikan sepenuhnya fungsi, sokongan dan peranan sistem kerangka tulang badan. Berikan sedikit perhatian kepada tulang anda, mulakan hari ini!

Untuk maklumat lanjut mengenai osteoporosis dan kempen kesihatan tulang Anlene, layari laman web www.listentoyourbones.com.my atau hubungi talian 1-800-88-3122.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan