#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 14, 2009

Hidup daif sejak muda

BALING: “Bukannya saya tidak pernah berusaha untuk mengubah nasib hidup, malah sejak usia muda lagi sudah bertungkus-lumus mencari rezeki, namun tak terdaya akibat dihimpit kemiskinan hidup sehinggalah hari ini.

“Sesiapa pun ingin hidup bahagia di samping keluarga tersayang dan mendiami di rumah serba lengkap, tetapi apakan daya impian itu tidak tercapai ketika saya ditelan usia lanjut,” kata Siti Rabiah Yaakob, 60, dari Kampung Charok Sik, Kupang.

Beliau berkata, dia tetap tabah walaupun kehidupannya terumbang-ambing kerana dihimpit kemiskinan sejak usia muda lagi sehinggalah ke hari ini dan menghuni di rumah usang yang diperbuat daripada kayu-kayu hutan termasuk berdindingkan buluh dan berlantaikan kayu manakala beratapkan bertam.

Menurutnya, dia tidak mampu membina rumah lebih sempurna kerana tidak berkemampuan dengan keadaan hidup yang sudah uzur dan miskin.

“Sejak suami meninggal dunia, saya tinggal di rumah lama yang disewa tetapi sekarang sudah tidak mampu lagi kerana sudah uzur. Adakalanya saya ditemani dua cucu, Mohd Ridzuan Said, 18, dan Md Radzi, 17, pada setiap malam kerana mereka bimbang dengan tahap kesihatan saya.

“Saya tak mahu menyusahkan anak-anak yang sudah berkeluarga kerana mereka juga hidup susah dan hanya bekerja kampung untuk menyara anak-anak,” katanya, semalam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan