#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 28, 2009

Derita mangsa deraan seksual

Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
rosmaliana@hmetro.com.my


MEREKA terpaksa menanggung derita yang bukan sedikit lantaran serangan seksual secara ganas dan tidak berperikemanusiaan.

Dalam sesetengah keadaan, mangsa dera yang masih hingusan itu ada kalanya harus menjalani pembedahan untuk proses pembetulan di bahagian anggota sulit mereka.

Biasanya dalam kebanyakan kes penderaan seksual, pembedahan dijalankan untuk membaiki rahim serta anggota sulit yang rosak akibat proses persetubuhan yang dilakukan secara paksa.

Malah keadaan fizikal kanak-kanak berkenaan turut memainkan peranan kerana dalam usia sedemikian, perlakuan seumpama itu bukan sesuatu yang boleh diterima akal.

Ketua Jabatan Pakar Perunding Kanak-kanak dan Pakar Paru-paru Kanak-kanak, Hospital Serdang, Dr Norrashidah Abd Wahab, berkata masa depan kanak-kanak mangsa dera sama ada secara fizikal dan seksual akan berubah sama sekali terutama dari segi sosial serta emosi.

Bagi mangsa dera seksual, kanak-kanak akan bertindak memencilkan diri dan tidak bergaul dengan masyarakat kerana menganggap diri kotor atas perlakuan tidak sepatutnya yang dilakukan ke atas mereka.

Dalam sesetengah kes, ada yang membunuh diri akibat tekanan yang dialami daripada keluarga sendiri, masyarakat dan rakan.

Norrashidah berkata, dalam usia yang begitu muda, kanak-kanak seharusnya dilindungi serta bebas bergaul dengan rakan sebaya tetapi akhirnya terbabit dengan masalah di luar kawalan mereka.

"Ibu bapa perlu memainkan peranan penting dalam memberikan perhatian kepada anak. Apabila mereka mengadu mengenai sesuatu perkara, jangan pandang ringan sebaliknya selidik perkara itu.

"Hanya disebabkan mereka masih kanak-kanak, segala pandangan, rungutan serta luahan biasanya kurang diberi perhatian dan ia sedikit sebanyak menjadi penyebab kemelaratan kejadian seperti ini.

"Malah ibu juga perlu menjadi teman kepada anak mereka. Jangan hanya menjadi pemerhati tetapi tidak memberikan sebarang bantuan pada masa diperlukan. Ia sesuatu yang amat mengecewakan," katanya ketika di temui di Hospital Serdang, Selangor, baru-baru ini.

Sepanjang berkhidmat di Jabatan Pediatrik, Norrashidah berkata, pelbagai bentuk kes penderaan ditanganinya dan ia sesuatu yang amat menyayat hati terutama bagi seorang ibu.

Katanya, kes membabitkan kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang mengalami kerosakan teruk di bahagian kemaluannya hingga terpaksa menjalani pembedahan paling tidak dapat dilupai.

"Bayangkan bagaimana kanak-kanak sekecil itu terpaksa menanggung derita atas perbuatan individu tidak berperikemanusiaan yang terlalu mengikut nafsu.

"Apa dosa anak itu hingga diperlakukan sedemikian rupa? Saya cukup tersentuh hingga menitiskan air mata ketika mengendalikan kes itu," katanya.

Tidak dapat dinafikan pengawasan terhadap anak itu penting dan Norrashidah mengakui amat tegas dalam perkara itu.

"Saya memiliki anak gadis berusia 18 tahun dan hingga kini masih tidak mempercayainya untuk tinggal berseorangan di rumah. Biarlah saya dianggap sebagai kolot tetapi asalkan anak selamat, itu paling penting.

"Oleh itu, saya akan pastikan sekurang-kurangnya ada orang dewasa yang boleh dipercayai seperti ibu saudaranya untuk ada bersama," katanya.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Jalil dalam kenyataannya pada 11 Ogos lalu menggesa Peguam Negara supaya mengambil tindakan lebih tegas berhubung masalah penderaan kanak-kanak.

Menurutnya, saban tahun kes penderaan kanak-kanak dilaporkan semakin meningkat, seolah-olah perbuatan itu perkara biasa dan menjadi ikutan ramai.

Sebanyak 2,279 kes penderaan dilaporkan pada 2007 dan meningkat kepada 2,780 tahun berikutnya, manakala penderaan oleh ibu bapa serta penjaga turut meningkat daripada 992 kes pada 2007 kepada 1,266 pada 2008.

Selain itu Norrashidah berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam memastikan masalah berkenaan ditangani tanpa perlu menuding jari menyalahkan satu sama lain.

"Sekiranya berterusan, ia mungkin boleh menjadi wabak yang merosakkan anak bangsa kerana dibiarkan tanpa sebarang pengawasan serta tindakan sewajarnya," katanya.



Antara kes penderaan kanak-kanak sepanjang 2008 dan 2009:

  • 24.10.2009

    Kuantan - Seorang murid perempuan berusia 11 tahun dan adik lelakinya bukan saja didera oleh ibu tiri mereka, tetapi mangsa dipaksa menjadi hamba seks seorang lelaki sejak setahun lalu dengan upah antara RM5 hingga RM10.

    Mangsa dan adik lelaki berusia sembilan tahun yang didera di seluruh badan, termasuk digigit di bahu sejak empat tahun lalu,

  • 23.10.2009

    Kuala Lumpur - Hanya disebabkan terpaksa mencuri RM3 wang bapanya untuk membeli makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun cedera teruk dibelasah bapa kandungnya menggunakan batang penyapu.

    Dalam kejadian 12 Oktober lalu, mangsa turut mengalami trauma dan terpaksa menjalani rawatan pemulihan seminggu di Hospital Ampang.

  • 21.10.2009

    Kajang - Kejam dan tidak berperikemanusiaan apabila seorang lelaki Afrika didakwa sanggup mendera, merogol dan meliwat anak kekasihnya yang baru berusia tiga tahun sehingga kanak-kanak itu menemui ajal.

    Malah, kekasih wanita terbabit yang juga seorang janda berusia 24 tahun itu tergamak bersubahat dengan warga asing dan sanggup berbohong konon anaknya mati akibat didera pembantu rumah.

  • 4.5.2009

    Kuala Lumpur - Akibat tidak tahan didera ibu tirinya, seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun bertinju dan melepaskan tumbukan ke arah wanita terbabit yang terlebih dulu menendang perutnya sekuat hati.

    Dalam kejadian itu, murid tahun lima berkenaan `naik angin' kerana ibu tirinya yang berusia 36 tahun kerap memarahi dan menderanya hanya kerana perkara kecil.

  • 30.4.2009

    Georgetown - Seorang bapa mendera anak perempuannya sehingga mati sebelum ditanam di kawasan padang, kira-kira dua kilometer dari rumah mereka di Kampung Pisang, Air Itam di sini, tiga tahun lalu akhirnya terbongkar selepas didedahkan seorang kakak mangsa.

    Kakak mangsa serta dua lagi adik-beradiknya juga mengaku pernah didera dan dicabul bapa mereka, yang dikatakan tidak bekerja serta mempunyai tiga isteri dan 10 anak. Anak dibunuh itu adalah hasil perkahwinannya dengan isteri kedua.

  • 12.3.2009

    Melaka - Seorang murid lelaki sekolah rendah di Alai yang 'melepak' sehingga malam di sekolahnya dipercayai menjadi mangsa dera ibu tirinya.

    Murid tahun empat itu dipercayai didera hingga cedera dan terpaksa menerima rawatan di Hospital Melaka.

  • 23.02.2009

    Kuala Lumpur - Bayi perempuan malang berusia setahun dikatakan menjadi mangsa cabul serta penderaan secara seksual selepas dia ditinggalkan oleh ibunya di rumah pengasuhnya.

  • 10.01.2009

    Kuala Lumpur - Seorang lelaki yang dipercayai terbabit mendera seorang kanak-kanak berusia empat tahun hingga mati di Taman Perdana, Kepong.

    Difahamkan, kematian kanak-kanak terbabit disebabkan kesan penderaan selain mengalami kecederaan dalaman.

  • 22.12.2008

    Subang Jaya - Seorang kanak-kanak perempuan disyaki menjadi mangsa penderaan dibiarkan bersendirian di rumahnya di sebuah flet di Puchong.

    Kanak-kanak malang itu dipercayai menjadi mangsa penderaan berdasarkan beberapa kesan kecederaan pada badannya.

    Tangan mangsa bengkak dan bernanah dipercayai kesan terkena benda panas selain calar pada bahagian badan.

  • 18.06.2008

    Nusajaya - Sepasang suami isteri dipercayai mendera anak lelaki bongsu mereka berusia kira-kira setahun sehingga mati, di sebuah rumah di Bandar Selesa Jaya.

  • 17.05.2008

    Kota Tinggi - Murid tahun sebuah sekolah di Pengerang menjadi mangsa dera ibu tirinya. Dia mengalami kecederaan di beberapa anggota badan termasuk kemaluan.

  • 10.01.2008

    Johor Bahru - Seorang pemandu teksi dituduh mendera anak lelakinya yang berusia lima tahun hingga mendatangkan kecederaan fizikal dan kematian.

  • Tiada ulasan:

    Catat Ulasan