#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Ahad, November 29, 2009

‘Pagar makan padi’

Oleh SHANTY NUR SHAFFIZAN SHAFEE
shantynur@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Ibarat harapkan pagar, pagar makan padi. Itulah terjadi kepada seorang wanita mualaf yang menjadi mangsa kurung dan rogol seorang lelaki yang awalnya mahu membantu mendapatkannya pekerjaan.


Wanita berusia 28 tahun itu yang dalam proses perceraian dikatakan meminta pertolongan dengan sebuah persatuan untuk mencari tempat perlindungan serta pekerjaan bagi menampung kehidupan bersama anak perempuannya berumur lapan tahun.

Seorang lelaki dalam persatuan itu yang berusia 38 tahun kemudian mendakwa bersimpati lalu menawarkan kediamannya untuk sementara waktu kepada mangsa.

Ketua Polis Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan, berkata lelaki itu mengatakan dia hanya menetap bersama ibunya di sebuah apartmen di Pandan Indah dan berjanji mencarikan pekerjaan untuk mangsa.

“Sebaik saja mangsa menerima pelawaan itu, bermulalah episod hitam apabila dia dan anaknya dikurung sejak 20 November lalu dan dirogol bermula hari kedua dia menetap di situ,” katanya.

Penderitaan wanita itu berakhir semalam ketika suspek keluar ke masjid untuk menunaikan solat Aidiladha dan kesempatan itu digunakan mangsa untuk meminta pertolongan daripada jiran.

“Polis terpaksa memecahkan pintu rumah yang dikunci suspek dan menemui mangsa dalam ketakutan dan trauma. Ada kesan lebam di paha akibat dibaling dengan tin biskut.

“Mangsa mendakwa dirogol dua kali, diacu dengan pisau dan diugut bunuh jika cuba melarikan diri,” katanya yang berjaya menahan suspek di Hentian Puduraya kira-kira jam 2 petang. Suspek melarikan diri selepas mendapati rumahnya digeledah polis.

Menurut Abdul Jalil, siasatan awal mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah iaitu curi, ugut dan pukul.

Kes disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan masing-masing kerana rogol dan dengan sengaja menyebabkan kecederaan.

Anak mangsa selamat manakala mangsa dihantar ke Hospital Ampang untuk pemeriksaan dan rawatan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan