#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 21, 2009

Buang sial kukuh cinta

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


BANTING: Hanya kerana mahu membuktikan cintanya, seorang remaja perempuan berusia 13 tahun sanggup lari dari rumahnya di Melaka semata-mata untuk mengikut kekasihnya menjalani rawatan tradisional yang didakwa mampu membuang sial dalam percintaan sebelum diperdaya dan diperkosa, Selasa lalu.

Difahamkan, kekasih mangsa yang juga warga Indonesia berusia 31 tahun bijak merayu mangsa mengikutnya menjalani upacara berubat istimewa berkenaan yang diadakan di sebuah pulau.

Namun upacara membuang sial terbabit sebaliknya bertukar upacara korban nafsu apabila mangsa yang masih bersekolah dirogol dua kali oleh kekasihnya itu.

Ketua Polis Kuala Langat, Superintendan Mohammad Radzi Ishak, berkata kejadian dialami remaja perempuan berkenaan bermula selepas mangsa dibawa teman lelakinya itu ke Pulau Carey di sini.

“Sebelum itu, mangsa dipujuk berulang kali oleh teman lelakinya itu sehingga sanggup lari dari rumahnya di Melaka. Mereka datang ke negeri ini menaiki bas ekspres sehari sebelum kejadian berkenaan.

“Mangsa yang masih mentah dan tidak berfikir panjang bersetuju mengikut pasangannya itu kerana percaya tujuan ‘berubat’ terbabit adalah untuk mengukuhkan ikatan cinta mereka,” katanya.

Menurutnya, sebaik tiba di rumah berkenaan, mangsa diajak bermalam terlebih dahulu.

“Suspek memberi alasan mangsa perlu tidur semalaman kerana upacara berubat terbabit hanya akan dilakukan awal pagi keesokan harinya.

“Malangnya, ketika menginap di rumah itu, mangsa diperkosa dan dijadikan ‘santapan’ nafsu lelaki warga asing terbabit secara paksa,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang upacara berubat seperti didakwa suspek akan dilakukan di Pulau Carey terbabit sebaliknya mangsa dijadikan pemuas nafsu lelaki itu.

“Mangsa yang berasa ditipu meloloskan diri dari rumah berkenaan sebelum meminta pertolongan seorang lelaki tempatan yang ditemui secara kebetulan,” katanya.

Menurutnya, lelaki terbabit membawa mangsa ke Balai Polis Teluk Panglima Garang di sini untuk membuat laporan.

“Susulan laporan remaja itu, polis menjalankan gerakan memburu suspek terbabit yang dikesan bersembunyi sejurus menyedari mangsa melarikan diri.

“Usaha polis lebih 24 jam berhasil apabila suspek diberkas di sebuah ladang berhampiran kira-kira jam 1.30 pagi keesokan harinya,” katanya.

Beliau berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh itu kini direman sehingga Rabu depan selain disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana kesalahan merogol.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami trauma dan kini dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang bagi menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Kejadian seumpama ini dapat dielakkan sekiranya ibu bapa memberi perhatian dan memantau aktiviti sosial anak-anak,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan