#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Khamis, November 12, 2009

Pendam gelodak batin 20 tahun

Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammadahmad

shahrul@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Malu diperli atau disindir mendorong segelintir isteri sanggup memendam gelodak batin lebih 20 tahun apabila suami yang sudah memiliki ‘pucuk muda’ langsung tidak menyentuh mereka walaupun tidak mengabaikan keperluan zahir, termasuk memberikan wang untuk keperluan harian.

Malah, ada lelaki yang mempunyai isteri baru sanggup memberikan pelbagai alasan termasuk menghidap penyakit kronik sehingga langsung tidak boleh tidur sekatil dengan isteri tua kerana kononnya boleh menimbulkan masalah kesihatan.

Ini menyebabkan isteri yang tidak tahan dengan gelodak batin terpaksa membawa masalah mereka ke mahkamah bagi menuntut cerai ‘tanpa rela’, tetapi menggunakan alasan lain bagi menjaga maruah diri supaya tidak dilabelkan sebagai wanita gila seks.

Bagaimanapun, ada wanita yang sanggup bertahan bertahun-tahun menanggung derita batin walaupun melakukan pelbagai usaha bagi menarik hati suami, tetapi pasangannya yang balik ke rumah lebih rela menonton dan terlelap di depan televisyen daripada melayani isteri.

Gejala tidak sihat di kalangan isteri menderita itu didedahkan Penasihat Persatuan Ibu Tunggal Permai Kasih Sungai Besi, Datuk Wan Abdul Halim Wan Othman, yang mengaku menerima banyak aduan mengenai isteri tidak diberikan nafkah batin selama bertahun-tahun.

Menurutnya, aduan itu bukan pelik, tetapi ia kenyataan yang perlu diterima apabila ada di kalangan suami sanggup menipu isteri dengan memberikan alasan tidak sihat atau menghidap penyakit kronik yang kononnya terpaksa membataskan perlakuan seks dan tidak boleh tidur sekatil dengan isteri.

“Alasan itu digunakan bertahun-tahun bagi mengelak tanggungjawab memberi nafkah batin kepada isteri. Bagaimanapun, rahsia itu terbongkar apabila si suami meninggal dunia dan suami didapati mempunyai isteri baru dan anak lain.

“Ketika hidupnya dia tidak melayan nafkah batin isteri dengan alasan tidak sihat, tetapi pada masa sama sanggup berada di depan televisyen berjam-jam,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Wan Abdul Halim yang lebih 30 tahun berkecimpung dalam persatuan ibu tunggal berkata, gejala tidak sihat itu membabitkan isteri berusia 18 hingga 50 tahun yang mengakui tidak diberikan layanan seks bertahun-tahun oleh suami.

Malah, katanya, ada lelaki tidak menyentuh isterinya bertahun-tahun walaupun mereka masih tinggal di rumah sama sehingga si isteri terpaksa membawa perkara itu ke mahkamah.

“Bagaimanapun, bagi menjaga maruah, isteri terpaksa menggunakan isu lain sebagai alasan walaupun nafkah batin isu utama yang sepatutnya diutarakan di mahkamah.

“Senario ini terlalu kerap berlaku dan seolah-olah menjadi asam garam dalam masyarakat sehingga ada isteri yang sanggup menyimpan gelodak jiwa mereka,” katanya.

Menurutnya, gejala ini sebenarnya satu penderaan terhadap golongan isteri yang sering menjadi sasaran apabila suami berkahwin lain secara sulit sehingga mengabaikan tanggungjawab batin terhadap isteri lain.

Tanpa berselindung, Wan Abdul Halim menganggap golongan suami terbabit manusia yang tidak hiraukan dosa dan hanya tahu melayan nafsu sendiri dengan mengambil kesempatan terhadap isteri yang sepatutnya dijaga sebaik-baiknya.

Ditanya sama ada wujud kes isteri yang terbabit dengan gejala tidak sihat apabila menghadapi masalah nafkah batin, Wan Abdul Halim tidak menafikannya, tetapi jumlahnya terlalu sedikit berdasarkan aduan diterima.

Menurutnya, kebanyakan aduan isteri yang menghadapi masalah itu lebih menjurus kepada menuntut perceraian di mahkamah tanpa mengaitkan diri dengan masalah nafkah diabaikan suami bertahun-tahun.

Lebih malang, katanya, ada wanita yang tidak mendapat galakan daripada keluarga dan rakan untuk mengetengahkan isu itu di mahkamah.

“Nasihat negatif kononnya tuntutan itu akan memalukan isteri dan golongan wanita mendorong isteri yang menderita tidak meneruskan hasrat ke mahkamah walaupun mereka mempunyai hak.

“Berdasarkan pemerhatian dan aduan, saya mahu gejala ini dibendung segera supaya tidak menimbulkan kecelaruan dalam masyarakat, termasuk menghadapkan suami yang mengabaikan tanggungjawab batin kepada isteri ke mahkamah,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan