#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 21, 2009

Bantu ubah nasib keluarga

Taufu fah iaitu hidangan masyarakat Tionghua kini menjadi sumber pendapatan golongan miskin tegar selepas mereka mendapat pendedahan cara-cara untuk menghasilkannya.




"MUDAH sebenarnya! Jika saya tahu membuatnya sebelum ini, pasti sudah lama ia menjadi sumber pendapatan."

Itu yang terpacul pada mulut suri rumah, Rohani Hamid, 35, sejurus dia bersama empat rakannya berjaya menyiapkan enam liter taufu fah, produk manisan pencuci mulut yang digemari masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Meskipun larutan soya yang dimasak masih belum mula mengeras di dalam balang kedap udara itu, lima sahabat dari Kampung Cik Zainal, Chemor, Perak ini tidak lekang menguntum senyuman.

Bangga bukan kerana mampu menghasilkan hidangan masyarakat Tionghua, tetapi sebenarnya masing-masing sudah mengetahui cara untuk mengubah nasib keluarga mereka.

Bagi Rohani, peluang mendalami sendiri kaedah pembuatan taufu fah dan air soya pada program mentor berasaskan soya di bawah Program Latihan Kemahiran dan Kerjaya (PLKK) itu merupakan sesuatu yang sangat dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi menyedari ia sebenarnya mampu mengubah nasib keluarga.

Menurut ibu kepada sembilan orang anak ini, stigma kononnya bisnes soya memerlukan modal besar dan memerlukan kepakaran 'luar biasa' yang tertanam di fikirannya, berjaya dikikis. Malahan dia bertekad mahu mempraktikkan pengetahuan yang diperoleh pada program tersebut.

"Sebagai peserta e-Kasih dan tergolong dalam kelompok penduduk miskin tegar, tiada apa yang lebih bermakna daripada menyertai program seumpama ini.

"Mungkin bagi yang berkemampuan, mereka boleh membayar untuk mendapatkan ilmu tersebut tetapi bagi orang susah seperti kami, inilah cara terbaik melakukan sesuatu demi meningkatkan taraf hidup masing-masing," katanya.

Keterujaan juga jelas terpancar pada wajah Salina Shari, 34. Jelasnya, bimbingan yang diberikan 'sifu' soya, Baharuddin Zaidin dan pakar motivasi, Tengku Osman Tengku Mohamad sepanjang program sehari itu disifatkannya sangat bermakna.

"Kami dibimbing untuk keluar dari kepompong kesusahan hidup. Apa yang lebih menarik, saya dan rakan-rakan diberi penerangan untuk menghasilkan produk-produk ini dari A hingga Z.

"Kami bukan sahaja diajar teknik asas menguruskan perniagaan tetapi juga berpeluang menyediakan sendiri taufu fah dan air soya. Kami dilatih sehingga pandai," katanya.


TIGA peserta tekun mempelajari teknik-teknik membuat taufu fah.


Salina turut bertekad, sekiranya mempunyai modal yang mencukupi untuk membeli peralatan asas memproses soya, dia mahu memulakan bisnes kecil-kecilan di perkarangan rumahnya di Kampung Cik Zainal, Chemor.

"Benarlah kata pepatah, orang susah jangan diberi ikan tetapi ajarlah bagaimana untuk menangkap ikan. Saya harap jika berjaya di kampung kelak, bolehlah membuka (perniagaan) di pasar-pasar malam pula," katanya.

Melalui program keusahawanan tersebut, Baharuddin yang bertindak sebagai mentor akan membimbing peserta mengenai cara dan kaedah menghasilkan taufu fah dan air soya, manakala Tengku Osman pula memberi panduan mengenai cara memulakan bisnes.

Berdasarkan pemerhatian, nyata kolaborasi dua individu terbabit sangat disenangi para peserta yang mengambil bahagian.

Sementara menunggu produk kedua, air soya yang siap diproses mendidih, Baharuddin dibantu isterinya, Umi Kalsom Zulkefli, 45, terus memberikan beberapa tip kepada lima sahabat itu mengenai cara melazatkan soya.

"Hari ini, saya mahu puan-puan tahu kesemuanya mengenai pembuatan dua produk ini. Saya tidak akan 'simpan', malahan segala pengetahuan yang ada akan diperturunkan," kata Baharuddin yang berpengalaman lebih 12 tahun mengusahakan perniagaan taufu fah dan air soya.

Sebagai mentor program berkenaan, setiap teknik dijelaskan sedalam-dalamnya termasuk pantang-larang ketika memproses yang kesemuanya dinyatakan secara bersahaja.

"Untuk bisnes ini, kita perlukan banyak daun pandan. Jika sudah berniaga kelak, tanamlah sendiri dan jangan sesekali ambil atau minta daripada jiran. Biarlah produk yang dihasilkan nanti menggunakan 100 peratus keringat kita," katanya kepada para peserta.


BAHARUDDIN (kanan) menunjukkan cara-cara menyediakan taufu fah kepada peserta program di Chemor, Perak.


