#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 28, 2009

Rugi RM45,000 ditipu kekasih

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin
anbia@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Hanya kerana jiwa tersentuh dengan tutur kata manis dan sikap romantis seorang lelaki Mat Saleh, seorang penyelia kilang kerugian RM45,000 selepas ditipu kekasihnya yang mendakwa hartawan dari London.

Mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Lim, 40, berkenalan dengan lelaki itu yang dikenali sebagai Frank Ronny, 46, melalui laman sembang internet sejak Januari lalu.

Ketua Biro Aduan MCA, Datuk Micheal Chong berkata, mangsa dari Kedah membuat aduan kepada pihaknya selepas dipermainkan teman lelakinya itu yang dipercayai sebahagian daripada sindiket penipuan antarabangsa.

“Selepas beberapa bulan berhubung dan saling berbalas mesej melalui laman sembang internet, mereka mengatur temu janji untuk berjumpa di ibu kota.

“Namun, pada Ogos lalu, lelaki itu menghantar pesanan e-mel kepada mangsa memberitahu akan menghantar bungkusan khas hadiah berisi wang tunai AS$2 juta ( RM7.2 juta) kepadanya,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu bersungguh-sungguh meyakinkan mangsa hadiah wang sebanyak itu mahu diberikan sebagai membuktikan rasa cinta dan kasihnya.

“Penipuan licik itu bermula apabila seorang wanita tidak dikenali menghubungi mangsa pada 12 Ogos lalu sebelum menyamar sebagai pegawai kastam. Wanita terbabit memberitahu kononnya bungkusan kotak penghantaran dari United Kingdom yang kononnya dihantar kekasih mangsa sudah sampai di Malaysia.

“Wanita terbabit yang mendakwa namanya sebagai Maisarah meminta mangsa membayar cukai RM5,000 bagi membolehkan bungkusan itu dilepaskan,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang percaya dengan dakwaan itu memasukkan wang RM3,000 ke dalam akaun bank atas nama Sulaiman Adam keesokan harinya.

“Bagaimanapun, mangsa mendakwa dihubungi pula seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai pegawai bank dari United Kingdom dengan nama Jamie Thomas.

“Lelaki terbabit memberitahu Lim perlu membayar kos sampingan RM42,000 kepada pihak bank terbabit berikutan jumlah AS$ 2 juta yang dipindah milik kepada mangsa dianggap terlalu besar. Bayaran kedua itu juga didakwa bagi membolehkan kotak berisi wang berkenaan dilepaskan daripada tahanan kastam,” katanya.

Menurutnya, mangsa yang berjaya diyakinkan ahli sindiket itu sekali lagi membuat pembayaran RM42,000 melalui bank tempatan.

“Namun, Maisarah sekali lagi menghubungi mangsa pada 17 November lalu dan mendakwa kononnya pihak kastam dan mangsa ditipu pegawai bank United Kingdom berkenaan.

“Wanita itu meminta mangsa membayar RM15,000 dan berjanji akan membantu menghantar bungkusan wang itu selain mendapatkan semula wang tunai RM42,000 yang ditipu pegawai bank berkenaan,’ katanya.

Menurutnya, mangsa bagaimanapun mula mengesyaki sesuatu tidak kena sebelum memberitahu apa yang berlaku kepada keluarganya.

“Susulan itu, mangsa dinasihatkan membuat laporan polis sebelum datang ke pejabat saya bersama bapanya untuk membuat aduan berhubung penipuan melalui internet berkenaan.

“Kes seumpama ini bukan kali pertama berlaku berikutan sudah ramai gadis tempatan menjadi mangsa selepas ditipu dan diperdaya bermodalkan cinta melalui internet,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan