#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, November 22, 2009

Darah tidak sampai

Oleh DR NIZAR ABDUL JALIL
(Pakar Bius dan Kesakitan Kronik, Hospital Universiti Sains Malaysia)


ANDA mungkin tahu mengenai sakit jantung iskemia atau yang dikenali sebagai penyakit jantung koronari. Iskemia adalah keadaan di mana tisu mengalami kekurangan bekalan oksigen akibat aliran darah tersumbat. Ini menyebabkan sel atau tisu badan tidak mampu melakukan metabolisme asas untuk terus hidup.

Pengumpulan toksik akan berlaku dan ini memberi gejala sakit yang kuat pada anggota terbabit. Jika dibiarkan, sel dan tisu ini menjadi mati dan tidak dapat diselamatkan.

Namun tahukah anda, keadaan iskemia ini juga boleh berlaku pada organ dan anggota lain, contohnya pada kaki. Puncanya sama; iaitu bekalan darah tidak sampai ke kaki.

Ada beberapa keadaan yang boleh menyebabkan salur darah tersumbat, contohnya penyakit Burger’s dan Kawasaki, plak arterosklerosis pada saluran darah atau ketulan darah beku halus (embolisme) yang tersumbat pada salur darah yang kecil.

Penyakit iskemia yang membabitkan kaki menyebabkan pesakit berasa sangat sakit. Selain itu kulit kaki kebiruan, sejuk dan beransur-ansur menjadi gelap.

Hujung kaki bengkak dan sangat sakit bila dipicit. Denyutan urat nadi pada kaki hilang jika dibanding dengan sebelah kaki yang normal.

Kesakitannya luar biasa dan tidak dapat dikawal dengan ubat makan atau suntikan biasa. Keadaan ini sangat kritikal kerana jika lambat dirawat, sel dan tisu kaki mati dan bertukar menjadi hitam (gangren).

Akibatnya kaki terpaksa dipotong. Mungkin ramai tidak tahu, ada rawatan pilihan lain yang mampu menyelamatkan kaki pesakit iaitu Simpatektomi Lumbar.

Simpatektomi Lumbar adalah satu suntikan khusus pada saraf simpatetik yang terletak pada sisi tulang belakang anda. Fungsi saraf simpatetik ialah mengawal kaliber saluran darah dan berperanan dalam transmisi rasa sakit.

Prosedur bertujuan melumpuhkan saraf itu dan kesannya ialah kaliber salur nadi akan bertambah, saluran darah mengembang dan mampu menambah bekalan darah dan oksigen yang sebelum itu terjejas.

Kesakitan hilang serta merta dan kulit kaki kembali menjadi panas kemerahan. Kaedah ini banyak dilakukan pakar kesakitan kronik di negara maju dalam merawat pesakit yang mengalami kesakitan kronik pada kaki.

Malangnya di Malaysia doktor yang tahu dan mahir dalam teknik rawatan ini sangat sedikit. Kini teknik rawatan ini ada di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di bawah seliaan perkhidmatan Unit Rawatan Kesakitan Kronik.

Sejak diperkenalkan, banyak kaki pesakit yang mengalami kesakitan kaki iskemia berjaya diselamatkan daripada dipotong.

Bayangkan betapa gembiranya pesakit jika kaki mereka dapat diselamatkan kerana harga kaki anugerah tuhan ini terlalu tinggi dan tidak dapat dinilai dengan wang ringgit.

Bagaimanapun, rawatan ini perlu dilakukan dengan segera kerana jika terlewat, kaki menjadi mati dan teknik ini mungkin tidak lagi berkesan.

Prosedur Simpatektomi Lumbar dilakukan oleh pakar rawatan kesakitan kronik dengan menggunakan jarum dan mesin radiofrekuensi khas. Suntikan ini dilakukan di dalam bilik pembedahan di bawah panduan sinar X.

Suntikan dilakukan pada belakang pesakit. Jarum yang panjang berkenaan diarah pada lokasi saraf simpatetik yang berada pada sisi tulang belakang.

Kemudian aliran elektrik berfrekuensi tinggi dialirkan melalui jarum untuk ‘melumpuhkan’ saraf simpatetik. Ketika prosedur ini, pesakit dalam keadaan sedar tetapi tidak perlu risau kerana ia dilakukan dengan kaedah dan di tempat selamat. Ubat bius setempat diberi untuk mengurangkan rasa sakit.

Selain sakit kaki iskemia, prosedur Simpatektomi Lumbar selalu digunakan dalam merawat beberapa gejala penyakit kronik pada kaki seperti Sindrom Kesakitan Serantau Kompleks (CRPS), jangkitan Herpes zoster (kayap) dan iskemia atau ulser kaki akibat komplikasi kencing manis.

CRPS ialah sejenis kesakitan kronik disebabkan saraf simpatetik teruja yang boleh berlaku susulan daripada kecederaan lampau seperti pembedahan atau luka. Malah, teknik ini berjaya merawat ramai pesakit yang mengalami gejala ‘aneh’ pada kaki mereka.

Aneh kerana kesakitan dibawa oleh saraf simpatetik mempunyai gejala pelik seperti rasa sejuk, panas, tusukan jarum, bengkak, semut-semut atau gejala yang tidak dapat diberi justifikasi standard oleh doktor yang merawat.

Di HUSM, ramai pesakit yang mempunyai gejala pelik seperti di atas sembuh selepas diberi suntikan Simpatektomi Lumbar.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan