#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Selasa, November 17, 2009

Suami selalu hina melalui SMS

ARKIB : 16/11/2009
Utusan Malaysia

ADA orang beranggapan, poligami itu indah. Memang betul indah tetapi jika tidak kena caranya ia boleh mengundang padah. Memang mudah untuk berpoligami tetapi mampukah si suami dan isteri mengawal kehendak dan nafsu mereka dengan alasan mengikut tuntutan sunnah nabi?

Inilah yang ingin diceritakan oleh Linda, (bukan nama sebenar) mengenai sikap suami yang kuat nafsu tetapi kurang ilmu tentang erti tanggungjawab.

Kepada pasangan yang berpoligami, elok tatap nukilan ini buat teladan dalam mengharungi perkongsian hidup yang penuh cabaran.

"Nama saya Linda, berumur 40 tahun. Saya mempunyai perniagaan sendiri bagi menampung hidup saya.

"Saya adalah isteri ketiga seorang ahli perniagaan. Bagaimanapun saya telah dijatuhi talak tiga melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada November 2008 kerana bekas suami terlalu taksub dengan bekas isteri keduanya.

"Sebelum saya ditalak, bekas isteri keduanya telah terdahulu menerima nasib yang sama pada bulan Ramadan tahun lalu. Ketika itu saya masih tinggal bersama bekas suami. Bekas isteri keduanya juga masih tinggal sebumbung walaupun telah ditalak tiga.

"Setelah dicerai, saya keluar dari rumah kerana tidak mahu tinggal sebumbung bersama mereka.

"Perasaan saya hanya Allah SWT saja yang tahu. Pada mulanya saya tidak mengetahui tentang bekas suami saya telah kembali kepangkuan bekas isterinya tetapi Allah menggerakkan hati saya untuk mencari dan mengintai aktivitinya. Semua persoalan akhirnya terjawab.

"Setelah saya keluar dari rumah itu, satu kejadian berlaku di mana bekas suami cuba membunuh diri kerana telah ditipu oleh bekas isteri keduanya sebanyak RM180,000.00. Wang itu adalah wang persaraan bekas suami.

"Pada waktu itu pula tidak disangka, saya hamil dua bulan. Sayangnya rezeki tidak memihak kepada saya kerana keguguran. Saya menghubungi suami bagi memaklumkan kejadian itu tetapi tidak berhasil kerana dia telah menghilangkan diri.

"Namun atas usaha saya, khabar yang saya terima bahawa suami dan bekas isteri keduanya menetap di Cherating, Pahang.

"Sejak itu saya mendiamkan diri hingga ke saat ini. Terlalu banyak keraguan saya yang telah terjawab. Allah menunjukkan kebenarannya di hadapan mata saya sendiri.

"Tidak sanggup melihat mereka membuat maksiat, saya mengadu kepada beberapa badan berkaitan tetapi tidak ada tindakan sehingga hari ini.

"Paling saya sedih sebab bekas suami seorang yang bergelar haji dan alim orangnya. Saya terkilan dengan sikapnya itu. Sejak saya berdiam diri, dia cuba memujuk dan ingin kembali ke pangkuan saya.

"Bagaimanapun saya nekad tidak akan termakan pujuk rayunya lagi. SMS yang dia kirimkan cukup sebagai bukti talak telah jatuh. Saya telah membuat laporan ke pejabat agama dan kini menunggu masa untuk ke mahkamah.

"Saya amat sedih dan merasa tertipu dengan apa yang telah berlaku. Saya tidak tahu perasaan bekas suami yang hidup bergelumang dengan dosa. Perbuatan sumbang mereka diketahui kawan-kawan dan jiran tetapi tidak siapa berani mengambil tindakan.

"Lalu tertanya-tanya juga saya, adakah bekas suami gembira dan bahagia dengan apa yang dia jalani sekarang? Apakah dia sedang menyembunyikan perasaannya yang sebenar atau memang dia hidup gembira bersama bekas isteri keduanya itu?

"Saya amat sedih mengenangkan nasib isteri pertamanya yang ditinggalkan tanpa sebarang nafkah sejak 10 tahun lalu. Bekas suami langsung tidak menunaikan tanggungjawabnya terhadap isteri pertama.

Saya kini merasa bersalah dengan isteri pertama kerana merampas suaminya.

"Dahulu semasa sebelum berkahwin, saya terpukau dengan pelbagai cerita tidak baik yang dibawa oleh bekas suami tentang isteri pertama dan keduanya.

"Tentang bekas isteri kedua memang benar kerana dia seorang yang sombong dan pernah menghantar SMS menggunakan bahasa dan ayat-ayat yang tidak sedap dibaca kepada saya.

"Bagaimanapun, saya tidak ambil peduli akan SMSnya itu dan terus mendiamkan diri,'' cerita Linda.

Tambahnya, sepanjang menjadi isteri, susah mendapatkan nafkah zahir dan batin. Apabila diminta dia mengungkit tetapi jika isteri kedua yang meminta pasti didahulukan.

"Sejak itu hati saya tercalar yang amat sangat malah SMS yang dihantar oleh bekas suami juga agak tidak sopan dan menghiris perasaan saya.

"Saya lebih banyak bersabar dan bertahan malah kadang-kadang timbul penyesalan kerana bernikah dengan dia tetapi kerana sudah jodoh saya reda dan terima segala ketentuan-Nya.

Selalu menipu

"Saya sakit hati apabila membaca SMS daripada bekas suami yang menghina saya sebagai isteri seolah-olah saya macam perempuan jalanan, macam sampah di tepi jalan!

"Saya masih boleh berfikir yang mana dosa dan pahala, Jika dibandingkan taraf pendidikan saya lebih berkelulusan tinggi daripada bekas isterinya.

"Bahkan bekas suami menafikan telah menjatuhkan talak terhadap saya. Namun, Allah itu Maha Adil dan saya bersyukur kerana dapat melihat sendiri sikapnya yang jahat dan tidak ingat batas agama itu.

"Pada masa ini saya ingin melupakan semuanya. Mujur teman-teman dan ahli keluarga menyokong malah mereka reda atas apa yang berlaku ke atas saya.

"Insya-Allah, saya akan pulih dan akan terus hidup untuk masa depan saya. Nasihat saya kepada wanita di luar sana, elak daripada bernikah dengan suami orang.

"Tidak semua perkahwinan dengan suami orang itu indah malah sikap suami yang selalu menipu untuk menyelamatkan diri mereka dan mendapat apa yang mereka mahu amat ketara setelah pernikahan berlaku.

"Tidak dinafikan soal jodoh ketentuan Allah, tetapi sebagai manusia, kita juga berhak memilih apa yang terbaik untuk masa depan kita tanpa menghancurkan perasaan orang lain," Linda menutup ceritanya.

Masalah Linda bukan satu masalah baru dalam rumah tangga malah ia kini semakin menjadi virus dalam perkahwinan.

Ramai lelaki mahu berpoligami tetapi tidak menjalankan keadilan dalam rumah tangganya. Saya puji sikap berani Linda dalam membuat keputusan tentang masa depannya.

Para isteri lain yang bermasalah patut mencontohi sikap Linda.

Pesanan saya kepada Linda, teruskan hidup, jangan bersedih dengan apa yang berlaku, mungkin Tuhan akan mempertemukan anda dengan lelaki yang lebih baik pada masa depan.

Menutup catatan, senyuman itu tidak memberatkan tetapi ia mampu menceriakan jiwa yang kosong!

Salam


Tiada ulasan:

Catat Ulasan