Semasa ditemubual, pesara Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu berkata, perkongsian ilmu pembuatan dua produk yang masih jarang diusahakan secara serius oleh usahawan Melayu itu disifatkannya sebagai fardu kifayah.

"Saya sebenarnya serik ajar (melatih) orang buat soya kerana sebelum ini, ada anak murid yang sudah pandai, mula sombong bahkan saya 'dilawan'.



"Tetapi lama-kelamaan, saya mula berfikir..., mungkin pengetahuan saya ini sebenarnya untuk membantu orang-orang yang benar-benar memerlukan, lebih-lebih lagi untuk mereka mengubah nasib diri dan keluarga," katanya.

Mendapat pendedahan awal pembuatan taufu fah dan air soya semasa menjalani kursus peralihan sebelum bersara dari TLDM pada 1997, Baharuddin memberitahu, perniagaan tersebut sebenarnya mampu memberi pulangan lebih sekali ganda daripada modal yang dikeluarkan.

"Sebagai contoh, satu kilogram kacang soya berkualiti tinggi hanya berharga RM3.50 dan ia boleh menghasilkan di antara lapan hingga 10 liter air soya panas mahupun sejuk.

"Begitu juga penghasilan taufu fah. Hakikatnya, masih ramai usahawan khususnya dalam kalangan orang Melayu tidak tahu mengenainya," katanya.

Pada awal penglibatannya dalam penghasilan taufu fah dan air soya, dia tidak pernah mendapat maklumat lengkap mengenai penghasilan produk berkenaan. Itu menyebabkannya terpaksa mencari-cari ramuan sesuai untuk menghasilkan produk tersebut.

"Hendak kata 'kedekut', saya tidak pasti tetapi ke mana saya sertai program latihan usahawan soya, ada sahaja bahan yang terkurang.

"Jadi, apa yang saya latih pada setiap peserta ialah himpunan ramuan yang saya kutip sepanjang 12 tahun berniaga di pasar-pasar malam di sekitar Kuala Kangsar, Parit dan Pantai Remis," katanya yang berasal dan menetap di Manong, Perak.

Empat orang anak Baharuddin yang tidak menunjukkan minat apatah lagi mewarisi perniagaan yang diceburi bersama isteri itu menyebabkan semangatnya untuk 'menurunkan' kepada mana-mana individu yang berminat semakin berkobar.

Sungguhpun begitu, beliau berharap pengetahuan yang dikongsikan itu digunakan sebaiknya. Beliau turut mengakui sangat berbangga apabila mendapat tahu puluhan peserta yang telah mengikuti 10 siri program kelolaannya sejak setahun lalu kini bergelar pengusaha produk soya berjaya.

"Sangat teruja bila dapat tahu mereka bukan sahaja mampu menghasilkan taufu fah dan air soya yang lebih lazat, bahkan ada yang mampu menjana pendapatan sehingga RM5,000 sebulan.

"Mungkin yang menjadi sedikit masalah dalam kalangan peserta adalah modal untuk membeli peralatan dan mesin bersesuaian.

"Namun, saya percaya dengan pelbagai skim yang ditawarkan kerajaan mahupun agensi berkaitan, mereka yang benar-benar berminat dalam bisnes ini boleh mendapatkan bantuan sewajarnya," katanya.

Tidak lagi mengusahakan taufu fah, Baharuddin kini hanya menumpukan pengeluaran produk air soya botol yang dipasarkan atas jenama Yeob dan Yong sejak tiga tahun lalu.

Ujarnya, kekangan masa dan peralatan moden membataskan pengeluaran air soya botol keluaran mereka, meskipun ia telah mendapat pasaran meluas di sekitar daerah Kuala Kangsar dan beberapa kawasan di Ipoh.

"Saya sedikit ralat apabila ada peserta terus mahu tahu cara pembuatan air soya botol, sedangkan teknik pembuatan asas masih belum dicuba.

"Sikap sebegini perlu diubah dan bukankah lebih baik sekiranya kita bermula dari bawah, tahu apa yang kurang, tambah apa yang patut dan kembangkan bisnes bila sampai masanya," katanya.

Di tempat berlangsungnya kursus tersebut, Penghulu Mukim Chemor, Abdul Razak Mansor tersenyum puas.

Bertanggungjawab sepenuhnya menganjurkan sesi program berkenaan, Abdul Razak memberitahu, lima sahabat yang menyertai kursus berkenaan dipilih berdasarkan potensi masing-masing.

"Penglibatan mereka adalah di bawah peruntukan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

"Mereka telah disaring daripada ratusan isi rumah peserta e-Kasih di seluruh mukim ini. Saya yakin masing-masing akan mendapat manfaat yang cukup besar daripada program ini," katanya.

Sebagai satu-satunya mukim di negeri Perak yang melaksanakan program mentor berasaskan soya melalui PLKK, Abdul Razak optimis peserta terbabit mampu berdikari sekali gus mengeluarkan diri dan keluarga daripada kemiskinan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan