#Pray4MH370# 8/3/2014 – xxxx

Sabtu, November 28, 2009

Hayati maksud pengorbanan

RAMAI menyangka ibadat haji dikerjakan hanya untuk kepentingan individu sedangkan maksudnya secara keseluruhan lebih besar daripada itu.

Dalam masa sama juga, ada individu yang hanya mahukan gelaran 'haji' seolah-olah ia satu prestij hingga gagal menghayati ibadat berkaitan keimanan yang kepada Allah SWT.

Setiap ibadat yang disyariatkan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya mempunyai dua sudut utama iaitu akidah dan syariat. Bagi memastikan ibadat itu sah dan diterima-Nya, ia hendaklah dilaksanakan dengan sempurna seperti yang ditetapkan syarak.

Firman Allah SWT dalam surah Ibrahim ayat 24-25: “Tidakkah engkau melihat bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu kalimah yang baik adalah seumpama sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh dan cabang pucuknya menjulang ke langit.

“Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran),”.

Terdapat beberapa pengajaran penting dalam ibadat haji yang boleh dijadikan panduan seperti ia simbol pengorbanan kepada agama.

Maksudnya, keperluan berkorban tenaga, masa dan harta benda dalam menunaikan ibadat haji adalah suatu pengajaran kepada kita bahawa sebagai hamba-Nya, kita sebenarnya dituntut berkorban demi agama Allah SWT.

Selain itu, ibadat haji itu simbol perpaduan. Berhimpunnya jemaah haji dari seluruh dunia di kota Makkah dan Madinah adalah satu pengajaran bahawa umat Islam diwajibkan berkasih sayang dan bekerjasama antara satu sama lain.

Seterusnya, ibadat haji juga simbol persamaan taraf. Kewajipan berpakaian ihram yang seragam di kalangan jemaah haji tanpa mengira kedudukan dan pangkat memberi pengajaran bahawa semua manusia adalah sama taraf di sisi Allah SWT.

Mutakhir ini, budaya penyamaan taraf yang dipraktikkan oleh Nabi SAW tidak wujud lagi. Apa yang ada di dalam sesetengah masyarakat sama ada di peringkat keluarga dan sebagainya menyimpang jauh daripada dasar persamaan taraf dipraktikkan baginda.

Firman Allah SWT dalam surah An-Nisa' ayat 58: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala amanah kepada ahlinya, dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, supaya kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu. Sesungguhnya Allah sentiasa mendengar lagi sentiasa melihat.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan